SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Tuesday, June 2, 2015

SURAH ALI IMRAN AYAT 16 -- KEHIDUPAN YANG MENJAUHI DOSA

Orang-orang yang mereka sentiasa berkata "Tuhan Kami, sesungguhnya telah beriman kami maka Engkau ampunilah bagi kami akan dosa-dosa kami dan peliharalah akan kami (daripada) azab neraka.

(Iaitu) orang-orang Yang berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa Kami dan peliharalah Kami dari azab neraka";

i.    Corak Kehidupan Taman Yang 
      Harus Dipilih :–  Mengharap Untuk 
      Menjauhi Dosa-dosa 

Untuk tujuan ini, mahu tidak mahu, umat ini harus mempelajari apakah yang diertikan sebagai dosa? Bergelumang dengan sistem ekonomi riba adalah suatu dosa yang sangat besar. Dosa ini menjadi punca kepada menjalarnya dan bertambahnya segala bentuk dosa-dosa lain. Yang dikatakan sebagai dosa adalah sesuatu yang akhirnya membawa kekesalan dalam hati seseorang. Mengamalkan polisi kehidupan riba, mungkin pada peringkat permulaannya, tidak dirasai dengan rasa bersalah. Namun permasalahan yang akan timbul, akhirnya akan membuatkan seseorang menderita dengan rasa bersalah. Semua ini akan dibincangkan dengan secara lebih teliti pada dua juz terakhir daripada Al-Quran. Meninggalkan sistem ekonomi riba akan dikatakan sebagai meninggalkan kemajuan, namun penyaksian masakini pengamalan riba sedemikian lebih menjurus kepada kemiskinan yang parah.

ii.    Memenuhi Naluri Kehidupan Manusia Itu Sendiri 

Pembaca atau sesiapa jua mungkin memiliki pengalaman mengalami kesukaran untuk memujuk warga tua untuk meninggalkan kampung halaman mereka dan hidup bersama anak-anak ke kawasan perbandaran. Sebenarnya mereka tidak boleh dipersalahkan atas pilihan mereka kerana jiwa halus mereka adalah lebih menyayangi kehidupan dengan sausana harmoni di kampung berbanding keadaan hirup pikuk di kawasan perbandaran. Itulah perkara sebenarnya yang harus berlaku ke atas setiap manusia iaitu jiwa manusia lebih memerlukan ketenangan berbanding keresahan dalam menempuh kehidupan. Penulis tidak bermaksud bahawa seseorang itu harus sentiasa meninggalkan sebarang bentuk hidup keresahan dan mengejar semata-mata hidup ketenangan. Yang penulis maksudkan adalah bahawa seseorang itu hendaklah sentiasa menghargai hidup ketenangan dan berusaha mendapatkan ketenangan sekalipun lingkungan hidup seseorang sentiasa dikelilingi oleh keresahan. Sebenarnya hidup dalam keresahan bersangatan atau 'stress peringkat kronik', sangat berkait rapat dengan kepelbagaian bentuk penyakit. 

Stress berpanjang dapat mendatangkan bencana 
kepada tubuh seseorang

Seseorang yang sangat stress seringkali dikaitkan dengan penyakit barah barah usus dan juga kemurungan. Kes-kes seperti ini menjadi perkara yang lumrah didengari waktu ini. Perkara seperti inilah yang cuba ditutup oleh pihak berkuasa daripada diketahui oleh rakyat serta umat. Mereka menghendaki rakyat bekerja dengan sangat rajin dan pelajar-pelajar belajar bersungguh-sungguh demi menghadapi masa depan yang kononnya lebih mencabar.  Polisi seperti inilah yang mengakibatkan rakyat atau umat hidup dalam keadaan kesempitan dan keresahan hidup yang berpanjangan. Mereka menjadi tidak peka terhadap kerosakan alam serta kecelaruan yang dialami oleh umat manusia masakini.

iii.    Memelihara Keadaan Persekitaran Yang Stabil 

Sebenarnya setiap manusia memiliki hak untuk mendapatkan keperluan hidup dan memerlukan sedikit keadaan yang lebih selesa. Begitu juga dengan kehidupan fauna dan alam flora. Kita tidak berhak mengenakan paksaan ke atas semua itu. Meneroka kawasan hutan untuk tujuan pembinaan perbandaran yang pesat adalah merupakan pencerobohan alam sekitar. Nasib haiwan-haiwan liar tidak terbela apabila terbukti haiwan-haiwan liar menerjah masuk ke kawasan penempatan semata-mata untuk mendapatkan makanan. Bukti kedua ialah kejadian banjir kilat yang sering berlaku akibat kecuaian pihak-pihak tertentu dalam mengurus tadbir pengurusan saliran. Pelajar-pelajar ilmu perladangan sendiri mempelajari bahawa pertumbuhan tumbuh-tumbuhan sebenarnya lebih memerlukan mineral untuk tujuan pertumbuhan yang baik dan bukannya keperluan baja yang banyak. Bekalan mineral dapat diperolehi daripada sumber air yang segar dan kandungan mineral dalam air yang segar amat membantu pertumbuhan tumbuhan yang baik (penerangan 71:12). Penggunaan baja yang banyak bukan sahaja dapat merosakkan tanah yang digunakan untuk tujuan pertanian bahkan dapat mengakibatkan bertambahnya haiwan-haiwan perosak yang dapat merosakkan kembali tanaman yang ditanam. Haiwan-haiwan perosak seperti serangga didapati amat menggemari kandungan ammonium dalam baja yang digunakan. Permasalahan ini menjawab persoalan, mengapakah kawasan perumahan yang tidak memiliki sistem pembetungan yang baik, didapati membantu pembiakan larva-larva nyamuk pada jumlah yang sangat banyak. Penyakit seperti demam denggi amat mudah menular di kawasan perumahan di kawasan bandar berbanding kawasan penempatan kampung.





Wednesday, May 27, 2015

SURAH ALI IMRAN AYAT 15 -- JANJI TUHAN SEBAGAI GANJARAN YANG LEBIH BAIK

Katakanlah olehmu "Mahukan aku khabarkan akan kamu dengan yang baik daripada semua itu buatmu. Bagi golongan yang telah berhati-hati mereka di sisi Tuhan mereka taman, ia berlari dari bawahnya sungai-sungai, kekal mereka di dalamnya dan pasangan-pasangan yang dibersihkan dan keredhaan daripada Allah dan Allah Yang Melihat Melihat terhadap hamba-hamba."

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Mahukah supaya Aku khabarkan kepada kamu akan Yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang Yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, Yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. disediakan juga pasangan-pasangan / isteri-isteri Yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah". dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan hamba-hambaNya;

i.    Meninggalkan Kawasan Perbandaran Dan 
      Kembali Kepada Kehidupan Taman

Perkataan ini mungkin merupakan perkataan pelik untuk didengari. Pada masa kepimpinan negara menyeru kepada kehidupan ala kebandaran yang dikatakan maju, serba ada dan lebih selesa, risalah ini menganjurkan kehidupan ala kadar, berada jauh daripada perbandaran dengan cara mengusahakan kehidupan taman yang agak jauh daripada 'kemajuan'.

Permasalahan yang dapat dilihat kini adalah permasalahan sosial yang dapat merosakkan kehidupan itu sendiri. Kita semua telah saksikan bahawa kehidupan perbandaran lebih mendedahkan seseorang kepada kerosakan alam melalui pencemaran-pencemaran, penerokaan kawasan hidupan liar dan pencerobohan kawasan tadahan air dan permasalahan kehidupan sosial manusia itu sendiri yang dibebani dengan pelbagai bentuk tekanan ekonomi. Yang sebenarnya 'kemajuan' hidup di kawasan perbandaran tidak menjanjikan apa-apapun terhadap seseorang melainkan kepapaan dan kesempitan hidup. Mereka yang berada di kawasan perbandaran sebenarnya lebih mengharap kepada bantuan kerajaan melalui pembiayaan projek-projek yang dilaksanakan. Buktinya apabila perbelanjaan kerajaan terhadap sesebuah bandar itu dikurangkan, ramai daripada golongan peniaga terpaksa gulung tikar.

ii.   Penyakit-penyakit Hubungan Manusia Yang 
      Seringkali Menjalar

Dalam sebuah negara yang dikatakan membangun seperti negara kita ini, kita dapati bangunan-bangunan hospital sentiasa mengalami pertambahan dan begitu juga bilangan hospital baru yang dibina sama ada milik kerajaan atau milik persendirian. Kadar pertambahan hospital dan juga pertambahan bilangan pesakit kini di dapati melebih kadar pertumbuhan bilangan penduduk. Adakah ini perkara yang dijanjikan dalam suatu kehidupan yang mengejar kemajuan? Sesiapapun tidak dapat menafikan penyakit yang selalunya menjangkiti golongan kaya kini telah mula dihidapi oleh golongan pertengahan dan golongan miskin dan secara puratanya seseorang itu akan menderita ditimpa penyakit menjelang usianya 50 tahun. Permasalahan hidup seperti ini seringkali cuba ditutup daripada dijadikan indeks ukuran kemajuan sesebuah masyarakat.

Penyakit-penyakit masyarakat seperti aktiviti penagihan dan juga jenayah yang dikatakan berkurangan - akibat usaha giat aktiviti pencegahan sebagaimana yang dilakukan oleh pihak berkuasa dan juga kerja-kerja rondaan sukarela sebahagian ahli masyarakat - tidak harus dijadikan faktor pemberat dalam menentukan penurunan indeks kadar jenayah. Sekiranya faktor asas yang lain tidak diambil kira, akan sampai suatu masa nanti, aktiviti jenayah akan meloncat naik apabila peruntukan keamanan negara terjejas disebabkan oleh faktor-faktor tertentu. Sebenarnya aktiviti jenayah dan juga penjenayah, dijadikan alasan oleh pihak berkuasa untuk melaksanakan polisi kesetiaan berdasarkan rasa takut supaya dengan perasaan takut, mereka akan terus menyetujui apajua polisi pemerintahan yang diusahakan oleh pemerintah. Kaedah seperti ini akhirnya akan menggugat pemerintahan itu sendiri. 





Thursday, May 21, 2015

SURAH ALI IMRAN AYAT 14 -- PENYEBAB PEPERANGAN : FAKTOR KEHENDAK MANUSIA


Dihias bagi manusia itu kecintaan kehendak daripada wanita-wanita dan anak-anak lelaki dan berpikul-pikul daripada emas dan perak dan kuda-kuda tungangan berjenama dan ternakan-ternakan dan ladang. Yang demikian itu kesenangan kehidupan dunia dan Allah di sisiNya sebaik-baik tempat kembali.

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda Yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda Yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan Yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali Yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

Keadaan masyarakat di China dan negara-negara asing lain yang telah mengalami cengkaman ekonomi selama ini, kini mula menunjukkan tanda-tanda penguasaan ekonomi mereka semula. Keadaan ini telah memberi mereka peluang untuk merebut peluang keemasan disebabkan oleh defisit yang dialami oleh negara Amerika Syarikat. Faktor ini terjadi adalah atas perkara yang tidak dapat dielakkan oleh sikap manusia sendiri yang mengejar status dan kemewahan. Negara-negara industri baru telah menerima pelaburan yang sangat banyak terhadap perindustrian kenderaan berjenama. Mereka juga menghasilkan baja-baja pertanian untuk tujuan projek pertanian, ternakan dan juga industri makanan. Kemewahan yang mereka perolehi pada waktu itu membolehkan mereka memanipulasi matawang Amerika Syarikat sehingga ke peringkat menyimpan wang tersebut lebih banyak daripada apa yang dimiliki oleh pentadbiran dan rakyat Amerika Syarikat sendiri. 

i.    Kesan Ketidakseimbangan Ekonomi 
      Di Negara-negara Lain

Kerancakan ekonomi kedua-dua negara Chindia, membolehkan hasil pertanian negara ini dapat dipasarkan pada harga yang memuaskan rakyat Malaysia sendiri. Dengan sistem ekonomi kapitalis yang diimport masuk ke negara China, pembangunan tidak seimbang juga telah berlaku apabila keberadaan rakyat mereka turut mengalami keperitan hidup dan pemerintah mereka memerah keringat rakyat sejak daripada awal pemerintahan komunis lagi. Sekalipun bangunan-bangunan baru telah banyak dibangunkan dan gedung-gedung perniagaan didirikan, semuanya terpaksa dibayar pada harga yang tinggi oleh rakyat negara terbabit. Pemaju-pemaju perumahan mereka membangunkan rumah-rumah mewah untuk rakyat yang dijual melalui sistem riba yang terpaksa dibayar dalam tempoh mencecah 70~80 tahun. Ini bermakna seseorang yang ingin memiliki rumah berkenaan terpaksa meninggalkan beban hingga beberapa generasi akan datang. Ketidak seimbangan sosial turut berlaku sehingga kepada aktiviti pemerdagangan manusia melalui aktiviti penyeludupan hingga kepada pelacuran. Kebanjiran pelacur-pelacur warga China ke negara ini bukan lagi merupakan perkara asing, disebabkan keperluan mendapatkan wang semata-mata untuk hidup.
 
Permasalahan sosial sedemikian sudah tentu merupakan suatu azab kepada semua mangsa ekonomi yang terlibat. Sekiranya permasalahan sosial ini dibiarkan, kebiasaan memilih hidup dalam maksiat akan mengakibatkan bukan sahaja mereka menganayai diri-diri mereka sendiri bahkan mereka akan menganayai pihak-pihak lain. Bibit permasalahan sosial sedemikian akan mengakibatkan kehidupan yang porak sebagaimana yang terjadi kepada rakyat Mexico dan Columbia, apabila penjenayah dan kumpulan samseng lebih menimbulkan ancaman kepada rakyat berbanding usaha-usaha keamanan yang diusahakan oleh pihak berkuasa.

ii.    Kerana Menuruti Hawa Nafsu, 
       Golongan Kapitalis Sanggup 
       Memulai Peperangan.

Apakah niat sampingan Amerika Syarikat memerangi Afghanistan? Selain daripada bertujuan mencemar nama Islam di mata rakyatnya, mereka memiliki niat lain iaitu mendapatkan bekalan minyak mentah dari Asia Tengah kiranya mereka memenangi peperangan terhadap 'pengganas' di Afghanistan. 

Namun menerusi kajian-kajian terkini oleh saintis mereka dalam bidang petroleum dan gas, mereka telah menemui kaedah terbaru dalam mendapatkan bekalan petroleum melalui perbelanjaan yang lebih menjimatkan. Iaitu pembangunan telaga minyak syil yang dapat memancarkan minyak bumi pada kadar yang lebih cepat serta menjimatkan. Penjanaan minyak syil di Amerika Syarikat diikuti dengan minyak pepasir di Kanada, telah mengakibatkan kejatuhan harga minyak dunia daripada sekitar USD100 kepada USD50 per barrel. 

Bermulalah peperangan harga antara negara-negara blok Barat dengan negara-negara OPEC yang menyaksikan bekalan minyak mentah murah terus membanjiri pasaran dunia. Arab Saudi selaku 'ketua' negara-negara OPEC mengugut negara-negara ahli untuk tidak mengurangkan kadar pengeluaran minyak mereka. Ia berusaha mengenakan penalti yang besar kepada blok Barat sehingga mengakibatkan harga pasaran minyak dunia terus jatuh di bawah paras USD50. Kegilaan kapitalis Arab Saudi yang semakin hampir kehilangan kuasa pasaran minyak, telah mendorong kepada peperangan baru yang sengaja diwujudkan, untuk menimbulkan rasa takut kepada pedagang-pedagang minyak antarabangsa supaya harga komoditi itu meningkat naik. Arab Saudi telah mula mengambil tindakan ketenteraan ke atas Yaman, hanya semata-mata kerana masalah dalaman negara itu. Ia telah membekalkan senjata kepada bekas presiden Yaman yang digulingkan untuk membantu pemberontak Houthi melawan kerajaan baru yang memerintah. Apabila pemberontah Houthi hampir menguasai ibu negara Yaman, pemimpin mereka tiada pilihan melainkan memohon negara-negara jiran mereka termasuk Arab Saudi untuk membantunya. 

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Arab Saudi terus bertindak menyerang Yaman tanpa memerlukan sebarang resolusi atau mandat PBB dan ia turut mengheret negara-negara lain untuk terlibat sama ke kancah peperangan. Bagaimanakah kesudahannya? Tentunya Amerika Syarikat juga tidak bersedia untuk menghadapi kejatuhan harga minyak yang terlalu rendah dalam tempoh yang lama. Keadaan ini memberi peluang untuknya untuk meringankan sekatan senjata kepada Iran, supaya Iran dapat menyalurkan senjata kepada pemberontak Houthi di Yaman agar api peperangan akan terus merebak.





Friday, May 15, 2015

SURAH ALI IMRAN AYAT 13 -- PERANG PENENTUAN KEPADA PERUBAHAN

Sesungguhnya telah adalah ia bagi kamu suatu ayat pada dua pasukan, dua yang bertemu, satu pasukan ia berperang pada jalan Allah dan lainnya yang ingkar, mereka melihat akan mereka dua kali berbanding mereka, penglihatan mata. Dan Allah ia menguatkan dengan pertolonganNya barangsiapa yang ia kehendaki. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar pengajaran bagi yang memiliki pendapat.

Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan Yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan ugama Allah), dan Yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam Dengan pandangan mata biasa - dua kali ramainya berbanding Dengan mereka sendiri. dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa Yang dikehendakiNya, Dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran Yang memberi insaf bagi orang-orang Yang berfikiran (yang celik mata hatinya).

i.    Perang Masa Kini

Sesiapapun tidak menyangka bahawa, Amerika Syarikat yang memiliki jumlah tentera yang ramai sekitar 140,000 orang masih ditempatkan di Afghanistan setelah berlalu tempoh 11 tahun (2001 – 2012). Masih belum juga mereka memenangi peperangan terhadap 'pengganas'. Mereka memiliki kelengkapan peperangan yang jauh lebih besar daripada 'pengganas' yang mereka perangi. Dengan hutang negara mereka mencapai jumlah sekitar USD 14000,000,000,000 akibat sistem ekonomi kapitalis, kini mereka telah mengeluarkan belanja peperangan melebihi USD 1400,000,000,000. Jumlah ini sekiranya dapat ditukarkan dalam bentuk ringgit, wang RM 100 setebal 6 inci dapat disusun secara melintang di atas lebuhraya dari Johor Bahru hingga ke Perlis. Tempoh peperangan yang terlalu lama telah mengakibatkan mereka terpaksa mengeluarkan biaya yang besar dan penulis yakin, mereka akan berakhir dengan kerugian.

Dengan sistem ekonomi kapitalis, mereka memerangkap rakyat mereka ke lembah perhambaan hutang. Mereka mengambil kesempatan ini dengan me'maksa' sebahagian rakyat mereka menganggoti pasukan bersenjata. Mereka yang berperang untuk menghadapi 'pengganas' sebenarnya lebih memilih kehidupan dunia untuk memperolehi gaji yang mereka perlukan, demi membayar hutang mereka. Sedangkan musuh 'pengganas' mereka, memilih 'kematian' dan mengharapkan balasan syuhada serta rahmat daripada Tuhan. Adakah mereka dapat mengatasi musuh mereka ini?

Sebenarnya mereka lebih suka memilih untuk bertahan daripada melakukan serangan aktif. Akhirnya kita dapat menyaksikan seorang demi seorang daripada mereka mati menemui ajal sama ada akibat serangan mengejut, pukul dan lari atau melalui serangan berani mati. Suatu bentuk serangan yang dapat mengakibatkan trauma berpanjangan.

ii.    Strategi Peperangan Yang 
       Menghabiskan Perbelanjaan

Untuk memenangi peperangan dengan negara musuh yang serba canggih darihal kelengkapan peperangan, strategi perang secara berhadapan tidak lagi boleh diguna pakai. Strategi yang terbaik adalah dengan melakukan serang hendap pukul dan lari. Cara ini mungkin dikatakan sebagai serangan penakut tetapi adalah lebih baik dikatakan sebagai 'penakut' asalkan kesudahannya adalah kemenangan. Bagi mereka yang merelakan diri, serangan berani mati secara mengejut wajar dilakukan supaya gabungan serangan sedemikian akan mengakibatkan tentera musuh mengalami trauma yang dahsyat.

Kekerapan serangan akan mengakibatkan musuh menyangka mereka sedang berhadapan dengan lawan pada bilangan yang sangat ramai. Mereka tiada pilihan melainkan memohon bantuan tentera tambahan dari negara mereka dan apabila jumlah itu telah ditambah, strategi serangan perlu diubah kepada serangan terhad dengan jumlah serangan dikurangkan. Serangan harus ditujukan kepada kemudahan strategik musuh supaya musuh akan meningkatkan lagi perbelanjaan peperangan. Dengan menanggung anggota tentera yang ramai serta bekalan strategik yang banyak, akhirnya jumlah yang perlu mereka belanjakan dalam peperangan akan terus meningkat. Peperangan seperti ini tentunya mengakibatkan negara mereka bangkrap pada akhirnya. Kadar perbelanjaan ketenteraan Amerika Syarikat kini adalah sekitar USD 4000 pada setiap saat dan kadar itu sentiasa meningkat apabila negara mereka mengalami defisit. Wang kertas yang mereka cetak setiap hari dan pelaburan baru yang mereka buat tidak lagi bermakna apabila pengguna wang USD adalah rakyat China, telah mula membanjiri bandar-bandar besar di pantai barat Amerika Syarikat, memborong banyak bangunan perniagaan.


Sistem kapitalis adalah ibarat bom jangka 
yang akan memusnahkan diri sendiri 

Friday, May 8, 2015

SURAH ALI IMRAN AYAT 12 -- CORAK PEMERINTAHAN YANG AKAN RUNTUH

 
Katakanlah olehmu terhadap golongan yang telah ingkar mereka, kelak kamu akan dikalahkan dan kamu akan dihimpunkan ke Jahanam, (demikian itulah) seburuk-buruk tempat kediaman.

Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: "Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke Dalam neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat Yang disediakan".

i.    Sistem Yang Akan Tewas

Salah satu keajaiban dunia masakini adalah apabila seseorang dikenakan bayaran lebih daripada setiap pinjaman yang dilakukan. Seseorang yang meminjam wang daripada institusi kewangan perlu membayar lebih, sekitar 5% daripada baki pinjaman dalam masa setahun. Penglibatan seorang sudah tentu tidak menimbulkan kesan ketara kepada ekonomi sesebuah negara. Bagaimana pula melalui sistem yang diwujudkan, hampir setiap rakyat yang bekerja telah terpaksa melakukan pinjaman terhadap hartanah dan kenderaan keperluan yang perlu dimiliki. Setelah berlalu tempoh masa yang panjang, di manakah lebihan wang harus diperolehi oleh hampir semua rakyat yang bekerja untuk membayar kembali pinjaman mereka? Secara umumnya mereka terpaksa aktif bekerja demi memperolehi wang yang harus dikeluarkan untuk membayar hutang. Oleh kerana pulangan riba merupakan suatu yang menguntungkan institusi kewangan, semakin banyak institusi kewangan diwujudkan semata-mata untuk mendapatkan keuntungan berpanjangan daripada sistem perniagaan berasaskan riba yang mereka laksanakan. Akhirnya institusi kewangan menjadi pihak yang meraih wang yang beredar dalam negara dan umat mengalami kesempitan hidup disebabkan edaran wang menjadi semakin terhad. Kesengsaraan rakyat menjadi titik tolak kepada keruntuhan sistem sedemikian sehingga akan mengubah senario politik sesebuah negara.

ii.    Sistem Perhambaan Yang Menindas

Sistem komunis yang mengongkong akhirnya terbukti tewas apabila kebanyakan daripada perbelanjaan telah disalurkan untuk tujuan persenjataan dan peperangan. Melalui idea baru perestroika yang diperkenalkan oleh Mikail Gorbachev dan penerimaan negara China dan India ke pasaran dunia melalui WTO, negara-negara tersebut mulai menerjah ke pasaran bebas dunia. Oleh kerana perkembangan pasaran hartanah dan kredit di negara-negara kapitalis telah menuju kepada kehancuran, kepimpinan mereka tiada pilihan melainkan membenarkan pemilik-pemilik syarikat korporat untuk membuat pelaburan di negara-negara pasaran baru seperti China, India dan Myanmar untuk mendapatkan tenaga kerja dengan upah murah. Tujuannya adalah untuk menghadapi pasaran bebas yang lebih kompetitif. Tindakan ini mengakibatkan pengaliran modal pasaran dari negara asal ke negara-negara membangun yang baru. Kesempitan hidup mula dirasai oleh rakyat negara maju apabila kitaran wang dalam negara mereka terjejas teruk bahkan sehingga mengakibatkan mereka berada dalam keadaan berhutang berpanjangan. Tren baru yang dihadapi oleh penduduk negara maju berlaku apabila mereka terpaksa berbaris panjang mendapatkan makanan yang dicatu dan mereka mendiami rumah-rumah khemah seolah-olah kediaman mereka adalah bandaraya khemah. Tanggungan hutang menjadikan mereka hamba kepada sistem kapitalis dan pemilik-pemilik modal besar dapat mempergunakan mereka melalui hutang yang mereka tanggung. Mereka menjadi hamba kepada suasana, menjadi banduan dalam penjara yang tiada jerigi besi dan menjadi orang suruhan kepada tuan yang tidak mereka ketahui.

iii.    Penjajahan Dan Perenggutan Maruah

Sebenarnya kita tidak perlu menunggu suatu kekuasaan baru dunia Islam yang akan muncul. Sistem kapitalis itu sendiri akhirnya mengarah negara mereka ke puncak kegagalan. Keruntuhan berlaku apabila wujud penjajah-penjajah baru yang datang dari luar yang menguasai segala hartanah dan perniagaan yang mereka miliki sebelumnya. Lebih banyak hartanah akan terjual ke pihak asing apabila semakin ramai rakyat memerlukan kecairan untuk kemandirian mereka sendiri. Semakin banyak perniagaan baru yang melibatkan maruah manusia muncul. Kemanusiaan semakin tidak bererti. Atas kesedaran ini akan wujud seruan-seruan baru yang mengajak manusia kepada kehidupan yang lebih bermaruah. Seruan itu adalah kepada sistem hidup Islam sebagaimana yang pernah ditunjukkan dahulu oleh junjungan besar Muhammad RasululLah S.A.W dan diikuti oleh Khulafa Ar-Rashidin Al-Mahdiyin.

iv.    Peperangan Yang Tidak Dapat 
        Dielakkan

Lebih ramai umat dari negara-negara kapitalis akan menerima Islam kerana mereka dapat melihat bahawa keselamatan terdapat dalam agama ini. Untuk mengelakkan lebih ramai rakyat negara-negara berkenaan menganut Islam, kepimpinan mereka tiada pilihan melainkan menjalankan kempen untuk menghancurkan Islam. Mereka mula meniup seruan keganasan serta memulai peperangan ke atas ‘pengganas’. Adakah mereka akan berjaya? Asas mereka telahpun reput.

Mereka semakin hilang pengaruh atas
sebab sistem kapitalis yang mereka amalkan.



Friday, May 1, 2015

SURAH ALI IMRAN AYAT 11 -- SEPERTI ADAB KELUARGA FIR'AUN



Seperti adab keluarga Fir'aun dan orang-orang yang daripada sebelum mereka, telah mendustai mereka terhadap ayat-ayat Kami lalu telah mengambil Ia akan mereka oleh Allah terhadap dosa-dosa mereka dan Allah bersangatan siksa.

(Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang Yang terdahulu dari mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksaNya.

i.    Peradaban Yang Dituruti Sepanjang 
      Zaman

Fir'aun mengagungkan kebendaan, binaan-binaan Fir'aun seperti bangunan piramid merupakan bangunan yang tidak lagi dimanfaatkan kegunaannya masakini melainkan sekadar muzium yang dipertontonkan. Seperti itulah pemerintahan masakini yang mengutamakan pembinaan-pembinaan yang kemudiannya ditinggalkan tidak dimanfaatkan melainkan sekadar untuk kediaman burung-burung dan haiwan-haiwan liar yang lain. Sistem pemerintahan Fir'aun berdasarkan hirarki masyarakat, telah dicontohi oleh umat masakini yang mengagungkan hirarki sehingga wujudnya golongan bangsawan, golongan pertengahan dan golongan bawahan. Dasar pecah belah dan perintah berlaku dengan cara menakut-nakutkan golongan pertengahan terhadap jenayah golongan bawahan.

Kita dimomokkan dengan perbezaan sesama kita, 
hakikatnya kita telah dipisahkan menurut kasta ekonomi, 
supaya golongan atasan dapat bawa lari harta kita.

ii.   Fir'aun Dengan Sistem Hirarki

Perutusan Nabi Muhammad S.A.W. kepada umat zaman ini yang berada di bawah pemerintahan-pemerintahan kerajaan, adalah seumpama perutusan Nabi Musa A.S. kepada bani Israel yang berada di bawah kekuasaan Fir'aun, suatu masa dahulu (73:15). Hirarki dalam penguasaan sesebuah negara pada masa ini adalah mencontohi hirarki pemerintahan Fir'aun. Umat telah dibahagikan kepada beberapa pemerintahan berkasta melalui kasta pengagihan ekonomi. Sekiranya dahulu, umat dikuasai melalui sistem perhambaan, kini umat juga dikuasai melalui manipulasi ekonomi kapitalis berasaskan kuasa perniagaan yang disulami dengan riba dan pajakan. Tiada bezanya kesan penguasaan sedemikian apabila umat telah dibahagi-bahagikan kepada beberapa tahap kedudukan dan umat menjadi terpecah atas dasar perbezaan itu. Sekiranya dahulu Fir'aun memiliki kekuatan sumber air dengan memegang kekunci air sungai Nil, pemerintahan kini menguasai sumber aliran wang seperti sistem perbankan dan juga sistem pengagihan barang-barang keperluan. Kesan pemerintahan seperti ini membawa akibat pembangunan pesat negara apabila banyak bangunan-bangunan besar serta pencakar langit telah didirikan. Selain daripada pembangunan-pembangunan penempatan dan juga perniagaan, pembangunan dan projek pertanian tanpa kawalan telah meninggalkan kesan yang besar terhadap kestabilan alam sekitar. Beberapa bencana juga telah berlaku menimpa umat seperti tanah runtuh dan juga ribut yang merosakkan akibat daripada perlepasan bahan-bahan kimia tertentu untuk tujuan pertanian. Perlepasan haba berlebihan ke atmosfera mengakibatkan bumi kediaman manusia kini semakin panas dan bencana kebakaran sering terjadi, menjelang musim panas. Sebenarnya kegilaan ini dapat dihentikan melalui praktik yang diperolehi daripada wahyu Tuhan.

iii.  Fir'aun - Suatu Perwarisan Pemerintahan

Sistem Pemerintahan Fir'aun - Wujud Sehingga Kini



Saturday, April 25, 2015

SURAH ALI IMRAN AYAT 10 -- MEMAHAMI TINDAKAN MENGINGKARI ISLAM

Sesungguhnya orang-orang yang telah ingkar mereka, sekali-kali tidak ia berguna daripada mereka oleh harta-harta mereka dan tidak juga oleh anak-anak mereka daripada Allah sedikitpun dan mereka itu, mereka itulah bahan bakar neraka.

sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.


Setiap Usaha Golongan Yang Ingkar 
Tiada Gunanya Di Sisi Tuhan

i.    Mereka Melakukan Kerja 
      Yang Merosakkan

Apakah yang tidak dilakukan oleh golongan ingkar dalam kehidupan mereka di dunia ini? Mereka makan apa sahaja yang boleh dimakan baik yang di udara, dalam air, atas daratan dan juga yang menyelusur dalam tanah. Mereka usahakan apa sahaja daripada perjalanan di atas daratan, lautan, udarakasa hingga pengembaraan ke angkasa lepas. Mereka membina apa sahaja daripada bangunan-bangunan kediaman, pendidikan, perniagaan dan juga pusat-pusat rekreasi. 

Namun apakah yang dapat kita lihat kesudahan usaha-usaha mereka sedemikian? Permukaan bumi yang semakin dicemari, kawasan-kawasan simpanan yang sentiasa ditebus guna, udarakasa yang semakin hari semakin tercemar. Lautan yang sentiasa diracuni dan tanah-tanah yang rebah. Haiwan-haiwan hutan yang liar menerjah masuk ke kawasan kediaman manusia mendapatkan makanan dan ikan-ikan terdampar sana dan sini. Udarakasa yang sentiasa memerangkap haba menjadikan permukaan bumi yang semakin hari semakin panas.

ii.   Mengumpulkan Harta Yang Tak Berguna

Mereka mengusahakan harta melalui sistem hidup yang mereka sendiri rekacipta, melalui sistem kapitalisme yang menindas. Bilangan harta yang sentiasa meningkat tidak membebaskan mereka daripada bebanan hutang. Mereka bekerja setiap hari dari pagi hinga ke petang, semata-mata untuk memperolehi pendapatan yang diperlukan untuk membayar hutang. Kesudahannya, kebanyakan daripada harta itu ditinggalkan tidak dimanfaatkan. Kerana usaha mereka sedemikian, mereka turut membawa kepada kerosakan alam yang akhirnya membawa permasalahan kepada kehidupan mereka sendiri.

iii.    Anak-anak Yang Hanya Membawa 
        Bebanan Kepada Diri Mereka Sendiri.

Kesibukan mendapatkan suatu kehidupan mengakibatkan kedua-dua ibubapa lebih memberi tumpuan kepada usaha mencari harta dan mengurangkan masa mereka memberi asuhan kepada anak-anak. Kebiasaan anak-anak bergaul dengan rakan-rakan mereka yang lain, menjadikan mereka lebih menyenangi untuk bergaul dengan rakan-rakan berbanding dengan ahli keluarga sendiri. Kebiasaan seperti ini sedikit sebanyak telah menyumbangkan kepada permasalahan sosial sehingga remaja-remaja kini telah membentuk perkumpulan mereka sendiri yang liar dan sukar untuk dibentuk. Mereka lebih menyenangi permainan dan gurauan berbanding persediaan memikul tanggungjawab.

iv.    Menjangkakan Perkara Yang 
        Bakal Berlaku

Dalam Surah Al-Haqqah Ayat 69:50, di bawah tajuk "Al-Quran Menjadi Kekesalan Kepada Golongan Yang Ingkar", penulis ada menyatakan ramalan tentang perkara yang bakal berlaku yang melanda seluruh dunia iaitu tentang keruntuhan ekonomi yang teruk. Meskipun umat manusia telah melepasi fasa kenaikan harga bahan bakar petroleum yang tinggi, kini harga komoditi berkenaan telah jatuh ke tahap rendah dan pernah mencecah harga di bawah USD 50 per tong. Namun yang berlaku adalah, rakyat di mana-mana jua negara masih terpaksa menghadapi harga makanan yang tinggi dan harga hartanah terus meningkat pada kedudukan yang tak masuk akal. Semua ini didorong oleh sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba dan pajakan dan perkara ini telah diperjelaskan menerusi Surah Al-Ma'arij ayat 70:21.

Akhirnya kita akan menghadapi perkara yang serupa ke atas golongan ingkar, iaitu kemerosotan ekonomi yang teruk sebagaimana yang pernah berlaku sebanyak dua kali sebelum ini yang menjurus kepada Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Kita sebenarnya masih mempunyai alasan untuk tidak menyalahkan diri kita sendiri memandangkan kejadian sebelum ini terjadi semasa zaman penjajahan, yang kita telah dipaksakan untuk menuruti sistem mereka. Namun kini apakah alasan yang dapat kita kemukakan apabila kita dalam keadaan redha, telah berterusan menuruti sistem mereka sedangkan kita sudah sedia maklum akan akibatnya?

Perkara yang ingin penulis tekankan adalah tentang perlakuan kita selama ini yang berterus-terusan menuruti cara mereka  dalam segenap perkara kehidupan. Akibatnya, semua perkara itu telah menjadikan diri kita adalah mereka. Mereka puak demokratik kapitalis dan kita juga pengamal demokratik kapitalis. Mereka golongan yang mengingkari Al-Qur'an, maka seperti itulah yang berlaku ke atas diri kita semua, memilih untuk menjadi mereka! Lalu, apakah perkara yang tidak berlaku ke atas mereka yang tidak berlaku ke atas kita?

Tidakkah kita menuruti mereka dalam banyak hal?

Daripada corak berpolitik yang menuruti ciri-ciri pecah belah dan perintah, corak ekonomi berdasarkan hirarki, corak pendidikan yang semakin mengarut sehinggalah kepada urusan penguasaan kerohanian umat melalui agama yang direkacipta, kini corak kehidupan kita telah mula menuruti corak atau peradaban zaman Fir'aun.

Ke manakah hala tuju pendidikan negara kiranya
ramai golongan profesional juga hidup melarat?



Sunday, April 19, 2015

ERTI MENGANUT ISLAM DAN AKIBAT MENINGGALKAN AMALANNYA




i.    Kiranya Pengamalan Islam Diingkari

Islam adalah amalan. Meninggalkan amalan yang dianjurkan dalam Al-Qur'an bererti mengingkari Al-Quran. Melaksanakan amalan Islam tetapi pada masa yang sama mengingkari Al-Qur'an, sama ertinya mengambil Islam sebagai budaya dan melaksanakan amalan-amalan Islam sebagai ritual. Inilah yang berlaku dalam kehidupan sebahagian besar daripada kita hari ini.

Perkataan seperti ini tentunya kurang enak didengar namun perkara inilah yang setiap hari kita hadapi. Sekiranya hasil keputusan yang kita hadapi dalam kehidupan ini menyerupai keputusan yang diperolehi oleh golongan ingkar, jadi di manakah ukuran kebenaran Islam yang kita anuti selama ini? Golongan ingkar merosakkan alam atau memberi sumbangan dalam merosakkan alam dan kita dapati, kita juga memberi sumbangan dalam merosakkan alam. Golongan ingkar didapati melahirkan banyak anak-anak luar nikah dan kita juga melakukan perkara yang serupa. Pelopor-pelopor dari agama-agama lain didapati banyak menyonglap harta manusia dan begitu juga pelopor-pelopor agama kita didapati turut menyonglap harta manusia melalui kutipan zakat dan perwarisan harta melalui badan-badan yang dinamai dengan panggilan amanah.

ii.    Penyakit Sosial Yang Kian Melarat

Kemabukan kapitalis yang melanda negara-negara Barat akhirnya dirasai juga oleh rakyat negara ini. Mereka menjalani hidup nafsi-nafsi dan tak ambil peduli terhadap permasalahan sosial yang melanda umat setiap hari. Masing-masing berlumba-lumba mengejar kehidupan, seolah-olah peluang untuk meraih apa sahaja hanya datang sekali. Dalam menghadapi keadaan yang sungguh kritikal seperti ini, suatu tindakan mengejut harus dilakukan. Tindakan yang dicadangkan adalah tinggalkan kehidupan yang seperti itu dan berkumpul bersama-sama menghadapi kehidupan serba ringkas yang dapat memberi sumbangan terhadap kerja-kerja pemulihan. Seterusnya menduplikasi pengamalan sedemikian sehingga tiada lagi penindasan dan umat dapat mengharungi kehidupan yang penuh harmoni.

iii.   Persiapan Yang Wajar Dihadapi

Ayat-ayat selanjutnya akan menjelaskan perkara-perkara kehidupan yang sedang dan bakal manusia hadapi. Perkara yang serupa yang berlaku di negara-negara Barat yang lambat laun akan berlaku ke atas umat Islam di negara ini. Sebenarnya kita tidak perlu menunggu-nunggu peristiwa Al-Haqqah dan peristiwa Al-Ma'arij, cukup buat masa ini untuk kita membuat persiapan bagi menghadapi pergolakan sosial yang akan terjadi dalam sedikit masa lagi.




Monday, April 13, 2015

ISI KANDUNGAN

TENTANG TEMPAT KENAIKAN

Perkara Kenaikan

       i.    Persediaan Terhadap Bencana
             Yang Bakal Terjadi

       ii.   Gas-gas Pencemaran Yang Sedang
             Meningkat Naik

70:01    Manusia Tertanya-tanya Tentang Suasana 
            Azab Atau Suatu Kejatuhan

       i.    Pengertian Waqi'

      ii.    Sesuatu Yang Menimbulkan Paranoia

70:02    Tiada Jalan Undur Bagi Golongan Ingkar

       i.    Terjemahan bagi دافع

      ii.    Azab Yang Menimpa Secara Khusus

     iii.    Usaha Apakah Yang Dapat Membantu?

70:03    Di Sisi Allah Tempat-tempat Kenaikan

            Pengalaman Menempuh Kematian

70:04    Tempat Naik Turun Malaikat dan Ruh

       i.    Tangga Kenaikan Yang Bukannya
             Karbon Nanotiub

Yang Kadarnya Sehari Adalah 50,000 Tahun

      ii.    Perkadaran Yang Amat Panjang

     iii.    Persoalan Tentang Masa

Perjuangan Yang Memerlukan Kesabaran

70:05     Maka Bersabarlah

       i.    Perjuangan Yang Memakan Masa
             Yang Panjang

      ii.    Tuhan Tidak Memerlukan Tempat

70:06    Mereka Merasakannya Jauh

       i.    Mereka Menganggap Bumi ini Kebal

      ii.    Pembangunan Tanpa Kawalan
             Terus Sahaja Berlaku

70:07    Tuhan Memandangnya Dekat

       i.    Alam Telah Mula Menunjukkan
             Kekalutan

      ii.    Apakah Perkara ini Yang
             Mereka Mahu Lakukan?

     iii.    Kesan Demokrasi dan Kapitalisme

     iv.    Mereka Membantah Tanpa Kewajaran

      v.    Kesan yang Dapat Dilihat Kini

Bentuk Azab Yang Akan Berlaku

70:08     Kebocoran Lapisan Ozon Yang 
             Mendatangkan Azab

       i.    Sinar Lampau Lembayung

      ii.    Akibat Kegelojohan Bekerja

     iii.    Gas-gas Yang Dikenalpasti

70:09    Gunung Seperti Ayam Dengan 
            Bulu Mengerbang

       i.    Kesan Pengionan Sinar
             Lampau Lembayung

      ii.    Tindakan Pengionan Yang Kuat

70:10    Mereka Tiada Kesempatan
            Untuk Saling Bertanya

70:11    Mereka Hanya Mampu Saling
            Memandang Sesama Mereka

       i.    Bukan Seperti Peristiwa Tsunami

      ii.    Mereka Sangup Menebus Diri Mereka
             Dengan Semua Yang Lain.

70:12    Sanggup Mengorbankan Ahli Keluarga
            Terdekat

       i.    Hilangnya Nilai-nilai Kemanusiaan

      ii.    Mereka Yang Sebenarnya
             Menjemput Azab Sedemikian

70:13    Dan Juga Kepada Pekerja-Pekerja 
            Penyelamat

       i.    Pusat-pusat Perlindungan (Shelter)
             Yang Terhad

      ii.    Azab Yang Lain Macam

70:14    Dan Juga Seluruh Manusia Di Bumi –
            Mau Sahaja Dikorbankan

      i.    Baru Mereka Tahu Erti
            Mementingkan Diri Sendiri

     ii.    Kaedah Menyusur Ke Silam

70:15    Azab Yang Membakar

      i.    Kepelbagaian Bentuk Terjemahan

     ii.    Akibat Kerosakan Lapisan Ozon

70:16    Yang Mengelupaskan Kulit

      i.    Seperti Kesan Kimpalan Arka

     ii.    Mereka Tidak Berani Keluar Rumah


70:17     Untuk Mereka Yang Tertinggal 
             dan Berpaling

70:18    Mereka Masih Tamak Akan
            Pemilikan Mereka

      i.    Ketamakan dan Rakus yang
            Membawa Akibat

     ii.    Kepelbagaian Bentuk Terjemahan

    iii.    Penyampaian Ayat Secara Deduktif

Kejadian Yang Direncanakan

Pengajaran Himpunan Awal 
Surah Al-Ma'arij

Faktor-faktor Yang Membawa
Kepada Kerosakan Alam, Kehidupan
Serta Kediaman Manusia

70:19    Sifat Manusia Yang Diciptakan 
            Berkeluh Kesah

       i.    Sifat Keluh Kesah Yang Menjadi
             Asas Pemerintahan

      ii.    Sistem Ekonomi Berasaskan Riba
             Yang Menggoda

     iii.    Keluar Pagi, Pulang Petang,
             Dapat Gaji Bayar Hutang

     iv.    Nota Janji Bohong Bukan Wang

70:20    Gelisah Apabila Ditimpa Keburukan

       i.    Ekonomi Gawat Yang Mencemari Alam

      ii.    Memenuhi Kehendak Yang Merosakkan

70:21    Tertegah Apabila Ditimpa Kebaikan

       i.    Ekonomi Pulih Yang Lebih Merosakkan

      ii.   Istilah Yang Geli Untuk Didengari

    iii.    Permainan Kartel Institusi Kewangan

Memperbetul Sikap Manusia Dalam
Berpenghidupan Di Mukabumi Ini

70:22    Kecuali Mereka Yang Melakukan 
            Kesinambungan Solah

       i.    Menyedari Perangkap Kehidupan

      ii.    Solah Yang Berkesinambungan

70:23.    Siapakah Dia Orang Yang Bersolah?

Pertama : Orang Yang Solah Tak Putus

       i.    Solah Ada Hubungan Dengan Perkara Dunia

      ii.    Wau – ' و' Yang Tidak Memutuskan Ayat

70:24    Kedua : Orang Yang Pada Harta Mereka 
            Terdapat Bahagian-bahagian Tertentu

       i.    Solah Ada Hubungan Dengan Harta

      ii.    Solah Ada Hubungan Dengan Kerja

     iii.    Solah Ada Hubungan Dengan Selawat 

70:25    Peruntukan Untuk Mereka Yang Meminta 
            dan Yang Tidak Meminta-minta

       i.    Golongan Yang Tidak Boleh Diabaikan

      ii.    Golongan Dhaif Perlu Dicari dan Dibantu

70:26    Ketiga : Membenarkan Hari Ad-Din

       i.    Mengakui Tuhan Memiliki Segala-galanya

      ii.    Tidak Sanggup Menyebut-nyebut Pemberian

     iii.    Tiada Bangsa Boleh Mendakwa Pelopor Segalanya

70:27    Keempat : Mereka Takut Dengan 
            Azab Tuhan

       i.    Berbeza Dengan Mereka yang
             Menyediakan Diri Berada Dalam
             Azab Tuhan

      ii.    Beza Sangatkah Kemabukan Mereka Dengan
             Kemabukan Pemabuk-pemabuk?

     iii.    Usaha Golongan Bersolat Menghindari
             Kehidupan Penuh Berisiko

70:28    Tiada Keamanan Dalam Sistem Azab

       i.    Akibat Wang Adalah Segala-galanya
             Dan Segala-galanya Memerlukan Wang

      ii.    Mabuk Sehingga Mencarut.

     iii.    Semuanya Untuk Keperluan Ekonomi.

     iv.    Pencemaran Dan Permasalahan Sosial

      v.    Membeli Azab Dengan Wang

     vi.    Dihidangkan Dengan Pemakanan Yang Buruk

70:29    Kelima : Mereka Yang Memelihara Lubang

       i.    Hubungan Seks, Penentu Hidup dan Mati

      ii.    Perzinaan Yang Berlaku Secara Berleluasa

70:30    Kecuali Terhadap Pasangan Sah dan
            Hamba Sahaya Yang Dimiliki

       i.    Perkara Yang Menjimatkan Perbelanjaan Negara

      ii.    Tanggungjawab Menjaga Alam Sekitar

     iii.    Perhambaan Yang Menjadi Kritikan Pihak Barat

70:31    Bahaya Menjalin Hubungan Seks Bebas

       i.    Bahaya Hubungan Haram

      ii.    Prasyarat Menikahi Wanita

     iii.    Permasalahan Sosial Yang Menjurus
             Kepada Kekalutan

     iv.    Kekalutan Dalam Generasi Seterusnya

      v.    Keturunan Luar Nikah dan Alam Persekitaran

     vi.    Tiada Undang-undang Untuk
             Menghapuskan Mereka

70:32    Keenam : Mereka Yang Memelihara 
            Amanat

       i.    Pemeliharaan Amanah

      ii.    Kepimpinan Ahlul Bait

     iii.    Amanat Yang Hilang Daripada Umat

      iv.   Harta Yang Perlu Diperluaskan

      v.    Umat Yang Menderita Akibat
             Perjanjian Yang Dirobek

70:33    Ketujuh : Mereka Yang Mendirikan
            Persyahadatan

       i.    Kesaksian Penerimaan Agama yang
             Wajib Didirikan

      ii.    Kesinambungan Solat Dua
             Dalam Kalimah Syahadah

     iii.    Keislaman Mualaf Adalah
            Lebih Kukuh

      iv.   Zaman Yang Akan Memperlihatkan
             Kenyataan Ini.

      v.    Sistem Persaksian Membentuk
             Amal Jamaah

Hanya Suatu Contoh : Keberkesanan Pekerjaan
dan Penjagaan Alam Sekitar

70:34    Kelapan : Mereka Yang Memelihara Solah

      i.    Menukar Pendirian Dalam Beragama

     ii.    Mengapa Mereka Berupaya
            Melakukan Semua Ini?

70:35    Mereka itu Dalam Kebun

      i.    Mereka Melakukan kerja Pemulihan

     ii.    Wasatiyah Yang Dianggap Sebagai
            Moderat atau Liberal

Golongan Ingkar Melingkungi dan
Mengejek Golongan Beriman

70:36    Mereka Merenung Ke Arahmu

       i.    Adakah Benar Risalah Ini? (Biar betul)

      ii.    Bencana Yang Telahpun Banyak

     iii.    Tidak Serupa Di Negara Membangun

70:37    Dari Arah Kanan dan Arah Kiri

       i.    Mereka Memandang Dari Sudut
             Pandangan Mereka

      ii.    Mereka Tidak Melihat Ke Arah
             Belakang atau Hadapan

70:38    Tidakkah Mereka Ingin Masuk
            Ke Kebun?

       i.    Mereka Sendiri Gelojoh Dalam
             Pekerjaan Mereka

      ii.    Mereka Sering Memberi
             Sumbangan Kerosakan

70:39    Tubuh Mereka Apakah Sebenarnya?

       i.    Mereka Sendiri Mengetahui
             Keperluan Tubuh Mereka

      ii.    Mereka Tidak Berminat Dengan Pemulihan,

             Mereka Hanya Mahukan Pengubahsuaian

70:40    Sesungguhnya Tuhan Maha Berkuasa
            Mengatasi Pencapaian Mereka

       i.    Pengolahan Mereka Yang Tak Menjadi

      ii.    Wajarkah Mereka?

     iii.    Adakah Mereka Sahaja Layak Hidup
             Dan Membiak?

70:41    Tempat Mereka Harus Digantikan

       i.    Kewajaran Yang Kembali Kepada Mereka

      ii.    Amalan Pemulihan Oleh Golongan Beriman

     iii.    Nasib Yang Menimpa Golongan Beriman

70:42    Biarkan Sahaja Mereka

       i.    Mereka Masih Berdegil – Biarkan Saja Mereka

      ii.    Jangan Tergesa-gesa Mengingatkan Mereka

     iii.    Mengapakah Usaha-usaha Mereka Perlu
            Dibiarkan?

70:43     Mereka Lari Meninggalkan Tempat
             Perlindungan Yang Disediakan

       i.    Kepelbagaian Bentuk Terjemahan.

      ii.    Mereka Bertebaran Tanpa Halatuju Yang Pasti

     iii.    Tayangan Video Yang Diulang-ulangkan

70:44    Baru Mereka Akui Kesalahan Mereka

Pengajaran Keseluruhan Surah Al-Ma'arij

Catatan Penulis

Tentang Kerajaan Nun, Perkara Yang Pasti Terjadi, Tempat Kenaikan 




Tuesday, April 7, 2015

TENTANG KERAJAAN NUN, PERKARA YANG PASTI TERJADI, TEMPAT KENAIKAN


Sekiranya diamati cara susun surah, penerangan-penerangan yang diusahakan terhadapnya sedikit sebanyak memberi kefahaman kepada kita bahawa agenda Tuhan tentang penciptaan bumi dan langit serta cara mana manusia harus menempuhinya adalah lebih besar berbanding agenda kerenah manusia itu sendiri. Perkara ini menjurus kepada penerangan yang tidak terlalu melibatkan isu-isu semasa yang lebih bersifat 'trending'. Penulis lebih menjurus kepada perkara yang melibatkan hampir semua manusia contohnya tentang pencemaran alam, perubahan cuaca sejagat, pencapaian teknologi, masalah kesihatan dan perkara-perkara yang dapat dikaitkan dengan ibadah sebagai suatu 'ritual'  dalam kehidupan manusia. 

Masalah politik, perbezaan mazhab yang sering membawa pertelingkahan umat, bukanlah perkara yang sering penulis sentuh. Oleh itu, meluangkan sedikit masa untuk setiap kita merenung kembali kehidupan kita, tentang diri kita, tentang setiap ahli keluarga kita, tentang ahli masyarakat dan alam kediaman kita adalah merupakan perkara-perkara yang tidak mudah kita abaikan begitu sahaja dalam menempuhi hidup ini.

Bukanlah tujuan penulis memberi tunjuk ajar kepada pembaca semua, hanya sekadar meluah pendapat atas perkara yang dapat penulis nyatakan sesuatu yang menyentuh kehidupan kita. Tidak melampau untuk penulis nyatakan, memberi penekanan terhadap 'sedikit' kepincangan dalam kehidupan kita adalah sesuatu yang harus dapat dikenalpasti dan dipelajari dan diatasi permasalahannya. Menyentuh perkara-perkara 'futuristik' yang akan berlaku baik bersifat duniawi dan ukhrawi, hanya dapat dipelajari melalui pelajaran rujukan agama. Oleh kerana tiada peralatan saintifik dapat memberi jawapan pasti terhadap perkara yang bakal terjadi, tidak dapat tidak, rujukan agama adalah alternatif yang ada. Dalam hal ini penulis telah menyulami kefahaman keadaan sedia ada melalui penerangan awal surah Al-Rahman. Semoga kesedaran akan sampai kepada setiap  kita untuk melakukan sesuatu pengorbanan agar kita tidak terkokong dengan keadaan semasa yang semakin mencengkam kehidupan kita sendiri.

Perkara tambahan yang ingin penulis jelaskan adalah melihat kepada sesuatu yang bersifat futuristik. Perkara ini tentunya sedikit sebanyak akan membawa kita untuk memahami perkara-perkara silam dan juga perkara semasa. Seterusnya perkara itu akan memberi ruang kepada kita semua untuk kita baik pulih keadaan dan persekitaran kita. Semua itu sebagai persediaan sewajarnya dalam menghadapi perkara-perkara yang bakal atau mungkin akan terjadi dalam tempoh terdekat ini. Dalam hal ini kiranya kedua-dua surah Al-Haqqah dan Al-Ma'arij dapat membawa kita kepada kefahaman dan kepada perkara-perkara yang bakal terjadi, apakah persiapan yang wajar kita laksanakan dalam menghadapi segala bentuk kejadian berkenaan?

Segala bentuk persediaan dan persiapan kefahaman sedemikian sebenarnya dapat kita perolehi kiranya kita meneruskan pembacaan kepada penerangan surah-surah selanjutnya. Terdapat satu perkara yang penulis ingin ajukan sebagai contoh persoalan kepada pembaca iaitu apakah persiapan yang dapat pembaca lakukan kiranya pembaca dikejutkan dengan berita tentang penemuan komet atau asteroid agak besar yang sedang dalam perjalanan menuju ke bumi? Apakah persiapan pembaca dalam menghadapi suasana jerebu atau debu pekat yang akan melanda bumi ketika itu? Adakah dengan persiapan pembersih udara yang menerima bekalan elektrik daripada generator dapat diguna pakai? Dapatkah generator digunakan dengan berkesan dalam persekitaran debu pekat yang terdapat pada udara persekitaran. Sekiranya enjin kenderaan kita memerlukan pembersih udara sebelum proses 'combustion' berlaku, berapa lamakah enjin kenderaan atau generator dapat bertahan sebelum debu pekat itu dapat mencelah masuk ke kebuk pembakaran enjin?

Perkara demikian perlu difikirkan dan pencapaian teknologi masa kini perlu sentiasa diatasi. Bagaimanakah caranya untuk bekalan tenaga dapat dikekalkan pada masa pencemaran udarakasa bumi berlaku begitu hebat sekali? Bagaimanakah bekalan air bersih dapat diperolehi dalam keadaan air hujan yang diperolehi begitu dicemari. Bukankah RasulululLah S.A.W. pernah berpesan akan sampai zamannya, berlaku kemarau sebenar iaitu apabila fenomena hujan masih berlaku tetapi tiada tumbuhan dapat tumbuh. Perkara ini mungkin terjadi apabila pencahayaan dari matahari telah tersekat oleh sesuatu. Dapatkah bekalan makanan yang kita simpan ketika itu, bertahan dalam tempoh yang panjang. Lalu ... apakah cadangan pembaca?

Jawapan Penyelesaian Melalui Kisah Nuh dan Bangsa Jin, Yang Diselubungi lagi Diselimuti

Pengetahuan tentang fenomena alam yang telah diketahui oleh umat silam serta pencapaian teknologi oleh bangsa jin harus diperhati untuk dipelajari oleh manusia. Perkara ini bukanlah sesuatu yang harus dijadikan bahan yang disorok daripada diketahui oleh umat manusia seluruhnya. Namun telah menjadi lumrah ramai daripada kita, apabila perkara ini dibincangkan maka akan muncul tuduhan-tuduhan dengan mengaitkan perbincangan sedemikian sebagai teori konspirasi. Mereka yang membincangkannya pula dinyatakan sebagai ahli teori konspirasi atau 'conspiracy theorist'.





Tuesday, March 31, 2015

CATATAN PENULIS



Bukan mudah bagi penulis dan pembaca untuk melakukan perubahan pendirian dalam kefahaman beragama. Penulis hanya melihat, tidak ada sebab bagi kita selaku keturunan Adam A.S. mencari sesuatu untuk menjarakkan lagi perbezaan sesama kita. Umat ini kini berada di ambang fitnah yang paling dahsyat dan kehidupan ini kini, menempuh keadaan genting dengan keadaan planet yang sungguh merbahaya didiami. Hari ini mereka yang di sana telah terkorban atau menjadi mangsa. Esok, lusa, tulat, langkat mungkin giliran kita pula, sehinggalah kita sanggup melakukan suatu perubahan.



Wednesday, March 25, 2015

PENGAJARAN KESELURUHAN SURAH AL-MA'ARIJ


Oleh kerana peristiwa ini merupakan peristiwa yang bakal terjadi, yang akan menimpa secara khusus kepada golongan ingkar, lalu apakah persiapan mereka yang beriman, dalam menghadapi peristiwa dan perkhabaran sedemikian? Penulis menyerahkan kepada pembaca sendiri untuk meneliti dan memikirkan perkara perlu agar suatu tindakan drastik dapat dilakukan. Tujuan penulisan ini bukanlah bertujuan untuk mendatangkan rasa gerun atau paranoia kepada sesiapapun jua. 

Setiap kita harus berkumpul bersama-sama dan memikirkan langkah perlu agar suatu usaha yang mungkin dipandang kecil, dapat dilaksanakan dan menimbulkan kesan yang ketara.




Thursday, March 19, 2015

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 44 -- BARU MEREKA AKUI KESALAHAN MEREKA


خاشعة ابصارهم ترهقهم ذلة
ذلك اليوم الذى كانوا يوعدون

Tunduk menekur pandangan mereka, kebongkakan mereka bergoncangan. Itulah hari yang telah dahulu mereka, mereka sentiasa dijanjikan.

sambil pandangan mereka tunduk, serta mereka diliputi kehinaan; itulah hari Yang telah dijanjikan kepada mereka.

Dalam kitab Tafsir Quran yang dicetak dalam versi Indonesia dinyatakan “Tunduk menekur pandangan mereka, kehinaan menimpa mereka. Itulah hari yang diancamkan kepada mereka”.

Kita dapat menyaksikan bagaimana kebongkakan mereka selama ini, kembali kepada mereka dalam bentuk azab. Dapatkah pusat-pusat perlindungan yang mereka sediakan selama ini dapat mengelakkan mereka daripada bencana? Kefahaman ayat seperti ini seringkali dibidas oleh golongan yang mendakwa mereka lebih mahir dalam beragama melalui pengiktirafan yang mereka perolehi dari negara-negara yang silibus pendidikan mereka telah dikawal selia oleh pihak Barat.

Lalu mereka kembali ke negara ini mengajar hal-hal yang berkaitan agama kepada manusia sedangkan kesudahan yang berlaku adalah masalah pencemaran yang sentiasa meningkat, masalah sosial manusia yang tak kunjung padam serta kerosakan-kerosakan yang berlaku terhadap umat dan tempat-tempat kediaman mereka. Agama yang menuruti mereka dan bukannya mereka menuruti agama.

Agama Apakah Kita Selama Ini?

Apakah nasib bagi umat ini yang hanya diajar cara-cara bersuci setelah berusia lebih empat puluh tahun mereka menempuh kehidupan? Mereka tidak habis-habis membincangkan air satu kolah, dua kolah dan tidak habis-habis membincangkan perkara satu marhalah, dua marhalah dan sebagainya. Sebelum datangnya azab yang dijanjikan itu, manusia telah terlebih dahulu menderita kesan-kesan daripada pencemaran yang terdapat dalam pemakanan mereka, yang di'halal'kan sendiri oleh Jabatan Agama. Tinggallah agama hanya mengurus perkara-perkara yang ada kaitan dengan kematian, perkahwinan dan maksiat. Ajaran kitab suci dianggap terlalu tinggi untuk diperbincangkan sehingga akhirnya umat menjalani kehidupan dengan kejahilan ciptaan Barat yang lebih menjurus kepada kerosakan dan kemusnahan manusia itu sendiri. Umat harus kembali kepada ajaran-ajaran Al-Quran dengan cara menyingkirkan kebongkakan golongan ingkar yang menghalang-halangi manusia daripada berfikir darihal ayat-ayat Tuhan.





Friday, March 13, 2015

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 43 -- MEREKA LARI MENINGGALKAN TEMPAT-TEMPAT PERLINDUNGAN YANG DISEDIAKAN


يوم يخرجون من الاجداث
سراعا كانهم الى نصب يوفضون


Hari yang mereka keluar daripada persembunyian-persembunyian (dalam tanah) secara bersegera, seolah-olah mereka kepada suatu yang berpanjangan, mereka menuju ke lapangan (berserakan).

Iaitu hari mereka segera keluar dari kubur masing-masing menuju (ke padang mahsyar) Dengan keadaan seolah-olah mereka berkejaran ke (tempat) berhala-berhala (yang mereka sembah dahulu),

i.    Kepelbagaian Bentuk Terjemahan

Penulis dalam usaha mendapatkan gambaran daripada ayat ini, terlebih dahulu telah menurut disiplin kefahaman ayat secara himpunan iaitu menghubungkan (wassol - 28:51) antara ayat sesudah dan sebelum. Penulis tidak menafikan gambaran sedemikian dinyatakan oleh kebanyakan terjemahan lain, sebagai kejadian kebangkitan akhirat nanti bagi mayat-mayat dari kubur seolah-olah mereka menuju kepada berhala mereka secara bersegera. Perkataan asal  الاجداث adalah tempat sorok yang tertanam (dalam tanah) seperti menyimpan mayat dalam perkuburan atau harta dalam tanah. Mendapatkan pelbagai penerangan terjemahan, membawa pengertian bahawa terjemahan sedemikian memberi makna yang luas dan dapat difahami dari pelbagai sudut.

Penulis telah terangkan sebelum ini bahawa kemahiran bahasa Arab semata-mata tidak dapat digunakan untuk menggarap suatu bentuk tafsiran atau kefahaman secara jitu. Oleh itu, kepelbagaian bentuk kefahaman tentang sesuatu ayat, harus diterima sebagai suatu bentuk kefahaman yang mungkin berlainan daripada pendapat umum. Tiada seorang ilmuwan harus mempertikaikan sebarang bentuk kefahaman yang lain kerana sikap sedemikian sebenarnya dapat membantu kepada perkembangan ilmu itu sendiri.

ii.    Mereka Bagai Zombi, Bertebaran 
       Tanpa Halatuju Yang Pasti

Perkataan asal يوفضون diterjemahkan sebagai membawa ia (kepada), menuju ke kelegaan, menuju ke lapangan. Gambaran sedemikian berlaku apabila mereka tidak lagi dapat bertahan dalam kediaman-kediaman mereka yang tersembunyi pada hari itu. Masakan tidaknya, pengionan daripada matahari telah banyak menghasilkan radikal bebas yang dapat mengakibatkan kulit-kulit mereka lambat laun akan mengelupas sekalipun tidak terkena cahaya matahari secara terus. Udara pernafasan telah dicemari sehingga dapat mengakibatkan penyakit seperti kanser dan sesak nafas. Tempat-tempat perlindungan dalam tanah yang telah mereka siapkan terlebih dahulu, tidak dapat menyelamatkan mereka daripada ditimpa bencana kesan pengionan alam sekitar. Seolah-olah mereka mendiami bumi selepas suatu siri serangan nuklear tetapi tidaklah separah itu, sehingga mereka masih dapat berusaha keluar dari tempat-tempat mereka itu.

iii.    Tayangan Video Yang Diulang-
        ulangkan

Kita dapat melihat dalam gambaran pada waktu ini melalui tayangan-tayangan yang dipersembahkan oleh media-media Barat dan gambaran-gambaran mereka meninggalkan kampung halaman mereka serta kediaman mereka secara berbarisan panjang dalam kenderaan, untuk menghindari diri dari suatu tempat yang dilanda bencana. Mereka semuanya tidaklah merancang perjalanan mereka dan yang mereka mahu hanyalah menjauhi diri dari kawasan bencana menuju tempat yang mereka rasakan selamat. Ayat seperti ini seolah-olah memberi gambaran kepada kita bahawa bencana yang akan berlaku pada hari itu adalah berselang seli dari satu tempat ke tempat-tempat yang lain mengikut arah kawasan-kawasan yang dilanda kebocoran lapisan langit yang sering berubah-ubah tempat. Perkara seperti ini dapat berlaku pada bila-bila masa sekarang ini lantaran sikap manusia sendiri yang amat berbangga melakukan kerosakan di mukabumi ini. Peristiwa 'Deep Impact' merupakan gambaran keadaan kelam kabut manusia yang bersegera melarikan diri dan berbaris panjang dalam kenderaan mereka. Peristiwa 'Thread” pula menunjukkan situasi kesan peperangan nuklear yang mengakibatkan pancaran cahaya matahari berwarna lampau lembayung sehingga mengakibatkan ramai manusia ditimpa pelbagai penyakit.




Saturday, March 7, 2015

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 42 -- MEREKA MASIH BERDEGIL, BIARKAN MEREKA


فذرهم يخوضوا و يلعبوا
حتى يلقوا يومهم الذى يوعدون

Maka biarlah olehmu akan mereka, mereka berseminar dan mereka melakukan permainan (game), sehingga mereka menemui akan hari mereka, yang mereka dijanjikan.
 
oleh itu, biarkanlah mereka (Wahai Muhammad) tenggelam Dalam kesesatannya dan leka bermain-main (dalam dunianya), sehingga mereka menemui hari Yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan)! 

i.      Mereka Masih Berdegil – Biarkan Saja Mereka

Adakah mereka masih mahu menegakkan pendirian  seolah-olah mereka itu entiti yang paling bijak? Mereka melakukan kajian demi kajian terhadap kejadian yang berlaku lalu mereka kumpulkan pakar-pakar mereka untuk membincangkan sesama mereka mencari penyelesaian. Bukankah mereka memiliki satelit-satelit yang dengannya mereka dapat merekod kejadian-kejadian kebocoran ozon? Mereka juga mencipta pelbagai rumus secara analitik atau saintifik untuk meramal kejadian kepelbagaian cuaca. Mereka juga memiliki pencerap-pencerap di seluruh dunia untuk mencerap tekanan dan kelembapan setempat yang mereka kumpulkan maklumat-maklumat itu melalui grid pengumpul nasional dan antarabangsa. 

Mereka juga dapat mengesan pergerakan debu bahkan mereka dahulu mendakwa dapat mengesan pergerakan musuh yang membawa senjata nuklear.

ii.     Janganlah Tergesa-gesa Mengingatkan Mereka

Golongan yang beriman diseru untuk tidak tergesa-gesa mengingatkan mereka akan bahaya yang akan mereka hadapi. Biarkan sahaja mereka kerana bagi mereka ada hari yang dijanjikan. Adakah peristiwa seperti ini pernah berlaku sebelum ini? Kes-kes kehangusan ais kutub menunjukkan tahap kebocoran ozon telah mencapai tahap serius. Terdapat juga terlalu banyak kes penyakit kanser kesan daripada pencemaran radikal bebas dan penyakit katarak. Kehidupan di dunia ini tidak lain dan tidak bukan, hanyalah tempat kehidupan sementara. Dunia ini ibarat syurga bagi golongan ingkar yang mereka perlu bersungguh-sungguh mendapatkannya. Namun bagi golongan beriman tidak perlu tergesa-gesa dalam berkehidupan. Adalah memadai dengan rezeki yang Tuhan telah sediakan dengan sedikit usaha mereka dan mereka harus mengingati akan nasib golongan yang susah dalam mendapatkan kehidupan. Bantuan harus selalu dihulurkan atas lebihan harta yang diperolehi.

iii.    Mengapakah Usaha-usaha Mereka Perlu Dibiarkan?

Dalam Surah Nun, terdapat perintah Tuhan kepada golongan beriman untuk mereka biarkan sahaja tindakan golongan yang berterusan dalam kesesatan (68:44). Dan dalam ayat ini, Tuhan juga memerintahkan untuk biarkan sahaja sebahagian golongan ingkar, sama ada daripada golongan masyarakat biasa sehinggalah kepada golongan kepimpinan untuk berterusan dengan amalan buruk mereka. Persoalannya, tidakkah dengan membiarkan golongan ingkar berkelakuan sedemikian, akan memberi kesan kepada golongan beriman dan juga kepada nasib alam sekitar akhirnya? 

Dalam hal ini penulis menyedari bahawa perlunya setiap mereka yang beriman untuk melaksanakan perkara yang diperintah oleh Tuhan iaitu bersedia mempelajari Al-Qur'an dan kemudiannya bersama-sama menyampaikannya kepada manusia. Sesungguhnya Tuhan tidak akan membebankan seseorang dengan suatu tanggungjawab melainkan apa yang sanggup diusahakan olehnya. Oleh itu, berkumpul bersama-sama untuk merancang dan menyusun strategi dakwah haruslah dimulai terlebih dahulu. 

Sebagaimana RasululLah S.A.W. yang telah ditegur Tuhan kerana memberi tumpuan berlebihan dalam menyampaikan dakwah kepada golongan tertentu, umat ini juga tidak harus beria-ia dalam usaha mereka menyampaikan dakwah kepada golongan berkepentingan. Mereka juga harus membuat persediaan tertentu agar mereka dapat selamat daripada tindakan golongan ingkar yang berterus-terusan melakukan kedurjanaan di muka bumi ini. Kebergantungan tidak lagi boleh diharap semata-mata kepada wang ringgit kerana dengan sistem kapitalis yang dipaksa kepada mereka untuk mengamalkannya, ternyata kesudahannya lebih banyak menimbulkan keburukan kepada diri mereka sendiri.






Sunday, March 1, 2015

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 41 -- TEMPAT MEREKA HARUS DIGANTIKAN


على ان نبدل خير منهم  و ما نحن بمسبوقين

Atas bahawa Kami menukar yang lebih baik daripada mereka dan sekali-kali tidak Kami didahului.

(Membinasakan mereka, serta) menggantikan mereka Dengan makhluk-makluk Yang lebih baik dari mereka; dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan.

i.     Kewajaran Yang Kembali Kepada Mereka

Atas kewajaran mereka melaksanakan amalan-amalan daripada manifestasi keingkaran, maka tempat mereka harus digantikan dengan golongan yang lebih baik daripada mereka ini. Golongan baru yang akan melakukan pemulihan dan melaksanakan amal-amal yang baik. Golongan yang beriman kepada Tuhan harus bersabar dengan perencanaan Tuhan, setelah dahulu mukabumi ini diwariskan kepada hamba-hamba Tuhan yang melakukan perbaikan, lalu dirampas oleh golongan ingkar daripada bani-bani Arab, kaum Yahudi, Nasrani dan Mulhid. Dengan amanah Tuhan yang mereka pegang di mukabumi ini, apakah yang telah mereka lakukan? Mereka lakukan kerosakan demi kerosakan sehingga akhirnya bumi sendiri tidak tertahan kerananya dan mereka menamainya sekadar dengan nama perubahan cuaca. 

Adakah golongan yang beriman kepada Tuhan akan melakukan kerosakan? Mereka tentunya akan membataskan amalan manusia supaya setiap pekerjaan perlu dilakukan dengan berhati-hati.

ii.    Amalan Pemulihan Oleh Golongan Beriman

Mereka tidak akan dengan sewenang-wenangnya menebus guna kawasan-kawasan yang menjadi kelarangan Tuhan untuk ditebus guna, melalui contoh-contoh kemusnahan umat terdahulu. Kegelojohan manusia terhadap pembangunan, akan dibataskan dengan menghapuskan sama sekali sistem riba dan sistem pajakan. Manusia tidak perlu berlomba-lomba mengejar sesuatu yang bersifat maya lalu mereka akan memperbanyakkan sadaqah bagi mengumpulkan harta yang mereka perlu hantar ke akhirat kelak. Mereka akan mengamalkan amalan berpuasa supaya ada peruntukan makanan untuk golongan yang susah.

Apabila nasib semua golongan susah terbela, maka mereka tidak perlu bekerja dengan majikan yang akan merencanakan kerosakan atas mukabumi ini. Masanya itu tetap akan sampai, maka bersabarlah wahai golongan yang beriman. Perubahan cuaca yang berlaku kini adalah tanda-tanda awal akan berlaku bencana terhadap manusia di tempat-tempat kediaman mereka sendiri. Kita dapati projek-projek intensif yang dilaksanakan golongan ingkar, tidak akan mencapai maksudnya. Bahawa sekali-sekali tidak Tuhan dapat didahului membawa erti bahawa sehebat mana projek mereka untuk menyiapkan tempat-tempat perlindungan untuk menghindari diri-diri mereka daripada bencana, sama ada di permukaan bumi, di bawah permukaan bumi atau di angkasalepas, mereka tetap tidak berkesempatan mengelak bencana.

iii.     Nasib Yang Menimpa Golongan Beriman

Adakah golongan beriman juga akan ditimpa bencana sedemikian? Kehidupan dunia bukanlah tempat untuk mereka melarikan diri sekiranya terjadi bencana melainkan sekadar apajua yang termampu. Pada peringkat awal daripada bencana kebocoran lapisan ozon, kini kita dapati bahawa kejadian itu dapat berlaku secara setempat iaitu di kedua-dua belah langit kutub. Oleh itu, kejadian setempat dapat juga berlaku akibat daripada kerja-kerja intensif merosakkan alam sekitar yang dilaksanakan di wilayah tertentu. Walaupun kejadian ini bukan berlaku secara mengejut, kesan-kesan terhadap kemusnahan dan penyakit dapat dilihat sedikit demi sedikit di beberapa bahagian tertentu di mukabumi. Masanya akan terjadi, apabila mereka terpaksa keluar dari kediaman mereka. Apabila berlaku kejadian berkenaan maka tiada jalan undur yang mudah untuk memulihkan suasana. Lapisan ozon semakin menipis sehingga kejadian berkenaan akan berlaku secara merata di atas permukaan bumi ini. Kemuncak kejadian dapat berlaku secara mengejut sehingga tengahari bagi sesebuah negara akan dilitupi debu akibat daripada tindakan pengionan debu-debu di atas permukaan bumi. Sehingga seolah-olah debu itu menjadi seperti bulu yang berterbangan. Kulit-kulit manusia mengelupas dan kebutaan dapat berlaku akibat pembentukan katarak dalam mata.




Popular