SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.
Showing posts with label Surah Nuh. Show all posts
Showing posts with label Surah Nuh. Show all posts

Monday, February 22, 2016

KESIMPULAN


Pendedahan tentang Kisah Nuh dan Bangsa Jin, Yang Diselimuti lagi Diselubungi, dimulai dengan penerangan awal daripada surah Nuh iaitu dengan terlebih dahulu mengingatkan manusia supaya mereka kembali menyembah Tuhan mereka yang sebenarnya.

Seterusnya manusia harus kembali mematuhi pengajaran Tuhan yang disampaikan melalui rasul, supaya suatu bencana yang pedih dapat dihindari. Setiap mereka harus dapat berada di bumi ini sehingga kepada ajal mereka masing-masing dan bukannya azab yang datang secara mengejut sehingga mereka mati hampir serentak. 

Setelah kesedaran sampai kepada individu-individu tertentu, mereka harus memilih kaedah dakwah paling sabar, sepertimana yang ditunjukkan oleh nabi Nuh A.S. Sebenarnya sasaran dakwah oleh pendakwah masa kini adalah menyerupai sasaran dakwah umat Nabi Nuh A.S. sehingga penulis dapat nyatakan bahawa, kesan akhir daripada dakwah yang kami lakukan, adalah membawa kepada persiapan yang mampu dilakukan, agar mereka yang mempercayai kandungan risalah ini akhirnya dapat dikumpul dan diselamatkan.

Peristiwa-peristiwa yang bakal berlaku, harus dikaji dengan teliti sehingga kita dapat mempelajari corak bencana berkenaan. Usaha harus dilakukan sehingga kita dapat melakukan persiapan, sama ada persiapan kerohanian, persiapan fizikal ataupun persiapan teknologi. Usaha yang dilakukan oleh Nabi Nuh A.S. haruslah dipelajari dan dicontohi sehingga kita akan dapat mengatasi permasalahan yang berlaku melalui kerjasama antara kita. 



Tuesday, February 16, 2016

BENTUK PERSEDIAAN YANG MUNGKIN MAMPU DILAKUKAN



Surah Nuh sebenarnya mengkhabarkan kepada kita tentang fenomena alam, tentang kejadian manusia dan tentang kemungkinan wujudnya makhluk-makhluk lain di persekitaran kita semua. Semua itu dapat dikaitkan dengan persembahan teknologi silam yang pernah dilalui umat manusia suatu ketika dahulu.

i.     Penemuan Yang Harus Dipelajari

Namun sejak dari dahulu lagi sehinggalah waktu ini, tidak terdapat panduan menyeluruh darihal penjagaan alam sekitar kediaman manusia, yang sehingga kini umat manusia telah mulai menempuh hidup dalam derita. 

Mengungkap keadaan nasib yang menimpa umat terdahulu seperti umat Nabi Nuh, penduduk Atlantis, penduduk Pompei dan sebagainya, barangkali mereka adalah umat yang maju darihal pemerhatian mereka. Ke manakah perginya tamadun Sumeria suatu masa dahulu yang sehingga kini, kita masih menggunakan kaedah mereka dalam hal menyukat masa dan pembentukan kalendar berdasarkan kiraan suria. Mengapakah simbol-simbol seperti 'crop circle' masih memaparkan gambaran tanjak raja kaum Maya?, walhal keagungan kaum-kaum itu semakin dilupai pada waktu ini. Mereka membentuk tamadun yang kini telah musnah akibat kegagalan mereka untuk melakukan kerja-kerja yang mendatangkan kebaikan kepada kehidupan mereka dan juga persekitaran mereka di bumi ini. Semua ini dapat dipelajari melalui pembacaan penerangan surah Al-Mulk sebelum ini.

Kiranya 'crop circle' ini adalah rekaan biasa 
manusia, apa kaitannya dengan kaum Maya, 
daripada kerajaan Aztek silam? Kiranya benar 
ianya adalah suatu rekaan asing, di manakah
mereka sekarang ini?

2.     Teknologi silam yang harus dipelajari dan 
        teknologi kini yang harus diubahsuai.

Catatan yang tinggal dalam bentuk tulisan yang menghampiri tulisan moden, dapat diperhatikan pada peninggalan kaum Sumeria dan Arkadia, yang lebih awal daripada catatan heliogrifik Mesir kuno dan juga catatan kaum Maya. Kita sebenarnya dapat mempelajari kesan-kesan peninggalan mereka melalui persembahan yang ditunjukkan melalui rancangan History Channel, yang disertai dengan kepelbagaian teori konspirasi terhadapnya. Mereka telah menghasilkan imej-imej patung yang sangat simetri dan juga potongan-potongan batu yang hanya dapat dibuat dengan menggunakan peralatan yang dapat dikatakan sebagai canggih.

Berkenaan tentang pengetahuan mereka darihal beberapa lapisan langit yang bertindih-tindih, adakah mereka memiliki kaedah tertentu dalam menyatakan perkara demikian? Ataukah mereka ada hubungan dengan entiti-entiti lain seperti bangsa Jin yang telahpun memiliki kecangihan dalam mempelopori teknologi? Hal ini akan terjawab apabila pembaca dapat meneruskan pembacaan selanjutnya daripada surah Jin.

Oleh kerana tidak terdapat intervensi antara makhluk-makhluk sedemikian dengan manusia darihal teknologi, dapat dikatakan bahawa manusia adalah makhluk khalifah Tuhan di muka bumi ini, yang membawa tamadun tersendiri berdasarkan penemuan bersungguh-sungguh mereka. Oleh yang demikian, dapat penulis katakan, terdapat kaedah lebih baik, yang dapat memperbaiki teknologi manusia agar suatu revolusi baru dalam ketamadunan hidup mereka dapat dibentuk.

Sebagai contoh, dalam usaha mendapatkan sumber tenaga, pemimpin-pemimpin lebih sanggup mempertahan keuntungan yang bakal diperolehi melalui syarikat yang mereka miliki saham besar di dalamnya. Kepimpinan sedemikian kurang berminat untuk sama-sama berusaha mendapatkan bekalan tenaga bersih yang kurang membawa kemudharatan terhadap alam sekitar. Kemudian mereka sebenarnya hanya berlakon sahaja dalam menyatakan pendirian tentang keperihatinan mereka terhadap nasib yang menimpa alam sekitar. Segala usaha melalui kempen hijau, sebenarnya  akan hanya dilakukan apabila terdapat keuntungan yang akan menebalkan poket mereka. Oleh itu apabila suatu teknologi baru itu mula untuk diperkenalkan - yang dapat membaik pulih keadaan, kita hanya boleh menjangkakan bahawa usaha sedemikian akan dipandang sinis oleh kepimpinan. Mereka akan merepek dengan pelbagai peraturan dan SOP yang mereka wujudkan, agar penggunaan teknologi baru yang menjimatkan itu dapat dihalang.

3.    Tentang Persediaan Yang Wajar Dilakukan

Yang digambarkan daripada pelajaran setiap surah yang dijelaskan adalah tentang peranan manusia yang harus melakukan kerja baik pulih kehidupan dan alam persekitaran mereka. Mereka sebenarnya sentiasa terdedah kepada kepelbagaian bentuk bencana, sama ada bencana ekonomi, bencana sosial, bencana akibat cuaca ataupun yang datang dari bumi sama ada bencana rentas sempadan seperti jerebu, gempa bumi, tsunami dan juga bencana peperangan. Dalam ayat-ayat selanjutnya ada dijelaskan tentang perkara yang akan berlaku dan apakah corak persediaan yang harus manusia dapatkan, supaya mereka tidak menjadi mangsa berterusan?





Wednesday, February 10, 2016

PENGAJARAN SURAH NUH


PENGAJARAN KISAH NUH A.S DAN PENDERHAKAAN UMAT BAGINDA

i.  Tuhan yang mencipta alam ini dan bumi ini dilindungi dengan sistem perlindungan beberapa lapisan langit. Tuhan yang telah mencipta kehidupan di bumi dan melantik manusia menjadi pengurus tadbir. Lalu manusia menempuh kehidupan semau-maunya sehingga mengganggu gugat sistem kehidupan yang sedia ada. Kisah dalam surah ini mengesahkan bagaimana pada permulaan, manusia telah mengingkari risalah Tuhan yang disampaikan menerusi rasulNya, sehingga akhirnya lantaran keingkaran mereka, mereka telah ditelan oleh bencana tsunami pada zaman Nabi Nuh A.S.

ii.   Manusia melalui proses-proses kejadian tertentu dan umat Nabi Nuh telah mengetahui keadaan ini dan juga keadaan langit dengan lapisan tertentu.

iii.   Kisah dakwah Nabi Nuh A.S. memberi pengajaran kepada pendakwah-pendakwah bahawa kerja-kerja dakwah adalah merupakan kerja-kerja sukar yang perlu ditempuh dengan kesabaran. Antara halangan dakwah adalah keadaan status pendakwah yang dijadikan alasan untuk manusia tidak menurutinya dan juga status golongan yang menerima dakwah yang status mereka juga dijadikan alasan. Halangan yang lain adalah sifat kematuan individu dalam masyarakat yang telah pekat tenggelam dalam kematu kesyirikan. Mereka menyayangi sesuatu yang lain melebihi kesayangan mereka kepada Tuhan yang sebenar. Menanggalkan kesyirikan daripada umat ini adalah kerja yang sukar berbanding cabaran dakwah yang lain.

iv.  Sebenarnya terdapat dalang di sebalik aktiviti kesyirikan umat. Dalam penyembahan, mereka sebenarnya dipengaruhi oleh peradaban silam yang dipelopori oleh bangsa Jin sejak dari dahulu lagi dan dalam kehidupan kini, mereka dipengaruhi oleh sistem kezaliman yang diwujudkan oleh kepimpinan thaghut mereka.

v.  Dakwah Nabi Nuh A.S. dalam surah ini menunjukkan kaedah yang berbeza dengan kaedah dakwah daripada surah-surah yang selanjutnya. Perbezaan ini adalah menurut keadaan setempat. Dalam situasi menghadapi golongan berkepentingan, pendahuluan dakwah haruslah ditujukan kepada golongan dha’if dalam ahli masyarakat dan dalam keadaan menghadapi fitnah yang besar, sasaran dakwah hanya ditujukan kepada individu tertentu sahaja dan tidak meliputi semua manusia. Kaedah-kaedah ini dapat dipelajari daripada pengajaran dalam juzuk Amma.

Dakwah pada zaman ini adalah seperti 
dakwah pada zaman nabi Nuh A.S.


Wednesday, February 3, 2016

SURAH NUH AYAT 28 -- DOA NABI NUH A.S.


رب اغفرلى و لوالدى و لمن دخل بيتى
مؤمنا و للمؤمنين و المؤمنت
و لاتزد الظلمين الا تبارا

Tuhanku ampunilah olehmu bagiku dan kedua orang tuaku dan bagi sesiapa yang telah memasuki ia akan rumahku yang beriman dan bagi lelaki beriman dan perempuan beriman.

"Wahai Tuhanku! ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa Yang masuk ke Rumahku Dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam Segala zaman);

Dalam pada berdakwah Nabi Nuh A.S. sempat berdoa supaya golongan yang ingkar tidak diberi muka langsung untuk berkeliaran di mukabumi dan mengharapkan ampunan Tuhan kepada kedua orang tua serta ahli keluarga yang beriman dalam kalangan lelaki dan perempuan. Sebahagian doanya telah dikabulkan Tuhan sehingga sebahagian ahli keluarganya yang ingkar iaitu yang terdiri daripada isteri dan anak lelakinya tidak termasuk dalam golongan yang diampuni, manakala tentang golongan yang ingkar adalah merupakan doanya yang ditangguhkan.

Dan janganlah Kau tambah akan golongan yang zalim itu melainkan kebinasaan.

dan janganlah Engkau tambahi orang-orang Yang zalim melainkan kebinasaan!"

Tuhan tidak pernah berlaku zalim terhadap manusia namun azab Tuhan amatlah keras disebabkan oleh kerja tangan dan pilihan manusia sendiri. Lantaran kedegilan umat yang bersangatan disebabkan oleh kedudukan mereka yang mereka agung-agungkan, mereka menghindari diri-diri mereka daripada sebarang nasihat. Lalu segala usaha rasul untuk menyelamatkan mereka daripada azab, tidak berhasil. Pengikut Nabi Nuh yang beriman diselamatkan Tuhan dalam bahtera manakala yang lain memilih untuk ditenggelamkan dalam air disebabkan keingkaran mereka daripada mematuhi perintah Nabi Nuh A.S. Bahkan golongan yang ingkar memilih kezaliman yang besar mengambil berhala-berhala dan sistem hidup rekaan mereka sendiri sebagai tuhan.



Thursday, January 28, 2016

SURAH NUH AYAT 27 -- MEREKA MENYESATKAN LAGI MELAHIRKAN ZURIAT YANG JAHAT

     
انك ان تذرهم يضلوا عبد ك
و لا يلدوا الا فاجر اكفرا
    
Sesungguhnya Engkau, kiranya Engkau biarkan mereka, mereka sentiasa menyesat akan hambaMu dan tidak mereka sentiasa melahirkan anak, melainkan yang jahat lagi bersangatan ingkar.

"Kerana Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan Yang berbuat dosa lagi kufur ingkar.

i.     Pengamalan Yang Memudharatkan

Penemuan-penemuan golongan yang ingkar itu sentiasa disampaikan daripada satu pihak ke satu pihak untuk tujuan pengiktirafan serta pengamalan mereka dicontohi. Lalu mereka menyampaikan suatu ajaran yang memudharatkan. Sebagai contoh, telah diketahui sebelum ini oleh ulama-ulama silam menerusi catatan kitab-kitab ‘kuning’ mereka, bahawa yang dikatakan najis yang terdapat daripada tubuh manusia adalah sesuatu yang membawa mudharat terhadap sebarang pengambilannya. Perkara najis tersebut adalah darah, nanah, muntah, tahi dan air kencing yang telah dikeluarkan oleh tubuh. Begitu juga terhadap pereputan daripada bangkai kecuali bangkai ikan dan belalang sekiranya tidak mengenai tubuh daripada bahan buangannya. 

Namun pengkaji-pengkaji Barat telah menemui kaedah untuk menambahkan bahan tambah dalam makanan yang dihasilkan secara industri melalui pengeluaran besar-besaran. Bahan tambah itu diperolehi daripada sebatian-sebatian yang ditiru menyerupai bahan-bahan najis berkenaan. Sebagai contoh, ammonia yang diperolehi melalui proses Haber daripada kilang pemprosesan di Bintulu, Sarawak telah diiktiraf sebagai halal oleh Jabatan Agama dan digunakan secara meluas dalam industri pembikinan perencah monosodium glutamate serta pecencah-perencah yang lain. 

Lebihan kandungan ammonia dalam MSG 
dapat membawa akibat penyakit 
"Sindrom Restoran Cina" dan penyakit lelah.
   
Bahkan  struktur ammonia yang dihasilkan sebenarnya bukan sahaja menyerupai bahkan menyamai sebatian yang dihasilkan oleh pereputan bangkai. Alasan mereka bahawa ammonia sebenarnya memang terdapat dalam tubuh disingkirkan daripada hati setelah diubahsuai oleh enzim yang menukarkannya menjadi urea atau asid urik sebagai konjugat. Sebatian berkenaan kemudiannya dilepaskan melalui penapis ginjal dan disingkirkan melalui air kencing. Teknologi kaum yang diiktiraf sebagai sesat dalam ayat terakhir surah Al-Fatehah iaitu Kristian Barat telah sampai ke perut umat Islam secara merata. Asid nitrik yang diperolehi daripada proses pengoksidaan ammonia pula digunakan untuk menghasilan sebatian azo. Sebatian azo digunakan untuk menghasilkan pewarna tiruan digunakan dalam pewarnaan makanan yang banyak dijual secara bebas. 

Apakah akibat menelan benda najis seperti ini? Tubuh tentunya akan menunjukkan kesan penolakan terhadap bahan-bahan seperti ini. Yang mudah dikesan adalah keluarnya air liur basi terhasil dengan banyaknya apabila seseorang itu sedang tidur. Itu darihal pemakanan.

ii.     Kesesatan Yang Bertambah-tambah

Sesungguhnya kesesatan tidak akan bertambah-tambah melainkan terhadap golongan yang zalim (71:24). Kezaliman yang paling besar adalah mempersekutukan Tuhan (31:13). Bahkan merelakan diri hidup dalam suatu sistem mempersekutukan Tuhan adalah juga suatu kezaliman. Kita dapati umat kini berterusan bergelumang dalam ‘kesesatan’ (perlu dibaca sebagai kecelaruan) sedemikian disebabkan sikap mereka menzalimi diri mereka sendiri. Sehingga mereka menolak untuk memperbanyakkan sadaqah disebabkan kesempitan hidup dalam negara yang kekayaannya melimpah ruah. Apabila mereka memilih fatwa ulama sebagai benar dengan tiada panduan suci daripada Tuhan dan/atau tiada menuruti contoh yang ditunjukkan oleh RasululLah S.A.W. dengan izin, iaitu menerimanya secara bulat-bulat, sebenarnya mereka menerima cara beragama yang serupa dengan kaedah penganut-penganut agama lain beragama dan demikianlah salah satu bentuk mempersekutukan Tuhan. Apakah yang harus mereka jawab di hadapan Tuhan nantinya terhadap pendakwaan yang mereka terima sebagai suatu ketetapan agama darihal menelan benda-benda najis tersebut dan terdapat lagi benda lain yang najis yang tidak disebutkan di sini? 

Mengapakah zakat yang mereka sadaqahkan gagal sampai kepada pihak yang layak menerima, sehingga memeritkan kehidupan sebahagian besar golongan yang kesempitan lalu mengakibatkan peningkatan kadar jenayah. Anak-anak yang mereka lahirkan, mereka sumbat dengan pemakanan sedemikian. Kemudian mereka ajari anak-anak mereka untuk menghadapi sistem hidup menurut ilmu mereka yang dangkal itu tanpa panduan suci ayat-ayat Tuhan. Lalu generasi akan datang menghadapi kehidupan yang lebih membingungkan disebabkan kecelaruan yang mereka hadapi. Mereka mendakwa demi kebajikan rakyat, keselesaan hidup serta pemuliharaan alam, namun yang berlaku adalah penggelapan hak rakyat, kehidupan yang semakin sempit serta pemusnahan kawasan sekitar yang mengganggu kesinambungan hidup flora dan fauna, yang kesannya akan menimpa mereka sendiri.

iii.   Tuhan Telah Mengiktiraf 
        Kedudukan Manusia

Ayat ini menyebutkan suatu keadaan kiranya Tuhan membiarkan bumi diurus tadbir oleh golongan yang sesat dan keadaan inilah yang telahpun berlaku. Ini membuktikan bahawa Tuhan telah membiarkan manusia untuk bertindak semahu-mahu mereka dalam mentadbir urusan kehidupan di dunia ini, sebagai suatu pengiktirafan akan peranan manusia dalam mentadbir alam. Ini membuktikan Tuhan tidak memerlukan langsung akan khidmat mereka kepada Tuhan. Mereka jualah yang sebenarnya memerlukan Tuhan untuk suatu kehidupan mereka sendiri. Namun Tuhan tidaklah sezalim itu untuk membiarkan hamba-hambaNya hidup dalam ‘kesesatan’. Tuhan telah menyediakan alam ini sebagai perangkap untuk menimpakan kegelisahan terhadap golongan yang ingkar (86:19). Sehingga golongan yang beriman akan melakukan pekerjaan supaya suatu pemulihan dapat dilakukan melalui panduan Tuhan. Mahasuci Tuhan yang mencipta alam ini menjadi sebagai suatu pelajaran yang harus diinsafi oleh manusia.



Thursday, January 21, 2016

SURAH NUH AYAT 26 -- HARAPAN NABI NUH A.S. YANG BELUM TERLAKSANA SEHINGGA KINI


و قال نوح ربى لا تذر على 
الارض من الكفرين ديارا

Dan telah berkata Nuh, Tuhanku, janganlah Engkau tinggalkan atas bumi itu daripada golongan yang ingkar yang beredaran.

dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!

Itulah satu-satunya doa Nabi Nuh A.S. yang masih belum terlaksana, yang Tuhan jua lebih mengetahui akan hikmahnya. Bahawa mukabumi ini dipenuhi kesan, akibat daripada kerja-kerja keingkaran manusia. Apabila Tuhan mewujudkan sebuah negara naunganNya, yang ajaran-ajaran kitabNya dilaksanakan di bawah pemerintahan kekhalifahan yang layak, manusia berusaha merampas hak untuk mentadbir mukabumi ini dengan cara yang lain, sehingga mengakibatkan kehidupan menjadi kucar-kacir. Manusia berusaha memiliki bumi ini, melalui penguasaan sedangkan hak milik hanya untuk  Tuhan semata-mata. Apajua yang terdapat di bumi dan langit dan apa-apa yang ada antara keduanya, adalah merupakan amanat yang Tuhan serahkan urusannya kepada manusia, sebagai suatu bentuk ujian kepada manusia seluruhnya, sebelum amanat sebenar akan diserahkan kepada manusia kemudian nanti di hari akhirat kelak.

Sebenarnya, apakah yang diingini oleh manusia? Mereka dicipta Tuhan bersifat keluh kesah sehingga apabila ditakdirkan menerima kebaikan ia bersifat menegah dan apabila ditakdirkan menerima keburukan ia bersifat gelisah. Kecuali mereka yang melaksanakan ibadah solah yang bersinambungan. Adakah manusia yang sedemikian sifat keluh-kesahnya, layak mengurus tadbir bumi ini sedangkan dengan sikap-sikap sedia ada, mereka tidak akan dapat melepaskan diri merka dalam mengambil urusan agama dan pentadbiran dunia ini dengan cara boros dan gelojoh.

i.    Pertebaran Yang Membawa Pencemaran

Selepas daripada kejatuhan sistem kekhalifahan pada tahun 1923, kita dapati di seluruh dunia ini, kebanyakan negara-negara semakin mencontohi sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba dan pajakan serta sistem pemerintahan demokrasi. Kebebasan yang dilaung-laungkan mula menyerlahkan kemajuan pembangunan yang berlaku secara sangat intensif. 

Industri pengangkutan merupakan industri yang berkembang pesat. Pembinaan jalan-jalanraya atau lebuh-lebuhraya baru, menjadi agenda pembangunan yang pasti. Setiap masa kita boleh dapati, sejumlah kenderaan yang sentiasa berlalu lalang di atas jalanraya. Pengaliran trafik tidak pernah putus meskipun ketika berlaku kejadian hujan lebat. Segala-gala ini berlaku akibat rangsangan sistem ekonomi kapitalis yang menggalakkan sistem pembelian kenderaan melalui kaedah riba. Lebih banyak kenderaan bergerak di atas jalanraya, maka lebih banyak bahan bakar diperlukan dan lebih banyak keuntungan diperolehi oleh pihak-pihak yang memiliki saham di atas jalanraya. Lebih banyak syarikat insuran dapat mengaut hasil dan lebih banyak saman dapat dikeluarkan atas kesalahan yang dijerat ke atas pemanduan. Mereka mengejar suatu pencapaian dalam hidup, bergerak pantas di jalanraya yang kesudahannya hanya bertujuan menambah kerugian terhadap harta dan anak-anak mereka serta membawa pencemaran kepada alam sekitar.

 Untuk tujuan pembangunan sesebuah lebuhraya,
bukit atau gunung kadang kala perlu dikorbankan.
Pencemaran dan kesan sampingannya 
adalah suatu yang harus dikawal.

ii.    Golongan Ingkar Yang Berkeliaran

Mereka mahukan segala-gala urusan dapat dilakukan dengan cepat, mudah serta memberi hasil yang banyak dalam tempoh yang singkat. Boros dalam urusan agama berlaku apabila pembelajaran agama adalah suatu yang memberati umat. Sebagai contoh, jalan untuk kefahaman Al-Qur'an dibebankan dengan prasyarat yang berbagai-bagai antaranya kemahiran terperinci terhadap cara pembacaan ayat, sehingga melupai kepentingan kefahaman ayat-ayat itu sendiri. Gelojoh dalam pentadbiran dunia berlaku sehingga kerosakan dan keporakan kehidupan manusia semakin menjadi-jadi. Sebenarnya apakah yang mereka lakukan? Mereka beredar di permukaan bumi menyebar fitnah ke sana-sini membawa cerita-cerita pembohongan yang mereka namai sebagai berita. Wajarkah pemilikan mereka daripada kenderaan ‘eksklusif’ diberi sanjungan, yang dengannya mereka berbolak balik di permukaan bumi supaya mereka dapat dijadikan piawai sebagai pihak yang benar.

Sekiranya demikian, mereka sebenarnya mengulangi sunnah umat terdahulu (umat nabi Nuh) yang meletakkan syarat bahawa petunjuk Tuhan haruslah diikuti oleh golongan bangsawan atau ahli politik ternama atau orang yang tampaknya berjaya dalam kehidupan dunia ini (26:111), sehingga akibatnya, mereka meletakkan syarat supaya Nabi Nuh A.S. menyingkirkan golongan yang lemah dalam dialog perbincangan mereka. Sekiranya demikian mereka wajar membuat persediaan menghadapi bencana Tuhan secara berdepan-depan sebagaimana yang berlaku kepada umat nabi Nuh atau umat-umat yang lain yang dilemaskan oleh azab Tuhan.




Thursday, January 14, 2016

TIADA PERTOLONGAN UNTUK GOLONGAN BERDOSA


فلم يجدوا من دون الله انصارا

Maka telah tidak mereka dapati daripada selain Allah suatu pertolongan.

maka mereka tidak akan beroleh sebarang Penolong Yang lain dari Allah (yang dapat memberikan
pertolongan).

Apa tidaknya? Penciptaan mereka sebenarnya bukanlah percuma begitu sahaja. Makanan yang mereka makan, udara yang dengannya mereka bernafas, air yang mereka minum, semua diusahakan Tuhan bahkan penciptaan setiap diri mereka. Mereka harus membayarnya dengan beriman kepada Tuhan dengan cara tidak mempersekutukanNya, itu sahaja. Tidak ada tuhan lain yang menciptakan sedemikian. Namun umat akan menjadi gelap daripada petunjuk yang dibawa oleh rasul apabila mereka menyembah selain daripada Tuhan. Mereka meletakkan kasih kepada selain Tuhan melebihi kasih mereka kepada Tuhan, sedangkan orang-orang yang beriman amat kasihnya kepada Tuhan. Tidak akan ada pertolongan apabila azab telah sampai sekalipun daripada rasulNya, aulia-auliaNya melainkan dengan izinNya.

Kita akan dapati mereka yang ada keimanan kepada Tuhan akan segera menyesali serta mengakui kesalahan mereka dan segera bertaubat kepadaNya serta memohon keampunanNya. Ke manakah nak ditujukan pengaduan kepada mereka yang tidak beriman apabila ditimpa fitnah dalam kehidupan? Seringkali kita mendengar peratusan yang tinggi terhadap mereka yang mengalami kekecewaan dalam hidup sehingga mengambil jalan singkat memusnahkan kehidupan mereka sendiri dengan pelbagai cara. Kajian di negara Barat sendiri mendapati satu daripada setiap 30 orang di negara-negara mereka pernah terlintas untuk membunuh diri. Mereka harus menafsir semula kehidupan. Mereka tidak akan dapat menyelesaikannya dengan mengejar status hidup untuk dijadikan ukuran.

Apabila keegoan diri tidak lagi membawa 
makna, mereka sanggup membunuh diri dalam
menyatakan kemuncak keegoan.

Friday, January 8, 2016

SURAH NUH AYAT 25 -- KELEMASAN YANG MEMBINASAKAN


مما خطيئتهم اغرقوا فادخلوا نارا

Daripada apajua yang (menjadi) kesalahan mereka, telah dilemaskan mereka lalu dimasukkan mereka ke neraka.

i.    غرق :  Lemas Atau Tenggelam

Kisah tenggelamnya umat Nabi Nuh adalah disebabkan banjir besar, kesan daripada tsunami daripada letupan volkano di bawah permukaan laut (11:40). Kalau sekadar banjir besar yang biasa, tentunya tidak akan terbentuk ombak yang besar seperti gunung (11:42). Fenomena kejadian seperti itu telah berlaku zaman ini akibat tsunami seperti yang melanda Acheh pada tahun 2004, di Jogjakarta dan kepulauan Polynesia dua tahun selepas itu. Apabila datang bencana seperti itu, air menderu dan ombak tinggi laksana bukit yang menghempas daratan, kebolehan berenang tidak lagi membawa sebarang erti. Yang diselamatkan adalah mereka yang beserta dengan Nabi Nuh A.S. yang memenuhi muatan kapal (26:119) manakala yang tenggelam adalah daripada baki yang tertinggal (26:120). 

Apabila Tuhan menghendaki untuk mendatangkan kebinasaan terhadap suatu kaum, pasti akan didatangkan orang yang memberi peringatan atau ancaman kepada mereka sebelum itu (26:208). Lalu mereka mendustai maka sudah selayaknya mereka menerima bencana. Perkataan غرق bermakna lemas. Bergantung kepada situasi yang menyebabkan lemas, sekiranya disebabkan oleh air seperti Fir'aun, perkataan ini membawa makna tenggelam (2:50). Sekiranya disebabkan oleh tiupan angin sehingga mengosongkan udara daripada paru-paru, maka perkataan lemas (79:01) lebih sesuai digunakan berbanding perkataan tenggelam. 

Azab yang paling menyeksakan adalah disebabkan oleh lemas, sama ada lemas oleh air atau oleh kesan vakum taufan. Kematian akibat kecederaan seringkali mengalirkan darah keluar daripada tubuh sehingga mengakibatkan saraf kehilangan deria dan seterusnya meringankan rasa sakit. Namun lemas tidak menghilangkan darah daripada tubuh. Oleh kerana kandungan oksigen turun sedikit demi sedikit dalam organ dan bukannya secara mendadak, maka kekebasan tubuh dapat dirasakan sedikit demi sedikit dan kesan azab akan dirasakan lebih menyeluruh.

ii.   Peristiwa Penenggelaman Bumi

Kebanyakan daripada sisa runtuhan bangunan-bangunan dan peradaban silam menunjukkan bangunan-bangunan atau peradaban silam telah musnah atau lenyap disebabkan oleh kejadian banjir besar. Kehadiran cengkerang sesiput laut yang terdapat di perbanjaran Himalaya dan juga Perbanjaran Andes menunjukkan kawasan berkenaan pernah ditenggelami air. Hidupan laut yang terdapat di Tasik Titicaca adalah merupakan petanda, hidupan berkenaan pernah berada di laut dan mengalami perkembangan tertentu sehingga dapat berada di tasik air tawar berkenaan. Sekurang-kurangnya air laut pernah naik hingga ke paras sekitar 4000 meter daripada aras laut yang terdapat masakini. Adakah peristiwa ini menyerupai peristiwa tayangan 2012? Penulis tidak dapat menjawab secara pasti. Deruan ombak yang sangat besar boleh terjadi akibat daripada hentaman objek besar seperti komet atau asteroid bahkan boleh disebabkan oleh kejadian gempa yang sangat besar akibat daripada anjakan kutub-kutub bumi. Menurut beberapa catatan, bumi ini pernah beberapa kali mengalami kejadian penenggelaman besar. Kepupusan dinosaur serta beberapa jenis haiwan purba dapat dikesani melalui kajian fosil yang ditinggalkan. Daripada dinosaur muncul beberapa jenis burung.

iii.   Kelemasan Masa Kini

Sekiranya dahulu, penderhakaan umat nabi Nuh telah berakhir dengan peristiwa kelemasan melalui tenggelamnya mereka dalam kejadian banjir besar, peristiwa kelemasan juga berlaku kepada umat masa kini yang menderhakai arahan Tuhan. Mereka mengalami kelemasan sama ada secara mengejut atau sedikit demi sedikit.

Kelemasan atau asfiksia terjadi, apabila tubuh mengalami kekurangan bekalan oksigen ataupun oksigen yang dibekalkan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Demikian itu berlaku kepada mereka yang mengalami kelemasan akibat tenggelam dalam air atau apabila udara dalam paru-paru dikeluarkan oleh tindakan angin puting berliung. Pada zaman ini, apabila umat memilih untuk melaksanakan aktiviti pertanian tanpa panduan Tuhan, akan sampai masa sebatian-sebatian kimia pencemaran yang tertinggal di udarakasa mengalami tindak balas dengan wap air dan atmosfera menjadi sejuk dengan tiba-tiba.

Seterusnya kejadian puting berliung akan terjadi disebabkan oleh kejatuhan tekanan mengejut di atmosfera. Peristiwa seperti ini semakin kerap berlaku sekarang ini disebabkan umat kini semakin menjauhi ajaran Tuhan. Mereka lebih percayakan pihak Barat dalam usaha menyelesaikan masalah perubahan cuaca. Kelemasan dapat juga berlaku apabila oksigen yang dibekalkan, tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh tubuh. Sebagai contoh, pemilihan makanan tertentu yang mengandungi kandungan ammonia yang tinggi seperti ajinomoto, dapat mengakibatkan surfaktan pada dinding alveoli dalam paru-paru menjadi lemah. Situasi ini menimbulkan sakit lelah apabila oksigen yang masuk ke dalam paru-paru, tidak dapat diserap secara segera untuk melepasi dinding alveoli dan seterusnya ke dalam darah. Darah yang kekurangan oksigen dapat mengakibatkan pelbagai penyakit lain seperti kelesuan dan sebagainya.

Kerana tindakan pejabat agama yang menghalalkan benda najis dalam pemakanan seperti kandungan sebatian ammonia dan sebatian azo yang tinggi, yang digunakan sebagai bahan tambah makanan, mengakibatkan rantaian molekular panjang terbentuk dalam salur kapilari darah. Seterusnya sebatian berantaian panjang ini dapat menyumbat salur kapilari sehingga mengurangkan bekalan oksigen untuk sampai ke sasaran sel-sel tertentu dalam tubuh. Amalan pemakanan yang berterusan terhadap makanan seperti itu, akhirnya mengakibatkan umat dilanda pelbagai penyakit daripada penyakit tiga serangkai hinggalah kepada penyakit saraf dan kelumpuhan strok. Semua ini berlaku akibat kecuaian umat ini dalam mengambil berat panduan Tuhan.
Diabetes berlaku apabila pankreas gagal 
mengeluarkan insulin secukupnya akibat 
kerosakan organ berkenaan. Kegagalan itu 
berlaku gara-gara salur kapilari dalam 
pankreas yang tersumbat.

Mereka sebenarnya telah terasuk dengan amalan kesyirikan, menyembah sistem yang menyesatkan, menerima bulat-bulat segala fatwa halal dan haram tanpa penjelasan yang wajar. Bencana kelemasan sama ada mati kelemasan atau kelemasan akibat penyakit yang melanda sedikit demi sedikit, adalah suatu yang pasti.   




Saturday, January 2, 2016

SURAH NUH AYAT 24 -- MENYESATKAN ORANG RAMAI


و قد اضلوا كثيرا و لا تزد
الظلمين الا ضللا

Dan demi sesungguhnya, telah menyesati mereka akan kebanyakan dan janganlah Engkau menambah akan golongan yang kejam itu melainkan kesesatan.

"Dan Sesungguhnya ketua-ketua itu telah menyesatkan kebanyakan (dari umat manusia); dan (dengan Yang demikian) janganlah Engkau (Wahai Tuhanku) menambahi orang-orang Yang zalim itu melainkan kesesatan jua".

i.      Kerja Saling Mempengaruhi

Kerja saling mempengaruhi memang telah menjadi suatu lumrah dalam kehidupan manusia. Demikianlah mereka meletakkan piawai dalam kehidupan mereka, agar mereka dituruti. Sekiranya pada zaman itu, ukuran adalah berdasarkan kedudukan kepimpinan thoghu yang ditaati dan sunnah umat terdahulu seperti inilah yang masih lagi merupakan suatu ikutan oleh umat manusia pada zaman ini. Sehingga kini, budaya kezaliman sama ada dalam bentuk penyembahan berhala atau penyembahan sistem telah menjadi suatu ikutan yang sentiasa membawa akibat yang buruk. Apakah kesudahan mereka dengan kezaliman mereka itu? Kesesatan! 

Mereka menempah kesesatan dalam beragama, dengan mengada-adakan suatu anutan agama yang memporak perandakan masyarakat. Wujudnya kasta bentuk baru yang berbeza yang membezakan lapisan masyarakat, akhirnya dapat mengakibatkan perpaduan manusia tergugat. Apajua bentuk kesyirikan adalah suatu kezaliman. Sekiranya dahulu ketaatan diserahkan kepada pendeta-pendeta, dalam kalangan umat ini pula penjawat-penjawat agama dan tuan-tuan guru telah dijadikan sebagai suatu sembahan manusia. Mereka mentaati secara membabi buta tanpa sebarang alasan yang wajar. Kini pandangan ‘ulama’ telah dijadikan sumber hukum. Fatwa mereka diterima bulat-bulat.

ii.     Kemudharatan Yang Tiada Kesudahan

Apabila wujud permasalahan dalam masyarakat, mereka lebih merelakan diri menerima hukum berdasarkan pendapat ahli agama yang berstatus 'ulama' tanpa berusaha mendapatkan penjelasan melalui kupasan kitab suci. Lalu bagaimanakah nasib yang menimpa umat? Kini telah berlaku penularan penyakit-penyakit sosial lantaran mencontohi budaya Barat, penyakit-penyakit fizikal akibat memakan benda-benda najis yang diperkenalkan oleh masyarakat Barat. Mereka sebenarnya dahagakan petunjuk Tuhan lantaran petunjuk Tuhan adalah lebih tepat namun manakah dia ulama-ulama yang berani menyampaikan ajaran benar? Mereka menjadi takut kepada tindakan pihak berkuasa yang akan bertindak mengadakan fitnah dalam kehidupan mereka? 

Dalam sistem ekonomi, umat menjadi sesat lantaran mengamalkan sistem riba secara intensif. Buktinya, apabila berlaku kegawatan ekonomi, kita dapat mendengar pelbagai kejadian jenayah pembunuhan dan bunuh diri. Kita juga akan mendengar ramai daripada peniaga dan rakyat jatuh bangkrap, disebabkan oleh belenggu hutang dan kestabilan politik juga akan tergugat. Itulah akibat daripada kesesatan ekonomi yang diamalkan. Namun tiada terdapat walau seorangpun ulama yang berani menegah perlakuan ekonomi sedemikian. Akhirnya, apabila kiblat ekonomi mereka iaitu ekonomi negara Barat menuju kepada kehancuran, maka runtuhlah aktiviti perniagaan mereka satu demi satu bermula daripada sistem permainan matawang sehingga kepada pasaran hartanah serta pengangkutan.

Kalangan kepimpinan, ketaatan rakyat mula berbelah bahagi. Adakah dengan kerjasama antara rakyat dan kepimpinan selama ini, sehingga mewujudkan suatu sistem yang menyesakkan hidup rakyat, dapat diubah dengan tiba-tiba apabila berlaku perubahan kepimpinan?

iii.    Sistem Kezaliman Yang Membawa 
        Kesesatan

Mengambil peraturan selain peraturan Tuhan adalah suatu kezaliman, kesyirikan. Menerima sistem kapitalis sehingga menidakkan sistem Islam adalah suatu kezaliman, kesesatan. Mengamalkannya secara berterusan adalah suatu kefasikan. Kembali kepada sistem Islam bukanlah dengan cara menubuhkan Baitul Mal Berhad. Jabatan tidak seharusnya menggantikan majlis dalam urusan kutipan atau pengagihan zakat sehingga terdapat mereka yang berkepentingan dengan jabatan, dengan sewenang-wenangnya menggelapkan wang ke akaun sendiri.

Sekiranya beginilah cara Islam yang diperkenalkan, maka tidak hairan suatu masa nanti umat akan meninggalkan agama ini secara beramai-ramai. Gejala seperti ini telah semakin menyerlah sekarang ini. Rata-rata kalangan kepimpinan mula memberi perhatian terhadap kontrak sosial bagi menutup masalah kejadian murtad yang semakin menjadi-jadi. Sebahagian yang lain masih mengambil kesempatan menuduh pihak-pihak tertentu sehingga membawa perpecahan kalangan umat.

Dalam surah Al-Qalam, telah dijelaskan sejelas-jelasnya golongan yang sesat dalam kalangan umat. Mereka menjadi sesat atas kerja-kerja kezaliman yang mereka lakukan. Antaranya adalah menghindar diri daripada mengeluarkan zakat, menghalang peruntukan zakat daripada sampai kepada pihak-pihak yang layak yang tentunya banyak dilakukan oleh pegawai-pegawai yang dilantik. Mengalih peruntukan zakat atas tujuan yang lain daripada yang diperintahkan sekalipun dengan hujah-hujah syar'ie seperti melabur untuk kilang pembuatan, program pinjaman perniagaan, pembelian bangunan atau apajua untuk tujuan perniagaan bagi menambah peruntukan sedia ada. Wang zakat tidak harus disimpan lama.

iv.    Kesesatan Yang Melanda Umat 
        Masakini

Apabila disebut istilah sesat, umat menyangka apajua ajaran yang dilabel oleh pejabat agama sebagai sesat maka ajaran demikian itu adalah ajaran sesat. Istilah sesat telah dijadikan istilah yang sinonim dengan syirik dan kafir. Apajua yang syirik adalah sesat, apajua yang sesat adalah kafir dan apajua yang kafir adalah syirik dan begitulah sebaliknya. Mereka memerangi ajaran 'sesat' habis-habisan namun mereka hanya berani bertindak terhadap golongan 'sesat' daripada kaum mereka sendiri sahaja. Apabila berlaku kejadian murtad besar-besaran daripada umat sebangsa mereka yang asalnya beragama Islam kepada agama lain seperti Kristian dan Hindu, mereka segera menahan tangan mereka daripada bertindak ke atas pengurusan kuil Hindu atau gereja Kristian dengan alasan, kumpulan agama ini tidak tergolong dalam kumpulan ajaran 'sesat' yang mereka istilahkan.

v.    Kecelaruan Yang Membawa Kepada 
       Riddah

Kejadian riddah atau murtad adalah merupakan suatu contoh kemuncak pengabaian yang lengkap oleh penjawat-penjawat yang berada di institusi agama terhadap umat Islam pada keseluruhannya. Perkara ini telah mula berlaku sejak tarikh kemerdekaan negara iaitu telah melebihi 50 tahun. Pengabaian ini didorong oleh kegagalan mereka menegur pemerintah terhadap polisi pemerintahan yang akhirnya mengakibatkan umat berada dalam keadaan kesempitan hidup. Akhirnya mereka yang diberi amanat, terpaksa menerima percaturan pemerintahan sehingga mereka terpaksa mengejar status dan kekayaan. Peruntukan zakat telah dipesongkan untuk tujuan yang lain atau dipendam dalam akaun-akaun simpanan bagi memperolehi laba riba.

Apabila umat mula mempertikai agama,
seluruh sistem berada di ambang bahaya.

Sunday, December 27, 2015

SURAH NUH AYAT 23 -- BERHALA YANG DIBERI NAMA


و قلوا لا تذرن الهتكم و لا تذرن ودا
و لا سواعا و لا يغوث و يعوق و نسرا

Dan telah berkata mereka, sekali-kali janganlah kamu tinggalkan sembahan-sembahan kamu dan sekali-kali jangan kamu tinggalkan Wadd dan jangan juga Suwa’ dan jangan juga Yaghuth dan Ya’uq serta Nasar.

"Dan (Ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa', dan Yaghuth, dan Ya'uuq, serta Nasr.

i.    Hanya Nama-nama Belaka

Demikian itulah mereka menamai berhala-berhala mereka dengan nama-nama tertentu. Yang mereka sembah adalah tugu yang mereka namai dengan nama-nama tertentu lalu bagaimanakah tugu-tugu itu dapat memperkenankan mereka? Sehingga zaman ini, masih ada kecenderungan manusia menyembah berhala-berhala sedemikian hanyalah mereka mengubahnya menjadi tugu atau monumen. Sebenarnya mereka menyembahnya bukanlah disebabkan kebodohan sedangkan dalam kalangan mereka terdapat mereka yang berpengetahuan sehingga dapat menghurai fenomena langit. Mereka sebenarnya bersikap kejam terhadap diri mereka sendiri dengan mempersekutukan Tuhan yang sebenar (31:13). 

Pada zaman ini kita masih mendapati bangsa-bangsa yang maju seperti bangsa Jepun dan Korea, masih menyembah objek-objek berbentuk patung. Mereka sujud kepadanya sepertimana datuk dan nenek mereka dahulu lakukan. Walhal mereka kini telah mencapai teknologi angkasalepas namun bagaimanakah mereka masih tidak dapat menggunakan akal tentang ketuhanan? Ataukah syariat belum sampai kepada mereka sehingga mereka membekukan fikiran mereka tentang agama? Penyembahan terhadap berhala adalah untuk memudahkan golongan pendeta-pendeta mereka serta sami-sami menguasai jalan pemikiran dan kerohanian mereka supaya mentaati ajaran kepalsuan tanpa asas yang benar. 

Lagipun dengan jalan penyembahan sedemikian mereka dapat menyatakan kecintaan mereka kepada dunia serta kehidupan silam mereka yang sangat mereka hargai. Demikianlah juga sunnah yang telah diterapkan oleh

ii.    Penguasaan Kerohanian Orang Ramai

Fir'aun terhadap penduduk Mesir pada suatu ketika dahulu sehingga apabila kerohanian sesuatu umat telah dikuasai maka mudahlah mereka mendapatkan ketaatan daripada manusia. Tentang sejarah penyembahan mereka, terdapat runtuhan bangunan di Luxor yang menunjukkan patung-patung besar dan topeng-topeng mayat yang memberitahu tentang perjalanan selepas kematian. Atas kepentingan yang demikian pendita-pendita dan sami-sami mereka telah dijadikan sandaran untuk mereka menentang dakwah Tuhan. Bahkan pendeta-pendeta mereka lebih mengetahui tentang kepalsuan ajaran mereka. Penyembahan berhala sebenarnya telah lama dilakukan oleh kaum asli seperti Inca di Peru, Aztec di Mexico, Zoroastar di Iran, agama Musyrikin Arab, Hindu di India dan Indonesia, Katolik di Vatican, Buddha di Tibet serta China dan Indonesia dan Shinto di Jepun.

Ajaran penyembahan berhala, masih diamalkan
oleh masyarakat yang dikatakan maju. Sami-sami
adalah ejen yang digunakan untuk menguasai 
kerohanian orang ramai.

Tujuan penyembahan sedemikian adalah sebagai suatu penghormatan kepada tokoh-tokoh silam yang dijelmakan sebagai patung atau imej bergambar. Penyembahan dilakukan dengan kepercayaan bahawa semangat yang pernah menempati pada tubuh tokoh silam dapat menempati patung-patung atau imej bergambar yang mereka hadapi. Melalui keberkatan tokoh-tokoh itu, mereka mahu doa mereka diperkenankan Tuhan. Pokok ajaran penyembahan seperti ini adalah merujuk kepada sesuatu yang telah silam. Secara tidak langsung, ajaran seperti ini sangat suka dihampiri oleh golongan jin yang bersedia mengajari mereka konsep-konsep silam. Jin-jin yang merupakan syaitan di sebalik dalang penyembahan berhala turut mengajari mereka tentang tokoh-tokoh silam yang dapat menjelma semula pada individu tertentu. Konsep ini dinamai sebagai reinkarnasi.




Monday, December 21, 2015

SURAH NUH AYAT 22 - MEREKA MERENCANA MAKAR YANG BESAR


و مكروا مكرا كبارا

Dan telah merencana mereka suatu rencana yang sangat besar. 

"Dan mereka telah menjalankan tipu daya Dengan merancangkan rancangan Yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku).

Dalam kerja-kerja pengingkaran, manusia-manusia yang ingkar sanggup melaksanakan sesuatu perkara yang besar. Sebagai contoh, perhatikanlah kaum A'ad umat Nabi Hud, yang sanggup membangunkan sebuah bandaraya Iram, yang memiliki tiang-tiang yang tinggi guna mencabar perkhabaran rasul tentang keindahan syurga. 

Perhatikanlah binaan-binaan yang dibina oleh Fir'aun untuk mencabar Nabi Musa A.S., supaya ia dapat melihat Tuhan yang didakwa wujudnya oleh Nabi Musa A.S. Namun bagaimanakah kesudahannya dengan nasib bangunan-bangunan seperti itu sekarang ini? Dibiar kosong tidak berpenghuni melainkan artifak-artifak peninggalan generasi terdahulu. Bandaraya Iram yang sehingga kini tidak ditemui pada peta dunia seperti bandar Colgate dalam iklan televisyen suatu masa dahulu, serta runtuhan-runtuhan lainnya (53:53) hanya memiliki nilai arkeologi dan pelancongan. 

Adapun umat Nabi Nuh, mereka merencana sesuatu untuk membantahnya lalu Tuhan menangkap mereka (40:05) maka kesudahannya mereka menerima hukuman keras.

i.      Perancangan Makar Besar Sejak 
        Zaman Berzaman.

Golongan ingkar telah memilih untuk mengingkari perkhabaran yang dibawa oleh rasul-rasul sejak dari dahulu lagi sehingga kepada perkhabaran yang dibawa oleh Muhammad RasululLah S.A.W. Mereka sebenarnya amat meragui tentang perkara yang dikhabarkan hingga kepada keraguan yang merisaukan diri mereka sendiri. Namun, demi untuk menyatakan rasa kebesaran diri mereka, sebenarnya mereka mencari pengaruh antara mereka sebahagian atas sebahagian yang lain. Sebahagian mereka memperguna sebahagian yang lain melalui perjuangan mengejar sesuatu yang mereka namai sebagai pembinaan tamadun. Perkara sedemikian sebenarnya telah berlaku sejak zaman perutusan Nabi Nuh A.S. lagi. Keingkaran sesuatu kaum selalunya diukur atas status pencapaian tamadun yang ditempuh oleh suatu kaum itu. 

Mengapakah bangsa yang merasakan diri mereka maju, amat sukar menerima risalah kerasulan oleh seorang rasul yang datang dalam kalangan mereka dari negeri mereka sendiri? Penulis melihat bahawa mereka ini mengukur kebenaran berdasarkan status hidup yang sedang mereka lalui. Pada zaman Nabi Nuh A.S., umat baginda telah mencapai pengetahuan sehingga mereka mengetahui bahawa langit terdiri daripada beberapa lapisan. Siapakah sebenarnya yang mengajari mereka tentang fenomena sedemikian?

Mereka memilih menyembah patung-patung yang diberi wajah kepadanya. Siapakah yang mengajari mereka untuk melakukan perkara sedemikian? Selepas kehancuran golongan ingkar daripada umat Nabi Nuh, muncul pula kaum A'ad, Tsamud dan kerajaan Fira'un yang memiliki teknologi memotong batu dengan cara potongan yang hanya dapat dilakukan dengan bantuan peralatan canggih. 

Bagaimana mungkin mereka memiliki
mesin seperti mesin 'bore hole' masakini?

Mereka mencipta sembahan yang diperbuat daripada batu yang diberi bentuk. Kiranya kita mengkaji peninggalan-peninggalan mereka, kita akan dapati, terdapat gambaran objek-objek yang menunjukkan mereka itu dibantu oleh pihak tertentu yang membawa teknologi tertentu. Seolah-olah pihak itu adalah dewa yang mereka beri penghormatan. Bukti-bukti prasejarah seperti peta silam yang direka semula oleh Piri Reis, memberi gambaran telah terdapat teknologi silam yang memiliki peralatan penyukat masa yang jitu, sehingga terbentuknya garisan-garisan seperti garisan longitud dan latitud pada peta berkenaan. Bagaimanakah tamadun terdahulu dapat mengetahui terdapat satu benua di kawasan kutub selatan? Siapakah yang mula-mula melukis peta yang menunjukkan terdapat jaluran yang kelihatan seperti sungai-sungai di benua berkenaan? Seolah-olah benua berkenaan pernah mengalami zaman tanpa ais iaitu pernah berlaku suatu zaman, bumi ini mengalami pemanasan global sejagat, yang akhirnya diikuti zaman ais. Bagaimanapun perkara sedemikian masih menjadi perdebatan tak kesudahan sehingga kini.


Peta yang ditunjukkan oleh Piri Reis
dikatakan memaparkan peta bumi sebelum zaman ais.

ii.   Penyembahan Berhala Merupakan 
      Suatu Sempena

Kajian-kajian terhadap peradaban silam menunjukkan bahawa umat terdahulu yang mengikuti ajaran penyembahan berhala, memperolehi ajaran sedemikian secara warisan sama ada melalui nenek moyang mereka ataupun mereka mewarisinya daripada pihak tertentu yang mereka namai sebagai dewa. Penemuan berhala yang berpakaian seperti angkasawan membayangkan asal penyembahan berhala seperti ini adalah merupakan pengiktirafan kepada sesuatu yang bersifat samawi. Selepas daripada peristiwa banjir besar seperti yang berlaku pada zaman Nabi Nuh A.S. semua peradaban silam telah berakhir dan yang tinggal hanyalah sedikit bekas peninggalan mereka. Kemudian ajaran penyembahan berhala telah muncul semula dan monumen bersejarah terkemudian yang dibina, masih kekal dapat diperhatikan sehingga kini seperti piramid peninggalan kerajaan Fir'aun, piramid Maya dan bekas-bekas peninggalan kaum Inca di Peru, Amerika Latin. Bagaimanakah saki baki kesan pengajaran silam yang membawa aktiviti penyembahan berhala telah muncul semula selepas era pasca Nabi Nuh A.S.? Siapakah yang mempeloporinya?
Piramid Maya - Memaparkan kecanggihan kiraan 
astronomi. Siapa sebenarnya yang
mengajar mereka?


Tuesday, December 15, 2015

SURAH NUH AYAT 21 -- MEREKA MENURUTI SUATU YANG MERUGIKAN


قال نوح رب انهم عصونى و اتبعوا
من لم يزده ماله و ولده الا خسارا

Telah berkata Nuh, “Tuhanku, sesungguhnya mereka, telah menderhakai mereka akan daku dan telah menuruti mereka, pihak yang telah tidak ia menambah akannya, oleh harta-hartanya dan oleh anak-anaknya, melainkan suatu kerugian”.

Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah menurut orang Yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak).

i.    Mereka Tak Bersedia 
      Dengan Pemberian Tuhan

Dalam ayat 71:12—20, Tuhan telah memberi janji kepada umat Nabi Nuh melalui lidah Nabi Nuh A.S. bahawa Tuhan akan memperbilang kepada mereka sejumlah harta dan anak-anak serta taman-taman yang diairi dengan air sungai, asalkan mereka beriman kepada Tuhan dan mengharapkan kemuliaan daripada Tuhan. Mengakui hakikat bahawa diri-diri mereka Tuhan yang cipta dan alam yang mereka diami ini Tuhan jualah yang sediakan. 

Namun apakah tindakbalas mereka dalam menghadapi Nabi Nuh A.S? Mereka melakukan penderhakaan daripada mentaati perintah Tuhan, dengan mengingkari ajaran-ajaranNya yang disampaikan melalui Nabi Nuh A.S. Akhirnya mereka dapati bahawa harta yang mereka kumpulkan tidak membawa apa-apa erti. Hakikat kehidupan yang seperti ini menjadi buruan umat manusia sejak dahulu.

ii.  Harta yang Merugikan

Harta yang merupakan amanah Tuhan, tidak dapat dimanfaatkan dengan sewajarnya. Apakah sebenarnya harta yang mereka kumpulkan? Umumnya harta yang dikenal pasti adalah rumah-rumah kediaman dengan kelengkapannya, kenderaan, pakaian-pakaian dan makanan. Manusia bermegah dengan semua itu. Pada zaman ini, kerugian berlaku apabila mereka memperbanyak bilangan rumah, yang akhirnya rumah-rumah itu tidak didiami atau tidak dapat diuruskan. Berapa banyakkah bangunan terbiar tidak dimanfaatkan atau tidak sepenuhnya dimanfaatkan? Lalu bagaimanakah dapat mereka berbangga dengan pembangunan-pembangunan seperti itu? 

Manusia kini dapat menyaksikan, bagaimana tapak-tapak bangunan silam terbiar tidak dapat dimanfaatkan waktu ini. Piramid yang merupakan kemegahan Fir'aun, hanya tinggal sejarah untuk tujuan pengkajian arkeologi serta pelancongan, namun tidak dapat dimanfaatkan untuk tujuan kediaman. Begitu juga bangunan kolosium tinggalan Rom serta A. Farmosa sebagai tinggalan sejarah di Melaka. Hanya memiliki nilai pelancongan untuk keturunan bangsa yang dijajah tanpa, dapat dimanfaat oleh penjajah.


Secanggih manapun suatu piramid dibina,
akhirnya ia menjadi bangunan yang tidak 
digunakan melainkan sekadar hiasan.

Tidak seperti masjid-masjid yang dibina oleh RasululLah S.A.W. dan sahabat-sahabat baginda yang terdapat di serata dunia, sehingga kini, kebanyakannya masih menjadi rumah ibadah yang sentiasa dikunjungi. Begitu juga bangunan yang menjadi peninggalan umat seperti masjid-masjid di Acheh, sekalipun bangunan sekelilingnya musnah akibat tsunami namun masjid itu masih teguh malah masih menerima kunjungan umat untuk melakukan ibadah sehingga kini. 

iii.   Pemilikan Yang Hanya 
       Sulapan Mata

Pemilikan harta kadangkala merupakan suatu sulapan kepada orang ramai, yang menjadikan perolehan dunia untuk mempengaruhi orang lain. Lihatlah sekeliling kita, bagaimana usaha-usaha pemilikan oleh sebahagian pengejar-pengejar kepentingan dunia, memperuntukkan sejumlah wang edaran dalam negara untuk memiliki harta-harta daripada jenama luar negara. Tujuan sebenar mereka hanyalah kerana kemegahan. Walhal tindakan seumpama itu, langsung tidak membantu kepada kekukuhan wang negara sehingga mengakibatkan defisit dalam negara yang melampau. 

Apakah ertinya nilai wang yang semakin mengecil secara berterusan, akibat tindakan rakus sebahagian warga negara? Pertumbuhan ekonomi dalaman yang semakin mengecut serta kesusutan keupayaan kuasa beli rakyat, tentunya lambat laun, akan meningkatkan kadar jenayah serta bilangan miskin tegar. Mengapa umat masih memilih untuk berada dalam sistem ekonomi kapitalis yang mempraktikkan sistem interes @ riba, diperkenalkan oleh golongan yang ingkar? Dengan konsep pemilikan tak terbatas yang diperkenalkan melalui sistem kapitalis, telah mengakibatkan sebahagian usahawan-usahawan sekeliling kita, hidup dalam kemelaratan. Akibatnya, secara umumnya, kehidupan rakyat turut terjejas apabila sebilangan wang yang dibelanjakan awal tahun, tidak dapat membeli barangan yang sama pada kuantiti yang sama pada hujung tahun. Bukan disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi yang menjanjikan bilangan wang yang semakin banyak, yang dapat beredar dalam pasaran, tetapi disebabkan oleh defisit dan inflasi tidak terkawal. Walaupun sistem barangan terkawal telah diperkenalkan oleh pihak berkuasa, namun atas sebab sistem kapitalis yang diamalkan - peratus keuntungan atas nilai simpanan atau pelaburan, hampir-hampir tiada ertinya. 

Apabila sampai suatu masa, gelembung ekonomi pecah, maka pada masa itu, pemerintah terpaksa menyuntik dana yang banyak terhadap syarikat serta rakyat, sehingga mengakibatkan perbelanjaan negara untuk tujuan-tujuan strategik akan terjejas.

Sekiranya tidakpun, kita akan dapat menyaksikan, banyak daripada syarikat dan equiti milik tempatan, berpindah tangan kepada pihak asing sehingga mengakibatkan maruah negara dan rakyat tergadai, sebagaimana yang berlaku ke atas kepentingan perbankan dan pasaran perumahan negara asing. Apakah ertinya semua ini, sekiranya umat yang harus menjadi warganegara yang berdaya saing sesama mereka, terpaksa memperhamba diri sendiri kepada kepentingan asing. Ya, mereka tentunya akan kelihatan kaya tetapi apalah ertinya perkara yang sedemikian, yang lambat laun menyediakan jalan kepada kemiskinan negara dan rakyat kemudian hari. 

Agama memerintah penganutnya supaya bekerja. Tentulah tujuannya adalah supaya penganutnya berharta lantaran dengan harta dapat membantu seseorang untuk menyempurnakan ibadah yang perlu dilakukan. Apalah ertinya harta yang banyak, tetapi equiti yang semakin menyusut atau menjadi negatif. Harta-harta yang diperolehi dengan jalan hutang yang melibatkan riba, akhirnya akan menyebabkan modal menyusut dan paling menyedihkan, akhirnya mengakibatkan 'kehilangan' harta berkenaan. Siberhutang pula, bukan sahaja menjadi muflis, malah masih berkeadaan terhutang yang teruk. Oleh itu, apakah ertinya nikmat kemerdekaan yang diperjuangkan sejak dahulu, sekiranya sistem ekonomi penjajah masih diamalkan, yang tentunya bertujuan menindas rakyat secara tidak disedari?

iv.   Menambah Kerugian Kepada 
       Harta Dan Anak-anak


Ayat ini memberitahu bahawa Nabi Nuh A.S. mengadu kepada Tuhan, bahawa umatnya telah terdorong untuk mematuhi perintah pihak tertentu yang sebenarnya membawa akibat kepada mereka - sehingga mereka mengalami kerugian harta dan anak-anak. Sebenarnya, perkara yang berlaku kepada masyarakat pada zaman Nabi Nuh A.S. ketika itu, juga berlaku kepada masyarakat masakini, sehingga kehidupan masakini telah menjuruskan seseorang kepada kerugian yang serupa. Tentang harta, umat masakini telah memenuhi agenda kehidupan mereka, sehingga siang dan malam mereka, hanyalah merupakan agenda mendapatkan harta. Mereka lupa untuk memberi asuhan yang sewajarnya, sehingga anak-anak tidak dapat diberi ilmu yang bermanfaat kepada diri sendiri dan masyarakat untuk kemudian hari nantinya. 

Sekiranya pada masa ini, kehidupan umat dibelenggu dengan sistem hidup kapitalis berasaskan ekonomi riba dan pajakan, maka keadaan yang serupa juga berlaku suatu masa dahulu, sehingga umat lebih terpedaya untuk mengejar ke'maju'an dunia berbanding menghayati hakikat kehidupan yang sebenar. 

Apakah nilai yang ada pada wang sekiranya nilai wang itu disusut nilai setiap tahun? Sekiranya 1 gram emas dapat digunakan untuk membeli sebuah basikal yang berkualiti pada suatu masa sekitar 50 tahun dahulu, kini, 1 gram emas masih boleh digunakan untuk membeli basikal yang serupa. Contohnya, dari sudut nilaian wang, harga basikal telah berubah daripada sekitar RM20.00 kepada RM200.00 dan kita terpaksa menanggung inflasi yang tinggi setiap kali menyimpan atau menggunakan wang sebagai alat peredaran. Pihak yang membawa kerugian atas peredaran wang kertas yang digunakan oleh umat adalah pihak bank, yang didorong penggunaannya oleh pengawal lindung nilai iaitu bank pusat bagi sesebuah negara. Ini bermakna, tiada perubahan kuantiti emas yang dicagarkan oleh bank pusat dan yang meningkat hanyalah nilai digit wang yang digunakan. Dengan lain perkataan, nilai wang sentiasa mengecil sepanjang tahun dan penyimpan-penyimpan wang di bank adalah pihak yang sentiasa mengalami kerugian. Pemilikan maya akhirkan melenyapkan harta mereka. Penulis akan membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut kemudian nanti.

iv.  Rutin Pendidikan Anak-anak 
      Yang Memudharatkan

Sebelum datangnya penjajahan, umat ini telah berada pada suatu tahap pendidikan sehingga sekitar 500 tahun dahulu, secara ringkasnya, planet paling jauh yang bergelang yang dapat dikenal pasti, telah dinamai sebagai Zuhal. Bayangkan! Itu 500 tahun dahulu sebelum penjajah sendiri dapat mencipta teleskop yang dapat meneropong angkasa. Lalu datanglah penjajah, sehingga umat ini sendiri tidak mengakui bahawa mereka telah menemui Zuhal terlebih dahulu sebelum penjajah menemui Saturn. Lalu mereka kemudian mengakui penjajah adalah segala-galanya walhal penjajah bukanlah pelopor ilmu hanya mereka memperkembangkannya.

Siapakah yang menemui Zuhal 
sebelum 'Saturn' ditemui?

Selepas zaman penjajahan, umat ini mewarisi sistem pendidikan daripada penjajah yang memisahkan antara ilmu pengetahuan dan agama sehingga untuk menerima pengiktirafan pelopor ilmuwan (Ph.D), mereka perlu mendapatkan daripada pihak penjajah. Lalu dengan bangganya para sarjana ‘ilmu-ilmu asal Islam’ yang diperkembangkan oleh penjajah, lebih diiktiraf sebagai kepakaran penjajah dalam menerokai bidang ilmu pengetahuan tertentu. Sistem pendidikan ala-penjajah yang telah dipraktikkan kini, mengakibatkan pelajar-pelajar tidak lagi mengetahui daripada siapakah sifir logaritma, trigonometri, kaedah algebra dan algoritma telah diperkenalkan? Namun itu merupakan sumbangan umat Islam terdahulu yang tidak harus dimegahkan lagi, tetapi giliran umat ini, sekarang ini, perlu memperbaharui semula asas-asas ilmu yang baru supaya perkembangan ilmu dalam kalangan umat tidak membeku.

Sistem pendidikan sekarang ini mengutamakan keutamaan minda pelajar terdidik dengan ilmu acuan penjajah dan melupai praktis kepada penemuan ilmu-ilmu baru. Mereka yang menjadi pelajar tidak mampu untuk mempraktiskan ilmu mereka dalam pekerjaan secara sendirian, sekalipun untuk tujuan mendapatkan rezeki menyara diri sendiri. Jadilah mereka pemakan-pemakan gaji untuk suatu tempoh masa yang panjang, sehingga mereka benar-benar mempelajari sesuatu dalam pengamalan pekerjaan mereka secara sendirian. Cukup untuk penulis perkatakan, sekiranya pemilik gedung-gedung perindustrian menarik balik pelaburan mereka dari negara ini, akan mengakibatkan ratusan ribu pekerja lepasan sekolah atau universiti menganggur kehilangan pekerjaan mereka dan mereka tidak akan ada hala tuju selepas itu. 

Apakah yang dikehendaki oleh penjajah melalui sistem pendidikan yang diperkenalkan? Mereka hanya mahukan pengiktirafan umat ini, bahawa mereka jualah segala-galanya. Jadilah umat ini hanya mengamalkan agama pada ibadat ta'abudi seperti mendirikan solat, mengeluarkan zakat, puasa, haji sehingga menggelapkan mata dan minda mereka, bahawa kitab ini adalah kitab awal dan akhir dalam mempersembahkan segala-gala ilmu yang telah dan belum mereka pelajari. 

Sistem pendidikan penjajah dengan sendirinya menunjukkan keburukannya apabila anak-anak dipisahkan daripada ibubapa mereka pada awal usia, untuk mendiami asrama-asrama yang disediakan. Mereka dibebani dengan maklumat-maklumat ilmu yang kebanyakannya tidak bermanfaat untuk diri mereka sendiri serta umat secara keseluruhannya. Kemudian, kita dapati ahli-ahli profesional hasil didikan penjajah, merompak harta negara dan orang ramai melalui kepakarannya jauh lebih banyak berbanding perompak-perompak yang menggunakan senjata api. Masalah sosial sering berlaku tanpa adanya didikan dan kasih sayang daripada ibubapa sejak awal-awal lagi.

v.   Benih Kepada Permasalahan Sosial

Sistem keingkaran berasaskan ekonomi riba dan pajakan telah mengakibatkan ibubapa terpaksa bekerja untuk mendapatkan suatu kehidupan. Mereka bekerja demi membayar hutang riba terhadap pemilikan harta mereka. Hingga ke suatu peringkat, mereka terpaksa melalaikan tanggungjawab mengambil berat terhadap penjagaan anak-anak mereka. Masa mereka bersama anak-anak menjadi sangat terhad sehinggalah anak-anak menjadi dewasa. Sejak dari kecil lagi, anak-anak telah diperkenalkan dengan makanan susu segera sehingga mereka memperolehi kurang manfaat daripada susu ibu. Akibatnya, rasa diambil berat oleh ahli keluarga turut terjejas, apabila mereka semakin meningkat dewasa. Dengan program-program hiburan yang sentiasa dihidangkan setiap hari, mereka akhirnya lebih menyenangi untuk bergaul dengan rakan-rakan berbanding dengan ahli keluarga sendiri. Leretan yang sudah terlalu lama sejak daripada zaman merdeka lagi, mengakibatkan kini terhasil remaja-remaja liar yang sering melibatkan diri dalam permasalahan sosial. Mereka membentuk kumpulan yang suka merempit, menyamun serta terlibat dengan gejala sosial seperti perzinaan dan penagihan dadah. Golongan pertengahan dalam kalangan mereka pula suka memilih untuk menghantar orang-orang tua mereka ke rumah orang-orang tua. Manakala golongan profesional memilih untuk mengupah pembantu rumah bagi mengambil berat ahli keluarga yang ditinggalkan di rumah, yang terdiri daripada ibubapa atau anak-anak.

Kita akan menghadapi hari tua nanti. Tentunya
kita tidak suka ditinggalkan lama.



Wednesday, December 9, 2015

SURAH NUH AYAT 20 -- MENYUSURI JALAN-JALAN YANG MELANGKAUI


لتسلكوا منها سبلا فجاجا

Supaya kamu menyusuri daripadanya jalan-jalan yang melangkaui.

“Supaya kamu melalui jalan-jalan Yang Luas padanya".

i.   Hamparan Yang Memudahkan 
     Pembinaan Laluan

Ke mana sahaja kita pergi terutamanya di kawasan-kawasan penempatan maka kita akan dapat melihat pelbagai bentuk jalan yang dapat dibina manusia. Daripada laluan kenderaan bermotor meliputi jalanraya dan lebuhraya, kepada laluan pejalan kaki, semuanya menyusuri laluan yang luas. Jalan-jalan yang melangkaui meliputi jejambat, jejantas serta landasan-landasan. Bayangkan sekiranya Tuhan jadikan permukaan bumi ini umpama ceragah-ceragah tajam, kawah-kawah curam yang dapat dilihat dari angkasa memenuhi setiap penjuru sepertimana permukaan planet-planet lain, tentunya usaha-usaha pembinaan projek-projek sedemikian menjadi sukar dilaksanakan.

Berbanding permukaan planet-planet lain,
mendiami planet bumi rasa-rasanya 
adalah yang terbaik.

ii.   Hamparan Yang Mengoptimumkan 
      Kos Pembinaan
,
Berapa banyakkah terowong harus disediakan dan berapa banyakkah jambatan harus dibina dan berapa banyak pula kos diperlukan untuk menampung semua itu? Keadaan hamparan sedia ada yang telah Tuhan adakan dalam tempoh yang sangat lama, tidak seharusnya manusia mengusahakan suatu sehingga membawa kemusnahan kepada struktur bumi (73:14). Kita harus mensyukuri nikmat ini untuk manusia menempuh perjalanan yang jauh namun kita juga tidak seharusnya menyediakan halangan atau sekatan terhadap laluan perjalanan yang lantaran tujuan sedemikianlah yang telah disediakan oleh Tuhan supaya manusia mengambil manfaat mukabumi yang luas ini. 

Perkataan سلك daripada kata dasar tempuh harus diterjemah menurut kontak ayat atau perkataan selanjutnya. Terjemahan yang dipilih adalah menempuh, menyusuri dan menghadapi untuk perkataan seperti perjalanan, jalan-jalan dan masalah setiapnya.

iii.   Jalan-Jalan Yang Melangkaui

Kemudahan menempuh perjalanan di atas permukaan bumi, telah dipermudah Tuhan untuk manusia dan hidupan lain melaluinya. 

Dengan demikian manusia dapat mempergunakannya agar mereka dapat menziarahi tempat-tempat bersejarah tertentu, yang dengan demikian manusia dapat mempelajari peradaban silam. Mereka perlu mempelajari tentang pembentukan peradaban tertentu sehingga kepada kemusnahan peradaban mereka (67:15). Umat ini harus mengambil pelajaran agar mereka tidak mengulangi corak pekerjaan umat-umat silam supaya mereka tidak akan menempuh nasib yang sama. Selain daripada itu, mereka tidak harus mewujudkan suatu sistem yang menghalang pergerakan mudah atas jalan-jalan tersedia ada sehingga manusia melaluinya dengan kesukaran. Membina halangan jalanraya atau lebuhraya bererti menyediakan kesukaran kepada pengguna.




Thursday, December 3, 2015

SURAH NUH AYAT 19 -- BUMI YANG MEMBENTUK HAMPARAN


و الله جعل لكم الارض بساطا

Dan Allah telah mengadakan Ia bagi kamu akan bumi itu suatu hamparan.

"Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan,

i.    Bumi Yang Terhampar

Tujuannya adalah supaya manusia dapat menempuh permukaan bumi yang luas. Sekiranya Tuhan ciptakan permukaan bumi ini seperti permukaan bulan yang terdiri daripada bukit-bukit curam dan kawah-kawah, tentulah manusia akan melaluinya dengan kesukaran. Penghamparan bumi telah terjadi melalui proses luluhawa yang mengambil masa yang sangat lama (88:20). Hujan yang sering berlaku akhirnya dapat memindahkan tanah-tanah menjadi hamparan yang rata. Begitu juga dengan perkisaran angin yang dapat memindahkan debu-debu serta pepasir (67:16). Di kawasan padang pasir, manusia dan haiwan-haiwan masih boleh melaluinya dengan mudah.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana semua projek lebuhraya dapat dilaksanakan sekiranya terpaksa dibina merentasi kawasan-kawasan tanah tinggi dengan pelbagai jurang yang ada yang tentunya kos pembinaan akan menjadi berganda-ganda. 

Perkataan بساطا  juga dapat diterjemahkan sebagai bentangan, iaitu merupakan suatu kata kerja terbitan daripada perbuatan melebarkan. Bumi ini telah diketahui secara umum terbina daripada kepingan-kepingan plat yang bergerak. Plat-plat ini terbentuk daripada tindakan limpahan lahar yang tertolak ke atas daripada bawah kerak bumi sejak jutaan tahun dahulu. Benua-benua yang wujud akhirnya terpisah menjauhi satu sama lain dari sebuah dataran besar yang dikenali sebagai Pangea. Pertembungan antara sebahagian benua-benua ini telah mengakibatkan terbentuknya perbanjaran yang sangat tinggi seperti perbanjaran Himalaya.


Hamparan bumi yang bergerak

ii.   Hikmah Bumi Dengan Hamparannya

Supaya manusia tidak melakukan kerja-kerja yang meletihkan, sehingga terpaksa membina binaan pencakar langit dan kediaman yang tinggi-tinggi. 

Pada masa ini, terlalu banyak bangunan tinggi telah dibina yang kebanyakan ruangan-ruangan bangunan ditinggalkan tidak digunakan. Semua ini bermula dengan polisi pemerintahan yang mencontohi sistem kapitalis dan berasaskan sistem ekonomi riba. Pembangunan bukan sahaja dibangunkan untuk tujuan keperluan bahkan telah melebihi kemegahan sehingga memberi kesan kemusnahan yang sungguh ketara. Manusia pada hakikatnya telah tidak mensyukuri anugerah Tuhan darihal permukaan bumi yang Tuhan sediakan sebagai hamparan. Mereka menebuk gunung-gunung dan menurap lembah-lembah bagi menyediakan laluan untuk tujuan perjalanan jauh yang lebih cepat dan bukannya bertujuan pertumbuhan ekonomi setempat yang rancak (34:19).





Popular