SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Friday, October 17, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 19 -- SIFAT MANUSIA YANG SERING BERKELUH KESAH


ان الانسئن خلق هلوعا

Sesungguhnya manusia itu diciptakan bersifat keluh kesah.

Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); -

PUNCA KEPADA KEROSAKAN

i.       Sifat Keluh Kesah Yang Menjadi 
         Asas Pemerintahan

Demikianlah agenda Tuhan untuk diperlihatkan kepada manusia akibat daripada sikap mereka sendiri berkeluh kesah semasa menjalani kehidupan di mukabumi ini. Dalam segala hal, mereka mahukan hasil pekerjaan mereka memberi pulangan yang banyak, cepat dan senang. Mereka tidak memperduli kesan yang akan berlaku akibat daripada tindakan mereka sedemikian. Dalam kehidupan ini, manusia suka membandingkan pencapaian dirinya berbanding manusia lain. Ataupun mereka membandingkan pencapaian keluarganya berbanding keluarga yang lain. Ataupun mereka membandingkan pencapaian kaumnya berbanding kaum-kaum yang lain. Ataupun mereka membandingkan pencapaian negerinya atau negaranya berbanding dengan pencapaian negeri-negeri atau negara lain. Akibatnya, orang-orang kenamaan mereka, akan mencipta suatu sistem untuk tujuan hidup sedemikian agar setiap sesuatu akan dimanipulasikan untuk tujuan pemperolehan daripada hasil usaha yang dilaksanakan. Lalu diperkenalkan sistem pemerintahan demokrasi dan juga sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba dan pajakan. Supaya pembangunan pesat dapat dilaksanakan dan supaya rakyat dapat memiliki apajua yang mereka ingini melebihi daripada kemampuan mereka sendiri. Setiap individu diharuskan memiliki apa sahaja, asalkan mereka sanggup membayar harga yang lebih daripada harga yang ditawarkan.

ii.      Sistem Ekonomi Berasaskan Riba 
         Yang Menggoda

Sebagai contoh, seseorang yang memiliki simpanan hanya RM 10,000, sudah boleh mencagarkannya ke dalam institusi kewangan dan mendapatkan jaminan kredit (bank guarantee) atau leveraj sebanyak 9 kali ganda iaitu sebanyak RM 90,000 sehingga mencukupkan jumlahnya menjadi RM 100,000. Jumlah itu kemudiannya akan dilaburkan dalam unit saham amanah melalui institusi kewangan berkenaan dengan jangkaan pulangan bersih 3% setahun, setelah ditolak dengan kadar hutang. Sebelum tempoh matang, skrip sijil saham amanah boleh dijadikan cagaran kepada institusi kewangan berkenaan untuk mendapatkan kemudahan overdraf yang dapat digunakan untuk tujuan kecairan dalam aktiviti perniagaan atau pekerjaan seseorang. Seseorang hanya perlu membayar jumlah yang digunakan serta jumlah riba secara bulanan dan secara mayanya ianya dikatakan memiliki simpanan sejumlah RM 100,000 dalam akaunnya.

iii.     Keluar Pagi, Pulang Petang, 
         Dapat Gaji, Bayar Hutang

Jumlah ini sebenarnya hanya akan diperolehi sekitar 25 tahun ia melakukan aktiviti perniagaan sekiranya pulangan saham amanah kekal pada kadar bersih 3% setahun. Kebanyakan daripada untung aktiviti perniagaan atau gaji bulanan perlu diserahkan ke kaunter pembayaran setiap bulan supaya jumlah wang yang dikeluarkan daripada kemudahan overdraf atau pinjaman dapat ditampung dan 'pinjaman’ terhadap jaminan kredit dapat dilunaskan sedikit demi sedikit. Itu belum dikira dengan kemudahan kredit untuk mendapatkan pembiayaan rumah keperluan, kenderaan keperluan dan sebagainya. Lalu tujuan hidupnya sebagai rakyat adalah untuk bekerja dari pagi hingga ke petang dan apabila sampai masa memperolehi untung atau gaji, hanya digunakan untuk membayar hutang. Mereka tidak akan ada kecukupan wang untuk bersadaqah membantu individu yang susah dan mereka juga tiada masa memikirkan persoalan bermujahadah di jalan Tuhan. Dalam keadaan ekonomi negara berkeadaan baik, program setiap rakyat hanyalah bekerja untuk membayar hutang. Apakah yang akan berlaku apabila terjadi kegawatan ekonomi yang selalunya berulangan setiap 10 tahun sekali? Polisi kewangan akan segera berubah. Nilai kadar pinjaman asas akan diturunkan dan kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan untuk tujuan membela syarikat-syarikat yang lumpuh, tidak memperolehi hasil sebagaimana yang diharapkan. Hingga ke suatu peringkat, rakyat terpaksa mengeluarkan belanja dapur mereka sendiri bagi menampung kerugian pelaburan yang dilaburkan untuk menutup hutang bulanan. Sekali lagi belenggu kehidupan mencengkam rakyat apabila berlaku kegawatan ekonomi.

iv.    Nota Janji Bohong Bukan Wang

Kesedaran untuk memanipulasi sistem ekonomi pasaran bebas mula 'disedari' oleh rakyat negara ini kebelakangan ini. Kesedaran sedemikian telah dilalui oleh rakyat negara-negara yang kononnya maju sehingga mereka sentiasa mengambil kesempatan hutang untuk memiliki aset yang sentiasa mengalami peningkatan digit harga. Peningkatan ini bukanlah peningkatan sebenar kerana nilai aset atau hartanah yang dimiliki sentiasa tidak dapat mengatasi nilai pasaran emas yang merupakan komoditi berintangan inflasi. Penipuan ini sentiasa dilakukan sebegitu rupa supaya setiap individu tidak dapat melarikan diri daripada anggapan bahawa nota janji bohong iaitu wang kertas sentiasa membawa nilai yang dapat diniagakan. Mereka telah melupai kenyataan bahawa emas adalah merupakan sandaran benar wang yang dapat mengekalkan nilai intrinsik, yang tidak terjejas akibat inflasi. Akibatnya, mereka terpaksa bekerja siang dan malam semata-mata untuk membayar hutang, seolah-olah mereka itu banduan-banduan di balik penjara dengan jerigi besi tidak kelihatan, bekerja untuk sang tuan yang tidak mereka ketahui.





No comments:

Post a Comment

Popular