SUMBANGAN UNTUK PONDOK
Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar
(Sila Klik Di Sini).
Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.
(Sila Klik Di Sini).
Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.
Showing posts with label Surah Al Rahman. Show all posts
Showing posts with label Surah Al Rahman. Show all posts
Saturday, May 31, 2014
KANDUNGAN YANG TELAH DIBINCANGKAN
Surah Al-Rahman
55:01 – Tuhan Al-Rahman
55:02 – Tuhan Yang Mengajar Al-Qur'an
i) Al-Qur'an Yang Dipelajari
ii) Tuhan Yang Mengajar Al-Qur'an
iii) Jibril Menyampaikan Bayan Yang
Kemudiannya Menjadi SunanYang Juga
Disebut Al-Hadith
iv) Jibril Mengajar Ejaan Tertentu Untuk
Kalimah Tertentu Dan Juga Cara Baca
Tertentu Untuk Kalimat Tertentu
Yang Lain.
v) Ayat-ayat Yang Diulang-ulangkan
Pada Banyak Tempat Dalam Al-Qur'an
55:03 – Tuhan Yang Mencipta Manusia
i) Manusia Dicipta Tuhan
ii) Manusia Dicipta Sebagai Sebaik-baik
Yang Mendirikan
iii) Manusia Memegang Peranan Tertentu
Dihidupkan Di Bumi Ini
55:04 – Tuhan Yang Mengajar Al-Bayan
i) Apakah Al-Bayan?
ii) Bertelingkahnya Manusia Selepas
Menerima Al-Bayan
iii) Al-Bayan Adalah Suatu Yang
Memecah-belahkan Umat?
55:05 – Tuhan Yang Mencipta Matahari dan
Bulan Dengan Kiraan
i) Tempoh Pergerakan Bulan dan Matahari
ii) Zodiak Yang Kini Berubah
iii) Ulangan Tempoh Matahari dan Bulan
55:06 - Bintang Atau Komet dan Pepohon Juga
Tunduk Kepada Tuhan
55:07 - Langit Yang Ditinggikan dan Neraca Timbangan
i) Proses Pembentukan Planet
ii) Pemisahan Lapisan Langit
iii) Lapisan Langit Yang Semakin Ditinggikan
iv) Bumi Yang Dipenuhi Dengan Gas
Oksigen dan Nitrogen
v) Neraca Timbangan Pembentukan
Lapisan Langit
vi) Kepentingan Pembentukan Lapisan Ozon
55:08 - Jangan Sampai Melangkaui Timbangan
i) Manusia Telah Melangkaui Timbangan
ii) Cuaca Yang Semakin Berubah
55:09 - Tegakkan Timbangan Dan Jangan Merugikan
i) Timbangan Asid-Bes Brønsted–Lowry
ii) Timbangan Yang Tidak Lagi Seimbang
iii) Timbangan Yang Perlu Diimbangi
iv) Imbangan Jaluran Van Allen
v) Menanti Tindakan Mengejut Dari
Matahari Yang Merugikan
55:10 - Neraca Timbangan di Bumi dan Kegunaannya
i) Keseimbangan Kitaran Nitrogen
ii) Usaha Manusia Mengganggu
Kitaran Nitrogen
iii) Karbon Dioksida Bukanlah Punca
Kerosakan Cuaca Bumi
iv) Penyebab Atmosfera Bumi Yang
Semakin Panas
55:11 - Tabungan Nitrogen Di Muka Bumi
Penghasilan Buah-buahan Oleh Tumbuhan
55:12 - Biji-bijian Dan Bunga-bungaan
i) Jerami Dan Peranannya
ii) Khasiat Bunga-bungaan Yang
Kurang Diketahui
iii) Timbangan Kini Yang
Boleh Manusia Ukur
iv) Suatu Anjakan Untuk Kita Semua
v) Idea Penapisan Dan Pembersihan Alam
55:13 - Manusia Dan Jin Harus Mempelajarinya
i) Manusia Dan Jin Sama-sama
Mempelopori Teknologi
ii) Permasalahan Jin dan Manusia
55:14 - Manusia Diciptakan Daripada Tanah Kering
i) Sifat Umum Bahan
ii) Bahan Asas Tembikar
iii) Struktur Tulang Adalah Suatu Yang Hidup
55:15 - Jin Dicipta Dari Plasma Api
i) Apakah Plasma?
ii) Kegunaan Plasma
iii) Jin Direkacipta Daripada Plasma
Yang Bertindan
55:16 - Manusia Dan Jin Harus Menerima
Hakikat Penciptaan
55:17 - Tuhan Dua Timur dan Tuhan Dua Barat
Pelbagai Kefahaman Tentang Dua Arah
Mata Angin
55:18 - Unsur Asas Yang Sama, Berada Di
Dimensi Berlainan
55:19 - Dua Laut Bertemu Tetapi Terpisah
i) Bertemu tetapi terpisah
ii) Perbezaan antara lautan
55:20 - Terdapat Sempadan Antara Keduanya
i) Laut Alam Manusia Dan Laut Alam Jin
ii) Penyekat Yang Tidak Dilangkaui
iii) Analogi Penyekat Yang Tidak Melangkaui
55:21 - Pelajaran Dari Domain-domain Yang Berbeza
i) Pengenalan Kepada Kepelbagaian Domain
ii) Medan Dapat Ditakrif Melalui Domain
iii) Kajian Pengamatan Pada Spektral
Yang Luas
iv) Kajian Dimensi Pada Domain
Yang Berlainan
55:22 - Barangan Yang Berguna Buat Manusia
i) Mutiara
ii) Mutiara Untuk Kegunaan Kosmetik
iii) Batu Marjan
55:23 - Perawatan Daripada Mutiara Dan Marjan
i) Antioksidan SOD Mutiara Untuk
Awet Muda
ii) Antiradang Marjan Untuk Rawatan
Kulit Seperti Jerawat
55:24 - Persekitaran Seolah-olah Suatu Akuarium
55:25 - Pemandangan Indah Bawah Lautan Yang Dilupai
i) Aktiviti Manusia Yang Merosakkan
ii) Kesan Pemanasan Global Terhadap
Rumpai Laut
iii) Kerosakan Lautan Yang Dapat
Merosakkan Karang
Pengajaran Himpunan Awal Surah Al-Rahman
Kesimpulan
Untuk Renungan Bersama
Topik:
Surah Al Rahman
Monday, May 19, 2014
KESIMPULAN HIMPUNAN AWAL SURAH AL-RAHMAN
Penerangan himpunan awal surah Al-Rahman, sengaja penulis selitkan dalam huraian blog/buku ini sebagai suatu usaha menyingkap keadaan alam, yang selama ini telah menjadi tempat kediaman kita. Kita harus sentiasa cuba memerhatikan keadaan alam ini yang selama ini telah terbentuk melalui kestabilan dan pertimbangan tertentu. Sebelum datangnya peristiwa kehancuran alam ini yang pastinya tiada lagi jalan undur, marilah kita sama-sama menjalankan kempen besar-besaran mengajak umat untuk kembali menghayati pengajaran Al-Qur'an.
Penulis optimis, hanya dengan jalan ini sajalah, akan membolehkan kita untuk terus bertahan pada bumi kediaman ini dengan penuh barakah hingga kepada masa ketentuan masing-masing. Masih adakah lagi persiapan yang paling besar selain daripada penghayatan terhadap Al-Qur'an? RasululLah S.A.W. telah melaksanakannya dan baginda telah berjaya, begitu juga dengan para sahabat R.A.H.M dan seterusnya diikuti oleh tabiin dan tabi' tabiin yang menuruti mereka itu.
Adakah wajar kita menanti-nanti bencana yang pasti akan berlaku, barulah kita mahu lakukan suatu perubahan? Baki kesempatan masa yang terhad, tidak harus kita sia-siakan semata-mata dengan mengejar kehidupan, yang kini dipenuhi dengan sistem riba. Sistem yang telah terbukti membawa kemudharatan terhadap kehidupan kita semua selama ini.
Topik:
Surah Al Rahman
Tuesday, May 13, 2014
PENGAJARAN HIMPUNAN AWAL SURAH AL-RAHMAN
Himpunan awal surah Al-Rahman adalah bermula dari ayat pertama hingga ayat ke-25 ini. Permulaan daripada surah ini mengkhabarkan tentang sifat Tuhan Al-Rahman iaitu Tuhan Maha Pemurah yang telah mengajar Al-Qur'an. Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam surah Al-Mulk (67:19) yang menjelaskan antara sifat Tuhan Al-Rahman adalah Maha Melihat segala sesuatu, perkara ini harus disambut oleh manusia untuk turut memerhati rekaciptaan Tuhan Al-Rahman. Begitu juga apabila Tuhan menyebut sifatNya yang telah mengajar Al-Qur'an (55:02), manusia harus menyambutnya dengan mempelajari setiap ayat Al-Qur'an. Seterusnya dijelaskan sifat Tuhan Al-Rahman yang membentuk manusia dan manusia harus memerhatikan pembentukan dirinya sehingga kepada memahami peranan dirinya direkacipta.
Al-Bayan adalah kaedah penerangan Tuhan terhadap ayat-ayat Al-Qur'an dan pelbagai tafsiran telah dibuat tentang Al-Bayan. Tugas penerangan telah dilaksanakan oleh Ar-Rasul S.A.W., sehingga semua perkataan Rasulullah S.A.W. dikatakan sebagai salah satu bentuk bayan atau penerang kepada Al-Qur'an.
Penciptaan Tuhan terhadap matahari dan bulan dan hubungannya berdasarkan pengamatan di bumi ini adalah juga untuk tujuan pengiraan kepada manusia di bumi ini. Segala-galanya tunduk kepada Tuhan Al-Rahman sehinggalah kepada bintang atau komet dan juga apajua tumbuhan yang terdapat di bumi ini. Semua ini memerlukan pengamatan manusia agar mereka menyedari hakikat ini.
Pengkajian tentang langit harus membawa kefahaman kepada manusia sehingga mereka dapat memahami bagaimana keseimbangan terbentuk di langit sehingga terpaparnya pembentukan jaluran tertentu. Seterusnya Tuhan telah memerintahkan agar manusia menjaga timbangan dan jangan menyalahi timbangan itu. Kedua-dua jenis makhluk berlainan iaitu manusia dan jin harus menyatakan syukur terhadap Tuhan atas segala bentuk nikmat yang diperolehi.
Pengkajian tentang langit harus membawa kefahaman kepada manusia sehingga mereka dapat memahami bagaimana keseimbangan terbentuk di langit sehingga terpaparnya pembentukan jaluran tertentu. Seterusnya Tuhan telah memerintahkan agar manusia menjaga timbangan dan jangan menyalahi timbangan itu. Kedua-dua jenis makhluk berlainan iaitu manusia dan jin harus menyatakan syukur terhadap Tuhan atas segala bentuk nikmat yang diperolehi.
Topik:
Surah Al Rahman
Tuesday, May 6, 2014
SURAH AL-RAHMAN AYAT 25 -- PEMANDANGAN INDAH BAWAH LAUTAN YANG SEMAKIN DILUPAI
فبأى ءالاء ربكما تكذبان
Maka dengan mana-manakah nikmat Tuhan kamu berdua yang kamu berdua dustakan.
maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan (Wahai umat manusia dan jin)?
i) Aktiviti Manusia Yang Merosakkan
Beting, terumbu karang dan jaluran rumpai laut menyediakan suatu ekosistem, dapat musnah dalam tempoh sepetang hanya disebabkan oleh letupan dinamit dan racun sianida. Akibatnya populasi ikan akan lenyap disebabkan mereka kehilangan sumber makanan dan kediaman. Manusia kurang mengambil berat tentang kewujudan ekosistem ini sedangkan kawasan karang hanya sekitar 0.7% daripada keluasan laut dan lautan yang terdapat di bumi ini.
ii) Kesan Pemanasan Global Terhadap Karang Laut
Struktur karang yang dibina oleh ribuan polip, haiwan sebesar cawan dalam laut, amat terkesan dengan suhu persekitarannya. Peningkatan air laut sehingga suhu 32° Celcius, dapat menyebabkan kematian polip yang penting untuk pembinaan karang baru. Kajian yang dijalankan oleh penyelidik-penyelidik dari Jabatan Sains Marin, Universiti Newcastle mendapati, karang berusia 800 tahun itu memerlukan tempoh selama 100 tahun untuk pulih semula selepas kerosakannya. Kiranya Great Barrier Reef yang terdapat di Lautan Pasifik berhampiran Australia musnah akibat perubahan cuaca, maka pantai timur Australia akan terdedah kepada ombak besar Lautan Pasifik yang dapat menghakis pantai dengan hakisan yang teruk.
iii) Kerosakan Lautan Yang Dapat Merosakkan Karang
Dalam surah Al-Baqarah ayat 2:155 sebelum ini, penulis telah membincangkan bagaimana pencemaran yang manusia lakukan, akhirnya membawa kebinasaan kepada kehidupan marin. Semua ini adalah fenomena awal yang menjurus kepada kejadian kerosakan di atas permukaan bumi yang turut membinasakan kehidupan manusia. Antara haiwan yang bersimbiosis dengan karang laut adalah ikan pelawak kenit (juvenile clownfish) dan ikan sudu itik (donald duck fish). Ikan-ikan ini memakan plankton dan juga parasit kecil yang mengganggu polip yang terdapat pada karang. Karang pula menyediakan tempat kediaman yang agak selamat kepada ikan ini dengan struktur yang dapat melukakan pemangsa-pemangsa besar yang cuba memburu ikan-ikan kecil di situ. Dengan kehadiran keadaan berasid yang tinggi, yang larut dalam air laut, ikan-ikan ini menjadi kurang sensitif dan dengan mudah menjadi mangsa kepada pemangsa yang lebih besar. Berkurangnya haiwan-haiwan yang dapat bersimbiosis dengan karang, menyebabkan polip pada karang, terdedah kepada pelbagai parasit dan ini akhirnya akan merencat pertumbuhan seterusnya karang laut. Dengan itu karang tidak lagi menjadi tempat yang sesuai untuk habitat haiwan-haiwan kecil, yang harus menjadi bekalan makanan dengan kadar tertentu kepada haiwan-haiwan yang lebih besar. Manusia perlu menyedari, hanya 0.7% daripada kawasan laut dan lautan dapat ditumbuhi dengan karang laut dan 0.7% kawasan berkenaan telah menyumbangkan 25% hidupan laut yang terdapat di bumi ini. Tanpa karang laut, semua bahagian lautan adalah ibarat padang pasir yang tidak sesuai untuk didiami oleh kebanyakan ikan. Demikian inilah bentuk pendustaan manusia terhadap Tuhan yang bersifat Al-Rahman dan atas pendustaan sedemikian, akan sampai masanya manusia menempuh bencana yang berat.
Marilah kita melakukan sesuatu dengan menuruti ajaran Al-Quran,
supaya kesan sampingannya, keberadaan karang laut dapat terpelihara
supaya kesan sampingannya, keberadaan karang laut dapat terpelihara
Topik:
Surah Al Rahman
Wednesday, April 30, 2014
SURAH AL-RAHMAN AYAT 24 -- PERSEKITARAN SEOLAH-OLAH SUATU AKUARIUM
وله الجوار المنشئات فى البحر كالأعلم
dan baginya suatu perhiasan berstruktur pada laut itu seolah-olah alam buatan (seperti akuarium)
dan Dia lah Yang Menguasai kapal-kapal Yang belayar di laut, Yang kembang tinggi layarnya seperti gunung-ganang;
Terjemahan yang penulis nyatakan ini berbanding terjemahan biasa adalah jelas berbeza. Perkataan الجوار daripada kata kerja جر yang bererti telah berhampiran ia. Perhiasan adalah suatu contoh perkara yang hampir kepada seseorang. Dalam sebahagian terjemahan الجوار dinyatakan sebagai kapal-kapal, yang mungkin menunjukkan kapal-kapal itu berada bersebelahan atau keadaan kapal yang menyediakan ruang kecil sehingga barangan atau penumpang diletakkan dalam keadaan bersebelahan antara satu sama lain. Perkataan الأعلم adalah daripada perkataan asal عالم yang bererti alam. الأعلم bukanlah merujuk kepada alam sebenar sekalipun ayat ini merujuk kepada persekitaran nyata bawah laut, tetapi lebih merujuk keindahan seolah-olah ianya adalah alam buatan. Terjemahan lain biasanya merujuk kepada gunung-gunung dan seterusnya ayat diterjemahkan kepada struktur layar yang berbentuk seperti gunung. Ayat-ayat Al-Qur'an sebenarnya terbuka kepada pelbagai bentuk terjemahan dan atas hal yang demikian Al-Qur'an sentiasa harus dikaji dan difahami pada pelbagai sudut kefahaman.
Topik:
Surah Al Rahman
Thursday, April 24, 2014
SURAH AL-RAHMAN AYAT 23 -- PERAWATAN DARIPADA MUTIARA DAN MARJAN
فبأى ءالاء ربكما تكذبان
Maka dengan mana-manakah nikmat Tuhan kamu berdua yang kamu berdua dustakan.
maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan (Wahai umat manusia Dan jin)?
i) Antioksidan SOD Mutiara Untuk Awet Muda
Bahan-bahan yang mengandungi kandungan antioksidan tinggi sama ada tumbuhan atau hasil laut, bertindak sebagai agen yang dapat meneutralkan keadaan berasid dalam tubuh. Bukan itu sahaja, bahkan antioksidan dapat 'menyerang' unsur-unsur plasma bertenaga tinggi dan menukarkannya kepada unsur biasa. Seringkali kita mendengar daun sireh, daun serta dahan zaitun digunakan dalam upacara keagamaan untuk tujuan menghalau makhluk halus. Antioksidan membekalkan elektron untuk menarik keluar unsur-unsur atau sebatian bercas positif dari tubuh. Peneutralan radikal bebas jenis stress oksidatif seperti RNS dan ROS dapat berlaku sehingga tubuh atau darah dikatakan berada dalam keadaan neutral iaitu kurang toksiditi. Enzim SOD yang terhasil dari sapuan serbuk mutiara pada kulit, bukan sahaja dapat mencerahkan kulit, bahkan juga sebagai bahan yang berguna untuk tujuan kesihatan dan awet muda. Penemuan terbaru pada tahun 2006 tentang SOD diperolehi melalui kajian yang dijalankan di sebuah Institut Kebangsaan di Perancis.
ii) Antiradang Marjan Untuk Rawatan Kulit Seperti Jerawat
Penemuan terkini darihal jaluran karang laut (sea whip coral) adalah tentang karang lembut dan rumpai laut yang dapat ditemui di Caribbean atau mana-mana bahagian laut Khatulistiwa. Ianya menyediakan sumber asli yang sangat kuat sebagai ekstrak anti-radang yang selamat, berkesan dan mesra alam. Kajian klinikal yang pernah dijalankan telah menunjukkan bahawa ekstrak rumpai laut mempunyai kedua-dua ciri anti radang dan anti analgesik yang sangat sesuai digunakan untuk kulit. Rumpai laut memiliki keupayaan tersendiri sehingga dapat menghalang 90% daripada enzim radang - fosfolipase, yang sedia terdapat pada tubuh. Enzim fosfolipase tubuh ini sebenarnya adalah enzim asas kepada tindak balas keradangan kulit yang membawa kepada tanda-tanda kemerahan dan ketidakselesaan. Melalui penggunaan ekstrak ini, telah terbukti dapat membantu kulit untuk penyembuhan dengan sendirinya.
Demikianlah Tuhan telah menyediakan penyelesaian segalajadi untuk kulit yang radang lagi sensitif yang bukan disebabkan oleh penyakit yang terlalu serius. Terumbu karang pula pada masa ini kadang-kadang telah dianggap sebagai kabinet perubatan abad ke-21. Tumbuhan terumbu karang dan haiwan laut berdarah biru adalah sumber penting ubat-ubatan baru yang sedang dibangunkan untuk merawat kanser, arthritis, jangkitan bakteria, penyakit Alzheimer, penyakit jantung, virus dan pelbagai penyakit lain. Sejak mula diketahui karang adalah haiwan yang bergerak, banyak daripadanya telah berkembang dengan pertahanan kimia diri untuk melindungi diri mereka daripada pemangsa. Ahli-ahli sains terus melakukan penyelidikan potensi perubatan daripada bahan asas ini. Pada masa hadapan, ekosistem terumbu karang boleh mewakili satu sumber yang semakin penting dalam rawatan perubatan, pemakanan tambahan, racun perosak, kosmetik dan pelbagai produk komersil yang lain.
Topik:
Surah Al Rahman
Friday, April 18, 2014
SURAH AL-RAHMAN AYAT 22 -- BARANGAN YANG BERGUNA BUAT MANUSIA
يخرج من هما اللؤلؤ و المرجان
Ia keluar dari keduanya mutiara dan permata karang
Perkataan منهما bererti daripada keduanya. Kalimat ini bermaksud kedua-duanya, laut dengan sungai, laut dengan laut yang lain atau laut alam maya dengan laut alam buana, yang dapat mengeluarkan mutiara dan permata marjan. Namun apabila ayat ini dicantumkan menjadi يخرج منهما yang bererti ia keluar daripada keduanya, menunjukkan tempat pertemuan antara dua yang bersempadan itu, keluar sesuatu. Iaitu mutiara dan permata marjan.
i) Mutiara
Mutiara adalah sejenis batuan yang terdapat pada tiram. Adakah tiram menggunakan mutiara untuk menarik minat tiram lain? Tentulah tidak! Mutiara sebenarnya dikatakan bertindak sebagai alat untuk mempertahankan diri. Jika ada benda asing yang cuba menghampirinya, tiram akan melindungi diri dengan satu lapisan yang ia keluarkan. Lapisan itu bersatu membentuk objek sfera iaitu mutiara. Jadi, haiwan-haiwan yang mengancam keselamatan tiram dikatakan takut dengan kewujudan mutiara! Hal ini hanyalah tanggapan belaka. Umumnya telah diketahui bahawa mutiara digunakan sebagai perhiasan dalam bentuk aksesori seperti aksesori berbentuk cincin, rantai, mahkota, serta gelang dan tidak ramai yang mengetahui mutiara juga digunakan untuk tujuan kosmetik dan cat. Walaupun kini tiram boleh diternak, penyelam-penyelam pada masa dahulu mendapatkan mutiara dalam tiram di muara sungai, tempat bertemunya air sungai dan air laut. Mutiara asli dengan warna putih berkilau, memiliki bentuk pelbagai dan tidaklah begitu simetri.
ii) Mutiara Untuk Kegunaan Kosmetik
Keanggunan penggunaan kosmetik mutiara akan disebutkan dalam surah Al-Insan (76:19-20). Sejarah penggunaan mutiara untuk tujuan kosmetik telah dimulai di negara China, dalam kalangan isteri-isteri maharaja suatu ketika dahulu. Harga butiran mutiara yang mahal, telah menyebabkan mereka yang kaya dan berada sahaja, mampu memanfaatkannya. Namun dengan teknologi terkini dan daripada kajian-kajian yang dijalankan, mutiara kini dapat dihasilkan pada jumlah yang banyak melalui ternakan tiram. Mutiara digunakan untuk perawatan kecantikan melalui penghasilan serbuk mutiara peringkat nano. Serbuk mutiara daripada jenis ini yang paling mahal adalah yang berwarna putih keemasan. Kini produk kecantikan ini boleh didapati dengan mudah melalui kaedah jualan langsung yang disertakan bersama penjualan bahan-bahan antioksidan yang lain. Kandungan penting bahan aktif yang terdapat dalam serbuk mutiara, dapat merangsang penghasilan superoxide dismutase – SOD, yang dapat merencat penghasilan melanin. Dengan kurangnya penghasilan melanin, kulit akan kelihatan semakin cerah dan keberkesanan produk seperti ini amat digilai oleh ramai wanita berada. Bahan SOD yang dihasilkan juga dapat merencat perembesan hormon oleh sel T, sehingga penghasilan hormon pembesaran ADH diperlahankan, seterusnya bertindak sebagai suatu pengawetan kepada tubuh supaya melalui proses penuaan yang dilambatkan.
iii) Batu Marjan
Batu marjan diperolehi daripada karang batu yang tumbuh di dasar laut. Daripada batu marjan, pelbagai jenis permata boleh dibentuk berdasarkan keadaan asal warna batu karang yang diperolehi. Terdapat pelbagai jenis permata yang dapat dibentuk daripada batu marjan seperti batu akid, nilam dan yang paling disukai adalah batu delima marjan. Sekiranya mutiara menjadi perhiasan utama golongan wanita, batuan marjan seperti ini kebanyakannya dijadikan permata cincin kepada golongan lelaki. Terdapat pelbagai mistik yang melingkung batuan marjan, antaranya adalah untuk memperolehi bantuan ghaib melalui jin-jin atau berhubungan dengan mereka. Karang laut pula dikatakan menjadi punca kepada simptom kerasukan makhluk halus. Dalam sesetengah perawatan terhadap mangsa kerasukan, sesetengah bomoh atau dukun, akan mengarahkan supaya mangsa membuang karang laut yang terdapat atau tersimpan di rumah mereka. Sesetengah karang laut dijadikan perhiasan langsir tingkap atau dijadikan tirai pintu.
Karang Laut Tempat Terhasilnya Batuan Marjan
Topik:
Surah Al Rahman
Saturday, April 12, 2014
SURAH AL-RAHMAN AYAT 21 -- PELAJARAN DARIPADA DOMAIN-DOMAIN YANG BERBEZA
فبأى ءالاء ربكما تكذبان
Maka dengan mana-manakah nikmat Tuhan kamu berdua yang kamu berdua dustakan.
maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan.
i) Pengenalan Kepada Kepelbagaian Domain
Manusia mula mempelajari kepelbagaian domain apabila mereka berusaha menyelesaikan permasalahan teknikal dalam kerja-kerja kejuruteraan mereka. Bermula daripada kajian pembolehubah kompleks yang membentuk domain kompleks untuk menyelesaikan permasalahan hidrologi dalam ruangan tertutup, kepada fungsi logaritma kompleks dalam teknologi pembetulan fotografi, sehinggalah kepada pembentukan domain frekuensi untuk menyelesaikan permasalahan isyarat komunikasi.
ii) Medan Dapat Ditakrif Melalui Domain
Kemudian manusia menyedari tentang peranan medan dalam membentuk kepelbagaian domain bagi menyelesaikan kiraan cas elektrostatik, kesan potensi elektromagnetik dan kesan medan magnetik dalam domain quasi-statik. Penakrifan tentang ruang, membuka lembaran baru dalam kajian matriks, sehingga manusia mampu membina teknologi pemaparan berasaskan kiraan komputer. Daripada kajian sedemikian, penggabungan domain quasi-statik yang ditakrif semula dalam ruangan matriks, telah membuka lembaran baru terbentuknya simulasi alam maya melalui paparan komputer untuk tujuan sistem peramalan cuaca, perambatan ionosfera dan sebagainya.
iii) Kajian Pengamatan Pada Spektral Yang Luas
Apabila kajian manusia menjadi lebih terperinci sehingga ke peringkat mikroskopik dan megaskopik, contohnya untuk pergerakan yang sangat laju atau untuk medan tarikan melibatkan jisim yang sangat besar atau kesan medan melibatkan arus yang sangat kuat atau keamatan frekuensi yang bersangatan, segala-galanya perlu ditakrif semula. Bunyian sonik bertindak seperti pepejal, cahaya berkeamatan tinggi dapat mengubah unsur atau sebatian menjadi plasma, medan magnetik dapat menghasilkan graviti dan antigraviti buatan, jisim meningkat dengan peningkatan kelajuan, cahaya terpesong oleh kesan pinggiran dan juga oleh kesan tarikan graviti objek sangat besar dan isyarat radio yang kuat yang dipancar melalui frekuensi sangat rendah didapati mengubah tingkah laku manusia. Semua ini memerlukan kajian khusus melibatkan perbelanjaan besar dan risiko bahaya yang tertentu. Dimensi-dimensi baru dapat ditakrif dan manusia mulai menerima hakikat kehadiran makhluk-makhluk ghaib yang sebelum ini tidak diketahui kehadiran mereka.
iv) Kajian Dimensi Pada Domain Yang Berlainan
Antara perkara menarik ialah, sifat fizikal seperti jarak, luas dan isipadu pada ukuran domain quasi-statik tidak dapat lagi diguna pakai untuk menjelaskan sifat fizikal domain plasmik. Makhluk-makhluk jin dikatakan dapat mendiami ruangan yang jauh lebih kecil berbanding ruangan manusia dan antara yang unik adalah, mereka dikatakan dapat memanfaatkan permata seperti batu delima marjan untuk dijadikan perantara antara dua alam ini. Tentunya hal yang demikian memerlukan kajian teliti untuk menjelaskan permasalahan ini.
Topik:
Surah Al Rahman
Sunday, April 6, 2014
SURAH AL-RAHMAN AYAT 20 -- TERDAPAT SEMPADAN ANTARA KEDUANYA
بينهما برزخ لا يبغيان
Antara keduanya, barzakh, tidak dua itu melangkaui
di antara keduanya ada penyekat Yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya;
i) Laut Alam Manusia Dan Laut Alam Jin
Yang dinyatakan pada 55:19 boleh juga dirujuk kepada laut alam manusia dan laut alam jin. Oleh kerana unsur dan sebatian dalam keadaan fizikal plasmik dapat menembusi unsur dan sebatian dalam keadaan fizikal quasi-statik, maka pertindanan antara alam jin dan alam manusia dapat berlaku dengan sewajarnya. Penulis menyatakan alam jin sebagai alam buana dalam domain plasmik, manakala alam manusia sebagai alam maya dalam domain quasi-statik. Pertindihan berlaku antara domain plasmik dan quasi-statik, dengan sedikit kesan induksi yang tidak begitu ketara. Oleh itu, apajua yang dapat wujud di domain plasmik adalah merupakan kedualan yang serupa yang boleh didapati pada peringkat domain quasi-statik.
ii) Penyekat Yang Tidak Dilangkaui
Istilah برزخ (barzakh) bererti penyekat atau suatu sekatan. Alam barzakh adalah alam kematian, yang kita hidup di dunia telah tersekat daripada mengetahui lebih lanjut tentang alam ini. Tanggapan manusia terhadap barzakh lebih kepada persangkaan dan hanya rujukan agama sahaja buat masa ini yang boleh diharap sebagai jalan untuk penduduk bumi ini menyedari adanya alam barzakh. Hanya individu tertentu sahaja dalam kalangan manusia dan dalam kalangan jin yang dapat melepasi sekatan barzakh dan berulang alik antara domain plasmik dan domain quasi-statik. Domain plasmik dalam kalangan masyarakat Melayu adalah alam bunian.
iii) Analogi Penyekat Yang Tidak Melangkaui
Penulis masih ingat, pada suatu ketika dahulu, pada awal era 70'an, penulis pernah menemui radio lama yang terbuat daripada tiub-tiub vakum yang hanya memaparkan siaran-siaran modulasi amplitud (AM), siaran gelombang pendek (SW) dan siaran gelombang sederhana (MW). Radio itu dibalut dengan dinding kayu dan saiznya jauh lebih besar daripada radio yang digunakan kini. Tidak ditunjukkan di sana siaran modulat frekuensi (FM) melainkan siaran gelombang panjang (LW), barangkali disebabkan oleh kekangan teknologi pada masa itu. Kemudian muncul radio yang menyiarkan rancangan melalui siaran FM dan semakin lama, penggunaan siaran modulasi amplitud seperti AM dan SW semakin berkurangan. Domain siaran telah bertukar mod dari domain masa ke domain frekuensi. Semuanya berlaku apabila persembahan matematik terhadap isyarat radio dapat diterjemahkan kepada domain frekuensi. Mereka yang pakar tentang isyarat komunikasi mengakui bahawa domain siaran AM sentiasa berada di tempat yang sama iaitu dalam ruangan yang sama dengan domain siaran FM, hanya penerima isyarat seperti radio dapat membezakannya melalui litar tertentu.
Dengan lain perkataan, isyarat-isyarat itu didapati bertindan tetapi terpisah antara satu sama lain melalui permodulatan yang berbeza. Begitu juga teknologi terkini yang melibatkan penghantaran isyarat digital terproses – DSP, yang membolehkan pengguna internet dapat menggunakan laluan yang sama sekitar masa serentak. Semua ini dapat dibezakan melalui kefahaman perbezaan domain yang dilalui oleh dua atau lebih isyarat yang berbeza, pada fasa masa yang berbeza dan modulat frekuensi yang berbeza.
Dalam hal ini, adalah tidak mustahil untuk dua alam yang berlainan membentuk domain kewujudan yang berlainan sekalipun berada pada masa dan tempat yang sama. Hanya sanya sehingga ke tahap ini, manusia belum begitu memahami tentang domain plasmik tempat tinggal bangsa jin dan domain kosmik alam kediaman para malaikat. Kajian-kajian manusia sehingga ke tahap ini hanya terhad dalam domain quasi-statik iaitu alam maya yang terbina daripada unsur-unsur atau sebatian yang cenderung untuk bersifat neutral.
Dalam hal ini, adalah tidak mustahil untuk dua alam yang berlainan membentuk domain kewujudan yang berlainan sekalipun berada pada masa dan tempat yang sama. Hanya sanya sehingga ke tahap ini, manusia belum begitu memahami tentang domain plasmik tempat tinggal bangsa jin dan domain kosmik alam kediaman para malaikat. Kajian-kajian manusia sehingga ke tahap ini hanya terhad dalam domain quasi-statik iaitu alam maya yang terbina daripada unsur-unsur atau sebatian yang cenderung untuk bersifat neutral.
Topik:
Surah Al Rahman
Monday, March 31, 2014
SURAH AL-RAHMAN AYAT 19 -- DUA LAUT BERTEMU TETAPI TERPISAH
مرج البحرين يلتقيان
Telah bertindan ia akan dua laut itu, dua yang bertemu.
ia biarkan air dua laut (yang masin dan Yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu;
Dua Laut Bertemu Tetapi Terpisah
i) Bertemu Tetapi Terpisah
Pelbagai bentuk kefahaman terhadap dua laut yang bertemu. Antaranya adalah pertemuan sungai besar yang terdiri daripada air tawar dan air laut yang masin di muara sungai berkenaan. Kawasan masin air laut dan tawar air sungai didapati tidak bercantum sekalipun bertemu dan dapat dibezakan secara nyata melalui pandangan udara. Air laut didapati tidak bercantum dengan air sungai pada suatu sempadan oleh tindakan pergerakan air sungai itu sendiri, yang sentiasa menolak air laut berkenaan. Sebaik sahaja air sungai melepasi sempadan itu, air sungai akan bercampur dan berbaur dengan air laut. Bukan itu sahaja, bahkan terdapat pemisahan ketara antara dua lautan contohnya antara Lautan Atlantik dan Laut Mediteranian yang secara fizikalnya memiliki dua warna laut berbeza. Begitu juga, pengamatan satelit dapat memerhatikan, terdapat persempadanan ketara yang dapat dilihat untuk membezakan antara dua laut yang bertemu.
ii) Perbezaan Antara Lautan
Lautan Pasifik berbeza ketinggiannya dengan Lautan Atlantik. Kiranya suatu terusan dibina antara keduanya, didapati air akan dapat mengalir dari satu lautan ke lautan yang lainnya. Perbezaan ini timbul disebabkan oleh terdapat perbezaan tekanan hidrostatik oleh pergerakan olakan air sedia ada. Begitu juga perbezaan antara air Sungai Amazon dengan Lautan Atlantik, sehingga terdapat satu jaluran lompatan Bernoulli telah sedia wujud. Muara sungai Amazon didapati sedikit rendah berbanding ketinggian Lautan Atlantik yang bersebelahan dengannya. Lautan Hindi memiliki ketinggian sekitar 4 meter lebih tinggi berbanding Lautan Pasifik dan perbezaan ini wujud disebabkan perbezaan tarikan graviti antara dua kawasan yang luas ini. Kesimpulannya, perbezaan antara dua laut atau lautan dapat wujud disebabkan oleh sekatan-sekatan seperti perbezaan hidrostatik, tarikan graviti dan spesifik graviti bagi setiap bahagian berlainan. Kajian tentang perbezaan kelajuan air, tekanan hidrologi, kemasinan air dan suhu air laut, menjadi faktor penyebab terjadinya olakan air laut serta udara yang terdapat di permukaannya. Pergerakan udara pula mempengaruhi cuaca setempat dan semua faktor ini perlu dipertimbangkan dalam meramalkan perubahan cuaca secara besar-besaran. Filem “Lusa” - 'Day After Tomorrow' turut memberi gambaran sedemikian
Topik:
Surah Al Rahman
Tuesday, March 25, 2014
SURAH AL-RAHMAN AYAT 18 -- UNSUR YANG SERUPA DI DUA DIMENSI YANG BERLAINAN
فبأى ءالاء ربكما تكذبان
Maka dengan mana-manakah nikmat Tuhan kamu berdua yang kamu berdua dustakan.
maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan.
Alam maya diciptakan Tuhan memaparkan persembahan asas gabungan unsur yang terdiri daripada beberapa unsur gabungan. Semuanya dapat dipelajari sepertimana yang ditunjukkan pada Jadual Berkala Unsur. Setiap unsur terdiri daripada gabungan antara neutron dan proton yang terikat dengan zat-zat messon. Paduan antara unsur berlaku sama ada menerusi ikatan logam, kovalen, ionik, hidrogen atau ikatan Van der Wall. Apabila paduan unsur telah berlaku membentuk bahan, bahan pula boleh bergabung dengan bahan yang lain menerusi tarikan magnetik, tarikan graviti atau tarikan elektrostatik. Apabila paduan dapat berlaku, gabungan unsur itu dikatakan dapat berada dalam keadaan tenaga rendah dan stabil. Apabila tenaga tinggi dikenakan kepada bahan asas di alam maya ini, unsur-unsur akan berubah keadaan, kepada keadaan fizikal yang berlainan. Ikatan messon dapat terlerai melalui hentaman neutron dalam tindak balas nuklear. Unsur mengalami penyepaian membentuk unsur-unsur baru yang lebih kecil. Proses kebalikan dapat juga berlaku melalui proses yang dikenali sebagai pelakuran.
Tenaga yang terhasil dapat menyepaikan bahan-bahan yang sedia terbentuk di alam maya ini, sama ada yang terikat melalui ikatan logam, kovalen, ionik, hidrogen atau ikatan Van der Wall kepada unsur-unsur terpisah yang memiliki cas yang sangat tinggi dikenali sebagai plasma. Cas-cas tinggi yang berlawanan akhirnya dapat menemukan dua unsur yang berlawanan membentuk gabungan baru. Gabungan plasma membentuk ikatan terpisah yang menjarakkan unsur berlainan pada jarak yang agak jauh, berbanding jarak unsur dalam sebatian yang biasa ditemui di bumi ini. Yang menariknya sebatian plasma ini dapat bergerak menembusi jasad-jasad fizikal di bumi ini kecuali bahan logam.
Oleh kerana makhluk jin terbina daripada pelbagai sebatian plasma, jin dapat bergerak menembusi halangan-halangan di bumi ini dan makhluk jin dikatakan berada di dimensi yang berlainan daripada dimensi yang ada di alam maya ini. Bagaimanapun, jin tidak berupaya menggerakkan jasad-jasad yang berada di bumi ini dengan mudah. Mereka memerlukan sejumlah medan tenaga yang tinggi untuk menggerakkannya. Secara ringkasnya, penulis dapat nyatakan bahawa alam jin dan alam manusia terbina daripada unsur asas yang serupa, tetapi unsur-unsur itu saling bergabung membentuk ikatan sebatian yang berlainan sehingga mereka masing-masingnya harus berada di dua dimensi alam yang berlainan.
Topik:
Surah Al Rahman
Wednesday, March 19, 2014
SURAH AL-RAHMAN AYAT 17 -- TUHAN DUA TIMUR DAN TUHAN DUA BARAT
رب المشرقين و رب المغربين
Tuhan dua timur dan Tuhan dua barat
(Dia lah) Tuhan Yang mentadbirkan dua timur, dan Tuhan Yang mentadbirkan dua barat
Pelbagai Kefahaman Tentang Dua Arah Mata Angin
Apabila kita berada di mana-mana tempat di permukaan bumi, tentunya kita dapat mengetahui arah timur dan arah barat. Arah timur yang dapat kita tunjukkan sebenarnya adalah arah barat kepada mereka yang berada di belahan bumi di bawah sana dan begitu juga arah barat bagi kita, adalah merupakan arah timur bagi mereka. Oleh itu arah timur menjadi arah barat dan arah barat menjadi arah timur sekiranya dilihat dari sebelah bumi yang berlainan. Menjadikan sentiasa terdapat dua timur dan dua barat sekaligus. Kenyataan ini menunjukkan keadaan bumi bulat yang dapat difahami daripada ayat Al-Quran ini. Pada suatu masa dahulu yang kebulatan bumi menjadi suatu yang dipertikaikan dalam agama Kristian, Al-Quran telah mendahului penemuan ini sebelum penemuan saintis.
Oleh kerana kehadiran ayat ini adalah sesudah ayat yang merujuk kepada bangsa manusia dan bangsa jin, keadaan dua timur dan dua barat mungkin dapat dinyatakan sebagai timur dan barat pada bumi kediaman manusia dan timur dan barat pada bumi kediaman bangsa jin. Memandangkan bumi kediaman manusia terdiri daripada alam maya dan bumi kediaman jin daripada alam buana, keadaan fisikal yang berlainan ini barangkali dapat memberi jawapan terhadap fenomena yang berlainan terhadap arah mata angin kedua-kedua kediaman ini. Tempoh masa yang berbeza antara alam manusia dan alam jin dapat menjelaskan fenomena berlainan antara dua alam ini.
Topik:
Surah Al Rahman
Thursday, March 13, 2014
SURAH AL-RAHMAN AYAT 16 -- MANUSIA DAN JIN HARUS MENERIMA HAKIKAT PENCIPTAAN
فبأى ءالاء ربكما تكذبان
Maka dengan mana-manakah nikmat Tuhan kamu berdua yang kamu berdua dustakan?
maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan (Wahai umat manusia dan jin)?
Manusia dicipta dalam keadaan tidak dapat melihat makhluk jin secara mudah dan tidak juga makhluk-makhluk ghaib yang lain. Apatah lagi untuk manusia dapat mengembara di alam jin. Oleh itu, manusia kurang menyedari agenda perkara ghaib yang berlaku sekeliling mereka. Oleh kerana mereka kurang menyedari kekuasaan Tuhan darihal perkara ghaib, mereka tentunya berada dalam suatu situasi lebih meragui tentang perkara ghaib berkenaan. Hanya yang benar-benar sedar dan mengakui hakikat ini melalui keimanan mereka, dapat menerima hal-hal ghaib dalam kehidupan mereka.
Tidak seperti jin yang lebih mudah untuk menerima perkara-perkara ghaib, kerana mereka sendiri dapat menyaksikan sebahagian mereka menerima bencana akibat usaha mereka mencuri-curi dengar perkhabaran langit. Hakikat penciptaan mereka daripada plasma api, menjadikan mereka lebih mudah untuk menyaksikan alam malaikat yang tercipta daripada foton cahaya. Kenyataan seperti ini sebenarnya boleh dipelajari oleh manusia sendiri. Pancaran cahaya kepada unsur nadir bumi pada keamatan berbeza, sebenarnya dapat mengakibatkan nadir bumi mengeluarkan cahaya pelbagai warna yang dapat disaksikan oleh mata manusia. Unsur nadir bumi yang dapat berubah menjadi plasma, sebenarnya suatu teknologi yang menjadi kontroversi kepada manusia. Mengusahakan teknologi sedemikian telah membawa pencemaran yang dahsyat.
Topik:
Surah Al Rahman
Friday, March 7, 2014
SURAH AL RAHMAN AYAT 15 -- JIN DICIPTA DARIPADA PLASMA API
وخلق الجآن من مارج من نار
Dan telah mencipta Ia akan Jaan itu daripada tindanan plasma daripada api
dan ia telah menciptakan jin dari lidah api Yang menjulang-julang)
i) Apakah Plasma?
Kita biasa membincangkan tentang keadaan suatu jirim yang terdiri sama ada daripada pepejal, cecair atau gas dan jarang sekali kita membincangkan jirim daripada plasma. Plasma terhasil apabila suatu punca tenaga yang sangat tinggi dikenakan kepada suatu unsur atau sebatian yang selalunya terdiri daripada gas. Sebatian-sebatian atau unsur gas yang terdedah kepada tenaga tinggi ini akan terlerai kepada unsur-unsur tersendiri yang dikenali sebagai plasma. Pengalaman penunggang belon helium, dalam usaha memecahkan rekod ketinggian, seringkali berhadapan masalah kelepuhan pada kulit akibat terkena wap plasma pada altitud yang sangat tinggi. Plasma juga dapat menjalar membentuk radikal bebas yang amat merbahaya kepada hidupan. Plasma dapat diperhatikan pada lapisan mesosfera di kawasan kutub membentuk fenomena aurora. Tenaga tinggi dalam bentuk ion atau partikel bercas dari matahari, mengenai gas-gas di bumi yang bertenaga rendah dan menukarkannya menjadi plasma. Fenomena aurora dapat mengganggu penerimaan isyarat radio dan aurora yang bercas tinggi pada skala eV, dapat menginduksi kabel-kabel penghantaran elektrik dan mendatangkan kerosakan kepada peralatan elektrik. Selalunya perkhidmatan udara akan dihentikan di kawasan latitud tinggi di bumi ini, apabila berlaku letusan matahari yang dijangka akan menghasilkan pembentukan aurora di langit bumi.
ii) Kegunaan Plasma
Plasma atau ion-ion bertenaga sangat tinggi, setakat ini digunakan oleh manusia untuk tujuan penstrilan air, pembersihan kawasan yang tercemar dengan bauan yang kuat serta kegunaan pemapar skreen leper untuk pemapar komputer atau telefon bimbit. Penghasilan peralatan yang menghasilkan plasma sungguh menimbulkan kontroversi, apabila melibatkan kos yang tinggi dan juga menyingkirkan bahan yang sangat mencemari. Dengan teknologi terkini, penstrilan udara di bilik pembedahan di hospital-hospital ternama, menggunakan pancaran ultravoilet untuk menghasilkan plasma yang dapat menghasilkan ozon dan pelbagai jenis gas dalam udara. Ozon digunakan untuk basmi kuman dan plasma itu sendiri dapat menghilangkan kesan bauan kimia yang tidak dikehendaki.
iii) Jin Direkacipta Daripada Plasma Yang Bertindan
Ion-ion bertenaga sangat tinggi hanya boleh terhasil daripada pembentukan api yang sangat panas atau apa-apa sumber tenaga tinggi. Ion-ion dari sebatian atau unsur akan menyepai membentuk ion-ion tersendiri apabila ikatan sebatian atau unsur itu saling bertindanan. Pada kedudukan ini, ion-ion yang berlawanan cas, hanya akan bergabung secara saling putaran pada kelajuan putaran sudut sangat tinggi dan jarak yang agak berjauhan berbanding jarak antara unsur dalam sebatian. Sifat fizikal inilah yang menyebabkan sebatian plasma, dengan mudah dapat menembusi atau bertindan dengan banyak daripada jasad nyata yang dapat disentuh oleh manusia kecuali logam. Apabila kita menerima hakikat bahawa makhluk jin tercipta daripada plasma, kita juga harus menerima kenyataan bahawa makhluk ini tidak dapat kita lihat dengan mudah melainkan apabila kita dapat berada dalam suatu keadaan. Bagaimanapun sebatian plasma yang stabil, dapat memancar cahaya pramerah dan dengan itu ianya dapat dikesan juga melalui peralatan tertentu yang direkacipta oleh manusia.
Pelbagai Jenis Plasma Pada Ketumpatan
Elektron dan Suhu Yang Berlainan
Elektron dan Suhu Yang Berlainan
Topik:
Surah Al Rahman
Saturday, March 1, 2014
SURAH AL-RAHMAN AYAT 14 -- MANUSIA DICIPTA DARIPADA TANAH KERING
خلق الإنسن من صلصل كالفخار
Telah mencipta Ia akan manusia itu, daripada tanah kering bertalun seperti tembikar
ia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar
Perkataan صلصل bererti suatu yang berdenting, iaitu suatu yang menghasilkan bunyi berpanjangan. Sesuai juga untuk suatu yang mengeluarkan bunyi talaan tertentu apabila diketuk seperti tembikar atau pisau nirkarat yang diketuk sesamanya. Suatu yang dapat bertalun memiliki pekali Modulus Young yang tinggi iaitu bersifat kenyal dan tidak mudah pecah atau patah, melainkan sekiranya daya yang sangat besar dikenakan padanya. Nyatanya ayat ini secara khususnya merujuk kepada tulang manusia yang merupakan bahagian mekanikal.
i) Sifat Umum Bahan
Apabila kita membicarakan suatu bahan yang keras yang tidak
mudah patah atau pecah, melainkan dengan daya yang sangat kuat,
perbincangan tidak lari daripada sifat bahan seramik. Seramik memiliki
sifat yang berlawanan daripada logam yang bersifat kuat dan mulur
manakala seramik adalah keras dan rapuh. Ahli-ahli sains bahan sentiasa
memikirkan untuk menghasilkan suatu bahan yang keras dan mulur supaya
peralatan mekanikal yang terhasil tidak mudah mengalami kegagalan.
Nyatanya bahan sedemikian telah disediakan Tuhan terlebih dahulu pada
manusia yang terdiri daripada tulang belulangnya yang bersifat keras dan
mulur. Sifat mulur bagi tulang adalah bertujuan untuk mendapatkan
keadaannya yang mudah melengkung apabila dikenakan dengan bebanan daya
yang agak tinggi. Perkara yang paling menarik bagi manusia adalah tulang
pelvik ibu dapat juga berubah menjadi sangat mulur dan lembut untuk
tujuan memudahkan kelahiran bayi. Baru-baru ini suatu kajian
sains bahan terhadap bahan komposit telah dihasilkan oleh penyelidik di
Universiti Sains Malaysia. Bahan yang dihasilkan itu dikatakan dapat
menggantikan tulang manusia kerana memiliki sifat keras dan mulur dan
diharapkan hasil kajian ini, suatu masa nanti akan dapat digunakan
secara meluas di hospital-hospital. Kajian demi kajian terus dilakukan
pada peringkat penyelidikan, supaya bahan yang bersifat seperti tulang
manusia dapat dihasilkan.
Pembakaran tanah liat untuk dijadikan tembikar adalah suatu aktiviti
mengubah struktur butiran-butiran yang terdapat dalam tanah liat
berkenaan. Selain daripada tujuan mengeraskan tanah liat untuk menjadi
seperti batu, pemanasan setiap butiran tanah liat menjadikannya mencair
memenuhi lompang-lompang antaranya dan menambahkan lagi sempadan butiran
sebelum mengeras semula apabila disejukkan. Antara teknik yang sangat
baik bagi meningkatkan kekuatan tembikar, tanah liat yang digunakan
sebelum dibakar, haruslah terlebih dahulu dikeringkan dan dihancurkan
menjadi seperti tepung. Teknik terkini yang menghasilkan butiran tanah
liat bersaiz nano, sangat memberi kesan dalam menghasilkan tembikar yang
sangat keras. Sekiranya diperhatikan struktur tulang yang
diperhatikan di bawah mikroskop, kita akan dapati betapa sukarnya
menentukan saiz sempadan butir tulang. Pembentukan butiran tulang adalah
sangat kecil sehingga bersaiz nano. Bagaimanakah saiz sekecil bersaiz
nano dapat dihasilkan dalam tulang? Semua ini menunjukkan kejuruteraan
teliti yang Tuhan telah laksanakan dalam agenda penciptaan manusia.
iii) Struktur Tulang Adalah Suatu Yang Hidup
Tulang dalam tubuh yang hidup dapat terbina semula apabila mengalami
kecederaan seperti patah atau retak. Keistimewaan ini membolehkan tulang
dapat memanjang semula dan bercantum kembali menjadi seperti keadaan
asal. Bahkan terdapat rawatan yang menyakitkan untuk tujuan memanjangkan
tulang supaya seseorang dapat menambah ketinggiannya. Saraf yang
terdapat dalam tulang dapat mengesan perubahan suhu yang berlaku pada
tulang. Sesetengah struktur tulang seperti yang terdapat pada gigi
haiwan, yang telah mengalami kehausan akibat geseran berpanjang, dapat
terbina semula dan kelebihan ini tidak terdapat pada manusia.
Topik:
Surah Al Rahman
Sunday, February 23, 2014
SURAH AL-RAHMAN AYAT 13 -- MANUSIA DAN JIN HARUS MEMPELAJARINYA
فبأى ءالاء ربكما تكذبان
Maka dengan mana-manakah nikmat Tuhan kamu berdua yang kamu berdua dustakan
maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan (Wahai umat manusia dan jin)?
Sekiranya bangsa manusia tidak mengetahui tentang timbangan sedemikian, sesungguhnya bangsa jin juga tidak mengetahuinya. Mereka haruslah mempelajarinya dengan terlebih dahulu merenung pengajaran-pengajaran Al-Qur'an.
i) Manusia Dan Jin Sama-sama Mempelopori Teknologi
Perkataan ربكما تكذبان merujuk kepada dua kata nama. Tuhan tidak menurunkan ayat ini kepada dua manusia sahaja, tetapi adalah dimaklumi, sasaran ayat ini adalah kepada bangsa jin dan bangsa manusia sebagaimana disebutkan pada ayat selanjutnya. Sekiranya manusia bersama corak pembangunannya tidak dapat diharap untuk menyediakan sebuah pembangunan yang terhindar daripada usaha-usaha yang membawa kepada kerosakan alam, betapakah harapan yang lebih tinggi dapat diberikan kepada bangsa jin? Sesungguhnya jin tidak dapat mengatasi manusia darihal pengetahuan tentang perkara-perkara ghaib dan begitu juga manusia tidak dapat mengatasi jin darihal rekaciptaan teknologi. Sekalipun jin dikatakan memiliki teknologi yang dapat mengatasi teknologi manusia namun bangsa jin juga didapati tidak dapat menyediakan suatu keadaan yang dapat memulihkan kediaman mereka sendiri. Apatah lagi, mereka juga tidak begitu bersedia dengan pemindahan teknologi yang dapat membantu manusia. Dengan sifat keegoan bangsa jin, mereka didapati lebih suka untuk dianggap lebih mulia dan lebih bertamadun. Lalu bagaimanakah dapat dikatakan bahawa bangsa jin akan datang sebagai juru penyelamat kepada manusia nantinya apabila sampai masa berlaku bencana di mukabumi ini?
ii) Permasalahan Jin dan Manusia
Penerangan lebih mendalam tentang perlakuan jin dalam kehidupan manusia akan diterangkan lebih lanjut dalam surah Al-Jin. Secara ringkasnya, dapat penulis nyatakan bahawa sebahagian jin, telah mengumpan manusia terutamanya kepimpinan manusia yang berada di negara-negara Barat melalui sebahagian pemindahan teknologi. Mereka, yang telah memainkan percaturan utama sehingga membawa akibat permusuhan sesama manusia dan membawa kerosakan kepada keadaan cuaca bumi, kini sedang melakukan sesuatu untuk menguasai bangsa manusia sepenuhnya.
Topik:
Surah Al Rahman
Monday, February 17, 2014
SURAH AL-RAHMAN AYAT 12 -- BIJI-BIJIAN DAN BUNGA-BUNGAAN
والحب ذو العصف و الريحان
Dan biji-bijian yang memiliki jerami dan bunga-bungaan
demikian juga terdapat biji-bijian Yang ada jerami serta daun, dan terdapat lagi bunga-bungaan Yang harum;
Begitu juga apabila dibincangkan antara biji-bijian yang berwarna kelabu
yang masih melekat padanya bahagian dalam kulit daripada jerami, dengan
bijian yang telah digilap bersih, manakah antara pemakanan demikian
yang lebih berkhasiat? Kajian tentang khasiat makanan serta
bunga-bungaan telah dilakukan dengan intensif, betapa semua hal yang
demikian itu, sebenarnya berkait rapat untuk tujuan keseimbangan tubuh
selain untuk tujuan bekalan tenaga dan juga untuk tujuan keseimbangan
persekitaran.
i) Jerami Dan Peranannya
Bijian yang melekat pada jerami dikatakan dapat bertahan bertahun-tahun asalkan disimpan dalam bekas tertutup dengan suasana agak kering. Pengajaran ini penulis perolehi daripada kisah Nabi Yusuf A.S. (12:47). Sebenarnya terdapat pelbagai kaedah penyimpanan makanan sempena daripada pengajaran ayat ini. Sekam jerami yang menyimpan bijian, dapat menghalang lembapan daripada merosakkan bijian di dalamnya. Sekam juga berperanan menghalang kemasukan bakteria atau mikroflora daripada merosakkan bijian. Selain itu, sekam jerami dapat menghalang kemasukan gas oksigen dan menghalang aktiviti pengoksidaan berlaku kepada makanan. Teknologi pengawetan masakini telah mengambil ketiga-tiga kaedah ini untuk tujuan mengawet makanan. Menghalang bakteria atau mikroflora dan gas oksigen udara daripada sampai ke makanan, dapat dilakukan dengan teknik pembungkusan vakum. Kesan lembapan dapat dikurangi dengan memasukkan serbuk klorida kontang yang dijadikan uncang untuk dibalut sekali dalam makanan. Pengawetan tidak seharusnya dilakukan dengan menambahkan bahan-bahan tambah kimia seperti asid borik dan sebagainya kerana penggunaan sebatian kimia seperti ini dapat menimbulkan kesan buruk kepada kesihatan seseorang. Teknik pengawetan daripada Al-Qur'an akan penulis jelaskan lagi dalam surah Al-Insan. Kembali kepada panduan yang dinyatakan Tuhan dalam Al-Qur'an bukanlah merupakan alternatif tetapi merupakan suatu yang harus diamalkan untuk kebaikan manusia.
ii) Khasiat Bunga-bungaan Yang Kurang Diketahui
Pencemaran yang dilakukan oleh manusia sama ada dalam bentuk asap kenderaan dan kilang, racun pembunuh serangga, lebihan baja pertanian, wap-wap klorin yang terbebas dari air perbekalan, penggunaan pencuci dan peluntur yang memudaratkan, semburan aerosol tanpa kawalan, asap kebakaran dan sebagainya, memerlukan mekanisma tertentu untuk mengurangkan kesan pencemarannya. Yang pastinya banyak daripada bahan-bahan itu menghasilkan radikal bebas apabila disinari dengan sinaran tenaga tinggi daripada cahaya matahari. Tuhan Maha mengetahui tentang keadaan ini dan telah menyediakan keadaan di bumi ini dengan suatu mekanisma untuk tujuan keseimbangan. Untuk tujuan ini, haruman dari bunga-bungaan adalah sangat berguna sebagai agen yang dapat menderma elektron dan seterusnya mengurangi kesan radikal bebas bahan-bahan toksik berkenaan. Bahan fenol yang terdapat pada wangian tumbuhan sangat berguna untuk tujuan kesegaran udara dan di negara-negara Barat, rawatan aromaterapi telah lama diamalkan untuk tujuan kesihatan dan kesegaran pernafasan. Nyatanya daripada bunga-bungaan juga, lebah memperolehi madu yang kemudiannya menjadi makanan yang sangat berkhasiat kepada sipengambilnya.
iii) Timbangan Yang Kini Boleh Manusia Ukur
Penulis dalam memberi idea ini bukanlah bermaksud supaya satu kaedah teknikal lebih diutamakan untuk menggantikan kaedah pembersihan alam segalajadi. Hanya sekadar memberi ruang sementara waktu, sebelum suatu projek penanaman secara besar-besaran berjaya menunjukkan hasil pembersihan yang dikehendaki. Sekiranya diamati pelajaran daripada Surah Al-Rahman, kita dapat pelajari bahawa neraca timbangan yang Tuhan telah sediakan terdapat di mana-mana. Bermula daripada timbangan asid-bes Brønsted–Lowry, timbangan jaluran Van Allen, timbangan kitaran nitrogen dan sebenarnya masih terdapat timbangan-timbangan lain yang tidak disebutkan di sini. Manusia sudah dapat mengadakan sukatan tersendiri terhadap ketidakseimbangan yang telah berlaku, yang dapat ditunjukkan melalui timbangan-timbangan yang disebutkan. Namun mereka sehingga kini masih berbalah terhadap punca permasalahan yang berlaku.
iv) Suatu Anjakan Untuk Kita Semua
Sekiranya pembaca amati perubahan-perubahan yang berlaku di bumi ini, tentunya pembaca dapat simpulkan bahawa bumi ini suatu masa dahulu memiliki suasana berasid selama proses-proses pembentukan lapisan langit mulai terbentuk. Sehingga ke suatu tahap, keadaan berasid itu secara beransur-ansur telah dikurangi melalui proses-proses tertentu dan mengambil masa yang sangat lama sehingga bumi ini menjadi planet yang boleh didiami. Kini kecenderungan untuk suasana alam sekitar kita kembali berasid telah wujud semula oleh tindakan melampau manusia yang menjalani kehidupan secara gelojoh, lantaran melaksanakan polisi kepimpinan mereka. Sebenarnya umat manusia belum terlewat untuk membetulkan kembali keadaan ini agar mereka dapat mendiami bumi yang diberkati sehingga kepada masa, setiap mereka menemui ajal masing-masing. Untuk itu, umat ini harus merenung pada suatu sudut pandangan tertentu dan melakukan anjakan paradigma tersendiri bagi membolehkan mereka membuang tabiat mereka yang sukakan kepada kerja-kerja kerosakan, yang selama ini mereka diarahkan atau dipengaruhi untuk melakukannya. Untuk tujuan ini mereka harus menukar cara beragama mereka dan mementingkan keharmonian berbanding kekalutan yang selama ini telah memporak kehidupan mereka sendiri. Kembali menjagai alam sekitar, kembali berjimat cermat dalam menggunakan unsur-unsur alam dan saling membantu sesama mereka dalam menempuh kehidupan.
iv) Idea Penapisan Dan Pembersihan Alam
Sekiranya bunga-bungaan memainkan peranannya yang tersendiri menghasilkan aroma yang dapat mengurangi kehadiran radikal bebas dalam udara dan kiranya antioksidan daripada buah-buahan telah direka khusus supaya radikal bebas dalam tubuh dapat disingkirkan, betapa manusia harus mengambil pelajaran daripada mekanisma ini.
Sebagai contoh, unsur-unsur berasid di udara seperti hidrogen fosfat, hidrogen sulfat, hidrogen nitrat dan hidrogen karbonat harus segera ditukarkan kepada konjugat bes sebagai ion-ion fosfat, sulfat, nitrat dan karbonat. Begitu juga gas-gas pencemaran seperti florin, klorin dan bromin harus segera ditukarkan kepada ion-ion florida, klorida dan bromida. Pada kebiasaannya pengionan seperti ini sebenarnya telah tersedia secara segalajadinya oleh tindakan air hujan. Namun tindakan sedemikian dapat menimbulkan bahaya sekiranya titisan hujan telah dicemari oleh bahan alkali seperti ion-ion logam atau ion ammonium. Pada keadaan yang serius, perkara ini boleh menimbulkan kesan membinasa seperti penghasilan angin puting berliung, kilat-kilat besar serta ribut taufan.
Semua ion ini adalah bercas dan secara mudah akan mengadakan perlekatan
dengan mana-mana debu atau asap sehingga sebatian tercemar ini akan
lebih mudah memendak dan diturunkan semula ke bumi. Lalu bagaimanakah
aktiviti ini dapat dilakukan? Salah satu cara adalah dengan merenjiskan
wap-wap kecil air dan praktik ini kini, telah dapat kita perhatikan
melalui aktiviti renjisan taman dan juga renjisan di restoran-restoran.
Antara kegunaannya adalah untuk mengurangkan bau yang kurang
menyenangkan secara segera. Kaedah lain adalah melalui pengozonan UV
pada skala kecil. Gas ozon pada skala kecil dapat membantu bertindak
balas dengan partikel-partikel bercas supaya dimendapkan dan tidak
mencemari ruang kecil seperti ruangan bilik dan makmal.
Taman Renjisan Burj Dubai
Satu Kaedah Pembersihan Udarakasa Setempat
Topik:
Surah Al Rahman
Tuesday, February 11, 2014
SURAH AL-RAHMAN AYAT 11 -- TABUNGAN NITROGEN DI MUKA BUMI
فِيهَا فَاكِهَةٌ وَالنَّخْلُ ذَاتُ الأكْمَامِ
Padanya buah-buahan dan korma yang memiliki kelopak mayang
terdapat padanya berbagai jenis buah-buahan dan pohon-pohon kurma Yang ada kelopak-kelopak mayang
Apakah yang tersimpan pada pepohon? Nutrien diperlukan untuk pertumbuhan tunas dan mineral pula untuk pembesaran batang, dahan dan aktiviti daun. Sebahagian besar daripada aktiviti pepohon adalah mengumpulkan tenaga dalam bentuk gula untuk kegunaan tumbesarannya dan gula ditukarkan kepada selulosa untuk dijadikan serat-serat yang berguna untuk aktiviti sel. Sel-sel sendiri sepanjang hayatnya, sentiasa berganda melalui pembelahan kromosom yang terdiri daripada rantaian DNA yang panjang. Dengan rantaian DNA asid-asid amino dicantum yang akhirnya membentuk protien untuk sokongan hidup tumbuhan. Semua aktiviti ini memerlukan nitrogen dan dengan jalan inilah nitrogen sentiasa diperlukan agar pepohon dapat menjalankan aktiviti pernafasannya dan menyingkirkan oksigen. Sebahagian nitrogen ini dipindahkan kepada buah-buahan pepohon berkenaan agar menjadi manfaat kepada hidupan yang lain sama ada manusia atau haiwan-haiwan. Haiwan-haiwan pula menyerahkan kembali gas karbon dioksida untuk dikembalikan kepada pepohon agar pepohon mengeluarkan oksigen secara berterusan. Oksigen adalah untuk pernafasan, aktiviti pembakaran serta pembentukan lapisan ozon manakala baki amoniakal nitrogen diproses kembali sama ada ditukarkan ke bentuk gas nitrogen oleh tindakan bakteria atau alga ataupun menjadi baja kepada tumbuhan yang baru. Proses ini sentiasa berulangan sehingga keadaan bumi ini sentiasa dapat menampung hidupan.
Penghasilan Buah-buahan Oleh Tumbuhan
Buah-buahan tidak berbuah begitu sahaja melainkan dibalut dengan kulitnya tersendiri atau dibalut dengan kelopak yang bersesuaian. Semua itu adalah agenda Tuhan yang cukup rapi. Selain daripada diproses semula, kelopak atau kulit dapat dijadikan makanan haiwan sebagai bekalan serat yang baik untuk tubuh. Dengan teknologi terkini, daripada kulit buah-buahan terhasil bahan antioksidan yang berguna untuk tubuh. Bagaimanapun jumlah yang diperlukan adalah sedikit sahaja memandangkan kebanyakan bahan antioksidan yang diperolehi adalah berstruktur molekular yang agak besar dan sukar untuk melepasi penapisan ginjal. Buah-buahan adalah sumber vitamin dan gula yang sangat diperlukan oleh tubuh. Sumber tenaga ini diperolehi melalui proses pembentukan gula yang sedia terdapat pada daun melalui kaedah fotosentesis sebelum dipindahkan kepada buah. Secara umumnya buah-buahan adalah sumber antioksidan segera yang dapat diserap melalui usus. Kepentingan antioksidan dalam buah-buahan akan dibincangkan secara lebih teliti dalam surah Al-Insan. Semua itu adalah anugerah Tuhan agar manusia dapat dibekalkan dengan makanan yang memberi keseimbangan kepada tubuh.
Topik:
Surah Al Rahman
Wednesday, February 5, 2014
SURAH AL-RAHMAN AYAT 10 -- NERACA TIMBANGAN DI BUMI DAN KEGUNAANNYA
والأرض وضعها للأنام
Dan (adapun) bumi itu, telah menegakkan Ia akannya (timbangan itu) untuk haiwan-haiwan.
dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya Yang lain:
Selain daripada timbangan yang berada di angkasalepas dan di atmosfera bumi, Tuhan juga telah menyediakan timbangan di bumi ini yang antara tujuannya adalah untuk kehidupan makhluk-makhluk yang terdapat padanya.
i) Keseimbangan Kitaran Nitrogen
Unsur nitrogen seharusnya wujud dalam bentuk gas nitrogen dan keadaan seharus selamanya begitu. Namun untuk tujuan supaya gas oksigen dapat terus wujud dan bertindak sebagai perisai ozon yang dapat melindungi bumi ini, unsur nitrogen diperlukan untuk tujuan ini. Nitrogen ditukarkan sebagai bahan perlu dalam sel-sel hidupan dan menjadi suatu hutang yang kemudiannya perlu dikembalikan ke bentuk asal iaitu gas nitrogen kembali. Oleh itu keseimbangan nitrogen diperlukan agar lapisan ozon akan terus wujud secara stabil. Keseimbangan dinamik ini telah sedia wujud sejak ribu jutaan tahun dahulu dan manusia harus mempelajarinya secara teliti agar mereka tidak menjadi penyumbang terhadap ketidak stabilan nitrogen di bumi ini.
Kehadiran haiwan-haiwan diperlukan agar mereka dapat memakan sebahagian dari tumbuhan. Tanpa haiwan, tumbuhan akan tumbuh secara berlebihan di atas permukaan bumi. Terlalu banyak tenaga dari persekitaran akan diserap oleh daun-daun tumbuhan sehingga muka bumi ini akan menjadi terlalu sejuk. Keadaan ini tentunya akan mengakibatkan bumi ini dilitupi salji dan perkara ini tentunya dapat mengganggu kestabilan kitaran nitrogen itu sendiri. Hubungan dinamik antara pencahayaan matahari, tumbuh-tumbuhan serta haiwan-haiwan amat diperlukan agar sistem hidupan di bumi ini akan dapat berlangsung dengan wajar.
ii) Usaha Manusia Mengganggu Kitaran Nitrogen
Daripada sekecil-kecil perkara sehingga kurang disedari kepentingannya, seperti kehadiran lalat yang dapat membersihkan bangkai dengan segera agar gas-gas bangkai tidak begitu mencemari alam; Sehinggalah kepada perkara yang besar seperti pertumbuhan pokok-pokok hutan yang dapat melindungi haiwan-haiwan yang berkeliaran mencari rezeki. Kini manusia telah menjadi perosak terhadap semua itu. Semua itu terjadi disebabkan oleh tindakan rakus manusia dalam berpenghidupan di bumi ini. Tamak, keinginan memonopoli dan merasakan kehadiran setiap diri di mukabumi adalah penting, telah mengakibatkan mereka bertindak secara melampau.
Sebagai contoh, tidak cukup dengan pertumbuhan kapas yang diperlukan untuk penghasilan pakaian dan pelbagai kegunaan yang lain, manusia kini telah mencebur diri dalam aktiviti tekstil, yang diperoleh daripada bahan asas petroleum. Itu masih tak mengapa kerana bekalan petroleum adalah suatu bahan yang mencukupi untuk keperluan manusia, namun mereka telah memulakan aktiviti penghasilan produk fabrik daripada sebatian ammonia pula. Ammonia yang diperolehi melalui proses Haber adalah titik mula kepada kebinasaan alam kediaman mereka secara besar-besaran (02:155). Ammonia digunakan dalam aktiviti pencucian, penghasilan baja, bahan letupan dan juga bahan makanan manusia sendiri. Akibatnya, manusia mulai menderita menghidapi pelbagai jenis penyakit yang dapat menyingkatkan tempoh mereka mendiami mukabumi ini. Penyelesaian terbaik adalah melalui disiplin manusia sendiri yang harus mereka pelajari dari kitab suci.
iii) Karbon Dioksida Bukanlah Punca Kerosakan Cuaca Bumi
Barangkali perkara ini agak ekstrem untuk pembaca terima. Penulis hanya menyatakan bahawa kuantiti karbon dioksida yang dilepaskan ke udarakasa, hanyalah sebagai petunjuk kepada faktor lain yang telah terbebas sehingga memenuhi ruang udarakasa iaitu haba. Sebelum ini, gas karbon dioksida hanyalah merupakan 0.04% daripada keseluruhan gas-gas atmosfera dan kandungan gas ini telah meningkat sedikit kepada 0.08%. Gas karbon dioksida adalah sebatian ekakutub, yang sukar berinteraksi dengan sebarang gas yang lain. Tidak ada sebarang ikatan hidrogen yang dapat terbentuk antara molekul gas ini dengan gas-gas yang lain dan dengan demikian tidak wujud sebarang ikatan tenaga antara gas ini dengan mana-mana komponen gas lain. Tidak seperti mokelul air, yang dapat mengadakan interaksi dengan mana-mana sebatian dwikutub sehingga air dapat menyimpan tenaga sama ada dalam bentuk pepejal, cecair, wap mahupun gas.
iv) Penyebab Atmosfera Bumi Yang Semakin Panas
Wap metana, gas-gas penyejuk seperti freon, kloroflorokarbon, wap ammonia dan wap-wap baja yang lain adalah punca kepada pembentukan sifat penebat haba udarakasa bumi ini. Kawasan jelapang padi di Kedah dan Seberang Perak, kawasan pertanian Cameron Highland adalah antara kawasan yang dikenal pasti telah mengalami peningkatan suhu persekitaran. Tengahari di kawasan ini dapat dirasakan lebih panas daripada keadaannya 20 atau 30 tahun dahulu. Penggunaan baja yang banyak adalah dikenal pasti sebagai punca utama, haba tertebat di kawasan-kawasan berkenaan. Antara penggalak utama gagalnya penyerapan semula haba persekitaran adalah disebabnya hilangnya pokok-pokok hutan di sekitarnya, akibat aktiviti gelojoh pemimpin-pemimpin negara dalam merebut kekayaan. Semuanya terjadi disebabkan oleh permintaan yang sangat tinggi terhadap penggunaan kayu-kayan oleh pengguna.
Topik:
Surah Al Rahman
Sunday, February 2, 2014
SURAH AL-RAHMAN AYAT 9 -- TEGAKKAN TIMBANGAN DAN JANGAN MERUGIKAN
و اقيموا الوزن بالقسط و لا تخسروا الميزان
Dan dirikanlah olehmu akan timbang itu dengan adil dan janganlah kamu merugikan timbangan.
dan betulkanlah cara menimbang itu Dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang Yang ditimbang.
Menurut timbangan asid-bes Brønsted–Lowry, keadaan berasid berlaku apabila berlaku keupayaan menderma proton dan sebaliknya keadaan berbes pula berlaku apabila berlaku keupayaan menerima proton. Oleh itu, berdasarkan teori ini, yang dikatakan asid atau bes sesuatu sebatian adalah berdasarkan 'keupayaan' atau potensi suatu sebatian sama ada untuk menderma atau menerima proton. Sekiranya hanya keupayaan atau potensi semata-mata, tiada apa-apa kejadian akan berlaku namun, sekiranya terdapat suatu situasi, maka didapati suatu kejadian itu dapat berlaku. Sebagai contoh ialah keupayaan asid etanoik untuk menderma proton kepada air membentuk ion hidroksonium, manakala asid etanoik sendiri membentuk ion etanoat selaku konjugat bes. Seterusnya apabila kita datangkan logam litium atau natrium sebagai sumber proton yang sangat kuat kepada larutan berasid itu pada kuantiti tertentu, maka dengan tiba-tiba akan berlaku tindak balas yang kuat yang memungkinkan berlakunya letupan. Hasil tindakbalas kemudiannya adalah garam etanoat dan baki air mengandungi ion hidroksonium. Apa yang ingin penulis jelaskan di sini adalah, kerosakan besar yang bakal berlaku akibat usaha manusia menyediakan suatu keadaan sehingga alam persekitaran sekarang ini lebih berasid atau berpotensi menderma proton.
ii) Timbangan Yang Tidak Lagi Seimbang
Begitulah keadaan alam sekitar sekarang ini. Zarah-zarah berpotensi menderma proton telah disingkirkan dengan banyaknya ke atmosfera bumi, ke tasik-tasik, ke sungai-sungai, laut, lautan serta ke daratan. Oleh kerana tasik, sungai, laut serta lautan menyediakan keadaan penimbal yang sangat banyak terhadap pencemaran sebatian berasid, adalah dijangka tidak akan berlaku kemusnahan mengejut yang dapat membawa bencana secara tiba-tiba kepada manusia. Bencana hanya akan terjadi datangnya daripada atmosfera bumi apabila sebatian-sebatian berasid wap-wap baja seperti asid fosforik, asid sulfurik, asid nitrik serta asid karbonik melarut dalam titik-titik air yang terkandung dalam awan. Kehadiran sumber ion positif yang kuat seperti wap ammonium, akan menghasilkan tindak balas endotermik yang kuat sehingga berlaku penyejukan ketara terhadap awan. Penyejukan awan akan merendahkan tekanan udara yang akhirnya membawa bencana ribut taufan, puting berliung, kilat-kilat besar serta hujan bersangatan. Produk akhir yang wujud adalah pembentukan garam fosfat, sulfat, nitrat yang memasinkan air hujan. Adakah bencana ini yang sedang kita nantikan? Kita yang menjemputnya maka bersedialah kita untuk menanggungnya.
iii) Timbangan Yang Perlu Diimbangi
Lalu bagaimanakah jalan penyelesaian untuk mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku? Terdapat pelbagai cadangan antaranya mengelakkan wap-wap air daripada berada di udarakasa dan kejadian seperti ini pastinya akan berlaku juga nantinya, apabila keseluruhan ais di kedua-dua belahan kutub telah mencair keseluruhannya. Dengan tiadanya pengumpulan wap-wap air, pastinya manusia akan selamat daripada bencana keributan cuaca. Keadaan kemarau akan menyebabkan mereka harus belajar minum air laut dan menghasilkan teknologi penapisan air yang murah.
iv) Imbangan Jaluran Van Allen
Penulis sebelum ini pernah membincangkan tentang terbentuknya jaluran-jaluran cas di luar lapisan ionosfera atau magnetosfera (67:03). Jaluran ini bertindak sebagai halangan kepada zarah-zarah udara daripada terus terlepas ke angkasa lepas. Namun apabila berlaku suatu keadaan zarah-zarah yang berupaya membebaskan proton menjadi sangat banyak di udarakasa bumi ini, sesuatu perlu dilakukan untuk mengimbanginya agar hidupan di bumi tidak terlalu terbeban dengan bencana yang berat. Sila baca kenyataan di bawah ini, yang memberitahu suatu mekanisma keseimbangan telah berlaku apabila terbentuk jaluran baru berkemungkinan besar akibat perubahan yang terjadi di atmosfera bumi.
"The belts contain energetic electrons forming the outer belt and a combination of protons and electrons forming the inner belt. In addition, the radiation belts contain lesser amounts of other nuclei, such as alpha particles. The belts pose a hazard to satellites, which must protect their sensitive components with adequate shielding if their orbit spends significant time in the radiation belts. In 2013, a transient third radiation belt, discovered by the Van Allen Probes, was reported by NASA. The third belt was observed for four weeks until it was destroyed by a powerful interplanetary shock wave from the Sun."
Van_Allen_radiation_belt, Wikipedia
Dengan musnahnya jaluran cas positif pada bahagian jaluran paling luar atmosfera bumi, lebih banyak unsur proton dari atmosfera bumi dapat ditarik keluar dan ditukarkan kepada partikel tanpa cas, sama ada untuk dilepaskan ke angkasa lepas atau dikembalikan ke bumi. Wap-wap asid yang berada di atmosfera, akhirnya dapat ditukarkan kepada konjugat bes yang dengan mudah dapat bercantum dengan wap-wap asid yang lain dan akhirnya diturunkan ke permukaan bumi.
v) Menanti Tindakan Mengejut Dari Matahari Yang Merugikan
Gelombang kejutan dari matahari sememangnya dapat membantu dalam mengurangkan kesan keasidan atmosfera apabila lebih banyak wap-wap asid dapat ditukarkan kepada ion-ion konjugat bes. Konjugat yang terbentuk dapat membantu lebih banyak sebatian tercemar berasid dapat dibersihkan dengan lebih cepat menerusi titisan hujan atau embun. Namun hujan yang terbentuk akan lebih menunjukkan sifat menghakis yang lebih tinggi, yang dapat mendatang kekaratan ketara kepada peralatan logam yang manusia gunakan. Dalam jangka panjang, kesedaran terhadap pentingnya keseimbangan alam, masih tidak juga sampai kepada pengetahuan manusia dan manusia masih berterusan melakukan pencemaran yang dahsyat. Untuk mengurangkan kerugian daripada lebih mengharapkan kepada penyelesaian mengejut oleh tindakan matahari, manusia perlu memulakan inisiatif melakukan pembersihan yang dapat memberi kebaikan jangka panjang. Membiakkan pertumbuhan alga yang banyak adalah merupakan suatu inisiatif yang menarik, tetapi kaedah ini memerlukan komitmen yang besar negara-negara. Perkara yang paling mudah dilakukan adalah dengan menanam semula lebih banyak pokok-pokok dan pada masa yang sama, cuba mengurangi penggunaan baja sintetik dan kembali kepada penggunaan baja organik yang telah diwarisi selama ini.
Cadangan penyelesaian operasi HiVOLT yang dikemukakan oleh saintis Russia Valentin Danilov, yang mengambil masa lebih seratus bulan lamanya, hanya dapat menyelesaikan permasalahan pelancaran aktiviti satelit dan keasidan atmosfera bumi pada tahap udarakasa sahaja dan ianya tidak meliputi kerja-kerja pemulihan kerosakan tanah yang telahpun terjejas akibat daripada pencemaran atmosfera yang telah terjadi selama ini. Bukankah kaedah Tuhan adalah kaedah yang terbaik?
Topik:
Surah Al Rahman
Subscribe to:
Posts (Atom)
Popular
-
ﻓﺠﻌﻠﻨﻬﻢ ﺍﺣﺎﺩﻳﺚ ﻭ ﻣ ﺰ ﻗ ﻨ ﻬ ﻢ ﻛ ﻞ ﻣ ﻤ ﺰ ﻕ Lalu telah jadikan Kami akan mereka buah mulut bahan perbualan dan telah memecahkan Kami a...
-
سخرها عليهم سبع ليال و ثمنية ايام حسوما Memperbinasa ia akannya atas mereka tujuh malam dan delapan hari, yang amat malang (berterus-t...
-
و انا ظننا ان لن تقول الانس و الجن على الله كذبا Dan sesungguhnya kami, telah benar-benar menyangka kami bahawa sekali-kali tidak i...
-
Surah Al-Haqqah adalah surah yang mengkhabarkan peristiwa yang bakal berlaku akibat kedegilan manusia yang rata-ratanya menolak daripada b...
-
و انا لمسنا السماء فوجدنها ملئت حرسا شديدا و شهبا Dan bahawa sanya kami, telah benar-benar menyentuh kami, akan langit itu, lalu tela...
-
ﻭﺍﻗﻴﻤﻮﺍﺍﻟﺼﻠﻮﺓﻭﺀﺍﺗﻮﺍﺍﻟﺰﻛﻮﺓ ﻭﻣﺎ ﺗﻘﺪﻣﻮﺍﻷﻧﻔﺴﻜﻢﻣﻦﺧﻴﺮﺗﺠﺪﻭﺍﻋﻨﺪﷲ ﺍﻥﷲﺑﻤﺎﺗﻌﻤﻠﻮﻥﺑﺼﻴﺮ Dan dirikanlah olehmu akan As-Solat dan berikanlah ole...
-
بسم الله الرحمن الرحيم Pelajaran daripada beberapa ayat dalam Surah As-Saba' selepas ini, harus menjadi titik mula dalam memaham...
-
Oleh kerana peristiwa ini merupakan peristiwa yang bakal terjadi, yang akan menimpa secara khusus kepada golongan ingkar, lalu apakah per...
-
فيومئذ وقعت الواقعة Maka, pada hari itu adalah suasana Al-Waqi'ah. maka pada saat itu berlakulah hari kiamat i. ...

