SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.
Showing posts with label Pengajaran. Show all posts
Showing posts with label Pengajaran. Show all posts

Saturday, September 17, 2016

PENGAJARAN BAGI BACAAN YANG SEBENAR



Terdapat berbagai-bagai versi Islam. Ada Islam Sunnah, ada Islam Syi’ah dan pelbagai jenis Islam lagi. Semuanya mengaku menyembah Allah. Bahkan terdapat berbagai-bagai versi Allah yang semuanya menjurus kepada Allah yang berlainan. Allah zaman nabi, menurunkan wahyu yang tidak membenarkan sebarang aktiviti perniagaan yang disulami dengan aktiviti riba. Allah zaman ini pula dikatakan mengizinkan amalan riba untuk dilaksanakan di negara ini seolah-olahnya ianya suatu pengecualian. Allah manakah yang harus disembah? Adakah Allah yang sedia wujud pada zaman nabi atau Allah baru yang wujud pada zaman ini.


Terdapat pelbagai versi Islam, masing-masing
mereka menyembah Allah yang berlainan.


Perkara ini tentunya menjurus kepada konsep peribadatan. Di negara yang aktiviti riba dihalalkan bahkan dinamai sebagai salah satu aktiviti dalam sistem perbankan Islam, perkataan riba telah ditukarkan kepada perkataan lain yang berbau syar’ie. Sebaik sahaja aktiviti riba dihalalkan, muncul pula pengumpulan dana sukuk bagi menyokong aktiviti riba yang sedia wujud, yang pasarannya dibuka kepada golongan kapitalis tanpa mengira apajua agama mereka. Akibat besar yang terjadi selepas itu adalah penguasaan kerohanian umat demi untuk menjayakan agenda kapitalis. Suatu agenda yang telah sekian lama dirancang melalui 'ulama-ulama' yang dilatih khas. Kita akan melihat kesannya dalam sedikit masa lagi.



Untuk memahami kejadian yang bakal berlaku kepada umat manusia secara umumnya dan kepada umat Islam secara khususnya, kita harus merujuk kembali kepada kandungan kitab suci umat ini iaitu Al-Qur’an. Namun dalam hal ini, cara bacaan Al-Qur’an manakah yang harus kita rujuk? Sejak dahulu lagi syari’at Islam dijadikan alasan untuk umat ini bermusuhan. Bermula atas tujuan dunia yang berselindung di sebalik perkara hudud hingga kepada pertikaian dalam hal selawat kepada ahli keluarga RasululLah S.A.W., akhirnya umat ini kehilangan rujukan dalam agama mereka sendiri, iaitu memahami Al-Qur’an menurut cara bacaan yang benar dan bukannya bacaan menurut cara yang sengaja dijadikan rumit untuk difahami.

Berapa ramaikah mereka yang menyalahi agama,
semata-mata kerana cara bacaan yang tidak benar?

Kesimpulan 

Kiranya kira teliti cara pengambilan kefahaman ayat-ayat Al-Qur’an menurut kefahaman jelas memperjelas, dari satu salinan ayat sebelum kepada ayat yang disalin sesudah itu (nasakh), kita akan dapati terlalu banyak pelajaran baru yang dapat diambil daripada suatu himpunan ayat.









Wednesday, February 10, 2016

PENGAJARAN SURAH NUH


PENGAJARAN KISAH NUH A.S DAN PENDERHAKAAN UMAT BAGINDA

i.  Tuhan yang mencipta alam ini dan bumi ini dilindungi dengan sistem perlindungan beberapa lapisan langit. Tuhan yang telah mencipta kehidupan di bumi dan melantik manusia menjadi pengurus tadbir. Lalu manusia menempuh kehidupan semau-maunya sehingga mengganggu gugat sistem kehidupan yang sedia ada. Kisah dalam surah ini mengesahkan bagaimana pada permulaan, manusia telah mengingkari risalah Tuhan yang disampaikan menerusi rasulNya, sehingga akhirnya lantaran keingkaran mereka, mereka telah ditelan oleh bencana tsunami pada zaman Nabi Nuh A.S.

ii.   Manusia melalui proses-proses kejadian tertentu dan umat Nabi Nuh telah mengetahui keadaan ini dan juga keadaan langit dengan lapisan tertentu.

iii.   Kisah dakwah Nabi Nuh A.S. memberi pengajaran kepada pendakwah-pendakwah bahawa kerja-kerja dakwah adalah merupakan kerja-kerja sukar yang perlu ditempuh dengan kesabaran. Antara halangan dakwah adalah keadaan status pendakwah yang dijadikan alasan untuk manusia tidak menurutinya dan juga status golongan yang menerima dakwah yang status mereka juga dijadikan alasan. Halangan yang lain adalah sifat kematuan individu dalam masyarakat yang telah pekat tenggelam dalam kematu kesyirikan. Mereka menyayangi sesuatu yang lain melebihi kesayangan mereka kepada Tuhan yang sebenar. Menanggalkan kesyirikan daripada umat ini adalah kerja yang sukar berbanding cabaran dakwah yang lain.

iv.  Sebenarnya terdapat dalang di sebalik aktiviti kesyirikan umat. Dalam penyembahan, mereka sebenarnya dipengaruhi oleh peradaban silam yang dipelopori oleh bangsa Jin sejak dari dahulu lagi dan dalam kehidupan kini, mereka dipengaruhi oleh sistem kezaliman yang diwujudkan oleh kepimpinan thaghut mereka.

v.  Dakwah Nabi Nuh A.S. dalam surah ini menunjukkan kaedah yang berbeza dengan kaedah dakwah daripada surah-surah yang selanjutnya. Perbezaan ini adalah menurut keadaan setempat. Dalam situasi menghadapi golongan berkepentingan, pendahuluan dakwah haruslah ditujukan kepada golongan dha’if dalam ahli masyarakat dan dalam keadaan menghadapi fitnah yang besar, sasaran dakwah hanya ditujukan kepada individu tertentu sahaja dan tidak meliputi semua manusia. Kaedah-kaedah ini dapat dipelajari daripada pengajaran dalam juzuk Amma.

Dakwah pada zaman ini adalah seperti 
dakwah pada zaman nabi Nuh A.S.


Saturday, July 4, 2015

PENGAJARAN


Pengajaran Daripada Penerangan 
Erti Menganut Islam



Penulis tidak bermaksud untuk mempersembahkan kaedah tafsir tertentu, namun penerangan yang telah dilakukan pada bahagian ini adalah menjurus kepada huraian-huraian selanjutnya yang mendedahkan sedikit sebanyak tentang kerja-kerja yang dilakukan oleh penentu polisi dalam usaha membentuk banyak daripada kejadian yang berlaku. 

Antara persoalan yang disentuh adalah, wajarkah kita membiarkan sahaja halatuju banyak peristiwa di dunia ini ditentukan oleh pembuat-pembuat polisi dan kita mengambil sikap berpeluk tubuh, menyerahkan kehidupan kita kepada nasib menurut perancangan mereka? 

Mengapakah tidak, kita memilih untuk mengusahakan sesuatu supaya lambat laun, kita menjadi pengawal kepada sebarang bentuk aktiviti yang mengawal sumber ekonomi kita sendiri? Dalam hal ini, mendapatkan kesedaran dan menyampaikan kesedaran berkenaan berdasarkan panduan Tuhan adalah sesuatu yang perlu dilakukan. Meninggalkan kawasan perbandaran dan kembali kepada kehidupan taman melalui pendekatan yang lebih tersusun dan istiqamah, sebenarnya dapat mengubah situasi kehidupan kita agar kita dapat menghayati ayat-ayat Tuhan dengan lebih menarik.


Mengapakah Perkara Seperti Ini 
Perlu Dilakukan?  

i.    Mendapatkan Kehidupan Bebas 
      Yang Tidak Dikongkong oleh 
      Puak Kapitalis

Tentunya pembaca dapat bayangkan, hanya semata-mata tersebarnya pendapat bahawa perubahan cuaca yang berlaku kepada bumi ini adalah disebabkan oleh kandungan gas karbon dioksida yang tinggi yang terdapat di udarakasa, pelbagai polisi telah dikenakan kepada kehidupan kita melalui usaha-usaha perindustrian. Contohnya kempen "Earth Hour" adalah suatu kempen untuk memujuk manusia seluruhnya bagi 'menyedarkan' mereka bahawa bumi kediaman mereka kini berada dalam keadaan bahaya. Mereka bukan berminat dengan isu sebenar iaitu tentang bahaya mendiami bumi yang dirasakan semakin bahaya ini, tetapi terdapat kesempatan tertentu yang ingin mereka laksanakan. Mereka mahu laksanakannya dengan tujuan tersendiri dan antara tujuannya adalah supaya manusia harus menerima idea mereka, bahawa sesuatu perlu dilakukan supaya manusia kononnya akan dapat berada pada persekitaran yang selamat. Kemudian kempen itu akan dilanjutkan kepada pengenalan cukai karbon ke atas perusahaan-perusahaan yang tentunya beban akhir akan dikenakan kepada pengguna. 

Bukan kita yang mengancam bumi, tetapi bumi yang 
mengancam kita, lantaran tindakan kita selama ini kepadanya

Bagaimanakah suatu hari nanti kiranya pembuat polisi mula menyedari bahawa penyebab perubahan cuaca sebenarnya tidak tertakluk  kepada kandungan gas karbon dioksida yang semakin meningkat semata-mata, tetapi juga komposisi kimia yang terkandung dalam udarakasa? Tentunya peraturan baru akan dikuatkuasakan sehingga akan membatasi usaha-usaha manusia terutamanya dalam usaha mendapatkan makanan. Jadi... apakah yang dapat manusia lakukan ketika itu, kiranya mereka tidak berusaha sekarang ini?

Tentunya peraturan baru akan segera diwujudkan! Pada ketika itu usaha-usaha perindustrian, pertanian dan penternakan hanya akan dibataskan menerusi kaedah-kaedah yang dikatakan mesra alami. Corak pengagihan barang-barang keperluan juga akan segera berubah dan kelayakan mengusahakan suatu usaha akan dibatasi hanya kepada mereka yang layak sahaja. Alasan seperti ini sebenarnya hanyalah kesempatan yang diwujudkan oleh pihak-pihak tertentu sehingga golongan kapitalis akan membentuk badan korporat yang mengawal selia keperluan manusia.

Manusia diancam bahaya pengkorporatan. Sebelum umat manusia dilayan bagaikan lembu-lembu ternakan yang masing-masing dibebani dengan bebanan hutang, suatu kesedaran hakiki perlu diusahakan supaya umat manusia dapat melepaskan diri daripada bahaya sedemikian.


ii.    Persediaan Menghadapi Apajua 
       Perancangan  Dan Kesan Buruk 
       Polisi Kehidupan Yang Dipelopor 
       Oleh Puak Kapitalis

Sistem komunis dan demokrasi adalah dua fahaman yang lahir setelah tamat Perang Dunia Ke-2. Sistem ini telah mengalahkan fahaman Fasis dan Nazi yang membezakan manusia berdasarkan kasta kaum. Ini bermakna corak pemerintahan berdasarkan piramid kasta semakin kurang mendapat tempat dalam menghadapi dunia yang semakin berubah. Namun, selagi wujud golongan yang mengutamakan hawa nafsu serakah dalam membolot kekayaan, selagi itulah akan wujud kasta secara tak langsung dalam mempengaruhi pemerintahan. Secara tak langsung juga, telah wujud semula sistem kasta yang baru iaitu kasta ekonomi dalam kalangan manusia. Pihak-pihak tertentu pastinya akan berusaha untuk menguasai manusia melalui monopoli harta dan dengan demikian ketidak-stabilan ekonomi dan politik akan sekali lagi menjadi penyebab peperangan baru sehingga akan mengubah lanskap politik di permukaan bumi ini. Oleh itu, sekiranya manusia tidak mula belajar untuk membentuk suatu sistem kehidupan secara berkelompok dan saling bekerjasama, adalah dikhuatiri mereka terdedah kepada risiko kesukaran hidup apabila berlaku perubahan mengejut kepada corak kehidupan manusia itu sendiri. 


iii.    Kecenderungan Untuk Mengelak Masalah

Seringkali perjuangan Islam dianggap sebagai perjuangan ekstremis. Penulis tidak mengajak pembaca untuk perjuangan yang seperti itu. Perkara utama adalah 'survival' dan penulis mengambil panduan yang dipersembahkan melalui kitab suci supaya usaha-usaha kemandirian dapat dilakukan dengan lebih wajar. Penulis tidak berani mendakwa sebagai pejuang agama atau pejuang kepada jalan ketuhanan, hanya insan kecil yang melihat usaha 'survival' sebagai salah satu langkah yang tinggal yang kita semua mampu melakukannya.








Wednesday, March 25, 2015

PENGAJARAN KESELURUHAN SURAH AL-MA'ARIJ


Oleh kerana peristiwa ini merupakan peristiwa yang bakal terjadi, yang akan menimpa secara khusus kepada golongan ingkar, lalu apakah persiapan mereka yang beriman, dalam menghadapi peristiwa dan perkhabaran sedemikian? Penulis menyerahkan kepada pembaca sendiri untuk meneliti dan memikirkan perkara perlu agar suatu tindakan drastik dapat dilakukan. Tujuan penulisan ini bukanlah bertujuan untuk mendatangkan rasa gerun atau paranoia kepada sesiapapun jua. 

Setiap kita harus berkumpul bersama-sama dan memikirkan langkah perlu agar suatu usaha yang mungkin dipandang kecil, dapat dilaksanakan dan menimbulkan kesan yang ketara.




Saturday, October 11, 2014

PENGAJARAN HIMPUNAN AWAL SURAH AL-MA'ARIJ


Perkhabaran tentang bencana yang dikhabarkan sebelum surah ini, pastinya akan dijadikan bahan senda gurau sebahagian golongan yang mengingkari akan kedatangan bencana, yang bakal terjadi dalam sedikit masa lagi. Sekalipun mereka dapat melihat perubahan-perubahan ketara telah berlaku kepada bumi ini, mereka memandang kejadian bencana total kepada kehidupan di bumi ini, tidak akan berlaku dalam tempoh yang terdekat. Mereka hanya menganggap kejadian bencana yang dikatakan kecil pada skala ukuran mereka buat masa ini, adalah seperti ulangan pasang surut yang sering berulangan sejak dahulu lagi.
 
Bahkan mereka tidak menyedari kejadian pembentukan debu yang tiba-tiba muncul pada waktu tertentu, sebenarnya adalah merupakan petanda awal kebocoran ozon yang berlaku sekali sekala di tempat-tempat tertentu. Kebocoran yang berlaku telah mengakibatkan sinar ultravoilet daripada matahari dapat menghambur debu dari tanah-tanah yang kering.
 
Apabila sampai masa kerosakan total kepada lapisan ozon, sebenarnya tiada jalan undur kepada golongan ingkar, yang merupakan kumpulan majoriti umat manusia pada ketika itu. Pada masa itu, tiada lagi kata-kata perjuangan untuk kepentingan rakyat atau orang ramai dapat didengari. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri-sendiri sehingga mereka sanggup meninggalkan ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai yang mereka sayangi selama ini. Penyebab kepada kejadian berkenaan adalah atas sikap mereka yang sentiasa berkeluh kesah, sehingga sentiasa memberi sumbangan yang membawa kerosakan demi kerosakan kepada alam sekitar kediaman mereka. Mereka amat gelojoh dalam berpenghidupan di muka bumi ini yang Tuhan telah jadikannya sebagai suatu yang terbatas.





Thursday, December 26, 2013

PENGAJARAN KESELURUHAN SURAH AL-HAQQAH


Surah Al-Haqqah adalah surah yang mengkhabarkan peristiwa yang bakal berlaku akibat kedegilan manusia yang rata-ratanya menolak daripada beriman dengan cara mengesakan Tuhan semata-mata. Dengan keadaan manusia berkekalan mengejar sesuatu yang dapat membawa keburukan terhadap diri mereka sendiri, akhirnya perkara yang dijanjikan kepada, dan dinanti-nantikan oleh golongan ingkar, hadir dalam kehidupan mereka. Janji bencana yang dinyatakan dalam Al-Qur'an adalah peristiwa Al-Haqqah. Al-Haqqah adalah peristiwa penderaan yang berlaku dalam tempoh yang agak panjang, sebagaimana peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku kepada umat-umat dahulu yang mendustai risalah kerasulan. Yang menariknya, peristiwa yang bakal berlaku nantinya, adalah berdasarkan kepada suatu kejadian kejatuhan yang membelah lapisan langit dan menjadikannya suatu yang mereput dan rapuh. Rentetan kerosakan yang berlaku kepada bumi ini, yang memparahkan suasana Al-Haqqah, adalah disebabkan oleh usaha manusia melanggar peraturan kitab suci, sehingga mereka membawa pencemaran yang dahsyat kepada alam persekitaran mereka.

Manusia masih juga meneruskan kerosakan kepada kehidupan mereka. Sehingga suatu masa nanti, peristiwa yang lebih dahsyat daripada peristiwa Al-Haqqah akan berlaku. Namun peristiwa ini juga, bukanlah peristiwa yang membawa kepada kejadian As-Saah. Kemuncak keingkaran manusia akan mengakibatkan setiap mereka meninggalkan ahli keluarga serta teman setia mereka dan mereka sanggup mengorbankan semuanya itu, agar diri mereka sahaja yang akan diselamatkan. Seperti itulah mereka, yang suka mementingkan diri-diri mereka sendiri selama ini. Daripada kejadian-kejadian yang bakal terjadi dan pemberitahuan bahawa manusia tidak akan kehilangan apa-apapun selepas kejadian itu, kita akan dapat memahami bahawa kehidupan ini, hanyalah seperti suatu fatamorgana. Apajua yang dapat disentuh oleh manusia di dunia ini, bukanlah merupakan perkara yang sebenar-benarnya kerana setiapnya akan ditunjukkan kembali di hari perhitungan nantinya. Setiap perkara yang telah diusahakan oleh manusia dan telah melalui proses kemusnahannya, akan kembali sekali lagi di hadapan setiap manusia nantinya. Namun manusia pada hari itu tidak dapat memanfaatkannya melainkan untuk tujuan perhitungan setiap apajua 'pemilikan'nya itu.
 
Barulah umat manusia pada masa itu, mengakui kebenaran Al-Qur'an yang menyatakan tentang perkara demikian. Sebelum peristiwa Al-Haqqah ini, terdapat kesempatan untuk manusia, agar mereka mengkaji Al-Qur'an ini dengan sebenar-benar pengkajian, sebelum datangnya tanda-tanda kejadian besar yang akan merosakkan lapisan langit bumi ini. Kerosakan sedemikian tentunya tidak akan dapat memberi sebarang peluang kepada manusia untuk melakukan apa-apa kajian atau mengambil apajua manfaat daripada Al-Qur'an selepas kejadian itu.




Thursday, November 7, 2013

PENGAJARAN HIMPUNAN AWAL SURAH AL-HAQQAH


Adapun balasan yang akan dikenakan kepada pihak-pihak tertentu dalam kalangan manusia, adalah akibat pekerjaan mereka yang membawa akibat memparahkan peristiwa Al-Haqqah. Mereka itu sama ada yang berada pada peringkat kepimpinan, penjawat-penjawat awam bahkan sehingga kepada rakyat jelata, telah terlibat dalam suatu polisi kehidupan sehingga mengakibatkan pencemaran-pencemaran yang teruk, terus sahaja berlaku. 


Peristiwa satu kejatuhan yang menggegarkan bumi ini, tetap akan berlaku juga suatu masa nanti. Oleh kerana kejatuhan itu berlaku pada masa bumi ini telah dicemari, kejadian-kejadian penderaan secara berterusan akan terjadi kepada setiap hidupan yang terdapat di permukaan bumi ini. Penderaan seperti itu adalah merupakan ulangan peristiwa yang telah berlaku ke atas golongan ingkar suatu masa dahulu, sebagai akibat pekerjaan mereka sendiri yang membawa kerosakan.


Masalahnya, sebahagian manusia masih kekal mengingkari perkhabaran sedemikian, yang tetap bakal terjadi suatu masa nanti sebagaimana mereka mengingkari wahyu Tuhan, seperti surah Al-Haqqah itu sendiri. Mereka lebih mempercayai perkhabaran Nostradamus dan juga perkhabaran ahli-ahli environmentalis yang sebenarnya cuba menjadi hero dalam menentukan masa kejadian pada masa akan datang.




Friday, July 5, 2013

PENGAJARAN SURAH AL-QALAM @ SURAH NUN


Surah Nun memberi pengajaran betapa teknologi penulisan telahpun diamalkan oleh negara-negara yang mengejar kemajuan. Namun manusia lupa sebenarnya dalam mengejar kemajuan, mereka, sama ada golongan profesional, ulama-ulama serta penjawat-penjawat tadbir telah memilih kaedah yang membawa mereka kepada kesesatan. Buktinya keberadaan rakyat semakin kurang terbela, alam kediaman semakin banyak yang binasa serta permasalahan sosial semakin meningkat dan kehidupan beragama umat semakin bercelaru.

Dalam menghadapi suasana negara seperti ini, Tuhan telah memerintahkan supaya setiap kita dapat membaca perkara-perkara yang bakal terjadi menurut kefahaman masing-masing. Seterusnya Tuhan telah memerintahkan kita, agar terus bersabar dengan polisi pemerintahan sedemikian dan mempersiapkan diri dengan persiapan yang sewajarnya. Kita juga harus bersabar menghadapi kerenah masyarakat dan mengambil iktibar tentang kisah Nabi Yunus A.S. yang ditelan ikan nun, semasa baginda meninggalkan kaum baginda, lantaran dakwah yang baginda bawa telah ditolak oleh kaum baginda sendiri.


Seterusnya kita harus memerhati ayat-ayat Tuhan, mempelajari, memahami, membuat kajian serta menyampaikannya kepada manusia, sebelum Tuhan datang kepada kita dengan urusanNya. Kita juga tidak seharusnya mengikat diri kita dengan disiplin yang menyusahkan usaha kita daripada memahami ayat-ayat Tuhan.





Monday, May 13, 2013

PENGAJARAN BAGI ERTI SEBUAH KEHIDUPAN



Daripada Surah Al-Baqarah : 153 ~ 163  

Untuk memulai langkah yang membawa kepada suatu kehidupan, langkah-langkah yang perlu diambil adalah berusaha mendapatkan pertolongan Tuhan melalui jalan bersabar dan memenuhi tanggungjawab kesinambungan solat. Dengan mempelajari serta memerhatikan perkara-perkara serta peristiwa yang berlaku di bumi ini, kita semua akan dapat memahami bahawa usaha manusia sedia ada, pada keseluruhannya, sekiranya dibiarkan berterusan, akan menjurus manusia kepada sebuah kematian.

Oleh kerana bukan perkara yang mudah untuk mengubah tingkahlaku manusia, kita harus membuat persiapan bagi menghadapi sebarang bentuk bencana yang bakal terjadi. Peristiwa-peristiwa sedemikian dapat diketahui melalui pengkajian teliti ayat-ayat Tuhan. Semua bentuk bencana itu sendiri adalah merupakan ujian Tuhan ke atas manusia secara keseluruhannya disebabkan oleh usaha manusia sendiri yang menjemput bencana berkenaan, sama ada secara disedari atau tidak mereka sedari. Konsep kesabaran manusia semasa menghadapi bencana adalah merupakan suatu kesinambungan selawat Tuhan kepada manusia.

Seterusnya manusia harus menghayati kembali konsep peribadatan contohnya seperti ibadah haji yang merupakan suatu ibadah yang menjurus kepada pengorbanan habis-habisan oleh setiap individu dalam usaha melaksanakan tanggungjawab menyampaikan ayat-ayat Tuhan kepada manusia seluruhnya. Ayat-ayat Tuhan tidak harus disembunyikan daripada pengetahuan manusia agar mereka dapat sampai kepada satu seruan mengesakan Tuhan Yang Maha Esa untuk kebaikan manusia itu sendiri.



Friday, April 26, 2013

PENGAJARAN HIMPUNAN AWAL SURAH NUN AL-QALAM



Kesesatan yang dinyatakan dalam surah ini adalah tentang pengurusan harta. Jelasnya pada zaman ini kepentingan harta adalah sangat ketara. Walaupun harta bukanlah segala-galanya namun segala-galanya memerlukan harta. Kerana harta, manusia sanggup menyamun untuk menyelamatkan pemilikan riba. Tatkala ekonomi gawat, mereka masih perlu membayar hutang bulanan terhadap produk yang dibeli dengan kaedah riba dan kiranya gagal, pemilikan mereka terhadap harta berkenaan akan lenyap begitu sahaja. Di negara ini tiada kaedah sistem bantuan terhadap mereka yang bermasalah seperti ini, bahkan di mana-mana juapun. Oleh itu sistem riba wajar dihapuskan sama sekali.

Menghalang peruntukan zakat daripada sampai ke tangan mereka yang berhak adalah suatu kesalahan jenayah. Mereka yang fakir dan terdesak mungkin sanggup membuat keputusan menukar agama lantaran amat-amat memerlukan pembelaan. Dengan sebab bilangan murtad di negara ini telah mencapai jumlah ratusan ribu bahkan mungkin telah mencapai setengah juta, mereka ini akan membentuk kumpulan terbesar bersama penganut-penganut asal agama berkenaan, mengasak pemerintah membenarkan mereka terus mengadakan kempen pemurtadan. Pelanggaran kontrak sosial berlaku dan mereka telah menuntut menggunakan istilah-istilah tertentu dalam agama supaya agama mereka tampak seperti agama Islam.

Antara perkara pasti yang tidak dapat dibendung adalah tindakan huru hara yang akan dicetuskan oleh ahli-ahli pertubuhan ‘kebajikan’ yang akan memusnahkan rumah-rumah ibadat agama-agama lain, yang merupakan suatu kelarangan dalam agama. Kesesatan seperti ini akan mengakibatkan suatu masa nanti sokongan rakyat dalam mengukuhkan parti pemerintah akan terjejas teruk, diikuti dengan masalah kestabilan politik yang tidak boleh diharap.

Di negara yang polisi ekonomi sangat diharapkan bergantung kepada pelabur-pelabur asing dan bukannya dengan keupayaan sendiri negara, pelabur-pelabur menjadi penentu kepada kestabilan ekonomi. Jatuhnya prestasi ekonomi akan menimbulkan suasana yang berlaku seperti sekarang ini apabila penjenayah menjadi raja yang menyebabkan kadar peningkatan jenayah meningkat dengan ketara. Kes kematian akibat pembunuhan berlaku hampir setiap hari dan rakyat hidup dalam kebimbangan.


Friday, November 2, 2012

PENGAJARAN DARIPADA HIMPUNAN AYAT YANG MENYURUH DENGAN AL-QISHTI


Penyuruh-penyuruh kepada Al-Qisthi adalah individu yang telah bersedia menghadapi pembunuhan terhadap dirinya. Kenyataan sedemikian telah dihadapi oleh sebahagian sahabat terdahulu seperti Saidina Umar R.A., Saidina Usman R.A., Saidina Ali R.A. serta kejadian pembunuhan yang berlaku kepada kepimpinan Ahlul Bait seterusnya. 3:21

Seterusnya kepimpinan umat melalui kekhalifahan telah dikuasai secara perwarisan sehingga banyak kejadian khalifah yang memerintah, telah melaksanakan amalan yang sia-sia. Sehingga ke suatu peringkat, hukum-hukum Tuhan telah ditinggalkan dan akhirnya kehidupan umat tidak lagi terbela. Keyakinan yang telah menyerap kepada setiap minda umat bahawa lesen beragama digunakan sebagai prasyarat yang setiap umat akhirnya akan mendiami syurga, mengakibatkan kepimpinan mereka berani untuk menolak hukum Tuhan dan telah menimbulkan pelbagai keburukan terhadap kehidupan manusia sendiri. (3:22 - 23)

Sesungguhnya Tuhan Maha berkuasa melakukan penggantian kepimpinan umat dan perubahan kepimpinan telah berlaku daripada zaman bani Umayyah kepada bani Abbasiyah kepada kerajaan Fatimiyah dan kepada yang terakhir sekali adalah kerajaan Usmaniyah. Keburukan pemerintah yang seringkali berlaku akibat menolak hukum Tuhan mengakibatkan umat ini tidak lagi memiliki khalifah. Tuhan telah meletakkan kebaikan sebagai ukuran dalam menentukan pemerintahan sehingga apabila kebaikan tidak lagi berlaku, suatu pemerintahan akan digantikan dengan pemerintahan yang lain.

Tuhan telah melarang umat ini melantik golongan ingkar sebagai peneraju kepimpinan dan pada masa yang sama umat ini juga tidak seharusnya menaruh syak wasangka kepada sebahagian individu ulama yang menyembunyikan keimanan mereka yang berada dalam teraju pemerintahan golongan ingkar. Kini pemerintahan demokratik kapitalis telah lama menggantikan kekhalifahan umat ini dan kesan keburukan pemerintahan ini telah menunjukkan kerosakan dan keburukan yang berlaku secara merata-rata. Ideologi komunis telah ditinggalkan dan dunia ini kini telah berada di ambang perubahan. Antara pilihan ideologi yang tersedia adalah yang berpaksikan demokratik sosialis melalui "New World Order" atau melalui Pemerintahan Islam. (3:28)

Sebelum berlaku perubahan pemerintahan yang bakal melanda, kita akan dapat menyaksikan agenda-agenda yang menimbulkan kebaikan dan keburukan, semuanya akan hadir dalam kehidupan manusia di dunia ini lagi. Dunia ini telah memasuki peringkat kritikal dengan permasalahan cuaca, bencana alam, kecelaruan kehidupan sosial manusia, kemusnahan kawasan flora dan fauna yang dilakukan melalui aktiviti manusia dan ketidak stabilan keadaan ekonomi dunia. Adakah dengan membiarkan aktiviti manusia sehingga mengakibatkan muka bumi ini semakin panas akan membawa akibat yang lebih baik kepada semua hidupan di bumi ini? (3:30)

Untuk menyelamatkan keadaan, umat ini harus mendapatkan suatu perlaksanaan supaya dapat berada dalam kasih sayang Tuhan. Caranya adalah dengan kembali berittibak kepada cara Muhammad RasululLah S.A.W. iaitu kembali kepada cara awal sebagaimana yang dibawa oleh RasullulLah S.A.W. Baginda hanya membawa ajaran Tuhan melalui Al-Qur'an. Pendekatan yang paling hampir adalah mencontohi gerakerja yang dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar R.A. dan Khalifah Umar R.A. (3:31)





Thursday, September 13, 2012

SESUATU YANG MEMENATKAN DAN KESIMPULAN SURAH AL-MULK


*Sesuatu Yang Memenatkan

Perkataan وهوحسير yang bermakna sedang ia (sesuatu yang) memenatkan, dapat diterjemahkan sebagai (sesuatu) kepenatan. Ruangan langit mengandungi gas-gas kepenatan (exhaustion) yang terdiri daripada gas-gas pembakaran seperti karbon dioksida, oksida nitrogen dan gas nitrogen. Karbon dioksida adalah gas hasil tindakbalas pembakaran bahan-bahan bakar kayu api, hidro-karbon dan juga baki hasil pernafasan hidupan. Oksida nitrogen dan nitrogen pula adalah hasil pembakaran ammonia yang juga terhasil daripada tindakan respirasi pelbagai mikrob. Hidrokarbon yang menjadi bahan asas pembentukan kloroflorokarbon, dapat merosakkan lapisan ozon, terhasil daripada sampah sarap buangan. Gas-gas nadir yang menyumbangkan peratusan yang sangat kecil terhasil daripada aktiviti perindustrian dan juga kesan pereputan radioaktif. Gas-gas kepenatan ini perlu berada pada kuantiti yang terkawal kecuali nitrogen dan oksigen. Peningkatan ketara gas karbon dioksida adalah kesan daripada peningkatan suhu bumi akibat daripada pembakaran yang berlebihan.

Aktiviti Manusia Yang Mencemari Lapisan Langit


Manusia kini hampir menyumbangkan separuh daripada pembentukan gas karbon dioksida di udarakasa. Peningkatan peratusan yang tinggi gas karbon dioksida daripada 0.04 kepada 0.08 peratus, mengakibatkan bumi ditumbuhi dengan cendawan pada kuantiti yang banyak. Lebih daripada separuh perlepasan wap ammonia ke udarakasa adalah akibat daripada usaha manusia terutama dalam aktiviti pertanian. Peningkatan wap ammonia dapat juga terhasil akibat daripada pemanasan bumi yang mengakibatkan hidupan-hidupan di lautan mati dan mereput serta menyingkirkan sebatian ini. Kandungan ammonia yang tinggi membawa akibat bencana alam seperti ribut taufan dan penghasilan kilat-kilat besar. Peranan manusia dalam mentadbir alam ini amatlah penting agar gas-gas yang memudaratkan lapisan langit dapat dikurangi dengan berkesan. Atau mereka memilih untuk menghadapi bencana akibat daripada kerja tangan mereka sendiri. Usaha asas manusia untuk mendapatkan makanan melalui projek-projek pertanian dan penternakan haruslah mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar mereka. Kita dapati pada waktu ini, kesedaran manusia untuk melaksanakan projek penanaman semula pokok-pokok untuk mengurangkan peningkatan suhu bumi adalah sesuatu yang amat dialu-alukan.


Namun penanaman semula pokok-pokok semata-mata, sebenarnya tidak mampu mengimbangi perlepasan haba yang terlalu banyak akibat daripada aktiviti perkilangan, pengangkutan dan penggunaan tenaga elektrik. Oleh itu, apakah langkah wajar, yang harus manusia ambil supaya bumi yang semakin panas ini tidak mendatangkan mudharat kepada kehidupan manusia? Ayat-ayat selanjutnya daripada penerangan surah-surah mendatang akan memperincikan setiap tindakan manusia yang dapat mengakibatkan kerosakan alam sekitar mereka sendiri. Suatu anjakan paradigma yang besar perlu berlaku terhadap manusia itu sendiri. Mereka perlu menakrif semula erti kehidupan mereka untuk membuang tingkahlaku mereka yang sangat gelojoh dalam berpenghidupan. 


Kesimpulan

Usaha Yang Memenatkan

Oleh itu usaha yang memenatkan yang dapat membawa kepada kesedaran manusia tentang hakikat kehidupan perlu dilakukan. Riwayat kehidupan di bumi ini kini mula menempuh tempoh genting dan sebarang pengabaian terhadap kekhalifahan manusia akhirnya akan membawa kepada suatu kejadian buruk yang tidak akan ada jalan undur. Penulis merayu kepada diri sendiri dan juga pembaca sekalian untuk memulai langkah itu dengan mulai memerhatikan ayat-ayat Tuhan melalui wahyu Al-Quran yang Tuhan telah turunkan kepada nabi dan rasul terakhir yang Tuhan utuskan kepada umat manusia.






Friday, July 20, 2012

PENGAJARAN HIMPUNAN AWAL SURAH AL MULK


Wahyu Tuhan Memperbetul Sistem Pentadbiran di Bumi Ini

Surah ini membincangkan perkara-perkara berkaitan pemerintahan (67:01). Sejak dari awal masehi, pemerintahan dunia adalah lebih dipengaruhi oleh unsur keagamaan daripada agama semitik iaitu Yahudi dan Kristian sehingga kepada agama yang tunduk kepada pelbagai objek seperti Arab Jahiliyah, Hindu, Katolik, Budha (ajaran Budhi suci) dan Shinto serta agama adat seperti Tao, Confusius dan sebagainya. Yang demikian adalah kecenderungan manusia untuk memilih agama bagi memenuhi naluri kerohaniannya. Belum ada sesuatu yang digelar falsafah yang ditunjangi atas dokongan ilmu sains. Oleh itu pentadbiran ke atas manusia telah terpecah kepada berbagai-bagai bentuk menurut nilai-nilai setempat yang berbeza. Perbezaan ini membawa perselisihan kepada umat manusia sehingga mencetuskan suasana peperangan antara negara, perbalahan antara kelompok dan kabilah, krisis antara keluarga dan akhirnya pertelingkahan antara individu. 

Lantaran usaha memenuhi naluri kerohanian inilah mengakibatkan, kepimpinan mereka secara umumnya telah membawa akibat sehingga umat manusia di bawah pimpinan mereka, tidak dapat mempelajari serta mengambil pelajaran daripada peristiwa-peristiwa silam (67:15). Mereka meneruskan polisi hidup yang akhirnya membawa kebinasaan kepada kediaman mereka serta diri-diri mereka sendiri. Atas sebab itulah peringatan Tuhan (67:8/9) melalui rasul-rasul telah disampaikan kepada mereka agar mereka dapat mengubah polisi pemerintahan mereka kepada suatu yang lebih baik. 

Agama Islam datang membawa peringatan dan ancaman (67:08) kepada umat manusia pada zaman pertengahan yang lalu, mempertahankan nilai-nilai tertentu dalam agama semitik dan telah menyingkirkan aktiviti tunduk kepada banyak objek kepada satu objek. Agama Islam juga datang dengan nilai ‘falsafah’ tersendiri (sekalipun bukan merupakan agama falsafah) serta memperkenalkan konsep menyembah satu subjek dan antara yang agak bernilai, agama ini telah melahirkan ramai saintis serta ilmuwan. Nilai-nilai kebebasan individu mula diperkenalkan. Amalan umat manusia selepas itu dapat berada dalam kawalan tertentu melalui polisi pemerintahan yang mengambil berat tentang kehidupan manusia dan juga alam sekitar mereka.

Apabila sampai ke zaman Renaissance, berlaku krisis kepercayaan umat manusia terhadap peranan gereja sehingga kepada konsep ketuhanan. Konsep ketuhanan mula dipertikaikan di Eropah bermula zaman Revolusi Perindustrian dan telah hilang peranannya dalam pentadbiran. Pentadbiran Barat akhirnya terpecah kepada dua bentuk iaitu kapitalis dan sosialis yang ditentukan oleh faktor ekonomi dan peranan pekerja. Manusia diperkenalkan dengan konsep 'ketuhanan' yang baru iaitu nilai falsafah dan penemuan saintifik. Ideologi demokrasi dan komunis telah dipaksakan ke atas umat manusia di seluruh dunia melalui penjajahan dan perebutan wilayah. Kini, hampir sebahagian besar umat manusia telah dipaksa memilih salah satu agama baru dalam pentadbiran negara mereka iaitu sama ada bertunjangkan ideologi demokrasi atau ideologi komunis. Berkat persefahaman dua ideologi ini yang cuba mengelak perselisihan antara mereka, dunia ini telah aman selama lebih 50 tahun. Apabila ideologi komunis mula mengalami keruntuhan, ideologi demokrasi telah dipaksakan ke atas negara-negara kecil yang pada asalnya menganut ideologi komunis seperti Iraq dan Korea Utara melalui sekatan-sekatan tertentu dan juga kerajaan beraja yang terasing daripada dua ideologi berkenaan seperti Afghanistan.

Akibatnya, berlakulah peperangan yang dahsyat serta kejam yang menyaksikan kematian berjuta-juta umat manusia selepas Perang Dunia Kedua. Ideologi demokrasi yang menjanjikan penguasaan ekonomi kapitalis tanpa batasan dan kebebasan manusia mula menampakkan kejelekan dalam kehidupan sosial manusia dan juga keadaan keseimbangan  di bumi ini. Mereka memerlukan perluasan wilayah demi untuk menyerap sumber hasil ekonomi bagi menampung dan menampal kepincangan ekonomi kapitalis yang berlaku (67:18). Kebebasan yang dilaung-laungkan telah menyaksikan banyak persengketaan antara manusia dan telah wujud semula peperangan antara negara, kebencian antara kelompok dan kumpulan, krisis antara ahli keluarga dan antara individu serta konflik peribadi yang amat meruncing masakini. Sehingga ada manusia yang hampir-hampir tidak mengetahui adakah ia seorang lelaki atau perempuan? 
 
Di negara-negara yang pada asalnya terikat dengan pengaruh agama, Tuhan dan ajaran ketuhanan semakin dibenci dan di negara-negara yang pada asalnya ketuhanan telah diketepikan dalam hidup, kesucian agama mula diberi perhatian dan mereka dapat melihat bahawa hanya agama Islam sahaja yang dapat menyediakan tempat selamat dalam krisis kemanusiaan mereka. Suatu fenomena terbalik mula berlaku apabila umat Islam mulai murtad beramai-ramai manakala umat manusia daripada golongan ingkar pada asalnya, telah menerima Islam secara beramai-ramai. Bahkan manusia kini mulai menempuh penderitaan akibat kesan perubahan cuaca yang dituruti permasalahan bencana yang menurutinya (67:30)


KUPASAN TERKINI AYAT

Sila klik untuk membaca kupasan terkini ayat Al-Quran.

Popular