فمن ابتغى وراء ذلك
فاولئك هم العدون
Maka barangsiapa yang mencari di balik itu, maka mereka itu, mereka itulah golongan yang melampau.
kemudian sesiapa Yang mengingini selain dari Yang demikian, maka merekalah orang-orang Yang melampaui batas;
i. Bahaya Hubungan Haram
Agama Islam amat menitik beratkan hubungan sah suami isteri. Di samping sebagai talian hayat kehidupan, generasi yang akan dibentuk pada masa mendatang adalah merupakan generasi yang ada hubungan rapat dengan generasi terdahulu. Gerakan antisipasi Barat yang didokong oleh wanita-wanita mereka, akhirnya menjurus kepada masalah sosial yang lebih berat di negara mereka sehingga nasib golongan wanita mereka lebih buruk berbanding dengan wanita-wanita di negara umat Islam, yang mereka itu selama ini dianggap sebagai warga kelas kedua dan sebagainya. Perkara demikian tidak pernah dianggap wujud oleh umat Islam di negara mereka sendiri.
Mereka yang kecewa dengan sistem hidup berkeluarga, membentuk budaya-budaya baru menjalin hubungan sesama jenis, hubungan bebas dan sebagainya. Sehingga melahirkan banyak anak-anak luar nikah yang tidak dapat dipastikan dengan jelas siapakah bapa-bapa mereka. Budaya seperti ini mula dicontohi oleh umat ini sedikit demi sedikit akibat pendedahan keterlaluan terhadap budaya Barat melalui media massa dan aktiviti-aktiviti pelancongan.
ii. Prasyarat Menikahi Wanita
Wanita itu dinikahi dengan izin daripada ahlinya. Ahli yang terdekat adalah kaum keluarganya, sekiranya kaum keluarganya termasuk golongan yang mengakui beriman. Juru nikah mestilah terdiri daripada ahli bagi wanita berkenaan atau yang diberi keizinan selaku wakil oleh ahli berkenaan, bukannya dengan keizinan orang lain yang tidak ada kena mengena dengan wanita itu seperti bernikah di luar negara atau melantik jurunikah sesuka hati.
iii. Permasalahan Sosial Yang Menjurus Kepada Kekalutan
Namun atas perkara yang menjadi kekalutan dalam masyarakat, kejadian zina masakini telah berlaku secara berleluasa tanpa segan silu. Mereka yang terlibat, sanggup membincangkannya secara terang-terangan, seolah-olah mahu menunjukkan mereka berfikiran bebas tanpa perlu tertakluk kepada ajaran agama. Yang demikian, peranan Jabatan Pendaftaran Negara untuk merekod senarai nama rakyat yang ada hubungkait dengan ikatan keluarga, tentunya telah menjadi kacau bilau. Siapakah yang harus dipertanggungjawabkan terhadap kelahiran bayi-bayi luar nikah yang begitu banyak jumlahnya? Wajarkah seorang yang bernama Abdullah yang tidak diketahui kewujudannya, perlu dipertanggung jawabkan atas kelangsungan hidup anak-anak yang ber‘bin’ atau ber‘binti’kan Abdullah ini?
Lalu tanggungjawab memelihara anak-anak ini diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ataupun, sekiranya siibu sanggup mengambil tanggungjawab memelihara anaknya itu, secara jelasnya siapakah ayah yang harus disertakan dalam surat kelahirannya? Perkara sedemikian tidak akan menimbulkan banyak masalah dalam tempoh asuhan dari zaman bayi hingga anak-anak itu meningkat remaja ataupun anak-anak itu bertekad untuk tidak berkahwin apabila dewasa sepanjang hayatnya. Namun apabila ia merancang untuk berkahwin, bagaimanakah untuk memastikan ‘Abdullah’ selaku ayah individu ini bukan merupakan ayah pasangan yang akan dikahwininya. Dengan lain perkataan, mereka bukan saudara sekandung bapa. Wajarkah dalam perkara yang sebegini penting Jabatan Agama sekadar membuat kesimpulan bahawa mereka bukan ahli keluarga sekandung bapa? Atas hujjah apakah kesimpulan itu dibuat? Adakah ia sekadar andaian atau fakta dan wajarkah andaian diberi tempat dalam menentukan status pasangan itu oleh Jabatan Agama?
iv. Kekalutan Dalam Generasi Seterusnya
Sekiranya perkara sedemikian dipandang ringan, pasti akan sampai suatu masa, dengan izin Tuhan, berlaku perkahwinan sekandung yang ‘direstui’ sendiri oleh Jabatan Agama dan bermulalah bibit parah dalam kehidupan berkeluarga mereka yang terbabit. Maka sia-sialah segala usaha terperinci untuk memperkasakan peraturan syari'ah yang dipelopori oleh pihak Jabaran Agama. Wajarkah Jabatan memegang tanggungjawab kos terhadap kelahiran keturunan mereka yang tak cukup sifat akibat perkahwinan rapat itu? Islam mewajarkan hukuman sebat dan bunuh, yang merupakan hukuman berat, agar kesinambungan generasi yang rosak akibat perlakuan zina dapat dihapuskan sama sekali. Menjatuhkan hukuman terhadap seseorang pelaku zina untuk menyelamatkan puluhan, ratusan atau ribuan generasi baru (supaya tidak disabitkan sebagai keturunan zina) adalah langkah wajar dan sama sekali tidak harus dinyatakan sebagai tindakan zalim. Hukum sebat 100 kali, besar kemungkinan mengakibatkan keupayaan seksual punah dan tiada keturunan baru dapat dihasilkan selepas itu. Kesimpulannya, jalan mendekati zina haruslah dihapuskan sama sekali.
v. Keturunan Luar Nikah dan Alam Persekitaran
Kita sering mendapati anak-anak keturunan luar nikah diabaikan oleh kaum keluarganya. Oleh kerana mereka tidak memiliki hubungan keluarga yang sah, selalunya anak-anak ini membesar dengan asuhan pihak-pihak tertentu contohnya Jabatan Kebajikan Masyarakat atau ditempatkan di rumah-rumah anak yatim. Perbelanjaan sedemikian terpaksa ditanggung oleh pihak pemerintah melalui pembiayaan cukai yang dikutip daripada rakyat. Oleh kerana wujud perasaan tidak dimiliki mana-mana pihak, mereka membesar dalam suasana yang agak berlainan daripada yang diterima oleh anak-anak sah yang tinggal bersama ahli keluarga mereka atau mana-mana ahli keluarga terdekat yang lain. Namun anak-anak daripada perkahwinan yang sah, masih lagi dapat merasakan mereka masih ada hubungan dengan pihak lain. Pendidikan anak-anak yang datang daripada perkahwinan sah adalah disulami dengan rasa kasih sayang daripada ahli-ahli keluarga. Dengan itu rasa kasih sayang dan rasa bertanggungjawab, turut akan dibawa apabila mereka ini menempuh alam dewasa. Apabila anak-anak luar nikah menempuh zaman dewasa, mereka mudah terikut perkara-perkara negatif dalam masyarakat. Kehidupan mereka adalah 'survival' dan mereka akan melakukan apa sahaja untuk mencapai sesuatu dengan motivasi yang tinggi. Mereka kekurangan dari sudut perasaan belas ikhsan terhadap individu lain dan dalam kalangan mereka, banyak yang menganggotai kumpulan masyarakat jalanan. Sebenarnya, gejala seperti ini juga berlaku ke atas anak-anak lain yang kurang asuhan ibubapa mereka. Oleh yang demikian, mereka ini sukar dibentuk menurut acuan polisi pemerintah dan tidak dapat diharap untuk melaksanakan kempen-kempen yang baik. Kehadiran mereka akhirnya meningkatkan kos perbelanjaan negara dan masyarakat dalam usaha membenteras gejala sosial seperti pelacuran, pengedaran serta penagihan dadah, kumpulan-kumpulan samseng dan sebagainya.
vi. Tiada Undang-undang Untuk Menghapuskan Mereka
Tiada polisi atau undang-undang untuk menghalalkan penghapusan etnik seperti ini yang sebenarnya dapat menimbulkan barah dalam masyarakat dan tiada ubat untuk merawat keadaan masyarakat yang menjadi parah akibat mereka. Yang ada hanyalah langkah pencegahan awal yang tegas diikuti dengan usaha-usaha pemulihan setelah pencegahan awal. Kesan-kesan fisiologi dalam tubuh individu hasil daripada hubungan luar nikah sepertimana yang dibincangkan di sebelum ini, tentunya menimbulkan masalah kepada pemerintah untuk menyediakan pusat-pusat terapi khas pemulihan kepada mereka. Jabatan Agama mungkin akan dipersalahkan lantaran gagal mengesan rekod lengkap status pasangan sehingga melahirkan generasi luar nikah yang berterusan. Adakah generasi mereka boleh diharap untuk membimbing masyarakat membentuk kehidupan beragama yang dengannya, kehidupan bermasyarakat menjadi harmoni? Adakah mereka boleh diharap untuk mematuhi kempen pemerintah atau ajaran agama untuk menjaga alam persekitaran mereka? Kita biasa mendengar bagaimana di negara-negara Barat, kehadiran anak-anak luar nikah diperbesar-besarkan dan mereka dinobat sebagai artis-artis terbaik memegang watak-watak tertentu yang telah membela masyarakat atau menyelamatkan dunia ini. Sebenarnya, itulah kempen mereka supaya sempena mereka, umat seluruh dunia mencontohi mereka dan mengiktiraf kehadiran mereka sebagai manusia penting dalam kehidupan ini. Maka dengan itu hilanglah rasa inferior yang sentiasa membelenggu perasaan mereka sebagai anak-anak luar nikah. Ini tentunya menimbulkan kesan buruk terhadap generasi mendatang di negara ini yang laungan azan masih dikumandangkan setiap awal waktu solat.
Mengejar serta memperbanyak habuan dunia telah melekakan semua pihak sehingga mereka semua telah menjadi bersangatan cuai dalam menjaga perkara ini.
No comments:
Post a Comment