SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Monday, January 12, 2015

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 33 -- MEREKA YANG MENDIRIKAN PERSYAHADATAN


والذين هم بشهدتهم قائمون

Dan orang-orang yang mereka itu terhadap kesaksian-kesaksian mereka, yang mendirikan.

dan mereka Yang memberikan keterangan Dengan benar lagi adil (semasa mereka menjadi saksi);

KETUJUH : MEREKA YANG MENDIRIKAN KESAKSIAN

Pendiri-pendiri kesaksian mengkhabarkan penyaksian yang disaksikan secara benar. Selalunya kita diajar bahawa pendiri-pendiri kesaksian diminta berbuat demikian sebagai saksi penting dalam suatu kes di mahkamah. Dengan demikian apajua pernyataan yang disebutkan akan dijadikan hujah oleh para juri atau hakim dalam menyatakan keputusannya. Bukan sekadar itu, sebenarnya terdapat peranan oleh golongan yang dikatakan bersolah mendirikan kesaksian terhadap peristiwa yang berlaku akibat kerja-kerja tertentu agar menjadi pertimbangan ahli masyarakat. Demikian itu satu cara dakwah supaya keutamaan pengajaran kitab suci menjadi sesuatu yang sentiasa diperbincangkan.

Sebagai contoh, peristiwa runtuhnya Bukit Antarabangsa dan Highland Tower yang menampung rumah-rumah kediaman suatu masa dahulu adalah suatu manifestasi pengamalan manusia, sama ada berdasarkan keingkaran kepada panduan Tuhan atau sesuatu yang dilaksanakan lantaran kejahilan. Namun teknologi yang telah diketahui manusia, tidak mungkin dapat dinyatakan sebagai kejahilan kerana mereka yang diberi amanah untuk memilih lokasi dan bahan-bahan yang diperlukan serta langkah-langkah pengawalan adalah merupakan sesuatu yang telah mereka pelajari. Mereka mengetahui tentang kekukuhan tanah secara mahir. Mereka juga dilengkapi dengan ilmu pengiraan kekuatan bahan serta tempoh masa tertentu sesuatu bahan dapat bertahan. Mereka juga memiliki mekanisma pemeriksaan terhadap tanah yang sentiasa mereka lakukan dalam tempoh-tempoh tertentu serta mengetahui peratusan kandungan unsur atau sebatian dalam tanah. Dan mereka juga menyediakan undang-undang tentang penerokaan kawasan-kawasan baru terhadap kegiatan yang dilaksanakan di kawasan puncak bukit berkenaan. 

Oleh itu mereka menyedari sejak dari dahulu bahawa pembangunan kediaman di kawasan bukit atau gunung, tentunya menyediakan risiko tertentu yang menimbulkan bahaya apabila suatu penyebab berlaku secara tiba-tiba seperti kejadian hujan bersangatan atau struktur tanah berubah akibat bahan-bahan kimia tertentu. Pemegang-pemegang ‘amanah’ dalam menentukan polisi tempat kediaman, tentunya mengetahui sudut undang-undang yang menghalang aktiviti berkenaan. Namun di atas sikap sanggup menafikan kesaksian ilmu para ilmuwan tentang bahaya berkenaan dan di atas sikap acuh tak acuh terhadap ‘undang-undang’ sedia ada, mereka sanggup menerima habuan rasuah atau saham sehingga projek-projek pembinaan rumah-rumah kediaman tetap dilakukan di kawasan yang tidak sepatutnya. Kesan-kesan kerosakan alam sekitar akhirnya menimpa mereka. Lalu bagaimanakah akibatnya sekiranya pemegang-pemegang ‘amanah’ yang bersikap sedemikian masih berterusan memegang jawatan mereka? Berapa banyakkah lagi bukit bukau perlu digondolkan? Berapa banyakkah lagi kejadian bangunan-bangunan di kawasan lereng bukit akan runtuh bersama runtuhan lereng? Berapa banyakkah lagi projek baru di lereng bukit akan diteruskan? Berapa banyak lagi kematian yang disebabkan perbuatan ‘sengaja’ pihak-pihak tertentu dibiarkan begitu sahaja tanpa pengadilan? 

Bagaimana pula tentang kesaksian yang perlu didirikan darihal jenayah yang dipelopori oleh pihak atasan sehingga menjadi punca segala bentuk jenayah dalam negara? Bukankah dalam hal persoalan nikah kahwin, persaksian diperlukan dan bahkan dalam hal menerima Islam sebagai Ad-Din, persaksian juga diperlukan?

i.      Kesaksian Penerimaan Agama yang Wajib Didirikan

Apabila dimulai bahawa menerima syahadat Islam adalah dengan mula menyebut kalimah “La ilaha Illa Allah, Muhammad RasululLah”, pernyataan seperti ini hanyalah ‘laku’ apabila disertai oleh kesaksian. Sebagaimana dalam aktiviti aqad nikah antara pasangan yang ingin berkahwin, antara prasyarat yang harus disertai adalah kesaksian melibatkan ahli bagi pengantin perempuan, dua orang saksi yang mengenali mereka bahawa tiada halangan untuk mereka berkahwin, kehadiran pengantin lelaki dan perempuan serta ijab dan qabul. Namun dalam enakmen tertulis di setiap negeri di negara ini, kebanyakannya hanya keislaman mualaf (saudara baru) yang memenuhi prasyarat yang dituntut dalam agama. Dengan lain perkataan, keislaman mereka telah memenuhi prasyarat kesaksian dikuatkan lagi dengan saksi percetakan dalam bentuk sijil keislaman dan sebagainya.

ii.     Kesinambungan Solat Dalam Dua Kalimah Syahadah

Kalimah ini menjurus kepada kepercayaan kepada Allah. Menerima Jibril A.S. selaku malaikat yang menurunkan wahyu kepada Muhammad RasululLah S.A.W.  dan menerima Al-Quran untuk diimani keseluruhannya, yang diturunkan Allah kepada Muhammad RasululLah S.A.W. Adalah seperti menerima sepucuk surat daripada posmen dengan meyakini bahawa posmen hanyalah penghantar surat berkenaan. Yang penting sekali adalah mengetahui siapa yang mulai menghantar surat berkenaan. Bermula tindakan adalah dengan membaca surat berkenaan. Sekiranya tidak difahami, dimulai dengan mempelajari huruf-huruf yang tertulis atau mendapatkan pembaca yang mahir. Tulisan-tulisan dalam surat itu harus difahami dan kefahaman adalah berdasarkan reaksi daripada pembacaan surat berkenaan sama ada mengingkarinya atau mematuhinya.

Kepatuhan (keislaman) Muhammad RasululLah S.A.W, maka malaikat Jibril A.S. sebagai saksi dan umat ini menyaksikan bagaimana perluasan dakwah terus berjalan serta kebenaran yang dinyatakan dalam Al-Quran yang diterima baginda untuk sepanjang zaman. Kepatuhan (keislaman) para sahabat R.A.H.M, maka RasululLah S.A.W. menjadi saksi mereka (2:143) sehingga mereka menyerah diri mematuhi arahan-arahan Tuhan melalui lidah RasululLah S.A.W. dan banyak daripada sahabat menyaksikan kemenangan Islam mulai dari masa pengistiharan kerasulan sehingga wafat RasululLah S.A.W. Kepatuhan pengikut-pengikut sahabat (tabi'in), terdapat para sahabat yang menjadi saksi sehingga kekuasaan Islam tersebar ke wilayah-wilayah sekitarnya. Namun keislaman kita semua sekarang ini, siapakah yang menjadi saksi?

iii.     Keislaman Mualaf Adalah Lebih Kukuh

Pengistiharan mualaf saudara baru sekurang-kurangnya terdapat pengistiharan berdaftar yang keislaman mereka disaksikan. Oleh itu keislaman mereka adalah lebih benar berbanding keislaman umat Melayu keturunan yang wujud sekarang ini. Siapakah daripada umat Melayu keturunan, yang keislamannya disaksikan sejak daripada mula mereka baligh? Sesungguhnya Islam bukanlah agama warisan. Siapakah yang harus menjadi saksi mereka untuk memanifestasi kerja-kerja berkesinambungan daripada RasululLah S.A.W. kepada para sahabat, kepada tabi’in, kepada tabi’in tabi’in dan seterusnya dari semasa ke semasa hingga hari kebangkitan, di hadapan Allah S.W.T. nantinya? Adakah pernyataan sedemikian adalah merupakan sesuatu ajaran baru yang diada-adakan supaya umat ini memperbaharui semula keislaman mereka yang kali ini memerlukan saksi? Sedangkan RasululLah S.A.W. sendiri, menerima keislaman bagi penganut-penganut yang baru secara bai’ah. Contoh ini kemudiannya diikuti oleh para sahabat dan tabi’in. Amalan yang tinggal sekarang ini adalah untuk golongan yang dinamai sebagai mualaf seolah-olah di negara ini keislaman umat Melayu tidak boleh dipertikaikan sehingga Melayu adalah Islam dan Islam adalah Melayu. Sungguh benar keislaman seseorang mualaf, ada kesaksian dan disokong dengan dokumen. Keislaman umat Melayu hanya ada dokumen yang tidak pernah ada kesaksian sepanjang hayat.

iv.    Zaman Yang Akan Memperlihatkan Kenyataan Ini

Beberapa tahun dahulu sekitar tahun 2001/02, suatu kenyataan telah dikeluarkan oleh seorang mufti kerajaan negeri, iaitu bilangan umat Melayu yang telah murtad telah melebihi dua ratus ribu orang. Menjelang 10 tahun selepas itu iaitu sekitar sekarang ini, bilangan yang murtad telah melebihi dua kali ganda daripada angka sebelum ini. Yang menjadi persoalan bukanlah mengapa mereka memilih untuk murtad? Persoalan utama ialah mengapakah mereka masih mengekalkan status agama dalam kad pengenalan mereka sebagai beragama Islam? Permasalahan akan timbul untuk tempoh 10 tahun dari sekarang apabila bilangan murtad menjadi empat kali ganda daripada bilangan mereka 10 tahun yang lalu. Sebarang kejadian kematian dalam kalangan golongan murtad tentunya menimbulkan masalah kepada waris mereka sekiranya mayat mereka tidak dibenarkan menjalani upacara kepercayaan agama baru mereka seperti dibakar ataupun dikebumikan di jirat-jirat tertentu. Permasalahan kedua pula ialah tentang status agama kepada anak-anak mereka yang seharusnya menuruti status agama ibu mereka yang ditulis sebagai beragama Islam. Oleh itu wajarkah status yang tertulis dalam kad pengenalan diguna pakai bagi mengiktiraf agama anutan seseorang? Adakah wajar keislaman tanpa kesaksian umat Melayu, harus diterima sebagai sesuatu yang sah?

v.     Sistem Persaksian Membentuk Amal Jamaah

Kempen apajua pun tentang sesuatu pekerjaan hanya tertentu terhadap sumber-sumber yang ada. Adalah tidak dapat dinafikan bahawa sumber tenaga kerja manusia adalah merupakan sumber yang besar. Namun usaha ini akan hanya berkesan apabila dilaksanakan secara bersistem. Sistem haruslah dimulai dengan pembentukan individu-individu yang dapat dibangunkan untuk melaksanakan sesuatu usaha jamaah secara bersama. Apabila sekumpulan manusia telah diterima kesaksian kepatuhannya, mereka hanya diminta mematuhi arahan serta memberi sumbangan seberapa yang terdaya menurut keikhlasan (kesungguhan) mereka. Disiplin bekerja harus bermatlamat dan matlamat melakukan kerja (amalan) sebagaimana yang diajar oleh RasululLah S.A.W. hanya bermatlamatkan Allah S.W.T. sahaja dan bukannya yang lain. Kaedah melakukan kerja haruslah berdasarkan panduan dan panduan yang ada di tangan adalah kitab suci Al-Quran, yang merupakan satu-satunya penerimaan pokok yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun jua. Panduan ini harus dipelajari bersama-sama dan diperkuat dengan contoh-contoh As-Sunnah dan panduan Sahabat serta Tabi'in. Pembelajaran adalah menurut hirarki tertentu sebagaimana pembelajaran para sahabat yang Rasulullah S.A.W. sendiri membezakan pembelajaran antara seorang sahabat dengan sahabat yang lain menurut persediaan mereka.

vi.    Hanya Suatu Contoh : Keberkesanan 
        Pekerjaan dan Penjagaan Alam Sekitar

Oleh kerana Al-Quran itu beredar menurut peredaran masa, terdapat permasalahan yang sukar didapatkan rujukan daripada As-Sunnah dan panduan Sahabat serta Tabi’in. Oleh itu perincian harus diperhatikan menurut panduan yang dapat dipelajari daripada Al-Quran itu sendiri. Tidak seharusnya mereka yang beriman serta yang telah menyatakan kepatuhan, berusaha mengutamakan panduan lain daripada panduan yang dinyatakan. Contohnya penemuan Barat darihal bioteknologi yang melibatkan pengubahsuaian genetik, bukan penyelesaian terhadap isu-isu berkaitan kekurangan makanan. Pengemblengan tenaga secara bersistem adalah lebih utama. Ini adalah disebabkan keperluan mengamalkan apa jua yang diperintahkan adalah berdasarkan keupayaan setempat terlebih dahulu. Di situlah praktik istiqamah diaplikasikan. Penggunaan bahan-bahan mentah seperti air dan sumber baja asli, digunakan secara berjimat cermat. Sistem kitaran yang membentuk kestabilan alam diamalkan secara bersungguh. Mereka bukan sekadar mengamalkan pekerjaan bahkan memerhatikan kesan pekerjaan hari ini terhadap esok hari (59:18). Dengan ini, kaedah pengamalan bertaqwa ini tentunya dapat dipelajari oleh ahli masyarakat yang lain supaya kaedah yang serupa yang tidak merosakkan alam dapat diamalkan secara berkesan. Rasulullah S.A.W. telah memberi contoh bagaimana kerja-kerja jama’ah yang diasaskan di Masjid Nabawi berupaya membentuk tenaga kerja dalam apa jua jurusan kerja tanpa perlu memikirkan kos kewangan yang besar yang harus disediakan. Semuanya dapat berlaku memandangkan pengikutnya terdiri daripada golongan yang beriman melakukan pekerjaan berdasarkan sistem kerja jama'ah. Harapan hanya ditujukan kepada Tuhan bagi memperolehi ganjaran di akhirat kelak. Sekalipun pada permulaannya pengikut-pengikutnya berada pada keadaan yang daif sekali, akhirnya suatu pembentukan masyarakat Islam yang harmoni dapat dibentuk. Mereka tidak dapat digugat oleh mana-mana pihak. 




No comments:

Post a Comment

Popular