SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Thursday, October 30, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 21 -- TERTEGAH APABILA DITIMPA KEBAIKAN


و اذا مسه الخير منوعا

Dan apabila telah menyentuh ia akannya oleh kebaikan (pemperolehan), tertegah.

dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut;

i.     Ekonomi Pulih Yang Lebih 
       Merosakkan

Apakah yang akan berlaku sekiranya aktiviti ekonomi sungguh memberangsangkan sekali? Pertumbuhan ekonomi pernah mencapai sekitar 10% dan di sesetengah negara mencapai 20%. Dengan mengunjur pertumbuhan sedemikian, kadar pulangan terhadap pinjaman dijangka akan menjadi lebih cepat. Pinjaman RM100,000 beserta cas riba sebagaimana yang disebutkan tadi akan segera selesai dalam tempoh sekitar 12 tahun sahaja atau kurang dari itu. Lalu pihak institusi kewangan akan segera menawarkan suatu bentuk kemudahan kredit lain untuk tujuan pengumpulan aset kepada seseorang seperti pembiayaan semula rumah dan bangunan dan juga tabungan insurans yang pelbagai jenis itu. Kadar pinjaman asas yang dikenakan pihak institusi kewangan kini ditingkatkan agar institusi itu dapat merancang memperolehi keuntungan tertentu untuk suatu tempoh masa. Kecairan sebanyak lebih RM 100,000 yang diperolehi oleh seseorang itu, kini dapat digunakan sebagai cagaran untuk mendapatkan kemudahan kredit membeli bangunan perniagaan. Bangunan itu akan digunakan sebaik-baiknya oleh pembeli atau disewakan kepada pihak lain. Dengan pulangan tetap hasil daripada sewaan atau manfaat yang diperolehi daripada bangunan berkenaan secara bulanan, bayaran bulanan segera diserahkan kembali kepada institusi kewangan terbabit.

ii.    Istilah Yang Geli Untuk Didengari

Lalu di manakah lebihan keuntungan yang harus digunakan untuk disadaqahkan kepada pihak lain untuk tujuan kebajikan sesama insan? Istilah seperti ini yang disebutkan di sini atau yang seumpama bunyinya seperti sadaqah, infaq atau peruntukan jihad barangkali merupakan istilah yang begitu geli untuk didengari. Umat tertegah untuk berbelanja membentuk ekonomi bersama supaya kehidupan menjadi harmoni semata-mata disebabkan oleh bebanan yang setiap individu tanggung akibat mengambil sistem riba. Pinjaman perumahan atau bangunan mungkin akan mengambil masa selama tempoh 20 tahun untuk diselesaikan. Bergantung kepada keadaan ekonomi negara semasa, tempoh itu mungkin akan menjadi berkurangan sekiranya ekonomi dalam keadaan baik. Namun bagi mereka yang berjaya mendapatkan pulangan bulangan yang tinggi daripada sewaan bangunan atau manfaat bulanan bangunan tersebut, mereka akan tentunya terfikir sekiranya ditawarkan sekali lagi oleh pihak institusi kewangan supaya pembiayaan semula dapat dilakukan. Institusi kewangan hanya memikirkan untung jangka masa panjang dengan cagaran dalam tangan berupa bangunan yang dibiayai semula. Di atas nilai gadaian yang sentiasa meningkat, inflasi berlaku terhadap nilai hartanah sehingga meningkatkannya berganda-ganda dalam masa yang agak singkat selang beberapa tahun. Nilai asal bangunan sejumlah RM100,000 dapat ditaksirkan semula sebagai RM250,000 selepas 10 tahun. Apakah yang institusi kewangan akan perolehi? Mereka memperolehi nilai gadaian dalam bentuk hartanah yang dicagarkan dan peminjam memperolehi nilai maya dalam khayalan yang belum tentu mereka akan memperolehinya apabila sampai masa yang dijanjikan. 

Di mana-mana jua, sistem ekonomi kapitalis 
akhirnya akan membawa kerosakan

Apabila ekonomi menjadi gawat, peminjam akan kehilangan semua asetnya melalui perbicaraan mahkamah yang akan memutuskan untuk melelong bangunan terbabit. Maka lenyaplah simpanan asalnya yang berjumlah RM10,000 itu dan ia juga diistihar muflis, masih menanggung hutang atas hartanah yang telah lenyap daripada sisinya sehingga menjadi milik institusi kewangan terbabit.

iii.    Permainan Kartel Institusi 
        Kewangan

Namun, apakah yang mereka akan lakukan apabila ekonomi berkeadaan baik? Melalui pembiayaan semula, institusi kewangan itu akan memperolehi kemudahan kredit daripada institusi kewangan lain seperti bank-bank yang besar atau melalui tawaran bond bagi mendapatkan pelaburan baru. Bank akan menaja lebih banyak kegiatan pembinaan hartanah yang terdiri daripada bangunan-bangunan baru yang mempunyai nilai gadaian yang lebih tinggi. Dengan harapan memperolehi pembeli baru atau pembeli lama melalui pembiayaan semula, kini aset bank semakin kukuh dengan modal pasaran hadapan yang boleh diharap. Semua aset yang dicagarkan kepada orang ramai sebenarnya adalah miliknya. Ia pasti merampasnya kembali apabila peminjam tidak dapat melaksanakan janjinya menjelaskan hutang sedikit demi sedikit yang akan terjadi apabila ekonomi negara gawat. Di negara-negara Barat, mereka meletakkan nilai kredit gadaian kepada pasaran terbuka. Pelabur akan dikatakan memperolehi untung berganda sekiranya pihak yang membuat pembelian kredit terus gagal untuk membayar hutangnya dan pembeli lain mengambil alih hartanah asal. Melalui pembiayaan semula dan pembelian baru, lebih banyak bangunan atau kediaman akan terus dibina. Ini bermakna lebih banyak bahan mentah diperlukan dan akhirnya lebih banyak pencemaran akan berlaku. Pembangunan hartanah berbentuk bangunan dan kediaman mengakibatkan lebih banyak pencemaran. Bekalan tenaga banyak diperlukan untuk kerja-kerja pembinaan. Lebih banyak bukit-bukit batu kapur dikorbankan dan bahan kimia pelarut untuk tujuan pewarnaan cat dan pencucian digunakan secara serius. Pembangunan juga melibatkan pembinaan jalan-jalanraya yang menyaksikan pencemaran haba akibat pembakaran aspal. Bahan-bahan peledak PE untuk mendapatkan batuan krikil, menjurus kepada pencemaran bunyi dan penyebaran debu secara berterusan. Lebih banyak gas-gas penyejuk dibebaskan semasa pembikinan peralatan penyejuk yang menjadi mandatori untuk bangunan-bangunan besar yang baru, dapat merosakkan lapisan ozon. Kitaran ulangan gila aktiviti pembangunan ini dirangsangkan oleh aktiviti riba yang diamalkan secara berlebihan. Pembeli tidak puas-puas membeli dan terus membeli untuk mengumpul aset dan institusi-institusi kewangan serta bank, tidak puas-puas mengeluarkan biaya, yang dengannya setiap hartanah itu menjadi cagaran dalam tempoh masa tertentu. Negara megah dengan perisytiharan peratus petunjuk ekonomi dan rakyat berbangga dengan pemilikan maya. 
  
iv.    Pembaziran Yang Terbentuk 
        Melalui Sistem Kewangan 
        Berasaskan Riba

Sistem ekonomi berasaskan riba sebenarnya menjurus kepada pembaziran yang bersangatan. Lebih banyak bangunan kosong yang lama, dibiarkan tidak digunakan dan lebih banyak bangunan baru, akan dikosongkan. Manusia melakukan kerja seperti angkut-angkut iaitu bina, pasang, siap dan tinggal. Seperti angkut-angkut yang membasahi butiran-butiran pepasir dengan air liurnya, menggulungnya, memindahkannya untuk membina bilik demi bilik, sedangkan hanya satu sahaja daripada banyak bilik berkenaan yang dimanfaatkannya. Memandu, memandu dan terus memandu dari awal pagi hingga ke senja bahkan sehingga larut malam, untuk memaki hamun pemandu-pemandu lain di atas jalanraya serta menambah-nambah pencemaran alam. Mereka juga berterusan menggali dan mengkambus dan terus menggali dan mengkambus dan menggali lagi dan terus mengkambus, sebagai memenuhi lakonan kerja melalui 'job' yang sengaja diwujudkan. Tujuannya adalah supaya pegawai-pegawai dapat berterusan menerima rasuah dan kontraktor-kontraktor berterusan membawa pekerja-pekerja asing sehingga akhirnya nilai wang negara terus menyusut. Rakyat yang mengalami kesukaran terpaksa menjadi lebih rajin untuk mengatasi inflasi dan kesan sampingannya adalah kerosakan alam sekitar dan kehidupan sosial manusia. 

Pembangunan selalunya baik untuk kebajikan umat. 
Namun pembangunan tak terancang serta yang lebih 
dipengaruhi oleh puak-puak kapitalis, seringkali  
lebih menyerlahkan keburukan berbanding kebaikan.

No comments:

Post a Comment

Popular