Kemodenan dunia bukan penghalang kita memperbudaya dan mempelajari Al-Quran dan As-Sunnah, dalam melayari rutin kehidupan seharian sebagai hambaNya dan khalifah di muka bumi.
Untuk memulai langkah yang membawa kepada
suatu kehidupan, langkah-langkah yang perlu diambil adalah berusaha mendapatkan
pertolongan Tuhan melalui jalan bersabar dan memenuhi tanggungjawab
kesinambungan solat. Dengan mempelajari serta memerhatikan perkara-perkara
serta peristiwa yang berlaku di bumi ini, kita semua akan dapat memahami bahawa
usaha manusia sedia ada, pada keseluruhannya, sekiranya dibiarkan berterusan,
akan menjurus manusia kepada sebuah kematian.
Oleh kerana bukan perkara yang mudah untuk
mengubah tingkahlaku manusia, kita harus membuat persiapan bagi menghadapi
sebarang bentuk bencana yang bakal terjadi. Peristiwa-peristiwa sedemikian
dapat diketahui melalui pengkajian teliti ayat-ayat Tuhan. Semua bentuk bencana
itu sendiri adalah merupakan ujian Tuhan ke atas manusia secara keseluruhannya
disebabkan oleh usaha manusia sendiri yang menjemput bencana berkenaan, sama
ada secara disedari atau tidak mereka sedari. Konsep kesabaran manusia semasa
menghadapi bencana adalah merupakan suatu kesinambungan selawat Tuhan kepada
manusia.
Seterusnya manusia harus menghayati kembali
konsep peribadatan contohnya seperti ibadah haji yang merupakan suatu ibadah
yang menjurus kepada pengorbanan habis-habisan oleh setiap individu dalam usaha
melaksanakan tanggungjawab menyampaikan ayat-ayat Tuhan kepada manusia
seluruhnya. Ayat-ayat Tuhan tidak harus disembunyikan daripada pengetahuan
manusia agar mereka dapat sampai kepada satu seruan mengesakan Tuhan Yang Maha
Esa untuk kebaikan manusia itu sendiri.
Dan
sembahan kamu, sembahan Yang Maha Esa. Tiada sembahan melainkan Dia,
Yang Maha Pemurah, Maha Pengasih.
dan
Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak
disembah) selain dari Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha
Mengasihani.
Bermula
himpunan ayat bahagian ini adalah tentang langkah mendapatkan
pertolongan Tuhan dengan jalan sabar dan kesinambungan solah, diikuti
dengan takrifan bagi kehidupan. Manusia diuji untuk menempuh
kehidupan mereka di bumi dan segala agenda kehidupan yang berlaku
adalah menjadi kehendak dan ketentuan Tuhan. Ayat selanjutnya
mengkhabarkan tentang hubungan dua hala antara Tuhan dan golongan
berpetunjuk melalui konsep peribadatan solah dan pengorbanan haji.
Konsep
peribadatan haji adalah peribadatan yang mengambil sempena
pengorbanan dan perkara ini menjurus kepada usaha pengorbanan umat
ini kepada Tuhan dalam menempuh kehidupan beragama. Perkara ini kini
telah menjadi suatu yang semakin dilupai umat. Hal ini terjadi atas
sebab kerja-kerja aktif penyembunyian Al-Qur'an yang dilakukan
sendiri oleh individu-individu yang dipercayai umat, yang berada
dalam agenda agama.
i.
Seruan Untuk Kembali Mengesakan Tuhan
Pengertian
daripada ayat ini adalah untuk mengingatkan kembali bahawa Tuhan
sembahan bagi umat manusia adalah Tuhan Yang Maha Esa. Seruan untuk
kembali menyembah kepada Tuhan Yang Maha Esa adalah dengan mengenali
terlebih dahulu sifat Tuhan Al-Rahman (Maha Pemurah) dan Al-Rahim
(Maha Pengasih). Mengenali sifat Tuhan, Yang Maha Pemurah adalah
menjurus kepada mengakui hakikat bahawa Tuhan Al-Rahman adalah Tuhan
yang telah mengajari manusia darihal Al-Qur'an, darihal kejadian
manusia dan yang mengajar manusia keterangan-keterangan (55:01 –
55:04). Oleh itu, beriman kepada Tuhan bersifat Al-Rahman adalah
dengan mengambil pendirian bahawa Tuhan memiliki peranan kepada
setiap individu untuk menyampaikan mereka kepada kefahaman tentang
Al-Qur'an, tentang kejadian manusia itu sendiri serta
keterangan-keterangan Al-Qur'an.
ii.
Mengesakan Tuhan Maha Pemurah, Maha Pengasih
Mengakui
keesaan Tuhan Maha Pemurah, Maha Pengasih adalah dengan mengakui
hanya Tuhan sebagai pendidik manusia semata-mata. Mengambil
pihak-pihak lain sebagai pendidik-pendidik selain daripada Tuhan
adalah suatu langkah yang menjurus kepada kesyirikan. Mengambil
manusia selaku pengajar Al-Qur'an tidak harus mendahului Tuhan yang
melakukan peranan sebagai pengajar Al-Qur'an dan penyerahan individu
kepada ulama-ulama atau tuan-tuan guru dalam memperjelas sesuatu
hukum dalam agama tidak harus sampai kepada pengiktirafan seolah-olah
seseorang ulama atau guru itu adalah sumber hukum atas
perkara-perkara agama sehingga perlu ditaati.
Secara
ringkasnya, penulis ingin menjelaskan bahawa tugas individu adalah
mengambil jalan untuk memahami Al-Quran daripada ulama-ulama dan
bukan bertujuan untuk mentaati mana-mana ulama. Mentaati seseorang
individu adalah kerana individu itu adalah pemimpin yang telah
dipersetujui lebih awal atas lantikan, yang harus hanya menjurus
kepada perkara yang diperintah atau yang dibenarkan oleh Tuhan.
iii.
Bagaimanakah Pendirian Yang Harus Seseorang Ambil?
Kita
semua sedia maklum bahawa setiap individu akan menghadap Tuhannya
secara sendiri-sendiri dan tidak akan ada pihak lain yang sanggup
menolong menghadap Tuhan bagi pihaknya, dan kita juga sedia maklum
bahawa setiap individu akan melalui titian sirath secara sendirian
dan tidak akan ada pihak lain yang mampu menolongnya. Itu adalah atas
perkara di Akhirat nanti di hadapan Tuhan Azza Wajalla. Begitulah juga perkara yang harus berlaku di dunia ini,
sebagai sikap yang harus ditunjukkan oleh setiap individu, tentang pendirian agama masing-masing.
Oleh
itu apakah kewajaran untuk seseorang menerima fatwa-fatwa agama
secara bulat-bulat daripada mana-mana Majlis Fatwa tanpa sebarang
penjelasan yang seseorang harus pelajari? Begitu juga, apakah
kewajaran yang harus individu taati daripada pengajaran mana-mana
guru atau ulama darihal perkara yang melibatkan pengajaran Al-Qur'an
tanpa penjelasan teliti daripadanya. Wajarkah umat dibiarkan begitu
sahaja untuk bertaqlid atas perkara agama? Sehingga kini, apabila
banyak pemakanan umat masa ini membawa masalah kesihatan yang serius,
mana dia ulama yang berani bangun dan bersuara? Oleh kerana tidak
terdapat mana-mana pihak yang berani bangun untuk memperbetul
permasalahan sedemikian, wajarkah kita tetap berpendirian bahawa cara
beragama kita ini selama ini adalah benar-benar dalam keadaan yang
benar.
Yang berkekalan padanya, tidak ia (jadi)
ringan dari mereka akan azab dan tidak (pula) mereka diberi tangguh.
mereka kekal di Dalam laknat itu, tidak
diringankan azab sengsara dari mereka dan mereka pula tidak diberikan tempoh
atau perhatian.
Penjelasan sebelum ini telah menyatakan suatu
keadaan bagaimanakah kitab-kitab suci Tuhan kini telah menjadi suatu yang
disembunyikan? Sebenarnya kerja-kerja penyembunyian Al-Qur'an telahpun menjadi
sangat rancak bermula zaman penjajahan. Sebaik sahaja penjajahan berlaku, pihak
penjajah sendiri telah memberi galakan penubuhan sekolah-sekolah agama yang
silibus pelajarannya telah dikawal selia oleh mereka dan juga pelajaran agama
dijadikan pelajaran opsyen di sekolah-sekolah milik pemerintah, sama tarafnya
dengan pendidikan seni lukisan. Mereka bukan sahaja menguasai corak pendidikan
sepenuhnya pada peringkat sekolah rendah lagi bahkan sehingga ke peringkat yang
lebih tinggi contohnya seperti silibus pengajian di universiti Al-Azhar. Kini
apabila guru-guru para graduan kembali ke tanah air, mereka dikehendaki
mengajar perkara khusus sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pemerintah dan
mereka sama sekali dilarang menyimpang daripada sukatan pelajaran yang
diberikan.
Sudah tentulah pengajar-pengajar ini akan
mengajar sepenuh perkara, menurut pengalaman yang mereka perolehi semasa mereka
di luar negara dahulu dan mereka langsung tidak dikhuatirkan untuk mengajar
perkara yang dianggap kurang menyenangkan pihak pemerintah ataupun pihak
penjajah semasa mereka sedang menguasai negara.
i. Laknat Yang Berterusan Ke
Atas Pendakwah- Pendakwah Yang Menyimpang
Bermula daripada kekangan sedemikian, fitnah
mula berlaku sedikit demi sedikit dalam masyarakat Islam. Mereka telah dipaksa
untuk menuruti sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba yang direstui sendiri
oleh ilmuwan-ilmuan yang telah dilatih khas menurut kaedah penjajah.
Ilmuwan-ilmuan itu menjawat jawatan penting di institusi agama untuk
melaksanakan tugas yang telah mereka pelajari di bawah pengaruh penjajah.
Akhirnya kita dapati umat Islam kini berkeadaan melarat dalam kemewahan. Mereka
menjadi hamba abdi tanpa tuan yang mereka ketahui dan melakukan kerja yang diperintahkan melalui
teks-teks arahan dan mereka menjadi banduan tanpa melakukan sebarang kesalahan yang
mereka maklumi dan mendiami penjara tanpa jeriji besi yang kelihatan. Mereka
tak dapat berbuat apa-apa juapun terhadap permasalahan sosial yang melanda umat
masakini dan mereka hanya dapat melihat tanpa dapat mengambil sebarang tindakan
terhadap aktiviti pemurtadan.
Matrix sedang mengelilingi kita sehingga kita tidak
sedar bahawa kita adalah hamba dan banduan.
Wajarkah umat dipersalahkan sepenuhnya atas
permasalahan yang berlaku? Wajarkah penjawat-penjawat dipersalahkan kerana
mereka hanya bersedia untuk mematuhi setiap teks arahan yang mereka terima dan
melaksanakan arahan itu? Wajarkah pemerintah dipersalahkan, kerana setiap
individu pemerintah tentunya melihat pada suatu sudut demi mengekalkan
pemerintahannya?
Yang wajar dipersalahkan adalah
pendakwah-pendakwah yang mengetahui perkara sebenarnya, yang mereka memilih
untuk menyembunyikan Al-Qur'an daripada diketahui oleh setiap individu umat.
Mereka ini bukanlah pendakwah-pendakwah yang menerima gaji atau upah daripada
mana-mana pihak dan mereka mempunyai kebebasan untuk menyampaikan perkara
benar, namun mereka tidak melakukannya. Mereka inilah individu yang dilaknat
Tuhan, dilaknat malaikat dan dilaknat oleh seluruh manusia nantinya.
ii. Azab Yang Berterusan Yang Menimpa Mereka
Penjajahan telahpun berlalu lebih setengah
abad yang lalu. Sistem yang terbina di negara ini selepas berakhirnya
pemerintahan British, adalah suatu natijah daripada kehancuran
kerajaan-kerajaan Melayu silam seperti kerajaan Patani-Langkasuka, kerajaan
Melaka dan kerajaan Srivijaya. Sehingga kini, tiada satupun individu di negara
ini dapat dikatakan berkuasa secara mutlak dalam urusan mentadbir negara.
Sekalipun kuasa legislatif dan eksekutif diserahkan oleh rakyat dan kesultanan
kepada kerajaan berasaskan parti untuk setiap 4 atau 5 tahun sekali, kebajikan
rakyat menjadi perkara utama dalam menentukan kelangsungan sesuatu
pemerintahan.
Namun di atas kepentingan individu pemerintah
yang ingin terus selesa dan kekal di tampuk pemerintahan, sebarang polisi yang
dilaksanakan tentunya sesuatu yang berkaitan dengan individu pemerintah. Lama
kelamaan, perkara demikian dapat disaksikan sendiri oleh pendukung-pendukung
mereka yang sentiasa memberikan sokongan kuat selama ini. Tidak dapat tidak,
kepentingan negara akhirnya tidak dapat diagihkan secara seimbang untuk
dinikmati rakyat secara keseluruhannya apabila sebahagian besarnya hanya
diagihkan kepada golongan yang condong kepada pemerintahan.
Apajua ketidak seimbangan yang berlaku
akhirnya menjurus kepada permasalahan ekonomi, kebejatan sosial, kecelaruan
identiti yang akhirnya memuncak kepada permasalahan pegangan agama. Sepertimana
yang berlaku di negara-negara Barat, institusi agama, bukan lagi merupakan
badan yang dihormati melainkan atas tujuan perkahwinan dan kematian. Sehingga
ke suatu peringkat, apabila berlaku pertembungan agama dan politik, ahli-ahli
agama akan dijadikan sasaran fitnah yang membawa kemudaratan kepada umat.
Apabila institusi agama menjadi sangat-sangat tidak dihormati, umat ini telah
melalui kebebasan untuk mengahwini sesiapa sahaja sehingga bilangan murtad
dalam kalangan umat ini meningkat dengan mendadak.
ان الذين كفروا و ماتوا و هم كفار اولئك عليهم لعنة الله و الملئكة و الناس اجمعين
Sesungguhnya
orang-orang yang telah ingkar mereka dan telah mati mereka sedang
mereka yang mengingkari, mereka itulah ke atas mereka laknat Allah
dan malaikat-malaikat dan manusia seluruhnya.
Sesungguhnya
orang-orang Yang kafir, dan mereka mati sedang mereka tetap Dalam
keadaan kafir, mereka itulah orang-orang Yang ditimpa laknat Allah
dan malaikat serta manusia sekaliannya.
Kematian
orang kafir suatu yang dilaknat! Bukan sahaja dilaknat Tuhan, bahkan
seluruh malaikat dan manusia seluruhnya. Ayat-ayat sebelum ini telah
menjelaskan perkataan laknat iaitu kepada pembaca-pembaca Al-Qur'an
yang menyembunyikan Al-Qur'an dan yang menyembunyikan
penerangan-penerangan Al-Qur'an daripada diketahui oleh manusia.
Adakah penulis menyatakan sedemikian? Pembaca harus sedia maklum
tentang ayat ini dan memberikan pertimbangan serius terhadap ancaman
kepada mereka yang menyembunyikan Al-Qur'an daripada diterangkan
kepada manusia.
i.
Tidak Menyampaikan Atau Menerangkan Al-Qur'an Adalah Suatu Kekafiran.
Siapakah
dia, mereka yang ingkar lantaran tidak menyampaikan Al-Qur'an? Iaitu
mereka yang berilmu dengan Al-Qur'an tetapi mengambil pendirian untuk
menyembunyikannya daripada pengetahuan manusia atau menyediakan suatu
keadaan agar manusia berkeadaan jahil. Yang akan dipersoalkan oleh
ramai pihak ialah bahawa ayat ini 02:161 adalah ayat yang terpisah
daripada ayat 02:160 dan ayat 02:160 juga terpisah daripada ayat
sebelum itu iaitu 02:159. Lalu bolehkah ayat ini diambil untuk
menerangkan bahawa mereka yang berpengetahuan Al-Qur'an yang beragama
Islam, yang menghindari kerja-kerja menerangkan Al-Qur'an, dikira
sebagai kafir dan dinyatakan Tuhan, bahawa mereka akan menempuh
kematian dalam keadaan kekafiran? Bukankah perkara keimanan dan
kekafiran seseorang adalah rahsia Tuhan dan hanya Tuhan sahaja yang
mengetahui? Penulis sebenarnya bersetuju dengan kenyataan sedemikian
dan penulis juga tidak ingin untuk mengadakan suatu fatwa yang
bukan-bukan.
Namun,
dapatkah pembaca dan penulis sendiri menyatakan dengan anggapan yang
sama bahawa ayat 02:161 adalah terpisah daripada ayat seterusnya
02:162, yang menyatakan azab Tuhan, tidak akan diringankan kepada
golongan ingkar?
ii.
Kerja-kerja Penyampaian Al-Qur'an Yang Kini Telah Ditinggalkan.
Tidak
kira, kaedah apajua yang harus dilakukan, kerja-kerja penerangan
Al-Qur'an itu sendiri, pada masa ini telah lama ditinggalkan oleh
umat ini secara besar-besaran. Hanya sebilangan kecil sahaja, amalan
penerangan Al-Qur'an masih dipraktikkan. Wajarkah umat dipersalahkan
dan dijatuhkan hukum kepada mereka? Pihak yang lebih bersalah adalah
mereka yang berpengetahuan agama yang telah menghindari kerja-kerja
menyampaikan penerangan Al-Qur'an kepada umat ini, sebagaimana yang
disebutkan dalam ayat ini dan ayat sebelumnya.
Apabila
menghadapi persoalan penting yang melibatkan dua perkara penting,
yang manakah perintah yang harus diutamakan dan didahulukan?
Contohnya adalah perkara hudud dan perkara penyampaian ayat-ayat
Tuhan, adalah dua parkara penting yang harus dilaksanakan.
Sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini, perkara hudud adalah
hukum Tuhan dan menjadi perkara utama yang wajib dilaksanakan. Namun
apabila kita berhadapan dengan ahli masyarakat serta kepimpinan yang
menentang perlaksanaan hudud dengan berbagai-bagai alasan,
penyampaian ayat-ayat Tuhan adalah suatu yang harus didahulukan.
Penerangan
ayat-ayat Tuhan harus sampai kepada segenap manusia agar mereka dapat
terlepas daripada kejahilan tentang ayat-ayat Tuhan. Begitulah tugas
RasululLah S.A.W. dan baginda tidak diutuskan untuk mengutamakan
agenda merebut kerusi pemerintahan.
الا
الذين تابوا و اصلحوا وبينوا فاولئك
اتوب عليهم و انا التواب الرحيم
Melainkan orang-orang yang telah bertaubat mereka dan telah melakukan
kerja-kerja pemulihan mereka dan telah memberi penerangan mereka. Maka mereka,
AKU terima taubat ke atas mereka, dan AKU Maha Penerima Taubat lagi Maha
Pengasih.
kecuali orang-orang Yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka)
serta menerangkan (Apa Yang mereka sembunyikan) maka orang-orang itu, Aku
terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha
Mengasihani.
i. Taubat Bermakna Tidak Lagi Melakukan Kerja-
kerja Penyembunyian
Kembali kepada ajaran agama bukanlah bermakna kembali kepada kemunduran
atau keadaan primitif, seperti yang dijadikan tanggapan oleh sebahagian
pemimpin sekular. Kembali kepada agama, tidak juga dengan melakukan kempen
supaya undang-undang hudud adalah langkah awal yang perlu dilaksanakan atau
melakukan usaha merampas hak pemerintahan. Langkah awal daripada himpunan ayat
ini menunjukkan bahawa kembali kepada ajaran agama adalah dengan kembali
bertaubat. Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah meninggalkan sebarang
usaha menyembunyikan ayat-ayat Tuhan. Penulis telah terangkan sebelum ini
bahawa ajaran-ajaran Al-Kitab sedia ada telahpun disembunyikan dengan pelbagai
cara dan adalah menjadi tugas kita semua untuk meninggalkan sebarang ajaran
agama yang membawa kepada penyembunyian ayat-ayat Tuhan.
Penulis tidak bermaksud supaya pembaca meninggalkan pengajian-pengajian
seperti tajwid, muamalat, feqah dan sebagainya yang dapat dipelajari di
mana-mana pengajian, hanya penulis ingin menekankan, mana-mana pengajian agama
yang hanya menumpukan kepada subjek permasalahan yang disebutkan, tanpa membuka
ruang kepada pembacaan Al-Qur'an dengan sebenar-benar pembacaan, pengajian
sedemikian itu haruslah ditinggalkan.
ii. Melakukan Kerja-kerja Pemulihan
Melakukan kerja-kerja pemulihan adalah terhadap kerosakan yang berlaku.
Perkara yang awal sekali untuk mengenal pasti bentuk kerosakan yang berlaku
adalah dengan merujuk kepada panduan Al-Qur'an. Al-Qur'an dapat dijadikan
ukuran terhadap rujukan kerosakan atau ketidak seimbangan yang telah terjadi
terhadap alam ini. Dalam penerangan surah-surah selepas ini, pertimbangan dapat
dilakukan terhadap bentuk kerosakan yang telah terjadi di mukabumi ini dan
disusuli dengan langkah-langkah kerja pemulihan yang perlu dilaksanakan.
Kerosakan telah berlaku terhadap alam sekitar, begitu juga dengan kerosakan
yang disebabkan oleh sistem kehidupan yang diamalkan oleh kebanyakan manusia.
Manusia kini mula merasai mendiamai planet yang merbahaya untuk didiami. Mereka
kini tidak lagi perlu bertangguh dalam menerima panduan Tuhan dan seterusnya
melakukan gerak kerja pemulihan.
iii. Mempelajari Al-Bayan dan Menyampaikan
Al-Bayan
Dengan memerhatikan perintah Tuhan ﻭﺑﻴﻨﻮﺍ,
tidak bermakna yang memiliki kesedaran bertaubat kepada Tuhan, mengambil
langkah drastik memulai langkah memberi penerangan tentang ayat-ayat Tuhan
seluas-luasnya kepada orang ramai. Pelbagai tafsiran telah dibuat tentang
Al-Bayan dalam Al-Quran. Apabila Jibril A.S. menyampaikan wahyu Tuhan kepada
Muhammad RasululLah S.A.W., tugas Jibril A.S. seterusnya adalah memberi
penerangan kepada RasululLah S.A.W. tentang maksud serta tafsiran ayat.
RasululLah S.A.W. memahami ayat-ayat Tuhan dan seterusnya menyampaikan kepada
para sahabat baginda R.A.H.M, dan maklumat penerangan sedemikian dinamai
sebagai sunan yang kemudiannya dikenali sebagai Al-Hadith. Pengamalan baginda
yang dapat diperolehi melalui Al-Hadith dinamai sebagai As-Sunnah. Oleh itu,
sebahagian penafsir menyatakan bahawa Al-Hadith yang disampaikan oleh
RasululLah S.A.W. adalah salah satu bentuk Al-Bayan kepada kitab Al-Qur'an.
iv. Kepelbagaian Cara Penyampaian Al-Qur'an
Oleh kerana terdapat kepelbagaian kefahaman cara mana Al-Qur'an itu perlu
difahami, penulis tidak bermaksud mempertikaikan kaedah manakah yang harus
dituruti? Setelah berlalu suatu tempoh masa sangat lama bermula daripada
kewafatan RasululLah S.A.W. disusuli dengan kewafatan Khulafa' Ur Rashidin Al
Mahdiyin, iaitu sahabat Syaidina Abu Bakar R.A. dan Syaidina Umar R.A.,
kefahaman terhadap kaedah penerangan telah menempuh perubahan. Pertikaian
kefahaman dalam kalangan para sahabat RasululLah S.A.W. R.A.H.M., sendiri
selepas itu, telah mengakibatkan berlaku pertempuran yang sangat besar di
antara mereka dan memakan korban sekitar sejumlah 120,000 umat Islam. Oleh itu,
kaedah penerangan Al-Qur'an adalah merupakan kaedah yang sentiasa dipertikaikan
sejak dahulu lagi. Nanti dulu. Sebahagian penjelasan yang penulis terangkan
sebelum ini hanyalah merupakan suatu yang difahami oleh penulis berdasarkan
wasol ayat dan penulis telah mengambil kaedah ijmak yang merangkumkan suatu himpunan
ayat membentuk suatu kefahaman. Penulis sebenarnya mempunyai hujah tertentu
daripada ayat Al-Qur'an sendiri yang menjurus kepada kaedah sedemikian. Oleh
kerana bukan selayaknya untuk penulis mempertikaikan sebarang kaedah sedia ada,
penulis sebenarnya hanya melontarkan suatu kaedah kefahaman dan diharap dapat
dijadikan perbahasan yang membina.
v. Tuhan Maha Menerima Taubat Lagi Maha Pengasih
Oleh yang demikian, tidak perlu kita perbahaskan, kaedah penerangan
manakah yang sangat menghampiri kebenaran dan kaedah penerangan manakah kurang
kejituannya? Sebelum mengakhiri ayat ini, Tuhan telah menjelaskan sifatNya yang
Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengampun. Dalam usaha mempelajari
penerangan-penerangan dan melaksanakan penyampaian sebahagian penerangan
Al-Qur'an, tentunya kita akan melalui kesilapan dan kesalahan dan Tuhan Maha
Memaklumi perkara demikian. Tuhan telah menyatakan kesediaannya untuk
mengampuni kita dan adalah tugas kita semua untuk meneruskan usaha memahami
penerangan Al-Quran daripada pihak manajua sekalipun dan seterusnya melakukan
kerja-kerja penyampaian.
Sejarah penyebaran Al-Qur'an telah melalui proses 'evolusi'nya
tersendiri. Bermula dengan Muhammad RasululLah S.A.W. yang menyampaikan penerangan-penerangan
Al-Qur'an melalui Jibril A.S. Disusuli oleh Syaidina Abu Bakar R.A. dan
Syaidina Umar R.A. yang lebih banyak menggunakan ijtihad mereka sendiri, atas
perkara-perkara agama yang menjadi perselisihan umat pada zaman mereka berdua.
Seterusnya pada zaman fitnah pada masa pemerintahan Syaidina Uthman R.A. dan
Syaidina Ali R.A. pengajaran Al-Qur'an telah mulai dicerobohi sama ada melalui
tokok tambah yang dilakukan oleh golongan pelampau ataupun pengabaian amalan
oleh sesetengah pihak yang berkepentingan. Pada masa itu penjelasan Al-Qur'an
telah dilakukan melalui ketajaman pedang agar kesucian Al-Qur'an tetap
terpelihara yang sebahagian besarnya telah dapat kita saksikan pada masa ini.
Pada masa pemerintahan khalifah-khalifah sesudah itu, penyalinan Al-Qur'an
telah dilakukan dengan meluas sehingga dapat dicapai oleh hampir keseluruhan
umat Islam pada masa ini.
Kaedah penerangan-penerangan Al-Qur'an telah melalui perubahan dengan
menjadikan Al-Hadith sebagai rujukan kedua dalam agama sehingga pengajaran
Al-Hadith telah dipisahkan daripada Al-Qur'an. Kepelbagaian ilmu telah
diperolehi daripada Al-Qur'an dan Al-Hadith sehingga mewujudkan silibus-silibus
baru dalam agama seperti falsafah, muamalah, munakahah, tajwid, sirah, feqah,
tasawuf, ilmu tauhid serta aqidah dan sebagainya. Sehingga kini, seseorang itu
sudah boleh digelar ustaz (yang merupakan sebahagian tahap ulama), semata-mata
kerana kemahirannya menyampaikan ilmu tajwid dan kemahiran membaca Al-Qur'an
menurut disiplin tertentu!
Sesungguhnya,
orang-orang yang, mereka sentiasa menyembunyikan, apa-apa yang, telah
menurunkan Kami, daripada penerangan-penerangan dan petunjuk, daripada
sesudah, apa yang, telah menerangkan Kami akannya, bagi manusia pada
Al-Kitab, mereka itu, Ia melaknat akan mereka oleh Allah, dan ia
melaknat akan mereka oleh pelaknat-pelaknat.
Sesungguhnya
orang-orang Yang menyembunyikan apa Yang telah Kami turunkan dari
keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami
menerangkannya kepada manusia di Dalam Kitab suci, mereka itu
dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.
i. Usaha
Memusnah Kitab-kitab Tuhan Sejak Dahulu Lagi
Injil
telah berjaya dimusnahkan begitu juga dengan Taurat, kemusnahan Injil
telah digantikan dengan ajaran-ajaran Bible dan kemusnahan Taurat
pula telah digantikan dengan ajaran Talmud. Bahkan ajaran-ajaran
Bible telahpun dimusnahkan dengan terdapat teori-teori pertemuan baru
yang mengajar tentang evolusi sehingga manusia dikatakan memiliki
nenek moyang berupa kera-kera besar zaman dahulu kala. Dengan
mempercayai ajaran teori evolusi yang sehingga kini masih lagi
dikatakan sebagai teori, keimanan manusia darihal penciptaan Adam
A.S. sebagai manusia pertama akan terhapus sedikit demi sedikit.
Sebenarnya pencerobohan juga berlaku terhadap umat Islam.
ii.
Ajaran Kitab Al-Qur'an Yang Disembunyikan
Nasib
yang menimpa kitab Bible dan Torah, juga dialami oleh Kitab Al-Quran.
Kiranya kitab Bible dan Torah telah dimusnahkan tanpa perlu
membakarnya, sehingga semakin kurang dibaca, kitab Al-Qur'an tidaklah
diperlaku sedemikian rupa. Bahkan kitab Al-Qur'an adalah kitab
yang seringkali dibaca dan memiliki pembaca paling ramai berbanding
mana-mana bahan bacaan yang lain. Hanya pengajarannya semakin
ditinggalkan oleh umat ini.
Al-Qur'an
disembunyikan dengan cara menyusahkan corak pembelajarannya.
Pembaca-pembaca Al-Qur'an secara umumnya lebih terpedaya dengan
not-not lagu seolah-olah ianya suatu nyanyian yang didendangkan
dengan harkat-harkat serta kaedah tajwid tertentu. Pembacaan tajwid
(sekalipun suatu kewajiban) adalah terlalu ditekankan sehingga
menghilangkan tumpuan pembaca terhadap pengertian serta pengajaran
ayat-ayat itu sendiri.
iii. Pembaca-pembaca
Al-Qur'an Yang Dilaknat Allah
Penulis
tidaklah bermaksud bahawa seseorang itu harus meninggalkan
kepentingan ilmu tajwid untuk tujuan membaca Al-Qur'an, namun
penulis melihat permasalahan yang serupa sejak dahulu lagi sehingga
sebahagian besar umat ini yang mengerjakan solah, langsung tidak
mengerti dan tidak juga memahami sebarang jua bacaan yang disebutkan.
Dan antara perkara yang menyedihkan adalah, setiap pembaca Al-Qur'an
seolah-olah diugut, sekiranya mereka tidak memberi tumpuan sepenuhnya
dengan ketepatan tajwid dalam pembacaan mereka, melebihi kepentingan
memahami serta mengambil pelajaran tertentu dari Al-Qur'an, mereka
dikatakan telah terjurus kepada suatu dosa.
iv.
Suatu Perancangan Teliti Supaya Umat Tertutup
daripada
Al-Qur'an.
Di
mana-mana jua dalam kalangan umat ini pada masa ini, mereka sangat
beriktilaf tentang Al-Qur'an. Mereka beriktilaf darihal pengagihan
zakat sehingga kutipan zakat tidak disampaikan kepada asnaf yang
benar. Bukan itu sahaja, mereka juga terlalu beriktilaf darihal
kutipan zakat, daripada kelayakan pengutip zakat sehinggalah kepada
cara-cara zakat itu dikutip. Mereka sangat beriktilaf darihal
haramnya pengamalan riba, darihal riba yang dikatakan berganda dan
tidak berganda dan kelonggaran mengamalkan riba walhal ianya sesuatu
yang diharamkan sama sekali dalam Al-Qur'an. Mereka juga sangat
beriktilaf tentang Al-Qur'an itu sendiri, darihal kewajiban
keterlaluan dalam menjaga cara bacaannya, darihal kerja-kerja
penafsiran dan penterjemahan serta hukum mempelajari Al-Qur'an.
Sehingga akhirnya apabila muncul karangan seorang ahli sekular
tentang penilaian semula Al-Hadith, sebahagian umat ini tiba-tiba
bersetuju untuk menggelojohi Al-Qur'an dan sebahagian yang lain
meletakkan Al-Hadith sebagai rujukan kedua setelah Al-Qur'an.
Umat
jadi keliru sehingga akhirnya kita dapati mereka lebih menggelojohi
kata-kata ulama berbanding Al-Qur'an itu sendiri. Mereka lebih banyak
membaca kitab-kitab hukum yang ditulis oleh ulama-ulama tertentu
sehingga menyebabkan mereka tidak lagi melibatkan diri dalam
syarah-syarah agama yang berkaitan dengan hukum hakam. Mereka
menyerah bulat-bulat atas segala perkara agama kepada ulama-ulama,
tok-tok lebai, tuan-tuan kiyai semata-mata dan meninggalkan kalam
Tuhan daripada diperbahaskan. Benar atau tidaknya pendirian
ulama-ulama sedemikian dan juga cara beragama umat ini, bukanlah
menjadi perkara yang suka penulis pertikaikan. Namun apa yang dapat
dilihat secara jelas dan nyata yang tidak dapat dinafikan oleh
mana-mana pihak ialah, umat Islam kini berada dalam suatu situasi
yang gejala permasalahan sosial adalah suatu yang terjadi secara
merata-rata pada masa ini. Kejadian murtad dalam kalangan umat
semakin menjadi-jadi. Kejadian pembunuhan berlaku hampir setiap hari
dan terpampang di dada akhbar. Pecah amanah dan rasuah dalam
pentadbiran adalah perkara biasa. Permusuhan kalangan umat telah
menunar dalam ahli keluarga sehingga kehidupan warga tua telah
terabai dan mereka hanya dijagai oleh penjaga-penjaga yang diberi
upah.
v.
Suatu Pilihan Untuk Umat Ini, Sama Ada Memilih Cara
Beragama Yang Benar Atau Meninggalkan Terus Ajaran
Agama, Demi Menempuh Suatu Kemajuan.
Masih
lagikah kita pertahankan bahawa cara beragama kita selama ini
adalah cara beragama yang paling benar? Masih lagikah kita berpegang
bahawa segala fatwa yang kita turuti masakini adalah suatu keputusan
yang paling tepat dan memberi kesan menyeluruh yang dapat
memperbaiki kehidupan umat. Atau kita biarkan sahaja permasalahan
yang berlaku dan mengambil pendirian "apa nak jadi, jadilah".
Kita terima sahaja pendirian sekularis bahawa ajaran agama bukan
lagi merupakan suatu yang releven untuk dituruti. Kita kembali ke
zaman barbarian iaitu siapa yang kuat lagi berpengaruh maka dia
sahajalah yang layak untuk hidup dan menindas serta menzalimi pihak
yang lemah. Agama itu sendiri haruslah dianggap sebagai batu
penghalang kepada umat ini yang menggagalkan mereka mencapai suatu
teknologi agar mereka dapat bebas di angkasaraya. Dengan meninggalkan
ajaran agama, pastinya manusia suatu masa nanti akan dapat mencipta
rahim buatan yang dapat membiakkan manusia pada jumlah yang banyak
dan mereka tidak lagi memerlukan sebarang hubungan perkahwinan yang
membenihkan rasa kasih sayang. Pada masa itu manusia menjadi sangat
berkuasa dan tidak lagi memerlukan Tuhan dan bumi ini.
ان الصفا و المروة من شعائر الله فمن حج البيت او اعتمر فلا جناح عليه ان يطوف بهما و من تطوع خيرا فان الله شاكر عليم
Sesungguhnya
Safa dan Marwah daripada syi'ar-syi'ar Allah. Maka barangsiapa telah
berhaji ia akan rumah itu atau telah berumrah ia maka tidak mengapa atasnya
bahawa ia melakukan pusingan terhadap keduanya. Dan barangsiapa
bersukarela ia akan kebajikan maka sesungguhnya Allah Maha Penerima
Syukur lagi Maha Mengetahui.
Sesungguhnya
"Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada
Syiar (lambang) ugama Allah; maka sesiapa Yang menunaikan Ibadat Haji
ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia
bersaie (berjalan Dengan berulang-alik) di antara keduanya. dan
sesiapa Yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka
Sesungguh-nya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha mengetahui.
Kemuncak
bagi peribadatan adalah melaksanakan ibadah haji. Matlamat
peribadatan adalah pengorbanan. Sekiranya ibadah solah memerlukan
pengorbanan masa seseorang muslim dan mereka yang bersolah harus
menyediakan peruntukan-peruntukan tertentu terhadap golongan yang
meminta dan golongan yang tidak meminta-minta, ibadah haji pula
menuntut seseorang muslim melakukan pengorbanan habis-habisan
daripada apajua yang dimiliki daripada segenap tenaga, diri dan
harta. Inilah
konsep ibadah haji yang sebenar iaitu mengorbankan segala yang ada
yang termampu dilakukan dan dilakukan secara bersungguh-sungguh atas
keyakinan mengharapkan rahmat Tuhan semata-mata.
i.
Konsep Melakukan Pengorbanan Yang Telah
Ditinggalkan
Umat
Umat
Islam terdahulu, mereka menghayati konsep peribadatan secara
bersungguh-sungguh. Pengorbanan mereka memberi pulangan kepada
kehidupan mereka di dunia ini lagi. Wilayah pembukaan mereka semakin
meluas, kedudukan mereka mulia, maruah mereka terpelihara dan
sebahagian besar mereka dapat merasai kemewahan dalam hidup dan
mereka menempuh hubungan yang baik sesama mereka. Berbeza sungguh
dengan umat Islam pada zaman ini yang kebanyakan negara mereka
mengekalkan nilai-nilai penjajah dengan golongan majoriti dilayan
seolah-olah mereka adalah golongan minoriti di negara sendiri.
Sebahagian besar mereka hidup melarat dalam kemewahan, maruah mereka
semakin tergadai, bilangan yang murtad semakin ramai dan mereka
menempuh kehinaan di mana jua mereka berada. Bukan itu sahaja, mereka
mendiami negara yang hutang perkapita setiap rakyat sentiasa
meningkat, mereka berhadapan inflasi yang tinggi sehingga menyebabkan
mereka terpaksa bersungguh-sungguh setiap hari demi menjelaskan
hutang riba. Dengan hubungan kemanusiaan yang semakin terjejas,
mereka terpaksa berhadapan dengan kejadian jenayah yang sentiasa
meningkat dan kini mereka menjalani kehidupan bagai abdi tanpa
tuan dan seperti banduan yang mendiami penjara tanpa sempadan.
ii.
Peribadatan Yang Tidak Menjurus Kepada Suatu
Kehidupan
Bermula
perbincangan himpunan ayat bahagian ini adalah tentang suatu
kehidupan (2:154). Tidak dapat tidak skop perbincangan ayat ini
haruslah untuk mendapatkan suatu usaha atau takrifan 'baru' supaya
perkara agama haruslah merupakan suatu yang menjuruskan kepada sebuah
kehidupan. Kehidupan juga dapat berlangsung daripada aktiviti manusia melalui hubungan sesama mereka. Namun oleh kerana
negara-negara umat Islam telah melalui tempoh penjajahan yang sangat
lama, sistem ekonomi kapitalis telah mengambil alih sistem ekonomi
Islam. Perubahan ini telah mengakibatkan keperluan mendapatkan sebuah
kehidupan adalah lebih utama berbanding keperluan mengadakan hubungan
baik sesama umat. Sehingga ke suatu peringkat, pengamalan ibadah
tidak lagi merupakan pengikat utama yang dapat menjadi faktor
terjalinnya hubungan baik sesama ahli masyarakat.
Sebagai
contoh, amalan solah ada hubungan dengan tanggungjawab memberi kepada
golongan yang meminta-minta dan juga golongan yang tidak
meminta-minta. Namun pada zaman ini, manakah masjid yang menyediakan
kemudahan bantuan kepada ahli qari'ah masing-masing? Melainkan
perkara demikian dilakukan setahun sekali atau dua untuk memenuhi
sambutan hari raya. Dengan demikian masjid bukan lagi menjadi tumpuan
golongan fakir dan miskin untuk mengadu nasib. Mereka sanggup bekerja
dengan bertuankan kepada golongan yang ingkar bagi mendapatkan sebuah
kehidupan. Pengabaian seperti ini berlaku di mana-mana jua dan antara
penyebabnya adalah tuntutan kehidupan yang dikelilingi dengan sistem
ekonomi riba sehingga mengakibatkan setiap umat perlu memperolehi
wang bagi menyelesaikan hutang riba masing-masing.
Sebenarnya
masih terdapat contoh-contoh lain yang penulis ingin sampaikan, namun
penulis khuatirkan perkara sedemikian akan menyentuh hak jabatan
tertentu sehingga kewajipan menyampaikan ayat-ayat Tuhan darihal
kepentingan dakwah akan terganggu.
iii.
Ibadah Haji Yang Lebih Menjurus Kepada Peluang
Meraih
Ekonomi Secara Melampau
Persoalan
ibadah haji adalah juga persoalan umat. Tidak seharusnya sebahagian
pihak sahaja meraih keuntungan dan meninggalkan sebahagian umat lain
melarat. Kejadian kebuluran biasa berlaku di Ethopia dan ramai
daripada yang menderita kelaparan itu adalah umat Islam sendiri.
Namun kejadian ini dibiarkan begitu sahaja oleh pemerintah Arab Saudi
zaman ini walhal mereka merupakan negara jiran terdekat kepada umat
yang bernasib malang itu. Manakah peruntukan untuk mereka nikmati
sebagai bahagian bantuan daripada negara yang Tuhan limpahi mereka
dengan kenikmatan hidup? Hanya dengan membina penempatan-penempatan
yang tinggi untuk penginapan jamaah-jamaah haji, pastinya akan menjadikan
tanah suci ibarat pusat pelancongan di musim haji. Peruntukan yang
seharusnya disediakan untuk keperluan umat yang melarat telah
diabaikan begitu sahaja. Semua ini adalah disebabkan oleh umat ini
kini telah tertutup daripada Al-Qur'an.
iv.
Konsep Pengorbanan Nabi Ismail A.S., Nabi
Ibrahim
A.S. dan Siti Hajar Yang Semakin Dilupai
Setiap
tahun, rancangan yang menyiarkan ibadah haji telah dipertontonkan
sebagai suatu rancangan untuk tatapan umum dan setiap kita sedia
maklum tentang sejarah ibadah haji bermula. Ibadah korban yang
dilakukan sempena pengorbanan nabi Allah Ibrahim A.S. bagi
menggantikan jasad Nabi Ismail A.S. adalah sebagai suatu ujian yang
Tuhan datangkan kepada kedua-dua mereka. Daripada kejadian ini, suatu
konsep yang harus difahami oleh umat ini ialah -- bahawa yang dikehendaki Tuhan
adalah pengorbanan habis-habisan yang mampu diberikan oleh seseorang
bagi mendapatkan keredhaan Tuhan.
Kesediaan
Siti Hajar ditinggalkan oleh suaminya Nabi Ibrahim A.S. adalah
menunjukkan bahawa demi menuntut keridhaan Tuhan, seseorang isteri
sanggup ditinggalkan oleh suaminya bagi menghadapi risiko bahaya
untuk meneruskan kehidupan di padang pasir yang hanya ditemani oleh
anaknya yang masih bayi. Dengan berbekalkan penyerahan sepenuhnya kepada Tuhan,
Siti Hajar telah memperolehi kemuliaan menjadi ibu kepada Nabi Ismail
A.S. yang kemudiannya melahirkan junjungan besar nabi kita Nabi
Muhammad S.A.W.
Penulis
tidaklah bermaksud untuk pembaca mendapatkan pengalaman penyerahan
diri kepada Tuhan sepenuhnya daripada pengajaran pengorbanan Nabi
Ibrahim A.S., Siti Hajar dan Nabi Ismail A.S. Namun konsep
pengorbanan harus ditanam dalam diri kita supaya kita dapat bersedia
untuk berkorban apajua yang termampu sebelum ajal menjemput kita
suatu masa nanti. Setelah sebahagian tanggungjawab dilaksanakan,
segala lebihan yang diperolehi harus dikorbankan untuk tujuan Fi
SabililLah bagi membangunkan syiar Allah S.W.T.
Mereka itu ke atas mereka kesinambungan selawat daripada Tuhan mereka dan rahmat dan mereka itu, mereka itulah golongan berpetunjuk.
mereka itu ialah orang-orang Yang dilimpahi Dengan ber-bagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang Yang dapat petunjuk hidayah-Nya.
i.Hamba Bersambung Solatnya Kepada Tuhan Dan
Tuhan Bersambung SelawatNya Kepada Hamba
Sesungguhnya golongan yang beriman adalah mereka yang sanggup berusaha untuk mendapatkan suatu wasilah yang menyampaikan mereka kepada Tuhan. Mereka mendapatkan wasilah melalui aktiviti amalan-amalan tertentu sebagaimana yang ditunjukkan oleh baginda RasululLah S.A.W. Mereka mengambil jalan berhati-hati terhadap amalan peribadatan mereka sehingga pengamalan yang mereka laksanakan, bukanlah merupakan sekadar hanya aktiviti meniru-niru peribadatan orang-orang tua mereka. Salah satu wasilah untuk menghampirkan diri kepada Tuhan adalah melalui ibadah solah. Solah yang benar melalui kepimpinan imam adalah solah yang menjurus kepada fahaman amalan yang perlu dilaksanakan daripada pembacaan Al-Quran berkenaan. Oleh itu orang-orang yang benar-benar bersolah adalah mereka yang berusaha melaksanakan perintah daripada ayat-ayat yang dibaca.
ii. Mereka Itu Golongan Berpetunjuk
Perbincangan tentang hubungan dua hala daripada Tuhan kepada hamba-hambaNya adalah menjurus kepada persoalan kerohanian dan penulis membataskan diri daripada menghuraikan persoalan ini dengan lebih lanjut. Melalui disiplin jalan kerohanian tertentu, akan dapat menyampaikan seseorang kepada jalan ketuhanan dan perkara ini telah dilalui oleh ulama-ulama terdahulu seperti Imam Al-Ghazali RahimulLah dan juga Syeikh Abdul Qadir Jailani. Mereka ini adalah antara pihak yang paling menjaga pengamalan syari'at Islam dan mereka bukanlah sasaran fitnah umat.
Telah menjadi sebutan umum umat pada masa ini bahawa golongan berpetunjuk adalah mereka yang terkehadapan dalam kalangan umat, pada sudut ilmu dan amalan agama mereka. Penulis tidaklah menafikan hal ini. Begitu juga anggapan penganut Yahudi dan Nasrani, bahawa golongan berpetunjuk dalam kalangan mereka adalah mereka yang terkehadapan dalam program biara dan juga gereja bahkan kepada mereka yang sanggup memilih hidup membujang sepanjang hayat. Kita selalu memandang seseorang yang membawa imej agama seperti menyimpan janggut serta jambang serta menutup aurat seperti berpurdah dan berjilbab, sebagai manusia yang lebih hampir kepada petunjuk berbanding umat manusia yang lain. Apatah lagi sekiranya insan ini merupakan insan terkehadapan darihal dakwah yang sering menjadi tontonan umat.
Antara perkara perlu yang dapat penulis dan pembaca perhatikan daripada himpunan ayat-ayat yang dibincangkan ini, yang dikatakan golongan berpetunjuk adalah mereka yang sering memohon pertolongan Tuhan dengan jalan sabar (2:153) dan melaksanakan kesinambungan solah, sanggup bertahan dengan ujian Tuhan dan menyerah diri sepenuhnya kepada Tuhan dalam segala urusan hidup mereka (2:156). Tentunya mereka ini mengambil jalan agama yang, sekiranya mereka kurang berhati-hati, mereka akan terdedah kepada risiko yang besar. Mereka sendiri dapat menyaksikan sebahagian daripada mereka terkorban dalam perjuangan (2:154).
iii. Petunjuk Tuhan Yang Membawa Kehidupan
Dalam menghadapi ujian, bencana yang berlaku secara merata-rata pada masa ini seperti permasalahan sosial, perubahan cuaca dan pelbagai pergolakan politik dan ekonomi di dunia ini, manusia perlu kembali kepada pengajaran Tuhan, dengan menghayati semula konsep peribadatan yang telah diperkenalkan sejak dahulu lagi. Seruan Muhammad RasululLah S.A.W. untuk menghidupkan semula agama Ibrahim A.S. telah mengubah lanskap kehidupan masyarakat Arab ketika itu yang sedia dikelilingi dengan permasalahan sosial, pergolakan ekonomi dan pelbagai bentuk penindasan. Mungkin permasalahan cuaca tidak begitu menjadi agenda dalam kehidupan masyarakat Arab ketika itu memandangkan mereka telah terbiasa dengan keadaan mukabumi yang sentiasa kekurangan bekalan air.
Perutusan Muhammad RasululLah S.A.W. adalah sebagai suatu pencetus kepada umat manusia, agar mereka kembali kepada corak kehidupan beragama yang akan menyelamatkan mereka daripada fitnah kehidupan, serta dapat berada dalam sebuah masyarakat yang menempuh kehidupan harmoni. Tidak dapat dinafikan perutusan Muhammad Rasululah S.A.W. sejak dahulu, telah dapat mengekalkan keadaan bumi ini agar dapat terus bertahan pada masa yang sangat lama. Menghidupkan kembali corak peribadatan yang mementingkan hubungan baik sesama manusia adalah kesan daripada pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan juga Nabi Ismail A.S. Kesanggupan Siti Hajar, isteri Nabi Ibrahim menempuh kesukaran menjadi motivasi yang kuat kepada umat ini melakukan perkara-perkara kebaikan.
Orang-orang yang apabila, telah menimpa musibah ia akan mereka, oleh suatu musibah, telah berkata mereka sesungguhnya kami milik Allah dan sesunguhnya kami kepadaNya yang akan kembali.
(Iaitu) orang-orang Yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali.
i. Kehidupan Dunia
Bukanlah Matlamat
Kehidupan
manusia di dunia ini sebenarnya hanyalah suatu eksperimen. Bahawa
kita semua adalah suatu eksperimen Tuhan untuk Tuhan dapatkan suatu
pengalaman kerja manusia yang terbaik (67:02). Untuk menghadapi suatu
pengalaman yang besar, pelbagai keadaan di dunia ini disediakan
sehingga manusia akan menempuhi nikmat dan penderitaan, kecukupan dan
kekurangan bekalan makanan dan sebagainya. Pengalaman yang manusia
perolehi akan disimpan dalam perpustakaan besar milik Tuhan dan
begitu juga roh urusan Tuhan dalam diri manusia masing-masing.
Jawapan Bagi Kehidupan Menurut Hitchhikers
ii. Meyakini Setiap
Diri Adalah Milik Tuhan dan Tuhan
Maha Mengatur
Segala-galanya
Dalam
menghadapi faham Jabariyah yang penulis pelajari di sekolah agama
suatu masa dahulu yang berlawanan dengan faham Qadariyah, pendekatan
Ahlus-Sunnah Wal Jama'ah yang dibawa oleh ulama-ulama silam seperti
Al-Maturidi dan As-Sya'ari adalah menerima, bahawa Tuhan menguasai
segala sesuatu ke atas manusia tetapi manusia diberi pilihan untuk
melaksanakan perbuatannya. Setelah kejatuhan Baghdad di tangan bangsa
Tartar, faham Ahlus-Sunnah mulai ditinggalkan dan gerakan kerohanian
mengambil tempat apabila mereka berjaya mengislamkan bangsa Tartar.
Lalu berlakulah pertembungan antara gerakan kerohanian atau yang
lebih dikenali sebagai gerakan sufi, dengan pendokong 'syari'at'
sehingga terjadi pertempuran yang mengalirkan darah. Imam besar
Al-Ghazali ketika itu telah cuba mencari jalan penyelesaian dan
beliau sendiri membuat persediaan melibatkan diri dalam gerakan
kesufian. Beliau telah meninggalkan jawatan beliau selaku imam besar
Haramain dan menempuh kehidupan sederhana sebagaimana yang diamalkan
oleh kebanyakan penganut kerohanian. Setelah mengetahui selok-belok
ajaran kesufian, beliau telah membawa misi keamanan yang
mendamaikan antara golongan pendukung 'syari'at' dan juga pendokong
gerakan kesufian. Beliau turut meninggalkan ajaran Ahlus-Sunnah Wal
Jama'ah yang lama dan menuruti ajaran Ahlus-Sunnah Wal Jama'ah yang
baru yang mengambil faham Qadariyah dan faham Jabariyah serentak.
Tuhan
yang menggenggam jiwa yang mati dan melepaskan jiwa yang hidup.
Laksana jiwa yang mati atau yang sedang tidur adalah seperti
angkasawan yang berada dalam kapal angkasa di tapak pelancaran
sebelum perlepasan, yang dikawal sepenuhnya oleh jurutera-jurutera di
stesen tapak pelancar dan juga oleh kawalan berkomputer. Pada keadaan
ini para angkasawan di dalamnya tidak dapat membuat sebarang
keputusan terhadap pesawat melainkan melakukan komunikasi sahaja.
Apabila kapal angkasa ditujah ke angkasalepas dan berada di orbit
yang ditentukan, angkasawan bebas untuk membuat keputusan dan
mengawal kemudi kapal angkasa itu. Namun kebebasan itu adalah terhad
dan tertakluk kepada prosedur tertentu. Prosedur itu tentunya suatu
yang disediakan oleh jurutera-jurutera yang terdapat di bumi. Di
angkasalepas, angkasawan tidak boleh sebebas-bebasnya membuka pakaian
angkasawannya apabila berada di luar kapal angkasa. Seperti itulah
kehidupan manusia di bumi ini. Jiwa manusia dilepaskan supaya mereka
mengambil peraturan Tuhan melalui prosedur yang telah ditentukan agar
mereka dapat menempuh kehidupan. Mereka tidak harus sebebas-bebasnya
membuat keputusan sendiri, contohnya mereka tidak harus menyentuh
telinga mereka menggunakan hujung siku tangan mereka sendiri.
Segala
pilihan manusia dalam kehidupan ini adalah berada dalam ruang lingkup
ketentuan Tuhan. Kecenderungan manusia melaksanakan sesuatu adalah
didorong oleh suatu naluri yang dicetuskan oleh Tuhan. Contohnya
seperti niat pembaca untuk menyentuh telinga dengan siku sendiri.
ولنبلونكم بشىء من الخوف والجوع ونقص من الامول وانفس والثمرت وبشرالصبرين
Dan
benar-benar pasti, Kami menguji akan kamu, dengan sesuatu daripada
ketakutan dan kelaparan dan kekurangan daripada harta-harta dan
diri-diri dan buah-buahan. Dan khabar gembirakanlah olehmu golongan
yang bersabar.
Demi
sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut
(kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan
berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman.
dan berilah khabargembira kepada
orang-orang Yang sabar:
i.
Bencana Besar-besaran Seluruh Dunia Yang Semakin Menjadi-jadi
Tuhan
telah jadikan sistem hidupan di mukabumi atas peraturan tertentu,
sehingga sebahagian hidupan mengambil manfaat daripada hidupan yang
lain. Bermula daripada peringkat primer seperti alga biru hijau, yang
peranannya adalah menukarkan karbon dioksida kepada oksigen serta menyerap
nutrien-nutrien tertentu daripada air laut. Kehadiran alga biru hijau
yang terlalu banyak, tentunya akan menghabiskan bekalan nitrat dan
keseimbangan karbon dioksida, yang juga diperlukan oleh
tumbuh-tumbuhan lain. Kepesatan pertumbuhan alga dapat dikawal
dengan kewujudan plankton dan krustasia yang mengambil khasiat daripada alga biru
hijau. Plankton dan krustasia selaku haiwan seni, menjadi makanan kepada
ikan-ikan kecil dan sesiput laut. Seterusnya ikan-ikan kecil menjadi
makanan kepada ikan-ikan yang lebih besar dan begitulah seterusnya kepada
burung-burung dan juga manusia. Hidupan peringkat yang lebih tinggi
akan meninggalkan nitrat yang akan kembali dikitar semula oleh alga
biru hijau serta tumbuh-tumbuhan yang terdapat di bumi ini. Tanpa
sistem sedemikian, keseimbangan hidupan di permukaan bumi serta
hidupan akuatik akan terganggu.
Manusia
telah melakukan pencemaran besar dengan melepaskan sebatian nitrat
ke dalam tanah dan seterusnya ke saliran-saliran yang dapat membawa
bahan cemar ini ke laut. Kerosakan berlaku kepada permukaan bumi,
sehingga mengakibatkan banyak kejadian keruntuhan tanah telah
terjadi. Gas karbon dioksida dilepaskan ke udarakasa bersama dengan
perlepasan lebihan haba, sehingga kuantiti ais di kedua-dua belahan
kutub semakin berkurangan. Akibatnya, udarakasa bumi semakin lembap
dan kuantiti air hujan semakin meningkat. Bencana keruntuhan sering
terjadi dan begitu juga sejuk dan panas yang bersangatan.
ii.
Aktiviti Manusia Yang Sangat Mencemari
Teknologi
yang manusia perolehi bagi penghasilan baja sintetik, telah
diguna pakai di sebahagian besar negara-negara. Penghasilan baja
sintetik secara besar-besaran dan digunakan secara meluas, sebenarnya
jauh melebihi keperluan dan akibatnya sistem hidupan menjadi semakin
rosak. Wap baja yang berlebihan telah dilepaskan ke udarakasa
sehingga membentuk selimut haba, sehingga memerangkap kuantiti haba
yang sangat banyak. Udarakasa menjadi semakin panas dan keseimbangan
hidupan equatik telah terganggu.
Untuk
tujuan keseimbangan hidupan di bumi ini, alam akan mula
bertindak balas. Kepanasan udarakasa juga sebenarnya memanaskan air
laut. Lebihan gas karbon dioksida yang larut ke dalam air laut akan
menyebabkan air laut menjadi semakin berasid. Dalam situasi berasid,
sebahagian besar alga akan dapat terus bertahan dan menjadi semakin
banyak. Pertambahan alga seperti alga biru hijau dan juga alga oren
merah jambu, dapat menyerap lebih banyak pencemaran nitrat dan juga
gas karbon dioksida dan menukarkannya secara terus kepada nitrogen
dan juga oksigen. Alga dapat bertindak sebagai pengimbal terhadap dua
jenis sebatian cemar ini dan harus terus dapat bertahan. Terdapat
juga sebahagian alga seperti Pseudo-nitzschia yang mengeluarkan
racun neurotoxin yang dapat mengakibatkan kerosakan saraf seperti
hilang ingatan sehingga membawa maut kepada pemangsanya. Kewujudan
alga seperti ini dengan banyaknya, dapat menjadi penyebab kepada
kurangnya bilangan ikan di lautan, namun lautan akan dapat
mengeluarkan bahan tidak mencemar seperti nitrogen dan oksigen.
Sekiranya paras kandungan karbon dioksida jatuh, didapati alga
seperti ini masih terus dapat membebaskan gas nitrogen dengan kadar
yang banyak. Sekiranya manusia perlu memilih untuk mencemari alam ini,
perkara seterusnya akan berlaku.
iii.
Tindakbalas Lautan Terhadap Pencemaran
Dalam
keadaan berasid yang ekstrem, haiwan-haiwan bercengkerang akan
menambah ketebalan dan saiz cengkerangnya. Haiwan-haiwan bercengkerang ini
dapat selamat dalam situasi ekstrem kerana memilih hidup di dasar
laut atau lautan.
Apabila pencemaran laut semakin meningkat, haiwan
bercengkerang akan menambah saiz cengkerangnya
Jenis-jenis mikrob kecil seperti cyanobacteria yang
dipanggil Trichodesmium, juga akan lebih banyak terhasil kerana
peranannya dapat menukar sebatian nitrat kepada gas nitrogen secara
segera. Sebarang jua hidupan yang menyingkirkan nitrat seperti
ikan-ikan kecil akan mengalami masalah untuk terus bertahan. Dalam
kajian makmal yang dilakukan terhadap ikan kecil seperti pelawak
kenit (juvenile clownfish) yang diletakkan dalam air laut dengan
konsentrasi karbon dioksida yang tinggi, didapati ikan ini akan
kehilangan keupayaan mengesan pemangsa yang lebih besar. Ujikaji ini
menunjukkan akan terdapat lebih banyak ikan kecil, akan menjadi mangsa
ikan lebih besar. Untuk sementara waktu, ikan-ikan besar memperolehi
nutrien dengan memakan ikan-ikan kecil. Setelah bekalan ikan-ikan
kecil berkurangan, lebih banyak ikan-ikan yang besar akan mati.
Pereputan ikan-ikan yang banyak, akan menyingkirkan wap ammonia ke
udarakasa. Kehadiran ammonia yang banyak menjadi penyebab kepada
kejadian-kejadian yang ekstrem seperti kilat-kilat besar dan taufan.
Banjir besar yang berlaku di atas permukaan bumi akan menyebabkan
lebih banyak projek tanaman akan binasa dan lebih banyak nitrat akan
tersingkir ke laut untuk dibersihkan oleh pelbagai jenis alga dan
bakteria laut.
iv.
Kekurangan Hasil Tanaman
Kejadian
taufan serta hujan lebat yang membawa banjir yang membinasakan,
semakin kerap berlaku sekarang ini. Kejadian ini bukan sahaja
mengakibatkan manusia merasa takut, bahkan mengakibatkan manusia
kekurangan bekalan makanan (67:18) dan banyak daripada harta manusia
musnah. Banyak kematian akan berlaku dalam kalangan manusia.
Sesungguhnya Tuhan, tidaklah menzalimi manusia namun manusia itu
sendiri memilih menzalimi diri-diri mereka sendiri dengan melakukan
aktiviti yang mencemari alam tanpa henti.
Dengan
berkurangnya bilangan manusia dan juga haiwan, segala aktiviti
pencemaran baja dan haba daripada aktiviti pertanian, penternakan dan
perkilangan, akan berkurangan. Dengan demikian, bumi ini akan berada
dalam kitar pemulihan. Sebenarnya segala bentuk bencana dapat
dihindari, sekiranya manusia sanggup mengambil jalan bersabar. Mereka
harus menahan diri daripada projek-projek pembangunan yang
membinasakan. Mereka juga harus bersabar dengan penggunaan baja sedia
ada dan mengelak penggunaan baja sintetik secara gelojoh. Mereka harus menanam
lebih banyak pokok-pokok besar bagi menggantikan pokok-pokok hutan
yang telah ditumbangkan. Mereka harus mengurangi aktiviti
penyingkiran haba ke atmosfera.
و
لا تقولوا لمن يقتل فى سبيل الله اموت
بل احياء ولكن لا تشعرون
Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang yang ia terbunuh pada
jalan Allah itu suatu yang mati, bahkan suatu yang hidup dan akan tetapi tidak
kamu menyedari.
dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa Yang terbunuh Dalam
perjuangan membela ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu
orang-orang Yang hidup (dengan keadaan hidup Yang istimewa), tetapi kamu tidak
dapat menyedarinya.
Surah Al-Mulk membincangkan secara panjang lebar tentang apa yang
dikatakan sebagai hidup dan mati. Kesimpulan yang dapat penulis fahami adalah,
hidup sebagai suatu yang menghidupkan dan mati adalah sebagai suatu yang
mematikan.
i. Terbunuh Bukan Bermakna Mati
Penulis ingin menyentuh tentang istilah yang biasa disebut oleh banyak
pihak iaitu mati syahid, sebagai suatu bentuk kematian kepada individu yang
terbunuh semasa berada pada jalan Tuhan. Istilah ini telah menjadi mainan mulut
umat masa kini. Penerimaan istilah seperti ini secara tidak langsung telah
menunjukkan kejahilan umat masa kini tentang bentuk perjuangan RasululLah S.A.W.
dan para sahabat R.A.H.M suatu masa dahulu. Umat generasi awal Islam tidak
pernah mengenal istilah mati dalam perjuangan dan tidak juga mereka mengenal
tewas dalam peperangan. Mereka hanya mengenal untuk terus hidup di sisi Tuhan
dan juga untuk memperolehi salah satu daripada dua kemenangan iaitu secara
zahirnya dapat menguasai musuh atau memperolehi syahid.
ii. Persiapan Yang Membawa Kematian
Tidak semua perkara yang tampaknya seperti hidup adalah merupakan suatu
yang hidup. Virus adalah merupakan mikrob yang mati. Virus yang
berpindah-pindah perumah, bukan sahaja membunuh perumah yang dihinggapi bahkan
akhirnya akan mengakibatkan virus itu sendiri mati kerana tiada perumah baru
yang sesuai. Pelbagai jenis vaksin yang dihasilkan oleh manusia akhirnya dapat
menumpaskan penyebaran virus. Perkara yang sama juga ditujukan kepada sebuah
masyarakat. Sekiranya setiap individu masyarakat itu hanya memikirkan untuk kepentingan
dirinya dengan cara menindas atau menafikan hak ahli masyarakat yang lain,
kesudahannya, seluruh masyarakat akan jadi porak peranda dan jatidiri serta
jejak masyarakat itu akhirnya hilang. Perkara ini berlaku kepada
kerajaan-kerajaan silam yang bekas-bekas peninggalan mereka kini sangat sukar
diperolehi.
Dalam rancangan TV yang ditayangkan oleh stesen Astro, mereka telah
menunjukkan bagaimana sebahagian ahli masyarakat Barat, sedang membuat persiapan
untuk tujuan kemandirian bagi menghadapi suasana keruntuhan ekonomi di negara
mereka. Sebahagian ahli keluarga mereka diperlengkapkan dengan pelbagai jenis
senjata tertentu yang kononnya untuk tujuan pertahanan, sekiranya
komuniti mereka diserang oleh pihak lain. Sebenarnya, teknik yang mereka
sediakan hanyalah menjurus kepada keutamaan mementingkan diri-diri serta ahli
keluarga mereka, tanpa mengambil perduli nasib yang akan menimpa pihak lain.
Mereka sebenarnya tidak menyedari bahawa ahli masyarakat lain, adalah
merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka selama ini yang juga wajar
diberi perlindungan serta pembelaan tertentu. Apatah lagi kiranya ahli
masyarakat yang lain itu adalah seagama dengan mereka sendiri. Persiapan yang
mereka lakukan sebenarnya menunjukkan betapa mereka melakukan kesiap siagaan
untuk menghadapi sesuatu yang akan berlaku dan perkara seperti itulah yang akan
berlaku nantinya. Akan sampai harinya segala harta yang mereka kumpulkan tidak
lagi dapat diniagakan dan kemuncak penindasan akan terjadi dalam kalangan
mereka. Kemelesitan besar pernah berlaku hampir di seluruh dunia, sebelum
berlakunya peperangan besar Perang Dunia I dan II. Ekonomi dunia runtuh
disebabkan oleh keporakan sistem kapitalisma yang menindas.
يايها الذين امنوا استعينوا بالصبر والصلوة ان الله مع الصبرين
Wahai
orang-orang yang telah beriman mereka, minta pertolonganlah olehmu
dengan kesabaran dan kesinambungan solah. Sesungguhnya Allah beserta
orang-orang yang sabar.
Wahai
sekalian orang-orang Yang beriman! mintalah pertolongan (untuk
menghadapi susah payah Dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan)
Dengan bersabar dan Dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana
Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang Yang sabar
Terdapat
banyak perintah dalam Al-Quran supaya umat ini menghadapi sesuatu
dengan jalan bersabar. Bersabar terhadap kata cercaan golongan ingkar
dan jauhi mereka sebaik-baik kejauhan (73:10). Melaksanakan
kesinambungan solat adalah suatu yang berkaitan dengan kerja-kerja
mempelajari ayat-ayat Al-Quran dan mematuhi arahan imam bagi
melaksanakan kerja-kerja pemulihan.
i.
Sejarah Kejayaan Dan Kesabaran
RasululLah
S.A.W. akhirnya berjaya menyampaikan risalah kerasulannya ke seluruh
dunia ini berkat daripada kesabaran perjuangan baginda suatu masa
dahulu yang memakan masa selama sekitar 23 tahun. Risalah kerasulan
yang tersebar memungkinkan terbentuknya beberapa buah kerajaan
kekhalifahan daripada zaman Khulafa Ar-Rashidin, kerajaan Bani
Umayyah, kerajaan Bani Abbassiyah, Fatimiyah dan yang terakhir sekali
adalah kesultanan Uthmaniah.
Kerana
kesabaran bangsa Yahudi, mereka berjaya berusaha sehingga terlaksana
perjanjian Balfour untuk mendapatkan pengiktirafan negara Israel
daripada Britain menjelang akhir perang dunia II. Mereka telah
melaksanakan perancangan sungguh teliti dengan penuh kesabaran
sekalipun menempuh penderitaan dibunuh beramai-ramai sehingga
tumbangnya kesultanan Uthmaniyah di Turki sebelum itu
Kini
kekuasaan kekhalifahan melalui kesultanan Turki telah berjaya
dimusnahkan. Bahkan bukan itu sahaja, pemerintahan beraja di
Perancis akhirnya telah berjaya dimusnahkan oleh pendukung-pendukung
gerakan The Knight Templer. Pemerintahan beraja di Britain, hanya
tinggal simbol sahaja apabila parlimen lebih berkuasa dalam
menentukan hala tuju negara. Di negara-negara umat Islam, pengaruh
agama telah berjaya dilucutkan daripada pemerintahan dan begitu juga
di negara-negara Kristian Barat. Kehidupan beragama tidak lagi
mendapat tempat dalam pemerintahan. Tiada lagi kekuasaan beraja Tsar
di Russia apabila pendukung-pendukung gerakan komunis telah mengambil
alih pemerintahan. Begitu juga di negara Jepun yang suatu masa dahulu
memiliki pasukan tentera yang kuat di bawah pengaruh Maharaja. Kini
Maharaja tidak lagi terlibat dalam menentukan keputusan parlimen.
ii.
Ideologi Pemerintahan dan Corak Ekonomi Yang Berada
Di Ambang Perubahan
Umat
ini telah bersabar selama lebih 1400 tahun setelah runtuhnya
kekhalifahan. Khulafa Ur-Rashidin telah digantikan dengan
pemerintahan raja-raja yang melaksanakan dasar pemerintahan yang
menggigit serta melalui sistem tukar ganti pemerintah melalui
dinasti. Kini sebahagian besar umat manusia telah memperolehi kembali
kebebasan dalam berusaha mendapatkan suatu kehidupan. Namun oleh
kerana kesan penindasan yang begitu lama dialami oleh umat manusia,
akhirnya mereka telah terlupa bahawa terdapat nilai-nilai kebaikan
yang telah diamalkan oleh pemerintah silam dalam mengekalkan keadaan
kestabilan persekitaran. Kehidupan manusia yang bebas sebebasnya
telah mengakibatkan kehidupan mereka mulai terbabas. Hubungan sosial
sesama manusia kini semakin buruk dan kehidupan bernegara telah tidak
dapat memberi jaminan keselamatan kepada setiap rakyat.
iii.
Manusia Kembali Kepada Kebebasan Beragama
Pemerintahan
anti agama dalam sistem pentadbiran komunis, kini telahpun
dilucutkan. Kerajaan Komunis Russia telahpun ditumbangkan. Kerajaan
China kini mulai menukarkan polisi kehidupan yang memberi ruang
kepada kedatangan pelabur-pelabur asing. Yang demikian mereka telah
memberi kelonggaran kepada rakyatnya untuk kembali kepada
pengamalan agama masing-masing. Dalam bentuk hubungan sosial, mereka
telah semakin beralih kepada hubungan kemasyarakatan yang lebih baik.
Di
negara-negara demokratik kapitalis seperti Amerika Syarikat dan
Eropah dan juga kebanyakan negara yang dipengaruhi oleh kehidupan
demokratik kapitalis seperti mereka, sistem kebebasan kapitalisma tanpa
batasan mulai menunjukkan ciri-ciri kerosakan. Aktiviti pembangunan
dan usaha-usaha ekonomi yang dilaksanakan tanpa had, telah
mengakibatkan banyak berlaku kerosakan ketara terhadap kehidupan
manusia dan juga kerosakan alam persekitaran. Bumi mereka semakin
menjadi tempat yang bahaya untuk didiami. Mereka diserang dengan
cuaca sejuk melampau-lampau dan juga keadaan panas melampau-lampau.
Kehidupan sosial mereka semakin tergugat dan rakyat mereka mula
melakukan tunjuk perasaan besar-besaran membantah agenda penguasaan
tersembunyi.
i. Wassol
Ayat Tentang Mereka Yang Terbunuh Pada Jalan Allah, Tidak Dikira Sebagai Mati
Dalam
perbincangan surah Al-Mulk sebelum ini ada disebutkan bahawa sesuatu
itu dikatakan sebagai hidup apabila kehidupannya dapat membawa
kehidupan terhadap sesuatu yang lain manakala yang dikatakan sebagai
mati ialah apabila ke'hidup'an sesuatu atau seseorang itu hanya dapat
membawa kepada kematian yang lain. Penerangan panjang lebar daripada
surah Al-Mulk telah mengambil rujukan ayat daripada bahagian ini dan
sebenarnya terdapat ayat-ayat daripada bahagian lain yang juga dapat
dijadikan rujukan.
ii. Kejayaan
Itu Bersama Kesabaran
Fitnah-fitnah
yang berlaku kepada umat manusia masakini, juga kepada nasib hidupan
dan tumbuhan yang terdapat di mukabumi ini, memerlukan keadaan
kesabaran dalam mengusahakan sesuatu bagi memperbetul keadaan.
Selepas berakhirnya perang dunia I dan II, negara-negara di dunia ini
telah didedahkan dengan sistem pemerintahan berdasarkan
pemerintahan demokrasi dan komunis. Sistem ini diwujudkan sebagai
suatu alternatif kepada sistem pemerintahan sebelumnya yang banyak
ditunjangi dengan unsur-unsur keagamaan.
Kita
tidak seharusnya menduga bahawa penglibatan kuasa Barat dalam
melakukan percaturan mereka adalah sebagai suatu kekuatan yang
tersusun rapi sehingga mereka akan menjadi satu kuasa paksi dunia.
Kekalahan Amerika Syarikat di Vietnam dan Soviet Russia di
Afghanistan, serta perbelanjaan besar pentadbiran Amerika Syarikat
dalam peperangan terhadap ke'ganas'an adalah permulaan kepada keadaan
yang menampakkan kepincangan negara mereka. Tindakan Amerika Syarikat
cuba menguasai telaga gas petroleum di Laut China Selatan adalah
merupakan tindakan terdesak bagi memulihkan kedudukan ekonomi mereka.
Umat
ini harus bersabar dan sentiasa berusaha untuk bersama-sama Al-Quran
dengan melakukan persiapan yang baik bagi menghadapi keadaan dunia
serta ekonomi global yang kian bergolak. Umat ini harus bersedia
secara ekonomi bagi menghadapi keadaan luar jangka.