Kemodenan dunia bukan penghalang kita memperbudaya dan mempelajari Al-Quran dan As-Sunnah, dalam melayari rutin kehidupan seharian sebagai hambaNya dan khalifah di muka bumi.
Penyuruh-penyuruh
kepada Al-Qisthi adalah individu yang telah bersedia menghadapi
pembunuhan terhadap dirinya. Kenyataan sedemikian telah dihadapi oleh
sebahagian sahabat terdahulu seperti Saidina Umar R.A., Saidina Usman
R.A., Saidina Ali R.A. serta kejadian pembunuhan yang berlaku kepada
kepimpinan Ahlul Bait seterusnya. 3:21
Seterusnya
kepimpinan umat melalui kekhalifahan telah dikuasai secara perwarisan
sehingga banyak kejadian khalifah yang memerintah, telah melaksanakan
amalan yang sia-sia. Sehingga ke suatu peringkat, hukum-hukum Tuhan telah ditinggalkan dan akhirnya kehidupan umat tidak lagi
terbela. Keyakinan yang telah menyerap kepada setiap minda umat
bahawa lesen beragama digunakan sebagai prasyarat yang setiap umat
akhirnya akan mendiami syurga, mengakibatkan kepimpinan mereka berani
untuk menolak hukum Tuhan dan telah menimbulkan pelbagai keburukan
terhadap kehidupan manusia sendiri. (3:22 - 23)
Sesungguhnya
Tuhan Maha berkuasa melakukan penggantian kepimpinan umat dan
perubahan kepimpinan telah berlaku daripada zaman bani Umayyah kepada
bani Abbasiyah kepada kerajaan Fatimiyah dan kepada yang terakhir
sekali adalah kerajaan Usmaniyah. Keburukan pemerintah yang
seringkali berlaku akibat menolak hukum Tuhan mengakibatkan umat ini
tidak lagi memiliki khalifah. Tuhan telah meletakkan kebaikan sebagai
ukuran dalam menentukan pemerintahan sehingga apabila kebaikan tidak
lagi berlaku, suatu pemerintahan akan digantikan dengan pemerintahan
yang lain.
Tuhan
telah melarang umat ini melantik golongan ingkar sebagai peneraju
kepimpinan dan pada masa yang sama umat ini juga tidak seharusnya
menaruh syak wasangka kepada sebahagian individu ulama yang
menyembunyikan keimanan mereka yang berada dalam teraju pemerintahan
golongan ingkar. Kini pemerintahan demokratik kapitalis telah lama
menggantikan kekhalifahan umat ini dan kesan keburukan pemerintahan
ini telah menunjukkan kerosakan dan keburukan yang berlaku secara
merata-rata. Ideologi komunis telah ditinggalkan dan dunia ini kini
telah berada di ambang perubahan. Antara pilihan ideologi yang
tersedia adalah yang berpaksikan demokratik sosialis melalui "New
World Order" atau melalui Pemerintahan Islam. (3:28)
Sebelum
berlaku perubahan pemerintahan yang bakal melanda, kita akan dapat
menyaksikan agenda-agenda yang menimbulkan kebaikan dan keburukan,
semuanya akan hadir dalam kehidupan manusia di dunia ini lagi. Dunia
ini telah memasuki peringkat kritikal dengan permasalahan cuaca,
bencana alam, kecelaruan kehidupan sosial manusia, kemusnahan
kawasan flora dan fauna yang dilakukan melalui aktiviti manusia dan
ketidak stabilan keadaan ekonomi dunia. Adakah dengan membiarkan
aktiviti manusia sehingga mengakibatkan muka bumi ini semakin panas
akan membawa akibat yang lebih baik kepada semua hidupan di bumi ini?
(3:30)
Untuk
menyelamatkan keadaan, umat ini harus mendapatkan suatu perlaksanaan
supaya dapat berada dalam kasih sayang Tuhan. Caranya adalah dengan
kembali berittibak kepada cara Muhammad RasululLah S.A.W. iaitu
kembali kepada cara awal sebagaimana yang dibawa oleh RasullulLah
S.A.W. Baginda hanya membawa ajaran Tuhan melalui Al-Qur'an. Pendekatan yang paling
hampir adalah mencontohi gerakerja yang dilakukan oleh Khalifah Abu
Bakar R.A. dan Khalifah Umar R.A. (3:31)
قل ان كنتم تحبون الله فاتبعو نى يحبب كم الله ويغفرلكم ذنوب كم
Katakan
olehmu, kiranya telah adalah kamu, kamu menyayangi akan Allah, maka
berittibaklah olehmu akan daku ini, Ia menyayangi akan kamu oleh
Allah dan Ia mengampuni bagimu akan dosa-dosamu.
Katakanlah
(Wahai Muhammad) Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah
daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.
i.
Menuruti Ajaran Al-Quran Adalah Sunnah Sebenar RasullulLah
S.A.W.
Boleh
dibilang dengan jari, berapa banyakkah pejuang-pejuang agama sama ada
melalui pendekatan jabatan, jamaah, parti atau gerakan ekstrem, dapat
menyampaikan Al-Quran kepada pengikut-pengikut mereka? Kebanyakan
mereka hanya mendengar Al-Quran melalui bacaan imam semasa
melaksanakan ibadah solah dan kemudian melupakan kebanyakan bacaan
itu apabila aktiviti solah mereka tamat. Adakah mereka benar-benar
menuruti sunnah RasullulLah S.A.W. yang membacakan Al-Quran kepada
para sahabat R.A.H.M di dalam solah dan juga di luar solah?
Rasulullah tidak membaca kitab-kitab lain.
Kemudian
RasululLah S.A.W. akan memberi huraian panjang lebar daripada
ayat-ayat Al-Qur'an yang baginda fahami. Adakah sunnah sedemikian
telah diikuti agar setiap individu akan disayangi Tuhan? Adakah
memadai dengan membaca karangan-karangan ulama tertentu, telah
menjamin seseorang ke suatu keadaan disayangi Tuhan?
ii.
Menjemput Kasih Sayang Tuhan
Berittibak
kepada RasululLah S.A.W. adalah dengan menuruti perlakuannya sama ada
yang dinamai sebagai sunnah atau atsar. Sebenarnya apakah yang
disampaikan oleh RasululLah S.A.W. kepada para sahabat R.A.H.M? Iaitu
Al-Quran. Tugas baginda adalah menyampaikan Al-Quran dan baginda
memberi contoh, melalui apa yang dikenali sebagai As-Sunnah atau
sunan. RasululLah S.A.W. tidaklah semata-mata menyampaikan sunnahnya
sebagaimana yang kita kini perolehi melalui pelbagai kitab-kitab
sunan, tetapi baginda menyampaikan Al-Quran. Oleh kerana keislaman
sahabat-sahabat baginda berlalu dalam tempoh yang agak lama, maka
corak penerimaan yang diterima oleh para sahabat R.A.H.M juga
berbagai-bagai. Dengan demikian baginda RasululLah S.A.W. telah
meninggalkan pesan untuk menuruti sunnah Khulafah Ur-Rashidin Al
Mahdiyin iaitu Khalifah Abu Bakar R.A. dan Khalifah Umar R.A.
Adalah
didapati Khalifah Abu Bakar R.A. adalah sahabat yang sangat kurang
meriwayat Al-Hadith dan Khalifah Umar R.A. lebih banyak menggunakan
ijtihad beliau sendiri dalam menghadapi permasalahan umat. Penulis
tidak bermaksud untuk merendahkan status Al-Hadith dan penulis juga
amat bersetuju dengan pendirian Sahabat Abu Bakar R.A. dan Umar Al
Khattab R.A. bahawa menggelojohi Al-Quran dan berusaha mengambil
pengajaran daripadanya secara bersungguh-sungguh adalah lebih utama
daripada terlalu memberi tumpuan yang amat mendalam darihal
mana-mana Al-Hadith. Oleh kerana Al-Hadith harus difahami berdasarkan
matan, penerimaan Al-Hadith haruslah disesuaikan dengan Al-Qur'an.
Oleh yang demikian, kerja-kerja menstatuskan Al-Hadith adalah
merupakan kerja-kerja yang tidak pernah selesai dilakukan oleh
ulama-ulama Al-Hadith sejak dahulu lagi.
Tindakan
menuruti sunnah RasululLah S.A.W. berdasarkan rujukan Al-Hadith,
adalah merupakan tindakan mencontohi kefahaman atau amalan baginda
berdasarkan kefahaman baginda, tentang kitab Tuhan iaitu Al-Quran.
Oleh itu tidak melampau untuk penulis nyatakan bahawa Muhammad
RasululLah S.A.W. adalah ulama pertama dan ulama utama bagi umat ini.
Sebenarnya penulis hanya khuatirkan kerja-kerja terlalu mendalami
agama sehingga mengakibatkan seseorang itu terkeluar daripada ajaran
agama.
والله غفور رحيم
Dan
Allah Maha Pengampun Maha Pengasih.
dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
iii.
Tuhan Sedia Maklum Akan Kesalahan Dan Kesilapan
Yang Dilakukan Oleh Manusia
Dalam
usaha umat ini mengambil pelajaran secara bersungguh-sungguh
daripada Al-Quran, tentunya mereka terdedah dengan kesilapan dan
kesalahan dalam memahami ayat-ayat Tuhan. Perkembangan ilmu tetap
akan berlaku sepanjang zaman. Sebagai contoh, ulama silam pernah
mengeluarkan fatwa tentang tempoh haid seseorang wanita. Tempoh haid
adalah tempoh kelarangan bagi seseorang wanita daripada melakukan
amal-amal ibadah khusus seperti solat dan puasa. Fatwa yang pernah
dinyatakan tentang hal ini adalah maksimum tempoh haid harus tidak
melebihi 16 hari dan 16 malam. Sila rujuk kitab Mutlaq Al-Badrin atau
Jauhar As-Siniah tentang perkara ini. Status fatwa sedemikian
sebenarnya tidaklah harus dipertikaikan memandangkan secara umumnya
tempoh sebulan maksimum bulan hijrah adalah 30 hari. Oleh itu
seseorang wanita, secara umumnya memiliki tempoh sekurang-kurangnya
14 hari untuk melakukan ibadah khusus tersebut. Tempoh ini juga
dikenali sebagai tempoh ovulasi ke menstruasi.
Penulis
mengambil pendirian bahawa fatwa itu tidaklah menjurus kepada
kesilapan atau kesalahan kiraan. Penemuan terkini darihal tempoh
dari awal haid, yang telah dipersetujui oleh ahli embriologi
perubatan sebenarnya menambah baik terhadap fatwa sedia ada. Tempoh
dari awal haid hingga ke kejadian ovulasi adalah merupakan tempoh
maksimum, kejadian haid dapat berlaku. Tempoh ini tidak dapat
dinyatakan secara pasti memandangkan terdapat perbezaan tempoh bagi
seseorang wanita dengan wanita yang lain. Namun kejadian ovulasi
adalah 14 hari sebelum berlakunya kejadian haid berikutnya. Kejituan
ini hampir terjadi kepada semua wanita. Oleh itu sekiranya kitaran
haid seorang wanita memakan masa 34 hari, tempoh awal haid hingga ke
kejadian ovulasi yang berlaku kepadanya adalah 34 – 14 iaitu 20
hari. Kejadian haid tidak harus berlaku lebih dari 20 hari kepada
wanita itu.
iv. Cukuplah Dengan Pengajaran Al-Quran
Daripada contoh yang telah diberi, apajua fatwa yang menjurus kepada hukum atau kaedah, adalah merupakan suatu yang boleh dilakukan pengemaskinian terhadapnya sekiranya terdapat hujah yang lebih aula yang dapat diambil daripada wahyu seiring dengan penemuan semasa. Adapun fatwa ulama-ulama silam yang menjurus kepada penutupan pintu ijtihad dalam perkara agama adalah suatu yang sangat bersesuaian dengan maslahat masa itu yang salah satu tujuannya adalah bagi mengurangkan pertelingkahan umat yang sedang terjadi.
Selepas Muhammad RasululLah S.A.W. sehingga kini, tidak pernah ada individu yang boleh mendakwa menerima wahyu Tuhan secara terbuka yang dapat dijadikan ukuran bahawa cara beragama individu itu boleh dituruti untuk dijadikan panduan umat dalam beragama. Sehingga kini juga, tidak pernah ada individu yang pernah hidup bersama RasululLah S.A.W. yang dapat menjelaskan secara terperinci segala perkara yang berkaitan agama meliputi pengajaran Al-Hadith tertentu. Oleh itu, kembali kepada pengajaran Al-Quran adalah merupakan satu perkara yang masih ada dalam tangan setiap umat masakini.
Tidak ada pendukung As-Sunnah dapat menafikan perkara ini, tidak juga pendukung mazhab Syi'ah. Bahkan tidak juga mereka yang berpegang dengan pandangan Muhammad Abdul Wahab dapat menafikan perkara ini. Begitu juga penganut mana-mana ajaran kerohanian sama ada yang mengambil jalan kesufian dan juga tareqah dapat menafikan perkara ini. Bahawa Al-Quran adalah satunya pandangan atau pendapat Tuhan yang harus dirujuk kembali. Bahawa petunjuk, hanyalah petunjuk Allah. Allah tidak memerintahkan melainkan menjadi hamba abdi kepadaNya.
يوم تجد كل نفس ما عملت من خير محضرا وما عملت من سوء تود لو ان بينها وبينه امدا بعيدا ويحذر كم الله نفسه والله رءوف بالعباد
Hari
yang ia dapati oleh setiap diri apa yang telah dilakukan ia daripada
kebajikan suatu bentangan, dan apa yang telah dikerjakan ia
daripada keburukan, ia bercita-cita kuat, kiranya bahawa antara dia
dan antaranya, jarak yang (sangat) jauh. Dan Ia menghadirkan akan
kamu, oleh Allah akan diriNya. Dan Allah Maha Penyantun terhadap
hamba-hamba (yang bekerja untukNya)
(ingatlah)
hari (kiamat Yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa
sahaja kebaikan Yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan
kepadanya Dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja
kejahatan Yang telah dikerja-kannya. (ketika itu tiap-tiap orang Yang
bersalah) ingin kalau ada jarak Yang jauh di antaranya Dengan amalnya
Yang jahat itu. dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat
terhadap kekuasaan dirinya (menyeksa kamu). dan (ingatlah juga),
Allah amat belas kasihan kepada hamba-hambanya.
i.
Bencana Yang Semakin Mendekat
Apabila
datang hari berlaku bencana sama ada sedikit demi sedikit atau
bencana yang besar, kita akan dapati umat yang melakukan kebaikan
tidak begitu terkesan dengan bencana yang terjadi. Kebinasaan yang
besar telah berlaku di negara-negara yang mengamalkan projek-projek
yang membinasakan. Bencana keruntuhan tanah, hujan yang bersangatan
sehingga mengakibatkan banjir besar, taufan yang menurunkan air hujan
masin, kepanasan melampau-lampau, kemarau yang membinasakan serta
ribut salji yang membawa banyak kematian telahpun terjadi. Hampir
semuanya berlaku di negara-negara yang rakyatnya tidak diajari cara
yang betul untuk berpenghidupan.
ii.
Mereka Cuba Melarikan Diri
Mereka
memiliki cita-cita yang sangat kuat untuk meng-hindari bencana.
Mereka telah menghantar peralatan-peralatan yang canggih ke angkasa
lepas untuk tujuan memerhati. Mereka melakukan pemerhatian yang
sangat mendalam mencari punca pasti terjadinya bencana. Mereka
mempelopori penemuan bahan-bahan baru yang sangat ringan serta dapat
bertahan dengan kuat dalam projek pembangunan mereka dan terkini
mereka telah menemui bahan komposit nanotiub yang katanya dapat
dihulurkan dari bumi ke stesen-stesen angkasa lepas. Mereka
sebenarnya berusaha melarikan diri daripada bencana. Adakah mereka
telah melakukan persiapan secukupnya? Adakah rumah-rumah perlindungan
(shelter) yang dibina dapat menampung sebahagian besar manusia?
iii.
Persiapan Sebahagian Mereka Yang Melampau
Dalam
dokumentari yang ditunjukkan melalui tayangan TV satelit, sebahagian
daripada rakyat negara Barat, telah melakukan suatu persiapan untuk
menghadapi zaman kegawatan yang mungkin terjadi dalam tempoh 3 atau 4
tahun. Setiap mereka yang melakukan persiapan, memiliki alasan
tersendiri bagi menghadapi hari-hari yang tidak diharapkan akan
berlaku. Mereka menyimpan makanan, air, bahan bakar serta persiapan
senjata bagi menghadapi kemungkinan kegawatan. Namun perkara yang
serupa yang dipersiapkan oleh setiap individu tersebut adalah
persiapan mementingkan diri-diri serta ahli keluarga mereka sendiri
dan haiwan-haiwan kesayangan mereka sehingga sanggup melakukan
persediaan mencederakan manusia lain.
iv.
Penemuan Mereka Yang Mengejutkan
Dalam
diam ahli profesional mereka membuat pengumuman. Bahawa bencana yang
sedang terjadi dan bakal terjadi di mukabumi ini adalah disebabkan
jumlah manusia yang terlalu ramai. Sekiranya bilangan manusia dapat
dikurangi, bencana akan dapat dikurangi dan bahaya kemusnahan bumi
juga dapat dikawal. Kenyataan ini dikeluarkan oleh seorang yang
bergelar profesor terkemuka di negara Barat. Lalu mereka berusaha
mencari jalan mengurangkan jumlah manusia! Seolah-olah umat manusia
yang terdapat di mukabumi ini adalah seumpama lembu yang harus
dikorbankan. Lalu kempen baru mula dilakukan secara senyap-senyap.
Kajian-kajian dijalankan terhadap pemakanan manusia sehingga mereka
dapat dihidangkan dengan sebatian bahan yang dapat mengakibatkan
wanita-wanita mereka menjadi mandul. Bahkan hingga mencapai kepada
program kesihatan, kerajaan-kerajaan negara membangun dibekalkan
dengan suntikan-suntikan atas nama pelalian, yang bertujuan
menjadikan remaja-remaja wanita mereka menjalani proses pensterilan.
v.
Kasih Sayang Tuhan Kepada Hamba-hambaNya
Bagaimanakah
kita dapat melarikan diri daripada program-program kemusnahan seperti
ini, melainkan sekiranya kita secara bersegera menjadi hamba Tuhan.
Sesungguhnya Tuhan Maha Penyantun terhadap hamba-hambaNya.
Menghambakan diri kepada Tuhan adalah bersedia melakukan suatu
pekerjaan hamba abdi yang tidak mengharapkan sebarang balasan hanya
semata-mata kerana menyatakan kasih kepada Tuhan dan mengharapkan
belas kasih daripada Tuhan. Sebenarnya terlalu banyak manfaat yang
dapat diperolehi mereka yang mempersiap diri untuk menjadi hamba
Tuhan. Persiapan meliputi persediaan diri, ilmu dan juga meliputi
persediaan harta benda.
Katakanlah
olehmu, kiranya kamu sembunyikan apa yang dalam dadamu atau kamu
dedahkan akannya, Ia mengetahui akannya oleh Allah dan Ia mengetahui
apa yang pada langit itu dan apa yang pada bumi itu dan Allah atas
tiap-tiap sesuatu Maha Kuasa. Katakanlah
(Wahai Muhammad) Jika kamu sembunyikan apa Yang ada Dalam dada
kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya dan ia
mengetahui Segala Yang ada di langit dan Yang ada di bumi. dan Allah
Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Dalam
pada penegak-penegak Al-Qisthi boleh berada pada mana-mana kedudukan,
kebanyakan mereka menyembunyikan keimanan mereka daripada diketahui
oleh pihak pemerintah. Oleh itu, sebagai umat Islam yang bercita-cita
memperjuangkan agama, mereka tidak seharusnya bersangka buruk
terhadap penjawat-penjawat tertentu di jabatan-jabatan tertentu dalam
pemerintahan. Mereka tidak semestinya menyetujui polisi pemerintahan
yang zalim sekalipun mereka itu adalah kakitangan dalam sebuah
jabatan. Inilah pendekatan yang berlaku ke atas Nabi Yusuf A.S., Nabi
Musa A.S. dan juga sebahagian ulama-ulama tersohor selepas kerasulan
RasululLah S.A.W, sehingga kedudukan sebahagian diketahui dan
sehingga mereka diseksa oleh pemerintah. Mereka bukan bimbang
terhadap sesuatu yang akan mengenai mereka, malah yang lebih mereka
bimbangi adalah fitnah yang mungkin akan menimpa umat
pada keseluruhannya. Suatu fitnah yang dapat membawa kemudharatan
yang lebih besar.
i.
Pengetahuan Tuhan Tentang Langit dan Bumi, Menjurus
Kepada Sesuatu Yang Berkaitan Pemerintahan
Antara
perkara yang dibincangkan dalam surah Al-Mulk adalah berkaitan dengan
pemerintahan. Sifat Tuhan yang mengetahui tentang langit dan bumi
adalah berkaitan tentang pembentukan kerajaanNya yang baraqah.
Kesediaan pihak pemerintah untuk memerhatikan keadaan ini akhirnya
akan menjurus kepada pembentukan pihak berkuasa tempatan yang
mengambil berat darihal kehidupan alam sekitar, keharmonian kehidupan
manusia, pertumbuhan flora, kewujudan fauna dan kestabilan struktur
mukabumi. Negara ini telah ada semua badan-badan yang berkaitan,
namun di atas kepentingan kapitalisma yang diamalkan, pengagihan
khazanah negara telah gagal diagihkan secara berkesan. Pencerobohan
kawasan tadahan telah menjadi suatu fenomena yang biasa dilihat dan
kerosakan kesan penebusan dan kerja-kerja yang dilakukan tanpa
kawalan tertentu telah mengakibatkan kerosakan cuaca yang seringkali
membawa kebinasaan terhadap kehidupan manusia sendiri.
ii.
Kiranya Kerja-kerja Penyampaian Diabaikan
Sebenarnya
sudah sampai masanya, penegak-penegak Al-Qisthi berusaha melakukan
sesuatu untuk memberi kesedaran kepada ahli masyarakat seluruhnya.
Kesedaran tidak lagi boleh ditujukan kepada penjawat-penjawat dalam
pemerintahan secara khusus kerana tekanan hidup daripada pengamalan
ekonomi kapitalis telah mengakibatkan mereka yang terlibat, terpaksa
lebih mengutamakan kemewahan dengan melakukan polisi pekerjaan yang
merosakkan. Kesan tekanan ekonomi kapitalis hasil daripada kecurangan
golongan tamak, yang seringkali menentukan halatuju pasaran
berdasarkan penawaran dan permintaan tanpa kawalan, telah membawa
defisit dan inflasi yang berterusan.
iii.
Kekuasaan Tuhan Atas Segala Sesuatu
Sesungguhnya
Tuhan berkuasa atas segala sesuatu dan kekuasaan Tuhan terserlah di
atas peraturan yang telah Ia tetapkan di bumi ini melalui sebab
dan akibat.
Atas sebab itulah Tuhan telah mengutus para rasul kepada manusia
supaya mereka dapat memperguna akal dan membaca risalah Tuhan. Tuhan
mengajari manusia melalui risalahNya agar manusia dapat berfikir dan
melakukan sesuatu bagi melaksanakan kerja baik pulih.
Kita
sebenarnya dapat membaca, hampir setiap hari tentang kekalutan
masyarakat Barat yang menjadi kelam kabut akibat perubahan cuaca yang
berlaku di negara mereka. Mereka masih berbalah bukan sahaja terhadap
punca yang membawa akibat perubahan cuaca bahkan kepada apakah
tindakan yang harus mereka ambil bagi menghentikan kesan perubahan
sedemikian. Mereka masih memikirkan dan terus memikirkan dan terus
memikirkan sehinggalah kiraan susut pembilang saat di hadapan mereka
semakin menuju ke sifar. Sebenarnya apakah yang dapat mereka putuskan
dengan kesuntukan masa yang berbaki dan seterusnya apakah tindakan
perlu yang harus mereka ambil? Wajarkah kita, selaku umat ini masih
menanti-nanti keputusan saintis mereka dan juga pemegang polisi
negara mereka, sedangkan tempoh mereka sebenarnya hampir tamat?
Wajarkah kita membiarkan sahaja kepimpinan negara kita bagaikan orang
yang merayu meminta sadaqah daripada pihak kapitalis Barat, yang
hampir membuat keputusan bahawa negara mereka harus menyerahkan
sejumlah berbillion dollar dana kepada negara-negara membangun,
agar dapat melakukan sesuatu bagi mengawal perubahan cuaca yang
berlaku. Mereka sendiri masih tidak mengetahui punca permasalahan
yang berlaku secara pasti lalu bagaimanakah dapat mereka memberi
arahan kepada kepimpinan kita untuk melakukan sesuatu?
Mereka Sendiri Masih Berbalah Terhadap Punca Perubahan Cuaca,
Jadi Apakah Yang Masih Boleh Diharap Daripada Mereka?
Tidak
(patut) ia mengambil oleh golongan yang beriman itu akan golongan ingkar sebagai
pembela selain daripada golongan beriman dan barangsiapa jua yang melakukan
sedemikian maka tiadalah daripada Allah pada sesuatupun, melainkan, bahawa
dibimbangi daripada mereka suatu kebimbangan. Dan Ia menghadirkan akan kamu
oleh Allah akan diriNya. Dan kepadaNya tempat kembali.
janganlah
orang-orang Yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat Dengan
meninggalkan orang-orang Yang beriman. dan sesiapa Yang melakukan (larangan)
Yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah Dalam sesuatu
apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya Yang ditakuti
dari pihak mereka (yang kafir itu). dan Allah perintahkan supaya kamu
beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya (menyeksa kamu). dan kepada Allah
jualah tempat kembali.
Kepimpinan
umat sentiasa silih bertukar ganti antara golongan beriman dan golongan
ingkar. Perkara ini berlaku dalam negara umat Islam dan juga negara
bukan umat Islam. Pertukaran pemerintahan seperti ini telah berlaku
sejak dahulu lagi sebelum perutusan Muhammad RasululLah S.A.W. lagi.
Oleh itu kepimpinan tidak harus disempitkan kepada perlembagaan
sesebuah negara sahaja tetapi juga meliputi peranan pemimpin yang
menguasai pemerintahan. Individu pemimpin tidak harus dijadikan
sasaran serangan.
i. Menempatkan Diri Dalam Pemerintahan, Sama adaPemerintahan
Zalim Atau Pemerintahan Adil
Yang
harus ditentang adalah polisi pemerintahan dan bukan individu
pemerintah. Masakan Tuhan mengutuskan nabi Musa A.S. kepada Fir'aun
semata-mata bertujuan memusuhi dan memerangi Fir'aun. Tuhan telah
mengutuskan Musa A.S. untuk berada dalam kalangan menteri yang
menguruskan perbendaharaan Fir'aun, sebelum baginda terhalau keluar
atas tuduhan jenayah atas perkara yang tidak sengaja baginda lakukan,
demi untuk tujuan membela. Tujuan jelas ini sendiri termaktub dalam
surah Al-Muzammil bahawa perutusan Muhammad RasululLah S.A.W dan
risalah kerasulan yang diteruskan oleh umat baginda adalah
sepertimana perutusan kerasulan Nabi Musa A.S. yang diutuskan kepada
kerajaan Fir'aun. Oleh itu pembawa risalah kerasulan RasululLah
S.A.W. mungkin juga individu yang berada dalam pentadbiran sesebuah
kerajaan yang pada pandangan umum, bukanlah individu yang menentang
individu pemerintah.
ii. Mengutamakan Golongan Yang Beriman
Kepimpinan
yang dilantik haruslah merupakan kepimpinan yang membawa
akibat golongan yang beriman akan terbela. Kini kita telah dapati,
pemerintahan yang terdiri daripada pemimpin yang datang daripada
suatu kaum telah mengakibatkan kaumnya sendiri telah terabai apatah
lagi daripada kaum itu sebahagian mereka adalah golongan yang
beriman. Islam tidak lagi dianggap sebagai agama bahkan hanya suatu
ajaran warisan.
iii.
Majikan Atau Guru Pengajar Sebagai Kepimpinan
Mempraktikkan
ayat sedemikian tidak harus ditujukan semata-mata sebagai untuk
memenuhi tanggungjawab melantik kepimpinan negara. Bahkan setiap
individu muslim harus bertanggungjawab kepada dirinya sendiri untuk
memilih pekerjaan atau menjadi pelajar yang majikan atau tenaga
pengajar mereka adalah pihak yang bertanggungjawab menjaga kebajikan
golongan beriman. Kegagalan untuk mematuhi perintah ini mengakibatkan
umat Islam kini, yang berada dalam keadaan dhaif di negara ini, telah mengambil majikan daripada golongan ingkar. Mereka
telah terdedah dengan dakyah yang tersebar sehingga sebahagian besar mereka
akhirnya telah dimurtadkan melalui program penghamilan dan
pemurtadan. Kerja-kerja aktif aktiviti pemurtadan juga berlaku kepada
pelajar-pelajar yang menuntut di institusi pengajian sehingga harapan
yang diletakkan kepada mereka menjadi pembela masyarakat, telah
musnah begitu sahaja.
iv.
Sejarah Penggerogotan Kepimpinan Umat
Apabila
berlaku peperangan kalangan sahabat RasululLah S.A.W. R.A.H.M suatu
masa dahulu, akhirnya telah dipersetujui pentadbiran negara telah
diserahkan kepada pihak yang bukan kalangan Ahlul Bait dengan
perjanjian bahawa kepimpinan selanjutnya harus diserahkan kembali
kepada ahlul bait. Selanjutnya, kepimpinan telah diwarisi dengan jalan
warisan kesultanan sehingga peranan Ahlul Bait telah dinafikan sama
sekali. Ahlul Bait sendiri dimusuhi umat sehingga sebahagian mereka
telah berhijrah ke negeri-negeri yang jauh bagi menghindari
fitnah-fitnah yang tiada berkesudahan. Kepimpinan dipegang oleh
golongan yang ingkar sehingga amanah penjagaan umat telah terabai
dalam tempoh yang lama. Perpecahan dalam agama telah berlaku apabila
wujud kumpulan Ar-Rafidhah yang menolak bulat-bulat kepimpinan
kesultanan sedemikian yang akhirnya menjurus kepada penolakan kepada
ajaran agama yang dilabelkan sebagai ajaran As-Sunnah. Puak Alawiyyin
muncul selepas itu yang mereka mendakwa bahawa mereka adalah
keturunan Ahlul Bait. Pada zaman pemerintahan kekhalifahan Bani
Umayyah, golongan Alawiyin ini sebahagian mereka telah dibunuh
beramai-ramai ketika mereka sedang mengerjakan ibadah haji.
Wanita-wanita mereka telah dirogol sebelum dibunuh semasa bulan
haram, di tanah haram oleh kepimpinan umat pada masa itu dan
sebahagian mayat telah dicampakkan ke dalam telaga zam-zam. Akibat
tindakan ini, permusuhan oleh puak Alawiyin dan golongan Ar-Rafidhah
terhadap bani Umayyah terus melowap-lowap sepanjang zaman.
Sekalipun
pemerintahan bani Umayyah telah tamat, pengamalan Islam melalui
pihak yang menerima pendekatan As-Sunnah telah juga dimusuhi oleh
mereka dan perkara ini telah berlanjutan sehingga kini. Kepimpinan
bani Umayyah telah digantikan oleh kepimpinan bani Abbasiyah yang
kepimpinan mereka telah menjauhi diri daripada pihak yang masih
meneruskan ajaran Islam melalui pendekatan As-Sunnah. Kepimpinan ini
terlalu mementingkan kaum-kaum daripada golongan Alawiyin dan
Ar-Rafidhah yang kebanyakan mereka terdiri daripada bangsa Parsi yang
mendakwa pemimpin mereka adalah daripada Ahlul Bait. Amanah tidak
lagi dipegang oleh bangsa Arab dan keberadaan umat semakin lama
semakin lemah atas perpecahan mereka dalam agama. Setelah serangan
puak Mongol, pemerintahan bani Abassiyah yang menjaga kekhalifahan
telah tamat dan peperintahan umat telah didominasikan oleh bangsa
Turki di bawah kepimpinan dinasti Uthmaniyah. Kerajaan Uthmaniyah
akhirnya runtuh atas sebab mereka terlalu mengutamakan bangsa Eropah
berbanding bangsa Arab. Dengan lenyapnya kekhalifahan Uthmaniyah,
umat Islam tidak lagi memiliki khalifah.
ii. Cadangan Penyelesaian Masalah Umat Masakini
Perpecahan
umat atas nama kumpulan harus dihapuskan sama sekali. Ternyata
ulama-ulama yang mendakwa pengamal ajaran As-Sunnah telah gagal
menjagai umat sehingga kekhalifahan kini telah lenyap. Begitu juga
puak Ar-Rafidhah dan Alawiyin sehingga mereka telah menzalimi umat
yang menjadi rakyat mereka sendiri sehingga perpaduan umat menjadi
lemah dan kekhalifahan bani Abbassiyah yang mereka dukung suatu masa
dahulu tidak lagi dapat dipertahankan akibat serangan puak Mongol.
Mereka
harus semata-mata kembali kepada ajaran Al-Qur'an kerana ajaran
Al-Qur'an telah memerintahkan umat ini merujuk kepada atsar
RasululLah S.A.W. dalam memahami ajaran-ajaran Al-Quran. Al-Qur'an
juga memerintahkan peri pentingnya kembali kepada kepimpinan Ahlul
Bait yang merupakan kesinambungan keimaman daripada keturunan Nabi
Ibrahim A.S. Bahawa umat ini adalah umat yang satu, hanya mereka
terdiri daripada pelbagai bangsa dan puak agar mereka saling
mengenali. Kepimpinan telah direnggut daripada Ahlul Bait secara
paksa dan kepimpinan harus dikembalikan kepada Ahlul Bait sama ada
secara sukarela atau secara paksaan, sekiranya umat ini memilih
untuk menempuh suatu kehidupan yang baik di dunia dan di akhirat.
Umat
ini hanya diperintahkan untuk kembali kepada ajaran Tuhan dan
mengikhlaskan diri sepenuhnya dengan meninggalkan sebarang bentuk
ajaran yang menyengutukan Tuhan, yang selama ini yang telah
menyebabkan mereka berpecah belah dalam agama. Tuhan telah menamai
mereka sebagai Al-Muslimin. Mereka tidak harus menambah-nambah lagi
dengan nama-nama tambahan seperti Muslim Sunnah, Muslim Syi'ah,
Muslim Alawi, Muslim Tradisi, Muslim 'submission', Muslim Wahhabi dan
sebagainya. Perpecahan umat telah mulai berlaku zaman sahabat Usman
R.A. lagi dan umat ini harus kembali kepada satu Tuhan, satu kitab,
satu kepimpinan imam dan rujukan-rujukan lain yang mengecilkan
peranan Al-Qur'an haruslah ditinggalkan.
تولج اليل فى النهار وتولج النهار فى اليل وتخرج الحى من الميت وتخرج الميت من الحى و ترزق من تشاء بغير حساب
Engkau memasukkan malam
ke dalam siang dan Engkau memasukkan siang ke dalam malam. Dan Engkau keluarkan
yang hidup daripada yang mati dan Engkau keluarkan yang mati daripada yang
hidup dan Engkau beri rezeki barangsiapa yang Engkau kehendaki dengan
tanpa kiraan.
Engkaulah Yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang dan Engkaulah
Yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga Yang
mengeluarkan sesuatu Yang hidup dari benda Yang mati dan Engkaulah Yang
mengeluarkan benda Yang mati dari sesuatu Yang hidup. Engkau jualah Yang
memberi rezeki kepada sesiapa Yang Engkau kehendaki, Dengan tiada hitungan
hisabnya".
i.
Memasukkan Malam Ke Dalam Siang Dan
Memasukkan Siang Ke Dalam Malam
Siang di negara-negara
sekitar Garisan Khatulistiwa adalah 12 jam dan malamnya pula 12 jam. Hal yang
sedemikian berlaku sepanjang tahun sehingga tiada perubahan ketara mengikut
empat musim utama dapat dirasai. Dalam setahun terdapat dua tarikh yang
dikenali sebagai tarikh ekuinok iaitu pada 21 Mac, dan 23 September yang
panjang siang adalah pada sekitar yang sama dengan panjang malam, berlaku di seluruh
dunia. Pada kedudukan-kedudukan lain di hemisfera utara dan selatan, tempoh
malam boleh jadi lebih panjang daripada siang dan begitu juga sebaliknya. Waktu
siang dikatakan telah memasuki waktu malam dan pada tempat yang lain pula,
waktu malam dikatakan telah memasukki waktu siang. Ayat ini menjelaskan sesuatu
yang bersesuaian dengan penemuan keadaan sekitar kebulatan bumi dengan
kecondongan paksi 23 ½ darjah dan beredar sekeliling matahari. Sekalipun tiada
didapati ayat yang menjurus kepada kebulatan bumi dan kecondongan paksi bumi
dengan bumi mengelilingi matahari secara terus, keadaan ayat ini harus menjadi
titik mula untuk manusia berfikir tentang fenomena kejadian bumi dan matahari.
ii.
Mengeluarkan Yang Mati Daripada Yang Hidup dan
Mengeluarkan Yang Hidup Daripada Yang Mati.
Proses kejadian di bumi
adalah merupakan suatu kitaran. Manusia harus memahami keadaan ini agar wujud
keseimbangan antara kehidupan dan kematian. Terlalu banyak kehidupan akan
mengakibatkan keperluan mendapatkan makanan akan meningkat dan terlalu banyak
kematian akan mengakibatkan kehidupan yang masih wujud, hidup dalam keadaan
tergugat. Keseimbangan harus dipelajari manusia secara bersungguh-sungguh supaya
kehidupan dapat berada pada keadaan yang stabil. Contohnya terlalu banyak
penerokaan kawasan hutan dapat mengakibatkan gas karbon dioksida yang
dibebaskan, gagal diserap kembali sehingga dapat menjadi petanda kepada
pembebasan haba yang banyak, tidak dapat dielakkan. Lebihan haba di atmosfera
menjadi penyebab kepada terjadinya banyak kejadian-kejadian seperti taufan, petir-petir
besar dan pencairan ais di kutub-kutub bumi. Kejadian tanah runtuh banyak
memusnahkan kediaman manusia.
قل اللهم ملك الملك تؤتى الملك من تشاء وتنزع الملك ممن تشاء وتعز من تشاء وتذل من تشاء بيدك الخير انك على كل شىء قدير
Sejauh
mana peranan kerajaan yang dibentuk dapat menyebarluaskan kebajikan
meliputi sebahagian besar rakyatnya serta kestabilan kehidupan flora
dan fauna serta penjagaan persekitaran yang baik, selama itulah
sesebuah kerajaan itu dijangka akan dapat bertahan dengan lebih lama.
Penulis tidak menafikan kesan sistem demokrasi yang dituruti dengan
ekonomi kapitalis, setakat ini telah berjaya membangunkan
pembangunan-pembangunan yang pesat bagi sesebuah negara. Namun
keburukan sistem pemerintahan dan ekonomi sedemikian, akhirnya akan
menjurus kepada kerosakan alam persekitaran dan juga kehidupan
manusia itu sendiri. Kepesatan pembangunan di negara ini, tidak dapat
tidak, harus diakui oleh sesiapapun jua, lebih menjurus kepada
tekanan inflasi yang sedikit sebanyak, telah menyukarkan kehidupan
rakyat. Penulis percaya, sebarang perubahan pemerintahan yang masih
mengekalkan sistem demokrasi berasaskan ekonomi kapitalis, tetap
akan membawa kesan buruk yang berterusan kepada rakyat. Masalah
jenayah pastinya tidak akan berkurangan dan perhimpunan rakyat di
atas jalanraya pastinya tidak akan dapat dihentikan. Tuntutan rakyat
akhirnya akan menjurus sesebuah negara untuk mengamalkan sistem yang
menghampiri sistem pemerintahan demokratik sosialis. Setakat ini
belum ada negara sedemikian yang pernah wujud.
Katakanlah
olehmu, Ya Allah, yang memiliki Kerajaan, Engkau beri kerajaan itu,
barangsiapa yang Engkau kehendaki, Engkau mencabut kerajaan itu daripada
barangsiapa yang Engkau kehendaki, Engkau perkuatkan barangsiapa
yang engkau kehendaki dan Engkau melemahkan barangsiapa yang Engkau
kehendaki. Di tangan Engkau kebajikan. Sesungguhnya Engkau atas
segala sesuatu Maha Kuasa.
Katakanlah
(Wahai Muhammad): Wahai Tuhan Yang mempunyai Kuasa
pemerintahan! Engkaulah Yang memberi Kuasa pemerintahan kepada
sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang mencabut Kuasa
pemerintahan dari sesiapa Yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga Yang
me-muliakan sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang
menghina sesiapa Yang Engkau kehendaki. Dalam ke-kuasaan Engkaulah
sahaja adanya Segala kebaikan. Se-sungguhnya Engkau Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.
Sekiranya
beberapa lapisan langit yang terbentuk adalah melalui
proses-prosesnya yang tertentu, sehingga keseimbangan berlaku dan sehingga bumi
berupaya menampung hidupan (55:10), demikian itu sifat kerajaan Tuhan yang
merekabentuk beberapa lapisan langit. Betapa manusia harus mempelajarinya
secara teliti, untuk membentuk kerajaan mereka sendiri. Kiranya
kerajaan yang manusia bentuk, dapat memelihara keseimbangan
pembentukan lapisan langit, kestabilan hidupan flora dan fauna,
kestabilan struktur yang sedia terdapat di permukaan bumi serta
kebaikan-kebaikan kepada umat manusia sendiri dalam menempuh
kehidupan mereka, betapa kerajaan sedemikian adalah dijangka dapat
bertahan dalam tempoh yang agak lama. Dalam hal ini, sistem
pemerintahan demokratik kapitalis telah menunjukkan kegagalannya
dalam mengekalkan keadaan bumi yang selamat. Sistem komunis sosialis
pula amat menindas kehidupan beragama manusia serta merencat aktiviti
mereka berkreativiti.
Kaedah
pemerintahan demokrasi bukanlah penyebab kepada kebejatan sistem
pemerintahan yang dibentuk. Keutamaan mementing suara ramai hanya
dapat rosak akibat pengaruh penguasaan kapitalis yang condong untuk
memperkayakan sebelah pihak sahaja. Usaha melobi pemerintahan
akhirnya mengakibatkan berlaku ketidakadilan dalam kehidupan
bermasyarakat. Sekalipun sistem ekonomi kapitalis menggalakkan umat
supaya rajin bekerja, namun batasan-batasan dalam pekerjaan yang
gagal dibentuk akhirnya menyebabkan kerosakan alam dengan
kejadian-kejadian yang dapat memusnahkan kehidupan manusia sendiri.
Kaedah
ekonomi sosialis pula bukanlah menjadi penyebab kepada keruntuhan
sesebuah masyarakat. Sistem ekonomi sosialis mengambil kira kebajikan
setiap ahli masyarakat dan pada masa yang sama, setiap masyarakat
dikehendaki menunjukkan komitmen bekerja untuk kemajuan negara. Oleh
itu sistem sosialis lebih mudah untuk menolak penguasaan harta atau
komoditi oleh individu sekalipun atas nama syarikat dan masyarakat
sosialis lebih mudah untuk menerima penggunaan wang maya berbanding
masyarakat kapitalis. Cukai yang sangat rendah atau kehidupan tanpa
cukai sama sekali, sebenarnya dapat membendung inflasi dalam negara.
Sekalipun kreativiti setiap individu kurang dititik beratkan dalam
sistem sosialis dan mereka lebih menumpukan kepada usaha kemandirian,
namun keprihatinan kerajaan yang dibentuk dapat mengatasi banyak
daripada permasalahan sosial manusia. Kehancuran negara-negara blok
komunis adalah lebih disebabkan oleh bentuk pemerintahan komunis
yang kurang memberi kebebasan beragama ahli masyarakat serta
halangan-halangan kepada mereka, membentuk persatuan-persatuan yang
dapat mengeratkan hubungan sosial mereka. Mereka
terlampau dipaksakan dengan ideologi komunis.
Maka bagaimanakah tatkala telah pasti menghimpun Kami akan mereka bagi
hari yang tiada keraguan padanya dan disempurnakan setiap diri apa yang telah
diusahakan ia sedang mereka tidak mereka dizalimi.
oleh itu, Bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka
pada hari (kiamat), Yang tidak ada syak padanya; dan (pada hari itu juga)
disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa Yang ia telah usahakan,
sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.
Sebenarnya mereka bukanlah dibalas atas kefahaman mereka yang menyangka
bahawa akhirnya mereka akan ke syurga walau apapun jua kesalahan yang telah
mereka lakukan. Mereka hanya dibalas kerana perbuatan mereka menolak hukum
Tuhan sehingga keburukan telah melingkungi mereka akibat perbuatan mereka itu
lalu mereka kekal mendiami neraka untuk selama-lamanya.
i. Bahaya Menganggap Apajua Kesalahan Boleh Dilakukan
Dengan menganggap bahawa, pegangan suatu agama adalah lesen untuk masuk
syurga walau apapun jua kesalahan yang seseorang itu lakukan, seseorang akan
sanggup bertindak melakukan sesuatu yang menjadi kelarangan Tuhan sehingga
manusia dilingkungi akibat terhadap suatu kesalahan. Sebagai contoh, polisi
yang membenarkan perlakuan zina, akhirnya akan mengakibatkan pembentukan
masyarakat yang huru-hara sehingga menjejaskan hubungan sosial dalam kalangan
masyarakat. Perkara ini terjadi semata-mata gara-gara kerja kepimpinan yang
membenarkan serta melindungi perlakuan sedemikian. Apakah alasan untuk
seseorang pemimpin sedemikian akan diterima Tuhan, untuk mendiami syurga
ataupun menerima syafa'at daripada rasul semata-mata dengan mengaku sebagai
umat rasul? Huraian panjang lebar daripada surah An-Nun dan Al-Haqqah, ada
menjelaskan tentang balasan berkait-kait yang menimpa pemimpin-pemimpin atau
penjawat-penjawat yang menyalahgunakan kuasa sehingga berlaku bencana yang
menimpa umat. Setiap umat yang melalui penderitaan dalam kehidupan di dunia ini
akan kembali kepada pihak yang diamanahkan yang harus menjagai mereka dalam
kehidupan dunia dahulu. Oleh itu apakah ertinya tempoh seketika dalam neraka
sekiranya seseorang itu harus merasai penderitaan setiap umat yang sudah tentu
setiap umat itu pernah menjalani kesukaran hidup dalam azab untuk suatu tempoh
masa kehidupannya dahulu?
ii. Akibat Menganggap Seksa Neraka Sementara
Anggapan seperti ini sebenarnya datang daripada seseorang yang sungguh
merasa tidak tercabar dengan azab Tuhan. Memilih untuk meninggalkan hukum Tuhan
terutamanya berkaitan pengamalan riba dan perjudian, hanya akan menghasilkan
suatu kehidupan umat yang seperti berada dalam keadaan kemabukan. Mereka
melakukan rutin yang sama setiap hari, keluar waktu pagi dan pulang waktu
petang, hujung bulan dapat gaji baru dapat bayar hutang. Umat tiada kecukupan
masa untuk memikirkan tentang ayat-ayat Tuhan dan tiada masa memikirkan
permasalahan sesama mereka. Sehingga mereka menjadi ahli masyarakat yang hanya
mementingkan diri-diri mereka sendiri. Penyakit sosial telah lama melanda
masyarakat Barat.