SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Thursday, January 30, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 8 -- JANGAN SAMPAI MELANGKAUI TIMBANGAN


أَلا تَطْغَوْا فِي الْمِيزَانِ

Bahawa tidak, kamu melangkaui pada timbangan itu 

supaya kamu tidak melampaui batas Dalam menjalankan keadilan;

Dengan memahami proses kejadian lapisan langit, adalah diharapkan manusia tidak akan melakukan pekerjaan yang melangkaui timbangan pembentukan lapisan langit berkenaan.

i)    Manusia Telah Melangkaui Timbangan

Adakah manusia mengambil tahu tentang proses-proses kejadian langit ini? Sekiranya begitu, manusia seharusnya telah mengambil tahu tentang perkara-perkara perlu yang dapat mengekalkan timbangan keseimbangan pada lapisan langit bumi. Adakah manusia telah meletakkan tentu ukur yang dapat menentukan tahap keseimbangan pH pada udarakasa, air, tanah dan air laut yang terdapat di bumi ini. Manusia telah tidak memperduli semua itu, terutamanya mereka yang mengingkari ayat-ayat Tuhan. Air hujan kini telah menjadi lebih berasid, begitu juga dengan pH air laut dan lautan dan begitu juga yang terdapat pada tanah di bawah permukaan bumi.

Suatu masa dahulu, Tuhan telah mengumpulkan bahan-bahan berasid yang terdiri daripada hidrogen fosfat, hidrogen sulfat, hidrogen nitrat, hidrogen klorida dan sebagainya dari bumi ini dan Tuhan telah menyimpannya dalam tabungan besar iaitu tumbuh-tumbuhan. Lalu kini, apakah yang telah manusia lakukan ke atas tumbuh-tumbuhan itu? Kerana kerakusan, manusia telah memusnahkan tumbuh-tumbuhan. Tanya sahaja kepada sesiapapun, berapa banyakkah perabot yang terdapat di rumah mereka masing-masing? Semuanya melebihi keperluan, kerana mereka gunakannya untuk menyimpan lebihan pakaian dan lebihan keperluan mereka yang lain. Mereka tidak inginpun membataskan jumlah pakaian yang mereka pakai dan mereka sentiasa menambah bilangan pakaian mereka saban tahun. Kerana bilangan perabot yang banyak dan inginkan bilangan pemilikan rumah yang banyak, akhirnya mereka memberi sumbangan terhadap kemusnahan tumbuh-tumbuhan yang sedia terdapat di muka bumi ini. Akibatnya, lebih banyak karbon dioksida yang dibebaskan ke atmosfera, tidak dapat diserap semula oleh tumbuh-tumbuhan. Sehingga ke suatu tahap, didapati pertumbuhan kulat menjadi semakin banyak berlaku di permukaan bumi ini. 

ii.   Cuaca Yang Semakin Berubah

Hanya kerana perabot, penggunaan kertas dan pembinaan bangunan-bangunan baru, telah menyebabkan manusia adalah penyumbang terbesar terhadap kerosakan-kerosakan yang berlaku di bumi ini. Penulis tidak akan memberi cadangan kitar semula sekalipun usaha ini sungguh dialu-alukan kerana permasalahan sebenar adalah kerakusan manusia itu sendiri. Di mana-mana sahaja, dengan mudah kita akan dapati kawasan yang ditarah dan kawasan tanah tinggi memberi gambaran betapa manusia sangat rakus mengusahakan pengambilan kayu-kayan dari hutan. Yang paling malang sekali, kawasan hutan yang telah digazetkan sebagai hutan simpan, tidak lagi dihormati oleh kepimpinan dan mereka sengaja mengusahakan sesuatu yang akan mendatangkan bencana terhadap hidupan fauna dan hidupan manusia yang lain.

Apabila tabung sebatian berasid di atas mukabumi ini dimusnahkan, akan sampai masanya timbangan pH keseimbangan alam sekitar akan terganggu dan kemusnahan kita semua akan berlaku dalam sedikit masa lagi. Keadaan berasid akan menjalar meliputi sungai-sungai, tasik, laut serta lautan dan meningkat naik ke lapisan langit yang lebih tinggi. 



Monday, January 27, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 7 -- LANGIT YANG DITINGGIKAN DAN NERACA TIMBANGAN


والسماً رفعها ووضع الميزان

Dan langit, telah mengangkat Ia akannya dan telah menegakkan Ia akan timbangan

dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta ia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan

Bahawa langit dan bumi ini dahulunya adalah suatu yang bercantum (21:30). Kemudian Tuhan memisah antara keduanya membentuk atmosfera dan bermula hidupan adalah dari / daripada air.

i)   Proses Pembentukan Planet

Bumi bermula daripada pembentukan kabut debu. Pembentukan bumi adalah melalui proses cantuman butiran-butiran debu yang sedia terdapat di angkasa sekitar waktu itu yang anggaran masa adalah 4.5 bilion tahun dahulu. Sedikit demi sedikit perlanggaran jasad-jasad angkasa saling menghempas  sehingga butiran-butiran itu terkumpul membentuk objek kepal yang lebih besar. Semua bahan asas yang terdiri daripada 114* jenis zarah yang berlainan telah sedia di ruangan sana, namun zarah-zarah itu tidaklah terkumpul secara setempat. Semakin lama objek kepal itu semakin membesar sehingga akhirnya terbentuklah bumi ini. Keadaan asal bumi dan bulan adalah merupakan suatu yang tidak dapat dibezakan. Putaran sudut bumi yang besar memungkinkan bahagian yang lain terpisah sehingga pembentukan baru di angkasa bermula dan menjadi bulan sekarang ini. Sehingga kini sebahagian saintis menganggap bahawa bulan adalah merupakan sebuah planet kembar bagi bumi yang mulai terbentuk sekitar waktu yang sama. Terdapat juga sebahagian saintis berpendapat bahawa bulan adalah suatu yang terasing yang pernah datang dahulu dan melanggar bumi ini sebelum mengelilinginya.

ii)    Pemisahan Lapisan Langit

Bumi bermula setiap zarah yang berada padanya adalah bertenaga tinggi dan sebahagian besar permukaannya adalah seperti suatu cairan. Penyejukan berlaku sedikit demi sedikit serentak dengan kejatuhan batu-batuan dari angkasalepas. Batuan-batuan yang bertebaran dari angkasalepas, adalah merupakan baki ledakan supernova yang berlaku ke atas bintang yang sangat besar yang jauh di angkasa dalam, suatu masa dahulu. Pelbagai batuan meteoroid daripada pelbagai jenis sama ada granit, grafit, kuartza, galena, silika, pirit besi dan lain-lain lagi akhirnya membentuk timbunan-timbunan keras di permukaan bumi dan menutupi cairan yang sedia terdapat di permukaan bumi. Batuan-batuan itu selalunya boleh didapati wujud secara terasing pada tempat-tempat  berlainan di atas permukaan bumi.

Apabila permukaan semakin menyejuk, permukaan bumi semakin mengeras dan bumi mulai diselimuti dengan lapisan atmosfera yang sangat nipis yang terdiri daripada wap-wap seperti hidrogen fosfat, hidrogen sulfat, hidrogen nitrat dan sebagainya, yang terhasil daripada letusan volkano dan luluhawa. Semua jenis wap ini dapat berada kekal di atmosfera sekitar beberapa kilometer ketinggian disebabkan sifat fizikalnya yang memiliki berat molekul yang tinggi. Wap air tidak mudah berada di atmosfera dan selalunya terlepas ke angkasalepas, kerana keadaannya yang ringan. Warna bumi pada suatu waktu berkeadaan pudar seperti selepas kejadian terbakar, tidak menunjukkan keadaannya berwarna-warni kerana air belum memainkan peranannya dan bumi masih berkeadaan panas. Semakin banyak aktiviti volkano berlaku, maka semakin banyak silika dan wap ammonia dilepaskan ke permukaan bumi. Tindakbalas wap-wap panas yang berlaku akhirnya menyingkirkan air. Sebahagian air itu dipegang oleh unsur silika sehingga semakin lama, permukaan bumi ini menjadi semakin lembab.

iii)   Lapisan Langit Yang Semakin Ditinggikan

Wap-wap yang terkandung dalam udarakasa seperti hidrogen fosfat, sulfat dan nitrat juga dapat bertindak sebagai perangkap kepada sebatian-sebatian yang mengandungi unsur oksigen, nitrogen dan flourin melalui ikatan hidrogennya sehingga ketebalan lapisan atmosfera bumi meningkat kepada beberapa belas kilometer. Wap-wap berasid yang sedia wujud dengan banyaknya di atmosfera bumi memungkinkan wujudnya takungan tasik-tasik berasid sehingga membolehkan pembentukan garam fosfat, sulfat, nitrat di permukaan bumi. Pembentukan banyak timbunan garam, mengakibatkan bumi semakin kurang berasid. Dengan lain perkataan air semakin mudah mengambil tempat di permukaan bumi dalam bentuk sebatian terhidrat.

Pada peringkat permulaan, air tidak dapat kekal di atmosfera bumi disebabkan oleh faktor keringanannya dan unsur air yang dapat wujud adalah pada batuan-batuan terhidrat. Hidupan anearobik yang mula-mula terbentuk adalah di dasar tasik berasid, memperolehi sumber tenaga dari bahan sulfur yang disingkarkan melalui aktiviti volkano. Hidupan itu bermula daripada hidupan primer seperti bakteria yang secara perlahan-perlahan, berevolusi membentuk hidupan yang lebih kompleks. Hidupan yang memakan sulfur ini membebaskan hidrogen sulfida. Pada ketika itu, gas hidrogen sulfida dan oksida sulfur dapat berada di atmosfera kerana sebatian gas ini jauh lebih berat berbanding wap air. Gas seperti oksida sulfur kini memasuki fasa gas atmosfera dengan ketebalan atmosfera menjadi lebih tinggi sekitar 50 km. Atmosfera bumi juga semakin sejuk kurang daripada 100 darjah celcius. Tasik-tasik berasid semakin banyak memerangkap air sehingga keadaan berasid mulai semakin mencair. Bumi semakin memasuki fasa baru dengan keadaan berwarna-warni yang semakin terserlah. Hidupan yang ada kini mampu memakan sebatian berasas karbon dan menyingkirkan gas karbon dioksida.

iv)  Bumi Yang Dipenuhi Dengan Gas Oksigen dan Nitrogen

Pelbagai gas disingkarkan dari permukaan bumi. Sebahagian besar gas-gas terlepas ke angkasalepas kerana keadaannya yang ringan. Hanya gas nitrogen dan oksigen sahaja daripada jenis gas unsur, mampu terus berada di atmosfera bumi ini. Gas ini terperangkap antara gas atmosfera sedia ada seperti hidrogen sulfat, hidrogen fosfat dan hidrogen nitrat melalui ikatan hidrogen yang sangat kuat antara molekul. Gas-gas ini membentuk matriks ikatan yang saling menghalang mana-mana gas lain yang mengandungi unsur nitrogen, oksigen dan flourin daripada terus terlepas ke angkasalepas. Bukan itu sahaja, gas-gas yang lebih ringan seperti hidrogen klorida, hidrogen florida serta bromida, turut tidak lagi dapat terlepas ke angkasalepas. Gas oksigen dan nitrogen terhasil daripada aktiviti tumbuh-tumbuhan dalam tasik berasid dan mikro organisma akuatik mulai wujud apabila bumi memasuki fasa kehadiran hidupan yang menyerap cahaya matahari sebagai sumber tenaganya. Gas-gas seperti oksigen dan nitrogen, dapat berada pada kedudukan lebih tinggi sehingga ketebalan atmosfera meningkat sehingga 100 km di atas sana.

v)  Neraca Timbangan Pembentukan Lapisan Langit

Aktiviti pembentukan radikal bebas menjadi suatu yang sangat aktif di atmosfera dan permukaan bumi ketika itu. Kehadiran radikal bebas dan cahaya ultravoilet dari matahari menjadi penyebab hidupan gagal untuk berada di permukaan bumi yang terdedah. Untuk tujuan mengurangkan kesan radikal bebas dan sinaran pancaran matahari yang sangat kuat, atmosfera bumi perlu dilindungi dengan lapisan perlindungan tertentu. Peranan ini telah diambil alih oleh gas oksigen yang berjaya membentuk lapisan ozon yang sangat kurang ketumpatannya, berada pada jarak sekitar 80 km dari bumi ini. Lapison ozon ini adalah merupakan lapisan yang terhasil akibat pencahayaan ultravoilet dari matahari. Lapisan ini adalah lapisan yang sangat rapuh dan mudah terurai oleh gas-gas berasid seperti hidrogen fosfat, sulfat, nitrat serta wap ammonia itu sendiri yang sedia terdapat di bumi. Bumi memerlukan suatu suasana yang dapat mengurangkan partikel radikal bebas itu sendiri. Bahan itu adalah semburan elektron yang berterusan yang diperolehi dari matahari. Semburan partikel elektron dari matahari mengakibatkan bumi mengalami keadaan kilat dan petir yang dapat mengurangkan kesan keracunan radikal bebas. Dengan berkurangnya radikal bebas yang terdapat di permukaan bumi ini, akhirnya kewujudan lapisan ozon menjadi lebih stabil.

vi)  Kepentingan Pembentukan Lapisan Ozon

Dengan terbentuknya lapisan ozon, pancaran tenaga tinggi berterusan dari matahari dapat dihalang. Keberkesanan halangan ini, mengakibatkan suhu bumi menjadi semakin sejuk. Dengan lapisan stratosfera yang terbentuk yang berkeadaan sangat sejuk kurang dari suhu beku air, air mula dapat terkumpul di atmosfera dan permukaan bumi. Kehadiran air yang semakin banyak, akhirnya mengubah lanskap bumi kepada keadaan berwarna warni dan tampak lebih indah. Air telah menghilangkan kesan keasidan yang terdapat di permukaan bumi ini sehingga bumi menjadi neutral pada pertimbangan keasidan. Dengan suasana yang baik, tanpa kehadiran radikal bebas dan pancaran bahaya yang berterusan dari matahari, akhirnya hidupan dapat bergerak naik ke permukaan bumi ini pada bahagian daratan.

Kesinambungan kehidupan di bumi ini hanya dapat berlangsung sekiranya suasana di bumi ini kekal dalam keadaan neutral. Kehadiran haiwan adalah perlu supaya kehadiran gas karbon dioksida yang sedia terdapat di permukaan bumi, tidak akan dihabiskan sehingga mengakibatkan permukaan bumi menjadi terlalu sejuk. Begitu juga kewujudan manusia adalah bertujuan menyeimbangkan suhu bumi agar tidak terlalu sejuk.




Friday, January 24, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 6 -- BINTANG ATAU KOMET DAN PEPOHON TUNDUK KEPADA TUHAN


 النجم والشجر يسجدان

Dan bintang/komet dan pepohon, dua yang sujud.

dan tumbuh-tumbuhan Yang melata serta pohon-pohon kayu-kayan, masing-masing tunduk menurut peraturanNya

نجم diterjemahkan sebagai komet atau bintang, sedangkan dalam terjemahan lain dinyatakan sebagai tumbuhan yang melata. Kiranya perkara jasad kalestial yang besar seperti matahari dan bulan, telah dipersiap oleh Tuhan dengan kiraan serta pertimbangan tertentu, tentulah perkara yang lebih kecil daripada itu seperti komet, asteroid dan sebagainya juga telah dipersiap oleh Tuhan dengan kiraan tertentu menurut kehendakNya.


Sebagai contoh, untuk membolehkan pokok dapat hidup di mukabumi ini, bekalan air dalam keadaan cecair, perlulah terlebih dahulu dapat wujud. Namun begitu, dari manakah datangnya air? Air wujud daripada tindakbalas pembakaran bahan-bahan yang berpotensi pada kepanasan tertentu. Komponen-komponen asal yang dapat bercantum untuk membentuk air, telah sedia terdapat di bumi ini yang sebelumnya, adalah datangnya daripada komet, meteor dan sebagainya yang jatuh ke bumi ini dalam tempoh yang sangat lama. Untuk membolehkan keadaan ini berlaku, tenaga pembakaran haruslah diperolehi sama ada daripada matahari atau dari dalam bumi sendiri. Setelah pembentukan atmosfera yang nipis berlaku di bumi, wap-wap air akan dapat mengadakan ikatan hidrogen dengan gas-gas yang sedia terdapat di atmosfera bumi ini. 

Akhirnya air menjadi antara bahan penting yang sedia wujud di atmosfera bumi dan dikembalikan semula ke bumi melalui titisan-titisan hujan, embun dan sebagainya. Keadaan ini hanya dapat berlaku, apabila air dapat berada pada ketiga-tiga tahap iaitu pepejal, cecair dan wap ataupun gas di atmosfera bumi ini. Julat suhu yang bersesuaian ini dapat terjadi pada jarak anggaran purata bumi daripada matahari sekitar jarak yang wujud kini. Setelah melalui proses yang terlalu lama hingga ke bilion tahunan, akhirnya air adalah komponen terbanyak di permukaan bumi sekarang ini sekitar 70%. Air adalah kompnen penting untuk hidupan dan tumbuhan telah bermula di mukabumi ini bermula dari air. Pokok-pokok menyerap air dan menukarkan gas karbon dioksida kepada bahan gula dan menyingkirkan oksigen kembali ke atmosfera. Bagaimanakah proses seperti ini dapat berlaku sekiranya tidak kerana agenda Tuhan sedemikian rupa? Pokok-pokok yang tumbuh di permukaan bumi, memiliki akar yang cukup hebat yang dapat bertindak sebagai penapis yang hanya perlu untuk menyerap nutrien-nutrien tertentu dari bumi ini. Apabila diperkatakan tentang teknik pembersihan, manusia mengakui bahawa bahagian akar pokok adalah merupakan bahagian yang dapat menapis air dengan baik.




Tuesday, January 21, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 5 -- TUHAN YANG MENJADIKAN MATAHARI DAN BULAN DENGAN KIRAAN


الشمس والقمر بحسبان

Matahari dan bulan dengan perhitungan.

matahari dan bulan beredar Dengan peraturan dan hitungan Yang tertentu

Sebagai contoh, apabila kita berhadapan dengan ahli astronomi yang dapat menceritakan secara terperinci tentang jasad-jasad kalestial di angkasalepas dengan peralatan serba canggih; yang harus kita kagumi adalah, semua objek angkasalepas itu adalah ciptaan Tuhan, yang telah Tuhan ciptakan dengan kejituan tertentu. Kita tidak seharusnya terpegun dengan peralatan yang digunakan oleh ahli astronomi berkenaan, mahupun terhadap ahli astronomi itu sendiri, sekalipun ianya adalah individu yang pakar tentang pekerjaannya. Ahli astronomi, hanyalah seorang manusia, yang memperolehi ilmu pada sudut kefahamannya, yang sudah tentu apa yang ditemuinya itu akan di atasi dengan pelbagai penemuan astronomi yang lain pada masa akan datang.

Oleh itu, apabila kita berbincang tentang imej objek-objek angkasalepas dan sebagainya, setiap kita harus meletak kepercayaan bahawa sebarang penemuan astronomi, haruslah yang menjurus kepada sesuatu yang membuktikan kekuasaan Tuhan. Dengan demikian, setiap kita adalah diharap untuk sampai kepada suatu keadaan, yang kita sentiasa dapat merasakan bahawa diri kita adalah insan yang lemah dan sentiasa berada dalam genggaman kekuasaan Tuhan. Segala yang terdapat di cakerawala adalah agenda Tuhan sama ada secara tersembunyi atau nyata. Dan dengan itu, manusia sentiasa dapat mendidik dan menjurus dirinya untuk berasa senang dan mudah untuk mematuhi arahan Tuhan.

i)   Tempoh Pergerakan Bulan dan Matahari

Ceritera pernah mengkhabarkan seorang ilmuwan India, yang berada di bawah pemerintahan kerajaan silam, telah diarahkan untuk mengira jarak laluan bulan yang mengelilingi bumi dari timur ke barat. Dengan bersusah payah, melalui kiraan matematik dan pemerhatian pada jarak yang jauh, ilmuwan itu akhirnya telah berjaya mengira lokus laluan dan kelajuan bulan. Kiraannya itu kemudian didapati tidak jauh berbeza dengan apa yang ditemui masakini. Kemudian, ia diarahkan untuk membuat kiraan yang serupa terhadap matahari. Pembaca tentunya akan terkedu sekiranya ilmuwan India itu dapat memberi jawapannya. Bagaimanapun ilmuwan itu telah memberi jawapan, bahawa kedudukan matahari sebenarnya adalah lebih jauh dan terlalu sukar untuk dibuat pengiraan berbanding kedudukan bulan dan matahari bergerak lebih laju berbanding bulan! Adakah jawapan itu benar? Benar atau tidak jawapan yang diberi, tidaklah penting untuk umat pada zaman itu. Jawapan yang diberi perlulah munasabah pada pengamatan manusia zaman itu kerana mereka tidak memiliki peralatan canggih sebagaimana yang mudah didapati pada zaman ini. Begitulah keadaannya apabila penulis mahu memberi jawapan tentang bulan dan matahari menurut kiraan tertentu. Semuanya itu adalah menjurus kepada kepercayaan pembaca sendiri, yang turut telah diterima secara meluas bahawa bulan sentiasa mengelilingi bumi dan bumi pula sentiasa mengelilingi matahari. Sama ada benar atau tidak tanggapan pembaca dan penulis selama ini, semua itu tidaklah penting, kerana yang penting sekali, segala peralatan moden yang pembaca ketahui setakat ini telah dapat membuktikan keserasian tanggapan sedemikian Sebenarnya, semua tanggapan itu adalah benar pada pengamatan maya manusia masakini semata-mata, kerana kita sebenarnya mendiami alam maya dan bukannya alam buana atau nyata.

ii)    Zodiak Yang Kini Berubah

Sekiranya dianggapkan sehari adalah ukuran untuk matahari mula berada pada satu kedudukan di atas  kepala dan kembali berada pada kedudukan yang sama di atas kepala pada hari berikutnya; maka sehari seperti itu dianggapkan mengambil tempoh selama 24 jam. Sehari seperti itu sebenarnya adalah untuk ukuran manusia biasa dan tidaklah menurut ukuran bumi berputar 360 darjah pada paksinya sendiri. Sehari yang tempohnya 24 jam, adalah ukuran manusia semata-mata, yang kemudiannya manusia membahagikannya kepada 60 minit untuk tempoh sejam dan 60 saat untuk tempoh seminit. Tempoh sesaat adalah dianggarkan tempoh satu denyutan jantung. Persoalannya adalah, mengapakah manusia tidak merekacipta jam yang 24 jam adalah tempoh 360 darjah putaran bumi sekali putaran pada paksinya? Sekiranya demikian, tentunya manusia dapat mencipta jam universal yang seluruh dunia mengalami detik arah jam yang sama pada satu masa yang sama. Penulis memiliki suatu kekunci yang penting untuk dijelaskan sedikit lagi, apabila manusia seluruh dunia bersetuju untuk mengambil ukuran jam mereka, berdasarkan bandingan pengamatan mereka kepada matahari, sedang masing-masing mereka berada di atas permukaan bumi. Sebenarnya ukuran 24 jam sehari telah diamalkan sejak kerajaan Nabi Sulaiman A.S., yang menguasai Babylon, Sumeria hingga ke Yaman.

24 jam ukuran manusia inilah yang mengakibatkan setahun bagi bumi yang membuat sekali putaran mengelilingi matahari mengambil masa 365.2422 hari secara jitu. Ini juga bermakna, untuk setiap 10 ribu tahun, pentarikhan kalender mengalami pengurangan sebanyak 78 hari untuk setahun Masehi yang kiraannya 365.25 hari. Dengan lain perkataan setiap 128 tahun, akan terdapat kiraan 1 kalender dalam setahun, yang satu bulannya perlu ditambah sehari. Namun amalan ini telah ditinggalkan sehingga zodiak kini telahpun berubah.

iii)    Ulangan Tempoh Matahari dan Bulan

Bulan didapati mengelilingi bumi untuk satu pusingan pada pengamatan manusia dalam tempoh sekitar 29 hari, 12 jam, 44 minit. Tempoh ini dikatakan agak jitu untuk mendapatkan ulangan padanan dengan tahun matahari selama 19 tahun suria ataupun 19 tahun 7 bulan menurut kiraan tahun lunar. Piawaian ukuran ini menepati kebanyakan kalendar lunarsuria seperti kalender China dan juga kalendar Yahudi. Kalendar Julian zaman awal Masehi dikatakan memiliki padanan yang berulangan setiap 19 tahun, namun ukuran (365.25 hari setahun) untuk kalendar ini telah berubah dan digantikan dengan kalendar Gregorian (365.2425 hari setahun).




Saturday, January 18, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 4 -- TUHAN YANG MENGAJAR AL-BAYAN


علمه البيان

Telah benar-benar mengajar Ia akannya Al-Bayan

Dialah Yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.

i.    Apakah Al-Bayan?

Sebelum penulis memberi sebarang penerangan tentang Al-Bayan, sayugia diingatkan bahawa, sifat Tuhan yang mengajar Al-Bayan adalah menjurus kepada salah satu sifat yang terserlah daripada nama Tuhan Al-Rahman. Bahkan sifat Tuhan sedemikian juga, terserlah daripada tugasanNya yang mengajar Al-Quran. Tuhan yang mengajar Al-Qur'an, Tuhan yang mencipta manusia dan Tuhan yang mengajar manusia Al-Bayan, adalah meliputi kepada segenap manusia sama ada manusia itu daripada golongan ingkar ataupun daripada golongan beriman. Oleh itu penerangan (Al-Bayan) atau penerangan-penerangan (Al-Bayyinat) adalah suatu yang menjurus kepada huraian kefahaman, yang harus sampai kepada akal manusia seluruhnya.

Oleh kerana itu, Al-Bayan atau Al-Bayyinat akan menjadi huraian daripada kitab Al-Qur'an yang akan menjadi perbincangan manusia, sama ada melalui pengajian, perbicaraan ilmu, dialog, pertukaran pandangan, perdebatan, pertelingkahan sehingga akhirnya kepada sesuatu yang membawa perpecahan dalam kalangan mereka. Apa sahaja huraian Al-Qur'an sama ada melalui Al-Hadith, pandangan ijma' ulama, penemuan bersifat ilmiah, atau apajua bentuk fatwa yang menjurus kepada huraian satu-satu kalimat atau ayat, pasti dihujungnya akan terdapat ikhtilaf terhadapnya. 

ii.    Bertelingkahnya Manusia Selepas 
       Menerima Al-Bayan 

Suatu analogi yang mudah untuk penulis tunjukkan adalah tentang penerimaan manusia darihal kehadiran makhluk asing dalam dunia kegelapan mereka. Manusia secara umumnya menganggap bahawa 'makhluk asing' hanyalah watak yang digembar-gemburkan oleh pembikin filem Hollywood untuk tujuan merancakkan industri perfileman Barat. Namun dengan perkembangan teknologi yang masih dirahsiakan, terutamanya dalam teknologi biomolekular, pragraduan yang sedang belajar di institusi pengajian, telah mula diracuni fikiran mereka dengan suatu kefahaman. Kefahaman itu menjurus kepada penerimaan bahawa terdapat pemilik teknologi peringkat tinggi yang canggih, yang berjaya menghasilkan rekaciptaan biologi, sehingga berjaya melakukan manipulasi terhadap hidupan yang terdapat di bumi ini melebihi keupayaan manusia sendiri. 

Hidupan itu sama ada haiwan peringkat primer, atau tumbuhan yang dikenakan teknologi pengubahsuaian genetik terhadapnya. Seterusnya hidupan primer itu mengalami proses usahsuai secara sendirinya secara evolusi. Oleh kerana mereka yang berpelajaran tinggi, lebih mudah untuk menerima hakikat keluasan alam jagat yang sangat luasnya itu, dengan itu mereka juga mudah untuk menerima bahawa segala-galanya adalah mungkin. Kehadiran mana-mana makhluk yang memiliki teknologi tinggi yang berada di mana-mana bahagian planet, adalah merupakan suatu yang dapat diterima kemungkinannya. Lalu mereka semua sepakat untuk membuang dogma lama yang menyatakan bahawa hanya manusia sahaja ciptaan Tuhan tercanggih. Tiada pertelingkahan besar dalam hal ini. Namun apabila terdapat filem-filem Hollywood yang mula memaparkan bahawa, 'makhluk asing' itu adalah merupakan entiti tercanggih yang pernah mencipta manusia dan hidupan-hidupan lainnya, segera 'ilmuwan' tadi, mula bertelingkah dalam menerima 'fakta' sedemikian. Seperti itulah hakikat manusia dalam usaha memahami Al-Bayan daripada Tuhan. 

iii.    Al-Bayan Adalah Suatu Yang 
        Memecahbelahkan Umat?

Apakah sebabnya umat suatu anutan agama bertelingkah setelah mereka menerima kalimat-kalimat Tuhan? Perkara ini dijelaskan dalam surah Al-Bayyinah, iaitu pendukung-pendukung agama daripada ahli kitab (dahulu dan kini), tidak akan berpecah belah melainkan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan Tuhan, sesudah daripada kedatangan rasul (98:04). Mereka bukan sahaja berpecah belah, bahkan sehingga kepada peringkat mendustai rasul (95:07) sesudah sempurnanya penyampaian agama kepada mereka semua. Umat-umat dahulu daripada Nasrani dan Yahudi juga berpecah belah sesudah rasul mereka dan sesudah datang keterangan-keterangan (Al- Bayyinat) kepada mereka (2:253). Mereka berpecah belah akibat daripada perselisihan mereka, tentang pertikaian kefahaman dalam agama, tentang kepentingan yang mereka perolehi daripada agama dan tentang Al-Kitab itu sendiri. Walhal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk mengabdikan diri kepada Tuhan dan mengikhlaskan diri dalam agama yang lurus, yang terhindar daripada kesyirikan. Sebab utama mereka berpecah belah adalah kerana mereka telah berlaku syirik dalam agama dan mereka sentiasa berusaha menghindari hakikat itu. 

Al-Bayan atau Al-Bayyinat, adalah keterangan tentang kitab suci. Apajua yang menerangkan atau memperjelas tentang kandungan kitab suci adalah Al-Bayan, sama ada perkataan itu datang dari dalam kitab suci itu sendiri atau melalui keterangan-keterangan rasul yang dinamai sunan atau Al-Hadith. Penjelasan Al-Bayan, kadangkala disampaikan oleh ulama-ulama menurut kefahaman mereka yang diiktiraf. Untuk mengelak umat berpecah belah, setiap mereka itu perlu jelas, apakah yang dikatakan sebagai syirik dalam beragama? Mereka perlu menghindarinya, bukan sahaja dalam beragama bahkan dalam kehidupan seharian, dalam mengurus harta!





Wednesday, January 15, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 3 -- TUHAN YANG MENCIPTA MANUSIA

 خلق الإنسن

Telah mencipta Ia akan manusia

Dialah Yang telah menciptakan manusia.

Tuhan Al-Rahman, adalah Tuhan yang telah mencipta manusia. Penemuan-penemuan terkini tentang kejadian manusia, telah diambil kesempatan oleh puak Raelian, yang menganggap bahawa manusia adalah suatu rekaciptaan makhluk asing yang tercanggih berbanding ciptaan-ciptaan yang lain. Filem penuh kontroversi iaitu Promethius, cuba memaparkan bahawa manusia dicipta menurut wajah makhluk asing yang telah terubahsuai. Adakah kenyataan sedemikian boleh diterima? Kenyataan yang sungguh melucukan ini, tidak pernah didengar sebelum ini. Sesiapapun tidak pernah mendengar sebelum ini, bahkan semasa rantaian DNA mula-mula sekali dijumpai oleh saintis, kenyataan seperti ini tidak pernah disebut langsung. Mengapakah mereka mengambil masa yang lama untuk membuat pendakwaan sedemikian? Mereka ini hanya cuba mengambil kredit daripada usaha manusia sendiri darihal kefahaman tentang hidupan.

i)   Manusia Dicipta Tuhan

Secara mikroskopik, tubuh manusia terbina daripada sel-sel. Setiap sel dalam tubuh manusia terdiri daripada nukleus bersama komponen-komponen seperti sitoplasma, mitokondria jasad Golgi dan sebagainya. Kita tidak dapat membayangkan, bagaimana sel-sel bergabung membentuk organ-organ yang terpisah dan setiap organ dalam tubuh saling berinteraksi, antara satu sama lain dalam keadaan seimbang. Keseimbangan dalam penciptaan manusia adalah suatu yang amat menakjubkan para saintis yang membuat kajian tentang tubuh manusia. Sebagai contoh, tubuh manusia dapat menghasilkan hormon melatonin, apabila senja hampir menjelang tiba dan tubuh sebenarnya tidak memerlukan keadaan untuk berada di kawasan yang terdedah kepada pencahayaan matahari untuk berkeadaan demikian. Untuk memahami keadaan ini, kita mungkin harus menerima tentang sesuatu yang dikenali sebagai detik masa biologi yang sedia terdapat dalam tubuh manusia. Sehingga kini tiada seorang saintis yang dapat menjelaskan, di manakah detik masa biologi itu berada? Adakah ianya merupakan organ khusus yang terdapat dalam tubuh yang sehingga kini belum ditemui atau suatu yang terselindung di sebalik sel? Di manakah dia, makhluk asing berkepala mentol yang bersedia memberi jawapan secara pasti?

'Makhkuk Asing' seperti inikah yang mencipta manusia? 
Kiranya mereka berada di bumi ini, untuk mengangkat 
 kepalanya sendiri tentunya tak larat.

Adakah dengan hanya satu kenyataan, terdapat suatu enzim atau hormon dalam tubuh manusia yang mengawal kepintaran, yang tidak terdapat dalam mana-mana haiwan, dapat dijadikan alasan, bahawa keadaan itu dicipta oleh makhluk asing? Sekiranya demikian, dapatkah saintis yang wujud sekarang ini, menyunting bahagian DNA manusia yang spesifik ini, kepada sel zigot haiwan, melalui teknik pengklonan atau teknik apapun, agar haiwan yang akan dilahirkan nantinya, merupakan haiwan yang pintar? Saintis yang paling pintar sekalipun, sehingga kini masih gagal dalam usaha menghasilkan satu bakteria atau virus yang baru, sekalipun mereka berupaya mengubahsuai genetik haiwan-haiwan tertentu. 

ii)   Manusia Dicipta Sebagai Sebaik-baik 
      Yang Mendirikan

Sebelum Tuhan mencipta Adam A.S., Tuhan telah mencipta bangsa Jin terlebih dahulu. Penulis tidak pasti mengapakah bangsa jin tidak diberi kepercayaan untuk menjadi khalifah di bumi ini? Namun apa yang penulis fahami ialah, bangsa jin tidak layak diberi amanah sedemikian kerana sikap mereka yang mengagungkan kesombongan lebih besar berbanding ke- rendahan hati. Sikap sedemikian sebenarnya dapat membawa kebinasaan kepada bumi ini. Tentang peranan manusia sebagai sebaik-sebaik yang mendirikan, akan penulis jelaskan dengan lebih mendalam lagi dalam Surah At-Tin nanti. Buat masa ini memadai untuk penulis nyatakan bahawa, manusia lebih dapat menguasai sifat ego atau kesombongannya berbanding bangsa jin.

Manusia sebenarnya bukanlah sebaik-baik makhluk
mengatasi segala makhluk yang pernah Tuhan cipta.
Surah At-Tin tidak pernah menyebut bahawa
manusia adalah sebaik-baik kejadian.

iii)   Manusia Memegang Peranan Tertentu 
       Dihidupkan Di Bumi Ini

Oleh kerana surah Al-Rahman, turut membicarakan tentang pertimbangan neraca, manusia diutuskan ke bumi ini adalah atas tujuan untuk menegakkan timbangan yang berkaitan dengan segala perkara yang mereka hadapi dalam kehidupan mereka. Untuk itu mereka harus, menjalani tugasannya sebagai hamba kepada Tuhan bagi melaksanakan perintahNya. Semua itu ada agendanya yang hanya diketahui Tuhan. Penciptaan setiap diri manusia itu sendiri adalah untuk memenuhi sebuah agenda dan setiap agenda yang dilalui oleh setiap manusia, perlu dilalui dengan rasa bertanggungjawab oleh setiap individu berkenaan. Lalu bagaimanakah peranan yang dilaksanakan akan menjadi peranan atas sikap bertanggungjawaban, sekiranya setiap individu, tidak didedahkan kepada mereka, bahawa setiap mereka adalah hamba kepada Tuhan. Untuk itu, setiap kita perlu meneliti tentang kejadian diri kita sendiri dan mendapatkan perkaitan dengan pertimbangan tentang, perlu apakah setiap kita diciptakan?

Manusia sebenarnya telah mempelajari sesuatu sehingga mereka, telah melalui pelbagai sistem kehidupan. Dan setiap sistem kehidupan yang mereka tempuhi, sedikit sebanyak telah memperlihatkan kepada mereka, betapa mereka perlu meneliti permasalahan persekitaran yang berlaku, sehingga mereka harus memikirkan dan menjalani suatu polisi hidup yang akhirnya dapat memberi kehidupan berterusan kepada diri mereka sendiri.




Sunday, January 12, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 2 -- TUHAN YANG MENGAJAR AL-QUR'AN


علم القراًن

Telah benar-benar mengajar Ia akan Al Qur'an

Dialah Yang telah mengajarkan Al-Quran.


Tuhan Al-Rahman adalah Tuhan yang benar-benar telah mengajar Al-Qur'an kepada kita semua. Tuhan tidak menyerahkan Al-Qur'an begitu sahaja untuk kita pelajari tetapi telah turut menyerahkan manual untuk membaca serta memahami Al-Quran itu sendiri. Al-Quran yang Tuhan utuskan kepada manusia melalui malaikat Jibril A.S. dan juga yang dibacakan oleh Muhammad RasululLah S.A.W. serta disalin oleh para sahabat R.A.H.M yang menulisnya, juga terkandung manual cara bacaan.

i)   Al-Qur'an Yang Dipelajari

Oleh kerana Al-Qur'an itu sendiri membawa maksud bacaan, Al-Qur'an harus dihampiri berdasarkan bacaan. Pembelajaran Al-Qur'an harus melalui kaedah bacaan dari satu ayat kepada ayat-ayat selanjutnya. Perantaraan bacaan adalah melalui pena. Demikian itu perkara yang telah dijelaskan melalui surah Al-A'laq (96:04).

ii)   Tuhan Yang Mengajar Al-Qur'an

Buat pertama kali apabila Jibril A.S. menurunkan wahyu kepada Muhammad RasululLah S.A.W., baginda menerimanya dalam keadaan tidak bersedia. Baginda tidak mengharapkan untuk menjadi seorang nabi atau rasul melalui aktiviti uzlah di Gua Hira. Jibril A.S., sebagaimana yang diperintahkan, telah menyampaikan wahyu Tuhan kepada Muhammad RasululLah S.A.W. dan Jibril A.S. tidak mewahyukan kepada RasululLah S.A.W. ayat-ayat sendiri.

iii)   Jibril Menyampaikan Bayan Yang Kemudiannya
       Menjadi Sunan Yang Juga Disebut Al-Hadith

Setelah beberapa ketika Muhammad RasululLah S.A.W. menerima wahyu, baginda telah diisytiharkan sebagai rasul untuk umat ini, baginda telah berterusan berhubungan dengan Jibril A.S. Jibril A.S. berulang-ulang kali datang kepada RasululLah S.A.W., untuk menyemak bacaan Al-Qur'an terutamanya dalam bulan Ramadhan sehinggalah hari-hari terakhir hayat baginda. RasululLah S.A.W. berpeluang untuk menerima penerangan-penerangan tentang ayat Al-Quran dan Jibril A.S. menyampaikannya sebagaimana yang telah diperintah Tuhan.

iv)  Jibril Mengajar Ejaan Tertentu Untuk Kalimah Tertentu
      Dan Juga Cara Baca Tertentu Untuk Kalimat Tertentu
      Yang Lain.

Bukan itu sahaja, bahkan sehingga kepada perubahan sebahagian huruf-huruf tertentu dalam Al-Qur'an juga, dinyatakan oleh malaikat Jibril A.S. Contohnya adalah seperti perkataan بصطة yang perlu disebutkan huruf shadnya sebagai huruf sin (Al A'araf 07:69) yang bermakna kekuatan. Terdapat banyak tempat lain yang penulis akan sebutkan apabila sampai tempatnya. Adapun hikmah perubahan huruf dalam ayat seperti ini, hanya Tuhan sahaja yang lebih mengetahui.

v)   Ayat-ayat Yang Diulang-ulangkan Pada Banyak Tempat
      Dalam Al-Qur'an

Terdapat ayat-ayat yang diulangi pada banyak tempat terutama yang berkaitan dengan sifat-sifat Tuhan. Pada sebahagian tempat, perkaitan yang dapat dibuat, menjadi salah satu kaedah tafsir bagi ayat-ayat tertentu. Namun tafsir mengikut kaedah ini telah menjadi suatu yang diabaikan pada masa ini sehingga, banyak daripada pelajaran ayat Al-Qur'an tidak lagi dihayati. Umat kehilangan manfaat besar dalam memahami wahyu. 




Thursday, January 9, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 1 -- PENGERTIAN NAMA TUHAN AL-RAHMAN


الرحمن

Pembaca dan penulis tentunya dapat mempelajari tentang sifat Tuhan Al-Rahman, berdasarkan pembacaan daripada surah ini. Kalau diteliti secara agak sedikit terperinci, sifat Tuhan Al-Rahman adalah suatu yang terserlah dalam kehidupan manusia di dunia ini secara umum. Sebenarnya kedapatan penerangan sifat Tuhan dalam surah-surah yang lain, namun perkara yang dapat dihuraikan daripada bahagian awal surah ini sudah cukup memberi penerangan yang agak meluas. Terdapat hubungkait antara ayat yang menerangkan sifat Tuhan Al-Rahman dengan sikap manusia, supaya mereka menyedari nikmat yang Tuhan Al-Rahman kurniakan, sehingga mereka dapat menempuh suatu kehidupan di bumi ini. Adakah selain Al-Rahman dapat mengadakan suatu rekaciptaan sedemikian? Tuhan Al-Rahman juga menyerahkan manual penjagaannya.




Tuesday, January 7, 2014

SURAH AL-RAHMAN

 
بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Surah Al-Rahman adalah surah yang menjurus kepada penerangan tentang sifat Tuhan. Peranan Tuhan darihal kesempurnaan kejadian alam ini adalah suatu yang menyatakan sifat Tuhan, Al-Rahman. Dalam terjemahan bahasa Melayu,  Al-Rahman diterjemah sebagai Yang Maha Pemurah. Tuhan Maha Pemurah terhadap keseluruhan makhluk ciptaanNya. Mereka dihidupkan dan memperolehi rezeki dan Tuhan Al-Rahman tidak membataskan pemberian itu sama ada manusia ciptaanNya beriman atau sebaliknya. 




Saturday, January 4, 2014

KANDUNGAN YANG TELAH DIBINCANGKAN


Tentang Perkara Yang Pasti Terjadi

69:00 – Tentang Al-Haqqah iaitu 
             Gabungan Beberapa Peristiwa

69:01 – Al-Haqqah – Yang Dikatakan Haqqah
       i.    Merupakan Perkara Benar dan
             Mustahak Disebarkan
      ii.    Rentetan Akibat Kecuaian Manusia

69:02 – Apakah Al-Haqqah?
      i.     Persoalan Yang Memberi Tunjuk Ajar
     ii.     Pembaca Akan Lebih Tertanya-tanya

69:03 – Adakah Pembaca Tahu 
             Apakah Al-Haqqah itu?
      i.     Persoalan Demi Persoalan
             Demi Persoalan
     ii.     Seperti Kempen Aedes Suatu
             Masa Dahulu

69:04 – Kaum Tsamud Dan A'ad 
            Mendustai Al-Qari'ah

            Kaum Tsamud dan A'ad Ditimpa
            Bencana Al-Qari'ah

69:05 – Kaum Tsamud Dibinasakan 
             Oleh Sesuatu Yang Melampaui
      i.     Pekerjaan Kaum Tsamud
             Yang Membinasakan
     ii.     Mereka Ditimpa Oleh Batu-batu
             Gunung
    iii.     Beberapa Contoh Kaum-kaum
             Yang Lain

69:06 – Kaum A'ad Ditimpa Angin 
             Sejuk Bersambung-sambungan
             Kota Iram Untuk Menandingi
             Keindahan Syurga

69:07 – Yang Membinasakan Dalam 
             Tempoh Tujuh Malam Lapan 
             Hari Berterusan
     i.     Bencana Yang Bermula Pada
            Waktu Pagi
    ii.     Agenda Tuhan Pada Bencana
            Waktu Pagi
                 
Seolah-olah Mereka Pangkal Pokok
Kurma Lohong

    iii.     Bencana Dengan Kepanasan Dan
             Kesejukan Melampau-lampau

69:08 – Langsung Tiada Lagi Yang Berbaki
      i.     Gambaran Peristiwa Al-Qari'ah
             Menjurus Al-Haqqah
     ii.     Dalam Peristiwa Al-Haqqah
             Wujud Al-Qari'ah

69:09 – Dalam Al-Haqqah Terdapat 
             Peristiwa Seperti Yang Menimpa
             Kerajaan Fira'un Dan Negeri-negeri 
             Yang Sebelumnya
     i.      Pemerintahan Kerajaan Fir'aun Mesir
    ii.      Kisah Umat Nabi Nuh Yang Dikaramkan

69:10 – Menderhakai Tuhan Menerima 
             Pengambilan Berganda-ganda
    i.      Agenda Besar Tuhan Memusnahkan
            Umat-umat Dahulu Yang Derhaka
   ii.      Senarai Peristiwa Al-Haqqah
  iii.      Hujah Penyenaraian Peristiwa Al-Haqqah

69:11 – Ulang Tayang Kisah Nuh A.S. dan Umat
             Baginda Seperti Peristiwa 2012

     i.      Pengajaran Dakwah Nabi Nuh A.S. -
             Dakwah Bukan Kerja Mudah
    ii.      Peristiwa Yang Akan 'Berulangan'
   iii.      Apakah Sebenarnya Lanjutan
             Peristiwa 2012

69:12 – Pengajaran Buat Manusia Yang 
            Ada Telinga
   i.       Kesan Mempelajari Peristiwa Akan Datang
  ii.       Pengajaran Besar Daripada Peristiwa
            Fir'aun dan Umat Nabi Nuh

Perkara Yang Pasti Akan Berlaku

69:13 – Bermula Bencana Al-Haqqah
    i.      Bunyi Seperti Siren Yang Menggemparkan
   ii.      Mekanisma Yang Menghasilkan Bunyi
  iii.      Apakah Penyebab Bunyi Itu
  iv.      Menanti Permulaan Bencana Atau Bertindak
            Melakukan Sesuatu Sekarang!

69:14 – Peristiwa Gunung Berganjak Dengan 
            Sekali Goncangan

69:15 – Itulah Hari Kejatuhan Besar

     i.     Apa Yang Jatuh?
    ii.     Kejatuhan Yang Membawa Jeritan
            Sonik Yang Berpanjangan
   iii.     Pelbagai Pendapat Tentang Kejatuhan

69:16 – Lapisan Langit Pada Hari Itu Terpisah dan 
            Terbuka, Mereput Dan Rapuh
    i.      Huraian Kesan Langit Yang Terpisah
            Dan Terbuka
   ii.      Huraian Kesan Langit Yang Mereput
            Dan Rapuh
  iii.      Mengkaji Fasa Kejadian Peristiwa
            Al-Haqqah, Al-Qari'ah, Al-Waqi’ah
            dan Yaumil Fasl

69:17 – Lapan Malaikat Menanggung 

            Arasy Pada Hari Itu
            Adakah Arasy ialah Mesosfera?
            Kejadian Yang Memisahkan Amal

69:18 – Tiada Seorangpun Yang Kehilangan 
            Pada Hari Itu
     i.     Apakah Yang Kekal Pada Seseorang?
    ii.     Merujuk Kepada Catatan Amalan
            atau Pengalaman
   iii.     Analogi Catatan Amal Dengan
            Teknologi Komputer
   iv.     Pengajaran Peristiwa Al-Waqi’ah
    v.     Komet Yang Pernah Jatuh

Balasan Yang Bakal Diterima

69:19 – Menerima Kitab Catatan Amal 
            dari Sebelah Kanan
     i.     Siapakah Yang Menerima Kitab
            Dari Sebelah Kanan
   ii.      Persiapan Mereka Semasa Hidup
  iii.      Mereka Yang Turut Mencatat
            Amalan Mereka

69:20 – Mereka Telah Menjangka 
            Kiraan Amalan Mereka
    i.      Perlunya Pengiraan Dalam Amalan
   ii.      Sebagai Motivasi Beramal
  iii.      Balasan Akhirat, Perkara Yang
            Sebenarnya Tida Boleh Dibayangkan

69:21 – Kehidupan Yang Menyenangkan
     i.     Senang Adalah Kerja Hati
    ii.     Sesuatu Yang Dapat Memulihkan Keadaan

69:22 – Kedudukan Yang Tinggi Dalam Syurga
            Dapat Melihat Pada Sudut Pandangan
            Yang Luas

69:23 – Petikan / Tuaian Yang Rendah
    i.      Tanaman Jangka Pendek dan
            Hasil Jangka Pendek
   ii.      Berhati-hati Terhadap Pencemaran

69:24 – Hasil Daripada Pekerjaan Silam
    i.      Perintah Makan Baru Minum
   ii.      Sedikit Teknik Huraian Untuk
            Golongan Kanan
  iii.      Contoh Pemperolehan Golongan Kanan
            dan Perkara Yang Berkaitan

69:25 – Menerima Kitab Catatan Amal Dari 
            Sebelah Kiri
    i.      Menyesali Atas Penerimaan Kitab Amalan
   ii.      Mengamalkan Sistem Hidup Yang Porak
  iii.      Kesilapan Perundangan
  iv.      Projek-projek Yang Tidak
            Menurut Piawaian

69:26 – Mengharap Untuk Tidak 
            Mengetahui Amalan
    i.      Bentuk Terjemahan Yang Berubah
   ii.      Melanggar Peraturan Untuk
            Mendapatkan Habuan
  iii.      Akhirnya Bencana Yang Dapat Disaksikan
 iv.       Pelbagai Jenis Kerosakan

69:27 – Alangkah Baiknya Semua 
            Selesai Begitu Sahaja
     i.     Bagaimana Dengan Proses Pengadilan?
    ii.     Siasatan Forensik Atas Segala Sesuatu

69:28 – Harta Yang Sudah Tiada Guna
     i.     Harta Yang Dapat Dilihat Tetapi Tiada Manfaat
    ii.     Bicara Tentang Mangsa Ekonomi Riba

69:29 – Kekuasaan Yang Telah Binasa
    i.      Kekuasaan Untuk Memperkukuh Kedudukan
   ii.      Peruntukan Zakat Dijadikan Pelaburan
  iii.      Salah Guna Kuasa
  iv.      Pendakwaan Yang Berkait-kait

69:30 – Tangkap Ia Dan Ikat
    i.      Contoh-contoh Dakwaan Pihak Yang
            Manjadi Mangsa
   ii.      Rantaian Pendakwaan Yang Bertalu-talu
  iii.      'Ulama-ulama' Yang Merestuinya

69:31 – Salaikannya Ke Neraka Jahim
     i.     Akibat Merampas Harta Si Miksin
            Secara Sistematik
    ii.     Mereka Dijadikan Satay Panggang

69:32 – Lilitkan Akannya Dengan Rantai 70 Sukatan
     i.     Nasib Rakyat Dengan Masalah Kehidupan
            Yang Melilit-lilit. Mereka Hilang Kebebasan
    ii.     Gambaran Masalah Yang Berleretan
   iii.     Suatu Pengadilan Yang Pasti

69:33 – Kerana Mereka Golongan Yang Tiada Iman
     i.     Aktiviti Yang Merosakkan dan
            Penindasan Secara Merata-rata
    ii.     Kesan Perbuatan Mereka Akan Melilit
            Mereka Kembali
   iii.     Mereka Mengarah Serta Mengulangi
            Perbuatan Gila lagi Jahil.
   iv.     Amalan Kerosakan Sehingga Mempamer
            Kemudaratan
    v.     Keperluan Kembali Kepada Petunjuk Tuhan

69:34 – Mereka Mengakibatkan Golongan Miskin 
            Sukar Mendapatkan Makanan
     i.     Mengabaikan Golongan Miskin
            Adalah Pengabaian Alam Sekitar
    ii.     Peningkatan Kadar Jenayah

69:35 – Hari Yang Mereka Tiada Teman Setia
     i.     Kepentingan Tidak Lagi Diperoleh
            Daripada Mereka
    ii.     Mereka Dahulu Didekati Kerana
            Harta dan Kedudukan

69:36 – Tiada Pemakanan Melainkan Kumbahan
     i.     Polisi Hidup Mereka Dahulu, Orang Ramai
            Dibiarkan Memakan Makanan Sisa
    ii.     Mereka Memperolehi Kumbahan seperti
            Air Longkang, Baki Pepejal atau Terampai,
            Bahan Larut Resapan
   iii.     Bukan Sahaja Tanggung Jawab Beragama
            Bahkan Mereka Meninggalkan Tanggung
            Jawab Sosial.
    iv.    Wujudnya Generasi Makan Sampah

69:37 – Tiada Yang Memakan Melainkan 
            Mereka Yang Bersalah
     i.     Igauan Dalam Kehidupan
    ii.     Kitaran Syaitan Yang Wujud Secara Merata
   iii.     Apabila Peraturan Tuhan Dicabar

Pengajaran Himpunan Awal Surah Al-Haqqah

Penjelasan Perkataan Peristiwa Al-Haqqah

69:38 – Sesuatu Yang Sentiasa Dapat Dilihat

69:39 – Sesuatu Yang Selalu Tidak Dapat Dilihat
     i.     Melihat dan Tidak Melihat
    ii.     Sumpah Tuhan Darihal Kejadian Al-Haqqah

69:40 – Benar-benar Perkataan Yang Mulia
            Berbagai-bagai Pendapat Tentang “Perkataan”

69:41 – Bukan Perkara Syair Tetapi 
            Sedikit Yang Mahu Beriman
     i.     Bukan Seperti Perkataan Nostradamus
    ii.     Hanya Sedikit Daripada Manusia Yang Percaya

69:42 – Bukan Perkataan Tukang Tenung Tetapi Sedikit
            Yang Mahu Mengambil Pelajaran
     i.     Bukan Perkataan Ahlil Nujum
    ii.     Apakah Sebenarnya قول Itu?
   iii.     Sedikit Sekali Yang Beriman dan Sedikit
            Sekali Yang Berperingatan

69:43 – Diturunkan Daripada Tuhan 
             Seru Sekalian Alam 
            Perkhabaran Yang Bukan Diada-adakan

69:44 – Kiranya Ia Berkata Atas Kami Sebahagian 
            Perkataan-Perkataan Itu
    i.      Nabi Bukan Penokok Tambah
            Perkataan Tuhan
   ii.      Pertikaian Tentang Al-Quran dan
            As-Sunnah
  iii.      Kedudukan Rasul Dalam Kalangan Umat

69:45 – Kami Akan Memegang Tangan Kanannya
    i.      Kata-kata RasululLah S.A.W. bukan Al-Quran
   ii.      Dua Yang Tidak Terpisah Membentuk
            Satu Yang Tidak Bercantum
  iii.      Hubungan Perkataan Perkhabaran
            Al-Haqqah Dengan Wahyu Tuhan

69:46 – Memotong Urat Tangan
     i.     Membunuh Atau Menghilangkan
            Keupayaan Menulis
    ii.     Perkataan Manusia dan Perkataan Tuhan
   iii.     Ukuran Perkataan Manusia
   iv.     Ukuran Perkataan Tuhan
    v.     Pertimbangan Saintifik Terhadap
            Perkataan Tuhan

69:47 – Tiada Seorangpun Yang Dapat Menahan
     i.     Tiada Usaha Yang Pernah
            Berjaya Untuk Mengubah
            Perkataan Tuhan
    ii.     Al-Quran – Sebuah Kitab Yang Dijauhi
   iii.     Mukjizat Al-Quran

69:48 – Peringatan Kepada Yang Berhati-hati
            Mengkaji Ayat-ayat Tuhan, Seterusnya
            Mengambil Langkah Berjaga-jaga

69:49 – Sebahagian Manusia Mendustainya
     i.     Pendustaan Kerana Kejahilan
            dan Kesombongan
    ii.     Kesan Pengamalan Riba Secara
            Tak Terkawal

69:50 – Al-Quran Menjadi Kekesalan 
            Kepada Golongan Yang Ingkar
    i.      Mereka Meninggalkan Petunjuk
            Tuhan Sejauh-jauhnya.
   ii.      Akibat Yang Terjadi atau Bakal Terjadi
  iii.      Bencana Yang Memparahkan
            Suasana Al-Qari'ah

69:51 – Kejadian Yang Pasti
    i.      Kejadian Yang Berlaku Secara
            Beransur-ansur
   ii.      Ukuran Kebenaran Al-Quran
  iii.      Ukuran Pada Sudut Sastera
  iv.      Ukuran Pada Sudut Sejarah
   v.      Ukuran Pada Sudut Ilmu

69:52 – Bertasbihlah Dengan Mensucikan 
            Nama Tuhan

Pengajaran Keseluruhan Surah Al-Haqqah

Coretan Peribadi Penulis







Popular