SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Wednesday, August 26, 2015

SURAH NUH AYAT 4 -- TUHAN MAHA PENGAMPUN


  ﻳﻐﻔﺮﻟﻜﻢ ﻣﻦ ﺫﻧﻮﺑﻜﻢ ﻭ ﻳﺆﺧﺮﻛﻢ ﺍﻟﻰ ﺍﺟﻞ ﻣﺴﻤﻰ 

Ia mengampuni bagi kamu daripada dosa-dosamu dan Ia mengakhiri akan kamu kepada masa yang ditentukan. 

Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa Yang tertentu;

 i.   Keampunan Tuhan Dan Kesinambungan Hidup 

Itulah pengajaran yang cukup baik bagi manusia sejagat bahawa rahmat Tuhan amat luas. Dia bersifat mengampuni, adakah manusia tiada yang mengharapkan keampunan daripada Tuhan? Mengakhirkan mereka ke masa tertentu membolehkan mereka mempelajari serta memberi tunjuk ajar kepada generasi selanjutnya supaya menempuh hidup dengan berhati-hati. Perkataan ﻣﻦ juga memberi makna ‘sebahagian daripada’. Kesan kesalahan yang dilakukan mereka akan diimbangi dengan kebaikan yang mereka lakukan dan seterusnya mencetuskan suatu kehidupan yang harmoni. 

ii.   Hikmah Kemusnahan Umat Nabi Nuh 

Umat Nabi Nuh telah dimusnahkan sebahagiannya. Tidak harus ada persoalan sama ada untuk bertujuan membela mereka atau mempertikai kerjaan Tuhan. Perkara yang perlu diambil pelajaran oleh umat masakini ialah pengajaran ayat yang harus diambil daripada pemberitahuan kisah itu. Tuhan sebenarnya boleh untuk menghilangkan kisah sedemikian daripada ditonjolkan dalam Al-Quran dan manusia waktu ini tiada peluang langsung untuk menanyai atau membuat sebarang ulasan. Manusia dalam melakukan kebaikan, sering mencampurkan dengan keburukan yang dapat mengakibatkan kemusnahan mereka juga akhirnya. Oleh itu, panduan Tuhan perlu sentiasa dituruti supaya pemulihan kehidupan sentiasa dapat dilaksanakan. Mengakhirkan ke suatu waktu tertentu kepada mereka, dapat memberi mereka peluang untuk membaik-pulih keadaan. Bayangkan sekiranya pembaca dapat kembali ke waktu itu, suatu zaman yang mana manusia perlu menyulam sendiri pakaian mereka, perlu men-dapatkan sendiri bekalan air, perlu berusaha mendapatkan sumber bahan bakar secara sendirian dan segala-galanya perlu dilakukan secara sendirian atau dalam kelompok yang kecil dan masing-masing sibuk dengan pekerjaan masing-masing. Usia yang panjang hanya dihabiskan untuk mempersiapkan sesuatu untuk penghidupan.

iii.   Kehidupan Yang Getir, Tiada Masa Untuk Berfikir 

Siapakah pula yang perlu diberi tanggungjawab untuk mengabdikan diri kepada Tuhan supaya penghidupan benar-benar membawa erti penghidupan? Tentunya setiap individu akan memilih untuk mementingkan keperluan dirinya atau ahli keluarganya atau kelompoknya sehingga tidak memperduli nasib yang akan menimpa persekitaran mereka. Siapa yang akan dipertanggung-jawabkan untuk menjaga keamanan setempat? Siapa yang akan mengadili penjenayah atau mendapatkan suatu siri penghayatan supaya perbuatan jenayah dapat dihindari? Pusing ke mana sekalipun, masalah akan menimpa keseluruhan masyarakat mereka pada akhirnya. Demikian itulah perlunya ajaran rasul supaya suatu tamadun dapat tercipta dan manusia dapat mengambil manfaat sesama mereka dan bukan saling menindasi. Kemudian pembaca perlu kembali ke zaman ini, melihat ke kiri dan kanan, manusia tidak terlalu ramai disebabkan ketiadaan progeni, yang gagal terhasil akibat daripada kemusnahan generasi awal. Manusia masih ada udara segar untuk bernafas. Terdapat suatu sistem kenegaraan yang ada ketua negara guna untuk mengambil berat tentang masalah negara dan masyarakat. Bukankah kaedah ini meniru kekhalifahan sebelum ini? Bahkan di negara-negara lain, terdapat kementerian yang mengambil berat tentang masalah manusia dan persekitaran mereka. Kemudian terdapat pusat-pusat pendidikan supaya manusia saling mempelajari serta memanfaatkan ilmu supaya kehidupan yang baik dapat dilalui. Terdapat sistem kewangan yang mengawal kestabilan ekonomi setempat. Bukankah kaedah ini meniru contoh pengwujudan markaz RasululLah S.A.W. di masjid Nabi dan baitulmal yang diwujudkan besertanya. 

iv.   Kembali Merujuk Kepada Tuhan 

Manusia memerlukan Tuhan untuk mendapatkan tatacara panduan kehidupan. Walaupun keadaan sekarang tidaklah sesempurna sebagaimana dijangkakan, manusia perlu kembali kepada Tuhan supaya kehidupan yang lebih baik dapat dilalui daripada keadaan sedia ada. Sebagai contoh, masalah perubahan cuaca adalah masalah sejagat yang memerlukan tindakan drastik manusia supaya kehidupan dapat diteruskan hingga masa tertentu menurut ajal masing-masing. Bukannya mengalami kematian mengejut dalam skala besar, akibat daripada bencana banjir besar yang berlaku secara mendadak atau taufan yang mengeluarkan udara dari paru-paru sehingga mengakibatkan mati secara mengejut. 





No comments:

Post a Comment

Popular