SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Friday, August 30, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 16 -- LANGIT YANG TERPISAH



وانشقت السماء فهى يومئذ واهية


Dan terbelah ia oleh langit itu, lalu adalah ia pada hari itu mereput. 

dan terbelahlah langit, lalu menjadilah ia pada saat itu reput (dan runtuh),    

i.    Huraian Kesan Langit Yang Terpisah 
      Dan Terbuka 


Kejatuhan objek besar berkenaan pada hari itu mengakibatkan langit terpisah mereput rapuh. Keadaan langit pada hari itu menjadi lemah. Kepanasan objek besar yang bergeser dengan atmosfera bumi mengakibatkan lapisan langit dibocori. Atmosfera yang panas mengakibatkan wap-wap air tidak dapat membentuk fros untuk dikembalikan ke bumi. Gas-gas atmosfera akan turut terlepas ke angkasa lepas disebabkan tiada lagi perlindungan pada lapisan berkenaan. Perubahan tekanan akan berlaku dengan serta merta. Tekanan atmosfera setempat yang rendah akan segera menarik udara dari bahagian permukaan bumi yang lain untuk menyerbu ke kawasan berkenaan. 
 
Perubahan cuaca bumi terjadi dengan tiba-tiba. Kelajuan tiupan angin yang bersangatan mengakibatkan di semua bahagian bumi mengalami kesan bunyi yang amat kuat. Sekiranya kelajuan angin yang melebihi 120 km sejam, sudah cukup untuk membentuk pusaran, apatah lagi kelajuan yang berlaku lebih daripada itu. Manusia pada hari itu bukan lagi bergelimpangan tetapi terangkat ke angkasa akibat tiupan angin yang sangat kuat, maka bertebaranlah mereka seperti rama-rama atau kalkatu yang ditiup angin (101:04). Pada bahagian yang jauh dari kawasan kejadian hentakan, pusaran angin yang kuat berlaku secara terus menerus. Tidak mudah untuk mendapati kawasan selamat.

Pusaran angin menurunkan tekanan menjadi lebih rendah, mengakibatkan banyak hidupan mati sesak nafas (79:01). Kesejukan sesetengah tempat menjadikan peristiwa seperti yang menimpa kaum A'ad itu akan berlaku. Kejatuhan objek itu mengakibatkan gempa besar berlaku di seluruh dunia. Runtuhan daripada gempa mengulangi siri kejadian terhadap kaum Tsamud. Air yang melimpah mengakibatkan kematian pada skala besar. Kejadian ini merupakan kejadian yang menyerupai apa yang berlaku ke atas umat Nabi Nuh dan juga peristiwa penenggelaman Fir'aun. Namun rentetan yang berlaku selepas peristiwa ini adalah lebih besar. Lapisan langit yang musnah mengakibatkan pancaran lampau lembayung ke permukaan bumi tidak dapat dielakkan lagi. Bumi bukan lagi tempat yang selamat untuk didiami.

Adapun kesan yang berlaku, menyerupai peristiwa yang diterangkan dalam surah Al-Maarij selepas ini. Namun dalam surah Al-Maarij tidak ditunjukkan peristiwa berlaku limpahan air yang menenggelamkan, seolah-olah terdapat peristiwa yang serupa iaitu sinar yang merosakkan pada fasa-fasa sebelum itu. Tidak juga didapati berlaku kejadian tiupan angin yang kuat, seolah-olah ia merujuk kepada kejadian yang berlainan (iaitu kejadian sinaran yang membakar) sebelum berlaku peristiwa Al-Haqqah (70:08).

ii.    Peristiwa Langit Terpisah, 
       Mereput dan Rapuh

Penerangan seperti ini, seolah-olah ingin memberitahu bahawa langit terdiri daripada tampalan-tampalan yang melekat yang membentuk lapisan yang saling terikat antara satu sama lain. Penerangan dalam ayat sebelum ini cuba memberitahu bahawa wap-wap air, gagal membentuk fros dan terlepas ke angkasa lepas. Juga diterangkan gas-gas yang lain akan turut sama terlepas ke angkasa lepas. Namun terjemahan harfiah daripada ayat ini menjurus kepada pemberitahuan bahawa langit mengalami kereputan dan menyebabkan lapisan langit saling terpisah. Oleh itu dapatkah ﻭﺍﻫﻴﺔ menjurus kepada makna reput serta luruh sebagaimana didapati dalam sebahagian terjemahan?

Sesuatu yang reput serta luruh sudah tentu merupakan sesuatu yang berat. Tarikan graviti bumi mengakibatkan sesuatu itu dapat luruh ke bawah. Perkara ini sebenarnya tidak bertentangan dengan penerangan sebelum ini kerana pada peringkat permulaan kejadian sebelum lapisan langit dibocori, lapisan langit telah dihempap dengan suatu objek berkelajuan sangat tinggi sehingga menghasilkan letusan sonik. Rempuhan objek berkenaan, sebelum menghasilkan suluh api yang membakar udara, telah terlebih dahulu mengakibatkan peningkatan tekanan udara serta merta pada bahagian udara yang mengalami rempuhan. 

Kita bahkan pernah menyaksikan persembahan pesawat udara yang melakukan pecutan penerbangan sehingga mencapai kelajuan 1 Mach iaitu kelajuan bunyi. Pada kelajuan ini jelas kelihatan wap-wap air tiba-tiba sahaja terbentuk dan hilang dengan serta merta apabila pesawat tidak lagi mencapai kelajuan 1 Mach. Oleh itu, pada skala yang besar yang melibatkan kejatuhan komet atau asteroid yang agak besar, tekanan udarakasa setempat akan serta merta meningkat sehingga mengakibatkan pembentukan wap-wap sama ada wap air, oksigen atau nitrogen. Pada tekanan yang terlalu tinggi, wap dapat mencair dan juga memejal dan akhirnya luruh ke bumi pada peringkat awal sebelum udara menyerbu ke angkasa lepas.

Kelajuan 1 Mach, mengakibatkan terbentuk
wap secara tiba-tiba.

iii.     Mengkaji Fasa Kejadian Peristiwa 
         Al-Haqqah, Al-Qari'ah dan Al-Waqi’ah.

Tiada yang lebih mengelirukan pembaca barangkali, melainkan apabila terdapat usaha penulis yang memisahkan kejadian yang berlaku menjelang peristiwa As-Saah, melalui fasa-fasa tertentu sebagaimana yang akan diterangkan dalam surah ini dan surah-surah selanjutnya. Dan antara perkara yang menjadi kekeliruan penulis adalah, tiadanya usaha-usaha terdahulu yang membeza-bezakan fasa As-Saah daripada kitab Al-Quran melainkan melalui penerangan As-Sunnah. Terdapat banyak riwayat daripada Al-Hadith yang memperincikan tentang peristiwa-peristiwa sedemikian tetapi tidak didapati penerangan urutan kejadian secara teliti antara setiap peristiwa itu. Oleh itu usaha bersungguh-sungguh penulis akhirnya rentetan peristiwa telah cuba dikenalpasti.

Penulis amat mengalu-alukan sekiranya pembaca dapat memberi atau menyediakan suatu penerangan tersendiri berdasarkan ijtihad pembaca sendiri, sedapat-dapatnya disertai dengan hujah sama ada hujah aqli berdasarkan rujukan ilmu masakini atau hujah naqli, merujuk kepada ayat-ayat tertentu atau rujukan Al-Hadith tertentu. Tujuan usaha ini adalah semata-mata untuk mendapatkan pengajaran yang barangkali akan membawa manfaat yang besar kepada semua pihak. Mungkin suatu persoalan timbul. Mengapakah hal-hal yang berkaitan kemusnahan bumi perlu diperbincangkan di sini? Jawapan yang serupa dengan persoalan itu ialah mengapakah perkara yang sama diulang-ulangkan dalam Al-Quran? Pembaca tentunya akan memperolehi manfaat besar dalam kehidupannya sekiranya ia mengetahui penyebab kepada setiap kejadian dalam kehidupan ini dan bersama-sama mengambil langkah perlu untuk menggandakan amal kebaikan dan kerja-kerja perbaikan. Terlalu banyak perkara yang dilalui oleh manusia masakini yang menjurus kepada kerosakan alam dan juga diri mereka sendiri secara tidak disedari. Sebagai contoh, pada masa rekacipta ubat-ubatan semakin banyak serta peralatan perubatan semakin canggih, mengapakah semakin ramai manusia yang menderita dengan pelbagai penyakit? Semua itu adalah disebabkan kecuaian manusia daripada mengambil manfaat ayat-ayat Tuhan.



No comments:

Post a Comment

Popular