SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Saturday, December 14, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 49 -- SEBAHAGIAN MANUSIA MENDUSTAINYA


و انا لنعلم ان منكم مكذبين

Dan sesungguhnya Kami, benar-benar Kami mengetahui, bahawasanya daripada kamu, golongan yang mendustakan.


dan Sesungguhnya Kami sedia mengetahui Bahawa ada di antara kamu Yang mendustakan (Al-Quran, maka Kami akan membalasnya).

i.   Pendustaan Kerana Kejahilan Atau Kesombongan

Bukan sahaja daripada kaum yang jahil, yang pekat dengan unsur-unsur kejahilan, bahkan daripada golongan yang mendakwa ilmuwan – mereka menafikan subjek yang bersifat ketuhanan. Lembaran-lembaran yang mengandungi ilmu yang belum dapat mereka temui, sebenarnya tersedia ada dalam lembaran suci. Yang boleh dinilai oleh ilmuwan itu sendiri sekiranya mereka ingin menilainya. Lihat sikap golongan yang ingkar itu, bagaimana keruntuhan ekonomi di negara mereka sebenarnya disebabkan oleh pengamalan sistem riba yang sudah sampai kepada keadaan tidak terkawal. Sistem ekonomi mereka runtuh bermula daripada pasaran hartanah kemudian kepada pasaran pengangkutan dan akhirnya menjejaskan harga komoditi. Harga minyak mentah meningkat kepada USD140 setong dan jatuh sehingga USD28 setong dan kemudian meningkat kembali hanya dalam tempoh 6 bulan. Pasaran saham mereka dimanipulasi oleh golongan penjudi-penjudi pasaran derivatif. 

Sejak sekian lama mereka mengagungkan sistem riba yang kononnya lebih baik daripada sistem perniagaan benar, akhirnya menjurus kepada pengangguran dan peningkatan jenayah pada skala besar. Hampir seluruh dunia mencontohi sistem mereka, yang kesudahannya kita menyaksikan kemelesetan menjalar ke seluruh dunia dan dana yang sangat besar terpaksa dikeluarkan sebagai pakej rangsangan ekonomi. Pakej sedemikian sebenarnya akan digunakan untuk tujuan pembangunan.

ii.   Kesan Pengamalan Riba Secara Tak Terkawal

Namun, melalui kesilapan besar mereka memilih pengamalan sistem riba, pembangunan dilaksanakan tanpa kawalan, demi untuk merancakkan aktiviti ekonomi. Pembangunan besar-besaran yang belum tentu dapat dimanfaatkan semuanya, adalah resipi kepada kerosakan alam dan meningkatkan defisit imbangan perbelanjaan. Di negara ini, kita menyaksikan kerja angkut-angkut pasang, siap dan tinggal berlaku secara merata-rata. Pengaliran keluar wang negara mengakibatkan mengecilnya nilai wang dan menyesakkan lagi kehidupan golongan dhaif. Peningkatan masalah sosial, jenayah dan penyalahgunaan kuasa, adalah menjadi suatu yang lumrah didengari. Kejadian pembunuhan berlaku hampir setiap hari dan setiap individu merasa tidak selamat berada di luar rumah atau dalam perjalanan. Sebut sahaja kerosakan alam, kita menyaksikan kawasan bukit terus digondolkan, kawasan tadahan air dimusnahkan, haiwan-haiwan liar menerjah masuk ke kawasan pertanian dan penempatan untuk mendapatkan makanan. Akibatnya, banjir kilat sering terjadi, kekeringan air dapat berlaku dengan cepat hanya selama sebulan kemarau. Kejadian tanah runtuh kerap berlaku akibat daripada pembangunan kawasan bukit yang giat dan kesan hujan bersangatan. Pembangunan lebih banyak rumah-rumah kediaman seperti istana dan pusat-pusat membeli belah, adalah ibarat cendawan selepas hujan, segera layu apabila berlaku kekeringan atau kemurungan ekonomi. Beban pembangunan akhirnya ditanggung oleh rakyat. Cukai serta harga produk kawalan terpaksa ditingkatkan. Bayaran perkhidmatan seperti kos perjalanan dan cukai pintu juga ditingkatkan sedangkan peluang-peluang pekerjaan semakin terhad. Pembangunan terus juga dilaksanakan melalui umpanan sistem riba. Defisit kewangan negara akhirnya menjadi tidak terkawal. 

Perkara sedemikian menjurus kepada cukai yang tidak munasabah seperti cukai tong sampah, cukai tempat letak kereta, cukai tandas, cukai penyediaan makanan siap, cukai bahan bakar, cukai tambang perjalanan sehingga menambahkan bebanan rakyat yang terpaksa membayar cukai-cukai sedia ada seperti cukai pendapatan, cukai perniagaan, cukai jalan, cukai bot nelayan, insuran kenderaan dan cukai tanah. Kita akan mendengar cukai-cukai baru yang akan dikenakan seperti cukai hasil ladang, cukai haiwan ternakan, cukai haiwan peliharaan, cukai joran pancing ikan, cukai khidmat sosial seperti kesihatan dan pos, cukai pelupusan barangan terpakai, cukai peralatan komunikasi dan media massa, cukai pembersihan alam sekitar, cukai penanaman semula, cukai perlindungan simpanan di samping peningkatan kos penggunaan elektrik dan bekalan air dan akhirnya, kepala yang dicukai! Semuanya akan meningkatkan lagi perbelanjaan rakyat.













No comments:

Post a Comment

Popular