SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Tuesday, October 22, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 33 -- KERANA IA DARIPADA GOLONGAN TIADA IMAN


انه كان لا يؤمن بالله العظيم

Sesungguhnya telah adalah ia, tidak ia beriman dengan Allah Yang Maha Agung.

Sesungguhnya Dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha besar,

i.   Aktiviti Yang Merosakkan dan Penindasan 
     Secara Merata-rata

Mereka hanya memilih bertuhankan kertas dengan gambar kepala Agong. Golongan tertentu daripada yang ingkar itu merasai keagungan dalam kehidupan mereka sehingga melakukan sewenang-wenangnya, yang banyak mengakibatkan kerosakan dalam kehidupan di dunia ini. Penindasan secara tidak langsung berlaku secara merata dalam kehidupan manusia dan kepentingan mengumpul harta menjadi tajuk utama dalam kehidupan dan melupai kepentingan bermujahadah di jalan Tuhan.

ii.   Kesan Perbuatan Mereka Akan 
      Melilit Mereka Kembali

Mereka melupai keagungan Tuhan, yang akan mengagendakan rancangan membelit mereka kembali suatu masa nanti disebabkan mereka tidak menjaga amanah yang diserahkan kepada mereka. Tuhan telah menyerahkan amanah kepada makhluk-makhluk seperti gunung, langit, lautan dan sebagainya untuk memikul amanah, namun semuanya tidak sanggup berbuat demikian lalu diterima oleh manusia yang jahil itu. Atas kejahilan itulah, yang harus diakui oleh manusia dan bersedia mempelajari sesuatu daripada kitab Tuhan sebagai manual kehidupan dan penjagaan alam ini. Namun sebahagian manusia yang berkedudukan dan berkepentingan sanggup untuk berterus-terusan berkeadaan jahil dan mengarahkan manusia untuk berkelakuan jahil seperti mereka.

iii.   Mereka Mengarah Serta Mengulangi 
       Perbuatan Gila Lagi Jahil.

Buktinya mudah sahaja, mereka mengarahkan manusia daripada pelbagai agama itu untuk beragama dan melakukan aktiviti penyembahan dalam keadaan mereka tidak memahami ayat-ayat yang disebutkan dalam peribadatan mereka itu. Sebenarnya mereka mengulangi kata-kata Tuhan yang ditujukan kepada mereka sebagai manual kehidupan dan rahsia-rahsia penjagaan alam. Lalu aktiviti manusia berlaku berterus-terusan sehingga kepada suatu keadaan, mereka menjadi seperti robot berperasaan, yang hanya tahu membina dan membina dan terus membina sehingga akhirnya banyak daripada binaan itu ditinggalkan begitu sahaja tidak dimanfaatkan. Memandu dan memandu dan terus memandu dari malam hingga ke malam sebagai rutin harian untuk menyesakkan jalanraya, yang seharusnya dilalui dengan aman, sehingga akhirnya membawa pencemaran.

iv.   Amalan Kerosakan Sehingga 
       Mempamer Kemudaratan

Mereka melaksanakan aktiviti sedemikian melalui suatu sistem gila aktiviti riba yang kononnya memberi manfaat kepada umat manusia secara besar-besaran dan demi pembangunan negara. Wal hasil adalah kerosakan alam, kemusnahan kawasan tadahan air, kemusnahan kawasan hidupan liar, penggondolan kawasan bukit dan pembentukan jerebu dan meningkatnya kejadian banjir kilat dan tanah runtuh, benam dan rebah. Lihat di kiri dan kanan kita, di mana-mana sahaja sama ada dalam negara ini atau luar negara, kemanusiaan seolah-olah tiada erti, manusia seperti robot bernyawa, melakukan rutin yang sama berulang-ulang kali, dari pagi hingga ke petang, setiap bulan mendapatkan gaji untuk membayar hutang. Majoriti daripada umat ini mengambil sikap dengan apakah yang boleh dilakukan? Kita kini sudah tersepit dengan sistem sedia ada, ikut sahaja kalau nak turut merasa! Zaman sudah gila, siapa yang tidak gila maka ia tidak merasa. Sebahagian yang lain ambil tak peduli seolah-olah mereka ini tidak akan dipersalahkan nanti di hadapan Tuhan Yang Maha Agung, seolah-olah pada mereka yang bersalah hanyalah pembuat-pembuat polisi. Sebahagian yang lain mengambil kesempatan sebagai pejuang politik dan pejuang agama, mengkhabarkan kepada manusia tidak kepada apa yang disampaikan Tuhan.

v.   Keperluan Kembali Kepada Petunjuk Tuhan

Siapakah dalam kalangan kita yang sanggup menerima kalam Tuhan sekalipun bermula daripada Alif, Ba, Ta yang harus dipelajari daripada buku Iqra'? Mengikhlas diri dalam agama untuk sama-sama menghayati pengajaran Tuhan melalui kitabNya. Saling berpesan-pesan sesama kita tentang kebenaran dan saling betul memperbetul sesama kita dengan kaedah kasih sayang. Untuk menggantikan kaedah ahli politik dan trend semasa yang saling melaknat sesama mereka dengan tuduh menuduh, untuk menggantikan pengamal-pengamal media massa yang suka melondeh kesalahan manusia secara memalukan, sama ada melalui akhbar atau internet. Masalah kehidupan kini, tidak boleh melalui kaedah seperti ini, tetapi kaedah berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kasih sayang serta saling menghormati. Bukankah kita adalah makhluk Tuhan yang memiliki perasaan belas kasih?





No comments:

Post a Comment

Popular