SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Friday, November 29, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 44 -- KIRANYA IA BERKATA ATAS KAMI SEBAHAGIAN PERKATAAN ITU


و لو تقول علينا بعض الاقاويل

Dan jika sekiranya, ia berkata-kata  atas Kami sebahagian (dari) perkataan-perkataan itu.

dan kalaulah (Nabi Muhammad Yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta -sebarang kata-kata rekaan, -

i.    Nabi Bukan Penokok Tambah Perkataan Tuhan

Pada permulaan daripada kerasulan, RasululLah S.A.W. pernah melarang para sahabat daripada menulis perkataan baginda kerana dikhuatiri manusia akan melebih-lebihkan perkataan baginda sendiri daripada ayat-ayat Tuhan. Walhal RasululLah S.A.W. tidak pernah melakukan sebarang tokok tambah terhadap wahyu Tuhan, sebagaimana yang kita dapati sekarang ini dalam bentuk mashaf. Namun selepas sekitar 100 tahun dari kewafatan RasululLah S.A.W., kerja-kerja pembukuan kata-kata RasululLah S.A.W. melalui Al-Hadith giat dijalankan selepas Al-Quran dibukukan dengan selengkapnya. 

Sebelum pembukuan Al-Hadith, perkataan-perkataan RasululLah S.A.W. ditulis secara terpisah pada kulit-kulit haiwan dan sebagainya dan disimpan oleh sahabat-sahabat tertentu dan sebahagian lainnya dihafaz oleh sahabat hingga ke tabi'in. Telah menjadi disiplin dalam agama ini wahyu Tuhan dibukukan dalam kitab yang dinamai Al-Quran sementara kata-kata nabi dibukukan dalam kitab-kitab yang dinamai Sunan. 

As-Sunnah adalah cara nabi memanifestasi pengamalan terhadap perintah Tuhan daripada Al-Quran yang boleh didapati sumbernya daripada Al-Hadith. Kita tidak wajar membeza-bezakan pengamalan nabi daripada As-Sunnah sebagai sesuatu yang lain sumbernya daripada Al-Quran.

ii.   Pertikaian Tentang Al-Quran dan As-Sunnah

Bermula daripada kitab Tuhan, kemudian diikuti oleh ‘kitab’ Nabi, kemudian diikuti oleh kitab yang disandarkan kepada sahabat dan tabi'in, kemudian diikuti kitab ulama-ulama sama ada ulama usuluddin sehingga ulama feqah, kemudian diikuti dengan kitab-kitab kecil seperti kitab-kitab doa yang mempunyai pelbagai nama itu, kemudian diikuti teks pelajaran agama seperti Mutlaq Al-Badrin, Jauhar As-Siniah serta kitab-kitab kerohanian seperti Hazinatul Asrar, Kasf Al-Asrar dan Hakikat Insan. Semuanya itu dianggap sebagai kitab-kitab agama. Yang menjadi pertikaian antara mazhab yang berlainan sama ada mazhab feqah atau aqidah atau mazhab kerohanian adalah bermulanya daripada kitab selain daripada kitab Tuhan (98:04).

iii.    Kedudukan Rasul Dalam Kalangan Umat

Terkini telah wujud golongan yang cuba menafikan peranan As-Sunnah sebagai rujukan agama sehingga mereka cuba mengasingkan antara ajaran Tuhan dan 'ajaran' RasululLah S.A.W. sebagai dua ajaran berbeza. 'Ajaran' RasululLah S.A.W. pula dituduh sebagai sesuatu yang direkacipta oleh ulama-ulama silam. Ini bermakna konsep beriman kepada RasululLah S.A.W. telah cuba dipertikaikan, walhal itu adalah salah satu rukun iman.

Muhammad S.A.W. adalah RasululLah dan bukan sekadar 'rasulullah' atau seorang 'rasul'. Muhammad S.A.W. adalah manusia pilihan dan bukan sekadar manusia. Muhammad S.A.W. adalah khalifah Tuhan di mukabumi ini semasa hidup baginda dan kisah-kisah hidup baginda harus dijadikan teladan. Bahawa Tuhan tidak menurunkan malaikat sebagai pimpinan untuk manusia tetapi manusia terpilih dalam kalangan manusia itu sendiri untuk dicontohi akhlaqnya serta dipelajari pengamalan serta pengalaman hidupnya. Daripada susuk tubuh, Muhammad S.A.W. adalah bertubuh seperti kita, berdaging dan berdarah, bertulang dan berurat saraf dan sebagainya dan tidak lebih daripada itu. 

Tetapi peranannya sebagai salah seorang Nabi serta Rasul, menjadikan kedudukan manusia biasa diri baginda bukan sebarang manusia. Mengapa tidak, kita menghormati Muhammad S.A.W. sebagai manusia keutamaan, sedangkan dalam polisi hidup manusia, mereka sanggup memuja pimpinan silam yang sebahagiannya dipatungkan seperti Tunku Abdul Rahman di negara ini dan Adam Malik di Indonesia. Hanya Muhammad S.A.W. tidak pernah memerintahkan kuburnya disucikan, dirinya dipatungkan seperti pepatung pemimpin sebahagian manusia, itu tidak bermakna baginda tidak wajar diutamakan. Oleh kerana imej baginda itu adalah imej agama, baginda hanya tidak mahu diri baginda di'budha'kan atau di'hindu'kan atau di'kristian'kan sebagaimana penganut-penganut agama sedemikian menghormati pepatung.




No comments:

Post a Comment

Popular