SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Saturday, November 23, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 42 -- BUKAN PERKATAAN TUKANG TENUNG SEDIKIT YANG MENGAMBIL PELAJARAN


و لا بقول كاهن  قليلاما  تذكرون

Dan tidak sebagai perkhabaran tukang tenung, sedikit sekali (daripada) kamu berperingatan.

dan juga bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang pawang (sebagaimana Yang kamu katakan. tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan.

i.    Bukan Perkataan Ahlil Nujum
 

Selalunya tukang tenung atau tilik mengambil perkhabaran daripada jin yang membisikkan kepada mereka tentang perkara-perkara ghaib melalui curi dengar perkhabaran malaikat sebelum kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. (72:09). Perkhabaran seperti itu tidak lagi berlaku sekarang ini dan tiada perkhabaran tukang tilik kini dapat dipercayai. Sekiranya apa yang dinyatakan itu benar-benar terjadi, bahawa hal itu adalah kebetulan belaka. Sedikit sekali (daripada) kamu berperingatan.

ii.   Apakah Sebenarnya قول Itu?

Istilah asas قول bererti 'kata', 'telah berkata ia' dan 'perkataan'. Namun rujukan apakah ‘قول’ itu? Dalam istilah a’jam, ‘قول’ dapat dirujuk sebagai ‘word’ dalam English atau ‘sebutan’ dalam bahasa Melayu. Bahkan ‘قول’ (Al-Qaul) juga boleh dirujuk sebagai amaran seperti ‘perkataan jelas’ atau ‘clear word’ dan dalam situasi tertentu ‘menulis perkataan’ kepada seseorang dapat diertikan sebagai mengambil seseorang sebagai pasangan hidup. ‘Katakan’ adalah istilah bagi membuat andaian. Dalam istilah kearaban, ‘kata’ atau قول dapat diertikan kepada banyak terjemahan yang lebih meluas. ‘Qaul yang muktabar’ dapat diertikan sebagai pendapat yang berasas kukuh, ‘ditimpa perkataan’ merujuk kepada pengertian ditimpa azab, ‘perkataan yang sampai’ merujuk kepada nasihat yang memberi bekas kepada jiwa seseorang dan lain-lain lagi. Oleh itu perbincangan berkenaan ‘kata’ daripada ayat Al-Quran, harus membenarkan seseorang memperbincangkannya pada sudut terjemahan dengan pelbagai erti kata yang meluas.

iii.   Sedikit Sekali Yang Beriman dan 
       Sedikit Sekali Yang Berperingatan

Surah Al-Haqqah memberitakan kepada manusia peristiwa-peristiwa yang akan berlaku menjelang As-Saah, bermula sebelum itu yang dikenali sebagai peristiwa Al-Haqqah. Terdapat rentetan-rentetan peristiwa yang berlaku sebagaimana yang pernah terjadi kepada kaum A'ad, Tsamud, penenggelaman umat nabi Nuh dan juga Fir'aun. Semua ini telah dinyatakan dalam surah ini yang menggambarkan peristiwa Al-Haqqah yang akan mengulangi kejadian-kejadian seumpama itu. Namun amat sedikit sekali daripada umat ini, yang sanggup mengimani dan mengambil peringatan supaya mereka mengambil langkah berjaga-jaga dalam kehidupan di dunia ini. Peristiwa Al-Haqqah adalah peristiwa yang bakal terjadi dan sebahagian daripada peristiwa sedemikian sering kali dapat kita dengari terjadi pada waktu ini. Terdapat sumpah Tuhan darihal subjek yang akan mengiringi peristiwa Al-Haqqah (69:15) yang harus sama-sama kita perhatikan. Antara perkara yang menarik perhatian penulis untuk dijadikan iktibar ialah kejadian silam yang menyerupai komponen peristiwa Al-Haqqah, yang pernah berlaku dahulu daripada peristiwa kaum A'ad, Tsamud dan Fir'aun, semuanya berlaku pada waktu pagi. Seperti peristiwa tsunami besar yang melanda Asia Selatan dan Asia Tenggara dahulu, bermula kejadian sedemikian adalah pada waktu pagi. Terdapat peringatan penting terhadap kejadian pada waktu pagi ini yang menjurus kepada huraian berterusan daripada surah-surah selanjutnya.

Selain daripada itu terdapat beberapa surah, daripada surah-surah selanjutnya dalam Juzuk Amma, mengaitkan peristiwa penting sedemikian dengan tanda-tanda jasad kalestial seperti komet sebagaimana huraian penulis dalam surah At-Thoriq dan Surah Al-Kuwirat. Perkara yang paling penting yang menjadi pengajaran utama yang penulis perolehi adalah peri pentingnya pembelajaran Al-Quran dipelajari dengan kaedah tartil iaitu pembacaan menurut deretan-deretan dan mengambil pengajaran daripada himpunan ayat sebagaimana yang diperintah Tuhan. Sekiranya pembelajaran Al-Quran mengambil kaedah lain seperti lompatan demi lompatan dan pindahan demi pindahan sehingga tidak berlaku pengembalian kepada susunan ayat-ayat asal, dikhuatiri pembelajaran sedemikian akan menyediakan kefahaman yang lari daripada tujuan himpunan ayat. 

Tartil perlu difahami semula bukan sekadar melalui pembacaan tajwid (sekalipun merupakan suatu kewajiban) bahkan pembacaan sebenar menurut himpunan ayat berdasarkan susunan-susunan yang saling berkaitan antara ayat sebelumnya dengan ayat sesudahnya. Mendapatkan kefahaman ayat adalah perkara yang lebih wajib berbanding cara baca ayat itu sendiri.






No comments:

Post a Comment

Popular