SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Friday, December 20, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 51 -- PERKARA YANG PASTI


و انه لحق اليقين

Dan sesungguhnya ia benar-benar kebenaran yang pasti.

dan Sesungguhnya Al-Quran itu adalah kebenaran Yang diyakini (dengan seyakin-yakinnya).

i.    Kejadian Yang Berlaku Secara Beransur-ansur

Sedikit demi sedikit tentang kejadian yang berlaku menjurus kepada peristiwa lebih besar. Zaman ini kita menyaksikan kejadian pembunuhan berlaku hampir setiap hari dan terpampang di dada akhbar. Manusia mengalami penyakit stress akibat melalui sistem hidup yang memabukkan. Najis dijadikan makanan sehingga mereka ditimpa pelbagai penyakit. Lapisan langit semakin lemah sehingga meningkatnya penyakit-penyakit seperti kanser dan katarak. Lapisan ozon telah terbuka di tempat-tempat tertentu seperti di kedua belah kutub. Sedikit demi sedikit kebenaran Al-Quran semakin terserlah dalam kalangan manusia. Semakin ramai manusia daripada golongan ingkar mengakui kebenaran Al-Quran dan agama ini, ataupun mereka kembali lantaran suasana kehidupan mereka yang semakin teruk mereka merosakkannya, lalu mereka kecewa dengan sistem mereka sendiri. Semakin ramai daripada umat ini murtad, meninggalkan panduan Tuhan disebabkan pada mereka tiada jaminan keselamatan yang dapat diperolehi daripada agama ini lantaran kejahilan mereka sendiri.

ii.   Ukuran Kebenaran Al-Quran


Sesuatu yang sangat merbahaya menjadi pegangan umat apabila mereka berpendirian bahawa sesuatu yang benar pastilah merupakan sesuatu yang menyerlah dan sesuatu yang menyerlah pastilah merupakan sesuatu yang benar. Pertimbangan seperti ini seolah-olah memberitahu, atas sebab kebanyakan daripada penganut keingkaran adalah lebih tinggi status hidupnya seperti darihal kekayaan, kedudukan dan kepakaran maka jalan yang mereka tempuh adalah lebih benar. Mereka yang berpendirian seperti ini adalah ibarat lalang yang berubah arah mengikut tiupan angin. Sekiranya suatu masa kekuasaan Islam menguasai dunia, mereka mengakui kebenaran sistem Islam lalu apabila kekuasaan golongan ingkar mengambil giliran berkenaan, mereka segera mengubah pendirian mengakui bahawa sistem keingkaran itu adalah lebih benar. Begitu juga apabila kekuasaan Islam kembali, lalu mereka kembali dan akhirnya apabila sistem Dajjal mengambil alih semula kekuasaan sebagaimana yang dijanjikan suatu masa nanti, mereka kembali ingkar. Antara sebab utama yang memudahkan mereka mengubah pendirian adalah disebabkan oleh tawaran kepentingan yang dijanjikan oleh setiap sistem. Mereka inilah golongan curang yang tidak harus dihampiri sekalipun untuk mengajak mereka kepada perjuangan yang benar.

iii.   Ukuran Pada Sudut Sastera

Sebelum wahyu Al-Quran diturunkan kepada RasululLah S.A.W, adalah menjadi kebiasaan masyarakat Arab pada ketika itu melakukan aktiviti syair pada hari-hari tertentu dan artikel yang dianggap bernilai akan dipamer untuk suatu tempoh yang dijadikan tatapan ramai. Mereka sangat menilai karya-karya sasterawan dan kebiasaan ini diteruskan selepas daripada kerasulan. Ahli-ahli bahasa dan sasterawan Arab pada permulaan dari waktu turunnya wahyu, memang mengakui bahawa Al-Quran yang disampaikan melalui lidah Muhammad S.A.W. memiliki nilai bahasa yang tinggi namun, perkataan itu bukan perkataan syair.

iv.   Ukuran Pada Sudut Sejarah

Ilmuwan mengakui bahawa Al-Quran adalah satu-satu kitab yang tidak pernah berubah isi kandungannya sejak lebih 1400 tahun dahulu. Manifestasi Al-Quran yang dipraktikkan oleh Muhammad RasululLah S.A.W., berjaya mengubah agama bangsa Arab hanya dalam tempoh lebih kurang 23 tahun dan daulah Islam yang terbentuk selepas itu meliputi sebahagian besar dunia hampir 1000 tahun. Kekuasaan Islam yang terakhir telah dilucutkan daripada penguasaan pada tahun 1923 Masehi. Dalam keadaan menempuh kelemahan, Islam terus berkembang sehingga melebihi 1.5 billion daripada 7 bilion penduduk dunia pada masa ini. Satu-satunya penganut agama yang kurang terkesan daripada keburukan kemodenan adalah umat Islam, hanya pada saat akhir-akhir ini, pegangan agama mereka semakin pudar. Adakah kesan sistem yang dibawa berdasarkan penakrifan Al-Quran harus diabaikan begitu sahaja sehingga sistem utama kehidupan kini, telah menyerlahkan keburukannya, sebelum cahaya Islam memancar semula? Sistem demokrasi acuan Barat dan komunis telah menggantikan sistem pemerintahan Khalifah Islam. Sistem komunis mula ditinggalkan lantaran kebejatan sistem ini mengongkong manusia dan sistem demokrasi banyak menimbulkan keadaan yang buruk kepada alam sekitar.

v.    Ukuran Pada Sudut Ilmu

Ilmuwan Barat adalah antara yang aktif mengkaji buku-buku ilmuwan Islam sejak dahulu lagi. Ilmuwan Islam memperolehi ilmu dengan mengkaji ayat-ayat suci, sedangkan ilmuwan Barat sendiri buta sumber ilmu sedemikian datangnya daripada wahyu Tuhan. Terlalu banyak daripada ilmu yang terkandung dalam Al-Quran, masih belum dapat dikupas. Kebenaran Al-Quran pada sudut matematik telah tersebar luas dan contoh yang ditunjukkan pada penerangan surah sebelum ini dapat memberi gambaran sifat-sifat matematik sedemikian sentiasa wujud dalam surah-surah yang lain. Al-Quran lebih menjelaskan sebab-sebab penyakit secara umum dan juga sebahagian perawatan khusus melalui pemakanan terpilih. Amalan-amalan Islam yang dianjurkan menerusi Al-Quran sebenarnya mempunyai manfaat serta kebaikan tertentu dan kajian lebih terperinci perlu dilakukan. Terdapat fakta-fakta sains yang hanya dapat dibuktikan pada zaman ini menggunakan peralatan moden. Contohnya, pengembangan alam sejagat dan proses pengembangan embrio. Sebenarnya masih terlalu banyak ilmu baru dapat diteroka daripada kitab suci, namun masih adakah siapa lagi yang sanggup memulai melakukan kajian terperinci terhadapnya? Ulama-ulama Islam dahulu adalah pelopor ilmu dan penemuan mereka diteruskan oleh bangsa Barat. Tanpa mereka, Barat tidak mengenali Aristotle, Plato, Archemedis dan lainnya.



No comments:

Post a Comment

Popular