SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Friday, September 28, 2012

SURAH ALI IMRAN AYAT 22 - PERJUANGAN YANG SIA-SIA, MEREKA TIDAK DIBANTU



اولئك الذين حبطت اعملهم فى الدنيا
والاخرة وما لهم من نصرين

Mereka itu orang-orang yang telah sia-sia ia oleh amalan mereka di dunia dan akhirat dan tidak bagi mereka daripada pertolongan. 

Mereka itulah orang-orang Yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun Yang dapat memberi pertolongan.

i.    Amalan Yang Sia-sia

Berapa ramaikah manusia yang sia-sia amal sadaqah mereka, yang mereka turutkan pemberian itu dengan menyebut-nyebut jasa atau mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati? Amalan sedemikian sebenarnya menjuruskan mereka kepada kekafiran, maka sia-sia sajalah keislaman mereka. Berapa ramaikah kalangan mereka yang menerima bulat-bulat, fatwa-fatwa ulama tanpa mereka sendiri memaklumi dari manakah ambilan terhadap fatwa yang mereka turuti? Tindakan sedemikian sebenarnya menjurus mereka kepada kesyirikan, maka sia-sia sajalah keimanan mereka. Dan berapa ramaikah mereka yang melaksanakan solah, lima kali sehari semalam, tanpa mereka memahami sepatahpun perkataan yang mereka sebut? Apatah lagi untuk memahami tuntutan solah yang ada hubungan dengan kepimpinan serta amalan infaq. Maka sia-sia sajalah amalan mereka selama ini. Mereka sebenarnya mengulang-ulangi rutin harian menyebut manual kehidupan yang harus mereka fikirkan.

ii.   Kepimpinan Mereka Yang Merosakkan

Bagaimanakah amanah kepimpinan selama ini yang dilaksanakan oleh manusia? Tidak perlu disebut lagi kemusnahan kawasan-kawasan tadahan air yang meningkatkan kos pembersihan air. Kemusnahan kawasan flora dan fauna serta kerebahan-kerebahan yang berlaku serta kesan perubahan cuaca yang merosakkan, membuktikan secara jelas bagaimana sia-sianya kehidupan yang manusia tempuhi selama ini. Itu belum dikira lagi tentang corak kehidupan manusia yang menyebabkan pergolakan sosial secara besar-besaran, kesan pengamalan riba yang merosakkan hubungan manusia dan juga kepada hasil usaha mereka selama ini.

iii.   Amalan Seumpama Itu Yang Hendak Mereka Bawa?

Adakah pengalaman amalan mereka di dunia selama ini, juga dapat diguna pakai untuk suatu kehidupan di akhirat kelak? Sekiranya mereka mendiami syurga dan mereka meneruskan polisi kehidupan yang merosakkan, pastinya syurga yang seharusnya dapat kekal, tidak akan kekal buat selama-lamanya. Mereka dicabar untuk berada di suatu kawasan yang dipenuhi dengan flora dan fauna di dunia ini. Dan mereka sebenarnya telah mengetahui, apakah bentuk kerosakan yang akan mereka lakukan terhadapnya sehingga mereka menyediakan suatu penempatan yang memudharatkan kediaman anak-anak keturunan mereka suatu masa nantinya.

iv. Tiada Pertolongan Untuk Mereka

Berapa ramaikah kepimpinan yang mereka menyangka, mereka berada dalam agama yang benar, tetapi corak pemerintahan mereka, sentiasa membawa negara mereka ke lembah kehancuran? Mereka menjurus rakyat mereka hidup di ambang kemiskinan dan kepapaan serta menjalani kehidupan dengan cengkaman sistem ekonomi riba. Mereka melaksanakan pembangunan di atas permukaan bumi yang terdedah dengan risiko keruntuhan serta kerebahan. Mereka melaksanakan polisi pertanian yang menimbulkan penyakit kepada perut dan anggota tubuh manusia, sehingga negara terpaksa menanggung kos perubatan yang tinggi. Kemudian kita mendengar sebahagian mereka dibunuh oleh musuh di medan pertempuran disebabkan oleh kedudukan politik pemimpin-pemimpin mereka yang semakin tergugat. Kemudian kita mendengar peratusan yang tinggi umat Islam di negara mereka sendiri murtad, akibat tidak terbela kedudukan ekonomi mereka dan sebagainya. Sememangnya kesalahan terletak di bahu mereka yang memilih untuk murtad, tetapi jumlah yang terlalu ramai murtad bukankah akan menyebabkan kedudukan kepimpinan mereka sendiri, secara tidak mereka sedari, tergugat suatu masa nanti?

Mereka terus menolak pengajaran dari kitab Tuhan, maka tidak hairanlah, doa-doa mereka kepada Tuhan tidak diterima. Rakyat mereka mendiami negara yang baik, Tuhan Maha Pengampun, tetapi rakyat yang ditimpa dengan ketakutan akibat perlakuan jenayah yang semakin menjadi-jadi, pembunuhan yang berlaku hampir setiap hari serta kegawatan politik yang semakin membimbangkan. Rakyat mulai memakai dua pakaian iaitu ketakutan dan kelaparan apabila hutang negara semakin meningkat dan belanja untuk tujuan keamanan dan keselamatan semakin berkurangan.





Tuesday, September 25, 2012

SURAH ALI IMRAN AYAT 21 -- RISIKO PEMBUNUHAN PENEGAK AL-QISTHI


ان الذين يكفرون بأيت الله ويقتلون النبين
بغير حق ويقتلون الذين يأمرون بالقسط
من الناس فبشر هم بعذاب اليم

Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa mengingkari terhadap ayat-ayat Allah dan sentiasa membunuh nabi-nabi dengan tanpa hak dan sentiasa membunuh orang-orang yang mereka menyuruh dengan Al-Qisthi daripada manusia, maka gembirakanlah olehmu akan mereka dengan azab yang pedih. 

Sesungguhnya orang-orang Yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi-nabi Dengan jalan Yang tidak benar, serta membunuh orang-orang Yang menyeru manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita Yang mengembirakan mereka, Dengan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya.

Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa mereka yang berusaha menegakkan Al-Qisthi seringkali berhadapan dengan risiko mati dibunuh (03:18). Mereka adalah daripada Ahlul Bait yang peranan mereka sentiasa didustai oleh umat ini beserta kepimpinan mereka sepanjang zaman (95:07). Sejarah zaman berzaman telah membuktikan Ahlul Bait sentiasa menerima ancaman bunuh sehingga mereka tiada pilihan melainkan menjauhkan diri ke negeri-negeri yang jauh dari tanah Arab. Di negeri-negeri baru mereka, mereka masih berhadapan ancaman yang sama sehingga mereka tiada pilihan melainkan menutup identiti mereka sehingga anak-anak keturunan mereka sendiri tidak mengetahui bahawa mereka adalah keturunan baginda RasululLah S.A.W melalui menantu baginda Syaidina Ali R.A. 

i.   Penegak-penegak Al-Qisthi Yang Didustai Umat 

Sejarah mula pembunuhan individu yang menyuruh dengan Al-Qisthi dalam sejarah Islam adalah Pembunuhan Syaidina Umar Al-Khattab R.A. Sebenarnya usaha melawan pemerintahan telah bermula pada zaman Syaidina Abu Bakar R.A., apabila sebahagian daripada umat telah mengaku sebagai nabi palsu yang diutus sesudah RasululLah S.A.W., namun bibit pertentangan ini telah berjaya dipadam oleh Khalifah Abu Bakar R.A. Pendustaan umat terhadap kepimpinan yang berusaha menegakkan Al-Qisthi adalah disebabkan oleh sifat tamak dan rakus serta usaha mendahului risalah kerasulan yang dibawa oleh baginda RasululLah S.A.W. Namun oleh kerana kekhalifahan penegak Al-Qisthi sedang memegang kuasa, mereka gagal untuk melakukan gerak kerja secara terancang untuk menggulingkan pemerintahan.

ii.  Fitnah Yang Menimpa Umat Yang Tak Kunjung Padam

Akibat daripada penggerogotan terhadap penegak-penegak Al-Qisthi dalam kalangan kepimpinan sehinggalah kepada individu biasa, umat kini telah berada di ambang fitnah yang dahsyat. Mereka mendiami kediaman yang tiada ketenteraman daripada jaminan keselamatan. Umat Islam telah kehilangan pemerintahan kekhalifahan. Umat Nasrani pula telah kehilangan peranan gereja dalam urusan pentadbiran pemerintahan dan umat Yahudi pula kehilangan pengaruh biara dalam membentuk polisi pemerintahan negaranya sendiri. Dengan wujudnya agama baru melalui jalan pemikiran manusia, sistem ekonomi sosialis dan kapitalis telah mengambil tempat dalam menentukan corak ekonomi sesebuah negara. Agama Demokrasi dan Komunis pula telah dijadikan pilihan untuk menafikan peranan Tuhan dalam pemerintahan manusia. Namun kesempatan yang diambil oleh pendukung agama-agama baru ini, tidak digunakan sebaik-baiknya oleh kepimpinan mereka sehingga kehidupan umat semakin menuju penderitaan dan nasib alam sekitar yang semakin menuju kebinasaan. 



 

Saturday, September 22, 2012

UKURAN KEBAJIKAN DALAM PEMERINTAHAN


بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Maha Pemurah Maha Pengasih


Suatu keadaan buruk telah berlaku dalam pemerintahan. Keburukan itu seperti, kerosakan alam sekitar dan kebejatan terhadap kehidupan manusia. Kerosakan dapat terjadi akibat daripada pemberontakan yang terhasil daripada fitnah-fitnah yang tersebar, hasil kerja mereka yang berpengaruh serta bernafsu besar menguasai atau mempengaruhi pemerintahan.

Adakah seterusnya seharusnya individu pemerintah adalah merupakan pemerintah yang bersikap lemah lembut terhadap pihak-pihak berkepentingan, sehingga mahu memberi layanan baik kepada pihak yang berusaha mengguling pemerintahan? Fitnah telah terjadi pada zaman Saidina Usman R.A. sehingga membawa pembunuhan beliau dan seterusnya pada zaman Saidina Ali R.A. Beliau telah mengatasinya dengan terkorbannya 120,000 sahabat-sahabat R.A.H.M yang segala amalan mereka menafsir Al-Quran dalam diri masing-masing menjadi sia-sia.

Seterusnya Saidina Ali. R.A. memberi pukulan maut kepada pihak Khawarij, sehingga mereka tidak lagi wujud di muka bumi ini. Namun atas kepentingan pihak yang bernafsu sungguh luar biasa, mereka tidak serik dengan kekerasan yang telah Saidina Ali R.A. kenakan kepada mereka, sehinggalah mereka memilih jalan membunuh Saidina Ali. R.A. Kewafatan Saidina Ali. R.A. digantikan oleh Sahabat Muawiyah Abu Sufyan R.A. Selepas itu Tuhan tidak lagi mengizinkan kekhalifahan dilakukan melalui perlantikan dalam bangsa Arab. Kekhalifahan diwarisi melalui sistem beraja dan berlangsung sekitar beberapa ratus tahun. Bani Umayyah sendiri telah gagal membendung fitnah untuk memusnahkan kumpulan Ar-Rafidhah yang kerja mereka sehingga kini melaknat sebahagian Ahlul Bait RasululLah S.A.W. 
 
Kemudian keburukan berlaku dalam pemerintahan Bani Umayyah, yang terlalu termakan dengan kempen puak Ar-Rafidhah yang terlalu mengagungkan Syaidina Ali R.A. Ahlul Bait diambang bahaya akibat sembahan puak Ar-Rafidhah dan permusuhan yang dibangkitkan oleh pemerintahan bani Umayyah. Ahlul Bait kemudiannya melarikan diri menjauhi fitnah-fitnah berkenaan ke negara-negara timur jauh seperti ke Afghanistan hingga ke Indonesia dan ke barat seperti Mesir hingga ke Maghribi.

Fitnah-fitnah terus berlaku dalam pemerintahan. Umat terus terpecah akibat hasutan-hasutan pihak tertentu. Kerajaan Melaka sendiri terpecah kepada beberapa buah kerajaan yang masing-masing melaksanakan pemerintahan kesultanan. Satu demi satu pemerintahan umat jatuh kepada penjajah Barat sehinggalah negeri-negeri kecil dapat disatukan membentuk beberapa negara yang diusahakan oleh penjajah Barat sendiri.

Pengajaran daripada ayat-ayat berikut ini adalah merupakan kerja penulis untuk menghubungkan ayat-ayat tertentu yang dijadikan rujukan kepada penerangan Surah Al-Mulk sebelum ini. Penerangan-penerangan ini meliputi perkara yang berkaitan dengan ciri-ciri KEBAIKAN pemerintahan ke atas umat yang telah berlangsung dari dahulu sehingga kini (03:26). Antara perkara yang disebut adalah, sebab-sebab terjadinya perubahan pemerintahan sehingga kepada peri pentingnya menjaga kestabilan kehidupan di bumi ini.

Rujukan daripada Surah Al Imran (03:21- 03:31) adalah merupakan satu himpunan wahyu, yang dihubungkan dengan penerangan penulis darihal ayat pertama surah Al-Mulk. Bahawa pilihan Tuhan dalam menentukan pemerintahan sebenarnya berkaitan dengan ciri-ciri kebaikan yang dilaksanakan oleh suatu pemerintahan itu, ataupun pemerintahan selepas itu. 


 

Sunday, September 16, 2012

KANDUNGAN YANG TELAH DIBINCANGKAN




Kandungan  Surah Al Mulk

Kerajaan Yang Barakah


              i.      Yang Dikatakan Berkuasa 
             ii.      Yang Dikatakan Kerajaan Baraqah


              i.     Analogi Mati dan Hidup 
             ii.      Mati Adalah Yang Mematikan Dan Hidup 
                     Adalah Yang Menghidupkan 
            iii.      Contoh Kerajaan Yang Mati dan Umat Yang Hidup


              i.      Nama-nama Lapisan Lelangit Dan Peranannya
             ii.      Lapisan Yang Tiada Kebocoran 
            iii.      Lapisan Yang Akan Dibocori


              i.      Pemerhatian Yang Memukaukan
             ii.      Tentang Astrosfera 
            iii.      Tentang Ionosfera 
            iv.       Lapisan Kepenatan 
             v.      Tentang Atmosfera Secara Umum

Kegagalan Memulihkan Bumi Menidakkan Kelayakan 
Mereka Mengekalkan Kerajaan


              i.      Tentang Mesosfera
             ii.      Nama-nama Objek Angkasa
            iii.      Meteroid Sebagai Perejam Syaitan




             i.      Tempat Tertutup dan Kedap, Panas dan 
                     Bertekanan Tinggi
             ii.     Penjaga Yang Bertanya


             i.      Menuduh Pengikut Ajaran Tuhan : Sesat
            ii.      Sebab-sebab Seksaan – Gagal Menggunakan 
                     Pendengaran Dan Akal


             i.      Akal Yang Membenarkan Wujud Akhirat
            ii.      Konsep Kehidupan Selepas Mati
           iii.      Mereka Tidak Tahu Mereka Sedang Mati Hanya Sedar 
                     Setelah Kebangkitan


             i.       Kesalahan Menjalani Hidup Yang Merosakkan
            ii.       Tidak Wajar Menuntut Sesuatu Menjadi Hak Milik


              i.        Cara Untuk Takutkan Tuhan Ghaib
             ii.        Langkah Pertama : Bebaskan Minda
            iii.        Yang Dapat Difikirkan – Sains dan Logik
            iv.        Yang Tidak Dapat Difikirkan – Agama
             v.        Merenung Kembali Kitab Al-Quran


              i.       Sampaikan Secara Sembunyi-sembunyi
             ii.       Sampaikan Secara Terang-terangan
            iii.       Ilmu Bukan Dengan Ph.D Tetapi Penghayatan


             i.       Manusia Memilih Sendiri Cara Memerhati
            ii.       Manusia Memilih Sendiri Cara Mentadbir

Wahyu Tuhan Memperbetul Sistem Pentadbiran di Bumi Ini


              i.       Peristiwa Dan Rentetannya
             ii.       Perintah Mengembara Untuk Mengkaji 
                       Peristiwa Dan Rentetannya
            iii.       Melakukan Simulasi Peristiwa Silam


              i.       Perbezaan Terjemahan Biasa Dan Terjemahan Harfiah
             ii.       Mengkaji Fir'aun Dikambus Air Akibat Tekanan 
                       Udarakasa
             iii.      Peristiwa Taufan Morakot, Selut-selut Gunung 
                       Menenggelami Bangunan


              i.       Debu Dari Bahagian Bumi Yang Lain
             ii.       Debu Akibat Perubahan Cuaca
             iii.      Debu Yang Mengakibatkan Hujan Bersangatan


              i.       Bencana Kepada Umat Terdahulu 
             ii.       Hujan Yang Membinasa Tanaman


              i.       Peraturan Bentuk Larus 
             ii.       Peraturan Bentuk Aerofilik
            iii.       Peraturan Tekanan ↔ Kelajuan Udara 
            iv.       Bencana dan Manfaat Daripada Peraturan Tuhan 
             v.       Fenomena Riak, Gelora Dan Taufan 
            vi.       Perbezaan Tekanan Dan Perubahan Monsun
           vii.       Apa Yang Berlaku Semasa Perubahan Cuaca


               i.       Bantuan Kepada Mujahideen Afghanistan
              ii.       Letusan Udara Yang Memusnahkan Fir'aun 
              iii.      Kerosakan Alam Sekitar Di Negara Barat 


               i.       Kesan Suhu Yang Stabil
              ii.       Pembentukan Cuaca Yang Terkawal
              iii.      Usaha Bersungguh-sungguh Manusia Melanggar
                        Peraturan Tuhan Sehingga Mengakibatkan 
                        Perubahan Cuaca Dan Bencana Alam


               i.       Golongan Ingkar Bekerja Secara Gelojoh
              ii.       Golongan Beriman Bekerja Secara Berhati-hati
             iii.       Golongan Ingkar Secara Cuba Dan Jaya
             iv.       Golongan Beriman Merujuk Panduan Tersedia

Perlunya Manusia Kembali Kepada Peraturan Tuhan


                i.       Hanya Yang Bersyukur Sanggup Mulai Baca Al-Quran
               ii.       Hanya Yang Bersyukur Sanggup Bertukar Ke Cara 
                         Beragama Yang Baru.
              iii.       Nyatanya Amat Sedikit Yang Bersyukur


                i.       Keperluan Manusia Untuk Hidup
               ii.       Keperluan Menuruti Panduan Tuhan Untuk Hidup 
               iii.      Segala Pekerjaan Ada Batasan
               iv.      Manusia Telah Melampaui Batasan Pekerjaan


               i.       Bumi Rebah dan Gunung Runtuh Sebelum As-Saah 
              ii.       Kejadian Yang Sia-sia Dinantikan 


               i.       Mereka Mendesak RasululLah S.A.W. dan 
                        Golongan Beriman
              ii.       Bencana yang Menyebabkan Mereka Saling 
                        Memandang 
              iii.      Sesungguhnya Ilmu Itu Hanya Di sisi Allah


               i.        Mereka Enggan Mengkaji Peristiwa Silam
              ii.        Mereka Mengulangi Perlakuan Umat Silam
              iii.       Mereka Akan Ditimpa Perkara Yang Menimpa 
                         Umat Silam




               i.       Banjir Atau Keracunan Dalam Air
              ii.       Air Jadi Masin Akibat Pencemaran Baja Di Udarakasa


Usaha Yang Memenatkan

Thursday, September 13, 2012

SESUATU YANG MEMENATKAN DAN KESIMPULAN SURAH AL-MULK


*Sesuatu Yang Memenatkan

Perkataan وهوحسير yang bermakna sedang ia (sesuatu yang) memenatkan, dapat diterjemahkan sebagai (sesuatu) kepenatan. Ruangan langit mengandungi gas-gas kepenatan (exhaustion) yang terdiri daripada gas-gas pembakaran seperti karbon dioksida, oksida nitrogen dan gas nitrogen. Karbon dioksida adalah gas hasil tindakbalas pembakaran bahan-bahan bakar kayu api, hidro-karbon dan juga baki hasil pernafasan hidupan. Oksida nitrogen dan nitrogen pula adalah hasil pembakaran ammonia yang juga terhasil daripada tindakan respirasi pelbagai mikrob. Hidrokarbon yang menjadi bahan asas pembentukan kloroflorokarbon, dapat merosakkan lapisan ozon, terhasil daripada sampah sarap buangan. Gas-gas nadir yang menyumbangkan peratusan yang sangat kecil terhasil daripada aktiviti perindustrian dan juga kesan pereputan radioaktif. Gas-gas kepenatan ini perlu berada pada kuantiti yang terkawal kecuali nitrogen dan oksigen. Peningkatan ketara gas karbon dioksida adalah kesan daripada peningkatan suhu bumi akibat daripada pembakaran yang berlebihan.

Aktiviti Manusia Yang Mencemari Lapisan Langit


Manusia kini hampir menyumbangkan separuh daripada pembentukan gas karbon dioksida di udarakasa. Peningkatan peratusan yang tinggi gas karbon dioksida daripada 0.04 kepada 0.08 peratus, mengakibatkan bumi ditumbuhi dengan cendawan pada kuantiti yang banyak. Lebih daripada separuh perlepasan wap ammonia ke udarakasa adalah akibat daripada usaha manusia terutama dalam aktiviti pertanian. Peningkatan wap ammonia dapat juga terhasil akibat daripada pemanasan bumi yang mengakibatkan hidupan-hidupan di lautan mati dan mereput serta menyingkirkan sebatian ini. Kandungan ammonia yang tinggi membawa akibat bencana alam seperti ribut taufan dan penghasilan kilat-kilat besar. Peranan manusia dalam mentadbir alam ini amatlah penting agar gas-gas yang memudaratkan lapisan langit dapat dikurangi dengan berkesan. Atau mereka memilih untuk menghadapi bencana akibat daripada kerja tangan mereka sendiri. Usaha asas manusia untuk mendapatkan makanan melalui projek-projek pertanian dan penternakan haruslah mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar mereka. Kita dapati pada waktu ini, kesedaran manusia untuk melaksanakan projek penanaman semula pokok-pokok untuk mengurangkan peningkatan suhu bumi adalah sesuatu yang amat dialu-alukan.


Namun penanaman semula pokok-pokok semata-mata, sebenarnya tidak mampu mengimbangi perlepasan haba yang terlalu banyak akibat daripada aktiviti perkilangan, pengangkutan dan penggunaan tenaga elektrik. Oleh itu, apakah langkah wajar, yang harus manusia ambil supaya bumi yang semakin panas ini tidak mendatangkan mudharat kepada kehidupan manusia? Ayat-ayat selanjutnya daripada penerangan surah-surah mendatang akan memperincikan setiap tindakan manusia yang dapat mengakibatkan kerosakan alam sekitar mereka sendiri. Suatu anjakan paradigma yang besar perlu berlaku terhadap manusia itu sendiri. Mereka perlu menakrif semula erti kehidupan mereka untuk membuang tingkahlaku mereka yang sangat gelojoh dalam berpenghidupan. 


Kesimpulan

Usaha Yang Memenatkan

Oleh itu usaha yang memenatkan yang dapat membawa kepada kesedaran manusia tentang hakikat kehidupan perlu dilakukan. Riwayat kehidupan di bumi ini kini mula menempuh tempoh genting dan sebarang pengabaian terhadap kekhalifahan manusia akhirnya akan membawa kepada suatu kejadian buruk yang tidak akan ada jalan undur. Penulis merayu kepada diri sendiri dan juga pembaca sekalian untuk memulai langkah itu dengan mulai memerhatikan ayat-ayat Tuhan melalui wahyu Al-Quran yang Tuhan telah turunkan kepada nabi dan rasul terakhir yang Tuhan utuskan kepada umat manusia.






Sunday, September 9, 2012

SURAH AL MULK AYAT 30 - TANDA MULA APABILA AIR YANG ADA MENJADI SIA-SIA



قل ارءيتم ان اصبح ماؤكم غورا
فمن ياءتيكم بماء معين

Katakanlah olehmu, apakah telah memandang kamu, sekiranya telah muncul ia oleh air kamu (suatu yang) sia-sia maka siapakah yang ia mendatangkan kepadamu dengan air mata air?


Katakanlah lagi: "Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (di telan bumi), maka siapakah (selain Allah) Yang dapat mendatangkan kepada kamu air Yang sentiasa terpancar mengalir?".


Dalam terjemahan yang biasa didapati غورا diterjemahkan sebagai kering. Iaitu ketika berlaku suatu yang mengakibat sumber air tidak lagi mengeluarkan air disebabkan oleh keadaan kemarau atau berlaku keracunan air sehingga air bersih tidak dapat dibekalkan. Keadaan yang seperti ini dapat berlaku pada zaman ini akibat daripada kerja-kerja kerosakan yang manusia lakukan sehingga punca air menjadi tercemar. Inilah akibatnya yang terjadi apabila amanah kekuasaan diserahkan kepada mereka yang hanya tahu merosakkan alam sekitar dengan penebangan terbuka kawasan hutan yang menjadi kawasan tadahan air.

i.  Banjir Atau Keracunan Dalam Air
 
Air tidak dapat bertahan lama di sungai disebabkan oleh kesan banjir kilat lalu bagaimanakah sejumlah air yang mencukupi dapat dikumpulkan? Inilah juga yang dapat berlaku akibat daripada masalah pencemaran air yang disingkirkan oleh kilang-kilang perusahaan dengan kaedah penyelesaian melalui habuan wang ringgit. Bagaimanakah suatu hari nanti, bahan yang mencemar air adalah bahan radioaktif yang beracun? Dapatkah air yang seperti ini dibersihkan? Di manakah penguatkuasaan yang berkesan dapat dilaksanakan agar umat dapat berada dalam pemerintahan yang diberkati? Terdapat kes-kes air perbekalan dicemari dengan bahan nitrat sehingga mengakibatkan kelahiran bayi biru. Lalu air seperti inikah yang layak dijadikan minuman atau keperluan bersuci? Ketahuilah bahan nitrat dalam air perbekalan tidak dapat disingkirkan oleh apa jua jenis penapis air dan hanya kaedah osmosis balikan dengan kos yang tinggi dapat mengasingkannya. 

ii. Air Jadi Masin Akibat Pencemaran Baja Di Udarakasa 


Bagaimanakah kesan pemerintahan sekarang ini sekiranya suatu masa nanti, pencemaran udarakasa yang teruk dengan lebihan haba daripada bahan bakar hidrokarbon dan peralatan-peralatan elektrik mengakibatkan kuantiti hujan menjadi sangat sedikit?  Bagaimanakah pula sekiranya air hujan yang turun rasanya masin (56:70) disebabkan kesan penggunaan baja ammonia dan nitrat, sulfat dan fosfat yang berlebihan diperolehi melalui proses sintetik? Lalu siapakah yang dapat menanggung kos pembersihan yang sentiasa meningkat dan terus meningkat sepanjang tahun? 


Dapatkah mereka menggunakan kaedah pembersihan yang disyorkan Tuhan melalui Al-Quran dan sekiranya mereka dapat lakukannya sekalipun, mampukah mereka menanggung kos yang sentiasa meningkat akibat daripada pencemaran berterusan tanpa kawalan? Lihatlah bencana yang sedang terjadi di negara-negara Barat. Hujan di negara mereka berasid sehingga mencemari kawasan flora dan fauna dan sehingga kawasan tadahan air terjejas teruk. Tasik Michigan sebagai contoh menyediakan air yang beracun sehingga ikan-ikan yang dapat hidup tidak boleh dimakan. Penggunaan baja NPK yang berlebihan mengakibatkan sungai-sungai di negara mereka menjadi sangat subur sehingga menumbuhkan rumpair-rumpair yang memenuhi dan menutup permukaan air dan menghabiskan bekalan oksigen dalam air berkenaan. 


Hidupan air seperti ikan dan sesiput mati secara mengejut disebabkan kekurangan oksigen untuk pernafasan. Adakah air yang dipenuhi dengan bekalan nitrat seperti ini sesuai dijadikan minuman? Kegelojohan apakah yang mereka amalkan dalam aktiviti pertanian, perusahaan dan pembangunan di negara mereka? Beginilah kesannya apabila suatu negara mengambil sistem ekonomi riba yang menjadi kelarangan Tuhan. Umat di negara mereka menjadi sangat sibuk membangunkan negara, demi kemajuan kononnya. Tanah air mereka, mereka sendiri rosakkan dan kehidupan mereka, mereka sendiri musnahkan.




Wednesday, September 5, 2012

SURAH AL MULK AYAT 29 -- SIAPAKAH ANTARA DUA GOLONGAN INI YANG SESAT?


قل هو الرحمن امنا به  وعليه  توكلنا
فستعلمون من هو فى ضلل مبين

Katakanlah olehmu, Dia Al-Rahman, telah beriman kami denganNya dan ke atasNya telah berserah kami, maka nanti kamu (akan) mengetahui siapakah (antara kita) adalah ia dalam kesesatan yang nyata?


Tegaskan (Wahai Muhammad, kepada mereka): "Allah Dia lah Yang Maha Pemurah, Yang Kami beriman kepadaNya, dan Yang kepadanya Kami berserah diri; oleh itu kamu akan mengetahui kelak siapakah Yang berada Dalam kesesatan Yang nyata". 

Tuhan Al-Rahman adalah Tuhan yang telah mengajar Al-Quran, Tuhan yang merekabentuk manusia dan Tuhan yang telah mengajar kepada manusia penerangan-penerangan (Al-Rahman 55:1-4). Kita dapati Al-Quran telah lengkap pada waktu ini. Namun tiadalah yang berupaya untuk mengungkapkannya kembali daripada tulisan-tulisan yang sedemikian adanya melainkan Dia jua. Oleh kerana telah menjadi budaya dalam masyarakat nusantara, mereka menubuhkan pusat-pusat pengajian Al-Quran, maka Al-Quran perlu dikaji. 

Sekiranya kerja-kerja pengajian Al-Quran hanya layak dilakukan oleh mereka yang diiktiraf telah mencapai tahap ilmu pengetahuan tertentu, nilai-nilai budaya setempat yang menggalakkan penubuhan pusat pengajian Al-Quran haruslah dilupakan begitu sahaja. Dengan membataskan sesuatu yang telah membudaya dalam kalangan masyarakat maka suatu konflik dalam masyarakat tentunya akan timbul. Melakukan kerja-kerja penggalakan yang kemudiannya diikuti dengan larangan perkara yang sama, tentunya mencetuskan suatu konflik. Beriman kepada Al-Rahman adalah beriman dengan Tuhan yang telah mengajarkan bahawa Al-Quran itu mudah. Siapakah pula yang mengajari bahawa Al-Quran itu teramat-amat sukar untuk dipelajari seolah-olah ia suatu kitab yang perlu dijauhi (17:41 & 25:30)? Pembelajaran Al-Quran tidak perlu terlalu diberati dengan ketepatan membacanya secara tajwid. 

Sekiranya diajarkan kepada umat bahawa membaca Al-Quran yang tersalah bacaan tajwid akan mengakibatkan ia menanggung dosa dan dilaknat Al-Quran itu sendiri dan nantinya akan dicampak ke neraka, tentunya pengajaran yang sedemikian mengakibatkan umat akan lari daripada pengajaran Al-Quran. Sebenarnya tanggapan negatif sedemikian telah diwarisi secara turun temurun sejak zaman silam lagi. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan melainkan yang berkata-kata sedemikian memperolehi autoriti untuk berkata-kata tentang Al-Quran dan umat jangan cuba hendak memandai-mandai dan mereka menghendaki umat, cukup bertaqlid melalui mereka terhadap perkara agama. Sekiranya seseorang mula mendalami pembelajaran agama di institusi pengajian tinggi selepas tamat zaman persekolahannya dan tempoh yang diperlukan untuk mempelajari Bahasa Arab adalah empat tahun, ianya akan hanya layak mem‘buka’ lembaran pengajian Al-Quran ketika berusia 22 tahun. Lalu bagaimanakah pula dengan tempoh ia perlu mempelajari pengajian tajwid, tarannum beserta latihan yang juga mengambil masa empat tahun, pengajian sorof dan bayan yang juga mengambil masa empat tahun?

Adakah setelah berusia 30 tahun baru ia layak membaca Al-Quran secara benar bacaannya untuk dipertandingkan di pertandingan musabaqah tilawah Al-Quran? Setakat ilmu tersebut, belum melayakkan ia menyampaikan pengajian tafsir Al-Quran lalu ia perlu sekali lagi mempelajari asbabun nuzul sehingga diiktiraf mahir setelah melalui tempoh pengajian empat tahun lagi. Ia perlu dilengkapi dengan ilmu Al-Hadith serta selok-belok Al-Hadith yang layak dinamai As-Sunnah juga memerlukan masa selama empat tahun lagi. Usia 38 tahun sebenarnya sepatutnya sudah melayakkan ia memiliki Ph. D. yang didukung oleh orientalis Barat dalam menyampaikan hal-hal yang berkaitan dengan agama! Tidak cukup dengan itu, ia harus mempelajari usuluddin dan usul fiqh untuk memperkukuhkan aqidah dan ibadahnya juga setiapnya memerlukan masa empat tahun. Pengajian kemudian menjadi lengkap setelah ia mempelajari tentang falsafah dan kerohanian meliputi gerakan-gerakan kerohanian dan tareqah juga selama empat tahun. Ia harus juga mahir sekurang-kurangnya satu cabang ilmu fardu kifayah seperti pengajian kimia atau geofizik selama empat tahun juga. Kemudian menjelang usianya 54 tahun barulah ia layak menyampaikan pelajaran tafsir Al-Quran. Sekiranya ia melalui disiplin yang sama untuk menyampaikan dakwah melalui pengajian tafsir kepada pelajar-pelajarnya, tentunya ia akan wafat terlebih dahulu sebelum berkesempatan menyaksikan pelajar-pelajarnya menerima pengiktirafan ijazah sepertinya.

Beginilah disiplin ilmu yang diamalkan suatu masa dahulu di Cordoba, Andalusia yang kemudiannya mereka menerima tamparan sehingga dapat ditewaskan dengan mudah sekali oleh tentera Frank di bawah pimpinan Isabella. Umat menjadi rosak disebabkan oleh pengaruh budaya Kristian yang terserap masuk lantaran tidak dapat ditepis oleh 'ulama-ulama' yang tidak habis-habis dengan pengajian mereka. Sekiranya prinsip “the end justifies the mean” digunapakai, tentunya kaedah sedemikian merupakan kaedah yang amat-amat salah diamalkan kerana kaedah sedemikian akhirnya menyebabkan sebuah kerajaan tumbang terlebih dahulu sebelum suatu ilmu itu dapat dipraktikkan. Adakah ahli-ahli tafsir seperti itu mampu mendapatkan kupasan daripada Al-Quran supaya masalah perubahan cuaca dapat diatasi? Adakah mereka dapat diharap untuk memberi rumusan-rumusan terbaik bagi menghasilkan pesawat terbang yang dapat terapung di udara tanpa kipas? Sesungguhnya apa yang berlaku terhadap masyarakat Islam di Andalusia adalah suatu yang menyayat hati. Mereka adalah kesinambungan sejarah kerajaan Bani Umayyah yang merampas hak kekhalifahan dan keimaman di bawah Ahlul Bait. Mereka telah terbiasa melantik ‘ulama-ulama’ untuk mengeluarkan fatwa bagi menyusahkan disiplin agama kerana khuatir akan terdapat pengajaran-pengajaran benar daripada Al-Quran dan As- Sunnah yang menjurus kepada kewajiban menyerahkan urusan kekuasaan pemerintahan kepada Ahlul Bait.

Sebenarnya terdapat kaedah yang lebih baik
daripada mengapungkan objek menggunakan
Laser. Gambaran video menunjukkan cahaya
laser yang ditembak dari bawah mengakibatkan
nyalaan ion di bumbung makmal.

Dengan mencengkam kaedah pengajaran agama dan memperkenalkan disiplin agama dengan cara sebegitu akhirnya kaedah seperti yang dinyatakan ini telah diterima pakai dalam pentadbiran dan masyarakat. Jadilah umat mempelajari agama dengan disiplin yang amat ketat serta mencengkam sehingga mereka tidak lagi mengetahui tujuan solah dan zakat. Terdapat pada zaman mutakhir ini, kesan daripada kaedah pengajaran sedemikian sehingga ada ‘ulama-ulama’ yang bermesyuarat untuk membuang amalan selawat kepada RasululLah S.A.W. dan Ahlul Bait daripada menjadi salah satu kewajiban ajaran agama.

Mengapa tidak mereka menerima sahaja pengajaran Tuhan secara benar? Sekiranya mereka menyerahkan ketaatan kepada individu yang diiktiraf  Tuhan, tentunya mereka akan dilingkungi dengan rahmat yang luas daripada Tuhan dengan izinNya. Siapakah yang mengakibatkan kepentingan menyediakan persenjataan diabaikan sehingga mengakibatkan negara-negara umat Islam hampir semuanya menjadi negara-negara jajahan yang kekal sehingga kini mengekalkan nilai-nilai penjajah? Siapakah yang mencengkam disiplin ilmu sehingga umat Islam kini menghadapi zaman fitnah yang amat dahsyat? Kesucian muslimah dirobek begitu sahaja oleh golongan ingkar tanpa sedikitpun diberi perhatian oleh penjawat-penjawat masakini.

Mereka hanya memikirkan persoalan kemewahan hidup dan bersenang lenang dan meredhai sistem penjajah kekal menguasai negara. Akhirnya kesesatan bukan sahaja melanda golongan yang ingkar bahkan kepada umat ini juga apabila pengamalan agama dihadkan sebagai amalan individu atau kumpulan. Penjawat-penjawat yang dilantik menuduh sesat pihak lain tetapi dalam kalangan penganut agama yang manakah paling ramai sekali murtad? Mereka menjadi bingung dengan sistem agama yang dilaksanakan oleh penjawat-penjawat sedemikian yang tidak langsung menunjukkan rasa takut kepada Tuhan untuk dipertanggungjawabkan tentang hal umat di hadapan Tuhan nantinya. Ketahuilah kemuncak daripada pengingkaran akan berlaku apabila generasi terdahulu iaitu RasululLah S.A.W., para sahabat dan Ahlul Bait menjadi bahan laknat umat masakini, kerana dianggap memperkenalkan agama yang sebegini rupa, yang sedikitpun tidak menunjukkan ciri-ciri pembelaan terhadap umat dan juga kitab suci Al-Quran, dijadikan bahan kejian dan bukannya kajian.





Sunday, September 2, 2012

SURAH AL MULK AYAT 28 -- GOLONGAN BERIMAN MUNGKIN JUGA TERKENA BENCANA AKIBAT PEKERJAAN GOLONGAN INGKAR


قل ارءيتم ان اهلكنى الله و من معى
او رحمنا فمن يجرا الكفرين من عذاب اليم

Katakanlah olehmu, adakah telah melihat olehmu, sekiranya telah membinasakan Ia akan daku oleh Allah dan sesiapa sahaja besertaku atau telah memberi rahmat Ia akan kami, maka siapakah yang ia membela akan orang-orang yang ingkar itu daripada azab yang pedih?

Tanyalah (Wahai Muhammad, kepada mereka): "Bagaimana fikiran kamu, jika Allah binasakan daku dan orang-orang Yang bersama-sama denganku (sebagai-mana Yang kamu harap-harapkan), atau ia memberi rahmat kepada Kami (sehingga Kami dapat mengalahkan kamu), - maka siapakah Yang dapat melindungi orang-orang Yang kafir dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya?".

Sekiranya bencana yang diusahakan oleh golongan yang ingkar, turut menimpa golongan yang beriman dalam kehidupan di dunia ini, siapakah yang akan menjadi pembela terhadap golongan yang beriman daripada bencana yang menimpa mereka. Begitu juga bencana yang menimpa golongan yang ingkar, siapakah yang akan membela mereka daripada azab yang pedih, sedang mereka sendiri selamanya menidakkan adanya pembelaan Tuhan? Perkataan جر daripada يجرا daripada ayat ini dan perkataan جير  daripada يجيرنى pada (72:22) harus diterjemahkan berdasarkan kontak ayat. Kedua-duanya memberi makna utus atau wakil dan pada ayat ini lebih tepat untuk diertikan sebagai pembela. 
 
Golongan ingkar mendiami bumi ini, begitu juga golongan yang beriman. Golongan yang ingkar berusaha sedaya upaya sehingga membawa kerosakan kepada bumi ini, sedangkan golongan yang beriman yang sedikit jumlahnya, sentiasa berusaha memperingati golongan ingkar akan keadaan perbuatan mereka sehingga akan terjadi bencana yang bukan sahaja menimpa mereka bahkan pihak yang lain juga. Lalu golongan yang ingkar tidak mempercayai semua itu.

Kemudian berlaku bencana sedikit demi sedikit dan masih juga golongan yang ingkar mendakwa bahawa kejadian berkenaan merupakan suatu fenomena biasa atau kuasa alam atau kesan anomali daripada perubahan cuaca. Adakah golongan yang beriman mampu untuk melakukan sesuatu usaha kerja baik pulih, sedangkan jumlah mereka hanyalah sedikit? Melainkan hanya sekadar membentuk amalan hidup berjamaah secara kecil-kecilan untuk mematuhi peraturan Tuhan menurut sesuatu yang terdaya mereka lakukan. Secara umum, bencana akan mengenai mereka yang melakukan kesalahan-kesalahan serta penderhakaan kepada Tuhan (69:11). Dengan fenomena alam yang sama, Tuhan pernah menyelamatkan Bani Israel dan mendatangkan bencana kepada Fir’aun. Sebagai contoh, mengapakah kejadian-kejadian bencana taufan yang merosakkan tanaman dan juga kediaman banyak menimpa golongan yang ingkar sehingga  mengakibatkan mereka menderita kerugian? Dengan yang demikian mereka terpaksa mengimport keperluan mereka dari negara-negara umat Islam sehingga ekonomi umat Islam sedikit terbantu. 

Yang sebenarnya, golongan ingkar tidak memahami Al-Quran (17:45-46) sekalipun mereka adalah ahli yang pakar darihal fenomena alam yang berlaku. Sekalipun mereka itu pakar dalam bidang-bidang tertentu yang mereka pelajari dari universiti-universiti luar negara. Mereka tercari-cari punca kepada permasalahan yang berlaku yang banyak mendatangkan bencana kepada mereka. Bagaimana dapat mereka memahami Al-Quran kerana antara mereka dan golongan yang beriman, Tuhan telah sediakan suatu hijab yang tertutup (17:45). Terdapat suatu sumbatan dalam telinga mereka sehingga mereka berasa sangat sukar untuk memahami Al-Quran.

Mereka terkial-kial dalam mendapatkan jawapan daripada fenomena alam atau daripada guru-guru mereka yang pakar, seolah-olah mereka adalah manusia yang berjalan secara menelungkup (67:22) dan bukannya berjalan secara betul dengan panduan Tuhan. Adakah mereka ini dapat diharap untuk memakmurkan bumi ini? Sedangkan mereka sendiri tidak dapat diharap untuk mengambil berat terhadap masalah yang berlaku ke atas bumi dan mereka sendiri sentiasa menjadi mangsa terhadap percaturan mereka. Siapakah sebenarnya yang akan membela mereka akibat daripada perbuatan mereka sendiri? Mereka selama ini sentiasa diperingati dengan ayat-ayat suci Tuhan lalu bagaimanakah mereka dapat mengambil pelajaran yang berguna kalau keadaan mereka selama ini sentiasa menutup telinga mereka? Bagaimanakah petunjuk Tuhan dapat sampai sedangkan mereka bukanlah golongan yang bersedia?

Popular