هو
الذى جعل لكم الارض ذلولا فامشوا
فى مناكبها وكلوا من رزقه واليه النشور
Dia yang telah mengadakan Ia bagi kamu akan bumi itu, suatu rentetan
(peristiwa), maka mengembaralah olehmu pada tempat-tempat peristiwanya dan
makanlah olehmu daripada rezekiNya dan kepadaNya kebangkitan.
Dialah Yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah
di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki Yang dikurniakan
Allah dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah)
dibangkitkan hidup semula (maka hargailah nikmatNya dan takutilah
kemurkaanNya).
i. Peristiwa Dan Rentetannya
Perkataan ﺫﻟﻮﻻ diterjemahkan sebagai suatu rentetan, tetapi dalam
terjemahan yang lain dinyatakan sebagai suatu yang mudah. Perkataan asalnya
dalam bahasa Arab merujuk kepada jelaan kain (trail). Perkataan ﻣﻨﺎﻛﺒ daripada kata asal ﻧﻜﺐ iaitu telah menimpa susah ia, oleh itu ﻣﻨﺎﻛﺒﻬﺎ adalah lebih sesuai
diterjemahkan sebagai tempat atau masa berlaku suatu peristiwa, iaitu
tempat-tempat bersejarah. Peristiwa Nakba adalah peristiwa penyingkiran rakyat
Palestin dari tanah air mereka. Dalam terjemahan lain dinyatakan sebagai
segenap penjuru.
ii. Perintah Mengembara Untuk Mengkaji
Peristiwa Dan Rentetannya
Perkataan ﺫﻟﻮﻻ dipasangkan dengan ﻣﻨﺎﻛﺒ adalah sesuai untuk diterjemahkan sebagai rentetan
iaitu suatu kesinambungan peristiwa bersejarah diikuti tempat-tempat
bersejarah. Cuba
bandingkan dengan terjemahan yang biasa ditemui iaitu “Dialah yang menjadikan
bumi itu mudah bagimu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah
sebahagian daripada rezekiNya dan hanya kepadaNya kamu dibangkitkan”. Penulis
hanya sekadar memberi komentar bahawa terjemahan yang biasa sedemikian akan menjurus
perintah kepada manusia, melalui kemudahan yang Tuhan sediakan pada mukabumi
ini, supaya mereka banyak melancong!
Setiap langkah adalah sejarah, bumi mengalami
rentetan pergerakan geologi sehingga yang terkini adalah pemandangan yang dapat
dilihat oleh manusia sekarang ini. Manusia mencatat rentetan sejarah dan
terdapat tempat-tempat bersejarah yang dapat disaksikan agar perkara yang
demikian dapat dipelajari. Kemudian mereka akan mengetahui apakah
peristiwa-peristiwa besar yang menjadi sejarah terhadap peradaban dunia
masakini? Mengapakah peradaban sering kali berubah? Sebagai contoh, dunia
kepulauan Melayu sebelum ini dihubungkan dengan tulisan Sanskrit pada masa
pemerintahan Sri Vijaya, kemudian beralih kepada penulisan Anacaraka pada masa
pemerintahan Majapahit sebaik sahaja Sri Vijaya dikalahkan. Kerajaan Melayu
berpindah ke Melaka dan mula mengambil tulisan Jawi daripada pengaruh Arab dan
terkini adalah tulisan Roman dengan pernomboran Arab yang dibawa oleh penjajah
Barat. Tulisan Sanskrit dan Anacaraka telah luput ditelan zaman, yang tinggal
hanyalah catatan sejarah yang dapat dipelajari. Demikianlah Tuhan perintahkan
agar umat ini mempelajari rentetan sejarah dari tempat-tempat bersejarah agar
mereka memahami masa silam, perkara-perkara yang berlaku sehinggalah masakini
tentang latar belakang cara kehidupan yang ditempuhi umat. Bukan sekadar
membawa pelancong-pelancong luar masuk untuk membawa dan memperkenalkan budaya
mereka kepada masyarakat tempatan yang tidak dapat dinilai secara ekonomi.
iii. Melakukan Simulasi Peristiwa Silam
Daripada
penjelajahan sedemikian seseorang dapat mempelajari peradaban silam dan
membandingkannya dengan peradaban masakini, kehebatan-kehebatan keagungan silam
serta kesalahan-kesalahan mereka sehingga mengakibatkan keruntuhan peradaban
mereka. Sebagai contoh, suatu perkara penting yang dapat dipelajari ialah
bagaimana peradaban Islam telah melalui zaman kegemilangan kesan daripada
kebersihan iman mereka kepada Tuhan membawa kepada usaha bersungguh-sungguh memainkan
peranan sebagai khalifah Tuhan di mukabumi ini. Kemudian mereka mengambil
pendirian mempersekutukan Tuhan, sehingga mereka bertelingkah tentang agama
mereka dan juga perkara-perkara keduniaan, bekerja bersungguh-sungguh mengumpul
harta benda dan memenuhi kehendak hawa nafsu. Akhirnya mereka ditimpa kelemahan
sehingga terjerat dengan perangkap musuh yang sentiasa mencari-cari peluang
menjatuhkan pemerintahan mereka. Hendaknya mereka terus mempersekutu Tuhan
sekiranya mereka menghendaki jadi umat yang terhina lagi terlaknat.
No comments:
Post a Comment