SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Friday, October 12, 2012

SURAH ALI IMRAN AYAT 26 - PERANAN KERAJAAN SEBAGAI PEMBAWA KEBAJIKAN


قل اللهم ملك الملك تؤتى الملك من تشاء
وتنزع الملك ممن تشاء وتعز من تشاء وتذل من تشاء
بيدك الخير انك على كل شىء قدير

Sejauh mana peranan kerajaan yang dibentuk dapat menyebarluaskan kebajikan meliputi sebahagian besar rakyatnya serta kestabilan kehidupan flora dan fauna serta penjagaan persekitaran yang baik, selama itulah sesebuah kerajaan itu dijangka akan dapat bertahan dengan lebih lama. Penulis tidak menafikan kesan sistem demokrasi yang dituruti dengan ekonomi kapitalis, setakat ini telah berjaya membangunkan pembangunan-pembangunan yang pesat bagi sesebuah negara. Namun keburukan sistem pemerintahan dan ekonomi sedemikian, akhirnya akan menjurus kepada kerosakan alam persekitaran dan juga kehidupan manusia itu sendiri. Kepesatan pembangunan di negara ini, tidak dapat tidak, harus diakui oleh sesiapapun jua, lebih menjurus kepada tekanan inflasi yang sedikit sebanyak, telah menyukarkan kehidupan rakyat. Penulis percaya, sebarang perubahan pemerintahan yang masih mengekalkan sistem demokrasi berasaskan ekonomi kapitalis, tetap akan membawa kesan buruk yang berterusan kepada rakyat. Masalah jenayah pastinya tidak akan berkurangan dan perhimpunan rakyat di atas jalanraya pastinya tidak akan dapat dihentikan. Tuntutan rakyat akhirnya akan menjurus sesebuah negara untuk mengamalkan sistem yang menghampiri sistem pemerintahan demokratik sosialis. Setakat ini belum ada negara sedemikian yang pernah wujud.

Katakanlah olehmu, Ya Allah, yang memiliki Kerajaan, Engkau beri kerajaan itu, barangsiapa yang Engkau kehendaki, Engkau mencabut kerajaan itu daripada barangsiapa yang Engkau kehendaki, Engkau perkuatkan barangsiapa yang engkau kehendaki dan Engkau melemahkan barangsiapa yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkau kebajikan. Sesungguhnya Engkau atas segala sesuatu Maha Kuasa.

Katakanlah (Wahai Muhammad): Wahai Tuhan Yang mempunyai Kuasa pemerintahan! Engkaulah Yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang mencabut Kuasa pemerintahan dari sesiapa Yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga Yang me-muliakan sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang menghina sesiapa Yang Engkau kehendaki. Dalam ke-kuasaan Engkaulah sahaja adanya Segala kebaikan. Se-sungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Sekiranya beberapa lapisan langit yang terbentuk adalah melalui proses-prosesnya yang tertentu, sehingga keseimbangan berlaku dan sehingga bumi berupaya menampung hidupan (55:10), demikian itu sifat kerajaan Tuhan yang merekabentuk beberapa lapisan langit. Betapa manusia harus mempelajarinya secara teliti, untuk membentuk kerajaan mereka sendiri. Kiranya kerajaan yang manusia bentuk, dapat memelihara keseimbangan pembentukan lapisan langit, kestabilan hidupan flora dan fauna, kestabilan struktur yang sedia terdapat di permukaan bumi serta kebaikan-kebaikan kepada umat manusia sendiri dalam menempuh kehidupan mereka, betapa kerajaan sedemikian adalah dijangka dapat bertahan dalam tempoh yang agak lama. Dalam hal ini, sistem pemerintahan demokratik kapitalis telah menunjukkan kegagalannya dalam mengekalkan keadaan bumi yang selamat. Sistem komunis sosialis pula amat menindas kehidupan beragama manusia serta merencat aktiviti mereka berkreativiti.

Kaedah pemerintahan demokrasi bukanlah penyebab kepada kebejatan sistem pemerintahan yang dibentuk. Keutamaan mementing suara ramai hanya dapat rosak akibat pengaruh penguasaan kapitalis yang condong untuk memperkayakan sebelah pihak sahaja. Usaha melobi pemerintahan akhirnya mengakibatkan berlaku ketidakadilan dalam kehidupan bermasyarakat. Sekalipun sistem ekonomi kapitalis menggalakkan umat supaya rajin bekerja, namun batasan-batasan dalam pekerjaan yang gagal dibentuk akhirnya menyebabkan kerosakan alam dengan kejadian-kejadian yang dapat memusnahkan kehidupan manusia sendiri.

Kaedah ekonomi sosialis pula bukanlah menjadi penyebab kepada keruntuhan sesebuah masyarakat. Sistem ekonomi sosialis mengambil kira kebajikan setiap ahli masyarakat dan pada masa yang sama, setiap masyarakat dikehendaki menunjukkan komitmen bekerja untuk kemajuan negara. Oleh itu sistem sosialis lebih mudah untuk menolak penguasaan harta atau komoditi oleh individu sekalipun atas nama syarikat dan masyarakat sosialis lebih mudah untuk menerima penggunaan wang maya berbanding masyarakat kapitalis. Cukai yang sangat rendah atau kehidupan tanpa cukai sama sekali, sebenarnya dapat membendung inflasi dalam negara. Sekalipun kreativiti setiap individu kurang dititik beratkan dalam sistem sosialis dan mereka lebih menumpukan kepada usaha kemandirian, namun keprihatinan kerajaan yang dibentuk dapat mengatasi banyak daripada permasalahan sosial manusia. Kehancuran negara-negara blok komunis adalah lebih disebabkan oleh bentuk pemerintahan komunis yang kurang memberi kebebasan beragama ahli masyarakat serta halangan-halangan kepada mereka, membentuk persatuan-persatuan yang dapat mengeratkan hubungan sosial mereka. Mereka terlampau dipaksakan dengan ideologi komunis.




No comments:

Post a Comment

Popular