SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Sunday, September 2, 2012

SURAH AL MULK AYAT 28 -- GOLONGAN BERIMAN MUNGKIN JUGA TERKENA BENCANA AKIBAT PEKERJAAN GOLONGAN INGKAR


قل ارءيتم ان اهلكنى الله و من معى
او رحمنا فمن يجرا الكفرين من عذاب اليم

Katakanlah olehmu, adakah telah melihat olehmu, sekiranya telah membinasakan Ia akan daku oleh Allah dan sesiapa sahaja besertaku atau telah memberi rahmat Ia akan kami, maka siapakah yang ia membela akan orang-orang yang ingkar itu daripada azab yang pedih?

Tanyalah (Wahai Muhammad, kepada mereka): "Bagaimana fikiran kamu, jika Allah binasakan daku dan orang-orang Yang bersama-sama denganku (sebagai-mana Yang kamu harap-harapkan), atau ia memberi rahmat kepada Kami (sehingga Kami dapat mengalahkan kamu), - maka siapakah Yang dapat melindungi orang-orang Yang kafir dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya?".

Sekiranya bencana yang diusahakan oleh golongan yang ingkar, turut menimpa golongan yang beriman dalam kehidupan di dunia ini, siapakah yang akan menjadi pembela terhadap golongan yang beriman daripada bencana yang menimpa mereka. Begitu juga bencana yang menimpa golongan yang ingkar, siapakah yang akan membela mereka daripada azab yang pedih, sedang mereka sendiri selamanya menidakkan adanya pembelaan Tuhan? Perkataan جر daripada يجرا daripada ayat ini dan perkataan جير  daripada يجيرنى pada (72:22) harus diterjemahkan berdasarkan kontak ayat. Kedua-duanya memberi makna utus atau wakil dan pada ayat ini lebih tepat untuk diertikan sebagai pembela. 
 
Golongan ingkar mendiami bumi ini, begitu juga golongan yang beriman. Golongan yang ingkar berusaha sedaya upaya sehingga membawa kerosakan kepada bumi ini, sedangkan golongan yang beriman yang sedikit jumlahnya, sentiasa berusaha memperingati golongan ingkar akan keadaan perbuatan mereka sehingga akan terjadi bencana yang bukan sahaja menimpa mereka bahkan pihak yang lain juga. Lalu golongan yang ingkar tidak mempercayai semua itu.

Kemudian berlaku bencana sedikit demi sedikit dan masih juga golongan yang ingkar mendakwa bahawa kejadian berkenaan merupakan suatu fenomena biasa atau kuasa alam atau kesan anomali daripada perubahan cuaca. Adakah golongan yang beriman mampu untuk melakukan sesuatu usaha kerja baik pulih, sedangkan jumlah mereka hanyalah sedikit? Melainkan hanya sekadar membentuk amalan hidup berjamaah secara kecil-kecilan untuk mematuhi peraturan Tuhan menurut sesuatu yang terdaya mereka lakukan. Secara umum, bencana akan mengenai mereka yang melakukan kesalahan-kesalahan serta penderhakaan kepada Tuhan (69:11). Dengan fenomena alam yang sama, Tuhan pernah menyelamatkan Bani Israel dan mendatangkan bencana kepada Fir’aun. Sebagai contoh, mengapakah kejadian-kejadian bencana taufan yang merosakkan tanaman dan juga kediaman banyak menimpa golongan yang ingkar sehingga  mengakibatkan mereka menderita kerugian? Dengan yang demikian mereka terpaksa mengimport keperluan mereka dari negara-negara umat Islam sehingga ekonomi umat Islam sedikit terbantu. 

Yang sebenarnya, golongan ingkar tidak memahami Al-Quran (17:45-46) sekalipun mereka adalah ahli yang pakar darihal fenomena alam yang berlaku. Sekalipun mereka itu pakar dalam bidang-bidang tertentu yang mereka pelajari dari universiti-universiti luar negara. Mereka tercari-cari punca kepada permasalahan yang berlaku yang banyak mendatangkan bencana kepada mereka. Bagaimana dapat mereka memahami Al-Quran kerana antara mereka dan golongan yang beriman, Tuhan telah sediakan suatu hijab yang tertutup (17:45). Terdapat suatu sumbatan dalam telinga mereka sehingga mereka berasa sangat sukar untuk memahami Al-Quran.

Mereka terkial-kial dalam mendapatkan jawapan daripada fenomena alam atau daripada guru-guru mereka yang pakar, seolah-olah mereka adalah manusia yang berjalan secara menelungkup (67:22) dan bukannya berjalan secara betul dengan panduan Tuhan. Adakah mereka ini dapat diharap untuk memakmurkan bumi ini? Sedangkan mereka sendiri tidak dapat diharap untuk mengambil berat terhadap masalah yang berlaku ke atas bumi dan mereka sendiri sentiasa menjadi mangsa terhadap percaturan mereka. Siapakah sebenarnya yang akan membela mereka akibat daripada perbuatan mereka sendiri? Mereka selama ini sentiasa diperingati dengan ayat-ayat suci Tuhan lalu bagaimanakah mereka dapat mengambil pelajaran yang berguna kalau keadaan mereka selama ini sentiasa menutup telinga mereka? Bagaimanakah petunjuk Tuhan dapat sampai sedangkan mereka bukanlah golongan yang bersedia?

No comments:

Post a Comment

Popular