SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Sunday, August 26, 2012

SURAH AL MULK AYAT 26 - ILMU TENTANG PERKARA YANG DIJANJIKAN ADA DI SISI TUHAN



قل انما العلم عندالله وانما انا نذير مبين


Katakanlah olehmu, sesungguhnya tidak lain hanya, ilmu itu di sisi Allah dan sesungguhnya tidak lain hanya aku pemberi amaran yang terang. 


Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah, dan Sesungguhnya Aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran Yang terang nyata".

i.    Mereka Mendesak RasululLah S.A.W. Dan 
      Golongan Beriman. 

Mereka menghendaki supaya RasululLah S.A.W. serta orang-orang yang beriman dapat mengkhabarkan kepada mereka masa akan terjadi janji peristiwa yang sedemikian. Mereka benar-benar mendesak RasululLah S.A.W. dan golongan yang beriman seolah-olah RasululLah S.A.W. mengetahui perihal yang sedemikian. Mengapakah mereka beria-ia benar untuk mengetahui tentang masa akan terjadinya kehancuran? Adakah di sisi mereka kekuatan untuk membina penempatan-penempatan yang jauh dari mukabumi ini sehingga mereka dapat melarikan diri semasa kejadian berkenaan berlaku? Ataukah bagi mereka suatu penempatan yang kukuh di bawah permukaan bumi, yang kebal terhadap gegaran atau apa-apa perubahan yang berlaku di permukaan bumi ini?

ii.   Bencana yang Menyebabkan Mereka 
      Saling Memandang. 

Apabila berlaku bencana yang dijanjikan kepada mereka (73:14 dan 70:8/9), mereka saling memandang sesama mereka, agar mereka terpilih untuk dicalonkan dalam golongan yang diselamatkan. Mereka tidak lagi memperduli hubungan kekeluargaan sesama mereka dan tidak kepada sahabat handai dan tidak juga kepada rakan taulan. Masing-masing mereka hanya mementingkan diri sendiri yang selama ini begitulah sikap mereka yang sentiasa mengutamakan diri sendiri tanpa memperduli nasib manusia sejagat. Mereka tidak memperduli amaran-amaran melalui risalah kerasulan, tidak juga mereka memperduli amaran yang disampaikan orang-orang yang paling berakal dalam kalangan mereka sendiri. Iaitu tentang bencana yang akan berlaku kesan daripada usaha mereka merosakkan alam persekitaran mereka sendiri.

iii.   Sesungguhnya Ilmu Itu Hanya 
       Di sisi Allah

Secara umumnya ayat ini menjelaskan bahawa ilmu itu adalah pengetahuan tentang As-Saah. Dalam memahami ayat sedemikian, pendirian umum para ulama adalah menidakkan terus ilmu yang sedemikian itu ada pada sebahagian manusia sekalipun ada ayat yang menjelaskan bahawa pengetahuan tentang As-Saah ada pada Nabi Isa A.S. Terdapat ayat lain iaitu dalam surah Al-Jin (72:27) yang menyatakan tentang pengetahuan sedemikian diberi kepada utusanNya yang terpilih serta yang diredhai. Seterusnya mereka berhujah sekiranya Nabi Muhammad S.A.W. mengetahui tentunya baginda tidak akan merahsiakannya. Sebenarnya baginda mengetahuinya pada tahap-tahap tertentu dan baginda merahsiakannya kecuali kepada sahabat-sahabat tertentu seperti Abu Hurairah R.A. dan Saidina Ali R.A. yang akan menjaga rahsia berkenaan dan memberitahunya kepada mereka dengan pemberitahuan terpilih. Adakah RasululLah S.A.W. tidak memberitahu semua perkara kepada semua sahabat baginda? Sedangkan dalam hal-hal yang berkaitan dengan pengamalan syariat Islam sebelum ini, umat sedia terbahagi kepada empat mazhab kefahaman yang utama. Setiap mazhab mengamalkan syariat Islam dengan cara yang sedikit berbeza disebabkan sumber-sumber penerimaan As-Sunnah yang berbeza dan juga kefahaman yang berbeza. RasululLah S.A.W. telah memberitahu semua perkara yang diterima, hanya ada di antara perkara-perkara tertentu tidak sampai kepada sahabat-sahabat baginda yang lain. Yang demikian mengakibatkan jalan memahami satu-satu perintah Tuhan menjadi berbeza antara umat. Perbezaan ini tidak harus menyebabkan mereka bertelingkah dan ikhtilaf dalam kalangan umat adalah suatu rahmat. Sekiranya seseorang ingin mengetahui perkara ghaib berkenaan, hendaklah ia mendapatkannya dari sisi Tuhan yang demikian itu kerana Isa Al-Masih mendapatkannya dari sisi Tuhan. Perkataan انما haruslah difahami sebagai pembatas iaitu ilmu As-Saah merupakan ilmu yang ada di sisi Tuhan dan untuk mendapatkannya perlulah seseorang itu mendapatkannya dari sisi Tuhan dan tiada larangan.






No comments:

Post a Comment

Popular