قل هو الرحمن امنا به وعليه توكلنا
فستعلمون من هو فى ضلل مبين
Katakanlah olehmu, Dia Al-Rahman, telah beriman kami denganNya dan ke atasNya telah berserah kami, maka nanti kamu (akan) mengetahui siapakah (antara kita) adalah ia dalam kesesatan yang nyata?
Tegaskan (Wahai Muhammad, kepada mereka): "Allah Dia lah Yang Maha Pemurah, Yang Kami beriman kepadaNya, dan Yang kepadanya Kami berserah diri; oleh itu kamu akan mengetahui kelak siapakah Yang berada Dalam kesesatan Yang nyata".
Tuhan Al-Rahman adalah Tuhan yang telah mengajar Al-Quran, Tuhan yang merekabentuk manusia dan Tuhan yang telah mengajar kepada manusia penerangan-penerangan (Al-Rahman 55:1-4). Kita dapati Al-Quran telah lengkap pada waktu ini. Namun tiadalah yang berupaya untuk mengungkapkannya kembali daripada tulisan-tulisan yang sedemikian adanya melainkan Dia jua. Oleh kerana telah menjadi budaya dalam masyarakat nusantara, mereka menubuhkan pusat-pusat pengajian Al-Quran, maka Al-Quran perlu dikaji.
Sekiranya kerja-kerja pengajian Al-Quran hanya layak dilakukan oleh mereka yang diiktiraf telah mencapai tahap ilmu pengetahuan tertentu, nilai-nilai budaya setempat yang menggalakkan penubuhan pusat pengajian Al-Quran haruslah dilupakan begitu sahaja. Dengan membataskan sesuatu yang telah membudaya dalam kalangan masyarakat maka suatu konflik dalam masyarakat tentunya akan timbul. Melakukan kerja-kerja penggalakan yang kemudiannya diikuti dengan larangan perkara yang sama, tentunya mencetuskan suatu konflik. Beriman kepada Al-Rahman adalah beriman dengan Tuhan yang telah mengajarkan bahawa Al-Quran itu mudah. Siapakah pula yang mengajari bahawa Al-Quran itu teramat-amat sukar untuk dipelajari seolah-olah ia suatu kitab yang perlu dijauhi (17:41 & 25:30)? Pembelajaran Al-Quran tidak perlu terlalu diberati dengan ketepatan membacanya secara tajwid.
Sekiranya diajarkan kepada umat bahawa membaca Al-Quran yang tersalah bacaan tajwid akan mengakibatkan ia menanggung dosa dan dilaknat Al-Quran itu sendiri dan nantinya akan dicampak ke neraka, tentunya pengajaran yang sedemikian mengakibatkan umat akan lari daripada pengajaran Al-Quran. Sebenarnya tanggapan negatif sedemikian telah diwarisi secara turun temurun sejak zaman silam lagi. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan melainkan yang berkata-kata sedemikian memperolehi autoriti untuk berkata-kata tentang Al-Quran dan umat jangan cuba hendak memandai-mandai dan mereka menghendaki umat, cukup bertaqlid melalui mereka terhadap perkara agama. Sekiranya seseorang mula mendalami pembelajaran agama di institusi pengajian tinggi selepas tamat zaman persekolahannya dan tempoh yang diperlukan untuk mempelajari Bahasa Arab adalah empat tahun, ianya akan hanya layak mem‘buka’ lembaran pengajian Al-Quran ketika berusia 22 tahun. Lalu bagaimanakah pula dengan tempoh ia perlu mempelajari pengajian tajwid, tarannum beserta latihan yang juga mengambil masa empat tahun, pengajian sorof dan bayan yang juga mengambil masa empat tahun?
Adakah setelah berusia 30 tahun baru ia layak membaca Al-Quran secara benar bacaannya untuk dipertandingkan di pertandingan musabaqah tilawah Al-Quran? Setakat ilmu tersebut, belum melayakkan ia menyampaikan pengajian tafsir Al-Quran lalu ia perlu sekali lagi mempelajari asbabun nuzul sehingga diiktiraf mahir setelah melalui tempoh pengajian empat tahun lagi. Ia perlu dilengkapi dengan ilmu Al-Hadith serta selok-belok Al-Hadith yang layak dinamai As-Sunnah juga memerlukan masa selama empat tahun lagi. Usia 38 tahun sebenarnya sepatutnya sudah melayakkan ia memiliki Ph. D. yang didukung oleh orientalis Barat dalam menyampaikan hal-hal yang berkaitan dengan agama! Tidak cukup dengan itu, ia harus mempelajari usuluddin dan usul fiqh untuk memperkukuhkan aqidah dan ibadahnya juga setiapnya memerlukan masa empat tahun. Pengajian kemudian menjadi lengkap setelah ia mempelajari tentang falsafah dan kerohanian meliputi gerakan-gerakan kerohanian dan tareqah juga selama empat tahun. Ia harus juga mahir sekurang-kurangnya satu cabang ilmu fardu kifayah seperti pengajian kimia atau geofizik selama empat tahun juga. Kemudian menjelang usianya 54 tahun barulah ia layak menyampaikan pelajaran tafsir Al-Quran. Sekiranya ia melalui disiplin yang sama untuk menyampaikan dakwah melalui pengajian tafsir kepada pelajar-pelajarnya, tentunya ia akan wafat terlebih dahulu sebelum berkesempatan menyaksikan pelajar-pelajarnya menerima pengiktirafan ijazah sepertinya.
Beginilah disiplin ilmu yang diamalkan suatu masa dahulu di Cordoba, Andalusia yang kemudiannya mereka menerima tamparan sehingga dapat ditewaskan dengan mudah sekali oleh tentera Frank di bawah pimpinan Isabella. Umat menjadi rosak disebabkan oleh pengaruh budaya Kristian yang terserap masuk lantaran tidak dapat ditepis oleh 'ulama-ulama' yang tidak habis-habis dengan pengajian mereka. Sekiranya prinsip “the end justifies the mean” digunapakai, tentunya kaedah sedemikian merupakan kaedah yang amat-amat salah diamalkan kerana kaedah sedemikian akhirnya menyebabkan sebuah kerajaan tumbang terlebih dahulu sebelum suatu ilmu itu dapat dipraktikkan. Adakah ahli-ahli tafsir seperti itu mampu mendapatkan kupasan daripada Al-Quran supaya masalah perubahan cuaca dapat diatasi? Adakah mereka dapat diharap untuk memberi rumusan-rumusan terbaik bagi menghasilkan pesawat terbang yang dapat terapung di udara tanpa kipas? Sesungguhnya apa yang berlaku terhadap masyarakat Islam di Andalusia adalah suatu yang menyayat hati. Mereka adalah kesinambungan sejarah kerajaan Bani Umayyah yang merampas hak kekhalifahan dan keimaman di bawah Ahlul Bait. Mereka telah terbiasa melantik ‘ulama-ulama’ untuk mengeluarkan fatwa bagi menyusahkan disiplin agama kerana khuatir akan terdapat pengajaran-pengajaran benar daripada Al-Quran dan As- Sunnah yang menjurus kepada kewajiban menyerahkan urusan kekuasaan pemerintahan kepada Ahlul Bait.
Sebenarnya terdapat kaedah yang lebih baik
daripada mengapungkan objek menggunakan
Laser. Gambaran video menunjukkan cahaya
laser yang ditembak dari bawah mengakibatkan
nyalaan ion di bumbung makmal.
daripada mengapungkan objek menggunakan
Laser. Gambaran video menunjukkan cahaya
laser yang ditembak dari bawah mengakibatkan
nyalaan ion di bumbung makmal.
Dengan mencengkam kaedah pengajaran agama dan memperkenalkan disiplin agama dengan cara sebegitu akhirnya kaedah seperti yang dinyatakan ini telah diterima pakai dalam pentadbiran dan masyarakat. Jadilah umat mempelajari agama dengan disiplin yang amat ketat serta mencengkam sehingga mereka tidak lagi mengetahui tujuan solah dan zakat. Terdapat pada zaman mutakhir ini, kesan daripada kaedah pengajaran sedemikian sehingga ada ‘ulama-ulama’ yang bermesyuarat untuk membuang amalan selawat kepada RasululLah S.A.W. dan Ahlul Bait daripada menjadi salah satu kewajiban ajaran agama.
Mengapa tidak mereka menerima sahaja pengajaran Tuhan secara benar? Sekiranya mereka menyerahkan ketaatan kepada individu yang diiktiraf Tuhan, tentunya mereka akan dilingkungi dengan rahmat yang luas daripada Tuhan dengan izinNya. Siapakah yang mengakibatkan kepentingan menyediakan persenjataan diabaikan sehingga mengakibatkan negara-negara umat Islam hampir semuanya menjadi negara-negara jajahan yang kekal sehingga kini mengekalkan nilai-nilai penjajah? Siapakah yang mencengkam disiplin ilmu sehingga umat Islam kini menghadapi zaman fitnah yang amat dahsyat? Kesucian muslimah dirobek begitu sahaja oleh golongan ingkar tanpa sedikitpun diberi perhatian oleh penjawat-penjawat masakini.
Mereka hanya memikirkan persoalan kemewahan hidup dan bersenang lenang dan meredhai sistem penjajah kekal menguasai negara. Akhirnya kesesatan bukan sahaja melanda golongan yang ingkar bahkan kepada umat ini juga apabila pengamalan agama dihadkan sebagai amalan individu atau kumpulan. Penjawat-penjawat yang dilantik menuduh sesat pihak lain tetapi dalam kalangan penganut agama yang manakah paling ramai sekali murtad? Mereka menjadi bingung dengan sistem agama yang dilaksanakan oleh penjawat-penjawat sedemikian yang tidak langsung menunjukkan rasa takut kepada Tuhan untuk dipertanggungjawabkan tentang hal umat di hadapan Tuhan nantinya. Ketahuilah kemuncak daripada pengingkaran akan berlaku apabila generasi terdahulu iaitu RasululLah S.A.W., para sahabat dan Ahlul Bait menjadi bahan laknat umat masakini, kerana dianggap memperkenalkan agama yang sebegini rupa, yang sedikitpun tidak menunjukkan ciri-ciri pembelaan terhadap umat dan juga kitab suci Al-Quran, dijadikan bahan kejian dan bukannya kajian.
No comments:
Post a Comment