SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Monday, August 20, 2012

SURAH AL MULK AYAT 24 -- MANUSIA DIBIAKKAN DAN DIKUMPULKAN DI BUMI


Memulai Langkah Pemuliharaan

Wajarkah dalam keadaan umat yang sedemikian adanya pada waktu ini, para ulama memberi kesedaran kepada manusia umumnya, akan kepentingan merampas kembali amanah pemerintahan? Sedangkan mereka sendiri tidak akan sanggup melaksanakan amanah, tanpa terlebih dahulu membuat persiapan rapi terhadap umat sebagaimana risalah kerasulan yang diterap oleh RasululLah S.A.W. kepada para sahabat baginda. RasululLah S.A.W. terlebih dahulu menyampaikan kepentingan syahadah kepada yang sudi menerimanya dan kemudian menunjukkan kepada sahabat baginda kepentingan amalan tertentu berdasarkan ajaran-ajaran Tuhan yang baginda perolehi melalui Al-Quran. Pada peringkat awalnya baginda sendiri melarang perkataan baginda dituliskan dan yang perlu ditulis hanyalah Al-Quran. Supaya umat tidak keliru antara perintah Tuhan dan perintah Rasul. Kewajiban pertama adalah penyampaian Al-Quran semata-mata, beriman kepada Tuhan semata-mata dan baginda sendiri memberi contohnya.


67:24 – Manusia Dibiakkan dan Dikumpulkan Di Bumi Ini

قل هوالذى ذراكم فى الارض واليه تحشرون


Katakanlah olehmu, Dia yang telah memperkembang biak Ia akan kamu di bumi dan kepadanya kamu (semua) dihimpunkan. 

Katakanlah lagi: "Dia lah Yang mengembangkan kamu di bumi, dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan".


i.  Keperluan Manusia Untuk Hidup


Kerana urusan kehidupan manusia meliputi keperluan makanan, pakaian dan tempat kediaman, mereka melalui kehidupan secara berkeluarga sehingga mereka dapat berkembang biak. Sudah tentu urusan kehidupan manusia disibukkan dengan usaha mendapatkan suatu penghidupan untuk memenuhi semua keperluannya. Tiga keperluan asas yang manusia perlu dapatkan iaitu makanan, pakaian dan kediaman dan terdapat keperluan lain yang disediakan kepada mereka oleh Tuhan iaitu keperluan pernafasan dan pengekalan keadaan persekitaran yang seimbang yang mereka sebenarnya tidak perlu menyediakannya dan hanya perlu menjagainya. Terdapat keperluan untuk mereka berkembang biak yang dengannya mereka melalui kehidupan yang tenteram dan dapat membuat persediaan menghadapi kehidupan yang mendatang. Yang demikian itu mereka menempuh asas kehidupan bertamadun.


ii.    Keperluan Menuruti Panduan Tuhan Untuk Hidup


Oleh kerana manusia menempuh kehidupan, tidak hanya secara kumpulan mereka sahaja, bahkan mereka perlu melalui kehidupan dengan makhluk-makhluk lain yang terdiri daripada haiwan, tumbuh-tumbuhan serta kehadiran makhluk-makhluk ghaib yang lain yang tidak dapat mereka melihatnya dengan mudah. Dalam menghadapi kehidupan ini Tuhan tidak membiarkan manusia terkial-kial cuba menyelesaikan masalah mereka hanya semata-mata dengan keupayaan akal dan usaha mereka sahaja bahkan Tuhan telah memberi panduan kepada mereka melalui utusan Rasul-rasulNya diikuti dengan panduan suci daripada kitab-kitab yang beserta mereka. Namun atas kesombongan dan keingkaran sebahagian manusia, mereka cuba menguasai pentadbiran urusan dunia ini berdasarkan semata-mata kepada akal dan hawa nafsu sehingga mengakibatkan keperluan makanan manusia terjejas, begitu juga dengan keperluan pakaian mereka dan juga keperluan tempat kediaman mereka. Itu belum lagi dinyatakan dengan keadaan udara pernafasan mereka serta keseimbangan alam persekitaran mereka. Tentunya yang menyedari tentang semua permasalahan ini adalah mereka yang bersyukur, yang tahu menggunakan perasaan, pengelihatan dan pendengaran.


iii.    Segala Pekerjaan Ada Batasan


Terhadap semua keperluan yang berkenaan, manusia melakukan perjalanan di atas mukabumi sehingga mereka perlu mendapatkan kemudahan peralatan untuk tujuan perjalanan tersebut. Di sana dipersiapkan peraturan-peraturan tertentu supaya mereka dapat melaluinya dengan selamat dan tenteram. Sekiranya atas tujuan sedemikian, manusia memerlukan peraturan tertentu, bagaimanakah pula keperluan memelihara kebersihan diri dan keperluan terhadap kebersihan serta keseimbangan alam sekitarnya? Tentunya Tuhan telah sediakan panduan yang sebaik-baiknya. Manusia mencipta teknologi pengangkutan, kemudian mereka berasa hebat atas keupayaan teknologi pengangkutan yang mereka hasilkan. Begitu juga dengan segala teknologi yang lain. Disebabkan keingkaran, mereka mula memperkenalkan penggunaan teknologi sedemikian tanpa mengambil kira batas-batas tertentu dalam kepenggunaannya. Mereka perlu ingat bahawa setiap perkara pasti terdapat kesinambungannya, setiap tindakan pasti akan ada tindakbalas. Demikian itu peraturan Tuhan yang menciptakan alam ini dengan peraturan sebab dan akibat. Secara ringkasnya, penggunaan teknologi tanpa panduan Tuhan, pasti membawa akibat kerosakan dan penggunaannya dengan panduan Tuhan akan menjurus kepada kebaikan dengan izinNya. Sekurang-kurangnya mereka harus menempuhi suatu kaedah supaya penggunaan teknologi menjurus kepada kebaikan dalam mereka menempuh kehidupan berkeluarga sebagai unit asas kepada pembinaan masyarakat dan negara yang bertamadun. Bukan dengan permasalahan sosial masakini yang berlaku merata-rata?

iv.    Manusia Telah Melampaui Batasan Pekerjaan

Cukup untuk diperkatakan pada waktu ini, manusia menggunakan bahan-bahan tertentu untuk tujuan penyucian yang sebenarnya membawa mudharat kepada kehidupan mereka dan alam sekitar mereka sendiri. Mereka melaksanakan kempen hijau dan penanaman semula yang akan membawa mudharat terhadap kehidupan mereka dan bukannya membawa kebaikan kepada alam sekitar. Beberapa surah selepas ini membicarakan secara teliti bagaimanakah perlakuan yang manusia perlu hadapi agar mereka dapat melalui sesuatu yang dapat memulihkan keadaannya, kehidupan kekeluarganya serta memulihkan semula keadaan alam sekitar yang telah dirosakkan akibat daripada kerja tangan golongan yang ingkar? Mereka perlu ingat bahawa mereka hidup di dunia ini hanya sekadar untuk menimba pengalaman hidup yang ada catatan amal. Pengalaman sedemikian akan mereka gunakan apabila menempuh kehidupan semula di akhirat nanti. Lalu bagaimanakah golongan yang hanya tahu membawa kerosakan dapat dikumpulkan bersama dengan golongan yang tahu melakukan pemulihan?

No comments:

Post a Comment

Popular