اولئك الذين حبطت اعملهم فى الدنيا
والاخرة وما لهم من نصرين
والاخرة وما لهم من نصرين
Mereka itu orang-orang yang telah sia-sia ia oleh amalan mereka di dunia dan akhirat dan tidak bagi mereka daripada pertolongan.
Mereka itulah orang-orang Yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun Yang dapat memberi pertolongan.
i. Amalan Yang Sia-sia
Berapa ramaikah manusia yang sia-sia amal sadaqah mereka, yang mereka turutkan pemberian itu dengan menyebut-nyebut jasa atau mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati? Amalan sedemikian sebenarnya menjuruskan mereka kepada kekafiran, maka sia-sia sajalah keislaman mereka. Berapa ramaikah kalangan mereka yang menerima bulat-bulat, fatwa-fatwa ulama tanpa mereka sendiri memaklumi dari manakah ambilan terhadap fatwa yang mereka turuti? Tindakan sedemikian sebenarnya menjurus mereka kepada kesyirikan, maka sia-sia sajalah keimanan mereka. Dan berapa ramaikah mereka yang melaksanakan solah, lima kali sehari semalam, tanpa mereka memahami sepatahpun perkataan yang mereka sebut? Apatah lagi untuk memahami tuntutan solah yang ada hubungan dengan kepimpinan serta amalan infaq. Maka sia-sia sajalah amalan mereka selama ini. Mereka sebenarnya mengulang-ulangi rutin harian menyebut manual kehidupan yang harus mereka fikirkan.
ii. Kepimpinan Mereka Yang Merosakkan
Bagaimanakah amanah kepimpinan selama ini yang dilaksanakan oleh manusia? Tidak perlu disebut lagi kemusnahan kawasan-kawasan tadahan air yang meningkatkan kos pembersihan air. Kemusnahan kawasan flora dan fauna serta kerebahan-kerebahan yang berlaku serta kesan perubahan cuaca yang merosakkan, membuktikan secara jelas bagaimana sia-sianya kehidupan yang manusia tempuhi selama ini. Itu belum dikira lagi tentang corak kehidupan manusia yang menyebabkan pergolakan sosial secara besar-besaran, kesan pengamalan riba yang merosakkan hubungan manusia dan juga kepada hasil usaha mereka selama ini.
iii. Amalan Seumpama Itu Yang Hendak Mereka Bawa?
Adakah pengalaman amalan mereka di dunia selama ini, juga dapat diguna pakai untuk suatu kehidupan di akhirat kelak? Sekiranya mereka mendiami syurga dan mereka meneruskan polisi kehidupan yang merosakkan, pastinya syurga yang seharusnya dapat kekal, tidak akan kekal buat selama-lamanya. Mereka dicabar untuk berada di suatu kawasan yang dipenuhi dengan flora dan fauna di dunia ini. Dan mereka sebenarnya telah mengetahui, apakah bentuk kerosakan yang akan mereka lakukan terhadapnya sehingga mereka menyediakan suatu penempatan yang memudharatkan kediaman anak-anak keturunan mereka suatu masa nantinya.
Berapa ramaikah kepimpinan yang mereka menyangka, mereka berada dalam agama yang benar, tetapi corak pemerintahan mereka, sentiasa membawa negara mereka ke lembah kehancuran? Mereka menjurus rakyat mereka hidup di ambang kemiskinan dan kepapaan serta menjalani kehidupan dengan cengkaman sistem ekonomi riba. Mereka melaksanakan pembangunan di atas permukaan bumi yang terdedah dengan risiko keruntuhan serta kerebahan. Mereka melaksanakan polisi pertanian yang menimbulkan penyakit kepada perut dan anggota tubuh manusia, sehingga negara terpaksa menanggung kos perubatan yang tinggi. Kemudian
kita mendengar sebahagian mereka dibunuh oleh musuh di medan
pertempuran disebabkan oleh kedudukan politik pemimpin-pemimpin mereka yang semakin tergugat.
Kemudian kita mendengar peratusan yang tinggi umat Islam di negara mereka sendiri murtad, akibat tidak terbela kedudukan ekonomi mereka dan sebagainya. Sememangnya kesalahan terletak di bahu mereka yang memilih untuk murtad, tetapi jumlah yang terlalu ramai murtad bukankah akan menyebabkan kedudukan kepimpinan mereka sendiri, secara tidak mereka sedari, tergugat suatu masa nanti?
Mereka terus menolak pengajaran dari kitab Tuhan, maka tidak hairanlah, doa-doa mereka kepada Tuhan tidak diterima. Rakyat mereka mendiami negara yang baik, Tuhan Maha Pengampun, tetapi rakyat yang ditimpa dengan ketakutan akibat perlakuan jenayah yang semakin menjadi-jadi, pembunuhan yang berlaku hampir setiap hari serta kegawatan politik yang semakin membimbangkan. Rakyat mulai memakai dua pakaian iaitu ketakutan dan kelaparan apabila hutang negara semakin meningkat dan belanja untuk tujuan keamanan dan keselamatan semakin berkurangan.
No comments:
Post a Comment