و نصفه وثلثه و طائفة من الذين معك
Dan separuhnya dan sepertiganya dan sebahagian daripada orang-orang yang bersamamu
dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya; dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang Yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah Yang terdahulu);
Kiranya seseorang tidak mampu untuk berjaga malam selama dua pertiga malam sekitar enam jam, bermulalah dengan separuh daripada itu sekitar empat jam setengah dan sekiranya masih tidak mampu mulakanlah dengan sepertiga iaitu sekitar tiga jam. Usaha membangunkan malam hendaklah dilakukan bersama-sama kerana usaha keseorangan mungkin tidak dengan kekuatan lantaran saling memberati. Pada zaman ini seseorang sebenarnya seharusnya tidak mengalami masalah berjaga malam.
Sekiranya bukan kerana ibadah, masyarakat kita telah membiasakan diri berjaga malam untuk menonton tayangan larut malam, mengisi restoran-restoran untuk menjamu selera waktu tengah malam bahkan pelajar-pelajar institusi pengajian telah terbiasa menghabiskan malam mereka dengan aktiviti menyiapkan laporan-laporan serta kerja kursus yang perlu dihantar sebelum tempoh tamat. Apalah salahnya kita menukarkan sebahagian aktiviti waktu itu dengan aktiviti membaca ayat-ayat Tuhan dan memikirkan tentangnya agar pengajaran besar diperolehi. Terlalu banyak rahsia daripada kitab Tuhan masih belum terbuka. Terlalu banyak teknologi dapat dibangunkan dan terlalu banyak kaedah dakwah boleh didapatkan bagi sesiapa yang rajin meneliti serta memerhatikan ayat-ayat Tuhan. Sekalipun Al-Quran itu bukan kitab warisan, namun apajua yang diwariskan oleh RasululLah S.A.W. daripada sudut ilmu kepada umat baginda, terdapat rujukannya dalam Al-Quran. Haruskah kita mewarisi sesuatu daripada RasululLah S.A.W. namun kita tidak mengusahakan sesuatu daripadanya? Al-Quran pada waktu ini telah dijadikan oleh umat ini sebagai resam untuk tujuan-tujuan kelaziman mereka dalam upacara-upacara tertentu.
No comments:
Post a Comment