SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Thursday, August 2, 2012

SURAH AL MULK AYAT 19 -- PERATURAN TUHAN TERHADAP SAYAP BURUNG



ا و لم يروا الى الطير فوقهم صافت
و يقبضن ما يمسكهن الا الرحمن

Adakah dan telah tidak mereka melihat kepada burung di atas mereka, yang mengapung dan ia mengepit keduanya? Tiada yang ia mengawal akan keduanya melainkan Al-Rahman. 

Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung Yang terbang di atas mereka, (siapakah Yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? tidak ada Yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah.

Terjemahan penulis sedemikian tentunya akan menjurus kepada penerangan sifat aerofil terhadap sesuatu yang berlaku kepada sayap burung semasa penerbangannya. Cuba bandingkan dengan terjemahan yang biasa ditemui iaitu "Tidakkah mereka memerhatikan burung di atas mereka terbang mengembangkan sayapnya dan mengepitkannya? Tiada sesiapapun yang menahan nya selain daripada Tuhan yang Pemurah." Terjemahan sedemikian seperti membayangkan Tuhan meletakkan ‘tangan’Nya di bawah burung untuk menahan burung itu daripada jatuh!

Terdapat hikmah yang Tuhan sebut bahawa sifatNya yang Maha Melihat. Pengajarannya, manusia perlu memerhatikan ciptaan Tuhan sedemikian rupa kerana terdapat manfaat yang akan diperolehi daripada pemerhatian berkenaan. Selain daripada tujuan mendapatkan manfaat dengan meniru bentuk sayap burung untuk membina teknologi penerbangan, manusia harus memerhatikan pergerakan udarakasa yang memainkan peranan penting yang dapat mengubah tekanan udarakasa setempat.

Mengkaji Contoh Peraturan Tuhan Pada Makhluk Ciptaannya

i.       Peraturan Bentuk Larus

    Bentuk Larus - Burung diciptakan Tuhan memiliki bentuk larus, bentuk ini akan membolehkan haiwan ini dapat meredah udara dengan kesan geseran udara yang rendah. Bentuk seperti ini didapati pada ikan dan manusia meniru dalam menghasilkan peralatan yang merempuh udara seperti pesawat udara, peluru berpandu dan peralatan merempuh air seperti kapal selam dan senjata torpedo. Untuk pesawat udara yang bergerak pada kelajuan yang sangat tinggi seperti pesawat Sukkoi yang direkacipta oleh pihak Russia, muncung yang sangat keras seperti titanium diperlukan. Kelajuan bersangatan pesawat, akan merempuh udara seperti pisau yang memotong pepejal. Dengan titanium, aliran udara dapat ditepis menjauhi jasad pesawat membentuk larus dan mengurangkan kesan geseran udara terhadapnya.

ii.       Peraturan Bentuk Aerofilik

    Bentuk Aerofil - Semua sayap burung, sayap pesawat terbang memiliki bentuk aerofil iaitu cembung ke atas dan menirus di bahagian belakang. Tujuannya adalah supaya aliran udara dapat bergerak lebih jauh pada kedudukan atas berbanding kedudukan bawah. Dengan demikian tekanan udara adalah lebih rendah pada bahagian atas dan pada kelajuan tertentu, sayap akan berjaya diangkat ke atas. Bentuk larus bersama bentuk aerofil memungkinkan burung dan pesawat udara selain dapat diangkat ke atas, juga dapat meluncur ke hadapan pada kelajuan tertentu. Apabila sayap kekal diapungkan tanpa dikibarkan ataupun enjin pesawat dimatikan, burung dan pesawat masih berupaya untuk meluncur laju bergerak pada jarak tertentu sebelum mencecah bumi.

iii.      Peraturan Tekanan ↔ Kelajuan Udara

    Lebih Laju Pergerakan Lebih Rendah Tekanan – Bukan sahaja terhadap pergerakan udara, sifat ini ditunjukkan oleh pergerakan air. Kajian kesan tekanan dan aliran bendalir merupakan subjek penting dalam pembelajaran mekanik bendalir yang diajar di universiti. Kajian sedemikian menjurus kepada kefahaman perkisaran angin di permukaan bumi sehingga mengakibatkan kajian cuaca dapat dilakukan. Taufan dapat dijangkakan dengan perubahan tekanan tertentu udarakasa bumi pada tempat-tempat berlainan.

Bencana dan Manfaat daripada Peraturan Tuhan

iv.        Fenomena Riak, Gelora Dan Taufan

Tekanan setempat bendalir dapat disebabkan oleh perbezaan kelajuan bendalir berkenaan di tempat-tempat tertentu. Perbezaan yang ketara pada kelajuan bendalir tertentu boleh mengakibatkan terhasilnya riak atau gelora. Pada saiz yang besar dinyatakan sebagai taufan. Kajian riak dan gelora sangat penting untuk mengkaji kesan bentuk tiang jambatan ke atas tanah atau pasir di dasar sungai. Pengabaian kesan gelora aliran air boleh mengakibatkan jambatan runtuh dengan tiba-tiba. Sempena keadaan sedemikian, tapak jambatan Pulau Pinang telah mengambil bentuk larus bagi mengurangkan kesan gelora yang dapat merosakkan struktur tanah. Gelora juga mengakibatkan terhasilnya kekeruhan. Sungai yang mengalami kekeruhan tentunya memberi gambaran terdapat aktiviti gelora pada aliran sungai di bahagian hulu mungkin disebabkan kesan aktiviti pembalakan haram atau penggalian bijih secara haram. 

Bentuk larus tapak jambatan memberi kesan
besar kepada struktur pembinaan
 

v.         Perbezaan Tekanan Dan Perubahan Monsun

Pergerakan yang menghasilkan kelajuan tertentu pada bahan bendalir boleh disebabkan oleh perbezaan tekanan pada dua tempat yang berbeza. Perbezaan tekanan ini terhasil disebabkan perbezaan suhu yang wujud antara dua tempat berbeza. Di negara Malaysia, perbezaan suhu antara hemisfera Utara dan hemisfera Selatan, menghasilkan dua monsun iaitu monsun timur laut pada hujung dan awal tahun dan monsun barat daya pada pertengahan tahun.

Kejatuhan suhu secara tiba-tiba dapat berlaku pada tempat-tempat tertentu sehingga mengakibatkan fenomena letusan udara (air burst) yang amat merbahaya kepada pemanduan pesawat di kawasan tertentu. Sekiranya melibatkan tempat yang luas di atas permukaan bumi, dapat memberi amaran akan berlaku kejadian ribut sepertimana ribut Greg suatu masa dahulu yang sengaja diabaikan amarannya oleh pihak pemerintah sehingga mengakibatkan korban nyawa yang tinggi di pantai barat Sabah.

vi.       Apakah Yang Berlaku Semasa Perubahan Cuaca?

Kejatuhan suhu secara tiba-tiba sehingga mencapai perbezaan 13º celcius merupakan petanda akan berlaku kejadian taufan besar-besaran. Kejatuhan dapat disebabkan oleh tindakbalas komposisi kimia udarakasa yang akan dibincangkan dalam surah-surah terkemudian daripada surah ini atau disebabkan oleh kesan radiasi hebat dari matahari. Demikianlah sifat Tuhan Al-Rahman yang mengajar manusia berdasarkan Al-Quran dan sentiasa mengajar manusia perkara-perkara baru yang manusia tidak mengetahuinya sebelum itu. Perbezaan tekanan setempat antara permukaan bumi yang berlainan, adalah agenda Tuhan sehingga dapat memindahkan wap-wap air dari laut ke daratan. Ia juga berupaya memindahkan debu-debu halus dari satu permukaan bumi ke bahagian yang lainnya sehingga mendatangkan mudharat kepada hidupan atau mendatangkan manfaat tertentu.

Tuhan Maha Berkuasa, melalui peraturan tabii ciptaanNya sehingga manusia tidak dapat menyedari bahawa segala kejadian yang berlaku sebenarnya adalah agenda Tuhan. Namun sekiranya Tuhan Yang Maha Merekacipta (Al-Rahman) itu berupaya mencipta sayap burung dengan ukuran tertentu supaya dapat berada di angkasa, yang demikian Tuhan Al-Rahman mampu mengawal kejadian-kejadian tertentu di bumi ini sehingga umat manusia mendapat rahmat atau ditimpa azab, menurut kehendak Tuhan.

Tuhan Al-Rahman mengajari manusia akan peraturanNya (55:04). Manusia mempelajarinya lalu mereka merekacipta sesuatu untuk kemudahan mereka. Mereka mencipta pesawat terbang untuk mengembara dengan lebih cepat. Mereka mencipta peralatan yang dapat mengukur tekanan udarakasa untuk mengkaji perubahan cuaca. Peralatan satelit dengan kemudahan pengesanan suhu dan tekanan udarakasa dapat meramal perubahan cuaca yang berlaku di bumi pada kedudukan yang besar. Mereka juga mencipta peralatan yang dapat mencerap pergerakan debu yang dipindahkan dari satu benua ke benua yang lain. Semua idea ini diperolehi daripada kerja-kerja kejuruteraan teliti yang Tuhan laksanakan terhadap sayap burung, sehingga manusia membuka ruang pengkajian terhadap mekanik bendalir. Tuhan Al-Rahman amat menggalakkan manusia melakukan pengamatan terhadap segala rekaciptaan Tuhan. Semuanya harus dipelajari berdasarkan sifat Tuhan Al-Rahman Maha Melihat Segala Sesuatu.

انه بكل شئ بصير

Sesungguhnya Ia terhadap segala sesuatu Maha Melihat. 

Sesungguhnya ia Maha melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

1 comment:

Popular