SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Tuesday, March 28, 2017

SURAH AL-JIN AYAT 25 -- KIRANYA SAYA MENGETAHUI, SAYA PASTI AKAN BERITAHU BILAKAH KEJADIAN ITU ..


قل ان ادرى اقريب ما توعدون
ام يجعل له ربى امدا

Katakanlah olehmu: Kiranya aku mengetahui adakah dekat apa yang kamu dijanjikan ataukah Ia jadikan baginya oleh Tuhanku suatu tempoh!? (Pasti aku akan beritahu)

(kalau ditanya Bilakah azab itu? maka) katakanlah: "Aku tidak mengetahui sama ada (azab) Yang dijanjikan kepada kamu itu sudah dekat, atau Tuhanku menentukan bagi kedatangannya satu tempoh Yang lanjut.

Sekiranya RasululLah S.A.W. mengetahui secara pasti maka bukan tugas baginda menyembunyikan pengetahuan itu daripada umat. Dalam suatu syarahan yang panjang, RasululLah S.A.W. ada mengkhabarkan kepada sahabat-sahabat R.A.H.M. perkara-perkara yang akan berlaku dari masa kerasulan sehinggalah berlaku hari As-Saah. Lalu sebahagian sahabat menyalinnya sehingga diingati oleh yang mengingati dan dilupai oleh yang lain. 

Sungguh begitu Tuhan tidak meninggalkan sesuatu daripada kitab Al-Quran. Diketahui oleh yang mengetahui tentang perkara-perkara ghaib dan mereka menjaganya serta tidak diketahui oleh yang lain. Dalam hal yang demikian RasululLah S.A.W. seringkali ditanyai manusia tentang masa berlakunya kejadian seolah-olah baginda dapat mengetahui masanya dengan tepat. Dalam Al-Quran terdapat pemberitahuan tentang kemenangan bangsa Rum yang akan mengalahkan bangsa Parsi (30:3). Tentang hari Keputusan yang waktunya ditentukan (78:17). Banyak daripada peristiwa yang akan berlaku sesudah RasululLah S.A.W., yang diriwayatkan oleh Sahabat Abu Hurairah R.A. lalu beliau menulisnya dan mengasingkan ke dalam dua uncang kulit yang berlainan. Satu untuk diketahui oleh sahabat-sahabat yang lain dan satu lagi untuk dirahsiakannya sehingga masa-masa tertentu, yang sekiranya ia mendedahkannya, lehernya mungkin akan dipenggal atau lidahnya dipotong. 

Sebagaimana Sahabat Syaidina Ali R.A., yang memiliki ilmu yang dikhabarkan oleh RasululLah S.A.W. tentang perkhabaran yang akan berlaku sehingga beliau mengetahui masa dan tempat akan berlaku pembunuhan terhadap diri beliau dan beliau telah menghadapi peristiwa itu. 

Peristiwa As-Saah yang pengetahuannya ada di sisi Nabi 'Isa A.S. Baginda akan muncul sebelum berlakunya hari Keputusan mempunyai tugas-tugas penting untuk membunuh dajjal, menghancurkan salib, membatalkan sistem riba dan pajakan dan membunuh babi. Harta akan melimpah ruah sehingga suatu masa manusia tidak menghendakinya lagi.


Peristiwa Yang Akan Berlaku Sedikit Lagi, Kita Harus 
Tergesa-gesa Saat Ini Dengan Membuat Persiapan.


Tuesday, March 21, 2017

SURAH AL-JIN AYAT 24 -- AKHIRNYA SIAPA YANG LEMAH, SIAPA PULA YANG SEDIKIT BILANGAN


حتى اذا راوا ما يوعدون فسيعلون
 من اضعف ناصرا و اقل عددا

Sehingga apabila telah melihat mereka apa yang mereka dijanjikan, maka kelak mereka mengetahui siapakah yang lagi lemah pertolongan dan lagi sedikit bilangan.

(golongan Yang kufur ingkar itu tetap memandang Engkau lemah dan kurang penyokong Wahai Muhammad), sehingga apabila mereka melihat (azab) Yang dijanjikan kepada mereka, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya Yang lemah penolong-penolongnya, dan sedikit jumlah bilangannya.

i.     Sistem Hidup Yang Akhirnya 
       Melemahkan Mereka

Apakah yang dijanjikan Tuhan kepada golongan ingkar? Iaitu dengan terlaksananya pemberitaan Al-Quran, tentang azab yang merata-rata dan hari yang berat kepada mereka. 

Kita dapati pada waktu ini, apabila sistem ekonomi yang diasaskan oleh golongan ingkar telah dijadikan amalan - lalu... lihatlah bagaimana kesudahannya apabila keburukan sistem itu kembali kepada golongan ingkar itu sendiri? Orang ramai yang dapat merasakan tekanan hidup, akhirnya mengadakan perhimpunan beramai-ramai, melakukan pemprotesan sehingga menggugat pemerintahan. 

Perkara yang telah, sedang dan 
akan terjadi di mana-mana.

Pemerintah digulingkan, bekas pemimpin dijatuhi hukuman tetapi lingkaran keperitan hidup semakin meningkat. Lalu berlakulah pelbagai masalah yang disebutkan tadi, sepertimana telah berlaku lingkaran azab di negara-negara yang pemerintahan sebelumnya, telah memilih sistem keingkaran sehingga akhirnya rakyat mereka mengalami penderitaan dalam tempoh yang panjang. Mereka tidak memperolehi bekalan air segar sehingga menimbulkan banyak penyakit sama ada disedari atau tidak disedari.

ii.   Kehidupan Bermasyarakat Mereka 
      Semakin Parah

Semakin jauh meninggalkan petunjuk Tuhan maka semakin parah kehidupan bermasyarakat. Akhirnya setiap individu memilih hidup nafsi-nafsi sehingga sekiranya jiran terdekat menempuh kematian, jiran-jiran lainnya tidak mengetahui. Mereka menanggung masalah sesama mereka dalam kalangan keluarga terdekat atau kawan-kawan rapat sahaja, iaitu jumlah sedikit yang dapat membantu. Tiada sebarang badan seperti baitulmal yang dapat dipercayai dapat membantu bahkan projek PPRT yang seharusnya mencapai matlamat membantu yang memerlukan, hanya menjadi habuan penjenayah yang kaya raya. Dalam surah Nun, telah diterangkan perincian nasib yang ditempuh individu kepimpinan di akhirat kelak serta kesan amalan-amalan mereka yang telah mereka lakukan semasa mereka berada di tampuk pemerintahan di dunia dahulu. Huru-hara yang berlaku akibat perlakuan kepimpinan yang porak, akhirnya mendedahkan negara kepada penguasaan asing, yang hanya ingin mengambil hasil mahsul yang terdapat dalam negara berkenaan. 

Berulangnya penjajahan demi penjajahan adalah diakibatkan oleh kecuaian umat ini, kepimpinan mereka serta pengabaian amanah oleh 'ulama-ulama' mereka. Mereka sungguh selesa dengan harta yang dapat mereka kaut, status dan kedudukan perjawatan yang mereka sandang. 

iii.   Hilang Kekuasaan dan Sedikit Bilangan

Ayat seperti ini juga berkait dengan ayat daripada 69:29 dan 69:35 dalam menyampaikan perkhabaran tentang perkara malang yang menimpa kepimpinan yang curang. Kepimpinan sedemikian gemar untuk menyalahi ajaran Tuhan dan rasulNya. Mereka melihat amanah pemerintahan sebagai habuan untuk meraih kekayaan sebanyak mungkin. Mereka menggunakan kuasa untuk terus mencengkam rakyat sehingga diharap tiada siapa dapat menegur atau berani menentang. Lalu, berlakulah kerosakan terhadap alam sekitar dan juga kehidupan sosial manusia itu sendiri. Pembangunan tidak seimbang berbanding keberadaan ekonomi menjadi sebab kepada tekanan inflasi daripada dua arah yang membebankan rakyat. Pertama - adalah kesan daripada pengamalan riba yang meningkatkan nilai hartanah sehingga meleret kepada keperluan asas manusia dan kedua - adalah akibat defisit kewangan negara yang cukup besar kesan daripada mengalirnya nilai wang keluar negara. 

Pembangunan yang hanya mendirikan bangunan-bangunan terbiar  telah menjadi kebanggaan pemimpin lantaran cukai yang diperolehi daripada aktiviti perbankan serta institusi-institusi kewangan yang sentiasa menyediakan dana untuk pembinaan baru.

Wang yang dikutip daripada hasil cukai, gagal diagihkan semula secara berkesan, bahkan untuk dihantar keluar negara melalui bayaran upah pekerja asing. Kita telah melihat kesan berpanjangan sedemikian di negara-negara Timur Tengah, sehingga kepimpinan mereka tumbang satu persatu bermula dari Tunisia, diikuti Mesir dan Libya. Kita juga dapat melihat bagaimana sebahagian daripada pembesar negara telah dikenakan tindakan undang-undang dan dimalukan oleh rakyat mereka sendiri.




Tuesday, March 14, 2017

SURAH AL-JIN AYAT 23 -- KERJA RASUL HANYA MENYAMPAIKAN RISALAH


الا بلغا من الله و رسلته و من يعص الله
و رسوله فان له نار جهنم خلدين فيها ابدا

Melainkan suatu penyampaian daripada Allah dan risalahNya dan barangsiapa yang ia menyalahi akan Allah dan akan utusanNya maka sesungguhnya baginya neraka jahanam, berkekalan mereka di dalamnya berabad-abad lamanya. 

(Aku diberi kuasa) hanya menyampaikan (wahyu) dari Allah dan perintah-perintahNya (yang ditugaskan kepadaKu menyampaikannya) dan sesiapa Yang menderhaka kepada Allah dan ingkarkan bawaan RasulNya, maka Sesungguhnya disediakan baginya neraka Jahannam; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya.

Lantaran tugas kerasulan hanya menyampaikan risalah yang datang daripada Tuhan. Adapun Jibril A.S. yang membawa risalah adalah malaikat yang kuat, bijak lagi dapat dipercayai. Ia hanya menyerahkan risalah dan bukannya berkata-kata bagi pihak Tuhan. Dalam ayat 72:22 memberitahu bahawa RasululLah S.A.W. tidak menerima perkataan melalui perantaraan yang berkata-kata bagi pihak Tuhan. Disambung seterusnya pada ayat 72:23 iaitu melainkan untuk menyambung tugas menyampaikan risalah yang diterima melalui malaikat Jibril A.S. daripada Tuhan. Ayat selanjutnya memberi ancaman bahawa barangsiapa yang menderhakai Allah dan menderhakai rasulNya sama ada malaikat Jibril A.S., sebagaimana yang diderhakai oleh Yahudi atau Muhammad S.A.W. sebagaimana yang dilakukan oleh pemuka-pemuka Quraisy Makkah, maka tempat mereka di neraka Jahanam, mereka tinggal di dalamnya berabad-abad lamanya. 

i.    Kaedah Hukum Kearaban Untuk 
      Memahami Ayat

Susunan ayat-ayat sedemikian dengan mengambil hukum kearaban, menghimpun ayat daripada 72:20/21/22/23 maka ayat terkemudian didapati menjelaskan ayat-ayat terdahulu, maka benarlah ayat Allah 11:01. Ayat ini benar-benar menjelaskan bahawa tugas kerasulan hanyalah menyampaikan risalah Tuhan dan bukan mendapatkan perkataan daripada pihak yang berkata-kata bagi pihak Tuhan atau nabi mengada-adakan suatu perkataan, lalu mewatakkan Tuhan dan malaikat Jibril A.S. sebagai pengutus wahyu. Terdapat ajaran kerohanian yang bukan-bukan, yang menyatakan bahawa seolah-olah Muhammad RasululLah S.A.W. itu seperti dirasuk suatu entiti yang dinamainya sebagai Tuhan untuk mengadakan suatu perkhabaran yang beragendakan malaikat Jibril sebagai penghantar wahyu. Sekiranya demikian, tanyalah kepada mereka yang pulih daripada histeria atau kerasukan syaitan, siapakah sebenarnya yang mengeluarkan kata-kata kerasukan semasa ianya dalam keadaan tidak menyedarinya. Adakah Muhammad RasululLah S.A.W. seperti itu sehingga tidak menyedari perkataan yang diungkapkan melalui lisannya? Sekiranya demikian, tidak perlulah golongan musyrikin Quraisy merencana tipudaya sehingga memeranginya dan menentangnya habis-habisan, cukup dengan mendapatkan tabib yang pakar.

Tugas kerasulan sebenarnya bukanlah semata-mata tugas RasululLah S.A.W. Tugas kerasulan telah dilaksanakan oleh khalifah-khalifah sesudah itu selepas daripada kewafatan RasululLah S.A.W. Khalifah-khalifah telah melaksanakan tugas kerasulan. Mereka menyambung tugas kerasulan dengan menyambung kerja-kerja menyampaikan ayat-ayat Tuhan. Mengapa terlalu sedikit hadith-hadith RasululLah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Abu Bakar R.A? Bukankah beliau merupakan Ahlul Bait yang paling rapat dengan RasululLah S.A.W, sejak daripada mula kerasulan dan bersama-sama baginda semasa berlindung dalam gua Hira’. Abu Bakar R.A. tidak menyampaikan hadith Nabi S.A.W. melainkan pada jumlah yang amat sedikit. Beliau menyampaikan ayat-ayat Tuhan dan perkara itu telah beliau lakukan. Apabila berlaku tuntutan pewarisan harta RasululLah S.A.W. selepas kewafatan baginda oleh sebahagian isteri baginda, Khalifah Abu Bakar R.A. dengan tegas menyatakan bahawa RasululLah S.A.W. tidak mewariskan dinar dan dirham kepada sesiapapun. Baginda hanya mewariskan ilmu daripada Al-Qur’an. Hadith berkenaan ini dan sedikit hadith lain telah beliau sampaikan. Harta-harta peninggalan RasululLah S.A.W. diserahkan kepada baitulmal untuk urusan keperluan umat dan infaq pada jalan Tuhan.

ii.   Menyalahi (menderhakai) Allah dan 
      RasulNya, Menempah Neraka Jahanam

Perkataan  يعص الله و رسوله  adalah lebih jitu difahami sebagai menyalahi akan Allah dan akan rasulNya. Terjemahan biasa adalah menderhakai Allah dan rasulNya. Perkataan ini tidak wajar diambil sekerat tetapi harus dirujuk dengan perkataan sebelumnya iaitu  بلغا من الله و رسلته iaitu telah menyampai ia daripada Allah dan risalah-risalahNya. Demikian itu perintah Tuhan agar ayat-ayat sentiasa dihubungkan membentuk himpunan yang lengkap (28:51). Muhammad RasululLah S.A.W. telah menyampaikan risalah-risalah Allah. Muhammad RasululLah S.A.W. tidak menyampaikan risalah-risalah Jibril A.S. Khalifah Abu Bakar R.A. juga telah menyampaikan risalah-risalah Allah. Khalifah Abu Bakar R.A. tidak menyampaikan risalah-risalah Muhammad RasululLah S.A.W. maupun risalah-risalah Jibril A.S. melainkan yang ada rujukan daripada ayat-ayat Tuhan. Begitu juga yang disampaikan oleh Khalifah Umar R.A., Khalifah Usman R.A. dan juga Khalifah Ali R.A. Pertembungan kefahaman sedemikian telah terjadi antara Khalifah Ali R.A. dengan Sahabat Abu Zarr R.A. yang mengetuai pemberontakan penduduk Iraq. Sahabat Abu Zarr R.A. telah menyedari kesilapan beliau lalu bertaubat serta mengingatkan kembali penduduk Iraq bahawa beliau telah tersilap kefahaman dalam memahami ayat-ayat Tuhan, sehingga mengambil pendirian menentang Khalifah Ali R.A. Demikian itulah sikap sahabat yang tidak mengambil pemimpin mereka selaku sekutu Tuhan melainkan untuk mentaati perintah Tuhan. Malangnya beliau telah dibunuh oleh penduduk Iraq lalu tercetuslah pertempuran antara tentera yang setia kepada kekhalifahan yang sah dengan kumpulan pemberontak yang melampau dengan berakhir kemenangan kepada pihak yang lebih condong kepada kebenaran. Khalifah Ali R.A. di pihak yang benar. Abu Zarr R.A. juga di pihak yang benar. Kemenangan diperolehi oleh pihak yang lebih benar antara kedua-dua pihak yang benar.

iii.    Bagaimana Pendirian Kita?

Menyampaikan perkara yang lain daripada risalah-risalah Tuhan adalah perbuatan yang salah, sekalipun perkara yang disampaikan itu berbau agama. Menyampaikan pelajaran Al-Hadith atau As-Sunnah harus merujuk kepada ayat-ayat Tuhan untuk mensahihkannya terutama dalam perkara-perkara yang menyentuh hukum-hakam. Mengambil petunjuk lain sehingga tidak kembali kepada Allah dan risalah-risalahNya adalah menempah tiket ke neraka jahanam kekal di dalamnya berabad-abad lamanya.

Bagaimanakah sikap kita sekarang ini? Menyalahi Allah dan rasulNya sepertimana yang dilakukan oleh Yahudi dan kaum Musyrikin Quraisy, dengan berkesudahan kekal di neraka Jahanam? Ataukah menyalahi penyampai agama yang semata-mata daripada Allah daripada risalah-risalahNya seperti yang dilakukan oleh pemberontak Iraq, membunuh sahabat RasululLah seperti Abu Zarr R.A. dan Saidina Ali R.A? Mereka itu juga termasuk kategori yang sama seperti kaum-kaum yang ingkar yang disebutkan. Bukankah terdapat ayat bahawa yang paling celaka daripada kalangan umat terdahulu adalah mereka yang membunuh unta dan menderhakai Nabi Salleh A.S. dan terdapat atsar Saidina Ali R.A. bahawa mereka yang celaka daripada umat ini adalah yang membunuh beliau dalam kalangan penduduk Iraq? Bencana datang dari Iraq sejak dari kerajaan Babilon hingga ke akhir zaman. 



Wednesday, March 8, 2017

SURAH AL-JIN AYAT 22 -- BAHKAN SEMUANYA DIDATANGKAN TERUS DARI TUHAN


قل انى لن يجير نى من الله احد
و لن اجد من دونه ملتحدا

Katakanlah olehmu: Sesungguhnya aku, sekali-kali tidak, ia mewakili akan daku daripada Allah, oleh sesuatu (yang lain), dan sekali-kali tidak, aku dapati daripada selainNya tempat perlindungan.

Katakanlah lagi; "Sesungguhnya aku, tidak sekali-kali akan dapat diberi perlindungan oleh sesiapapun dari (azab) Allah (jika Aku menderhaka kepadaNya), dan Aku tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadanya,


i.   Jibril Seperti Posmen, Tidak Pernah 
     Mengubah Kandungan Surat

Pekerjaan menyampaikan dakwah yang dilakukan oleh RasululLah S.A.W. adalah merupakan ketaatan kepada perintah Allah dan bukan perintah sesiapa pun selain daripada Allah. RasululLah S.A.W. tidak mengada-adakan bacaannya sendiri seumpama itu (25:04/05) sehingga boleh dipertikaikan oleh manusia atau jin. Sekiranya ia sendiri memilih untuk mengada-adakan sesuatu perkara maka ia sendiri akan diadili oleh Tuhan (69:46) yang ia tidak dapat mencari tempat perlindungan kepada yang lain selain kepadaNya. Perkataan “Katakanlah olehmu: Sesungguhnya aku, sekali-kali tidak, ia mewakili akan daku daripada Allah, oleh sesuatu …” sekiranya diterjemahkan secara yang baik dalam bahasa Malaysia adalah “Katakanlah olehmu sesungguhnya aku, tidaklah sekali-kali diwakili oleh sesuatupun, daripada Allah” iaitu tiada arahan orang tengah yang memerintah RasululLah S.A.W. untuk melakukan sesuatu daripada Tuhan. Jibril A.S. sebagai pembawa wahyu bukanlah pihak yang mengeluarkan arahan bagi pihak Tuhan. Jibril hanyalah pembawa yang diarahkan Tuhan. Pengajarannya, kita tidak harus bertanya-tanya pendapat ulama tentang sesuatu peraturan dalam agama sehingga seolah-olah agama adalah hasil karangan ulama berkenaan. Ulama boleh sahaja mengeluarkan ijtihad, namun ijtihad itu adalah dianggap hasil bersungguh-sungguh beliau dalam memahami perintah Tuhan supaya dituruti umat.

Apabila kefahaman Al-Qur'an yang lain disekat, dan hanya kefahaman ulama-ulama sedia ada sahaja yang diterima, maka akan sampai masanya terjemahan Al-Qur'an berdasarkan pandangan ulama-ulama berkenaan akan dianggap sebagai perkataan seumpama perkataan Tuhan. Kemudian golongan pengkritik itu mula mencanang bahawa Al-Qur'an (dan bukannya terjemahan ulama-ulama berkenaan) dianggap sebagai komik hiburan semata-mata.

Kerana kecacatan dalam penterjemahan Al-Quran dan
pendirian umat yang tidak dibenarkan mengkritik terjemahan 
Al-Quran oleh para penterjemah, akhirnya fahaman mereka 
terhadap Al-Qur'an menjadi bahan senda gurau.

ii.   Bentuk Kefahaman “Tiada Sesiapa Dapat 
      Membela Muhammad S.A.W. Daripada 
      Hukuman Allah”

Cuba bandingkan dengan terjemahan yang biasa didapati seperti berikut, “Katakan: Tiada seorang pun yang sanggup memberi perlindungan kepadaku terhadap (hukuman) Allah” tentulah berbeza dengan cara kefahaman yang diterangkan tadi. Kaedah kefahaman yang berbeza ini adalah diperolehi dengan jalan terjemahan secara harfiyah daripada bahasa Arab. Begitulah yang diperintahkan untuk mendapatkan kefahaman secara bacaan kearaban supaya tiada terdapat kebengkokan dalam mendapatkan pengertian (39:28). Hukum kearaban perlu diguna pakai dalam memahami konteks ayat sebagaimana diperintahkan (13:37) dan bukan semestinya hukum tajwid untuk berebut-rebut mendapatkan pahala atas pembacaan yang betul. Sekiranya kaedah kearaban ini dipatuhi maka terlaksanalah penyampaian kitab yang ayat-ayatnya dihukumkan iaitu dikemaskinikan secara susunan rapi sebagaimana disebutkan pada 11:01 dan diikuti kemudiannya dengan penjelasan-penjelasan yang ada hubungkait dengan ayat-ayat sebelumnya. Contoh ayat yang datang kemudian yang memberi penjelasan adalah:-





Thursday, March 2, 2017

SURAH AL-JIN AYAT 21 -- BUKAN KERJA NABI UMAT MENDERITA ATAU BERPETUNJUK



 قل انى لا املك لكم  ضرا و لا رشدا


Katakanlah olehmu, sesungguhnya aku, tidak aku memiliki bagi kamu kemudharatan dan tidak pula pertunjuk.

Katakanlah lagi; " Sesungguhnya Aku tidak berkuasa mendatangkan sebarang mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan sebarang kebaikan bagi kamu.

i.    Penderitaan Umat Masakini 
      Bukan Salah RasululLah S.A.W.

Sesungguhnya kemudharatan yang menimpa umat-umat sesudah kerasulan, bukanlah kerja RasululLah S.A.W., sedangkan RasululLah S.A.W. secara sendirinya tidak berupaya untuk mendatangkan sebarang kemudharatan atau petunjuk. Kita dapat menyaksikan di negara-negara Barat bagaimana mereka yang memilih menolak petunjuk Tuhan, kehidupan mereka telah dilingkungi dengan masalah sosial yang serius, jenayah dan pelbagai bentuk penindasan sehingga mereka berjaya mengeksport corak kehidupan mereka ke negara-negara lain. Itu belum dikira dengan bencana alam akibat kerja tangan mereka. Rakyat negara mereka mengalami tekanan kehidupan yang mendesak sehingga ramai yang mengambil dadah. Negara kita tidak terkecuali daripada menghadapi keadaan ini sehingga pembunuhan berlaku hampir setiap hari. Belum dikira dengan kepelbagaian bentuk jenayah lain seperti rompakan, mencabul kehormatan, pecah amanah. Huru-hara politik yang semakin menjadi-jadi apabila kehidupan rakyat semakin dicengkam.


Ya, akhirnya mereka mencapai kegembiraan tak 
terhingga dengan pengambilan dadah yang hebat.

ii.   Bagaimanakah Mungkin?

Bagaimanakah mungkin RasululLah S.A.W., mampu memberi petunjuk atau mahu memaksa petunjuk Al-Quran sampai kepada kita semua, sedangkan baginda adalah seorang yang ummi yang tidak membaca sebarang kitab sebelumnya? Bagaimanakah baginda mampu menerangkan suatu teknologi sedangkan baginda hidup di padang pasir yang tidak terdedah kepada reka-rekaan manusia di belahan bumi yang lain? Bagaimana pula baginda mampu membawa perubahan kepada umat ketika itu, sedangkan baginda bukanlah dikenali sebagai raja atau bangsawan atau orang kaya yang berpengaruh, bahkan usaha dakwah baginda ditentang habis-habisan oleh sebahagian ahli keluarga baginda dan masyarakat Makkah itu sendiri? Bahkan kitab yang diserahkan kepada baginda adalah urusan yang Maha Mengetahui tentang perihal kehidupan di bumi ini. Maka Tuhan jua yang mengurus segalanya sehingga segala sesuatu itu telah berlaku bukan dengan ‘sepatutnya’ sepertimana yang diarahkan melalui kitab Al-Quran, tetapi menurut kehendakNya yang Maha Mengatur seluruh alam. Kekhalifahan juga telah berlaku tidak menurut yang diarahkanNya sepertimana yang disyorkan melalui Al-Quran.




Popular