SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Tuesday, December 31, 2013

MENYINGKAP KEHIDUPAN DI DUNIA SEBELUM KEJADIAN AL-HAQQAH


Peristiwa Al-Haqqah yang melibatkan kejatuhan subjek dari angkasa adalah suatu yang tidak dapat dielakkan. Kerosakan yang berlaku lanjutan peristiwa Al-Haqqah adalah disebabkan oleh kerja-kerja manusia sendiri yang selama ini telah membawa ketidak seimbangan yang besar terhadap alam kediaman ini. Sebelum berlaku kejadian itu yang tentunya meninggalkan kesan besar kepada alam kediaman ini, marilah kita sama-sama menikmati dan mengamati alam ciptaan Tuhan ini, yang masih lagi dapat disaksikan indah pada waktu ini. 

Menyedari hakikat ini, akan menjadikan kita sebagai hamba yang tahu bersyukur kepada Tuhan terhadap limpah rahmat yang kita nikmati selama ini. Semua yang dapat kita saksikan, nikmati dan yang dapat kita ambil daripada alam ini, adalah merupakan suatu agenda besar Tuhan. Keadaan alam kehidupan ini yang begitu indah dan stabil, adalah merupakan agenda Tuhan Yang Maha Pemurah. Sempena dengan itu, marilah kita amati sedikit sebanyak daripada beberapa ayat awal Surah Al-Rahman, yang menunjukkan bagaimana keseimbangan sejak sekian lama, telah Tuhan sediakan, sebelum manusia melakukan perkara kerosakan. 

Kita dengar dahulu beberapa pesanan yang menyingkap tentang alam kediaman ini serta sebahagian kehidupan sosial kita, sebelum kedatangan kerosakan total kepada kehidupan manusia yang akan diperjelas lagi dalam Surah Al-Ma'arij.

video

"Keajaiban Ciptaan Tuhan"






Sunday, December 29, 2013

CORETAN PERIBADI PENULIS


Dengan rasa sungguh berbesar hati, saya amat mengharapkan kiranya saudara semua dapat mengambil manfaat daripada pembacaan yang telah saudara semua lakukan. Bagi pihak diri ini, saya berasa sungguh suka hati, kiranya saudara dapat memahami dengan lebih mendalam daripada setiap ayat yang telah dibaca. 

Al-Qur'an adalah kalam Tuhan yang telah diturunkan khas buat saudara dan betapa saudara tentunya akan dapat merasa ke- bebasan dan keringanan untuk menerima kalam Tuhan kali ini.




Thursday, December 26, 2013

PENGAJARAN KESELURUHAN SURAH AL-HAQQAH


Surah Al-Haqqah adalah surah yang mengkhabarkan peristiwa yang bakal berlaku akibat kedegilan manusia yang rata-ratanya menolak daripada beriman dengan cara mengesakan Tuhan semata-mata. Dengan keadaan manusia berkekalan mengejar sesuatu yang dapat membawa keburukan terhadap diri mereka sendiri, akhirnya perkara yang dijanjikan kepada, dan dinanti-nantikan oleh golongan ingkar, hadir dalam kehidupan mereka. Janji bencana yang dinyatakan dalam Al-Qur'an adalah peristiwa Al-Haqqah. Al-Haqqah adalah peristiwa penderaan yang berlaku dalam tempoh yang agak panjang, sebagaimana peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku kepada umat-umat dahulu yang mendustai risalah kerasulan. Yang menariknya, peristiwa yang bakal berlaku nantinya, adalah berdasarkan kepada suatu kejadian kejatuhan yang membelah lapisan langit dan menjadikannya suatu yang mereput dan rapuh. Rentetan kerosakan yang berlaku kepada bumi ini, yang memparahkan suasana Al-Haqqah, adalah disebabkan oleh usaha manusia melanggar peraturan kitab suci, sehingga mereka membawa pencemaran yang dahsyat kepada alam persekitaran mereka.

Manusia masih juga meneruskan kerosakan kepada kehidupan mereka. Sehingga suatu masa nanti, peristiwa yang lebih dahsyat daripada peristiwa Al-Haqqah akan berlaku. Namun peristiwa ini juga, bukanlah peristiwa yang membawa kepada kejadian As-Saah. Kemuncak keingkaran manusia akan mengakibatkan setiap mereka meninggalkan ahli keluarga serta teman setia mereka dan mereka sanggup mengorbankan semuanya itu, agar diri mereka sahaja yang akan diselamatkan. Seperti itulah mereka, yang suka mementingkan diri-diri mereka sendiri selama ini. Daripada kejadian-kejadian yang bakal terjadi dan pemberitahuan bahawa manusia tidak akan kehilangan apa-apapun selepas kejadian itu, kita akan dapat memahami bahawa kehidupan ini, hanyalah seperti suatu fatamorgana. Apajua yang dapat disentuh oleh manusia di dunia ini, bukanlah merupakan perkara yang sebenar-benarnya kerana setiapnya akan ditunjukkan kembali di hari perhitungan nantinya. Setiap perkara yang telah diusahakan oleh manusia dan telah melalui proses kemusnahannya, akan kembali sekali lagi di hadapan setiap manusia nantinya. Namun manusia pada hari itu tidak dapat memanfaatkannya melainkan untuk tujuan perhitungan setiap apajua 'pemilikan'nya itu.
 
Barulah umat manusia pada masa itu, mengakui kebenaran Al-Qur'an yang menyatakan tentang perkara demikian. Sebelum peristiwa Al-Haqqah ini, terdapat kesempatan untuk manusia, agar mereka mengkaji Al-Qur'an ini dengan sebenar-benar pengkajian, sebelum datangnya tanda-tanda kejadian besar yang akan merosakkan lapisan langit bumi ini. Kerosakan sedemikian tentunya tidak akan dapat memberi sebarang peluang kepada manusia untuk melakukan apa-apa kajian atau mengambil apajua manfaat daripada Al-Qur'an selepas kejadian itu.




Monday, December 23, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 52 -- BERTASBIHLAH DENGAN MENSUCIKAN NAMA TUHAN


فسبح باسم ربك العظيم

Maka bertasbihlah olehmu dengan nama Tuhanmu yang Maha Agung.

oleh itu bertasbihlah Dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha besar.

Sebagai contoh perkataan باسم yang dieja dengan empat huruf tetapi kelihatan dieja dengan tiga huruf pada setiap kali Bismillah. Terdapat hikmah tertentu yang diketahui secara terperinci pada zaman teknologi maklumat ini. Dengan bilangan hanya tiga huruf pada Bismillah, perkara ini telah menjadi asas kepada sistem perlindungan susunan huruf-huruf dalam Al-Quran. Hanya Tuhan lebih mengetahui.

Gelaran Rab, Tuhan Pemelihara adalah menunjukkan sifat Tuhan yang merekabentuk bumi ini sedemikian rupa sehingga penuh dengan sistem perlindungan. Manusia harus mempelajari ayat-ayat Tuhan sehingga mereka berilmu dengan ilmu yang yakin dan seterusnya melaksanakan amanah menjaga alam dan kehidupan mereka. Sebenarnya Tuhan tidak memerlukan manusia dalam hal yang sedemikian dan Ia layak untuk membiarkan manusia menempuh sendiri kehidupan. Sehingga sampai satu masa nanti, bencana akan menimpa manusia atas kejahilan mereka sendiri akibat menidakkan keperluan beriman kepada ayat-ayat Tuhan. Manusialah yang memerlukan Tuhan dan bukan sebaliknya. Tuhan sendiri memberi kebebasan kepada manusia sama ada untuk memusnahkan bumi kediaman mereka atau menjagai sebaik-baiknya. Akibatnya akan sampai kepada manusia itu sendiri. Demikian itu Tuhan telah mengiktiraf manusia sebagai khalifah di bumi ini dan Dia sengaja mahu melihat tindakan serta tingkahlaku manusia sebagai makhluk yang diberi amanah. Sekiranya manusia mengiktiraf Tuhan (yang Ia tidak memerlukan manusia berbuat sedemikian) maka kebaikan akan menimpa mereka sendiri dan sekiranya manusia enggan mengiktiraf Tuhan (yang Ia tidak pernah memaksa manusia meninggalkan perkara sedemikian) maka akibatnya akan menimpa mereka sendiri. Maha Suci Tuhan.


'سبحن الله العظيم'




Friday, December 20, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 51 -- PERKARA YANG PASTI


و انه لحق اليقين

Dan sesungguhnya ia benar-benar kebenaran yang pasti.

dan Sesungguhnya Al-Quran itu adalah kebenaran Yang diyakini (dengan seyakin-yakinnya).

i.    Kejadian Yang Berlaku Secara Beransur-ansur

Sedikit demi sedikit tentang kejadian yang berlaku menjurus kepada peristiwa lebih besar. Zaman ini kita menyaksikan kejadian pembunuhan berlaku hampir setiap hari dan terpampang di dada akhbar. Manusia mengalami penyakit stress akibat melalui sistem hidup yang memabukkan. Najis dijadikan makanan sehingga mereka ditimpa pelbagai penyakit. Lapisan langit semakin lemah sehingga meningkatnya penyakit-penyakit seperti kanser dan katarak. Lapisan ozon telah terbuka di tempat-tempat tertentu seperti di kedua belah kutub. Sedikit demi sedikit kebenaran Al-Quran semakin terserlah dalam kalangan manusia. Semakin ramai manusia daripada golongan ingkar mengakui kebenaran Al-Quran dan agama ini, ataupun mereka kembali lantaran suasana kehidupan mereka yang semakin teruk mereka merosakkannya, lalu mereka kecewa dengan sistem mereka sendiri. Semakin ramai daripada umat ini murtad, meninggalkan panduan Tuhan disebabkan pada mereka tiada jaminan keselamatan yang dapat diperolehi daripada agama ini lantaran kejahilan mereka sendiri.

ii.   Ukuran Kebenaran Al-Quran


Sesuatu yang sangat merbahaya menjadi pegangan umat apabila mereka berpendirian bahawa sesuatu yang benar pastilah merupakan sesuatu yang menyerlah dan sesuatu yang menyerlah pastilah merupakan sesuatu yang benar. Pertimbangan seperti ini seolah-olah memberitahu, atas sebab kebanyakan daripada penganut keingkaran adalah lebih tinggi status hidupnya seperti darihal kekayaan, kedudukan dan kepakaran maka jalan yang mereka tempuh adalah lebih benar. Mereka yang berpendirian seperti ini adalah ibarat lalang yang berubah arah mengikut tiupan angin. Sekiranya suatu masa kekuasaan Islam menguasai dunia, mereka mengakui kebenaran sistem Islam lalu apabila kekuasaan golongan ingkar mengambil giliran berkenaan, mereka segera mengubah pendirian mengakui bahawa sistem keingkaran itu adalah lebih benar. Begitu juga apabila kekuasaan Islam kembali, lalu mereka kembali dan akhirnya apabila sistem Dajjal mengambil alih semula kekuasaan sebagaimana yang dijanjikan suatu masa nanti, mereka kembali ingkar. Antara sebab utama yang memudahkan mereka mengubah pendirian adalah disebabkan oleh tawaran kepentingan yang dijanjikan oleh setiap sistem. Mereka inilah golongan curang yang tidak harus dihampiri sekalipun untuk mengajak mereka kepada perjuangan yang benar.

iii.   Ukuran Pada Sudut Sastera

Sebelum wahyu Al-Quran diturunkan kepada RasululLah S.A.W, adalah menjadi kebiasaan masyarakat Arab pada ketika itu melakukan aktiviti syair pada hari-hari tertentu dan artikel yang dianggap bernilai akan dipamer untuk suatu tempoh yang dijadikan tatapan ramai. Mereka sangat menilai karya-karya sasterawan dan kebiasaan ini diteruskan selepas daripada kerasulan. Ahli-ahli bahasa dan sasterawan Arab pada permulaan dari waktu turunnya wahyu, memang mengakui bahawa Al-Quran yang disampaikan melalui lidah Muhammad S.A.W. memiliki nilai bahasa yang tinggi namun, perkataan itu bukan perkataan syair.

iv.   Ukuran Pada Sudut Sejarah

Ilmuwan mengakui bahawa Al-Quran adalah satu-satu kitab yang tidak pernah berubah isi kandungannya sejak lebih 1400 tahun dahulu. Manifestasi Al-Quran yang dipraktikkan oleh Muhammad RasululLah S.A.W., berjaya mengubah agama bangsa Arab hanya dalam tempoh lebih kurang 23 tahun dan daulah Islam yang terbentuk selepas itu meliputi sebahagian besar dunia hampir 1000 tahun. Kekuasaan Islam yang terakhir telah dilucutkan daripada penguasaan pada tahun 1923 Masehi. Dalam keadaan menempuh kelemahan, Islam terus berkembang sehingga melebihi 1.5 billion daripada 7 bilion penduduk dunia pada masa ini. Satu-satunya penganut agama yang kurang terkesan daripada keburukan kemodenan adalah umat Islam, hanya pada saat akhir-akhir ini, pegangan agama mereka semakin pudar. Adakah kesan sistem yang dibawa berdasarkan penakrifan Al-Quran harus diabaikan begitu sahaja sehingga sistem utama kehidupan kini, telah menyerlahkan keburukannya, sebelum cahaya Islam memancar semula? Sistem demokrasi acuan Barat dan komunis telah menggantikan sistem pemerintahan Khalifah Islam. Sistem komunis mula ditinggalkan lantaran kebejatan sistem ini mengongkong manusia dan sistem demokrasi banyak menimbulkan keadaan yang buruk kepada alam sekitar.

v.    Ukuran Pada Sudut Ilmu

Ilmuwan Barat adalah antara yang aktif mengkaji buku-buku ilmuwan Islam sejak dahulu lagi. Ilmuwan Islam memperolehi ilmu dengan mengkaji ayat-ayat suci, sedangkan ilmuwan Barat sendiri buta sumber ilmu sedemikian datangnya daripada wahyu Tuhan. Terlalu banyak daripada ilmu yang terkandung dalam Al-Quran, masih belum dapat dikupas. Kebenaran Al-Quran pada sudut matematik telah tersebar luas dan contoh yang ditunjukkan pada penerangan surah sebelum ini dapat memberi gambaran sifat-sifat matematik sedemikian sentiasa wujud dalam surah-surah yang lain. Al-Quran lebih menjelaskan sebab-sebab penyakit secara umum dan juga sebahagian perawatan khusus melalui pemakanan terpilih. Amalan-amalan Islam yang dianjurkan menerusi Al-Quran sebenarnya mempunyai manfaat serta kebaikan tertentu dan kajian lebih terperinci perlu dilakukan. Terdapat fakta-fakta sains yang hanya dapat dibuktikan pada zaman ini menggunakan peralatan moden. Contohnya, pengembangan alam sejagat dan proses pengembangan embrio. Sebenarnya masih terlalu banyak ilmu baru dapat diteroka daripada kitab suci, namun masih adakah siapa lagi yang sanggup memulai melakukan kajian terperinci terhadapnya? Ulama-ulama Islam dahulu adalah pelopor ilmu dan penemuan mereka diteruskan oleh bangsa Barat. Tanpa mereka, Barat tidak mengenali Aristotle, Plato, Archemedis dan lainnya.



Tuesday, December 17, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 50 -- AL-QUR'AN MENJADI KEKESALAN KEPADA GOLONGAN INGKAR


و انه لحسرة على الكفرين

Dan sesungguhnya ia benar-benar suatu kerugian atas orang-orang yang ingkar.

dan Sesungguhnya Al-Quran itu sudah tentu akan menyebabkan penyesalan bagi orang-orang Yang kafir (semasa mereka menerima balasan).

i.    Mereka Meninggalkan Petunjuk Tuhan Jauh-jauh.

Mereka tidak meredhai melaksanakan perniagaan melalui jalan benar. Mereka menambah-nambah bebanan diri mereka dengan sistem riba yang berterusan. Sehingga mereka melupakan kepentingan bersadaqah sesama mereka dan bermujahadah di jalan Tuhan. Golongan mewah mereka, hanya mementingkan kemewahan yang akan ditambah secara terus menerus, membuat pelaburan kepada institusi kewangan sehingga melipat gandakan kerja-kerja pembangunan secara berleluasa. Mereka meninggalkan petunjuk Tuhan sejauh-jauhnya.

ii.   Akibat Yang Terjadi atau Bakal Terjadi

Akhirnya banyak kejadian tanah runtuh berlaku. Bekalan air terjejas hanya untuk beberapa minggu hujan tak turun. Kepanasan melampau-lampau berlaku pada musim kemarau. Pasaran hartanah merudum disebabkan penawaran pasaran melebihi permintaan pasaran benar secara keseluruhannya. Aset kekal sukar untuk dicairkan. Nilai wang berbanding komoditi benar seperti emas mengecil kesan daripada defisit. Kehidupan rakyat secara merata menjadi bertambah susah. Jenayah meningkat dengan ketara meningkatkan belanja keamanan negara. Kestabilan politik dan ekonomi tergugat meningkatkan belanja politik negara. Inflasi barangan menjadi-jadi menambahkan meluat rakyat kepada pemerintah. Segala usaha adalah bertujuan untuk mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya tanpa memperduli kualiti produk. Pemakanan dicemari dengan bahan-bahan tambah yang memudharatkan. Penyakit yang menimpa masyarakat membawa bebanan kepada negara atas peningkatan belanja kesihatan. Atas kesan inflasi yang teruk, rakyat mengurangkan perbelanjaan. Kitaran ekonomi terjejas dan cukai yang harus dibayar kepada kerajaan juga merosot dan akhirnya, peluang pekerjaan juga merosot. Akhirnya, apabila harga bahan bakar merosot, permintaan terhadap produk-produk  masih dalam keadaan rendah kerana rakyat kurang wang. Semua penyelesaian masalah, terdapat dalam kitab suci.

iii.    Bencana Yang Memparahkan Suasana Al-Qari'ah

Dengan keadaan pencemaran yang teruk, akhirnya menjadi penyebab kepada parahnya suasana peristiwa Al-Waqi’ah yang ada hubungannya dengan peristiwa Al-Qari’ah menjurus kepada kejadian Al-Haqqah. Dengan kejadian demikian akan tercatatlah, kerja-kerja kerosakan golongan yang ingkar sebagai suatu amalan yang dicatatkan kepada mereka apabila mereka dibangkitkan nantinya di akhirat kelak. Mereka akan menghadapinya sebagai suatu penyesalan yang tidak ada kesudahan. Sekiranya bumi kediaman mereka, mereka sendiri sanggup rosakkan, betapa mereka akan menggunakan pengalaman sedemikian sekiranya mereka diberi peluang kehidupan sekali lagi di sana nanti. Hanya dengan beriman kepada ayat-ayat Tuhan akan mendorong seseorang untuk berhati-hati menempuh kehidupan. Apabila umat gemar berpuasa, tentu akan terdapat lebihan makanan untuk golongan yang kurang berada (hanya agama mendorong amalan sedemikian). Apabila penggunaan bahan bakar dikawal, satu kenderaan untuk ramai individu dan bergilir-gilir kenderaan (hanya agama mendorong amalan sedemikian), kesesakan lalu lintas dapat dikurangi dengan banyaknya dan pencemaran udara akan berkurangan begitu juga dengan kes-kes kemalangan. Apabila sistem riba dihapuskan dan digantikan dengan sistem sadaqah (hanya agama mendorong amalan sedemikian), inflasi akan dapat dikawal dengan ketat, aktiviti perniagaan akan meningkat dan perkembangan ekonomi berlaku secara mendadak. Pembangunan tidak perlu diperbanyak tetapi aktiviti ekonomi di dalamnya akan berlaku secara sihat. 

Seterusnya kemiskinan tegar dapat dihapuskan dan aktiviti jenayah akan merudum jatuh. Negara yang aman, baik, tenteram dan Tuhan yang Maha Pengampun. Hukuman hudud, hanya tingal dalam kertas-kertas perundangan dan hakim-hakim boleh rehat kurang bekerja. Apabila kepentingan makanan sihat diperkenalkan (hanya agama mendorong amalan sedemikian), belanja kesihatan negara akan dapat dikurangi dan peruntukan negara untuk perbelanjaan strategik dapat ditingkatkan.




Saturday, December 14, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 49 -- SEBAHAGIAN MANUSIA MENDUSTAINYA


و انا لنعلم ان منكم مكذبين

Dan sesungguhnya Kami, benar-benar Kami mengetahui, bahawasanya daripada kamu, golongan yang mendustakan.


dan Sesungguhnya Kami sedia mengetahui Bahawa ada di antara kamu Yang mendustakan (Al-Quran, maka Kami akan membalasnya).

i.   Pendustaan Kerana Kejahilan Atau Kesombongan

Bukan sahaja daripada kaum yang jahil, yang pekat dengan unsur-unsur kejahilan, bahkan daripada golongan yang mendakwa ilmuwan – mereka menafikan subjek yang bersifat ketuhanan. Lembaran-lembaran yang mengandungi ilmu yang belum dapat mereka temui, sebenarnya tersedia ada dalam lembaran suci. Yang boleh dinilai oleh ilmuwan itu sendiri sekiranya mereka ingin menilainya. Lihat sikap golongan yang ingkar itu, bagaimana keruntuhan ekonomi di negara mereka sebenarnya disebabkan oleh pengamalan sistem riba yang sudah sampai kepada keadaan tidak terkawal. Sistem ekonomi mereka runtuh bermula daripada pasaran hartanah kemudian kepada pasaran pengangkutan dan akhirnya menjejaskan harga komoditi. Harga minyak mentah meningkat kepada USD140 setong dan jatuh sehingga USD28 setong dan kemudian meningkat kembali hanya dalam tempoh 6 bulan. Pasaran saham mereka dimanipulasi oleh golongan penjudi-penjudi pasaran derivatif. 

Sejak sekian lama mereka mengagungkan sistem riba yang kononnya lebih baik daripada sistem perniagaan benar, akhirnya menjurus kepada pengangguran dan peningkatan jenayah pada skala besar. Hampir seluruh dunia mencontohi sistem mereka, yang kesudahannya kita menyaksikan kemelesetan menjalar ke seluruh dunia dan dana yang sangat besar terpaksa dikeluarkan sebagai pakej rangsangan ekonomi. Pakej sedemikian sebenarnya akan digunakan untuk tujuan pembangunan.

ii.   Kesan Pengamalan Riba Secara Tak Terkawal

Namun, melalui kesilapan besar mereka memilih pengamalan sistem riba, pembangunan dilaksanakan tanpa kawalan, demi untuk merancakkan aktiviti ekonomi. Pembangunan besar-besaran yang belum tentu dapat dimanfaatkan semuanya, adalah resipi kepada kerosakan alam dan meningkatkan defisit imbangan perbelanjaan. Di negara ini, kita menyaksikan kerja angkut-angkut pasang, siap dan tinggal berlaku secara merata-rata. Pengaliran keluar wang negara mengakibatkan mengecilnya nilai wang dan menyesakkan lagi kehidupan golongan dhaif. Peningkatan masalah sosial, jenayah dan penyalahgunaan kuasa, adalah menjadi suatu yang lumrah didengari. Kejadian pembunuhan berlaku hampir setiap hari dan setiap individu merasa tidak selamat berada di luar rumah atau dalam perjalanan. Sebut sahaja kerosakan alam, kita menyaksikan kawasan bukit terus digondolkan, kawasan tadahan air dimusnahkan, haiwan-haiwan liar menerjah masuk ke kawasan pertanian dan penempatan untuk mendapatkan makanan. Akibatnya, banjir kilat sering terjadi, kekeringan air dapat berlaku dengan cepat hanya selama sebulan kemarau. Kejadian tanah runtuh kerap berlaku akibat daripada pembangunan kawasan bukit yang giat dan kesan hujan bersangatan. Pembangunan lebih banyak rumah-rumah kediaman seperti istana dan pusat-pusat membeli belah, adalah ibarat cendawan selepas hujan, segera layu apabila berlaku kekeringan atau kemurungan ekonomi. Beban pembangunan akhirnya ditanggung oleh rakyat. Cukai serta harga produk kawalan terpaksa ditingkatkan. Bayaran perkhidmatan seperti kos perjalanan dan cukai pintu juga ditingkatkan sedangkan peluang-peluang pekerjaan semakin terhad. Pembangunan terus juga dilaksanakan melalui umpanan sistem riba. Defisit kewangan negara akhirnya menjadi tidak terkawal. 

Perkara sedemikian menjurus kepada cukai yang tidak munasabah seperti cukai tong sampah, cukai tempat letak kereta, cukai tandas, cukai penyediaan makanan siap, cukai bahan bakar, cukai tambang perjalanan sehingga menambahkan bebanan rakyat yang terpaksa membayar cukai-cukai sedia ada seperti cukai pendapatan, cukai perniagaan, cukai jalan, cukai bot nelayan, insuran kenderaan dan cukai tanah. Kita akan mendengar cukai-cukai baru yang akan dikenakan seperti cukai hasil ladang, cukai haiwan ternakan, cukai haiwan peliharaan, cukai joran pancing ikan, cukai khidmat sosial seperti kesihatan dan pos, cukai pelupusan barangan terpakai, cukai peralatan komunikasi dan media massa, cukai pembersihan alam sekitar, cukai penanaman semula, cukai perlindungan simpanan di samping peningkatan kos penggunaan elektrik dan bekalan air dan akhirnya, kepala yang dicukai! Semuanya akan meningkatkan lagi perbelanjaan rakyat.


video










Wednesday, December 11, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 48 -- PERINGATAN KEPADA YANG BERHATI-HATI


ﻭ ﺍﻧﻪ ﻟﺘﺬﻛﺮﺓ ﻟﻠﻤﺘﻘﻴﻦ

Dan sesungguhnya ia benar-benar peringatan bagi golongan yang berhati-hati. 

dan Sesungguhnya (Al-Quran) itu tetap menjadi peringatan bagi orang-orang Yang bertaqwa. 

Mengkaji Ayat-ayat Tuhan, Seterusnya Mengambil Langkah Berjaga-jaga

Ketelitian yang sempurna Al-Quran yang diturunkan Tuhan kepada RasululLah S.A.W. memberi isyarat kepada manusia keseluruhannya, bahawa perintah Tuhan perlu dituruti secara berhati-hati. Dalam Al-Quran terdapat panduan menyeluruh kepada manusia tentang bagaimana langkah berhati-hati yang harus mereka lalui. Perkhabaran Al-Quran darihal peristiwa Al-Haqqah, benar-benar suatu peringatan untuk golongan yang mahu mengambil jalan berhati-hati. Antara langkah perlu yang harus mereka ambil, adalah dengan mengkaji ayat-ayat Tuhan tentang peristiwa yang akan berlaku, sebagaimana yang disebutkan dalam surah ini dan surah-surah seterusnya. Selanjutnya mereka harus mengambil pelajaran serta mengambil langkah berjaga-jaga dalam pekerjaan mereka. Di samping itu, mereka perlu melaksanakan kempen sebagaimana yang dianjurkan daripada kitab suci, dengan berpesan-pesan sesama manusia atas kebenaran dan berpesan-pesan dengan jalan kesabaran. Membentuk amal jamaah untuk menghayati ajaran-ajaran Al-Quran bersama-sama dan saling betul memperbetul sesama mereka melalui kaedah kasih sayang. Dakwah yang RasululLah S.A.W. laksanakan, berdasarkan pengajaran daripada ayat-ayat suci, akhirnya dapat membentuk masyarakat beragama di Madinah yang kekal sehingga kini. Sebaik-baik kediaman adalah di Madinah dan sebaik-baik masyarakat, masyarakat Madinah.
 
 
 
 

Sunday, December 8, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 47 -- TIADA SEORANGPUN YANG DAPAT MENAHAN


ﻓﻤﺎ ﻣﻨﻜﻢ ﻣﻦ ﺍﺣﺪ ﻋﻨﻪ ﺣﺠﺰﻳﻦ 

Maka tidak daripada kamu daripada seorangpun tentangnya yang menahan.

Maka tidak ada seorangpun di antara kamu Yang dapat menghalang (tindakan Kami itu) daripada menimpanya.

i.     Tiada Usaha Yang Pernah Berjaya 
       Untuk Mengubah Perkataan Tuhan

Adakah tokok tambah sedemikian (sekiranya ada) adalah merupakan sesuatu perkataan yang menjurus atau bersifat ketuhanan?  Kita telah melihat bagaimana usaha-usaha sejak dari dahulu lagi yang cuba mempertikai serta mengubah kandungan Al-Quran, sentiasa menemui kegagalan. Sehingga tiada suatu kitab pun yang berusia lebih dari 1000 tahun masih kekal sebagaimana keadaan asal melainkan Al-Quran. Itulah salah satu tanda kemuliaan Al-Quran itu terpelihara. Muhammad RasululLah S.A.W. tidak mengada-adakan perkataan atas nama Tuhan. Sehingga baginda dilantik menjadi Rasul, baginda tidak pernah mengetahui sebelum itu tentang kitab dan iman (42:52). Muhammad RasululLah S.A.W. tidak pernah dihukum sedemikian sekiranya baginda ada mengada-adakan perkataan baru yang diselitkan bersama Al-Quran. Oleh yang demikian, Tuhan sendiri mengiktiraf bahawa Al-Quran adalah datang dari Dia.

ii.    Al-Quran – Sebuah Kitab Yang Dijauhi

Umat dan ilmuwan-ilmuan pada masa ini telah menjadikan Al-Quran sesuatu yang dijauhi (25:30). Sekalipun mereka mengakui Al-Quran itu adalah kalam Tuhan, tetapi mereka meletakkannya di tempat yang 'terlalu tinggi' sehingga perkara Al-Quran seolah-olah tidak boleh disentuh. Bukan sahaja mereka tidak memperolehi teknologi baru daripada Al-Quran, bahkan mereka tidak memahami apajua yang mereka sebut dalam solah mereka daripada ayat-ayat Al-Quran.

iii.   Mukjizat Al-Quran

11 penerangan tentang penemuan ilmiah sebelum ini hanya merupakan sebahagian sahaja daripada mukjizat Al-Quran dan tidak dapat dijadikan ukuran sama ada sesuatu ayat itu ayat asli Al-Quran atau barangkali merupakan ayat tokok tambahan. Kajian-kajian terkini terhadap Al-Quran mendapati susunan Al-Quran adalah sedemikian rupa, sehingga sekiranya terdapat tambahan satu huruf terhadap Al-Quran, maka huruf itu akan dapat dikesani begitu juga jika berlaku kehilangan. Huraian panjang lebar ada dilakukan terhadap surah-surah awal, terutama terhadap surah-surah yang dimulai dengan abjad atau abjad-abjad tertentu. Semua ini adalah isyarat bahawa Al-Quran adalah peringatan yang harus diteliti oleh setiap individu. Namun, yang berlaku adalah, umat ini telah meletakkan Al-Quran di tempat 'terlalu tinggi' dan dianggap terlalu suci sehingga harus diterima bulat-bulat tanpa memerlukan kefahaman.







Thursday, December 5, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 46 -- KEMUDIAN KAMI POTONG URAT TANGANNYA


ثم لقطعنا منه الوتين

Kemudian pasti telah memotong Kami daripadanya akan urat itu.

kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya ia mati Dengan serta-merta);

i.   Membunuh Atau Menghilangkan Keupayaan Menulis

Usaha menambah-nambah atau mengubah perkataan adalah melalui kerja tangan. Demikian itu apa yang berlaku terhadap kitab-kitab terdahulu sehingga sebahagian penulis menokok tambah dalam kitab Tuhan mereka, mengikut selera mereka. Lalu mereka mendakwa bahawa semua itu datangnya daripada Tuhan. Istilah memotong urat tangan adalah tindakan yang dapat ditakrif sebagai membunuh atau menghilangkan keupayaan menulis. Bidalan perkataan sedemikian adalah juga merujuk kepada menghilangkan kuasa, kerana tangan kanan adalah melambangkan kekuasaan. 

ii.   Perkataan Manusia dan Perkataan Tuhan

Perkataan bukan sekadar dakwat di atas kertas. Penulis pernah membaca sebahagian hasil tulisan pelopor agama lain, yang menyatakan bahawa sesuci manapun sesuatu kitab suci, semua itu ditulis oleh manusia. Pernyataan seperti ini seolah-olah cuba mengungkapkan sesuatu seperti, “sebagus manapun suatu karya penulisan itu, ianya hanyalah sekadar dakwat yang ditandakan di atas kertas”. Sebenarnya RasululLah S.A.W. yang ummi itu tidak pernah menulis kitab suci dengan tangan baginda sendiri. Yang baginda sampaikan adalah wahyu Tuhan yang dicatat oleh sahabat-sahabat baginda pada kertas atau kulit haiwan atau pada pelepah. Sahabat-sahabat baginda menulis perkataan Tuhan, walau apajua kaedah sekali pun, sudah tentu sesuatu yang tidak dapat dipertikaikan adalah, semua sahabat baginda itu manusia. Sekiranya hanya dinyatakan bahawa semua karya penulisan hanyalah dakwat di atas kertas dan tidak lebih daripada itu, seolah-olah mereka yang menyatakan demikian, sengaja melihat sesuatu karya itu sebagai sesuatu yang tidak dapat dinilai atau tidak tertakrif. Sekiranya pendirian itu yang mereka ambil, mereka tidak harus mundar mandir ke hulu dan hilir, membawa kertas berdakwat sebagai wang. Mereka harus menjadi sami yang hanya dibenarkan meminta makanan daripada orang ramai dan bukannya wang! 

iii.  Ukuran Perkataan Manusia

Kini perkataan-perkataan manusia banyak dijadikan timbunan dakwat di atas kertas dan dijilid menjadi buku-buku ilmiah. Untuk dipelajari hasil penulisan berkenaan, institusi-institusi pengajian telah banyak didirikan sama ada oleh pihak pemerintah atau badan-badan persendirian. Mereka membina tamadun dan kehidupan dengan mempelajari hasil penulisan berkenaan bahkan untuk seseorang mendapatkan pengiktirafan kepakaran dalam bidang masing-masing, mereka memerlukan biaya yang besar dan mereka berusaha bersungguh-sungguh kerananya. Namun perkataan manusia, tetap perkataan manusia. Buku-buku teks, jurnal-jurnal ilmiah serta karya-karya tersohor adalah merupakan hasil kerja manusia dan menunjukkan sifat-sifat kemanusiaan, yang terdedah kepada kritikan dan kurang kesempurnaan apabila dipraktikkan. Sekiranya hasil penulisan manusia merupakan sesuatu yang sempurna, maka tidak perlu ada versi-versi baru daripada hasil penulisan. Tiada istilah penyelidikan dan pembangunan menjadi kempen yang perlu dilaksanakan sehingga akhirnya dapat menemui penemuan baru untuk melengkapkan serta menambah jurnal-jurnal sedia ada. Tidak perlu ada buku-buku teks dan rujukan di sekolah-sekolah yang sering berubah mengikut suasana baru kehidupan serba mencabar. Dengan demikian perkataan adalah merupakan sesuatu yang dapat dinilai. Perkataan yang membentuk karya sasterawan tentunya akan dinilai pada sudut kesusasteraan. Perkataan yang membentuk simbol-simbol ungkapan tentunya akan dinilai pada sudut matematik atau analitik. Perkataan yang membentuk simbol-simbol formula tentunya akan dinilai pada sudut saintifik dan sebagainya dan begitulah seterusnya. 

iv.  Ukuran Perkataan Tuhan

Sekiranya suatu perkataan disandarkan kepada Tuhan, sudah tentu perkataan sedemikian perlu dinilaikan pada suatu yang bersifat ketuhanan. Tulisan tetap tulisan, tiada apa yang dapat dihuraikan daripada tulisan pada masa ini melainkan dakwat di atas kertas, atau piksel pada skreen monitor atau perwakilan binari pada permukaan kepingan cakera keras atau pemacu pena. Itu hanya media penyampai sahaja, sepertimana malaikat Jibril A.S. adalah merupakan media penyampai perkataan-perkataan Tuhan kepada manusia dan seperti itu juga posmen yang mengutus surat. Yang akan menilai perkataan-perkataan itu adalah manusia, kepada manusia perkataan-perkataan itu diutuskan. Asas penilaian yang paling mudah bagi manusia adalah 'tidak' atau 'ya', 'palsu' atau 'benar', 'rendah' atau 'tinggi', 'buruk' atau 'baik' iaitu dua yang sifatnya berlawanan. Kemudian peranan manusia itu sendiri untuk menilai sama ada mereka berdasarkan pertimbangan logik atau matematik atau saintifik atau sastera atau prejudis atau stereotaip atau skeptik. Kesan terhadap manusia dalam menghadapi perkataan-perkataan Tuhan adalah nyata iaitu sama ada 'ingkar' atau 'percaya', 'binasa' atau 'bahagia', 'huru-hara' atau 'aman', 'gelojoh' atau 'sabar', 'musnah' atau 'kekal', 'sementara' atau 'abadi'. Manusia dalam menghadapi perkataan Tuhan akan memilih antara beriman atau ingkar. Kedua-duanya memberi kesan perbezaan amat ketara antara mereka sehingga mengakibatkan mereka saling bermusuhan serta bertindak tegas dalam menyatakan pendirian masing-masing. Begitu juga dalam menghadapi golongan yang sama, mereka menyatakan sifat persahabatan mereka secara ketara.

v.  Pertimbangan Saintifik Terhadap Perkataan Tuhan

Sebagaimana perkara-perkara yang ditemui daripada Al-Quran, pertimbangan saintifik dapat menerimanya sebagai benar. Sebagai contoh, 'sperma' daripada bapa adalah faktor penentu kepada jantina anak, adalah suatu hal yang belum ada pertimbangan sedemikian pada zaman RasululLah S.A.W. sendiri. Alam sejagat ini sentiasa berkembang dan matahari sentiasa bergerak di angkasa menuju ke tujuannya. Jisim atom besi adalah 57 u.j.a berbetulan dengan kedudukan surah Al-Hadid (besi) pada kedudukan ke 57. Besi adalah sesuatu yang diturunkan dan bukan tersedia awal-awal lagi pada bumi, ternyata dibuktikan benar bahawa sejumlah tenaga yang dapat diperolehi daripada aktiviti supernova, diperlukan untuk menghasilkan besi. Pembakaran pada blok pembakaran enjin terbaik adalah pada kedudukan di tengah-tengah tekanan. Lampau sejuk berupaya menambah kuasa pembakaran dalam enjin. Ammonia adalah penyebab kepada kejadian kerosakan lapisan langit sehingga menghuru-harakan cuaca. Bermula unsur dengan nombor atom 84 dan selanjutnya mengalami proses pembelahan nukleus secara aktif sesuai dengan tajuk surah ke 84 Al-Insyiqaq atau pemisahan. Kesan pinggiran gelombang menjadi semakin ketara untuk jarak gelombang lebih panjang. Hujan turun dari puncak awan membentuk celahan besar dengan kejatuhan suhu melalui lampau penyejukan dan keruntuhan ‘avalance’. Projek makanan golongan ingkar banyak menimbulkan kesan sumbatan dalam tubuh manusia. Semua ini dibuktikan atau dapat dibuktikan benar secara saintifik yang kajian sedemikian belum dapat dilakukan pada zaman RasululLah S.A.W. Sahabat-sahabat Rasulullah R.A.H.M. beriman tanpa soal. Umat kini belum beriman tetapi sudah banyak soal.





Monday, December 2, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 45 -- KAMI AKAN MEMEGANG TANGAN KANANNYA


لا اخذ نا منه باليمين

Pasti telah mengambil Kami daripadanya dengan tangan kanan.

sudah tentu Kami akan menyentapnya, Dengan kekuasaan kami, -

i.      Kata-kata RasululLah S.A.W.  Bukanlah Al-Quran

Kata-kata, perbuatan dan cita-cita yang datang daripada Muhammad RasululLah S.A.W. sendiri telah dibukukan sebagai Al-Hadith. Al-Hadith secara tulisan, bukanlah Al-Quran. Al-Hadith menggambarkan tingkah laku RasululLah S.A.W. sebagai manifestasi baginda dalam mengamalkan Al-Quran. Sunnah RasululLah S.A.W. yang dapat dipelajari daripada pengertian Al-Hadith, bukanlah merupakan suatu yang terpisah daripada Al-Quran. Kita dapat pelajari tindakan-tindakan RasululLah S.A.W. yang dinamai sebagai As-Sunnah, terdapat rujukannya daripada Al-Quran.

ii.    Dua Yang Tidak Terpisah Membentuk 
       Satu Yang Tidak Bercantum

Oleh itu Al-Quran dan As-Sunnah bukanlah merupakan dua yang terpisah. Bahawa kedua-duanya, dua yang tidak terpisah membentuk satu yang tidak bercantum. Adapun firman yang disampaikan kepada RasululLah S.A.W., bukan datang daripada idea Nabi. Itu adalah wahyu Tuhan, yang tidak ada kena mengena langsung dengan unsur kemanusiaan. Tiada tokok tambah walau satu hurufpun daripada Nabi terhadap Al-Quran. Kesucian Al-Quran terpelihara dan menjadi tanggungjawab Tuhan untuk memeliharanya. Seperti itu juga, penulis tidak akan menyatakan bahawa tulisan ini adalah wahyu Tuhan. Penerangan ini adalah kefahaman penulis sendiri yang telah dipelajari terlebih dahulu.

iii.   Hubungan Perkataan Perkhabaran Al-Haqqah 
       Dengan Wahyu Tuhan

Dalam hal sedemikian, perbincangan tentang Al-Haqqah, juga tidak akan sampai hingga ke muka surat ini, sekiranya sumber perolehan perkhabaran datangnya bukan daripada Al-Quran selaku kalam Tuhan. Perkhabaran Al-Haqqah adalah wahyu Tuhan dan penerangan tentang Al-Haqqah sebagaimana dinyatakan oleh si penulis datangnya daripada kefahaman penulis sendiri daripada wahyu Tuhan iaitu Al-Quran. Sekiranya Al-Haqqah ini bukan bersifat wahyu, penulis yakin, penerangan tentang kejadian Al-Haqqah seperti ini tidak akan sampai untuk diterangkan dalam mukasurat ini dan muka-muka surat sebelumnya. Siapakah penulis untuk mengkhabarkan peristiwa akan datang? Tiada seorangpun dapat menjangka dengan pasti kejadian yang akan berlaku pada masa akan datang. Saintis biosfera yang dilengkapi peralatan canggih sendiripun gagal memberi huraian tentang fenomena permukaan bumi yang semakin lembab akibat daripada perubahan cuaca. Mereka berdasarkan pengamatan saintifik serta kiraan statistik sehingga menjangkakan perkara sebaliknya yang akan terjadi. Kini mereka masih tidak memahami mengapakah segala-galanya berlaku bertentangan dengan jangkaan mereka selama ini?





Popular