SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Thursday, February 23, 2017

SURAH AL-JIN AYAT 20 -- MENYERU TUHAN TANPA MEMPERSEKUTUKANNYA



قل انما ادعوا ربى و لا اشرك به احدا

Katakanlah olehmu, sesungguhnya tiada lain hanya aku menyeru akan Tuhanku dan tidak aku mempersekutu denganNya akan sesuatu.

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Aku hanyalah beribadat kepada Tuhanku semata-mata, dan Aku tidak mempersekutukanNya Dengan sesiapapun".

i.   Perkara Yang Masih Berlaku 
     Ke Atas Umat Islam

Itulah yang sebenarnya yang disuruh Tuhan melalui lidah RasululLah S.A.W. untuk disampaikannya. RasululLah S.A.W. disuruh hanya menyeru kepada Tuhan dengan tidak mempersekutukan akanNya. Seterusnya RasululLah S.A.W. mengajak umat manusia dan jin melakukan perkara yang sama. Dalam sejarah umat selepas RasululLah S.A.W., kerja-kerja mempersekutukan Tuhan masih merupakan kerja-kerja yang diwarisi sekalipun setelah penyebaran agama Islam. Apabila Tuhan mendatangkan ayat yang memerintahkan taat kepada Tuhan dan RasulNya, ketaatan perlu dipanjangkan sesudah RasululLah S.A.W. melalui khalifah-khalifah kemudian daripada itu. 

Namun wujud golongan yang menggunakan hujah Al-Quran secara jahil, bahawa kewajiban mengeluarkan zakat tidak lagi harus dipatuhi sesudah kewafatan Nabi Muhammad S.A.W., lantaran perintah Tuhan untuk mengambil sadaqah daripada umat dikatakan hanyalah terletak di bahu baginda sahaja. Lalu terpecah umat dalam usaha mentaati perintah Tuhan, antara zakat yang diwajibkan dengan perintah lain yang 'menghalang' kutipan zakat yang juga diambil hujahnya daripada Al-Quran. Umat terpecah kepada dua, pertama merupakan mereka yang berusaha mentaati perintah Tuhan melalui kekhalifahan dan kedua mereka yang berusaha mengingkari perintah Tuhan melalui kefahaman lain melalui putar belit ayat. 

Berlaku kesyirikan kepada Tuhan apabila kepatuhan membentuk keharmonian beragama menjadi terpecah, sehingga timbul peperangan yang berkesudahan kemenangan kepada kekhalifahan. Itulah peperangan kedua selepas peperangan menghapuskan nabi-nabi palsu. Peperangan ini muncul pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar R.A.

ii.    Kesyirikan Yang Berlaku Kerana 
       Mengutamakan Kehidupan Dunia

Pada zaman Khalifah Usman R.A., muncul pemberontakan baru apabila penduduk Iraq memilih kemewahan dunia, sehingga sanggup mengenepikan urusan pengembalian tanah sebagaimana yang diperintahkan oleh khalifah. Kumpulan pemberontak berkenaan telah mengepung dan membunuh beliau, yang ketika itu beliau sedang membaca Al-Quran. Umat terus berpecah sehingga kesyirikan bermaharajalela. 

Setelah perlantikan Syaidina Ali R.A., muncul pula puak ghullah yang menyatakan ketaatan melampau-lampau kepada Syaidina Ali R.A., tidak mengiktiraf kekhalifahan sebelumnya yang juga terdiri daripada menantu dan bapa mertua RasululLah, R.A.H.M. Dalam kalangan mereka, ada yang sanggup mendakwa terdapat Quran lain selain daripada Al-Quran sedia ada, bahkan ada yang menganggap Syaidina Ali R.A. adalah merupakan bahagian daripada ketuhanan. Golongan ini didapati kekal sehingga ke hari ini sepertimana golongan Nasrani kekal menyembah Nabi Isa A.S. sehingga ke hari ini.

Semua urusan kembali kepada Tuhan. Menghadapi kesyirikan umat adalah tugas berat yang dibebankan ke atas bahu kekhalifahan, supaya hanya Tuhan disembah dan perintahnya ditaati dan kekhalifahan dipatuhi dalam perkara-perkara ketaatan. 

Sehinggalah sampai masa keruntuhan naungan Tuhan di muka bumi ini pada tahun 1923 Masehi, apabila sistem kekhalifahan diruntuhkan oleh Mustafa Kamal At-Tarturk. Naungan Tuhan telah terlucut daripada umat ini sehingga umat ini mengalami penderitaan berpanjangan. Bahkan ajaran aties tersebar merata mengajari umat meninggalkan Tuhan. Penjajahan yang dilakukan oleh bangsa Barat mengakibatkan terhasilnya penjajahan minda dan umat gagal melepasi belenggu ini walaupun selepas zaman pasca kemerdekaan. Sumbangan Barat dalam kehidupan umat ini, didapati lebih membawa bencana dan sehingga kini umat ini tidak menemui jalan kembali. Sebenarnya kepada kitab Allah, Al-Quran dan mengikuti panduan As-Sunnah dalam memahaminya yang sehingga kini mereka sendiri melarikan diri daripadanya. Namun ketentuan Tuhan mengatasi segala-galanya dan hanya Tuhan mengetahui tujuan kerasulan RasululLah S.A.W. dan nasib umat ini dengan sebenarnya.





Friday, February 17, 2017

SURAH AL-JIN AYAT 19 -- SERUAN HANYA KEPADA ALLAH - SERUAN YANG MENDAPAT PERHATIAN


وانه لما عبدالله يدعوه
كادوا يكونون عليه لبادا

Dan bahawasanya tatkala hamba Allah ia menyeru akanNya, telah hampir-hampir mereka, mereka jadi ke atasnya yang berasak-asak.

Dan Bahawa sesungguhnya, ketika hamba Allah (Nabi Muhammad) berdiri mengerjakan Ibadat kepadaNya, mereka hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya.

Nabi-nabi beribadah terus kepada Tuhan, begitu juga para malaikat yang tidak jemu-jemu serta merasa malas. Bangsa jin kebanyakan daripada mereka beribadah kepada Tuhan. Tuhan tiada beristeri atau anak, Dia tiada wakil di alam ini, oleh itu perwakilan hendaklah ditujukan terus kepadaNya (73:09). Mengambil selain Allah sebagai wakil atau perantaraan dalam doa atau peribadatan adalah suatu perbuatan yang menjurus kepada kerja-kerja mempersekutu Tuhan. Sepertimana orang-orang yang terdahulu yang menghampiri tokoh-tokoh yang didekatkan sehingga tokoh berkenaan sampai kepada ajal mereka, lalu syaitan memujuk mereka untuk membina patung atau imej menyerupai tokoh itu lalu segala doa dipohon dengan perantaraannya. 

Sekiranya jalan menuju kesyirikan dipotong awal-awal lagi maka generasi selanjutnya adalah merupakan generasi yang beribadah kepada Tuhan tanpa sebarang perantaraan dan syaitan akan sampai kepada kekecewaan dalam usaha menyesatkan manusia dalam perkara-perkara ibadah. Berdoa dan beribadat terus kepada Tuhan adalah sunnah RasululLah S.A.W. Ini adalah sunnah yang wajib dituruti. Dalam beribadah kepada Tuhan, dengan sebutan-sebutan yang memiliki nilai bahasa yang tinggi sepertimana yang dibaca daripada ayat-ayat Al-Quran, bangsa jin adalah lebih dapat menilai sehingga mereka sungguh menyenangi pembacaan itu. Namun bukanlah membaca dengan berlagu-lagu sehingga menyanyi dengan naik turunnya. Bacaan sedemikian yang tidak menyampaikan kepada kefahaman kandungan adalah seumpama amalan ahli kitab terdahulu. Bacaan Al-Quran perlu dibaca dengan sebenar pembacaan dereten demi deretan sehingga membentuk suatu himpunan ayat. Contoh himpunan ayat daripada surah ini, adalah dinyatakan dari permulaan surah sehingga ke ayat ini dan himpunan selanjutnya adalah dari ayat selanjutnya sehingga ke akhir ayat. 

Dengan mengambil ayat-ayat Al-Quran membentuk suatu himpunan ayat, kefahaman daripada suatu rangkuman ayat menjadi lebih jitu dan pelajaran sedemikian adalah lebih mudah diingati. Tujuannya adalah supaya hati dapat ditetapkan dalam mengingati ayat dan pelajaran yang diambil adalah jelas (25:32). Demikianlah disiplin yang Tuhan tunjukkan kepada RasululLah S.A.W. Mengapakah bangsa jin sanggup berasak-asak kepada RasululLah S.A.W. tatkala baginda sedang bersolah? Demikian itu mereka adalah makhluk yang suka mengamati sesuatu ayat yang mengandungi keindahan bahasa yang tinggi. Demikian itu jin adalah makhluk Tuhan yang suka menjaga tutur kata sesama mereka yang sikap sedemikian kurang terdapat pada manusia melainkan pada bangsa yang sedang mengikuti suatu tamadun. 

Pengajaran Ayat 

Walaupun jin termasuk antara perkara-perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia, namun jin bukanlah merupakan perkara ghaib yang wajib diimani. Kehidupan jin juga seumpama kehidupan manusia dan dalam kalangan jin terdapat bentuk pengamalan yang pelbagai (72:11). Jin adalah lebih mudah tertarik kepada bacaan Al-Quran yang memiliki keindahan, walhal sebahagian manusia mengganggap bacaan sedemikian adalah bacaan manusia yang diada-adakan oleh Muhammad (25:04-05) (S.A.W.) sehinggalah mereka menerima penerangannya. Secara umumnya masyarakat jin beragama sebagaimana agama manusia dan kehidupan manusia adalah lebih mempengaruhi mereka dan bukan sebaliknya (72:03). Keupayaan mereka dalam mencuri dengar berita dari langit sebelum ini telah terhalang dengan perutusan RasululLah S.A.W. ke dunia ini dan sesiapa jua yang cuba mencuri dengar daripada kalangan syaitan, panah api yang mengintai telah disediakan (72:9). Prasyarat jin untuk diterima amalan mereka adalah lebih ketat berbanding manusia, oleh yang demikian mereka adalah lebih condong kepada pengamalan syariat yang diperintahkan. Golongan pertengahan daripada mereka walaupun tidak begitu kuat kepatuhan mereka dalam penyerahan diri kepada Tuhan diancam untuk menjadi bahan bakar neraka jahanam (72:15). Keadaan mereka yang dapat menyaksikan kebesaran Tuhan darihal perkara ghaib yang tidak dapat dicapai oleh manusia seharusnya menjadi kayu ukur kepada mereka dalam mentaati perintah Tuhan. Menyeru selain Allah termasuklah makhluk jin atau wali-wali haruslah dihindari.




Saturday, February 11, 2017

SURAH AL-JIN AYAT 18 -- MASJID HANYA UNTUK ALLAH


ﻭ ﺍﻥ ﺍﻟﻤﺴﺠﺪ ﻟﻠﻪ ﻓﻼ ﺗﺪﻋﻮﺍ ﻣﻊ الله ﺍﺣﺪﺍ 

Dan bahawasanya masjid itu kepunyaan Allah, maka janganlah kamu menyeru beserta Allah akan sesuatu. 

Dan Bahawa Sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (Ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.

i.    Seruan Hanya Kepada Allah 

Menyeru kepada selain Allah adalah merupakan amalan mempersekutu. Terdapat amalan-amalan tertentu dalam amalan bertareqat yang menyeru rijalul ghaib tertentu lalu dinamainya sebagai amalan tawassul sedangkan seruan hanyalah layaknya kepada Allah sahaja. Lalu diizinkan tindakan ‘tawassul’ (17:57) itu dengan contoh daripada sahabat RasululLah S.A.W. iaitu khalifah Umar R.A. sedangkan yang diseru oleh khalifah Umar R.A. hanyalah kepada Allah dan bukan kepada nama-nama yang lain. Amalan seru seperti ini dalam ibadah adalah suatu perbuatan mempersekutu Tuhan dalam peribadatan (10:18). Adalah tidak wajar menyeru nama-nama yang diiktiraf sebagai wali-wali atau rijalul ghaib dengan alasan bahawa mereka itu adalah pembantu-pembantu di sisi Tuhan. Adakah seseorang itu ingin mengkhabarkan sesuatu kepada Tuhan yang Dia tidak mengetahui terhadap apajua yang terjadi di langit dan di bumi. Lalu mengapakah doa perlu dipohon dengan perantaraan makhluk? Apakah sebenarnya manfaat yang akan diperolehi sekiranya perantaraan itu disebutkan dalam doa dan apakah pula mudharat sekiranya tidak disebutkan sedemikian? Perkara sedemikian tidak wajar disebut sebagai mengambil keberkatan di atas sifat tawaduk seseorang. Bukankah Tuhan hanya membenarkan bahawa Dia sahaja diseru dan disembah dan bukannya dengan perantaraan sesuatupun? Adakah perlu seseorang itu menghina diri sendiri dengan mengatakan bahawa ia tidak layak berdoa kepada Tuhan.

 ii.   Masjid Hanya Untuk Allah 

Adakah setiap yang berkubah dapat dikatakan sebagai masjid? Tentunya tidak, kerana bangunan Kremlin di Russia juga dihiasi dengan kubah. Adakah setiap yang bermimbar adalah masjid? Tentulah tidak, kerana bangunan Gudwara Sahib juga memiliki kubah dan bahagian mimbar. Hanya yang layak memakmurkan masjid taqwa, hanyalah golongan yang beriman. Sekiranya bangunan-bangunan seperti masjid digunakan untuk mengintai atau melakukan perisikan sehingga mengakibatkan perpecahan golongan yang beriman, bangunan itu tetap masih dinamai sebagai masjid tetapi bukanlah masjid taqwa dan umat ini tidak seharusnya mendirikan apa-apajua aktiviti di dalamnya. Selain masjid taqwa, masjid–masjid yang lain dikatakan didirikan di atas tepi jurang yang runtuh sama ada runtuh daripada petunjuk Tuhan atau mengalami keruntuhan tebing sedikit demi sedikit. Umat ini tidak seharusnya memakmurkan masjid seumpama ini kerana dikhuaturi akan tenggelam bersama runtuhnya masjid berkenaan (2:114). 

Suatu persoalan timbul iaitu bagaimana cara mahu menentukan status sesebuah masjid? Jawapan yang mudah iaitu mana-mana masjid yang pembinaannya untuk pengabdian diri kepada Tuhan beserta tujuan-tujuan sampingan yang lain, yang demikian cara pendirian masjid berkenaan mengandungi unsur penyekutuan kepada Tuhan. Penulis enggan mengupas lebih lanjut kerana perkara sedemikian menimbulkan isu sensitif kepada masyarakat. Untuk memudahkan pendirian umat ini adalah memadai mereka memerhatikan pendirian bangunan sesuatu masjid didirikan atas asas tapak ketaqwaan kepada Tuhan iaitu asas suatu bangunan telah didahului didirikan untuk tujuan pengabdian kepada Tuhan semata-mata. Berdasarkan sejarah telah dinyatakan bahawa istana Farsi yang diubah kepada masjid, telah dikuasai melalui jalan jihad untuk pembukaannya, sudah memadai dijadikan ukuran asas taqwa atas pembinaan bangunan masjid berkenaan. Oleh itu tidak timbul persoalan lanjut satu-satu masjid layak didirikan solah di dalamnya atau perlu dijauhi.



Sunday, February 5, 2017

KAD TERAKHIR PERCATURAN TATASUSUN DUNIA BARU


Penguasaan terakhir atau penguasaan ketiga golongan Luciferian adalah penguasaan sumber air dan pertanian. Keadaan ini juga diwujudkan akibat daripada hancurnya sistem kekhalifahan terakhir sebelum ini. Tiada lagi bekalan air percuma kepada rakyat dan padang ragut percuma untuk ternakan-ternakan mereka. Langkah mula kepada aktiviti ini adalah pengenalan kepada cukai karbon. Cukai yang mula-mula diamalkan oleh pentadbiran Australia dan diikuti oleh New Zealand adalah merupakan bebanan yang ditanggung oleh firma perkilangan terhadap penggunaan bahan bakar yang melibatkan perlepasan karbon dioksida ke persekitaran. Tindakan ini tentunya akan dituruti oleh kebanyakan negara-negara 'maju' sehingga akhirnya akan dijadikan standard atau piawaian yang akan dikenakan kepada negara-negara seluruh dunia. 

Cukai karbon yang kononnya karbon dioksida menjadi penyebab kepada huru-hara cuaca dunia adalah merupakan kesempatan untuk mengaut keuntungan berdasarkan suatu kenyataan ilmiah yang dipalsukan. Penulis menentang segala bentuk kenyataan yang menyatakan bahawa karbon dioksida adalah satu-satunya penyebab utama kepada kepanasan global. Kenyataan sedemikian sengaja diputar-belitkan agar negara-negara menuruti syor yang dikemukakan oleh Bank Dunia, supaya mereka semua mula mengambil tahu tentang permasalahan sejagat. 

Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush sebelum ini pernah menyatakan bahawa karbon dioksida bukanlah punca kepada peningkatan suhu sejagat. Mengapakah beban permasalahan turut dikenakan kepada negara-negara membangun dan miskin? Sedangkan selama ini kerosakan persekitaran terjadi disebabkan oleh usaha negara-negara 'maju' melaksanakan pekerjaan secara gelojoh yang dirangsang oleh sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba. Cukai karbon sebenarnya menjurus kepada pengiktirafan bahawa permasalahan sejagat seperti perubahan cuaca, telah mula berlaku di bumi ini. Selepas itu mereka akan memperkenalkan cukai-cukai baru seperti cukai penggunaan baja dan cukai pengambilan air. 

Baja akan dikenal pasti sebagai penyebab kedua kepada terjadinya kerosakan alam persekitaran dan begitu juga penggunaan klorin sebagai bahan basmi kuman dalam air yang dibekalkan. Melalui pengenalan kepada cukai, aktiviti ini seperti membuka pintu kepada penguaskuasaan undang-undang baru terhadap aktiviti perbekalan air dan juga pertanian. Akan ada negara yang hanya pihak tertentu sahaja dibenarkan untuk melaksanakan aktiviti pengurusan ladang sementara mana-mana individu lain yang menguruskannya, tidak dibenarkan menjual hasil ladang mereka ke pasaran terbuka.  Kononnya adalah untuk tujuan pengawalan kadar peptisid yang digunakan serta penggunaan baja terkawal. Perkara ini tentunya akan menjalar kepada negara-negara lain. Kempen teknologi hijau yang mengutamakan bahan bakar bio (biofuel) adalah merupakan langkah membawa kebuluran kepada sebahagian penduduk dunia. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa penggunaan biofuel sebenarnya meningkatkan perlepasan karbon dioksida dan haba lebih banyak ke persekitaran berbanding penggunaan bahan bakar petroleum. 

Masalah perubahan cuaca dijadikan alasan untuk menambah lagi bebanan kepada sebahagian besar penduduk dunia. Beginilah kaedah mereka cuba menguasai akta kawalan pertanian atas alasan yang tidak munasabah. Sikap mereka sebenarnya ingin menindas manusia pada keseluruhannya. Masalah dunia tidak boleh diselesaikan dengan catuan makanan tetapi kembali kepada pengamalan ajaran agama yang sebenarnya. Pengawalan penggunaan baja dan pemuliharan tumbuhan-tumbuhan harus dilakukan semula. Sehingga suatu ketika, mereka akan mengenakan tindakan terhadap mana-mana negara yang tidak mematuhi akta kawalan pertanian menurut cita rasa mereka. Mereka boleh sahaja menyediakan suatu keadaan melalui kawalan teknologi sehingga hujan tidak turun di negara terbabit malahan sanggup melakukan kerosakan terhadap tanaman yang diusahakan oleh rakyat negara berkenaan. 

Peristiwa inikah yang dijadikan alasan sebagai 
ancaman 'makhluk asing'? Program "persenjataan 
angkasa" sebenarnya bertujuan untuk mengawal
semua aktiviti manusia.

Mereka memiliki kesempatan ini pada masa hadapan apabila kedua-dua kutub mencair sepenuhnya. Suhu bumi akan meningkat sehingga mengakibatkan kemarau atau kejadian hujan yang membinasakan. Semua itu adalah disebabkan oleh kerja-kerja manusia sendiri lantaran mematuhi peraturan keingkaran, akibat daripada suatu keadaan sehingga mereka tidak bersedia memerhati ayat-ayat Tuhan. Mereka sibuk dengan cengkaman riba sehingga melupai kepentingan pembelaan terhadap golongan dhaif. Akhirnya bencana menimpa diri mereka sendiri dalam kehidupan mereka di dunia ini.

Agenda Dajjal sudah sangat hampir. Negara kita
terlibat secara langsung dengan program mereka.
Jadi apakah persediaan kita?




Popular