SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Friday, August 29, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 14 -- JUGA SELURUH MANUSIA DI BUMI - MAU SAHAJA DIKORBANKAN


و من فى الارض جميعا ثم ينجيه

Dan sesiapajua pada bumi itu semua sekali, kemudian ia (terpilih untuk) diselamatkan.

dan juga sekalian makhluk Yang ada di bumi - kemudian (diharapkannya) tebusan itu dapat menyelamatkannya.

i.     Baru Ia Tahu Erti Mementingkan Diri Sendiri

Namun adakah usaha penebusan yang diangan-angankan oleh manusia yang berdosa itu berbaloi? Ke manakah sebenarnya setiap mereka mahu diselamatkan. Adakah ke stesen-stesen angkasa yang telah mereka lemparkan tali yang panjang kepadanya? Ataukah ke pusat-pusat perlindungan yang terdapat di bawah lapisan kerak bumi? Adakah ruang-ruang yang terdapat di sana mencukupi untuk menampung sejumlah manusia? Namun apakah sebenarnya bentuk azab yang sebegitu rupa, sehingga setiap individu akan mementingkan dirinya sendiri? 

Bukankah mereka selama hidup di dunia ini dahulunya sentiasa mementingkan diri mereka sendiri? Mereka mencipta suatu bentuk kehidupan yang kononnya menyediakan tempat-tempat kediaman yang selesa kepada manusia lain, walhal penghujung rancangannya adalah, mereka mahu kepentingan diri mereka sendiri diutamakan. Tidak cukupkah dengan kedurjanaan mereka selama ini mempertahankan kepentingan mereka sehingga mengakibatkan kemusnahan alam serta menggugat kehidupan sosial manusia yang lain? Sehingga datang azab Tuhan, mereka masih mahu supaya semua manusia lain dikorbankan sebagai tebusan supaya mereka sahaja yang akan selamat.

ii.    Kaedah Menyusur Ke Silam

Susunan ayat adalah sedemikian rupa sehingga, kejadian akhir disebut terlebih dahulu dengan segala keadaan yang mengerikan. Selanjutnya dinyatakan rentetan peristiwa yang mengakibatkan kejadian sedemikian suatu masa nanti yang pasti terjadi. Gunanya adalah untuk menarik minat kepada umat supaya mahu mendengar wahyu Tuhan melalui RasulNya. Kaedah ini dinyatakan sebagai kaedah ‘menyusur ke silam’ atau ‘flashback’. Kaedah ini juga yang pernah digunakan oleh kebanyakan daripada pengeluar-pengeluar filem yang berjaya meraih kutipan tayangan yang besar. Contoh filem-filem yang berjaya menjejaki kaedah sedemikian adalah seperti Titanic, Day After Tomorrow, Emily Rose dan tidak lupa juga filem tempatan seperti Kekasih Awal dan Akhir dan juga Hantu Kak Limah Balik Rumah.





Saturday, August 23, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 13 -- DAN JUGA PEKERJA-PEKERJA BANTUAN


و فصيلته التى توءيه

Dan pekerja-pekerja bantuan yang menyediakan tempat perlindungan (mau sahaja dikorbankan).

dan kaum kerabatnya Yang melindunginya,

i.     Pusat-pusat Perlindungan (Shelter) Yang Terhad

Apabila tempat-tempat perlindungan kecemasan sedia ada tidak mencukupi untuk menampung manusia, maka pada ketika itu mereka akan saling memandang sesama mereka. Cabutan undi perlu dibuat untuk memilih di antara mereka yang perlu diselamatkan dan meninggalkan yang lain menjadi korban. Lalu setiap individu sangat-sangat mengharap kiranya ahli keluarga yang lain, sahabat-sahabat yang lain dan manusia-manusia yang lain itu tidak terpilih. Hanya dia sahaja yang terpilih dan yang lain secara tidak langsung menjadi penebus untuk menyelamatkan dirinya.

ii.   Azab Yang Lain Macam

Azab apakah yang menyebabkan kejadian sedemikian? Tentunya azab ini lain dari yang lain. Bukan azab tsunami kerana tsunami masih memberi peluang kepada yang selamat untuk menyelamatkan yang lain kiranya mampu. Tentunya bukan kejadian taufan, kerana kehadiran taufan yang dapat dikesani melalui cerapan satelit, masih memberi peluang supaya manusia berkumpul ke tempat yang jauh dari kawasan yang dijangka dilanda taufan. Mereka dikumpulkan di suatu tempat yang besar serta terlindung serta jauh dari ancaman taufan dan mereka disediakan makanan secara hidangan kawah. Tentunya bukan akibat daripada serangan nuklear atau serangan kimia atau biologi kerana azab sedemikian berlaku secara mengejut dan kemungkinan tiada sesiapapun yang dapat menyelamatkan diri. Tentunya bukan disebabkan oleh banjir kerana pusat-pusat perlindungan tentunya akan didirikan untuk menampung pelarian banjir yang ramai itu. Bahkan tidak juga akibat peperangan kerana peperangan membawa kemudaratan menyeluruh sehingga mereka berusaha bersama-sama dan memberi kerjasama yang baik untuk memilih tempat berlindung.







Sunday, August 17, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 12 -- SANGGUP MENGORBANKAN AHLI KELUARGA TERDEKAT


وصاحبته و اخيه

Dan isteri-isterinya dan saudara maranya.

dan isteri serta saudaranya,

i.     Hilangnya Nilai-nilai Kemanusiaan

Kemanakah perginya nilai kemanusiaan mereka selama ini? Adakah mereka dengan tiba-tiba menjadi manusia yang terlalu kejam sehingga sanggup membiarkan sahaja anak-anak mereka, isteri-isteri mereka serta saudara-saudara mereka terkorban, demi untuk menyelamatkan diri-diri mereka sendiri.

ii.    Mereka Yang Sebenarnya Menjemput 
       Azab Sedemikian

Bukankah perkara sedemikian terjadi adalah atas kesediaan mereka selama ini? Mereka megah menjalani kehidupan berasaskan sistem riba, sehingga kebanyakan masa hidup mereka adalah di atas ladang-ladang mereka atau pejabat-pejabat mereka atau bengkel-bengkel mereka atau di atas jalan-jalanraya sehingga mengakibatkan kesesakan. Bukan sahaja keadaan sedemikian telah mereka lalui, bahkan mereka telah terpaksa meninggalkan tanggungjawab bermasyarakat sehingga mengakibatkan hubungan kekeluargaan mereka turut terjejas. 

Kini, tindakan mereka selama ini mula menjadi realiti. Mereka kini terpaksa memilih sama ada mereka yang terkorban atau membiarkan ahli-ahli keluarga kesayangan mereka terkorban.





Monday, August 11, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 11 -- MEREKA HANYA MAMPU SALING MEMANDANG (SESAMA MEREKA)


يبصرونهم

Mereka (hanya mampu) saling memandang (sesama) mereka. 

padahal masing-masing diberi melihat setengahnya Yang lain;

i.    Bukan Seperti Peristiwa Tsunami

Peristiwa tsunami cukup memberi gambaran ngeri semasa kejadian, namun sekiranya ada kesempatan antara ahli keluarga mahu menyelamatkan antara satu sama lain, pasti mereka akan melakukannya. Namun azab Tuhan pada hari itu tidak sedemikian. Demikian itu adalah suatu gambaran akan datang iaitu suasana semasa berlaku bencana azab. Gambaran ini adalah lantaran sikap manusia yang selama ini sentiasa mementingkan diri-diri mereka sendiri, tidak memperduli nasib ahli masyarakat, ahli kerabat terdekat, jiran tetangga mereka serta yang lainnya.

Mereka selama ini sentiasa menyibukkan diri mereka dengan corak kehidupan yang membingungkan yang mengakibatkan keperihatinan mereka terhadap ahli masyarakat hanya berlaku secara seloroh. Bukan keperihatinan mendalam. Sekadar hanya dapat dikatakan sebagai hidup berjiran. Kiranya keadaan nasib masyarakat telah diambil berat awal-awal lagi oleh semua pihak, tentunya sukar untuk kita mendengar kisah menyayat hati seperti kisah pengabaian seorang remaja kurang upaya yang terjadi baru-baru ini.

Nasib Adik Muhammad Firdaus : Si Ibu Yang Harus Diselamatkan 
Sebelum Peristiwa Pengabaian Itu Berlaku, Kiranya Tidak ....
Maka Kita Semua Harus Dipersalahkan !!!

Gambaran suntingan video menunjukkan bagaimana seorang ibu sedia mengabaikan anaknya atas suatu sebab yang tidak sepenuhnya kita fahami. Namum gambaran peristiwa Al-Ma'arij nanti adalah lebih dahsyat lagi .....

يود المجرم لو يفتدى من العذاب يومئذ ببنيه

Ia bercita-cita kuat, oleh golongan berdosa itu (setiap kita), kiranya ia benar-benar (dapat) menebus diri daripada azab itu, pada hari itu dengan anak-anaknya. 

(pada saat Yang demikian) orang Yang kafir suka kiranya dapat menebus dirinya dari azab itu Dengan anak-anaknya sendiri,

ii.    Mereka Sanggup Menebus Diri Mereka 
       Dengan Semua Yang Lain.

Pada kejadian azab berkenaan, tidak ada sebarang erti langsung hubungan kekeluargaan atau sesama jiran atau sesama ahli masyarakat. Maka akan mengharap, mereka yang bersalah itu, kiranya dapat mereka terlepas diri daripada azab pada hari itu, dengan anak-anaknya, isterinya dan saudara-saudaranya dan kaum keluarganya yang memberi perlindungan kepadanya selama ini serta sesiapa jua yang terdapat di bumi ini seluruhnya. Semua itu mahu saja dipertaruh sebagai penebus buat dirinya.



Tuesday, August 5, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 10 -- MEREKA TIADA KESEMPATAN BERTANYA


و لا يسئل حميم حميما

Dan tidak akan bertanya oleh seseorang (pada hari itu) akan teman akrabnya.

dan sahabat karib tidak bertanyakan hal sahabat karibnya, (kerana tiap-tiap seorang sibuk memikirkan hal keadaannya sendiri),

Azab yang berlaku pada hari itu begitu menyeluruh sehingga setiap individu hanya memikirkan keselamatan diri masing-masing. Pada ketika wabak penyakit H1N1 menular ke seluruh dunia, manusia masih lagi berkesempatan untuk mengembara dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Mereka tidak begitu bimbang bencana yang berlaku secara merata semasa mereka dalam perjalanan. Tentunya bencana pada hari itu tidak sedemikian rupanya malahan lebih hebat lagi. Manusia, pada hari itu tidak mampu untuk menaruh simpati pada yang lain sekalipun untuk bertanya khabar.





Popular