SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Saturday, October 29, 2016

SURAH AL-JIN AYAT 4 -- MEMPERKATA TENTANG TUHAN, IDEA YANG MELAMPAUI


وانه كان يقول سفيهنا على الله شططا 

Dan sesungguhnya, telah adalah ia, ia berkata oleh yang bodoh antara kami atas Allah, yang melampaui. 

Dan (dengan ajaran Al-Quran nyatalah) Bahawa sesungguhnya: (ketua) Yang kurang akal pertimbangannya dari kalangan kita telah mengatakan terhadap Allah kata-kata Yang melampaui kebenaran;

i.   Tiga Perkara Ajaran Syaitan 

Itulah yang dikehendaki oleh syaitan dalam kalangan jin. Hanya tiga sahaja perbuatan yang amat-amat digalakkan oleh syaitan (2:169). Sesungguhnya syaitan hanya memerintahkan terhadap perkara-perkara yang buruk, fahsak dan mengatakan ke atas Allah perkara yang tidak diketahui. Oleh kerana Jin memilih agama yang dianuti oleh manusia, maka peranan manusia adalah lebih dominan. Adalah salah menyamakan hanya jin sahaja yang bertindak sebagai syaitan kerana jin adalah makhluk ciptaan Tuhan yang akan diadili di akhirat nanti, sedangkan dalam kalangan manusia terdapat juga syaitan. 

Mengatakan sesuatu atas Tuhan perkara yang tidak diketahui adalah seperti mendakwa bahawa Tuhan mengambil isteri dan/atau anak. Mengatakan bahawa Tuhan itu berbilang-bilang banyak sehingga setiap yang berkelip-kelip dikatakan sebagai Tuhan. Mengatakan perkara ‘tiga’ atau tri terhadap Tuhan yang lebih baik mereka berhenti. Termasuklah yang mengatakan bahawa Tuhan mengambil tempat di alam ini dan berjalan di atas air. Termasuk juga yang mengatakan bahawa Tuhan adalah perkataan. Dengan itu adalah meniru perkataan orang-orang yang terdahulu sedangkan mereka mengatakan sedemikian bukan dengan ilmu yang meliputi. Apabila perkataan disebut terlebih dahulu maka Tuhan disebut terkemudian. Mana satu dahulu antara perkataan dan Tuhan, sering diperdebatkan seperti memperdebat mana dahulu antara telur ayam dan ayam telur? Suatu perdebatan yang tiada kesudahan dan membuang masa.

(Penemuan saintis terkini menyatakan, telur semata-mata tidak berupaya menghasilkan cengkerangnya sendiri dan cengkerang itu harus terhasil dari ibu asalnya sebagai bukti bahawa ayam harus datang terlebih dahulu sebelum telur. Video di bawah ini pula membuktikan, telur dapat menetas tanpa adanya cengkerang, membuktikan penemuan tersebut tidak membuktikan apa-apa)

Sekiranya daripada embrio dapat terhasil anak tanpa kehadiran 
cengkerang, satu hari nanti dengan rahim buatan, janin manusia 
dapat menjadi bayi tanpa ibu yang mengandungkannya.

Termasuk juga mereka yang mendakwa bahawa Tuhan miskin atau tangan Tuhan terbelenggu iaitu kedekut, kalangan Yahudi yang memikirkan bahawa yang dikatakan Tuhan mestilah yang mengurniakan kekayaan.

ii.  Kecelaruan Umat Terhadap Ajaran 
     Ketuhana

Mereka tidak mengiktiraf Muhammad RasululLah S.A.W. menerima wahyu melalui Jibrail A.S. Mereka sukakan Mikail kerana Mikail A.S. membawa rezeki seperti Santa Claus. Mereka mengatakan sedemikian lantaran kesombongan terhadap Tuhan. Adakah sama perkataan mereka dengan perkataan hamba-hamba Tuhan yang sentiasa mencari jalan menuju kepadaNya? Adakah layak mereka yang tidak mengkadarkan Tuhan dengan sebenar-benar perkadaran mencapai jalan kerohanian kepada Tuhan yang empunya seluas Kursi angkasa dan bumi? Juga mereka yang mengatakan bahawa Al-Quran itu suatu kitab yang susah dipelajari (54:17/22/32/40), mereka yang meletakkan pra-syarat yang berbagai-bagai dalam mempelajari Al-Quran. Seperti juga perkataan barangsiapa yang telah beragama dengan agama Islam maka baginya pasti akan memasuki syurga Tuhan setelah melalui suatu tempoh dalam neraka. Adakah Tuhan telah menetapkan janji seperti itu sehingga Ia tidak akan mengubah janjinya atau mereka memperkatakan sesuatu terhadap Tuhan tentang perkara yang mereka sebenarnya tidak mengetahui (2:80)? Senang banyaklah, hanya dengan beragama dengan agama Islam kemudian pasti masuk syurga Tuhan. Pada saat orang-orang Islam menganggap sesiapa yang tidak beragama Islam pasti menempah neraka, adakah dengan perkataan sedemikian merupakan jaminan bahawa setiap orang Islam pasti akhirnya masuk ke syurga?

Apabila sampai kepada perkembangan ilmu sains dan teknologi yang dipelopori oleh golongan yang sesat akhirnya kesimpulan dibuat bahawa yang maju itulah yang benar atau yang kaya itulah yang benar. Dengan istilah lain, oleh kerana tiada didapati ‘kemajuan’ dapat ditunjukkan daripada pengamalan agama ini maka secara automatiknya agama ini dengan sendirinya adalah kurang benar. Akhirnya pegangan umat Islam mulai luntur sehingga pendakyah-pendakyah agama lain mengambil kesempatan memurtadkan sebahagian daripada penganut agama ini dengan jalan umpanan harta atau menghamilkan terlebih dahulu sebelum memurtadkannya. Oleh itu, apakah nilainya kebenaran kitab suci yang menjadi pegangan mereka selama ini? Bahkan sesiapa yang mengusahakan suatu keburukan, sama ada suatu sistem atau amalan dan akibat daripada itu, ahli-ahli masyarakat telah dilingkungi dengan pelbagai keburukan yang merentet, maka mereka lebih layak mendiami neraka. Mereka akan mendiami di dalamnya selama-lamanya. Kecelaruan umat Islam kini adalah didorong oleh sikap 'ulama-ulama' sendiri yang condong untuk menakrif agama sebagai sesuatu yang mendatangkan keuntungan segera dalam kehidupan mereka di dunia ini dan melupai balasan akhirat. Mereka menakrifkan agama untuk tujuan keuntungan kewangan, kemewahan dan kuasa semata-mata.



Sunday, October 23, 2016

SURAH AL-JIN AYAT 3 -- TUHAN TIDAK BERISTERI DAN TIDAK BERANAK


و انه تعلى جد ربنا
ما اتخذ صاحبة و لا ولدا
 
Dan (Ia) sesungguhnya Maha Tinggi kebesaran Tuhan kami, tidak telah mengambil Ia akan isteri dan tidak (juga) anak.
 
Dan (ketahuilah Wahai kaum kami!) Bahawa sesungguhnya: tertinggilah kebesaran dan keagungan Tuhan kita daripada beristeri atau beranak.


Perkataan ما اتخذ adalah berbeza dengan perkataan لم يتخذ ‚ yang pertama disebut sebagai tidak telah mengambil ia dan satu lagi disebut sebagai telah tidak ia mengambil. Kedua-duanya merujuk kepada kata kerja sudah berlalu. Perkataan pertama bermakna tidak pernah iaitu suatu penekanan ayat bahawa Tuhan sejak azali berkeadaan Esa tanpa sebarang teman atau sekutu. Perkataan kedua pula merujuk kepada suatu yang pernah berlaku dan tidak berlaku lagi. Contohnya seperti perkataan لم تر iaitu telah tidak engkau lihat, dalam surah Al-Fil, merujuk sesuatu pengelihatan yang pernah berlaku dan tidak lagi berlaku. Demikian sempurnanya susunan ayat Al-Quran sehingga tidak membuka ruang terhadap sebarang pertikaian atau kritikan. Bahasa yang diungkapkan oleh satu kaum jin yang disampaikan kepada RasululLah S.A.W juga membawa makna perkataan tersirat, bahawa kaum jin berkenaan sebelum itu beragama dengan agama Nasrani (Kristian). Demikian itulah agama bangsa Jin selalunya menurut agama yang dianuti manusia setempat.

i.   Tidak Beristeri dan Anak

Sebenarnya penerimaan bahawa Tuhan beristeri dan anak, adalah diterima daripada pengajaran silam dewa-dewa yang ditemani oleh para dewi. Ajaran ini dipengaruhi oleh sistem hirarki bangsa Jin dan corak sedemikian adalah suatu sistem penyembahan yang dipelopori oleh Iblis. Mereka amat suka memperkenalkan sistem hirarki supaya manusia mencontohi dan seterusnya menerima mereka sebagai tuhan atau keturunan tuhan. Mereka sebenarnya adalah makhluk Tuhan daripada jenis reptilia.

ii.   Konsep Dewa-dewa Telah Mempengaruhi 
      Ajaran Dalam Agama Kristian  

Sekalipun asal agama Kristian adalah agama Nasrani yang merupakan agama samawi, pengaruh ajaran Iblis terserap dalam agama itu, apabila mereka menganggap bahawa Jesus adalah seorang yang ada hubungan bahagian dengan Tuhan. Dalam agama Islam, konsep seperti ini terdapat dalam sebahagian ajaran Syi'ah apabila menganggap Syaidina Ali K.A.W. - R.A. serta keturunannya mewarisi hubungan bahagian dengan Tuhan melebihi 'kedudukan' Muhammad RasululLah S.A.W. Suatu persoalan iaitu mengapakah Tuhan, mengikut konsep ketuhanan dalam agama Nasrani, mengambil Jesus daripada anak manusia dilahirkan oleh Maryam keturunan bani Israel sebagai anakNya? Sekiranya demikian, tentulah agama sedemikian hanya layak diikuti oleh bani Israel dan bukan untuk manusia sejagat. Bagaimanakah sekiranya suatu pendudukan di luar dari planet Bumi yang mahukan kehidupan secara beragama? Adakah mereka akan memilih seseorang yang dikatakan mewarisi suatu sifat ketuhanan daripada manusia, ataukah mereka akan memilih dalam kalangan mereka sendiri sahaja? Nilai-nilai setempat tentunya akan mengutamakan idola-idola setempat untuk mereka terima sebagai sesuatu yang membawa sifat ketuhanan atau kedewaan. Masyarakat Jawa misalnya adalah lebih wajar memilih Nyai Ro Kidul dan bukannya Jesus sekiranya ingin diterima sebagai keturunan Tuhan.

Bagaimanakah pula dengan bangsa-bangsa manusia yang lain yang tentunya memiliki idola manusia dalam kalangan mereka? Wajarkah mereka meninggalkannya begitu sahaja? Adakah wajar suatu agama yang dengan sendirinya ditolak oleh bani Israel harus diterima sebagai agama manusia sejagat? Dalam hal ini kedudukan Muhammad RasululLah S.A.W. yang diterima oleh bangsa Arab adalah lebih wajar untuk dianuti. Sedangkan Muhammad S.A.W. hanya mengakui yang dirinya hanyalah utusan sahaja tidak lebih daripada itu dalam pada Tuhan, harus diterima manusia sejagat, lebih mengetahui perlantikan seseorang untuk menjadi rasul.

iii.  Agama Yang Terbentuk Melalui Persidangan  

Setelah melalui beberapa tribulasi dalam memperjuangkan konsep ketuhanan, akhirnya konsep ‘tiga’ telah diterima pakai oleh pihak gereja. Empat rujukan utama dalam agama Nasrani terdiri daripada karangan penulis-penulis Bible New Testament atau Perjanjian Baru iaitu Markus, Mattius, Lukas dan Yohannas. Keberadaan catatan-catatan yang dirujuk kepada sahabat-sahabat Nabi Isa A.S. yang lain kebanyakannya telahpun dibakar dan antara yang terselamat adalah Bible Barnabas yang di dalamnya ada menyentuh kedatangan nabi sesudah Isa Al-Masih A.S. bernama Ahmad. Kita dapati kini penganut Nasrani merupakan penganut yang lebih ramai daripada umat Islam dan majoriti antara mereka membawa konsep kefahaman ‘tiga’ dalam kepercayaan mereka sama ada disebut sebagai trinity atau trinitas. Bahkan konsep ini sangat menghampiri konsep trimurty dalam agama Hindu. Konsep Tuhan berkeluarga sama ada memiliki isteri dan/atau anak adalah merupakan tanggapan manusia semata-mata yang menjalani kehidupan berkeluarga. Konsep kepercayaan anak Tuhan sehingga membawa kepada benih keturunan Tuhan juga dibawa oleh kaum-kaum lain seperti Aryan, Yahudi Askenazi atau Zionis dan dalam kasta tertinggi agama Hindu.
Dari India hingga ke Sweden, kaum Aryan membawa
kepercayaan serupa terhadap kehidupan dewa-dewa.
(Gambaran Dewa Nordik makan buah epal di Eden)

Monday, October 17, 2016

SURAH AL-JIN AYAT 2 -- BACAAN YANG MENUNJUKI


يهدى الى الرشد فامنا به
ولن نشرك بربنا احدا 

Ia benar-benar menunjuki kepada petunjuk (yang lurus), maka telah percaya kami akannya dan tidak sekali-kali kami mempersekutu terhadap Tuhan kami sesuatupun. 

Kitab Yang memberi panduan ke jalan Yang betul, lalu Kami beriman kepadaNya, dan Kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk Dengan Tuhan kami. 

Istilah ‘rashid’ bererti petunjuk. Iaitu berpetunjuk dengan Al-Quran. Khulafa Ur-Rashidin adalah khalifah yang mengambil petunjuk daripada Al-Quran. Guru yang murshid adalah guru yang menunjuki dengan hujah-hujah Al-Quran. Oleh itu Ar-Rushdi adalah suatu nama bagi Al-Quran. Perkara penting darihal ajaran Tuhan daripada Al-Quran adalah untuk tidak mempersekutukan Tuhan dengan sesuatupun. Itulah perkara pertama yang dibawa oleh Nabi Nuh A.S. kepada kaum baginda supaya jangan persekutukan Tuhan. Itulah juga perkara pertama yang disampaikan oleh Nabi Shaleh A.S. dan Nabi Ibrahim A.S. supaya jangan persekutukan Tuhan. Nabi Musa A.S. mengajak Fir'aun supaya jangan persekutukan Tuhan dengan diri sendiri. Bagaimanakah seseorang harus mentaati Tuhan pada masa yang sama mengambil petunjuk lain daripada petunjuk yang disampaikan Tuhan? Sebagaimana manusia yang rata-ratanya hidup dalam kesyirikan sebelum kedatangan seorang rasul, begitulah juga jin juga hidup dalam kesyirikan. Perkara yang melucukan adalah, terdapat sebahagian manusia yang mengambil jin-jin sebagai sekutu-sekutu Tuhan dalam peribadatan.

i.  Mengesakan Tuhan dan Jangan 
    Mempersekutukan 

Pelajaran yang dipelajari di sekolah-sekolah agama darihal tajuk mengesakan Tuhan terkandung dalam ilmu Tauhid yang merupakan sebahagian cabang ilmu Usuluddin. Kedua-dua bentuk huraian ilmu sedemikian tidak dikenali oleh sahabat-sahabat R.A.H.M yang hadir pada zaman RasululLah S.A.W. Terbentuknya cabang ilmu sedemikian diperkenalkan oleh Abu Hassan As-Sya’ari dan Al Maturidi dan fatwa berkaitan ilmu aqidah ini dinamai sebagai faham As Sya’ariyah. Fahaman ini terhasil sebagai hujah terhadap golongan falsafah yang sukakan pendekatan ilmu kalam yang menyerap masuk ke dunia umat Islam. Perkara ini terjadi akibat daripada pembukaan negeri-negeri baru di bawah kekuasaan kekhalifahan yang penduduk setempat sememangnya telah mewarisi sebahagian konsep-konsep falsafah terdahulu. Fahaman ini telah diterima pakai oleh pihak yang mendakwa sebagai golongan Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan dijadikan teks dalam pendidikan mereka dan disyarahkan dalam majlis-majlis ilmu di masjid-masjid dan institusi-institusi pengajian. Keadaan menjadi tenteram seketika dalam dunia Islam suatu masa dahulu. Kemudian berlaku kejatuhan kekuasaan Islam di Baghdad di tangan orang-orang Tartar dari Mongolia dan banyak daripada kitab-kitab ilmu telah dibinasakan. Banyak karangan berkenaan ilmu Tauhid yang menjadi rujukan pihak ‘Ahlus Sunnah Wal Jamaah’ turut dibuang ke sungai Eufrat dan faham As-Sya’ariyah yang berkait rapat dengan ilmu Usuluddin daripada cabang ilmu tauhid menjadi semakin kurang berpengaruh dalam kalangan umat. Penulis tidak bercadang membuat ulasan tentang faham As-Sya’ariyah yang merupakan bahagian daripada ilmu Usuluddin yang diterima oleh pihak ‘Ahli Sunnah Wal Jama’ah’.

 
Pembunuhan Kaum Tartar terhadap Muslim
mengakibatkan kefahaman agama umat Islam
mula berubah, setelah kaum Tartar menerima
Islam melalui golongan kerohanian.
 
ii.  Pertembungan Kefahaman Tentang 
     Keesaan Tuhan

Dengan berjayanya usaha ahli golongan kerohanian mengislamkan kaum Tartar, berlaku pula pertembungan baru di antara pendokong faham As-Sya’ariyah yang diterima pakai oleh golongan syari’at dengan penganut-penganut ajaran kerohanian yang dibawa melalui pendekatan syari’at, tareqat, makrifat dan hakikat. Ajaran ini turut dibawa oleh Ibnu ‘Arabi dan Al-Junaidi. Pertembungan antara mereka terjadi sehingga mengakibatkan pertumbahan darah akibat daripada kerja-kerja saling tuduh menuduh, bahawa pihak lawan mereka adalah pihak yang berada dalam keadaan syirik mempersekutukan Tuhan. Pertelingkahan antara mereka kemudian didamaikan oleh Imam Al-Ghazali RahimulLah dengan berkesudahan Imam Al-Ghazali sendiri menganut faham kerohanian daripada fahaman ‘Ahlus Sunnah Wal Jama’ah’ yang asal kepada fahaman Ahlus Sunnah Wal Jama’ah yang baru. Beliau menerima pendirian faham Qadariyah dan Jabariyah secara serentak tanpa mengambil jalan tengah antara keduanya, tidak sepertimana yang diterima faham ‘Ahlus Sunnah Wal Jama’ah’ silam. Banyak daripada karangan imam Al-Ghazali dan Ibnu ‘Arabi dijadikan rujukan oleh pendukung-pendukung faham kerohanian masakini untuk membidas fahaman yang mempersekutu Tuhan, menganggap manusia juga memiliki sedikit kekuasaan atau kekuatan. 

video
 Betul! Tindakan kita dipengaruhi oleh kehendak tapi ..
kita sebenarnya tiada kuasa untuk membuat pilihan 
sekalipun untuk meneruskan kehidupan.

Pertelingkahan antara mereka adalah merupakan perkara yang telah berlalu dalam sejarah Islam dan rata-rata ahli masyarakat yang didakwa sebagai umat Islam masakini bukan sahaja telah meninggalkan fahaman kerohanian bahkan mereka telah meninggalkan banyak perkara asas syari'at Islam. Mereka tidak lagi memahami apa itu Islam, apa itu Iman dan tidak juga kerasulan serta kenabian.




Tuesday, October 11, 2016

SURAH AL-JIN AYAT 1 -- JIN YANG MENDENGAR WAHYU TUHAN



قل اوحى الى انه استمع نفر من الجن
فقلوا انا سمعنا قرانا عجبا 

Katakanlah olehmu, telah diwahyukan kepadaku, bahawasanya telah benar-benar mendengar ia oleh sekumpulan daripada jin, lalu telah berkata mereka, sungguh kami, telah mendengar kami, akan bacaan yang menakjubkan. 

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku, Bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran Yang Aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: Sesungguhnya Kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) Yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!"

i.  Jin – Makhluk Ghaib Dicipta 
            Daripada Plasma Api

Terdapat ayat yang membincangkan tentang manusia, haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, bumi dan fenomena alam yang sesungguhnya dapat dilihat atau dikesani oleh deria manusia. Perbincangan menjadi mudah disebabkan terdapat keupayaan manusia untuk melakukan penyelidikan terhadap perkara-perkara tersebut. Namun jin, walaupun tidak termasuk dalam perkara ghaib yang wajib diimani, masih tidak dapat dilihat oleh manusia. Jin dapat dikesani dengan beberapa peralatan yang dapat mengesan kehadiran cahaya pramerah yang dipancarkan oleh ion-ion pada jasadnya, lantaran jin itu adalah ciptaan Tuhan daripada plasma api. Oleh itu jin adalah makhluk yang mendiami alam buana di suatu dimensi ekstra, seperti alam maya ini dan dapat ditakrif melalui penemuan saintifik. 


Kewujudan alam dimensi ekstra adalah sesuatu 
yang dapat diterima oleh sebahagian ahli akademi

Jin diciptakan daripada plasma api yang sangat panas sedangkan manusia diciptakan daripada tanah yang hangus. Api adalah terbentuk daripada ion-ion sama ada ion-ion positif atau ion-ion negatif. Pada kepanasan yang bersangatan, nukleus mengalami penyepaian membentuk gabungan nukleus-nukleus yang lebih ringan daripada hidrogen, karbon, oksigen dan sebagainya. Paduan ion-ion ringan dapat berada pada altitud yang lebih tinggi. Oleh yang demikian jin merupakan makhluk yang dapat melayang di atmosfera. Jin hanya dapat memakan wap-wap ringan yang terdiri daripada asap seperti asap rokok, kemenyan, kayu gaharu dan wap-wap makanan manusia. Bangsa jin diciptakan Tuhan lebih dahulu daripada manusia. Oleh itu tidak menghairankan sekiranya sebahagian mereka memiliki teknologi yang melebihi teknologi manusia. Jin juga menempuh kehidupan seperti kehidupan manusia. Mereka berkembang biak, melalui tempoh kehidupan tertentu. Umur jin dikatakan lebih panjang berbanding manusia. Mereka hidup seiring dengan alam yang didiami manusia. Pada keadaan tertentu mata manusia dapat melihat jin. Selalunya ketika manusia antara jaga dan tidur atau ketika berkeadaan sangat letih atau melalui keadaan tertentu yang lain. 

Pelbagai bentuk jin, dalam kalangan mereka ada yang berbentuk seperti manusia, haiwan ternakan dan haiwan-haiwan berbisa. Pada keadaan kebiasaan jin berada di suatu sudut yang mereka dapat melihat manusia dan bukan sebaliknya. Allah Maha Mengetahui.

ii.  Bacaan Yang Menakjubkan

Bacaan yang menakjubkan adalah ayat-ayat yang dibaca dalam solah oleh RasululLah S.A.W. dalam perjalanan kembali dari Ta’if setelah risalah yang dibawa baginda tidak diterima oleh penduduk di sana. Setelah dakwah baginda tidak diterima, RasululLah S.A.W. berada dalam keadaan kesedihan namun suatu perkara lain yang berlaku iaitu turun surah yang menyatakan keimanan sekumpulan Jin. Al-Quran adalah bacaan menakjubkan pada kalangan jin, namun manusia menganggapnya bacaan biasa-biasa sahaja. Ini disebabkan manusia tidak membacanya dengan sebenar-benar pembacaan (2:121). Mereka yang beriman kepadanya, membacanya dengan sebenar-benar pembacaan. Ini bermakna golongan yang beriman adalah golongan yang berilmu dengan ilmu Al-Quran dan umat Islam yang belum mencapai ilmu itu belum dapat dikatakan sebagai telah mencapai keimanan (49:14). Sesungguhnya Allah jualah yang menunjuki kepada keimanan (49:17). Dalam kalangan jin terdapat mereka yang lebih mahir pembacaan Al-Quran. Lantaran Al-Quran adalah kitab daripada Allah, Tuhan kepada manusia dan Tuhan kepada jin.



Wednesday, October 5, 2016

SEDIKIT SEBANYAK TENTANG BANGSA JIN


بسم الله الرحمن الرحيم


Sedikit Sebanyak Tentang Bangsa Jin

Membincangkan tentang jin, suatu bangsa yang diciptakan Tuhan terlebih dahulu daripada manusia, dalam sebahagian riwayat 2000 tahun lebih awal, adalah menjurus kepada perbincangan makhluk silam. Persembahan bangsa jin, daripada kesan-kesan peninggalan silam menjurus kepada kesimpulan bahawa bangsa jin telah mendahului pencapaian teknologi, berbanding manusia. Takrifan jin terhadap erti dunia fizikal yang didiami oleh manusia, adalah berbeza jika dibandingkan oleh takrifan manusia sendiri. Bangsa jin berada pada suatu sudut dimensi ekstra yang sukar dicapai oleh pancaindera manusia. Nama saintifik bagi bangsa jin adalah Repto sapien. 

Berbanding dengan manusia, dalam kalangan golongan beriman, jin lebih dipengaruhi oleh manusia tetapi dalam kalangan golongan ingkar, manusia lebih dipengaruhi oleh jin. Perkara ini dapat dilihat melalui budaya, peribadatan serta sistem hidup yang manusia tempuhi. Secara umumnya jin lebih gemar memilih sistem hidup keseragaman secara tersusun sementara manusia lebih gemar memilih sistem hidup kepelbagaian yang rencah. Oleh itu corak kehidupan jin lebih menjurus kepada hirarki sementara corak kehidupan manusia lebih menjurus kepada sesuatu yang hakiki. 

Secara fizikal tubuh jin adalah hampir menyerupai tubuh manusia dengan sedikit perbezaan panjang anggota tangan yang mencecah paras lutut. Tubuh jin dapat melentur ke arah belakang hingga ke hujung kaki dan dalam kalangan manusia, kelebihan ini hanya dapat dilakukan oleh ahli gimnastik atau akrobatik. Jin hanya dapat memakan makanan manusia dalam bentuk wap atau asap.


Pertembungan Antara Jin Dan Manusia

Pernah suatu ketika dahulu, terdapat suatu kes yang tersebar kisahnya dalam akhbar tempatan tentang kehilangan misteri seorang gadis yang terjadi beberapa kali. Kisah ‘lenyap’nya gadis berkenaan secara tiba-tiba menjadi begitu misteri sehingga telah di'jumpai' semula di kawasan perkuburan, dalam almari, dalam tempayan dan sebagainya dalam tempoh yang berbeza-beza. Menurut gadis berkenaan antaranya, ia telah diculik oleh sekumpulan jin Islam bahkan telah di bawa hingga ke Gunung Jerai, Kedah. Kisah ini telah dilapor dalam akhbar beberapa kali sebelum pengurusan akhbar berkenaan diarah untuk tidak menyiarkannya lagi. Perkara yang menjadi minat penulis bukanlah tentang ‘penculikan’ itu tetapi mengapakah pihak berkuasa seringkali berusaha menutup kisah peristiwa sedemikian daripada dihebahkan kepada masyarakat umum. Apakah tujuan mereka? Antara jawapan yang penulis perolehi adalah ketidak sanggupan mereka untuk menerima hakikat bahawa mereka bukanlah pihak paling dominan kekuasaan mereka di alam maya ini.

Begitu juga pendirian yang diambil oleh banyak ketua-ketua negara apabila berhadapan dengan persoalan yang mereka tidak sanggup untuk beri jawapan yang memuaskan kepada rakyat negara mereka. Mereka masih terikat dengan pendirian ahli-ahli politik, akademi serta saintis mereka, yang telah memperkenalkan suatu ajaran agama baru melalui penemuan-penemuan saintifik yang mereka perolehi.  Berikut ini adalah contoh pendirian kepimpinan Amerika Syarikat ketika rakyat mereka digegarkan oleh segerombolan pesawat yang tidak dikenali yang telah melintasi bangunan Rumah Putih. 


 Mereka sentiasa cuba meyakinkan kita bahawa 
"Pesawat Tidak Dikenali" tidak pernah wujud.






Popular