SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Saturday, January 18, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 4 -- TUHAN YANG MENGAJAR AL-BAYAN


علمه البيان

Telah benar-benar mengajar Ia akannya Al-Bayan

Dialah Yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.

i.    Apakah Al-Bayan?

Sebelum penulis memberi sebarang penerangan tentang Al-Bayan, sayugia diingatkan bahawa, sifat Tuhan yang mengajar Al-Bayan adalah menjurus kepada salah satu sifat yang terserlah daripada nama Tuhan Al-Rahman. Bahkan sifat Tuhan sedemikian juga, terserlah daripada tugasanNya yang mengajar Al-Quran. Tuhan yang mengajar Al-Qur'an, Tuhan yang mencipta manusia dan Tuhan yang mengajar manusia Al-Bayan, adalah meliputi kepada segenap manusia sama ada manusia itu daripada golongan ingkar ataupun daripada golongan beriman. Oleh itu penerangan (Al-Bayan) atau penerangan-penerangan (Al-Bayyinat) adalah suatu yang menjurus kepada huraian kefahaman, yang harus sampai kepada akal manusia seluruhnya.

Oleh kerana itu, Al-Bayan atau Al-Bayyinat akan menjadi huraian daripada kitab Al-Qur'an yang akan menjadi perbincangan manusia, sama ada melalui pengajian, perbicaraan ilmu, dialog, pertukaran pandangan, perdebatan, pertelingkahan sehingga akhirnya kepada sesuatu yang membawa perpecahan dalam kalangan mereka. Apa sahaja huraian Al-Qur'an sama ada melalui Al-Hadith, pandangan ijma' ulama, penemuan bersifat ilmiah, atau apajua bentuk fatwa yang menjurus kepada huraian satu-satu kalimat atau ayat, pasti dihujungnya akan terdapat ikhtilaf terhadapnya. 

ii.    Bertelingkahnya Manusia Selepas 
       Menerima Al-Bayan 

Suatu analogi yang mudah untuk penulis tunjukkan adalah tentang penerimaan manusia darihal kehadiran makhluk asing dalam dunia kegelapan mereka. Manusia secara umumnya menganggap bahawa 'makhluk asing' hanyalah watak yang digembar-gemburkan oleh pembikin filem Hollywood untuk tujuan merancakkan industri perfileman Barat. Namun dengan perkembangan teknologi yang masih dirahsiakan, terutamanya dalam teknologi biomolekular, pragraduan yang sedang belajar di institusi pengajian, telah mula diracuni fikiran mereka dengan suatu kefahaman. Kefahaman itu menjurus kepada penerimaan bahawa terdapat pemilik teknologi peringkat tinggi yang canggih, yang berjaya menghasilkan rekaciptaan biologi, sehingga berjaya melakukan manipulasi terhadap hidupan yang terdapat di bumi ini melebihi keupayaan manusia sendiri. 

Hidupan itu sama ada haiwan peringkat primer, atau tumbuhan yang dikenakan teknologi pengubahsuaian genetik terhadapnya. Seterusnya hidupan primer itu mengalami proses usahsuai secara sendirinya secara evolusi. Oleh kerana mereka yang berpelajaran tinggi, lebih mudah untuk menerima hakikat keluasan alam jagat yang sangat luasnya itu, dengan itu mereka juga mudah untuk menerima bahawa segala-galanya adalah mungkin. Kehadiran mana-mana makhluk yang memiliki teknologi tinggi yang berada di mana-mana bahagian planet, adalah merupakan suatu yang dapat diterima kemungkinannya. Lalu mereka semua sepakat untuk membuang dogma lama yang menyatakan bahawa hanya manusia sahaja ciptaan Tuhan tercanggih. Tiada pertelingkahan besar dalam hal ini. Namun apabila terdapat filem-filem Hollywood yang mula memaparkan bahawa, 'makhluk asing' itu adalah merupakan entiti tercanggih yang pernah mencipta manusia dan hidupan-hidupan lainnya, segera 'ilmuwan' tadi, mula bertelingkah dalam menerima 'fakta' sedemikian. Seperti itulah hakikat manusia dalam usaha memahami Al-Bayan daripada Tuhan. 

iii.    Al-Bayan Adalah Suatu Yang 
        Memecahbelahkan Umat?

Apakah sebabnya umat suatu anutan agama bertelingkah setelah mereka menerima kalimat-kalimat Tuhan? Perkara ini dijelaskan dalam surah Al-Bayyinah, iaitu pendukung-pendukung agama daripada ahli kitab (dahulu dan kini), tidak akan berpecah belah melainkan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan Tuhan, sesudah daripada kedatangan rasul (98:04). Mereka bukan sahaja berpecah belah, bahkan sehingga kepada peringkat mendustai rasul (95:07) sesudah sempurnanya penyampaian agama kepada mereka semua. Umat-umat dahulu daripada Nasrani dan Yahudi juga berpecah belah sesudah rasul mereka dan sesudah datang keterangan-keterangan (Al- Bayyinat) kepada mereka (2:253). Mereka berpecah belah akibat daripada perselisihan mereka, tentang pertikaian kefahaman dalam agama, tentang kepentingan yang mereka perolehi daripada agama dan tentang Al-Kitab itu sendiri. Walhal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk mengabdikan diri kepada Tuhan dan mengikhlaskan diri dalam agama yang lurus, yang terhindar daripada kesyirikan. Sebab utama mereka berpecah belah adalah kerana mereka telah berlaku syirik dalam agama dan mereka sentiasa berusaha menghindari hakikat itu. 

Al-Bayan atau Al-Bayyinat, adalah keterangan tentang kitab suci. Apajua yang menerangkan atau memperjelas tentang kandungan kitab suci adalah Al-Bayan, sama ada perkataan itu datang dari dalam kitab suci itu sendiri atau melalui keterangan-keterangan rasul yang dinamai sunan atau Al-Hadith. Penjelasan Al-Bayan, kadangkala disampaikan oleh ulama-ulama menurut kefahaman mereka yang diiktiraf. Untuk mengelak umat berpecah belah, setiap mereka itu perlu jelas, apakah yang dikatakan sebagai syirik dalam beragama? Mereka perlu menghindarinya, bukan sahaja dalam beragama bahkan dalam kehidupan seharian, dalam mengurus harta!





No comments:

Post a Comment

Popular