SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Monday, October 29, 2012

SURAH ALI IMRAN AYAT 31 -- KEMBALI MENYAYANGI TUHAN


قل ان كنتم تحبون الله فاتبعو نى يحبب كم الله
ويغفرلكم ذنوب كم

Katakan olehmu, kiranya telah adalah kamu, kamu menyayangi akan Allah, maka berittibaklah olehmu akan daku ini, Ia menyayangi akan kamu oleh Allah dan Ia mengampuni bagimu akan dosa-dosamu. 

Katakanlah (Wahai Muhammad) Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.

i.   Menuruti Ajaran Al-Quran Adalah 
     Sunnah Sebenar RasullulLah S.A.W.

Boleh dibilang dengan jari, berapa banyakkah pejuang-pejuang agama sama ada melalui pendekatan jabatan, jamaah, parti atau gerakan ekstrem, dapat menyampaikan Al-Quran kepada pengikut-pengikut mereka? Kebanyakan mereka hanya mendengar Al-Quran melalui bacaan imam semasa melaksanakan ibadah solah dan kemudian melupakan kebanyakan bacaan itu apabila aktiviti solah mereka tamat. Adakah mereka benar-benar menuruti sunnah RasullulLah S.A.W. yang membacakan Al-Quran kepada para sahabat R.A.H.M di dalam solah dan juga di luar solah? Rasulullah tidak membaca kitab-kitab lain.

Kemudian RasululLah S.A.W. akan memberi huraian panjang lebar daripada ayat-ayat Al-Qur'an yang baginda fahami. Adakah sunnah sedemikian telah diikuti agar setiap individu akan disayangi Tuhan? Adakah memadai dengan membaca karangan-karangan ulama tertentu, telah menjamin seseorang ke suatu keadaan disayangi Tuhan? 
 
ii.   Menjemput Kasih Sayang Tuhan

Berittibak kepada RasululLah S.A.W. adalah dengan menuruti perlakuannya sama ada yang dinamai sebagai sunnah atau atsar. Sebenarnya apakah yang disampaikan oleh RasululLah S.A.W. kepada para sahabat R.A.H.M? Iaitu Al-Quran. Tugas baginda adalah menyampaikan Al-Quran dan baginda memberi contoh, melalui apa yang dikenali sebagai As-Sunnah atau sunan. RasululLah S.A.W. tidaklah semata-mata menyampaikan sunnahnya sebagaimana yang kita kini perolehi melalui pelbagai kitab-kitab sunan, tetapi baginda menyampaikan Al-Quran. Oleh kerana keislaman sahabat-sahabat baginda berlalu dalam tempoh yang agak lama, maka corak penerimaan yang diterima oleh para sahabat R.A.H.M juga berbagai-bagai. Dengan demikian baginda RasululLah S.A.W. telah meninggalkan pesan untuk menuruti sunnah Khulafah Ur-Rashidin Al Mahdiyin iaitu Khalifah Abu Bakar R.A. dan Khalifah Umar R.A.

Adalah didapati Khalifah Abu Bakar R.A. adalah sahabat yang sangat kurang meriwayat Al-Hadith dan Khalifah Umar R.A. lebih banyak menggunakan ijtihad beliau sendiri dalam menghadapi permasalahan umat. Penulis tidak bermaksud untuk merendahkan status Al-Hadith dan penulis juga amat bersetuju dengan pendirian Sahabat Abu Bakar R.A. dan Umar Al Khattab R.A. bahawa menggelojohi Al-Quran dan berusaha mengambil pengajaran daripadanya secara bersungguh-sungguh adalah lebih utama daripada terlalu memberi tumpuan yang amat mendalam darihal mana-mana Al-Hadith. Oleh kerana Al-Hadith harus difahami berdasarkan matan, penerimaan Al-Hadith haruslah disesuaikan dengan Al-Qur'an. Oleh yang demikian, kerja-kerja menstatuskan Al-Hadith adalah merupakan kerja-kerja yang tidak pernah selesai dilakukan oleh ulama-ulama Al-Hadith sejak dahulu lagi. 
 
Tindakan menuruti sunnah RasululLah S.A.W. berdasarkan rujukan Al-Hadith, adalah merupakan tindakan mencontohi kefahaman atau amalan baginda berdasarkan kefahaman baginda, tentang kitab Tuhan iaitu Al-Quran. Oleh itu tidak melampau untuk penulis nyatakan bahawa Muhammad RasululLah S.A.W. adalah ulama pertama dan ulama utama bagi umat ini. Sebenarnya penulis hanya khuatirkan kerja-kerja terlalu mendalami agama sehingga mengakibatkan seseorang itu terkeluar daripada ajaran agama.

والله غفور رحيم

Dan Allah Maha Pengampun Maha Pengasih.

dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

iii.    Tuhan Sedia Maklum Akan Kesalahan 
        Dan Kesilapan Yang Dilakukan Oleh 
        Manusia

Dalam usaha umat ini mengambil pelajaran secara bersungguh-sungguh daripada Al-Quran, tentunya mereka terdedah dengan kesilapan dan kesalahan dalam memahami ayat-ayat Tuhan. Perkembangan ilmu tetap akan berlaku sepanjang zaman. Sebagai contoh, ulama silam pernah mengeluarkan fatwa tentang tempoh haid seseorang wanita. Tempoh haid adalah tempoh kelarangan bagi seseorang wanita daripada melakukan amal-amal ibadah khusus seperti solat dan puasa. Fatwa yang pernah dinyatakan tentang hal ini adalah maksimum tempoh haid harus tidak melebihi 16 hari dan 16 malam. Sila rujuk kitab Mutlaq Al-Badrin atau Jauhar As-Siniah tentang perkara ini. Status fatwa sedemikian sebenarnya tidaklah harus dipertikaikan memandangkan secara umumnya tempoh sebulan maksimum bulan hijrah adalah 30 hari. Oleh itu seseorang wanita, secara umumnya memiliki tempoh sekurang-kurangnya 14 hari untuk melakukan ibadah khusus tersebut. Tempoh ini juga dikenali sebagai tempoh ovulasi ke menstruasi.

Penulis mengambil pendirian bahawa fatwa itu tidaklah menjurus kepada kesilapan atau kesalahan kiraan. Penemuan terkini darihal tempoh dari awal haid, yang telah dipersetujui oleh ahli embriologi perubatan sebenarnya menambah baik terhadap fatwa sedia ada. Tempoh dari awal haid hingga ke kejadian ovulasi adalah merupakan tempoh maksimum, kejadian haid dapat berlaku. Tempoh ini tidak dapat dinyatakan secara pasti memandangkan terdapat perbezaan tempoh bagi seseorang wanita dengan wanita yang lain. Namun kejadian ovulasi adalah 14 hari sebelum berlakunya kejadian haid berikutnya. Kejituan ini hampir terjadi kepada semua wanita. Oleh itu sekiranya kitaran haid seorang wanita memakan masa 34 hari, tempoh awal haid hingga ke kejadian ovulasi yang berlaku kepadanya adalah 34 – 14 iaitu 20 hari. Kejadian haid tidak harus berlaku lebih dari 20 hari kepada wanita itu.

iv.  Cukuplah Dengan Pengajaran 
      Al-Quran

Daripada contoh yang telah diberi, apajua fatwa yang menjurus kepada hukum atau kaedah, adalah merupakan suatu yang boleh dilakukan pengemaskinian terhadapnya sekiranya terdapat hujah yang lebih aula yang dapat diambil daripada wahyu seiring dengan penemuan semasa. Adapun fatwa ulama-ulama silam yang menjurus kepada penutupan pintu ijtihad dalam perkara agama adalah suatu yang sangat bersesuaian dengan maslahat masa itu yang salah satu tujuannya adalah bagi mengurangkan pertelingkahan umat yang sedang terjadi.

Selepas Muhammad RasululLah S.A.W. sehingga kini, tidak pernah ada individu yang boleh mendakwa menerima wahyu Tuhan secara terbuka yang dapat dijadikan ukuran bahawa cara beragama individu itu boleh dituruti untuk dijadikan panduan umat dalam beragama.  Sehingga kini juga, tidak pernah ada individu yang pernah hidup bersama RasululLah S.A.W. yang dapat menjelaskan secara terperinci segala perkara yang berkaitan agama meliputi pengajaran Al-Hadith tertentu. Oleh itu, kembali kepada pengajaran Al-Quran adalah merupakan satu perkara yang masih ada dalam tangan setiap umat masakini.

Tidak ada pendukung As-Sunnah dapat menafikan perkara ini, tidak juga pendukung mazhab Syi'ah. Bahkan tidak juga mereka yang berpegang dengan pandangan Muhammad Abdul Wahab dapat menafikan perkara ini. Begitu juga penganut mana-mana ajaran kerohanian sama ada yang mengambil jalan kesufian dan juga tareqah dapat menafikan perkara ini. Bahawa Al-Quran adalah satunya pandangan atau pendapat Tuhan yang harus dirujuk kembali. Bahawa petunjuk, hanyalah petunjuk Allah. Allah tidak memerintahkan melainkan menjadi hamba abdi kepadaNya. 



KUPASAN TERKINI AYAT

Sila klik untuk membaca kupasan terkini ayat Al-Quran.

Menyayangi Tuhan Adalah Dengan Menghayati Al-Qur'an

Friday, October 26, 2012

SURAH ALI IMRAN AYAT 30 -- HARI BERLAKU BENCANA YANG PASTI


يوم تجد كل نفس ما عملت من خير محضرا
وما عملت من سوء تود لو ان بينها وبينه
امدا بعيدا ويحذر كم الله نفسه والله رءوف بالعباد


Hari yang ia dapati oleh setiap diri apa yang telah dilakukan ia daripada kebajikan suatu bentangan, dan apa yang telah dikerjakan ia daripada keburukan, ia bercita-cita kuat, kiranya bahawa antara dia dan antaranya, jarak yang (sangat) jauh. Dan Ia menghadirkan akan kamu, oleh Allah akan diriNya. Dan Allah Maha Penyantun terhadap hamba-hamba (yang bekerja untukNya)

(ingatlah) hari (kiamat Yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan Yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya Dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan Yang telah dikerja-kannya. (ketika itu tiap-tiap orang Yang bersalah) ingin kalau ada jarak Yang jauh di antaranya Dengan amalnya Yang jahat itu. dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya (menyeksa kamu). dan (ingatlah juga), Allah amat belas kasihan kepada hamba-hambanya.

i.   Bencana Yang Semakin Mendekat

Apabila datang hari berlaku bencana sama ada sedikit demi sedikit atau bencana yang besar, kita akan dapati umat yang melakukan kebaikan tidak begitu terkesan dengan bencana yang terjadi. Kebinasaan yang besar telah berlaku di negara-negara yang mengamalkan projek-projek yang membinasakan. Bencana keruntuhan tanah, hujan yang bersangatan sehingga mengakibatkan banjir besar, taufan yang menurunkan air hujan masin, kepanasan melampau-lampau, kemarau yang membinasakan serta ribut salji yang membawa banyak kematian telahpun terjadi. Hampir semuanya berlaku di negara-negara yang rakyatnya tidak diajari cara yang betul untuk berpenghidupan.

ii.   Mereka Cuba Melarikan Diri

Mereka memiliki cita-cita yang sangat kuat untuk meng-hindari bencana. Mereka telah menghantar peralatan-peralatan yang canggih ke angkasa lepas untuk tujuan memerhati. Mereka melakukan pemerhatian yang sangat mendalam mencari punca pasti terjadinya bencana. Mereka mempelopori penemuan bahan-bahan baru yang sangat ringan serta dapat bertahan dengan kuat dalam projek pembangunan mereka dan terkini mereka telah menemui bahan komposit nanotiub yang katanya dapat dihulurkan dari bumi ke stesen-stesen angkasa lepas. Mereka sebenarnya berusaha melarikan diri daripada bencana. Adakah mereka telah melakukan persiapan secukupnya? Adakah rumah-rumah perlindungan (shelter) yang dibina dapat menampung sebahagian besar manusia?

iii.  Persiapan Sebahagian Mereka Yang 
      Melampau

Dalam dokumentari yang ditunjukkan melalui tayangan TV satelit, sebahagian daripada rakyat negara Barat, telah melakukan suatu persiapan untuk menghadapi zaman kegawatan yang mungkin terjadi dalam tempoh 3 atau 4 tahun. Setiap mereka yang melakukan persiapan, memiliki alasan tersendiri bagi menghadapi hari-hari yang tidak diharapkan akan berlaku. Mereka menyimpan makanan, air, bahan bakar serta persiapan senjata bagi menghadapi kemungkinan kegawatan. Namun perkara yang serupa yang dipersiapkan oleh setiap individu tersebut adalah persiapan mementingkan diri-diri serta ahli keluarga mereka sendiri dan haiwan-haiwan kesayangan mereka sehingga sanggup melakukan persediaan mencederakan manusia lain.  

iv.  Penemuan Mereka Yang Mengejutkan

Dalam diam ahli profesional mereka membuat pengumuman. Bahawa bencana yang sedang terjadi dan bakal terjadi di mukabumi ini adalah disebabkan jumlah manusia yang terlalu ramai. Sekiranya bilangan manusia dapat dikurangi, bencana akan dapat dikurangi dan bahaya kemusnahan bumi juga dapat dikawal. Kenyataan ini dikeluarkan oleh seorang yang bergelar profesor terkemuka di negara Barat. Lalu mereka berusaha mencari jalan mengurangkan jumlah manusia! Seolah-olah umat manusia yang terdapat di mukabumi ini adalah seumpama lembu yang harus dikorbankan. Lalu kempen baru mula dilakukan secara senyap-senyap. Kajian-kajian dijalankan terhadap pemakanan manusia sehingga mereka dapat dihidangkan dengan sebatian bahan yang dapat mengakibatkan wanita-wanita mereka menjadi mandul. Bahkan hingga mencapai kepada program kesihatan, kerajaan-kerajaan negara membangun dibekalkan dengan suntikan-suntikan atas nama pelalian, yang bertujuan menjadikan remaja-remaja wanita mereka menjalani proses pensterilan.

v.   Kasih Sayang Tuhan Kepada 
      Hamba-hambaNya

Bagaimanakah kita dapat melarikan diri daripada program-program kemusnahan seperti ini, melainkan sekiranya kita secara bersegera menjadi hamba Tuhan. Sesungguhnya Tuhan Maha Penyantun terhadap hamba-hambaNya. Menghambakan diri kepada Tuhan adalah bersedia melakukan suatu pekerjaan hamba abdi yang tidak mengharapkan sebarang balasan hanya semata-mata kerana menyatakan kasih kepada Tuhan dan mengharapkan belas kasih daripada Tuhan. Sebenarnya terlalu banyak manfaat yang dapat diperolehi mereka yang mempersiap diri untuk menjadi hamba Tuhan. Persiapan meliputi persediaan diri, ilmu dan juga meliputi persediaan harta benda.




Monday, October 22, 2012

SURAH ALI IMRAN AYAT 29 : MEYAKINI TUHAN MAHA KUASA ATAS SEGALA SESUATU


ﻗﻞ ﺍﻥ ﺗﺨﻔﻮﺍ ﻣﺎ ﻓﻰ ﺻﺪﻭﺭ ﻛﻢ ﺍﻭ ﺗﺒﺪﻭﻩ ﻳﻌﻠﻤﻪ ﻟﻠﻪ  ﻳﻌﻠﻢ ﻣﺎ ﻓﻰ ﺍﻟﺴﻤﺎﻭﺍﺕ  ﻣﺎ ﻓﻰ ﺍﻷﺭﺽ
 ﻟﻠ ﻋﻠﻰ ﻛﻞ ﺷﻲﺀ ﻗﺪﻳﺮ

Katakanlah olehmu, kiranya kamu sembunyikan apa yang dalam dadamu atau kamu dedahkan akannya, Ia mengetahui akannya oleh Allah dan Ia mengetahui apa yang pada langit itu dan apa yang pada bumi itu dan Allah atas tiap-tiap sesuatu Maha Kuasa. 

Katakanlah (Wahai Muhammad) Jika kamu sembunyikan apa Yang ada Dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya dan ia mengetahui Segala Yang ada di langit dan Yang ada di bumi. dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.


Dalam pada penegak-penegak Al-Qisthi boleh berada pada mana-mana kedudukan, kebanyakan mereka menyembunyikan keimanan mereka daripada diketahui oleh pihak pemerintah. Oleh itu, sebagai umat Islam yang bercita-cita memperjuangkan agama, mereka tidak seharusnya bersangka buruk terhadap penjawat-penjawat tertentu di jabatan-jabatan tertentu dalam pemerintahan. Mereka tidak semestinya menyetujui polisi pemerintahan yang zalim sekalipun mereka itu adalah kakitangan dalam sebuah jabatan. Inilah pendekatan yang berlaku ke atas Nabi Yusuf A.S., Nabi Musa A.S. dan juga sebahagian ulama-ulama tersohor selepas kerasulan RasululLah S.A.W, sehingga kedudukan sebahagian diketahui dan sehingga mereka diseksa oleh pemerintah. Mereka bukan bimbang terhadap sesuatu yang akan mengenai mereka, malah yang lebih mereka bimbangi adalah fitnah yang mungkin akan menimpa umat pada keseluruhannya. Suatu fitnah yang dapat membawa kemudharatan yang lebih besar.

i.   Pengetahuan Tuhan Tentang Langit 
     dan Bumi, Menjurus Kepada Sesuatu 
     Yang Berkaitan Pemerintahan

Antara perkara yang dibincangkan dalam surah Al-Mulk adalah berkaitan dengan pemerintahan. Sifat Tuhan yang mengetahui tentang langit dan bumi adalah berkaitan tentang pembentukan kerajaanNya yang baraqah. Kesediaan pihak pemerintah untuk memerhatikan keadaan ini akhirnya akan menjurus kepada pembentukan pihak berkuasa tempatan yang mengambil berat darihal kehidupan alam sekitar, keharmonian kehidupan manusia, pertumbuhan flora, kewujudan fauna dan kestabilan struktur mukabumi. Negara ini telah ada semua badan-badan yang berkaitan, namun di atas kepentingan kapitalisma yang diamalkan, pengagihan khazanah negara telah gagal diagihkan secara berkesan. Pencerobohan kawasan tadahan telah menjadi suatu fenomena yang biasa dilihat dan kerosakan kesan penebusan dan kerja-kerja yang dilakukan tanpa kawalan tertentu telah mengakibatkan kerosakan cuaca yang seringkali membawa kebinasaan terhadap kehidupan manusia sendiri.

ii.   Kiranya Kerja-kerja Penyampaian 
      Diabaikan

Sebenarnya sudah sampai masanya, penegak-penegak Al-Qisthi berusaha melakukan sesuatu untuk memberi kesedaran kepada ahli masyarakat seluruhnya. Kesedaran tidak lagi boleh ditujukan kepada penjawat-penjawat dalam pemerintahan secara khusus kerana tekanan hidup daripada pengamalan ekonomi kapitalis telah mengakibatkan mereka yang terlibat, terpaksa lebih mengutamakan kemewahan dengan melakukan polisi pekerjaan yang merosakkan. Kesan tekanan ekonomi kapitalis hasil daripada kecurangan golongan tamak, yang seringkali menentukan halatuju pasaran berdasarkan penawaran dan permintaan tanpa kawalan, telah membawa defisit dan inflasi yang berterusan.

iii.  Kekuasaan Tuhan Atas 
      Segala Sesuatu

Sesungguhnya Tuhan berkuasa atas segala sesuatu dan kekuasaan Tuhan terserlah di atas peraturan yang telah Ia tetapkan di bumi ini melalui sebab dan akibat. Atas sebab itulah Tuhan telah mengutus para rasul kepada manusia supaya mereka dapat memperguna akal dan membaca risalah Tuhan. Tuhan mengajari manusia melalui risalahNya agar manusia dapat berfikir dan melakukan sesuatu bagi melaksanakan kerja baik pulih.

Kita sebenarnya dapat membaca, hampir setiap hari tentang kekalutan masyarakat Barat yang menjadi kelam kabut akibat perubahan cuaca yang berlaku di negara mereka. Mereka masih berbalah bukan sahaja terhadap punca yang membawa akibat perubahan cuaca bahkan kepada apakah tindakan yang harus mereka ambil bagi menghentikan kesan perubahan sedemikian. Mereka masih memikirkan dan terus memikirkan dan terus memikirkan sehinggalah kiraan susut pembilang saat di hadapan mereka semakin menuju ke sifar. Sebenarnya apakah yang dapat mereka putuskan dengan kesuntukan masa yang berbaki dan seterusnya apakah tindakan perlu yang harus mereka ambil? Wajarkah kita, selaku umat ini masih menanti-nanti keputusan saintis mereka dan juga pemegang polisi negara mereka, sedangkan tempoh mereka sebenarnya hampir tamat? Wajarkah kita membiarkan sahaja kepimpinan negara kita bagaikan orang yang merayu meminta sadaqah daripada pihak kapitalis Barat, yang hampir membuat keputusan bahawa negara mereka harus menyerahkan sejumlah berbillion dollar dana kepada negara-negara membangun, agar dapat melakukan sesuatu bagi mengawal perubahan cuaca yang berlaku. Mereka sendiri masih tidak mengetahui punca permasalahan yang berlaku secara pasti lalu bagaimanakah dapat mereka memberi arahan kepada kepimpinan kita untuk melakukan sesuatu?

Mereka Sendiri Masih Berbalah Terhadap Punca Perubahan Cuaca, 
Jadi Apakah Yang Masih Boleh Diharap Daripada Mereka?



Friday, October 19, 2012

SURAH ALI IMRAN AYAT 28 -- LARANGAN MELANTIK GOLONGAN KAFIR SEBAGAI PEMBELA



لا يتخذ المؤمنون الكفرين اولياء من دون المؤمنين
 ومن يفعل ذلك فليس من الله فى شئ
 الا ان تتقوا منهم تقئة
و يحذر كم الله نفسه و الى الله المصير

Tidak (patut) ia mengambil oleh golongan yang beriman itu akan golongan ingkar sebagai pembela selain daripada golongan beriman dan barangsiapa jua yang melakukan sedemikian maka tiadalah daripada Allah pada sesuatupun, melainkan, bahawa dibimbangi daripada mereka suatu kebimbangan. Dan Ia menghadirkan akan kamu oleh Allah akan diriNya. Dan kepadaNya tempat kembali. 

janganlah orang-orang Yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat Dengan meninggalkan orang-orang Yang beriman. dan sesiapa Yang melakukan (larangan) Yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah Dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya Yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya (menyeksa kamu). dan kepada Allah jualah tempat kembali.

Kepimpinan umat sentiasa silih bertukar ganti antara golongan beriman dan golongan ingkar. Perkara ini berlaku dalam negara umat Islam dan juga negara bukan umat Islam. Pertukaran pemerintahan seperti ini telah berlaku sejak dahulu lagi sebelum perutusan Muhammad RasululLah S.A.W. lagi. Oleh itu kepimpinan tidak harus disempitkan kepada perlembagaan sesebuah negara sahaja tetapi juga meliputi peranan pemimpin yang menguasai pemerintahan. Individu pemimpin tidak harus dijadikan sasaran serangan.

i.   Menempatkan Diri Dalam Pemerintahan, 
     Sama ada Pemerintahan Zalim Atau 
     Pemerintahan Adil

Yang harus ditentang adalah polisi pemerintahan dan bukan individu pemerintah. Masakan Tuhan mengutuskan nabi Musa A.S. kepada Fir'aun semata-mata bertujuan memusuhi dan memerangi Fir'aun. Tuhan telah mengutuskan Musa A.S. untuk berada dalam kalangan menteri yang menguruskan perbendaharaan Fir'aun, sebelum baginda terhalau keluar atas tuduhan jenayah atas perkara yang tidak sengaja baginda lakukan, demi untuk tujuan membela. Tujuan jelas ini sendiri termaktub dalam surah Al-Muzammil bahawa perutusan Muhammad RasululLah S.A.W dan risalah kerasulan yang diteruskan oleh umat baginda adalah sepertimana perutusan kerasulan Nabi Musa A.S. yang diutuskan kepada kerajaan Fir'aun. Oleh itu pembawa risalah kerasulan RasululLah S.A.W. mungkin juga individu yang berada dalam pentadbiran sesebuah kerajaan yang pada pandangan umum, bukanlah individu yang menentang individu pemerintah.

ii.  Mengutamakan Golongan Yang Beriman

Kepimpinan yang dilantik haruslah merupakan kepimpinan yang membawa akibat golongan yang beriman akan terbela. Kini kita telah dapati, pemerintahan yang terdiri daripada pemimpin yang datang daripada suatu kaum telah mengakibatkan kaumnya sendiri telah terabai apatah lagi daripada kaum itu sebahagian mereka adalah golongan yang beriman. Islam tidak lagi dianggap sebagai agama bahkan hanya suatu ajaran warisan.

iii.   Majikan Atau Guru Pengajar 
       Sebagai Kepimpinan

Mempraktikkan ayat sedemikian tidak harus ditujukan semata-mata sebagai untuk memenuhi tanggungjawab melantik kepimpinan negara. Bahkan setiap individu muslim harus bertanggungjawab kepada dirinya sendiri untuk memilih pekerjaan atau menjadi pelajar yang majikan atau tenaga pengajar mereka adalah pihak yang bertanggungjawab menjaga kebajikan golongan beriman. Kegagalan untuk mematuhi perintah ini mengakibatkan umat Islam kini, yang berada dalam keadaan dhaif di negara ini, telah mengambil majikan daripada golongan ingkar. Mereka telah terdedah dengan dakyah yang tersebar sehingga sebahagian besar mereka akhirnya telah dimurtadkan melalui program penghamilan dan pemurtadan. Kerja-kerja aktif aktiviti pemurtadan juga berlaku kepada pelajar-pelajar yang menuntut di institusi pengajian sehingga harapan yang diletakkan kepada mereka menjadi pembela masyarakat, telah musnah begitu sahaja.

iv.  Sejarah Penggerogotan Kepimpinan Umat

Apabila berlaku peperangan kalangan sahabat RasululLah S.A.W. R.A.H.M suatu masa dahulu, akhirnya telah dipersetujui pentadbiran negara telah diserahkan kepada pihak yang bukan kalangan Ahlul Bait dengan perjanjian bahawa kepimpinan selanjutnya harus diserahkan kembali kepada ahlul bait. Selanjutnya, kepimpinan telah diwarisi dengan jalan warisan kesultanan sehingga peranan Ahlul Bait telah dinafikan sama sekali. Ahlul Bait sendiri dimusuhi umat sehingga sebahagian mereka telah berhijrah ke negeri-negeri yang jauh bagi menghindari fitnah-fitnah yang tiada berkesudahan. Kepimpinan dipegang oleh golongan yang ingkar sehingga amanah penjagaan umat telah terabai dalam tempoh yang lama. Perpecahan dalam agama telah berlaku apabila wujud kumpulan Ar-Rafidhah yang menolak bulat-bulat kepimpinan kesultanan sedemikian yang akhirnya menjurus kepada penolakan kepada ajaran agama yang dilabelkan sebagai ajaran As-Sunnah. Puak Alawiyyin muncul selepas itu yang mereka mendakwa bahawa mereka adalah keturunan Ahlul Bait. Pada zaman pemerintahan kekhalifahan Bani Umayyah, golongan Alawiyin ini sebahagian mereka telah dibunuh beramai-ramai ketika mereka sedang mengerjakan ibadah haji. Wanita-wanita mereka telah dirogol sebelum dibunuh semasa bulan haram, di tanah haram oleh kepimpinan umat pada masa itu dan sebahagian mayat telah dicampakkan ke dalam telaga zam-zam. Akibat tindakan ini, permusuhan oleh puak Alawiyin dan golongan Ar-Rafidhah terhadap bani Umayyah terus melowap-lowap sepanjang zaman.

Sekalipun pemerintahan bani Umayyah telah tamat, pengamalan Islam melalui pihak yang menerima pendekatan As-Sunnah telah juga dimusuhi oleh mereka dan perkara ini telah berlanjutan sehingga kini. Kepimpinan bani Umayyah telah digantikan oleh kepimpinan bani Abbasiyah yang kepimpinan mereka telah menjauhi diri daripada pihak yang masih meneruskan ajaran Islam melalui pendekatan As-Sunnah. Kepimpinan ini terlalu mementingkan kaum-kaum daripada golongan Alawiyin dan Ar-Rafidhah yang kebanyakan mereka terdiri daripada bangsa Parsi yang mendakwa pemimpin mereka adalah daripada Ahlul Bait. Amanah tidak lagi dipegang oleh bangsa Arab dan keberadaan umat semakin lama semakin lemah atas perpecahan mereka dalam agama. Setelah serangan puak Mongol, pemerintahan bani Abassiyah yang menjaga kekhalifahan telah tamat dan peperintahan umat telah didominasikan oleh bangsa Turki di bawah kepimpinan dinasti Uthmaniyah. Kerajaan Uthmaniyah akhirnya runtuh atas sebab mereka terlalu mengutamakan bangsa Eropah berbanding bangsa Arab. Dengan lenyapnya kekhalifahan Uthmaniyah, umat Islam tidak lagi memiliki khalifah.

ii.  Cadangan Penyelesaian Masalah 
     Umat Masakini

Perpecahan umat atas nama kumpulan harus dihapuskan sama sekali. Ternyata ulama-ulama yang mendakwa pengamal ajaran As-Sunnah telah gagal menjagai umat sehingga kekhalifahan kini telah lenyap. Begitu juga puak Ar-Rafidhah dan Alawiyin sehingga mereka telah menzalimi umat yang menjadi rakyat mereka sendiri sehingga perpaduan umat menjadi lemah dan kekhalifahan bani Abbassiyah yang mereka dukung suatu masa dahulu tidak lagi dapat dipertahankan akibat serangan puak Mongol.

Mereka harus semata-mata kembali kepada ajaran Al-Qur'an kerana ajaran Al-Qur'an telah memerintahkan umat ini merujuk kepada atsar RasululLah S.A.W. dalam memahami ajaran-ajaran Al-Quran. Al-Qur'an juga memerintahkan peri pentingnya kembali kepada kepimpinan Ahlul Bait yang merupakan kesinambungan keimaman daripada keturunan Nabi Ibrahim A.S. Bahawa umat ini adalah umat yang satu, hanya mereka terdiri daripada pelbagai bangsa dan puak agar mereka saling mengenali. Kepimpinan telah direnggut daripada Ahlul Bait secara paksa dan kepimpinan harus dikembalikan kepada Ahlul Bait sama ada secara sukarela atau secara paksaan, sekiranya umat ini memilih untuk menempuh suatu kehidupan yang baik di dunia dan di akhirat.

Umat ini hanya diperintahkan untuk kembali kepada ajaran Tuhan dan mengikhlaskan diri sepenuhnya dengan meninggalkan sebarang bentuk ajaran yang menyengutukan Tuhan, yang selama ini yang telah menyebabkan mereka berpecah belah dalam agama. Tuhan telah menamai mereka sebagai Al-Muslimin. Mereka tidak harus menambah-nambah lagi dengan nama-nama tambahan seperti Muslim Sunnah, Muslim Syi'ah, Muslim Alawi, Muslim Tradisi, Muslim 'submission', Muslim Wahhabi dan sebagainya. Perpecahan umat telah mulai berlaku zaman sahabat Usman R.A. lagi dan umat ini harus kembali kepada satu Tuhan, satu kitab, satu kepimpinan imam dan rujukan-rujukan lain yang mengecilkan peranan Al-Qur'an haruslah ditinggalkan
 




Monday, October 15, 2012

SURAH ALI IMRAN AYAT 27 -- REALITI KEHIDUPAN YANG HARUS DIAMATI



تولج اليل فى النهار وتولج النهار فى اليل
وتخرج الحى من الميت وتخرج الميت من الحى
و ترزق من تشاء بغير حساب

Engkau memasukkan malam ke dalam siang dan Engkau memasukkan siang ke dalam malam. Dan Engkau keluarkan yang hidup daripada yang mati dan Engkau keluarkan yang mati daripada yang hidup dan  Engkau beri rezeki barangsiapa yang Engkau kehendaki dengan tanpa kiraan.

Engkaulah Yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang dan Engkaulah Yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga Yang mengeluarkan sesuatu Yang hidup dari benda Yang mati dan Engkaulah Yang mengeluarkan benda Yang mati dari sesuatu Yang hidup. Engkau jualah Yang memberi rezeki kepada sesiapa Yang Engkau kehendaki, Dengan tiada hitungan hisabnya".

i.     Memasukkan Malam Ke Dalam Siang Dan
       Memasukkan Siang Ke Dalam Malam

Siang di negara-negara sekitar Garisan Khatulistiwa adalah 12 jam dan malamnya pula 12 jam. Hal yang sedemikian berlaku sepanjang tahun sehingga tiada perubahan ketara mengikut empat musim utama dapat dirasai. Dalam setahun terdapat dua tarikh yang dikenali sebagai tarikh ekuinok iaitu pada 21 Mac, dan 23 September yang panjang siang adalah pada sekitar yang sama dengan panjang malam, berlaku di seluruh dunia. Pada kedudukan-kedudukan lain di hemisfera utara dan selatan, tempoh malam boleh jadi lebih panjang daripada siang dan begitu juga sebaliknya. Waktu siang dikatakan telah memasuki waktu malam dan pada tempat yang lain pula, waktu malam dikatakan telah memasukki waktu siang. Ayat ini menjelaskan sesuatu yang bersesuaian dengan penemuan keadaan sekitar kebulatan bumi dengan kecondongan paksi 23 ½ darjah dan beredar sekeliling matahari. Sekalipun tiada didapati ayat yang menjurus kepada kebulatan bumi dan kecondongan paksi bumi dengan bumi mengelilingi matahari secara terus, keadaan ayat ini harus menjadi titik mula untuk manusia berfikir tentang fenomena kejadian bumi dan matahari.

ii.    Mengeluarkan Yang Mati Daripada Yang Hidup dan
       Mengeluarkan Yang Hidup Daripada Yang Mati.

Proses kejadian di bumi adalah merupakan suatu kitaran. Manusia harus memahami keadaan ini agar wujud keseimbangan antara kehidupan dan kematian. Terlalu banyak kehidupan akan mengakibatkan keperluan mendapatkan makanan akan meningkat dan terlalu banyak kematian akan mengakibatkan kehidupan yang masih wujud, hidup dalam keadaan tergugat. Keseimbangan harus dipelajari manusia secara bersungguh-sungguh supaya kehidupan dapat berada pada keadaan yang stabil. Contohnya terlalu banyak penerokaan kawasan hutan dapat mengakibatkan gas karbon dioksida yang dibebaskan, gagal diserap kembali sehingga dapat menjadi petanda kepada pembebasan haba yang banyak, tidak dapat dielakkan. Lebihan haba di atmosfera menjadi penyebab kepada terjadinya banyak kejadian-kejadian seperti taufan, petir-petir besar dan pencairan ais di kutub-kutub bumi. Kejadian tanah runtuh banyak memusnahkan kediaman manusia.





Friday, October 12, 2012

SURAH ALI IMRAN AYAT 26 - PERANAN KERAJAAN SEBAGAI PEMBAWA KEBAJIKAN


قل اللهم ملك الملك تؤتى الملك من تشاء
وتنزع الملك ممن تشاء وتعز من تشاء وتذل من تشاء
بيدك الخير انك على كل شىء قدير

Sejauh mana peranan kerajaan yang dibentuk dapat menyebarluaskan kebajikan meliputi sebahagian besar rakyatnya serta kestabilan kehidupan flora dan fauna serta penjagaan persekitaran yang baik, selama itulah sesebuah kerajaan itu dijangka akan dapat bertahan dengan lebih lama. Penulis tidak menafikan kesan sistem demokrasi yang dituruti dengan ekonomi kapitalis, setakat ini telah berjaya membangunkan pembangunan-pembangunan yang pesat bagi sesebuah negara. Namun keburukan sistem pemerintahan dan ekonomi sedemikian, akhirnya akan menjurus kepada kerosakan alam persekitaran dan juga kehidupan manusia itu sendiri. Kepesatan pembangunan di negara ini, tidak dapat tidak, harus diakui oleh sesiapapun jua, lebih menjurus kepada tekanan inflasi yang sedikit sebanyak, telah menyukarkan kehidupan rakyat. Penulis percaya, sebarang perubahan pemerintahan yang masih mengekalkan sistem demokrasi berasaskan ekonomi kapitalis, tetap akan membawa kesan buruk yang berterusan kepada rakyat. Masalah jenayah pastinya tidak akan berkurangan dan perhimpunan rakyat di atas jalanraya pastinya tidak akan dapat dihentikan. Tuntutan rakyat akhirnya akan menjurus sesebuah negara untuk mengamalkan sistem yang menghampiri sistem pemerintahan demokratik sosialis. Setakat ini belum ada negara sedemikian yang pernah wujud.

Katakanlah olehmu, Ya Allah, yang memiliki Kerajaan, Engkau beri kerajaan itu, barangsiapa yang Engkau kehendaki, Engkau mencabut kerajaan itu daripada barangsiapa yang Engkau kehendaki, Engkau perkuatkan barangsiapa yang engkau kehendaki dan Engkau melemahkan barangsiapa yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkau kebajikan. Sesungguhnya Engkau atas segala sesuatu Maha Kuasa.

Katakanlah (Wahai Muhammad): Wahai Tuhan Yang mempunyai Kuasa pemerintahan! Engkaulah Yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang mencabut Kuasa pemerintahan dari sesiapa Yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga Yang me-muliakan sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang menghina sesiapa Yang Engkau kehendaki. Dalam ke-kuasaan Engkaulah sahaja adanya Segala kebaikan. Se-sungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Sekiranya beberapa lapisan langit yang terbentuk adalah melalui proses-prosesnya yang tertentu, sehingga keseimbangan berlaku dan sehingga bumi berupaya menampung hidupan (55:10), demikian itu sifat kerajaan Tuhan yang merekabentuk beberapa lapisan langit. Betapa manusia harus mempelajarinya secara teliti, untuk membentuk kerajaan mereka sendiri. Kiranya kerajaan yang manusia bentuk, dapat memelihara keseimbangan pembentukan lapisan langit, kestabilan hidupan flora dan fauna, kestabilan struktur yang sedia terdapat di permukaan bumi serta kebaikan-kebaikan kepada umat manusia sendiri dalam menempuh kehidupan mereka, betapa kerajaan sedemikian adalah dijangka dapat bertahan dalam tempoh yang agak lama. Dalam hal ini, sistem pemerintahan demokratik kapitalis telah menunjukkan kegagalannya dalam mengekalkan keadaan bumi yang selamat. Sistem komunis sosialis pula amat menindas kehidupan beragama manusia serta merencat aktiviti mereka berkreativiti.

Kaedah pemerintahan demokrasi bukanlah penyebab kepada kebejatan sistem pemerintahan yang dibentuk. Keutamaan mementing suara ramai hanya dapat rosak akibat pengaruh penguasaan kapitalis yang condong untuk memperkayakan sebelah pihak sahaja. Usaha melobi pemerintahan akhirnya mengakibatkan berlaku ketidakadilan dalam kehidupan bermasyarakat. Sekalipun sistem ekonomi kapitalis menggalakkan umat supaya rajin bekerja, namun batasan-batasan dalam pekerjaan yang gagal dibentuk akhirnya menyebabkan kerosakan alam dengan kejadian-kejadian yang dapat memusnahkan kehidupan manusia sendiri.

Kaedah ekonomi sosialis pula bukanlah menjadi penyebab kepada keruntuhan sesebuah masyarakat. Sistem ekonomi sosialis mengambil kira kebajikan setiap ahli masyarakat dan pada masa yang sama, setiap masyarakat dikehendaki menunjukkan komitmen bekerja untuk kemajuan negara. Oleh itu sistem sosialis lebih mudah untuk menolak penguasaan harta atau komoditi oleh individu sekalipun atas nama syarikat dan masyarakat sosialis lebih mudah untuk menerima penggunaan wang maya berbanding masyarakat kapitalis. Cukai yang sangat rendah atau kehidupan tanpa cukai sama sekali, sebenarnya dapat membendung inflasi dalam negara. Sekalipun kreativiti setiap individu kurang dititik beratkan dalam sistem sosialis dan mereka lebih menumpukan kepada usaha kemandirian, namun keprihatinan kerajaan yang dibentuk dapat mengatasi banyak daripada permasalahan sosial manusia. Kehancuran negara-negara blok komunis adalah lebih disebabkan oleh bentuk pemerintahan komunis yang kurang memberi kebebasan beragama ahli masyarakat serta halangan-halangan kepada mereka, membentuk persatuan-persatuan yang dapat mengeratkan hubungan sosial mereka. Mereka terlampau dipaksakan dengan ideologi komunis.




Monday, October 8, 2012

SURAH ALI IMRAN AYAT 25 - APAKAH YANG HARUS MEREKA JAWAB?



فكيف اذا جمعنهم ليوم لاريب فيه ووفيت
كل نفس ما كسبت وهم لا يظلمون

Maka bagaimanakah tatkala telah pasti menghimpun Kami akan mereka bagi hari yang tiada keraguan padanya dan disempurnakan setiap diri apa yang telah diusahakan ia sedang mereka tidak mereka dizalimi.

oleh itu, Bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), Yang tidak ada syak padanya; dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa Yang ia telah usahakan, sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.

Sebenarnya mereka bukanlah dibalas atas kefahaman mereka yang menyangka bahawa akhirnya mereka akan ke syurga walau apapun jua kesalahan yang telah mereka lakukan. Mereka hanya dibalas kerana perbuatan mereka menolak hukum Tuhan sehingga keburukan telah melingkungi mereka akibat perbuatan mereka itu lalu mereka kekal mendiami neraka untuk selama-lamanya.

i.   Bahaya Menganggap Apajua Kesalahan Boleh Dilakukan

Dengan menganggap bahawa, pegangan suatu agama adalah lesen untuk masuk syurga walau apapun jua kesalahan yang seseorang itu lakukan, seseorang akan sanggup bertindak melakukan sesuatu yang menjadi kelarangan Tuhan sehingga manusia dilingkungi akibat terhadap suatu kesalahan. Sebagai contoh, polisi yang membenarkan perlakuan zina, akhirnya akan mengakibatkan pembentukan masyarakat yang huru-hara sehingga menjejaskan hubungan sosial dalam kalangan masyarakat. Perkara ini terjadi semata-mata gara-gara kerja kepimpinan yang membenarkan serta melindungi perlakuan sedemikian. Apakah alasan untuk seseorang pemimpin sedemikian akan diterima Tuhan, untuk mendiami syurga ataupun menerima syafa'at daripada rasul semata-mata dengan mengaku sebagai umat rasul? Huraian panjang lebar daripada surah An-Nun dan Al-Haqqah, ada menjelaskan tentang balasan berkait-kait yang menimpa pemimpin-pemimpin atau penjawat-penjawat yang menyalahgunakan kuasa sehingga berlaku bencana yang menimpa umat. Setiap umat yang melalui penderitaan dalam kehidupan di dunia ini akan kembali kepada pihak yang diamanahkan yang harus menjagai mereka dalam kehidupan dunia dahulu. Oleh itu apakah ertinya tempoh seketika dalam neraka sekiranya seseorang itu harus merasai penderitaan setiap umat yang sudah tentu setiap umat itu pernah menjalani kesukaran hidup dalam azab untuk suatu tempoh masa kehidupannya dahulu?

ii.   Akibat Menganggap Seksa Neraka Sementara

Anggapan seperti ini sebenarnya datang daripada seseorang yang sungguh merasa tidak tercabar dengan azab Tuhan. Memilih untuk meninggalkan hukum Tuhan terutamanya berkaitan pengamalan riba dan perjudian, hanya akan menghasilkan suatu kehidupan umat yang seperti berada dalam keadaan kemabukan. Mereka melakukan rutin yang sama setiap hari, keluar waktu pagi dan pulang waktu petang, hujung bulan dapat gaji baru dapat bayar hutang. Umat tiada kecukupan masa untuk memikirkan tentang ayat-ayat Tuhan dan tiada masa memikirkan permasalahan sesama mereka. Sehingga mereka menjadi ahli masyarakat yang hanya mementingkan diri-diri mereka sendiri. Penyakit sosial telah lama melanda masyarakat Barat.




Friday, October 5, 2012

SURAH ALI IMRAN AYAT 24 - MEREKA TELAH TERTIPU DENGAN CARA BERAGAMA MEREKA


ذلك بانهم قالوا لن تمسنا النار الا اياما معدودت
وغرهم فى الدين هم ما كانوا يفترون

Demikian itu dengan bahawasanya mereka, telah berkata mereka, sekali-kali tidak, telah benar-benar menyentuh kami oleh api neraka itu melainkan beberapa hari yang boleh dibilang. Dan telah tertipu mereka dalam agama mereka, apa yang telah adalah mereka, mereka ada-adakan.  

Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: "Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja Yang boleh dihitung". mereka (sebenarnya) telah diperdayakan Dalam ugama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta Yang mereka telah ada-adakan.

i.  Cara Beragama Yang Telah Menipu Mereka

Mengapakah mana-mana penganut agama apapun, mendakwa sedemikian? Penganut Yahudi mendakwa, walau apapun amalan kejahatan seseorang, asalkan ia kekal berada dalam agama Yahudi, akhirnya ia akan mendiami syurga. Penganut Nasrani atau Kristian juga mendakwa sedemikian, iaitu mana-mana penganut Nasrani, walau apapun amalan kejahatan yang mereka lakukan, mereka akhirnya akan mendiami syurga. Begitu juga penganut Islam ada mendakwa, walau apapun amalan kejahatan yang mereka lakukan, mereka akhirnya akan mendiami syurga. Atas sebab sedemikianlah kepimpinan mereka, walau apapun agama mereka, sanggup melakukan polisi pemerintahan yang melanggar batas-batas agama kerana mereka menyangka, apapun jua keburukan yang mereka lakukan, mereka jangka akan mendiami syurga suatu masa nanti. Tindakan mereka ini akhirnya mengakibatkan umat mereka mengamalkan agama pada tepian batas sahaja dan mereka berada pada kedudukan yang amat mudah melanggar batas-batas agama.

Bahkan Tuhan telah menjanjikan melalui kitabNya iaitu barangsiapa yang mengusahakan suatu keburukan sedang ia dilingkungi oleh keburukan itu, maka tempatnya adalah di neraka, kekal ia di dalamnya selama-lamanya. Penulis tidak menafikan pengajaran agama seperti itu. Namun janji Tuhan tetap akan terlaksana. Sesiapapun jua dalam kalangan penganut sesuatu agama yang mengusahakan suatu keburukan sehingga keburukan itu menjadi suatu yang melingkungi maka tempatnya adalah di neraka dan kekal ia di dalamnya selama-lamanya. Ia boleh jadi mendakwa sebagai beragama Yahudi atau Nasrani ataupun Islam. Tiada pengecualian.

ii.     Mengada-adakan Perkara Baru Dalam Beragama

Memperbaharui agama bukanlah dengan cara menambah-nambah perkara baru dalam beragama. Catatan sejarah menunjukkan apabila pembukaan tempat-tempat baru pemerintahan Islam semakin meluas, ajaran agama mula dicerobohi dengan nilai-nilai setempat terutamanya berdasarkan pendekatan falsafah. Kekekalan ajaran baru sedemikian mulai terhapus apabila berlaku serangan luar daripada kaum Mongol sehingga ajaran falsafah mulai ditinggalkan. Tiada ajaran baru dalam agama melainkan semuanya menjurus kepada kelemahan umat Islam. Agama ini tidak perlu diperbaharui kerana Al-Quran adalah kitab yang menjelaskan banyak perkara pertelingkahan manusia. Mereka harus membaca dengan sebenar-benar pembacaan.

iii.   Bid'ah Yang Semakin Mengelirukan Umat

Sahabat-sahabat RasululLah S.A.W. R.A.H.M, mereka tidak pernah mengenali agama ini melalui pendekatan cabang-cabang ilmu yang pelbagai jenis itu seperti tajwid, muamalah, tasauf dan sebagainya. Mereka hanya mengenali satu kitab wahyu iaitu Al-Quran yang diwahyukan kepada RasululLah S.A.W. RasululLah S.A.W. pula tidak pernah membuka kitab-kitab lain pada masa itu dan baginda hanya menyampaikan wahyu Tuhan dengan contoh-contoh yang baginda sendiri amalkan yang kita kenali kini sebagai As-Sunnah. Walau apapun cabang ilmu yang dipelajari, tidak harus hujah daripada cabang furu' dalam batasan ilmu diguna pakai untuk menghujah ayat Al-Qur'an. Sebagai contoh, perkara hukum Tuhan yang wajib dilaksanakan adalah perintah jelas sehingga kedapatan ayat-ayat yang menjelaskan, sesiapajua yang tidak berhukum dengan hukum Tuhan, mereka itu adalah berada dalam kekufuran, kefasikan dan kezaliman. Walaupun sebab-sebab ayat yang dibincangkan dalam penerangan ini asalnya merujuk kepada kaum Yahudi dan Nasrani yang wujud pada zaman RasululLah S.A.W. namun, pendekatan ayat ini, telah disampaikan secara umum dan di sana tidak disebut secara khusus terhadap sesiapapun jua.

Perkara-perkara baru yang diada-adakan dalam beragama, telah mengakibatkan kebanyakan perintah Tuhan yang terdapat dalam Al-Quran telah ditinggalkan oleh umat ini. Mereka terlalu memberi tumpuan terlampau mendalam darihal satu-satu perkara dalam beragama sehingga meninggalkan perkara besar dalam agama iaitu Al-Quran itu sendiri. Lalu kita dapati umat Islam kini telah melalui corak kehidupan yang semakin menuruti corak kehidupan penganut agama Yahudi dan Nasrani masakini.



Popular