SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Friday, November 29, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 44 -- KIRANYA IA BERKATA ATAS KAMI SEBAHAGIAN PERKATAAN ITU


و لو تقول علينا بعض الاقاويل

Dan jika sekiranya, ia berkata-kata  atas Kami sebahagian (dari) perkataan-perkataan itu.

dan kalaulah (Nabi Muhammad Yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta -sebarang kata-kata rekaan, -

i.    Nabi Bukan Penokok Tambah Perkataan Tuhan

Pada permulaan daripada kerasulan, RasululLah S.A.W. pernah melarang para sahabat daripada menulis perkataan baginda kerana dikhuatiri manusia akan melebih-lebihkan perkataan baginda sendiri daripada ayat-ayat Tuhan. Walhal RasululLah S.A.W. tidak pernah melakukan sebarang tokok tambah terhadap wahyu Tuhan, sebagaimana yang kita dapati sekarang ini dalam bentuk mashaf. Namun selepas sekitar 100 tahun dari kewafatan RasululLah S.A.W., kerja-kerja pembukuan kata-kata RasululLah S.A.W. melalui Al-Hadith giat dijalankan selepas Al-Quran dibukukan dengan selengkapnya. 

Sebelum pembukuan Al-Hadith, perkataan-perkataan RasululLah S.A.W. ditulis secara terpisah pada kulit-kulit haiwan dan sebagainya dan disimpan oleh sahabat-sahabat tertentu dan sebahagian lainnya dihafaz oleh sahabat hingga ke tabi'in. Telah menjadi disiplin dalam agama ini wahyu Tuhan dibukukan dalam kitab yang dinamai Al-Quran sementara kata-kata nabi dibukukan dalam kitab-kitab yang dinamai Sunan. 

As-Sunnah adalah cara nabi memanifestasi pengamalan terhadap perintah Tuhan daripada Al-Quran yang boleh didapati sumbernya daripada Al-Hadith. Kita tidak wajar membeza-bezakan pengamalan nabi daripada As-Sunnah sebagai sesuatu yang lain sumbernya daripada Al-Quran.

ii.   Pertikaian Tentang Al-Quran dan As-Sunnah

Bermula daripada kitab Tuhan, kemudian diikuti oleh ‘kitab’ Nabi, kemudian diikuti oleh kitab yang disandarkan kepada sahabat dan tabi'in, kemudian diikuti kitab ulama-ulama sama ada ulama usuluddin sehingga ulama feqah, kemudian diikuti dengan kitab-kitab kecil seperti kitab-kitab doa yang mempunyai pelbagai nama itu, kemudian diikuti teks pelajaran agama seperti Mutlaq Al-Badrin, Jauhar As-Siniah serta kitab-kitab kerohanian seperti Hazinatul Asrar, Kasf Al-Asrar dan Hakikat Insan. Semuanya itu dianggap sebagai kitab-kitab agama. Yang menjadi pertikaian antara mazhab yang berlainan sama ada mazhab feqah atau aqidah atau mazhab kerohanian adalah bermulanya daripada kitab selain daripada kitab Tuhan (98:04).

iii.    Kedudukan Rasul Dalam Kalangan Umat

Terkini telah wujud golongan yang cuba menafikan peranan As-Sunnah sebagai rujukan agama sehingga mereka cuba mengasingkan antara ajaran Tuhan dan 'ajaran' RasululLah S.A.W. sebagai dua ajaran berbeza. 'Ajaran' RasululLah S.A.W. pula dituduh sebagai sesuatu yang direkacipta oleh ulama-ulama silam. Ini bermakna konsep beriman kepada RasululLah S.A.W. telah cuba dipertikaikan, walhal itu adalah salah satu rukun iman.

Muhammad S.A.W. adalah RasululLah dan bukan sekadar 'rasulullah' atau seorang 'rasul'. Muhammad S.A.W. adalah manusia pilihan dan bukan sekadar manusia. Muhammad S.A.W. adalah khalifah Tuhan di mukabumi ini semasa hidup baginda dan kisah-kisah hidup baginda harus dijadikan teladan. Bahawa Tuhan tidak menurunkan malaikat sebagai pimpinan untuk manusia tetapi manusia terpilih dalam kalangan manusia itu sendiri untuk dicontohi akhlaqnya serta dipelajari pengamalan serta pengalaman hidupnya. Daripada susuk tubuh, Muhammad S.A.W. adalah bertubuh seperti kita, berdaging dan berdarah, bertulang dan berurat saraf dan sebagainya dan tidak lebih daripada itu. 

Tetapi peranannya sebagai salah seorang Nabi serta Rasul, menjadikan kedudukan manusia biasa diri baginda bukan sebarang manusia. Mengapa tidak, kita menghormati Muhammad S.A.W. sebagai manusia keutamaan, sedangkan dalam polisi hidup manusia, mereka sanggup memuja pimpinan silam yang sebahagiannya dipatungkan seperti Tunku Abdul Rahman di negara ini dan Adam Malik di Indonesia. Hanya Muhammad S.A.W. tidak pernah memerintahkan kuburnya disucikan, dirinya dipatungkan seperti pepatung pemimpin sebahagian manusia, itu tidak bermakna baginda tidak wajar diutamakan. Oleh kerana imej baginda itu adalah imej agama, baginda hanya tidak mahu diri baginda di'budha'kan atau di'hindu'kan atau di'kristian'kan sebagaimana penganut-penganut agama sedemikian menghormati pepatung.




Tuesday, November 26, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 43 -- PERKATAAN YANG DITURUNKAN TUHAN


تنزيل من رب العالمين

Ia diturunkan daripada Tuhan Pemerihara seluruh alam.

(Al-Quran itu) diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.

Perkataan رب merujuk kepada 'Tuhan' diterjemahkan secara berbeza dalam Al-Quran sebagai Tuan, Tuhan dan Pemelihara. Tuhan Pemelihara sekalian alam, Maha Mengetahui tentang perkara-perkara yang berlaku sama ada perkara yang telah, sedang dan akan berlaku. Siapakah yang lebih mengetahui tentang segala jasad kalestial yang bertebaran di angkasa raya? Bahkan Ia mengetahui masa-masa jatuh dan tempat-tempat berlaku kejatuhan sebarang objek kalestial.

Perkhabaran Yang Bukan Diada-adakan

Dalam surah ini dinyatakan peristiwa Al-Waqi'ah (69:15), terjemahan waqi'ah dinyatakan sebagai sesuatu kejatuhan dan dalam surah Al-Waqi’ah ada dinyatakan sumpahan Tuhan tentang tempat jatuh atau masa jatuh 'nujm' iaitu komet (56:75). Kedua-dua bahagian yang berkaitan tentang perkataan perkhabaran dalam surah ini dan surah Al-Kuwirat, telah dimulai dengan sumpah Tuhan dan darihal subjek yang sering datang dan pergi.  Yang dapat dilihat pada waktu pagi sebelum cahaya menyerlah atau pada waktu petang sebelum cahaya menghilang iaitu sekitar waktu subuh atau maghrib.

Penerangan panjang lebar daripada surah ini (69:04-11) dan surah Al-Maarij (70:08-18) selepas ini, terkandung suasana Al-Qari'ah (101:01-04) untuk memberi gambaran wahyu Tuhan darihal kejadian yang akan berlaku dalam sedikit masa lagi. Semua maklumat ini dimuatkan sendiri daripada Al-Quran dan penulis masih belum memasukkan perkhabaran sedemikian daripada penerangan Al-Hadith.

Persoalan yang dapat ditimbulkan, mengapakah tidak disertakan atau didapatkan penerangan secara terperinci melalui Al-Hadith? Nabi Muhammad S.A.W. adalah RasululLah yang diutus untuk membawa perkhabaran sedemikian dan bukan tugas baginda untuk membuat-buat cerita sedemikian atau menokok tambah melalui perkataan baginda sendiri. Tidak juga ayat-ayat Al-Quran ini melalui perkhabaran tukang tenung atau tilik yang akan menambah-nambah perkhabaran sedia ada (72:22/23).

Oleh itu pembaca hendaklah renungkan dengan sendiri bahawa Al-Quran adalah kitab yang didatangkan terus oleh Allah S.W.T. kepada pembaca sendiri. Adapun penerangan yang dapat dibaca daripada buku ini hanyalah kefahaman yang diperolehi penulis yang barang tentu mungkin berbeza dengan kefahaman yang diperolehi oleh pembaca sendiri. Penerangan sedemikian bukanlah Al-Quran dan bukan juga sebahagian daripada Al-Quran, sekadar menyampai kefahaman penulis yang pernah penulis pelajari.




Saturday, November 23, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 42 -- BUKAN PERKATAAN TUKANG TENUNG SEDIKIT YANG MENGAMBIL PELAJARAN


و لا بقول كاهن  قليلاما  تذكرون

Dan tidak sebagai perkhabaran tukang tenung, sedikit sekali (daripada) kamu berperingatan.

dan juga bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang pawang (sebagaimana Yang kamu katakan. tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan.

i.    Bukan Perkataan Ahlil Nujum
 

Selalunya tukang tenung atau tilik mengambil perkhabaran daripada jin yang membisikkan kepada mereka tentang perkara-perkara ghaib melalui curi dengar perkhabaran malaikat sebelum kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. (72:09). Perkhabaran seperti itu tidak lagi berlaku sekarang ini dan tiada perkhabaran tukang tilik kini dapat dipercayai. Sekiranya apa yang dinyatakan itu benar-benar terjadi, bahawa hal itu adalah kebetulan belaka. Sedikit sekali (daripada) kamu berperingatan.

ii.   Apakah Sebenarnya قول Itu?

Istilah asas قول bererti 'kata', 'telah berkata ia' dan 'perkataan'. Namun rujukan apakah ‘قول’ itu? Dalam istilah a’jam, ‘قول’ dapat dirujuk sebagai ‘word’ dalam English atau ‘sebutan’ dalam bahasa Melayu. Bahkan ‘قول’ (Al-Qaul) juga boleh dirujuk sebagai amaran seperti ‘perkataan jelas’ atau ‘clear word’ dan dalam situasi tertentu ‘menulis perkataan’ kepada seseorang dapat diertikan sebagai mengambil seseorang sebagai pasangan hidup. ‘Katakan’ adalah istilah bagi membuat andaian. Dalam istilah kearaban, ‘kata’ atau قول dapat diertikan kepada banyak terjemahan yang lebih meluas. ‘Qaul yang muktabar’ dapat diertikan sebagai pendapat yang berasas kukuh, ‘ditimpa perkataan’ merujuk kepada pengertian ditimpa azab, ‘perkataan yang sampai’ merujuk kepada nasihat yang memberi bekas kepada jiwa seseorang dan lain-lain lagi. Oleh itu perbincangan berkenaan ‘kata’ daripada ayat Al-Quran, harus membenarkan seseorang memperbincangkannya pada sudut terjemahan dengan pelbagai erti kata yang meluas.

iii.   Sedikit Sekali Yang Beriman dan 
       Sedikit Sekali Yang Berperingatan

Surah Al-Haqqah memberitakan kepada manusia peristiwa-peristiwa yang akan berlaku menjelang As-Saah, bermula sebelum itu yang dikenali sebagai peristiwa Al-Haqqah. Terdapat rentetan-rentetan peristiwa yang berlaku sebagaimana yang pernah terjadi kepada kaum A'ad, Tsamud, penenggelaman umat nabi Nuh dan juga Fir'aun. Semua ini telah dinyatakan dalam surah ini yang menggambarkan peristiwa Al-Haqqah yang akan mengulangi kejadian-kejadian seumpama itu. Namun amat sedikit sekali daripada umat ini, yang sanggup mengimani dan mengambil peringatan supaya mereka mengambil langkah berjaga-jaga dalam kehidupan di dunia ini. Peristiwa Al-Haqqah adalah peristiwa yang bakal terjadi dan sebahagian daripada peristiwa sedemikian sering kali dapat kita dengari terjadi pada waktu ini. Terdapat sumpah Tuhan darihal subjek yang akan mengiringi peristiwa Al-Haqqah (69:15) yang harus sama-sama kita perhatikan. Antara perkara yang menarik perhatian penulis untuk dijadikan iktibar ialah kejadian silam yang menyerupai komponen peristiwa Al-Haqqah, yang pernah berlaku dahulu daripada peristiwa kaum A'ad, Tsamud dan Fir'aun, semuanya berlaku pada waktu pagi. Seperti peristiwa tsunami besar yang melanda Asia Selatan dan Asia Tenggara dahulu, bermula kejadian sedemikian adalah pada waktu pagi. Terdapat peringatan penting terhadap kejadian pada waktu pagi ini yang menjurus kepada huraian berterusan daripada surah-surah selanjutnya.

Selain daripada itu terdapat beberapa surah, daripada surah-surah selanjutnya dalam Juzuk Amma, mengaitkan peristiwa penting sedemikian dengan tanda-tanda jasad kalestial seperti komet sebagaimana huraian penulis dalam surah At-Thoriq dan Surah Al-Kuwirat. Perkara yang paling penting yang menjadi pengajaran utama yang penulis perolehi adalah peri pentingnya pembelajaran Al-Quran dipelajari dengan kaedah tartil iaitu pembacaan menurut deretan-deretan dan mengambil pengajaran daripada himpunan ayat sebagaimana yang diperintah Tuhan. Sekiranya pembelajaran Al-Quran mengambil kaedah lain seperti lompatan demi lompatan dan pindahan demi pindahan sehingga tidak berlaku pengembalian kepada susunan ayat-ayat asal, dikhuatiri pembelajaran sedemikian akan menyediakan kefahaman yang lari daripada tujuan himpunan ayat. 

Tartil perlu difahami semula bukan sekadar melalui pembacaan tajwid (sekalipun merupakan suatu kewajiban) bahkan pembacaan sebenar menurut himpunan ayat berdasarkan susunan-susunan yang saling berkaitan antara ayat sebelumnya dengan ayat sesudahnya. Mendapatkan kefahaman ayat adalah perkara yang lebih wajib berbanding cara baca ayat itu sendiri.






Wednesday, November 20, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 41 -- BUKAN PERKARA SYAIR TETAPI SEDIKIT YANG BERIMAN


و ما هو بقول شاعر  قليلاما  تؤمنون

Dan sekali-kali tidak, ia perkataan (peristiwa yang dinyatakan) oleh ahli syair. Sedikit sekali (daripada) kamu (yang) beriman.

dan bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang penyair (sebagaimana Yang kamu dakwakan. tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu beriman.
          
Terdapat dua pembetulan (perlu baca sebagai cadangan) oleh penulis. Pertama ialah perkataan قول perlu dirujuk sebagai perkhabaran peristiwa Al-Haqqah. 

i.   Bukan Seperti Perkataan Nostradamus

Peristiwa Al-Haqqah bukanlah perkhabaran ahli syair. Yahudi memiliki ahli perkhabaran mereka yang bernama Nostradamus yang banyak mencatatkan perkataan dalam bentuk syair, yang  mengkhabarkan peristiwa-peristiwa akan berlaku pada masa akan datang. Sedangkan ia sendiri menerima perkhabaran sedemikian melalui datuknya yang menyimpan manuskrip-manuskrip lama daripada riwayat Saidina Ali R.A. K.A.W., yang ditemui tersimpan dalam perpustakaan di Masjidil Aqsa suatu ketika dahulu.

ii.  Hanya Sedikit Daripada Manusia Yang Percaya

Keduanya adalah perkataan قليلاما banyak diterjemah sebagai sesuatu yang bersifat kualiti iaitu 'sedikit sekali apa yang' kamu mempercayai. Terjemahan yang lebih sesuai adalah sangat sedikit (daripada) kamu yang mempercayai, iaitu menjurus kepada sesuatu yang bersifat kuantiti. Terdapat hanya sedikit daripada manusia yang beriman (berilmu) dengan ayat sedemikian. Demikian itu adalah konsep asas iman adalah beriman dengan keseluruhan Al-Quran dan bukannya dengan sedikit daripada ayat-ayat Al-Quran. Seterusnya قليلاما harus diterjemahkan sebagai 'sedikit sekali' dan bukannya 'sedikit sekali apa yang'. 



Friday, November 15, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 40 -- BENAR-BENAR PERKATAAN UTUSAN YANG MULIA


انه لقول رسول كريم

Sesungguhnya ia benar-benar perkataan utusan yang mulia.

Bahawa Sesungguhnya Al-Quran itu ialah (wahyu dari kami) Yang disampaikan oleh Rasul Yang mulia.

Perkataan ه adalah ganti nama bagi satu subjek sahaja, iaitu merujuk kepada perkara yang sama dalam kedua-dua ayat sebelumnya. Subjek itu adalah perkara yang dapat manusia lihat dan juga yang tidak dapat manusia lihat, menjelang masa-masa yang berlainan. Perkataan بصر adalah lebih tepat untuk dinyatakan sebagai pandang, iaitu suatu kata kerja yang memerlukan deria mata. Ayat yang sama juga disebut dalam 81:19 dan dalam banyak terjemahan dinyatakan sebagai Al-Quran itu sendiri. Al-Quran adalah merupakan ayat-ayat dalam kitab yang dapat dipandang dengan mata, tetapi untuk sebahagian manusia, mereka tidak dapat memandangnya dengan mata hati. Perkataan قول dapat juga dirujuk sebagai 'perkataan' berupa subjek lain seperti 'perkataan putus' (86:13) iaitu merujuk peristiwa hari Keputusan ataupun 'perkataan azab' (27:82/85). Dalam penerangan ini penulis lebih cenderung untuk merujuk perkataan قول sebagai perkataan peristiwa Al-Haqqah itu sendiri yang telah ada perkhabarannya melalui utusan yang mulia sama ada Muhammad RasululLah S.A.W. atau malaikat Jibril A.S.





Thursday, November 14, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 39 -- SESUATU YANG SELALU TIDAK DAPAT DILIHAT


و ما لا تبصرون

Dan apa yang tidak (sentiasa) kamu (dapat) melihat. 

dan Segala (yang ghaib) Yang kamu tidak melihatnya, -

i.   Melihat dan Tidak Melihat

Peristiwa-peristiwa yang berlaku di persekitaran kita, tentang kehidupan kita, tentang masyarakat kita, tentang aktiviti-aktiviti manusia dan sebagainya, tentang bencana cuaca, tentang permasalahan sosial, tentang kestabilan negara pada sudut politik dan ekonomi, tentang kemusnahan kawasan flora dan fauna, tentang pembangunan tanpa henti, tentang pencemaran udara, tentang hubungan ahli masyarakat yang semakin serius, tentang jenayah yang berlaku setiap hari, tentang konflik dan sebagainya, adalah merupakan perkara-perkara yang sentiasa dapat kita lihat atau dengar setiap hari. Tentang ayat-ayat Tuhan dalam kitab suci, tidak semua manusia dapat melihatnya terutama oleh golongan yang ingkar. Tentang objek di angkasa, tidak semua dapat memerhati.

ii.  Sumpah Tuhan Darihal Kejadian Al-Haqqah

Dua ayat sebelum ini adalah merupakan ayat sumpah Tuhan. Terdapat dua keadaan sumpahan, pertamanya adalah terhadap subjek yang dapat dilihat dan keduanya adalah subjek yang tidak dapat dilihat. Adakah kedua-duanya berhubung kait dengan kejadian yang dinyatakan dalam surah iaitu tentang kejadian Al-Haqqah? Kontak surah mengatakan keadaannya adalah sedemikian! Adakah kedua-duanya merujuk kepada subjek yang sama? Ataukah subjek yang berlainan? Terdapat ayat daripada himpunan awal iaitu 69:15/16 yang memberitahu kejadian kejatuhan.

Kiranya jalan perkataan ‘lihat’ merujuk kepada keadaan bersinambungan, maka subjek itu adalah merujuk kepada peristiwa yang sentiasa atau sering berlaku dan juga peristiwa yang belum berlaku. Teruskanlah menjurus ke surah Al-Kuwirat (81:15/16/17/18) sebelum ayat berikut ini.






Tuesday, November 12, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 38 -- SESUATU YANG SENTIASA DAPAT DILIHAT


فلا اقسم بما تبصرون

Maka benar-benar Aku bersumpah dengan apa yang (sentiasa) kamu (dapat) melihat.

maka Aku bersumpah: Demi Segala (yang nyata) Yang kamu melihatnya, -






Friday, November 8, 2013

ERTI BAGI PERKATAAN AL-HAQQAH


PENJELASAN PERKATAAN PERISTIWA AL-HAQQAH

Himpunan permulaan ayat daripada surah Al-Haqqah adalah daripada ayat pertama tamat hingga ayat ke-37. Himpunan ayat seterusnya, adalah menjurus kepada hal yang berkaitan dengan mesej utama surah, iaitu tentang peristiwa Al-Haqqah. Himpunan ayat ini, menjelaskan kejadian yang mencetuskan suasana panik sebagaimana yang dinyatakan daripada ayat pertama hingga ayat ke-18.


Himpunan selanjutnya juga menjelaskan erti bagi perkataan Al-Haqqah. Al-Qaul yang difahami sebagai perkataan, adalah juga bermaksud pemberitaan azab atau azab itu sendiri. Ini dijelaskan pada beberapa tempat dalam Al-Qur'an.





Thursday, November 7, 2013

PENGAJARAN HIMPUNAN AWAL SURAH AL-HAQQAH


Adapun balasan yang akan dikenakan kepada pihak-pihak tertentu dalam kalangan manusia, adalah akibat pekerjaan mereka yang membawa akibat memparahkan peristiwa Al-Haqqah. Mereka itu sama ada yang berada pada peringkat kepimpinan, penjawat-penjawat awam bahkan sehingga kepada rakyat jelata, telah terlibat dalam suatu polisi kehidupan sehingga mengakibatkan pencemaran-pencemaran yang teruk, terus sahaja berlaku. 


Peristiwa satu kejatuhan yang menggegarkan bumi ini, tetap akan berlaku juga suatu masa nanti. Oleh kerana kejatuhan itu berlaku pada masa bumi ini telah dicemari, kejadian-kejadian penderaan secara berterusan akan terjadi kepada setiap hidupan yang terdapat di permukaan bumi ini. Penderaan seperti itu adalah merupakan ulangan peristiwa yang telah berlaku ke atas golongan ingkar suatu masa dahulu, sebagai akibat pekerjaan mereka sendiri yang membawa kerosakan.


Masalahnya, sebahagian manusia masih kekal mengingkari perkhabaran sedemikian, yang tetap bakal terjadi suatu masa nanti sebagaimana mereka mengingkari wahyu Tuhan, seperti surah Al-Haqqah itu sendiri. Mereka lebih mempercayai perkhabaran Nostradamus dan juga perkhabaran ahli-ahli environmentalis yang sebenarnya cuba menjadi hero dalam menentukan masa kejadian pada masa akan datang.




Monday, November 4, 2013

SURAH AL-HAQQAH AYAT 37 -- TIADA YANG MEMAKANNYA MELAINKAN YANG BERSALAH


لا ياًكله الا الخاطئون

Tiada ia memakan akannya melainkan mereka yang bersalah.

"Yang tidak memakannya melainkan orang-orang Yang melakukan perkara Yang salah".

i.   Igauan Dalam Kehidupan

Kehidupan bermasyarakat menjadi suatu igauan. Mereka lebih takutkan penjenayah daripada berusaha bersama-sama membenteras jenayah. Lantaran golongan ‘sampah’ masyarakat mereka adalah golongan yang dilindungi. Penagih-penagih dalam kalangan mereka memberi pulangan kewangan kepada pengedar-pengedar. Pengedar-pengedar melindungi mereka dengan menyediakan bekalan yang diperlukan asalkan mereka sanggup memberi wang sekalipun wang itu diperolehi melalui aktiviti jenayah. Pengedar-pengedar mereka membayar 'cukai perlindungan' kepada penjawat-penjawat awam. Yang paling berpengaruh menerima habuan wang perlindungan pada jumlah lebih besar. Aktiviti perjudian, maksiat dan kongsi gelap terus sahaja berlaku dan perolehan yang mereka perolehi mereka 'infaq'kan pada jalan syaitan agar aktiviti sedemikian terus subur.

ii.  Kitaran Syaitan Yang Wujud Secara Merata


Adakah wajar golongan yang berkuasa dan berkepentingan menjamu selera dengan hidangan-hidangan lazat sedangkan ‘sampah-sampah’ masyarakat mereka, mereka hidangkan dengan najis dadah? Mereka memasukkan diri-diri seperti mereka dalam kumpulan elit sementara yang lain mereka anggap ‘sampah’. Mereka memakan hasil penjualan dadah melalui wang perlindungan yang mereka perolehi. Ketua penjenayah pula menyonglap penjawat tertinggi awam agar aktiviti jenayah mereka dapat dihalalkan. Usah fikirkan balasan di akhirat nanti, nasib generasi akan datang sanggup mereka gadaikan yang tentunya, mereka sendiri tidak akan dapat mendiami kawasan yang selamat nantinya.

iii.  Apabila Peraturan Tuhan Dicabar

Situasi seperti ini sebenarnya banyak berlaku di kebanyakan negara sehingga kita kini merasa tidak selamat untuk mengembara berseorangan. Siapakah di antara kita sanggup melepaskan anak-anak kita sama ada lelaki atau perempuan untuk menuju ke tempat-tempat tujuan mereka? Pada bila-bila masa sahaja mereka boleh menjadi mangsa penculikan, keldai tunggangan dadah atau dibunuh begitu sahaja dengan tujuan mendapatkan organ-organ penting dalam tubuh mereka. Yang paling dikhuatiri adalah mereka dipaksa untuk terjebak dalam aktiviti jenayah yang tentunya akan menghancurkan kehidupan mereka pada masa akan datang. Dunia pada suatu waktu menjanjikan kediaman yang tidak selamat dan sangat merbahaya untuk didiami. Apabila peraturan Tuhan dicabar, maka kehidupan manusia menjadi kacau bilau dan mereka saling menganiayai sesama mereka, menderita dalam azab.


Mangsa-mangsa ini dikatakan dibunuh
untuk mendapatkan organ dalaman mereka. 
(Maaf - tiada 'sensored' untuk gambar ini, 
 bagi menggambarkan kejadian sebenar  
yang berlaku di negara ini)

Popular