SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Monday, June 30, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 4 -- TEMPAT NAIK MALAIKAT DAN RUH


تعرج الملئكة و الروح اليه

Ia naik para malaikat dan roh itu kepadaNya… .

Yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahanNya (untuk menerima dan menyempurnakan tugas masing-masing, terutama)

i.  Tangga Kenaikan Yang Bukannya Karbon Nanotiub

Berbeza dengan ayat daripada surah Al-Qadr yang menyatakan bahawa malaikat turun dan roh itu padanya (di sisinya)... . Perkataan roh dihubungkaitkan dengan urusan dan persoalan tentang roh adalah berkaitan dengan urusan Tuhan. Pengetahuan tentang roh hanyalah sedikit sahaja kepada manusia dan perkara-perkara yang dapat dipelajari oleh manusia tentang roh adalah lebih menjurus kepada andaian belaka. Tangga-tangga kenaikan yang disebut dalam surah ini adalah lebih menjurus kepada persoalan kerohanian. Daripada usaha manusia yang ingkar, yang menghadapi hari-hari azab sedemikian dengan tangga-tangga kenaikan rekaan mereka, supaya mereka dapat menyelamatkan diri, adalah lebih baik mereka menyerahkan diri, menerima kematian mereka yang telah ditentukan Tuhan. Sehingga dapat menaiki tangga-tangga kenaikan yang Tuhan telah sediakan! Kerana hal sedemikian akan membuatkan mereka mengerti, hal kehidupan yang mereka lalui. 

Yang Kadarnya Sehari Adalah 50,000 Tahun

فى يوم كان مقداره خمسين الف سنة

Dalam sehari yang telah jadi ia kadarnya lima puluh ribu tahun.

Yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang-orang Yang bersalah) sungguh panjang, (kerana banyak hitungan hisab dan berat soal jawabnya).

ii.  Perkadaran Yang Amat Panjang

Itulah perkadaran yang tidak dinyatakan berdasarkan standard ukuran manusia. Namun yang pastinya, itu berkaitan dengan roh. Kiranya yang demikian itu, tentunya perkiraan dan pengalaman masa yang dilalui adalah suatu tempoh masa yang sangat lama. Persoalan tentang masa adalah lebih menjurus kepada persoalan ghaib. Manusia hanya mengetahui perkara yang telah berlalu dan tidak dapat merancang apa-apa terhadap kejadian yang telah berlaku.

iii.  Persoalan Tentang Masa

Tempoh hayat bagi manusia selalunya sekitar 60 hingga 70 tahun. Sehari bagi manusia adalah 24 jam dan sejam diukur untuk tempoh 3600 saat. Sesaat dapat dirasai sekira-kira kadar satu denyutan jantung. Suatu pempiawaian secara jitu sesaat dikira menggunakan bilangan jarak gelombang tertentu, kuanta gelombang yang dipancarkan oleh atom caesium. Masa ditakrifkan sebagai suatu faktor tidak bersandar yang disukat dengan gerak, sama ada pergerakan ayunan bandul atau pergerakan ayunan elektron dalam litar pemasa. Demikian itu adalah ukuran oleh manusia. Sesaat bagi makhluk lain seperti jin tentunya memiliki piawai ukuran masa yang berbeza. Pengalaman menempuh masa oleh manusia dan makhluk-makhluk lain adalah berbeza. Makhluk jin yang dikatakan menempuh usia yang lebih panjang daripada manusia sekitar 400 tahun tentunya akan dirasakan lama oleh manusia namun hanya dirasakan sekadar tempoh sehayat mereka sahaja. Pengalaman manusia yang menempuh alam jin dan kembali semula ke alam manusia dapat melalui tempoh sejam di sana adalah sekitar 6 jam di alam ini. Begitu juga pengukuran tempoh hayat yang dilalui manusia berbanding makhluk-makhluk lain sama ada yang ghaib atau yang nyata. Sesaat bagi semut barangkali dapat di'rasa'kan lebih lama berbanding sesaat bagi manusia. Oleh itu ukuran 50,000 tahun yang dilalui oleh malaikat dan roh dalam sehari ukuran Tuhan, mungkin memiliki piawaian pengukuran yang berbeza dengan ukuran manusia. Semua perkara sebenarnya berada dalam agenda Tuhan namun manusia tidak menyedari. Bahkan Tuhan jualah yang sentiasa mengalahkan atas urusanNya dan kebanyakan manusia tidak mengetahui.





Tuesday, June 24, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 3 -- DI SISI ALLAH TEMPAT-TEMPAT KENAIKAN


من الله ذى المعارج

Bukankah di sisi Tuhan telah ada tangga-tangga kenaikan?

dari Allah Yang Menguasai tempat-tempat turun naik -


Pengalaman Menempuh Kematian

Pengalaman yang dialami oleh seseorang yang berada dalam keadaan hampir menemui ajalnya, dapat melihat suatu terowong cahaya yang menyediakan tempat kenaikan. Penulis memperolehi maklumat ini daripada dokumentari yang disiarkan melalui siaran-siaran Astro, yang disediakan melalui wawancara individu tertentu yang pulih daripada pengalaman ke'mati'annya dari negara Barat sendiri. Adalah lebih baik sahaja mereka menyediakan diri untuk menempuh kematian pada ketika itu dan mendapatkan tangga-tangga kenaikan yang telah Tuhan sediakan.

Tentang hal yang demikian, penulis enggan mengulas lebih lanjut. Memilih untuk menempuh kematian atau berjuang meneruskan kehidupan barangkali merupakan suatu pilihan yang sukar untuk manusia. Perkara ini akan jelas kepada mereka sekiranya mereka mengerti apakah yang dinyatakan sebagai kehidupan dan kematian?






Wednesday, June 18, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 2 -- TIADA JALAN UNDUR BAGI GOLONGAN INGKAR


للكفرين ليس له دافع

Bagi golongan ingkar, tiada baginya, pengunduran. 

azab Yang disediakan untuk orang-orang Yang kafir, Yang tidak ada sesiapapun dapat menolak kedatangannya -

i.  Terjemahan bagi دافع

Iaitu suatu bentuk azab yang tidak akan memberi jalan undur kepada yang mengingkarinya. Persoalannya adalah, mengapakah azab itu begitu memilih sekali? Azab yang tidak memberi peluang kepada golongan ingkar untuk mendapatkan jalan undur, agar terhindar daripada azab berkenaan. Dalam terjemahan yang lain, dinyatakan sebagai azab yang tidak dapat ditolak. Bahkan perkataan دافع adalah lebih jitu untuk diterjemahkan sebagai undur, selain daripada perkataan tolak. Perkataan  مدفع diterjemahkan sebagai meriam, sejenis senjata yang akan mundur ke belakang setelah memuntahkan pelurunya. Apakah yang berlaku kepada golongan yang beriman?

ii.  Azab Yang Menimpa Secara Khusus

Bagaimanakah pula azab ini menimbulkan kesan terhadap golongan ingkar? Adakah golongan beriman termasuk golongan yang terhindar daripada azab sedemikian? Golongan ingkar, dengan angkuhnya mendakwa bahawa mereka berupaya menyediakan suatu penempatan untuk kehidupan di luar daripada ruang lingkup bumi ini. Mereka telah meletakkan beberapa buah stesen satelit yang mengelilingi bumi ini.

iii.  Usaha Apakah Yang Dapat Membantu?

Pada zaman ini telah digembar-gemburkan oleh golongan saintis ingkar, tentang suatu penemuan bahan yang dapat dibina menggunakan teknologi komposit karbon nano tiub. Bahan ini dikatakan terlalu kukuh sehingga dapat digunakan untuk tujuan dihulur ke angkasalepas sehingga dapat dihubungkan kepada stesen satelit sedia ada. Adakah stesen-(stesen) itu pada hari itu dapat diharap untuk dijadikan tempat kediaman manusia dengan tali-tali karbon nano tiub dapat digunapakai sebagai tangga untuk manusia naik kepadanya? 

 Beginikah Rupanya Projek Karbon Nanotiub
Untuk Menyediakan Tempat Melarikan Diri 
Suatu Masa Nanti?

Perubahan cuaca yang berlaku ketika ini, telah diakui disebabkan oleh kerja-kerja tangan manusia. Perkara yang penting sekali perlu disedari adalah, keadaan bumi yang masih menyediakan peluang kehidupan kepada manusia. Manusia secara terus-terusan memusnahkan kediaman mereka sendiri dan pada masa yang sama mendakwa, membuat sesuatu yang kononnya demi kebaikan umat manusia. Apakah apabila keadaan telah menjadi terlalu serius dan keadaan itu pastinya akan terjadi, barulah manusia mahu mengakui betapa pentingnya beriman kepada Tuhan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbetul keadaan, namun semuanya sudah terlewat?






Thursday, June 12, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 1 -- MANUSIA TERTANYA-TANYA TENTANG AZAB


سال سائل بعذاب الواقع

Telah bertanya seorang penanya akan azab yang menimpa.

salah seorang (dari kalangan orang-orang kafir Makkah, secara mengejek-ejek) meminta kedatangan azab Yang (dijanjikan) akan berlaku,

i.    Pengertian Waqi'

Perkataan واقع dapat juga dinyatakan sebagai 'yang berjatuhan atau yang turun' (56:75). Demikian itu kesan dakwah RasululLah S.A.W. pada suatu ketika dahulu sehingga membangkitkan keinginan seseorang untuk mencabar perkhabaran yang disampaikan oleh baginda. Tentunya dakwah oleh RasululLah S.A.W. yang akhirnya dilakukan secara terang-terangan telah memberi kesan yang mendalam terhadap jiwa umat pada suatu ketika dahulu. Bahawa akan berlaku azab sebelum berlakunya hari kehancuran alam ini kerana sesudah hari kehancuran, tidak akan ada lagi kehidupan di bumi ini dalam period dunia ini. Beginilah keadaan manusia apabila berhadapan dengan perkhabaran yang bakal terjadi.

ii.  Sesuatu Yang Menimbulkan Paranoia

Mempercayai perkhabaran perkara yang bakal terjadi, tentunya akan mengakibatkan paranoia dalam benak pemikiran seseorang. Perkhabaran daripada surah ini, yang memberitahu akan terjadi bencana sebelum berlakunya hari kehancuran As-Saah, tentunya akan diterima sebagai berita yang memeranjatkan. Tanpa menyebut masa akan terjadi bencana itu, akan mengakibatkan sebahagian mereka mengambil perkhabaran sedemikian, dengan jalan mengejek sehingga sanggup mencabar untuk didatangkan bencana berkenaan secara segera. Sebenarnya mereka sendiri yang sedang mengusahakan kedatangan bencana seumpama itu, dengan mencontohi pekerjaan-pekerjaan umat silam yang pernah ditimpa bencana. Namun bencana kali ini adalah merupakan bencana berterusan yang akan terjadi secara beransur-ansur hinggalah kepada kedatangan bencana yang besar.





Friday, June 6, 2014

SURAH AL MA'ARIJ


بسم الله الرحمن الرحيم

 
Gambaran Peristiwa Al-Ma'arij Menurut Pandangan Pelukis 
Bakal Terjadi Dalam Beberapa Tahun Lagi Yang Dapat Dibilang


i.  Tentang Tempat Kenaikan

Bermula surah ini dinamai sedemikian rupa kerana terdapat perkataan ‘Al-Ma'arij’ pada 70:03. Kata dasar ijmak perkataan ini diterjemah sebagai ‘tangga’ yang dapat digunakan untuk tujuan naik ke kedudukan yang lebih tinggi. Tangga kenaikan adalah seperti tangga gerak atau eskalator atau lif, yang dapat digunakan untuk mengangkat seseorang atau sesuatu ke kedudukan yang lebih tinggi. Namun sesuatu yang menarik perhatian adalah untuk mendapatkan hubungkait antara tangga-tangga kenaikan dengan peristiwa berlakunya azab Tuhan, menjelang hari berlakunya azab. Adapun susunan peristiwa azab yang dapat digambarkan melalui surah ini  adalah dengan menyatakan terlebih dahulu tentang kejadian yang akan berlaku. Seterusnya mengimbau semula sikap manusia yang menjurus kepada kerosakan alam, akibat daripada pekerjaan tangan-tangan mereka sendiri yang akhirnya, terjadi azab yang tidak dapat diundurkan.

ii.   Persediaan Terhadap Bencana Yang Bakal Terjadi

Walaupun ayat pertama selepas ini menyentuh tentang azab kejatuhan (waqi'), pengajaran yang diperolehi ialah bentuk azab yang bakal terjadi, merupakan suatu yang umum yang dapat berlaku waktu terdekat ini. Azab sedemikian dapat berlaku sekarang ini atau pada bila-bila masa sebelum peristiwa Al-Waqi'ah, yang menjurus kepada peristiwa Al-Haqqah (69:15). Pengajaran surah ini harus diambil supaya manusia dapat bertindak segera sebelum sesuatu peristiwa azab sedemikian dapat terjadi. Langkah-langkah kerja daripada surah Al-Muzammil harus diperkira agar kesan kebinasaan daripada kejadian sedemikian dapat dikurangi, atau sekurang-kurangnya mereka telah membuat persediaan awal.

iii.  Gas-gas Pencemaran Yang Sedang Meningkat Naik

Pada pandangan yang lebih teliti, perkara kenaikan tidak harus menjurus hanya kepada tangga kenaikan. Sejurus sebelum peristiwa azab yang tidak dapat dielakkan itu, sebenarnya manusia telah melakukan suatu pekerjaan, sehingga mengakibatkan gas-gas pencemaran telah naik ke paras yang sangat tinggi sehingga dapat merosakkan ozon. Setelah manusia tidak mengambil perduli terhadap pencemaran yang berterusan dan bencana di bumi yang berterusan, kerosakan atmosfera telah menjalar lebih tinggi yang akhirnya membawa kepada kerosakan mengejut kepada kehidupan manusia di bumi ini.




Popular