SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Thursday, January 28, 2016

SURAH NUH AYAT 27 -- MEREKA MENYESATKAN LAGI MELAHIRKAN ZURIAT YANG JAHAT

     
انك ان تذرهم يضلوا عبد ك
و لا يلدوا الا فاجر اكفرا
    
Sesungguhnya Engkau, kiranya Engkau biarkan mereka, mereka sentiasa menyesat akan hambaMu dan tidak mereka sentiasa melahirkan anak, melainkan yang jahat lagi bersangatan ingkar.

"Kerana Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan Yang berbuat dosa lagi kufur ingkar.

i.     Pengamalan Yang Memudharatkan

Penemuan-penemuan golongan yang ingkar itu sentiasa disampaikan daripada satu pihak ke satu pihak untuk tujuan pengiktirafan serta pengamalan mereka dicontohi. Lalu mereka menyampaikan suatu ajaran yang memudharatkan. Sebagai contoh, telah diketahui sebelum ini oleh ulama-ulama silam menerusi catatan kitab-kitab ‘kuning’ mereka, bahawa yang dikatakan najis yang terdapat daripada tubuh manusia adalah sesuatu yang membawa mudharat terhadap sebarang pengambilannya. Perkara najis tersebut adalah darah, nanah, muntah, tahi dan air kencing yang telah dikeluarkan oleh tubuh. Begitu juga terhadap pereputan daripada bangkai kecuali bangkai ikan dan belalang sekiranya tidak mengenai tubuh daripada bahan buangannya. 

Namun pengkaji-pengkaji Barat telah menemui kaedah untuk menambahkan bahan tambah dalam makanan yang dihasilkan secara industri melalui pengeluaran besar-besaran. Bahan tambah itu diperolehi daripada sebatian-sebatian yang ditiru menyerupai bahan-bahan najis berkenaan. Sebagai contoh, ammonia yang diperolehi melalui proses Haber daripada kilang pemprosesan di Bintulu, Sarawak telah diiktiraf sebagai halal oleh Jabatan Agama dan digunakan secara meluas dalam industri pembikinan perencah monosodium glutamate serta pecencah-perencah yang lain. 

Lebihan kandungan ammonia dalam MSG 
dapat membawa akibat penyakit 
"Sindrom Restoran Cina" dan penyakit lelah.
   
Bahkan  struktur ammonia yang dihasilkan sebenarnya bukan sahaja menyerupai bahkan menyamai sebatian yang dihasilkan oleh pereputan bangkai. Alasan mereka bahawa ammonia sebenarnya memang terdapat dalam tubuh disingkirkan daripada hati setelah diubahsuai oleh enzim yang menukarkannya menjadi urea atau asid urik sebagai konjugat. Sebatian berkenaan kemudiannya dilepaskan melalui penapis ginjal dan disingkirkan melalui air kencing. Teknologi kaum yang diiktiraf sebagai sesat dalam ayat terakhir surah Al-Fatehah iaitu Kristian Barat telah sampai ke perut umat Islam secara merata. Asid nitrik yang diperolehi daripada proses pengoksidaan ammonia pula digunakan untuk menghasilan sebatian azo. Sebatian azo digunakan untuk menghasilkan pewarna tiruan digunakan dalam pewarnaan makanan yang banyak dijual secara bebas. 

Apakah akibat menelan benda najis seperti ini? Tubuh tentunya akan menunjukkan kesan penolakan terhadap bahan-bahan seperti ini. Yang mudah dikesan adalah keluarnya air liur basi terhasil dengan banyaknya apabila seseorang itu sedang tidur. Itu darihal pemakanan.

ii.     Kesesatan Yang Bertambah-tambah

Sesungguhnya kesesatan tidak akan bertambah-tambah melainkan terhadap golongan yang zalim (71:24). Kezaliman yang paling besar adalah mempersekutukan Tuhan (31:13). Bahkan merelakan diri hidup dalam suatu sistem mempersekutukan Tuhan adalah juga suatu kezaliman. Kita dapati umat kini berterusan bergelumang dalam ‘kesesatan’ (perlu dibaca sebagai kecelaruan) sedemikian disebabkan sikap mereka menzalimi diri mereka sendiri. Sehingga mereka menolak untuk memperbanyakkan sadaqah disebabkan kesempitan hidup dalam negara yang kekayaannya melimpah ruah. Apabila mereka memilih fatwa ulama sebagai benar dengan tiada panduan suci daripada Tuhan dan/atau tiada menuruti contoh yang ditunjukkan oleh RasululLah S.A.W. dengan izin, iaitu menerimanya secara bulat-bulat, sebenarnya mereka menerima cara beragama yang serupa dengan kaedah penganut-penganut agama lain beragama dan demikianlah salah satu bentuk mempersekutukan Tuhan. Apakah yang harus mereka jawab di hadapan Tuhan nantinya terhadap pendakwaan yang mereka terima sebagai suatu ketetapan agama darihal menelan benda-benda najis tersebut dan terdapat lagi benda lain yang najis yang tidak disebutkan di sini? 

Mengapakah zakat yang mereka sadaqahkan gagal sampai kepada pihak yang layak menerima, sehingga memeritkan kehidupan sebahagian besar golongan yang kesempitan lalu mengakibatkan peningkatan kadar jenayah. Anak-anak yang mereka lahirkan, mereka sumbat dengan pemakanan sedemikian. Kemudian mereka ajari anak-anak mereka untuk menghadapi sistem hidup menurut ilmu mereka yang dangkal itu tanpa panduan suci ayat-ayat Tuhan. Lalu generasi akan datang menghadapi kehidupan yang lebih membingungkan disebabkan kecelaruan yang mereka hadapi. Mereka mendakwa demi kebajikan rakyat, keselesaan hidup serta pemuliharaan alam, namun yang berlaku adalah penggelapan hak rakyat, kehidupan yang semakin sempit serta pemusnahan kawasan sekitar yang mengganggu kesinambungan hidup flora dan fauna, yang kesannya akan menimpa mereka sendiri.

iii.   Tuhan Telah Mengiktiraf 
        Kedudukan Manusia

Ayat ini menyebutkan suatu keadaan kiranya Tuhan membiarkan bumi diurus tadbir oleh golongan yang sesat dan keadaan inilah yang telahpun berlaku. Ini membuktikan bahawa Tuhan telah membiarkan manusia untuk bertindak semahu-mahu mereka dalam mentadbir urusan kehidupan di dunia ini, sebagai suatu pengiktirafan akan peranan manusia dalam mentadbir alam. Ini membuktikan Tuhan tidak memerlukan langsung akan khidmat mereka kepada Tuhan. Mereka jualah yang sebenarnya memerlukan Tuhan untuk suatu kehidupan mereka sendiri. Namun Tuhan tidaklah sezalim itu untuk membiarkan hamba-hambaNya hidup dalam ‘kesesatan’. Tuhan telah menyediakan alam ini sebagai perangkap untuk menimpakan kegelisahan terhadap golongan yang ingkar (86:19). Sehingga golongan yang beriman akan melakukan pekerjaan supaya suatu pemulihan dapat dilakukan melalui panduan Tuhan. Mahasuci Tuhan yang mencipta alam ini menjadi sebagai suatu pelajaran yang harus diinsafi oleh manusia.



Thursday, January 21, 2016

SURAH NUH AYAT 26 -- HARAPAN NABI NUH A.S. YANG BELUM TERLAKSANA SEHINGGA KINI


و قال نوح ربى لا تذر على 
الارض من الكفرين ديارا

Dan telah berkata Nuh, Tuhanku, janganlah Engkau tinggalkan atas bumi itu daripada golongan yang ingkar yang beredaran.

dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!

Itulah satu-satunya doa Nabi Nuh A.S. yang masih belum terlaksana, yang Tuhan jua lebih mengetahui akan hikmahnya. Bahawa mukabumi ini dipenuhi kesan, akibat daripada kerja-kerja keingkaran manusia. Apabila Tuhan mewujudkan sebuah negara naunganNya, yang ajaran-ajaran kitabNya dilaksanakan di bawah pemerintahan kekhalifahan yang layak, manusia berusaha merampas hak untuk mentadbir mukabumi ini dengan cara yang lain, sehingga mengakibatkan kehidupan menjadi kucar-kacir. Manusia berusaha memiliki bumi ini, melalui penguasaan sedangkan hak milik hanya untuk  Tuhan semata-mata. Apajua yang terdapat di bumi dan langit dan apa-apa yang ada antara keduanya, adalah merupakan amanat yang Tuhan serahkan urusannya kepada manusia, sebagai suatu bentuk ujian kepada manusia seluruhnya, sebelum amanat sebenar akan diserahkan kepada manusia kemudian nanti di hari akhirat kelak.

Sebenarnya, apakah yang diingini oleh manusia? Mereka dicipta Tuhan bersifat keluh kesah sehingga apabila ditakdirkan menerima kebaikan ia bersifat menegah dan apabila ditakdirkan menerima keburukan ia bersifat gelisah. Kecuali mereka yang melaksanakan ibadah solah yang bersinambungan. Adakah manusia yang sedemikian sifat keluh-kesahnya, layak mengurus tadbir bumi ini sedangkan dengan sikap-sikap sedia ada, mereka tidak akan dapat melepaskan diri merka dalam mengambil urusan agama dan pentadbiran dunia ini dengan cara boros dan gelojoh.

i.    Pertebaran Yang Membawa Pencemaran

Selepas daripada kejatuhan sistem kekhalifahan pada tahun 1923, kita dapati di seluruh dunia ini, kebanyakan negara-negara semakin mencontohi sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba dan pajakan serta sistem pemerintahan demokrasi. Kebebasan yang dilaung-laungkan mula menyerlahkan kemajuan pembangunan yang berlaku secara sangat intensif. 

Industri pengangkutan merupakan industri yang berkembang pesat. Pembinaan jalan-jalanraya atau lebuh-lebuhraya baru, menjadi agenda pembangunan yang pasti. Setiap masa kita boleh dapati, sejumlah kenderaan yang sentiasa berlalu lalang di atas jalanraya. Pengaliran trafik tidak pernah putus meskipun ketika berlaku kejadian hujan lebat. Segala-gala ini berlaku akibat rangsangan sistem ekonomi kapitalis yang menggalakkan sistem pembelian kenderaan melalui kaedah riba. Lebih banyak kenderaan bergerak di atas jalanraya, maka lebih banyak bahan bakar diperlukan dan lebih banyak keuntungan diperolehi oleh pihak-pihak yang memiliki saham di atas jalanraya. Lebih banyak syarikat insuran dapat mengaut hasil dan lebih banyak saman dapat dikeluarkan atas kesalahan yang dijerat ke atas pemanduan. Mereka mengejar suatu pencapaian dalam hidup, bergerak pantas di jalanraya yang kesudahannya hanya bertujuan menambah kerugian terhadap harta dan anak-anak mereka serta membawa pencemaran kepada alam sekitar.

video
 Untuk tujuan pembangunan sesebuah lebuhraya,
bukit atau gunung kadang kala perlu dikorbankan.
Pencemaran dan kesan sampingannya 
adalah suatu yang harus dikawal.

ii.    Golongan Ingkar Yang Berkeliaran

Mereka mahukan segala-gala urusan dapat dilakukan dengan cepat, mudah serta memberi hasil yang banyak dalam tempoh yang singkat. Boros dalam urusan agama berlaku apabila pembelajaran agama adalah suatu yang memberati umat. Sebagai contoh, jalan untuk kefahaman Al-Qur'an dibebankan dengan prasyarat yang berbagai-bagai antaranya kemahiran terperinci terhadap cara pembacaan ayat, sehingga melupai kepentingan kefahaman ayat-ayat itu sendiri. Gelojoh dalam pentadbiran dunia berlaku sehingga kerosakan dan keporakan kehidupan manusia semakin menjadi-jadi. Sebenarnya apakah yang mereka lakukan? Mereka beredar di permukaan bumi menyebar fitnah ke sana-sini membawa cerita-cerita pembohongan yang mereka namai sebagai berita. Wajarkah pemilikan mereka daripada kenderaan ‘eksklusif’ diberi sanjungan, yang dengannya mereka berbolak balik di permukaan bumi supaya mereka dapat dijadikan piawai sebagai pihak yang benar.

Sekiranya demikian, mereka sebenarnya mengulangi sunnah umat terdahulu (umat nabi Nuh) yang meletakkan syarat bahawa petunjuk Tuhan haruslah diikuti oleh golongan bangsawan atau ahli politik ternama atau orang yang tampaknya berjaya dalam kehidupan dunia ini (26:111), sehingga akibatnya, mereka meletakkan syarat supaya Nabi Nuh A.S. menyingkirkan golongan yang lemah dalam dialog perbincangan mereka. Sekiranya demikian mereka wajar membuat persediaan menghadapi bencana Tuhan secara berdepan-depan sebagaimana yang berlaku kepada umat nabi Nuh atau umat-umat yang lain yang dilemaskan oleh azab Tuhan.




Thursday, January 14, 2016

TIADA PERTOLONGAN UNTUK GOLONGAN BERDOSA


فلم يجدوا من دون الله انصارا

Maka telah tidak mereka dapati daripada selain Allah suatu pertolongan.

maka mereka tidak akan beroleh sebarang Penolong Yang lain dari Allah (yang dapat memberikan
pertolongan).

Apa tidaknya? Penciptaan mereka sebenarnya bukanlah percuma begitu sahaja. Makanan yang mereka makan, udara yang dengannya mereka bernafas, air yang mereka minum, semua diusahakan Tuhan bahkan penciptaan setiap diri mereka. Mereka harus membayarnya dengan beriman kepada Tuhan dengan cara tidak mempersekutukanNya, itu sahaja. Tidak ada tuhan lain yang menciptakan sedemikian. Namun umat akan menjadi gelap daripada petunjuk yang dibawa oleh rasul apabila mereka menyembah selain daripada Tuhan. Mereka meletakkan kasih kepada selain Tuhan melebihi kasih mereka kepada Tuhan, sedangkan orang-orang yang beriman amat kasihnya kepada Tuhan. Tidak akan ada pertolongan apabila azab telah sampai sekalipun daripada rasulNya, aulia-auliaNya melainkan dengan izinNya.

Kita akan dapati mereka yang ada keimanan kepada Tuhan akan segera menyesali serta mengakui kesalahan mereka dan segera bertaubat kepadaNya serta memohon keampunanNya. Ke manakah nak ditujukan pengaduan kepada mereka yang tidak beriman apabila ditimpa fitnah dalam kehidupan? Seringkali kita mendengar peratusan yang tinggi terhadap mereka yang mengalami kekecewaan dalam hidup sehingga mengambil jalan singkat memusnahkan kehidupan mereka sendiri dengan pelbagai cara. Kajian di negara Barat sendiri mendapati satu daripada setiap 30 orang di negara-negara mereka pernah terlintas untuk membunuh diri. Mereka harus menafsir semula kehidupan. Mereka tidak akan dapat menyelesaikannya dengan mengejar status hidup untuk dijadikan ukuran.

Apabila keegoan diri tidak lagi membawa 
makna, mereka sanggup membunuh diri dalam
menyatakan kemuncak keegoan.

Friday, January 8, 2016

SURAH NUH AYAT 25 -- KELEMASAN YANG MEMBINASAKAN


مما خطيئتهم اغرقوا فادخلوا نارا

Daripada apajua yang (menjadi) kesalahan mereka, telah dilemaskan mereka lalu dimasukkan mereka ke neraka.

i.    غرق :  Lemas Atau Tenggelam

Kisah tenggelamnya umat Nabi Nuh adalah disebabkan banjir besar, kesan daripada tsunami daripada letupan volkano di bawah permukaan laut (11:40). Kalau sekadar banjir besar yang biasa, tentunya tidak akan terbentuk ombak yang besar seperti gunung (11:42). Fenomena kejadian seperti itu telah berlaku zaman ini akibat tsunami seperti yang melanda Acheh pada tahun 2004, di Jogjakarta dan kepulauan Polynesia dua tahun selepas itu. Apabila datang bencana seperti itu, air menderu dan ombak tinggi laksana bukit yang menghempas daratan, kebolehan berenang tidak lagi membawa sebarang erti. Yang diselamatkan adalah mereka yang beserta dengan Nabi Nuh A.S. yang memenuhi muatan kapal (26:119) manakala yang tenggelam adalah daripada baki yang tertinggal (26:120). 

Apabila Tuhan menghendaki untuk mendatangkan kebinasaan terhadap suatu kaum, pasti akan didatangkan orang yang memberi peringatan atau ancaman kepada mereka sebelum itu (26:208). Lalu mereka mendustai maka sudah selayaknya mereka menerima bencana. Perkataan غرق bermakna lemas. Bergantung kepada situasi yang menyebabkan lemas, sekiranya disebabkan oleh air seperti Fir'aun, perkataan ini membawa makna tenggelam (2:50). Sekiranya disebabkan oleh tiupan angin sehingga mengosongkan udara daripada paru-paru, maka perkataan lemas (79:01) lebih sesuai digunakan berbanding perkataan tenggelam. 

Azab yang paling menyeksakan adalah disebabkan oleh lemas, sama ada lemas oleh air atau oleh kesan vakum taufan. Kematian akibat kecederaan seringkali mengalirkan darah keluar daripada tubuh sehingga mengakibatkan saraf kehilangan deria dan seterusnya meringankan rasa sakit. Namun lemas tidak menghilangkan darah daripada tubuh. Oleh kerana kandungan oksigen turun sedikit demi sedikit dalam organ dan bukannya secara mendadak, maka kekebasan tubuh dapat dirasakan sedikit demi sedikit dan kesan azab akan dirasakan lebih menyeluruh.

ii.   Peristiwa Penenggelaman Bumi

Kebanyakan daripada sisa runtuhan bangunan-bangunan dan peradaban silam menunjukkan bangunan-bangunan atau peradaban silam telah musnah atau lenyap disebabkan oleh kejadian banjir besar. Kehadiran cengkerang sesiput laut yang terdapat di perbanjaran Himalaya dan juga Perbanjaran Andes menunjukkan kawasan berkenaan pernah ditenggelami air. Hidupan laut yang terdapat di Tasik Titicaca adalah merupakan petanda, hidupan berkenaan pernah berada di laut dan mengalami perkembangan tertentu sehingga dapat berada di tasik air tawar berkenaan. Sekurang-kurangnya air laut pernah naik hingga ke paras sekitar 4000 meter daripada aras laut yang terdapat masakini. Adakah peristiwa ini menyerupai peristiwa tayangan 2012? Penulis tidak dapat menjawab secara pasti. Deruan ombak yang sangat besar boleh terjadi akibat daripada hentaman objek besar seperti komet atau asteroid bahkan boleh disebabkan oleh kejadian gempa yang sangat besar akibat daripada anjakan kutub-kutub bumi. Menurut beberapa catatan, bumi ini pernah beberapa kali mengalami kejadian penenggelaman besar. Kepupusan dinosaur serta beberapa jenis haiwan purba dapat dikesani melalui kajian fosil yang ditinggalkan. Daripada dinosaur muncul beberapa jenis burung.

iii.   Kelemasan Masa Kini

Sekiranya dahulu, penderhakaan umat nabi Nuh telah berakhir dengan peristiwa kelemasan melalui tenggelamnya mereka dalam kejadian banjir besar, peristiwa kelemasan juga berlaku kepada umat masa kini yang menderhakai arahan Tuhan. Mereka mengalami kelemasan sama ada secara mengejut atau sedikit demi sedikit.

Kelemasan atau asfiksia terjadi, apabila tubuh mengalami kekurangan bekalan oksigen ataupun oksigen yang dibekalkan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Demikian itu berlaku kepada mereka yang mengalami kelemasan akibat tenggelam dalam air atau apabila udara dalam paru-paru dikeluarkan oleh tindakan angin puting berliung. Pada zaman ini, apabila umat memilih untuk melaksanakan aktiviti pertanian tanpa panduan Tuhan, akan sampai masa sebatian-sebatian kimia pencemaran yang tertinggal di udarakasa mengalami tindak balas dengan wap air dan atmosfera menjadi sejuk dengan tiba-tiba.

Seterusnya kejadian puting berliung akan terjadi disebabkan oleh kejatuhan tekanan mengejut di atmosfera. Peristiwa seperti ini semakin kerap berlaku sekarang ini disebabkan umat kini semakin menjauhi ajaran Tuhan. Mereka lebih percayakan pihak Barat dalam usaha menyelesaikan masalah perubahan cuaca. Kelemasan dapat juga berlaku apabila oksigen yang dibekalkan, tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh tubuh. Sebagai contoh, pemilihan makanan tertentu yang mengandungi kandungan ammonia yang tinggi seperti ajinomoto, dapat mengakibatkan surfaktan pada dinding alveoli dalam paru-paru menjadi lemah. Situasi ini menimbulkan sakit lelah apabila oksigen yang masuk ke dalam paru-paru, tidak dapat diserap secara segera untuk melepasi dinding alveoli dan seterusnya ke dalam darah. Darah yang kekurangan oksigen dapat mengakibatkan pelbagai penyakit lain seperti kelesuan dan sebagainya.

Kerana tindakan pejabat agama yang menghalalkan benda najis dalam pemakanan seperti kandungan sebatian ammonia dan sebatian azo yang tinggi, yang digunakan sebagai bahan tambah makanan, mengakibatkan rantaian molekular panjang terbentuk dalam salur kapilari darah. Seterusnya sebatian berantaian panjang ini dapat menyumbat salur kapilari sehingga mengurangkan bekalan oksigen untuk sampai ke sasaran sel-sel tertentu dalam tubuh. Amalan pemakanan yang berterusan terhadap makanan seperti itu, akhirnya mengakibatkan umat dilanda pelbagai penyakit daripada penyakit tiga serangkai hinggalah kepada penyakit saraf dan kelumpuhan strok. Semua ini berlaku akibat kecuaian umat ini dalam mengambil berat panduan Tuhan.
Diabetes berlaku apabila pankreas gagal 
mengeluarkan insulin secukupnya akibat 
kerosakan organ berkenaan. Kegagalan itu 
berlaku gara-gara salur kapilari dalam 
pankreas yang tersumbat.

Mereka sebenarnya telah terasuk dengan amalan kesyirikan, menyembah sistem yang menyesatkan, menerima bulat-bulat segala fatwa halal dan haram tanpa penjelasan yang wajar. Bencana kelemasan sama ada mati kelemasan atau kelemasan akibat penyakit yang melanda sedikit demi sedikit, adalah suatu yang pasti.   




Saturday, January 2, 2016

SURAH NUH AYAT 24 -- MENYESATKAN ORANG RAMAI


و قد اضلوا كثيرا و لا تزد
الظلمين الا ضللا

Dan demi sesungguhnya, telah menyesati mereka akan kebanyakan dan janganlah Engkau menambah akan golongan yang kejam itu melainkan kesesatan.

"Dan Sesungguhnya ketua-ketua itu telah menyesatkan kebanyakan (dari umat manusia); dan (dengan Yang demikian) janganlah Engkau (Wahai Tuhanku) menambahi orang-orang Yang zalim itu melainkan kesesatan jua".

i.      Kerja Saling Mempengaruhi

Kerja saling mempengaruhi memang telah menjadi suatu lumrah dalam kehidupan manusia. Demikianlah mereka meletakkan piawai dalam kehidupan mereka, agar mereka dituruti. Sekiranya pada zaman itu, ukuran adalah berdasarkan kedudukan kepimpinan thoghu yang ditaati dan sunnah umat terdahulu seperti inilah yang masih lagi merupakan suatu ikutan oleh umat manusia pada zaman ini. Sehingga kini, budaya kezaliman sama ada dalam bentuk penyembahan berhala atau penyembahan sistem telah menjadi suatu ikutan yang sentiasa membawa akibat yang buruk. Apakah kesudahan mereka dengan kezaliman mereka itu? Kesesatan! 

Mereka menempah kesesatan dalam beragama, dengan mengada-adakan suatu anutan agama yang memporak perandakan masyarakat. Wujudnya kasta bentuk baru yang berbeza yang membezakan lapisan masyarakat, akhirnya dapat mengakibatkan perpaduan manusia tergugat. Apajua bentuk kesyirikan adalah suatu kezaliman. Sekiranya dahulu ketaatan diserahkan kepada pendeta-pendeta, dalam kalangan umat ini pula penjawat-penjawat agama dan tuan-tuan guru telah dijadikan sebagai suatu sembahan manusia. Mereka mentaati secara membabi buta tanpa sebarang alasan yang wajar. Kini pandangan ‘ulama’ telah dijadikan sumber hukum. Fatwa mereka diterima bulat-bulat.

ii.     Kemudharatan Yang Tiada Kesudahan

Apabila wujud permasalahan dalam masyarakat, mereka lebih merelakan diri menerima hukum berdasarkan pendapat ahli agama yang berstatus 'ulama' tanpa berusaha mendapatkan penjelasan melalui kupasan kitab suci. Lalu bagaimanakah nasib yang menimpa umat? Kini telah berlaku penularan penyakit-penyakit sosial lantaran mencontohi budaya Barat, penyakit-penyakit fizikal akibat memakan benda-benda najis yang diperkenalkan oleh masyarakat Barat. Mereka sebenarnya dahagakan petunjuk Tuhan lantaran petunjuk Tuhan adalah lebih tepat namun manakah dia ulama-ulama yang berani menyampaikan ajaran benar? Mereka menjadi takut kepada tindakan pihak berkuasa yang akan bertindak mengadakan fitnah dalam kehidupan mereka? 

Dalam sistem ekonomi, umat menjadi sesat lantaran mengamalkan sistem riba secara intensif. Buktinya, apabila berlaku kegawatan ekonomi, kita dapat mendengar pelbagai kejadian jenayah pembunuhan dan bunuh diri. Kita juga akan mendengar ramai daripada peniaga dan rakyat jatuh bangkrap, disebabkan oleh belenggu hutang dan kestabilan politik juga akan tergugat. Itulah akibat daripada kesesatan ekonomi yang diamalkan. Namun tiada terdapat walau seorangpun ulama yang berani menegah perlakuan ekonomi sedemikian. Akhirnya, apabila kiblat ekonomi mereka iaitu ekonomi negara Barat menuju kepada kehancuran, maka runtuhlah aktiviti perniagaan mereka satu demi satu bermula daripada sistem permainan matawang sehingga kepada pasaran hartanah serta pengangkutan.

Kalangan kepimpinan, ketaatan rakyat mula berbelah bahagi. Adakah dengan kerjasama antara rakyat dan kepimpinan selama ini, sehingga mewujudkan suatu sistem yang menyesakkan hidup rakyat, dapat diubah dengan tiba-tiba apabila berlaku perubahan kepimpinan?

iii.    Sistem Kezaliman Yang Membawa 
        Kesesatan

Mengambil peraturan selain peraturan Tuhan adalah suatu kezaliman, kesyirikan. Menerima sistem kapitalis sehingga menidakkan sistem Islam adalah suatu kezaliman, kesesatan. Mengamalkannya secara berterusan adalah suatu kefasikan. Kembali kepada sistem Islam bukanlah dengan cara menubuhkan Baitul Mal Berhad. Jabatan tidak seharusnya menggantikan majlis dalam urusan kutipan atau pengagihan zakat sehingga terdapat mereka yang berkepentingan dengan jabatan, dengan sewenang-wenangnya menggelapkan wang ke akaun sendiri.

Sekiranya beginilah cara Islam yang diperkenalkan, maka tidak hairan suatu masa nanti umat akan meninggalkan agama ini secara beramai-ramai. Gejala seperti ini telah semakin menyerlah sekarang ini. Rata-rata kalangan kepimpinan mula memberi perhatian terhadap kontrak sosial bagi menutup masalah kejadian murtad yang semakin menjadi-jadi. Sebahagian yang lain masih mengambil kesempatan menuduh pihak-pihak tertentu sehingga membawa perpecahan kalangan umat.

Dalam surah Al-Qalam, telah dijelaskan sejelas-jelasnya golongan yang sesat dalam kalangan umat. Mereka menjadi sesat atas kerja-kerja kezaliman yang mereka lakukan. Antaranya adalah menghindar diri daripada mengeluarkan zakat, menghalang peruntukan zakat daripada sampai kepada pihak-pihak yang layak yang tentunya banyak dilakukan oleh pegawai-pegawai yang dilantik. Mengalih peruntukan zakat atas tujuan yang lain daripada yang diperintahkan sekalipun dengan hujah-hujah syar'ie seperti melabur untuk kilang pembuatan, program pinjaman perniagaan, pembelian bangunan atau apajua untuk tujuan perniagaan bagi menambah peruntukan sedia ada. Wang zakat tidak harus disimpan lama.

iv.    Kesesatan Yang Melanda Umat 
        Masakini

Apabila disebut istilah sesat, umat menyangka apajua ajaran yang dilabel oleh pejabat agama sebagai sesat maka ajaran demikian itu adalah ajaran sesat. Istilah sesat telah dijadikan istilah yang sinonim dengan syirik dan kafir. Apajua yang syirik adalah sesat, apajua yang sesat adalah kafir dan apajua yang kafir adalah syirik dan begitulah sebaliknya. Mereka memerangi ajaran 'sesat' habis-habisan namun mereka hanya berani bertindak terhadap golongan 'sesat' daripada kaum mereka sendiri sahaja. Apabila berlaku kejadian murtad besar-besaran daripada umat sebangsa mereka yang asalnya beragama Islam kepada agama lain seperti Kristian dan Hindu, mereka segera menahan tangan mereka daripada bertindak ke atas pengurusan kuil Hindu atau gereja Kristian dengan alasan, kumpulan agama ini tidak tergolong dalam kumpulan ajaran 'sesat' yang mereka istilahkan.

v.    Kecelaruan Yang Membawa Kepada 
       Riddah

Kejadian riddah atau murtad adalah merupakan suatu contoh kemuncak pengabaian yang lengkap oleh penjawat-penjawat yang berada di institusi agama terhadap umat Islam pada keseluruhannya. Perkara ini telah mula berlaku sejak tarikh kemerdekaan negara iaitu telah melebihi 50 tahun. Pengabaian ini didorong oleh kegagalan mereka menegur pemerintah terhadap polisi pemerintahan yang akhirnya mengakibatkan umat berada dalam keadaan kesempitan hidup. Akhirnya mereka yang diberi amanat, terpaksa menerima percaturan pemerintahan sehingga mereka terpaksa mengejar status dan kekayaan. Peruntukan zakat telah dipesongkan untuk tujuan yang lain atau dipendam dalam akaun-akaun simpanan bagi memperolehi laba riba.

Apabila umat mula mempertikai agama,
seluruh sistem berada di ambang bahaya.

Popular