SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Sunday, December 27, 2015

SURAH NUH AYAT 23 -- BERHALA YANG DIBERI NAMA


و قلوا لا تذرن الهتكم و لا تذرن ودا
و لا سواعا و لا يغوث و يعوق و نسرا

Dan telah berkata mereka, sekali-kali janganlah kamu tinggalkan sembahan-sembahan kamu dan sekali-kali jangan kamu tinggalkan Wadd dan jangan juga Suwa’ dan jangan juga Yaghuth dan Ya’uq serta Nasar.

"Dan (Ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa', dan Yaghuth, dan Ya'uuq, serta Nasr.

i.    Hanya Nama-nama Belaka

Demikian itulah mereka menamai berhala-berhala mereka dengan nama-nama tertentu. Yang mereka sembah adalah tugu yang mereka namai dengan nama-nama tertentu lalu bagaimanakah tugu-tugu itu dapat memperkenankan mereka? Sehingga zaman ini, masih ada kecenderungan manusia menyembah berhala-berhala sedemikian hanyalah mereka mengubahnya menjadi tugu atau monumen. Sebenarnya mereka menyembahnya bukanlah disebabkan kebodohan sedangkan dalam kalangan mereka terdapat mereka yang berpengetahuan sehingga dapat menghurai fenomena langit. Mereka sebenarnya bersikap kejam terhadap diri mereka sendiri dengan mempersekutukan Tuhan yang sebenar (31:13). 

Pada zaman ini kita masih mendapati bangsa-bangsa yang maju seperti bangsa Jepun dan Korea, masih menyembah objek-objek berbentuk patung. Mereka sujud kepadanya sepertimana datuk dan nenek mereka dahulu lakukan. Walhal mereka kini telah mencapai teknologi angkasalepas namun bagaimanakah mereka masih tidak dapat menggunakan akal tentang ketuhanan? Ataukah syariat belum sampai kepada mereka sehingga mereka membekukan fikiran mereka tentang agama? Penyembahan terhadap berhala adalah untuk memudahkan golongan pendeta-pendeta mereka serta sami-sami menguasai jalan pemikiran dan kerohanian mereka supaya mentaati ajaran kepalsuan tanpa asas yang benar. 

Lagipun dengan jalan penyembahan sedemikian mereka dapat menyatakan kecintaan mereka kepada dunia serta kehidupan silam mereka yang sangat mereka hargai. Demikianlah juga sunnah yang telah diterapkan oleh

ii.    Penguasaan Kerohanian Orang Ramai

Fir'aun terhadap penduduk Mesir pada suatu ketika dahulu sehingga apabila kerohanian sesuatu umat telah dikuasai maka mudahlah mereka mendapatkan ketaatan daripada manusia. Tentang sejarah penyembahan mereka, terdapat runtuhan bangunan di Luxor yang menunjukkan patung-patung besar dan topeng-topeng mayat yang memberitahu tentang perjalanan selepas kematian. Atas kepentingan yang demikian pendita-pendita dan sami-sami mereka telah dijadikan sandaran untuk mereka menentang dakwah Tuhan. Bahkan pendeta-pendeta mereka lebih mengetahui tentang kepalsuan ajaran mereka. Penyembahan berhala sebenarnya telah lama dilakukan oleh kaum asli seperti Inca di Peru, Aztec di Mexico, Zoroastar di Iran, agama Musyrikin Arab, Hindu di India dan Indonesia, Katolik di Vatican, Buddha di Tibet serta China dan Indonesia dan Shinto di Jepun.

Ajaran penyembahan berhala, masih diamalkan
oleh masyarakat yang dikatakan maju. Sami-sami
adalah ejen yang digunakan untuk menguasai 
kerohanian orang ramai.

Tujuan penyembahan sedemikian adalah sebagai suatu penghormatan kepada tokoh-tokoh silam yang dijelmakan sebagai patung atau imej bergambar. Penyembahan dilakukan dengan kepercayaan bahawa semangat yang pernah menempati pada tubuh tokoh silam dapat menempati patung-patung atau imej bergambar yang mereka hadapi. Melalui keberkatan tokoh-tokoh itu, mereka mahu doa mereka diperkenankan Tuhan. Pokok ajaran penyembahan seperti ini adalah merujuk kepada sesuatu yang telah silam. Secara tidak langsung, ajaran seperti ini sangat suka dihampiri oleh golongan jin yang bersedia mengajari mereka konsep-konsep silam. Jin-jin yang merupakan syaitan di sebalik dalang penyembahan berhala turut mengajari mereka tentang tokoh-tokoh silam yang dapat menjelma semula pada individu tertentu. Konsep ini dinamai sebagai reinkarnasi.




Monday, December 21, 2015

SURAH NUH AYAT 22 - MEREKA MERENCANA MAKAR YANG BESAR


و مكروا مكرا كبارا

Dan telah merencana mereka suatu rencana yang sangat besar. 

"Dan mereka telah menjalankan tipu daya Dengan merancangkan rancangan Yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku).

Dalam kerja-kerja pengingkaran, manusia-manusia yang ingkar sanggup melaksanakan sesuatu perkara yang besar. Sebagai contoh, perhatikanlah kaum A'ad umat Nabi Hud, yang sanggup membangunkan sebuah bandaraya Iram, yang memiliki tiang-tiang yang tinggi guna mencabar perkhabaran rasul tentang keindahan syurga. 

Perhatikanlah binaan-binaan yang dibina oleh Fir'aun untuk mencabar Nabi Musa A.S., supaya ia dapat melihat Tuhan yang didakwa wujudnya oleh Nabi Musa A.S. Namun bagaimanakah kesudahannya dengan nasib bangunan-bangunan seperti itu sekarang ini? Dibiar kosong tidak berpenghuni melainkan artifak-artifak peninggalan generasi terdahulu. Bandaraya Iram yang sehingga kini tidak ditemui pada peta dunia seperti bandar Colgate dalam iklan televisyen suatu masa dahulu, serta runtuhan-runtuhan lainnya (53:53) hanya memiliki nilai arkeologi dan pelancongan. 

Adapun umat Nabi Nuh, mereka merencana sesuatu untuk membantahnya lalu Tuhan menangkap mereka (40:05) maka kesudahannya mereka menerima hukuman keras.

i.      Perancangan Makar Besar Sejak 
        Zaman Berzaman.

Golongan ingkar telah memilih untuk mengingkari perkhabaran yang dibawa oleh rasul-rasul sejak dari dahulu lagi sehingga kepada perkhabaran yang dibawa oleh Muhammad RasululLah S.A.W. Mereka sebenarnya amat meragui tentang perkara yang dikhabarkan hingga kepada keraguan yang merisaukan diri mereka sendiri. Namun, demi untuk menyatakan rasa kebesaran diri mereka, sebenarnya mereka mencari pengaruh antara mereka sebahagian atas sebahagian yang lain. Sebahagian mereka memperguna sebahagian yang lain melalui perjuangan mengejar sesuatu yang mereka namai sebagai pembinaan tamadun. Perkara sedemikian sebenarnya telah berlaku sejak zaman perutusan Nabi Nuh A.S. lagi. Keingkaran sesuatu kaum selalunya diukur atas status pencapaian tamadun yang ditempuh oleh suatu kaum itu. 

Mengapakah bangsa yang merasakan diri mereka maju, amat sukar menerima risalah kerasulan oleh seorang rasul yang datang dalam kalangan mereka dari negeri mereka sendiri? Penulis melihat bahawa mereka ini mengukur kebenaran berdasarkan status hidup yang sedang mereka lalui. Pada zaman Nabi Nuh A.S., umat baginda telah mencapai pengetahuan sehingga mereka mengetahui bahawa langit terdiri daripada beberapa lapisan. Siapakah sebenarnya yang mengajari mereka tentang fenomena sedemikian?

Mereka memilih menyembah patung-patung yang diberi wajah kepadanya. Siapakah yang mengajari mereka untuk melakukan perkara sedemikian? Selepas kehancuran golongan ingkar daripada umat Nabi Nuh, muncul pula kaum A'ad, Tsamud dan kerajaan Fira'un yang memiliki teknologi memotong batu dengan cara potongan yang hanya dapat dilakukan dengan bantuan peralatan canggih. 

Bagaimana mungkin mereka memiliki
mesin seperti mesin 'bore hole' masakini?

Mereka mencipta sembahan yang diperbuat daripada batu yang diberi bentuk. Kiranya kita mengkaji peninggalan-peninggalan mereka, kita akan dapati, terdapat gambaran objek-objek yang menunjukkan mereka itu dibantu oleh pihak tertentu yang membawa teknologi tertentu. Seolah-olah pihak itu adalah dewa yang mereka beri penghormatan. Bukti-bukti prasejarah seperti peta silam yang direka semula oleh Piri Reis, memberi gambaran telah terdapat teknologi silam yang memiliki peralatan penyukat masa yang jitu, sehingga terbentuknya garisan-garisan seperti garisan longitud dan latitud pada peta berkenaan. Bagaimanakah tamadun terdahulu dapat mengetahui terdapat satu benua di kawasan kutub selatan? Siapakah yang mula-mula melukis peta yang menunjukkan terdapat jaluran yang kelihatan seperti sungai-sungai di benua berkenaan? Seolah-olah benua berkenaan pernah mengalami zaman tanpa ais iaitu pernah berlaku suatu zaman, bumi ini mengalami pemanasan global sejagat, yang akhirnya diikuti zaman ais. Bagaimanapun perkara sedemikian masih menjadi perdebatan tak kesudahan sehingga kini.


Peta yang ditunjukkan oleh Piri Reis
dikatakan memaparkan peta bumi sebelum zaman ais.

ii.   Penyembahan Berhala Merupakan 
      Suatu Sempena

Kajian-kajian terhadap peradaban silam menunjukkan bahawa umat terdahulu yang mengikuti ajaran penyembahan berhala, memperolehi ajaran sedemikian secara warisan sama ada melalui nenek moyang mereka ataupun mereka mewarisinya daripada pihak tertentu yang mereka namai sebagai dewa. Penemuan berhala yang berpakaian seperti angkasawan membayangkan asal penyembahan berhala seperti ini adalah merupakan pengiktirafan kepada sesuatu yang bersifat samawi. Selepas daripada peristiwa banjir besar seperti yang berlaku pada zaman Nabi Nuh A.S. semua peradaban silam telah berakhir dan yang tinggal hanyalah sedikit bekas peninggalan mereka. Kemudian ajaran penyembahan berhala telah muncul semula dan monumen bersejarah terkemudian yang dibina, masih kekal dapat diperhatikan sehingga kini seperti piramid peninggalan kerajaan Fir'aun, piramid Maya dan bekas-bekas peninggalan kaum Inca di Peru, Amerika Latin. Bagaimanakah saki baki kesan pengajaran silam yang membawa aktiviti penyembahan berhala telah muncul semula selepas era pasca Nabi Nuh A.S.? Siapakah yang mempeloporinya?
Piramid Maya - Memaparkan kecanggihan kiraan 
astronomi. Siapa sebenarnya yang
mengajar mereka?


Tuesday, December 15, 2015

SURAH NUH AYAT 21 -- MEREKA MENURUTI SUATU YANG MERUGIKAN


قال نوح رب انهم عصونى و اتبعوا
من لم يزده ماله و ولده الا خسارا

Telah berkata Nuh, “Tuhanku, sesungguhnya mereka, telah menderhakai mereka akan daku dan telah menuruti mereka, pihak yang telah tidak ia menambah akannya, oleh harta-hartanya dan oleh anak-anaknya, melainkan suatu kerugian”.

Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah menurut orang Yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak).

i.    Mereka Tak Bersedia 
      Dengan Pemberian Tuhan

Dalam ayat 71:12—20, Tuhan telah memberi janji kepada umat Nabi Nuh melalui lidah Nabi Nuh A.S. bahawa Tuhan akan memperbilang kepada mereka sejumlah harta dan anak-anak serta taman-taman yang diairi dengan air sungai, asalkan mereka beriman kepada Tuhan dan mengharapkan kemuliaan daripada Tuhan. Mengakui hakikat bahawa diri-diri mereka Tuhan yang cipta dan alam yang mereka diami ini Tuhan jualah yang sediakan. 

Namun apakah tindakbalas mereka dalam menghadapi Nabi Nuh A.S? Mereka melakukan penderhakaan daripada mentaati perintah Tuhan, dengan mengingkari ajaran-ajaranNya yang disampaikan melalui Nabi Nuh A.S. Akhirnya mereka dapati bahawa harta yang mereka kumpulkan tidak membawa apa-apa erti. Hakikat kehidupan yang seperti ini menjadi buruan umat manusia sejak dahulu.

ii.  Harta yang Merugikan

Harta yang merupakan amanah Tuhan, tidak dapat dimanfaatkan dengan sewajarnya. Apakah sebenarnya harta yang mereka kumpulkan? Umumnya harta yang dikenal pasti adalah rumah-rumah kediaman dengan kelengkapannya, kenderaan, pakaian-pakaian dan makanan. Manusia bermegah dengan semua itu. Pada zaman ini, kerugian berlaku apabila mereka memperbanyak bilangan rumah, yang akhirnya rumah-rumah itu tidak didiami atau tidak dapat diuruskan. Berapa banyakkah bangunan terbiar tidak dimanfaatkan atau tidak sepenuhnya dimanfaatkan? Lalu bagaimanakah dapat mereka berbangga dengan pembangunan-pembangunan seperti itu? 

Manusia kini dapat menyaksikan, bagaimana tapak-tapak bangunan silam terbiar tidak dapat dimanfaatkan waktu ini. Piramid yang merupakan kemegahan Fir'aun, hanya tinggal sejarah untuk tujuan pengkajian arkeologi serta pelancongan, namun tidak dapat dimanfaatkan untuk tujuan kediaman. Begitu juga bangunan kolosium tinggalan Rom serta A. Farmosa sebagai tinggalan sejarah di Melaka. Hanya memiliki nilai pelancongan untuk keturunan bangsa yang dijajah tanpa, dapat dimanfaat oleh penjajah.


Secanggih manapun suatu piramid dibina,
akhirnya ia menjadi bangunan yang tidak 
digunakan melainkan sekadar hiasan.

Tidak seperti masjid-masjid yang dibina oleh RasululLah S.A.W. dan sahabat-sahabat baginda yang terdapat di serata dunia, sehingga kini, kebanyakannya masih menjadi rumah ibadah yang sentiasa dikunjungi. Begitu juga bangunan yang menjadi peninggalan umat seperti masjid-masjid di Acheh, sekalipun bangunan sekelilingnya musnah akibat tsunami namun masjid itu masih teguh malah masih menerima kunjungan umat untuk melakukan ibadah sehingga kini. 

iii.   Pemilikan Yang Hanya 
       Sulapan Mata

Pemilikan harta kadangkala merupakan suatu sulapan kepada orang ramai, yang menjadikan perolehan dunia untuk mempengaruhi orang lain. Lihatlah sekeliling kita, bagaimana usaha-usaha pemilikan oleh sebahagian pengejar-pengejar kepentingan dunia, memperuntukkan sejumlah wang edaran dalam negara untuk memiliki harta-harta daripada jenama luar negara. Tujuan sebenar mereka hanyalah kerana kemegahan. Walhal tindakan seumpama itu, langsung tidak membantu kepada kekukuhan wang negara sehingga mengakibatkan defisit dalam negara yang melampau. 

Apakah ertinya nilai wang yang semakin mengecil secara berterusan, akibat tindakan rakus sebahagian warga negara? Pertumbuhan ekonomi dalaman yang semakin mengecut serta kesusutan keupayaan kuasa beli rakyat, tentunya lambat laun, akan meningkatkan kadar jenayah serta bilangan miskin tegar. Mengapa umat masih memilih untuk berada dalam sistem ekonomi kapitalis yang mempraktikkan sistem interes @ riba, diperkenalkan oleh golongan yang ingkar? Dengan konsep pemilikan tak terbatas yang diperkenalkan melalui sistem kapitalis, telah mengakibatkan sebahagian usahawan-usahawan sekeliling kita, hidup dalam kemelaratan. Akibatnya, secara umumnya, kehidupan rakyat turut terjejas apabila sebilangan wang yang dibelanjakan awal tahun, tidak dapat membeli barangan yang sama pada kuantiti yang sama pada hujung tahun. Bukan disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi yang menjanjikan bilangan wang yang semakin banyak, yang dapat beredar dalam pasaran, tetapi disebabkan oleh defisit dan inflasi tidak terkawal. Walaupun sistem barangan terkawal telah diperkenalkan oleh pihak berkuasa, namun atas sebab sistem kapitalis yang diamalkan - peratus keuntungan atas nilai simpanan atau pelaburan, hampir-hampir tiada ertinya. 

Apabila sampai suatu masa, gelembung ekonomi pecah, maka pada masa itu, pemerintah terpaksa menyuntik dana yang banyak terhadap syarikat serta rakyat, sehingga mengakibatkan perbelanjaan negara untuk tujuan-tujuan strategik akan terjejas.

Sekiranya tidakpun, kita akan dapat menyaksikan, banyak daripada syarikat dan equiti milik tempatan, berpindah tangan kepada pihak asing sehingga mengakibatkan maruah negara dan rakyat tergadai, sebagaimana yang berlaku ke atas kepentingan perbankan dan pasaran perumahan negara asing. Apakah ertinya semua ini, sekiranya umat yang harus menjadi warganegara yang berdaya saing sesama mereka, terpaksa memperhamba diri sendiri kepada kepentingan asing. Ya, mereka tentunya akan kelihatan kaya tetapi apalah ertinya perkara yang sedemikian, yang lambat laun menyediakan jalan kepada kemiskinan negara dan rakyat kemudian hari. 

Agama memerintah penganutnya supaya bekerja. Tentulah tujuannya adalah supaya penganutnya berharta lantaran dengan harta dapat membantu seseorang untuk menyempurnakan ibadah yang perlu dilakukan. Apalah ertinya harta yang banyak, tetapi equiti yang semakin menyusut atau menjadi negatif. Harta-harta yang diperolehi dengan jalan hutang yang melibatkan riba, akhirnya akan menyebabkan modal menyusut dan paling menyedihkan, akhirnya mengakibatkan 'kehilangan' harta berkenaan. Siberhutang pula, bukan sahaja menjadi muflis, malah masih berkeadaan terhutang yang teruk. Oleh itu, apakah ertinya nikmat kemerdekaan yang diperjuangkan sejak dahulu, sekiranya sistem ekonomi penjajah masih diamalkan, yang tentunya bertujuan menindas rakyat secara tidak disedari?

iv.   Menambah Kerugian Kepada 
       Harta Dan Anak-anak


Ayat ini memberitahu bahawa Nabi Nuh A.S. mengadu kepada Tuhan, bahawa umatnya telah terdorong untuk mematuhi perintah pihak tertentu yang sebenarnya membawa akibat kepada mereka - sehingga mereka mengalami kerugian harta dan anak-anak. Sebenarnya, perkara yang berlaku kepada masyarakat pada zaman Nabi Nuh A.S. ketika itu, juga berlaku kepada masyarakat masakini, sehingga kehidupan masakini telah menjuruskan seseorang kepada kerugian yang serupa. Tentang harta, umat masakini telah memenuhi agenda kehidupan mereka, sehingga siang dan malam mereka, hanyalah merupakan agenda mendapatkan harta. Mereka lupa untuk memberi asuhan yang sewajarnya, sehingga anak-anak tidak dapat diberi ilmu yang bermanfaat kepada diri sendiri dan masyarakat untuk kemudian hari nantinya. 

Sekiranya pada masa ini, kehidupan umat dibelenggu dengan sistem hidup kapitalis berasaskan ekonomi riba dan pajakan, maka keadaan yang serupa juga berlaku suatu masa dahulu, sehingga umat lebih terpedaya untuk mengejar ke'maju'an dunia berbanding menghayati hakikat kehidupan yang sebenar. 

Apakah nilai yang ada pada wang sekiranya nilai wang itu disusut nilai setiap tahun? Sekiranya 1 gram emas dapat digunakan untuk membeli sebuah basikal yang berkualiti pada suatu masa sekitar 50 tahun dahulu, kini, 1 gram emas masih boleh digunakan untuk membeli basikal yang serupa. Contohnya, dari sudut nilaian wang, harga basikal telah berubah daripada sekitar RM20.00 kepada RM200.00 dan kita terpaksa menanggung inflasi yang tinggi setiap kali menyimpan atau menggunakan wang sebagai alat peredaran. Pihak yang membawa kerugian atas peredaran wang kertas yang digunakan oleh umat adalah pihak bank, yang didorong penggunaannya oleh pengawal lindung nilai iaitu bank pusat bagi sesebuah negara. Ini bermakna, tiada perubahan kuantiti emas yang dicagarkan oleh bank pusat dan yang meningkat hanyalah nilai digit wang yang digunakan. Dengan lain perkataan, nilai wang sentiasa mengecil sepanjang tahun dan penyimpan-penyimpan wang di bank adalah pihak yang sentiasa mengalami kerugian. Pemilikan maya akhirkan melenyapkan harta mereka. Penulis akan membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut kemudian nanti.

iv.  Rutin Pendidikan Anak-anak 
      Yang Memudharatkan

Sebelum datangnya penjajahan, umat ini telah berada pada suatu tahap pendidikan sehingga sekitar 500 tahun dahulu, secara ringkasnya, planet paling jauh yang bergelang yang dapat dikenal pasti, telah dinamai sebagai Zuhal. Bayangkan! Itu 500 tahun dahulu sebelum penjajah sendiri dapat mencipta teleskop yang dapat meneropong angkasa. Lalu datanglah penjajah, sehingga umat ini sendiri tidak mengakui bahawa mereka telah menemui Zuhal terlebih dahulu sebelum penjajah menemui Saturn. Lalu mereka kemudian mengakui penjajah adalah segala-galanya walhal penjajah bukanlah pelopor ilmu hanya mereka memperkembangkannya.

Siapakah yang menemui Zuhal 
sebelum 'Saturn' ditemui?

Selepas zaman penjajahan, umat ini mewarisi sistem pendidikan daripada penjajah yang memisahkan antara ilmu pengetahuan dan agama sehingga untuk menerima pengiktirafan pelopor ilmuwan (Ph.D), mereka perlu mendapatkan daripada pihak penjajah. Lalu dengan bangganya para sarjana ‘ilmu-ilmu asal Islam’ yang diperkembangkan oleh penjajah, lebih diiktiraf sebagai kepakaran penjajah dalam menerokai bidang ilmu pengetahuan tertentu. Sistem pendidikan ala-penjajah yang telah dipraktikkan kini, mengakibatkan pelajar-pelajar tidak lagi mengetahui daripada siapakah sifir logaritma, trigonometri, kaedah algebra dan algoritma telah diperkenalkan? Namun itu merupakan sumbangan umat Islam terdahulu yang tidak harus dimegahkan lagi, tetapi giliran umat ini, sekarang ini, perlu memperbaharui semula asas-asas ilmu yang baru supaya perkembangan ilmu dalam kalangan umat tidak membeku.

Sistem pendidikan sekarang ini mengutamakan keutamaan minda pelajar terdidik dengan ilmu acuan penjajah dan melupai praktis kepada penemuan ilmu-ilmu baru. Mereka yang menjadi pelajar tidak mampu untuk mempraktiskan ilmu mereka dalam pekerjaan secara sendirian, sekalipun untuk tujuan mendapatkan rezeki menyara diri sendiri. Jadilah mereka pemakan-pemakan gaji untuk suatu tempoh masa yang panjang, sehingga mereka benar-benar mempelajari sesuatu dalam pengamalan pekerjaan mereka secara sendirian. Cukup untuk penulis perkatakan, sekiranya pemilik gedung-gedung perindustrian menarik balik pelaburan mereka dari negara ini, akan mengakibatkan ratusan ribu pekerja lepasan sekolah atau universiti menganggur kehilangan pekerjaan mereka dan mereka tidak akan ada hala tuju selepas itu. 

Apakah yang dikehendaki oleh penjajah melalui sistem pendidikan yang diperkenalkan? Mereka hanya mahukan pengiktirafan umat ini, bahawa mereka jualah segala-galanya. Jadilah umat ini hanya mengamalkan agama pada ibadat ta'abudi seperti mendirikan solat, mengeluarkan zakat, puasa, haji sehingga menggelapkan mata dan minda mereka, bahawa kitab ini adalah kitab awal dan akhir dalam mempersembahkan segala-gala ilmu yang telah dan belum mereka pelajari. 

Sistem pendidikan penjajah dengan sendirinya menunjukkan keburukannya apabila anak-anak dipisahkan daripada ibubapa mereka pada awal usia, untuk mendiami asrama-asrama yang disediakan. Mereka dibebani dengan maklumat-maklumat ilmu yang kebanyakannya tidak bermanfaat untuk diri mereka sendiri serta umat secara keseluruhannya. Kemudian, kita dapati ahli-ahli profesional hasil didikan penjajah, merompak harta negara dan orang ramai melalui kepakarannya jauh lebih banyak berbanding perompak-perompak yang menggunakan senjata api. Masalah sosial sering berlaku tanpa adanya didikan dan kasih sayang daripada ibubapa sejak awal-awal lagi.

v.   Benih Kepada Permasalahan Sosial

Sistem keingkaran berasaskan ekonomi riba dan pajakan telah mengakibatkan ibubapa terpaksa bekerja untuk mendapatkan suatu kehidupan. Mereka bekerja demi membayar hutang riba terhadap pemilikan harta mereka. Hingga ke suatu peringkat, mereka terpaksa melalaikan tanggungjawab mengambil berat terhadap penjagaan anak-anak mereka. Masa mereka bersama anak-anak menjadi sangat terhad sehinggalah anak-anak menjadi dewasa. Sejak dari kecil lagi, anak-anak telah diperkenalkan dengan makanan susu segera sehingga mereka memperolehi kurang manfaat daripada susu ibu. Akibatnya, rasa diambil berat oleh ahli keluarga turut terjejas, apabila mereka semakin meningkat dewasa. Dengan program-program hiburan yang sentiasa dihidangkan setiap hari, mereka akhirnya lebih menyenangi untuk bergaul dengan rakan-rakan berbanding dengan ahli keluarga sendiri. Leretan yang sudah terlalu lama sejak daripada zaman merdeka lagi, mengakibatkan kini terhasil remaja-remaja liar yang sering melibatkan diri dalam permasalahan sosial. Mereka membentuk kumpulan yang suka merempit, menyamun serta terlibat dengan gejala sosial seperti perzinaan dan penagihan dadah. Golongan pertengahan dalam kalangan mereka pula suka memilih untuk menghantar orang-orang tua mereka ke rumah orang-orang tua. Manakala golongan profesional memilih untuk mengupah pembantu rumah bagi mengambil berat ahli keluarga yang ditinggalkan di rumah, yang terdiri daripada ibubapa atau anak-anak.

video
Kita akan menghadapi hari tua nanti. Tentunya
kita tidak suka ditinggalkan lama.



Wednesday, December 9, 2015

SURAH NUH AYAT 20 -- MENYUSURI JALAN-JALAN YANG MELANGKAUI


لتسلكوا منها سبلا فجاجا

Supaya kamu menyusuri daripadanya jalan-jalan yang melangkaui.

“Supaya kamu melalui jalan-jalan Yang Luas padanya".

i.   Hamparan Yang Memudahkan 
     Pembinaan Laluan

Ke mana sahaja kita pergi terutamanya di kawasan-kawasan penempatan maka kita akan dapat melihat pelbagai bentuk jalan yang dapat dibina manusia. Daripada laluan kenderaan bermotor meliputi jalanraya dan lebuhraya, kepada laluan pejalan kaki, semuanya menyusuri laluan yang luas. Jalan-jalan yang melangkaui meliputi jejambat, jejantas serta landasan-landasan. Bayangkan sekiranya Tuhan jadikan permukaan bumi ini umpama ceragah-ceragah tajam, kawah-kawah curam yang dapat dilihat dari angkasa memenuhi setiap penjuru sepertimana permukaan planet-planet lain, tentunya usaha-usaha pembinaan projek-projek sedemikian menjadi sukar dilaksanakan.

Berbanding permukaan planet-planet lain,
mendiami planet bumi rasa-rasanya 
adalah yang terbaik.

ii.   Hamparan Yang Mengoptimumkan 
      Kos Pembinaan
,
Berapa banyakkah terowong harus disediakan dan berapa banyakkah jambatan harus dibina dan berapa banyak pula kos diperlukan untuk menampung semua itu? Keadaan hamparan sedia ada yang telah Tuhan adakan dalam tempoh yang sangat lama, tidak seharusnya manusia mengusahakan suatu sehingga membawa kemusnahan kepada struktur bumi (73:14). Kita harus mensyukuri nikmat ini untuk manusia menempuh perjalanan yang jauh namun kita juga tidak seharusnya menyediakan halangan atau sekatan terhadap laluan perjalanan yang lantaran tujuan sedemikianlah yang telah disediakan oleh Tuhan supaya manusia mengambil manfaat mukabumi yang luas ini. 

Perkataan سلك daripada kata dasar tempuh harus diterjemah menurut kontak ayat atau perkataan selanjutnya. Terjemahan yang dipilih adalah menempuh, menyusuri dan menghadapi untuk perkataan seperti perjalanan, jalan-jalan dan masalah setiapnya.

iii.   Jalan-Jalan Yang Melangkaui

Kemudahan menempuh perjalanan di atas permukaan bumi, telah dipermudah Tuhan untuk manusia dan hidupan lain melaluinya. 

Dengan demikian manusia dapat mempergunakannya agar mereka dapat menziarahi tempat-tempat bersejarah tertentu, yang dengan demikian manusia dapat mempelajari peradaban silam. Mereka perlu mempelajari tentang pembentukan peradaban tertentu sehingga kepada kemusnahan peradaban mereka (67:15). Umat ini harus mengambil pelajaran agar mereka tidak mengulangi corak pekerjaan umat-umat silam supaya mereka tidak akan menempuh nasib yang sama. Selain daripada itu, mereka tidak harus mewujudkan suatu sistem yang menghalang pergerakan mudah atas jalan-jalan tersedia ada sehingga manusia melaluinya dengan kesukaran. Membina halangan jalanraya atau lebuhraya bererti menyediakan kesukaran kepada pengguna.




Thursday, December 3, 2015

SURAH NUH AYAT 19 -- BUMI YANG MEMBENTUK HAMPARAN


و الله جعل لكم الارض بساطا

Dan Allah telah mengadakan Ia bagi kamu akan bumi itu suatu hamparan.

"Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan,

i.    Bumi Yang Terhampar

Tujuannya adalah supaya manusia dapat menempuh permukaan bumi yang luas. Sekiranya Tuhan ciptakan permukaan bumi ini seperti permukaan bulan yang terdiri daripada bukit-bukit curam dan kawah-kawah, tentulah manusia akan melaluinya dengan kesukaran. Penghamparan bumi telah terjadi melalui proses luluhawa yang mengambil masa yang sangat lama (88:20). Hujan yang sering berlaku akhirnya dapat memindahkan tanah-tanah menjadi hamparan yang rata. Begitu juga dengan perkisaran angin yang dapat memindahkan debu-debu serta pepasir (67:16). Di kawasan padang pasir, manusia dan haiwan-haiwan masih boleh melaluinya dengan mudah.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana semua projek lebuhraya dapat dilaksanakan sekiranya terpaksa dibina merentasi kawasan-kawasan tanah tinggi dengan pelbagai jurang yang ada yang tentunya kos pembinaan akan menjadi berganda-ganda. 

Perkataan بساطا  juga dapat diterjemahkan sebagai bentangan, iaitu merupakan suatu kata kerja terbitan daripada perbuatan melebarkan. Bumi ini telah diketahui secara umum terbina daripada kepingan-kepingan plat yang bergerak. Plat-plat ini terbentuk daripada tindakan limpahan lahar yang tertolak ke atas daripada bawah kerak bumi sejak jutaan tahun dahulu. Benua-benua yang wujud akhirnya terpisah menjauhi satu sama lain dari sebuah dataran besar yang dikenali sebagai Pangea. Pertembungan antara sebahagian benua-benua ini telah mengakibatkan terbentuknya perbanjaran yang sangat tinggi seperti perbanjaran Himalaya.


Hamparan bumi yang bergerak

ii.   Hikmah Bumi Dengan Hamparannya

Supaya manusia tidak melakukan kerja-kerja yang meletihkan, sehingga terpaksa membina binaan pencakar langit dan kediaman yang tinggi-tinggi. 

Pada masa ini, terlalu banyak bangunan tinggi telah dibina yang kebanyakan ruangan-ruangan bangunan ditinggalkan tidak digunakan. Semua ini bermula dengan polisi pemerintahan yang mencontohi sistem kapitalis dan berasaskan sistem ekonomi riba. Pembangunan bukan sahaja dibangunkan untuk tujuan keperluan bahkan telah melebihi kemegahan sehingga memberi kesan kemusnahan yang sungguh ketara. Manusia pada hakikatnya telah tidak mensyukuri anugerah Tuhan darihal permukaan bumi yang Tuhan sediakan sebagai hamparan. Mereka menebuk gunung-gunung dan menurap lembah-lembah bagi menyediakan laluan untuk tujuan perjalanan jauh yang lebih cepat dan bukannya bertujuan pertumbuhan ekonomi setempat yang rancak (34:19).





Popular