SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Tuesday, August 30, 2016

KERUGIAN KEPADA SEBAHAGIAN UMAT INI


ﻭﻣﻦﻳﻜﻔﺮﺑﻪﻓﺄﻭﻟﺌﻚﻫﻢﺍﻟﺨﺴﺮﻭﻥ

Dan barangsiapa yang ia mengingkari dengannya, maka mereka itu, mereka itulah golongan yang rugi.

dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

i.   Keingkaran Yang Menjadi Sejarah


Berapa banyakkah pejuang-pejuang agama yang gagal? Fahaman mengagungkan hukum hudud, sepertimana yang telah dibawa oleh Muawiyah bin Abu Sufyan R.A., pelopor Bani Umayyah dan juga Sabahat Amru bin Al-Ash R.A., akhirnya menghasilkan pejuang-pejuang tegar yang diwarisi sehingga kini - yang kerja mereka tak lain dan tak bukan hanya sebagai pengancam kepada pemerintah sepanjang zaman. Begitu juga nasib yang menimpa keturunan mereka di Palestin, yang tanah air mereka telah dijajah oleh Israel, semuanya terjadi atas sikap penentangan mereka sejak dahulu lagi ke atas pemimpin umat yang adil. Pejuang-pejuang Kurdish yang sejak awal-awal lagi memerangi pemerintah umat Islam atas sebab mengutamakan kepentingan dunia dan sanggup memerangi khalifah terdahulu yang kononnya atas alasan hudud - kini tidak lagi memiliki negara dan mereka sanggup melakukan serangan dengan cara membunuh diri semata-mata untuk mendapatkan kembali ‘tanah pertanian’ mereka.


Serangan bunuh diri di Turki seringkali didalangi
oleh puak Kurdish - perjuangan demi untuk
mendapatkan kembali 'tanah pertanian' mereka.  


Apakah matlamat perjuangan mereka sebenarnya? Kerana dunia, kerana memenuhi hawa nafsu merebut tanah dan pemerintahan atau kerana tersalah fahaman mereka terhadap perintah Tuhan dalam Al-Qur’an. 

ii.   Kerugian Yang Terjadi Di Negara Umat Islam 

Akibat besar merebut jawatan kekhalifahan, umat ini kini tidak lagi memiliki khalifah. Usaha membentuk semula pemerintahan kekhalifahan pada masa ini telah dianggap sebagai mengamal ajaran sesat atau mempelopori aktiviti keganasan. Sejak bermula usaha merebut kekhalifahan yang dilakukan oleh golongan pemberontak dalam kalangan sahabat-sahabat RasululLah S.A.W., sehinggalah runtuhnya kekhalifahan umat ini pada tahun 1923, risalah Islam telah gagal untuk disampaikan ke seluruh dunia. Akibat yang terjadi adalah  penindasan demi penindasan, permusuhan sesama umat Islam dan terkini adalah pembunuhan beramai-ramai umat Islam sehingga mencapai jumlah jutaan, langsung tidak ada pihak yang dapat membela mereka. Sejak dahulu lagi perjuangan umat Islam untuk tujuan mewujudkan kekhalifahan adalah merupakan perjuangan yang gagal. Tidak perlu lagi diperjuangkan kerana urusan kekhalifahan adalah urusan Tuhan.




Wednesday, August 24, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 121 -- BACALAH AL-QUR'AN MENURUT CARA YANG BENAR


ﺍﻟﺬﻳﻦﺀﺍﺗﻴﻨﻬﻡﺍﻟﻜﭡﺐﻳﺘﻠﻮﻧﻪ
ﺣﻖﺗﻼﻭﺗﻪﺍﻭﻟﺌﻚﻳﺆﻣﻨﻮﻥﺑﻪ

Orang-orang yang telah beri Kami akan mereka Al-Kitab, mereka membaca akannya sebenar-benar bacaannya, mereka itu, mereka beriman dengannya…

Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya;  

Orang-orang yang mengambil ayat-ayat Allah sebagai petunjuk dan tidak menuruti hawa nafsu golongan berkepentingan, termasuk yang berusaha menuruti cara Yahudi dan Nasrani, mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan mereka membaca kitab Allah dengan sebenar-benar bacaan.

i.   Membaca Dengan Cara Tak Benar
     Membawa Akibat Yang Tak Benar

Pada hari ini kita melihat sikap sesetengah golongan Ahli Kitab sama ada mereka itu Yahudi, Nasrani ataupun umat Islam, amat gemar merujuk perkara-perkara agama berdasarkan satu-satu ayat dan kemudiannya melompat kepada ayat-ayat lain. Sedangkan ayat-ayat yang dibaca tidak dapat diperhatikan kaitannya dengan ayat sebelumnya mahupun ayat-ayat sesudahnya, yang sedia tertulis dalam kitab mereka. Beginilah mereka memotong urusan Tuhan dan mereka yang melakukan perkara sedemikian terdiri daripada yang telah diiktiraf sebagai ilmuwan agama. Mereka berada dalam institusi pemerintahan dan mereka telah dilatih khas untuk melakukan pekerjaan memotong urusan Tuhan demi suatu kepentingan. 

Begitu juga terhadap kepimpinan firqah, bahkan sehingga terdapat kepimpinan firqah tertentu yang memetik ayat-ayat tertentu dari Al-Qur’an untuk menghalalkan darah sesama ahlul Kaa’bah yang lain, semata-mata atas alasan, terdapat amalan ibadat pada golongan lainnya itu yang dianggap sebagai bid’ah. Dalam menghadapi golongan yang mereka dakwa sebagai sesat pada pandangan mereka, mereka tidak menghadapinya dengan cara hukuman Al-Qur’an tetapi dengan cara hukuman bunuh serta cara peperangan.  

Inilah akibatnya apabila satu-satu perintah hanya difahami
dengan merujuk satu-satu ayat tertentu semata-mata. Mereka 
ini menghasilkan kefahaman Al-Qur’an yang amat korup. 
Kiranya mereka memahami Al-Qur'an cara sebegini, 
tiada bezanya antara kefahaman mereka dengan Isis


ii.  Anda Ulama? Belum Tentu Ulama.

Ulama-ulama silam seperti Imam Abu Hassan As-Sya’ari, Al-Mathuridhi, Imam Al-Ghazali dan Al-Junaidi amat bertegas dalam soal perpaduan ummah. Mereka tidak akan semudahnya menggunakan autoriti penge-tahuannya untuk menuduh sesat kepada pihak lain sekalipun mereka bertentangan pendapat serta berbeza kefahaman pada sudut aqidah. Bahkan Imam Al-Ghazali sendiri sanggup menyertai golongan sufi dan beruzlah untuk mendapatkan kefahaman tentang jalan yang dilalui oleh ahli-ahli kerohanian. Kita harus akui dalam mempelajari serta memahami ayat-ayat Al-Qur’an, akan terdapat kefahaman yang berlainan sekalipun merujuk kepada ayat yang sama dan keterbukaan untuk menerima pandangan lain sebenarnya adalah sikap sebenar ahli-ahli ilmu.

iii.  Perpecahan Umat Islam Yang Harus Difahami

Perpecahan umat Islam mula berlaku pada zaman Khalifah Uthman R.A. Asas perpecahan terjadi apabila terdapat sebahagian umat Islam telah mementingkan hawa nafsu supaya mereka dapat kekal menguasai sebahagian wilayah Iraq untuk menguasai kawasan pertanian yang subur. Mereka itu adalah kaum Kurdish yang mendokong kepimpinan gabenor yang datang daripada ahli keluarga khalifah sendiri. Setelah Khalifah Uthman R.A. memerintahkan bahawa tanah yang mereka usahakan itu telah tamat tempoh pajakannya dan harus diserahkan kembali kepada kerajaan, serta merta mereka memujuk gabenor untuk menentang Khalifah Uthman R.A. dan mereka sendiri mendahulukan tangan mereka membunuh Khalifah Uthman R.A. Pada masa itu belum terjadi perpecahan umat pada sudut politik ataupun akidah. Apabila Khalifah Ali R.A. menjawat jawatan khalifah, serta merta Muawiyah bin Abu Sufyan R.A. dan Amru Al-Ash R.A. menuduh Khalifah Ali R.A. sebelum itu telah berpakat dengan puak Kurdish sehingga berlaku pembunuhan Syaidina Uthman R.A. Maka bermulalah perpecahan sahabat-sahabat RasululLah pada sudut politik disebabkan oleh hasutan dua pihak terbesar pada masa itu iaitu golongan Khawarij dan golongan Ar-Rafidhah. Fahaman Khawarij telah dihapuskan dan perjuangan mereka menegakkan hukum hudud, tidak pernah mendapat tempat di hati umat. Selepas itu umat Islam telah berpecah pada empat bahagian terbesar. Mereka yang memihak kepada Muawiyah bin Abu Sufyan R.A. telah menggelar diri mereka daripada golongan As-Sunnah dan mereka yang memihak kepada Syaidina Ali, telah menggelar diri mereka daripada golongan Syi’ah. Golongan Alawiyin pula mendakwa bahawa mereka adalah keturunan RasululLah S.A.W. serta lebih layak memegang jawatan kekhalifahan dan mereka yang menolak semua fahaman itu telah membentuk fahaman beragama tersendiri sama ada mereka menuruti fahaman kerohanian atau tareqah. Fahaman Sunnah dan Alawiyin berpecah pada sudut politik yang akhirnya membawa kepada perbezaan aqidah sementara mereka yang menolak kekhalifahan Bani Umayyah dan menerima keimaman Ahlul Bait, sebahagiannya telah berpecah awal-awal lagi pada sudut aqidah mereka. Setelah kewafatan Khalifah Ali R.A., tidak seorangpun khalifah Islam yang memerintah selepas itu dapat menguasai keseluruhan wilayah Islam yang telah tersebar luas, apatah lagi untuk menguasai dunia ini. Perpecahan kerana menuruti hawa nafsu yang kemudiannya menjurus kepada kepentingan politik dan selepas itu menjurus kepada pembentukan akidah yang berbeza, adalah punca kepada kepelbagaian kefahaman dan amalan dalam agama. Kita tidak harus sewenang-wenangnya menyalahkan kepada punca sebab yang membawa perpecahan umat. Yang penting sekali adalah memahami keadaan kita sekarang ini pada situasi ini.

iv.  Jalan Penyelesaian Masalah Perpecahan Umat

Hanya satu jalan sahaja untuk umat ini kembali kepada penyatuan iaitu kembali kepada Allah dan RasulNya. Namun dalam hal ini, semua pihak yang berpecah belah itu mendakwa bahawa mereka adalah pihak yang sentiasa memihak kepada Allah dan RasulNya. Suatu pendakwaan yang mudah. Kiranya mereka semua mendakwa demikian, iaitu sebagai pihak yang benar serta beramal terhadap perkara yang diperintahkan, mengapakah mereka sampai ke suatu tahap yang mereka boleh berada dalam keadaan tiada lagi kekhalifahan yang kononnya sebelum ini mereka pertahankan?

Apakah jalan yang satu itu?
Ramai yang mendakwa, hanya mereka sahaja 
yang menempuhinya.



Thursday, August 18, 2016

BENTUK BANTAHAN YANG BOLEH DILAKUKAN


ﻭﻟﺌﻦﺍﺗﺒﻌﺖﺃﻫﻮﺍﺀﻫﻢﺑﻌﺪﺍﻟﺬﻯﺟﺎﺀﻙ
ﻣﻦﺍﻟﻌﻠﻡﻣﺎﻟﻚﻣﻦﺍﻟﻠﻪﻣﻦﻭﻟﻰﻭﻻﻧﺼﻴﺮ


Dan benar-benar kiranya telah menuruti engkau akan kehendak-kehendak mereka sesudah telah datang ia akan engkau daripada pengetahuan, tiadalah bagi engkau daripada Allah daripada pembela dan tidak (juga) pertolongan.

Dan demi sesungguhnya jika engkau menuruti kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.

Setelah mempelajari sifat ayat-ayat Tuhan, yang dikenalpasti berdasarkan kaedah penyalinan suatu ayat dari ayat sebelumnya, maka kita harus memaklumi bahawa kehadiran satu-satu ayat itu adalah saling berkaitan antara ayat sebelum dan ayat sesudahnya. Perkara seperti ini harus dipelajari dan diaplikasi untuk dikenalpasti pada keseluruhan ayat-ayat Al-Qur’an. Beginilah salah satu kaedah kefahaman terhadap satu-satu ayat Al-Qur’an dan kerja memotong ayat atau merujuk kepada sebahagian sahaja ayat Al-Qur’an, haruslah cuba dielakkan. Kerja memotong ayat-ayat Tuhan untuk tujuan menegakkan kepentingan perguruan, seringkali dilakukan oleh golongan perosak agama. Secara umumnya, sekiranya pembaca teliti semula pengajaran keseluruhan ayat pada bahagian ini, pembaca akan dapati antara perkara yang menjadi suruhan dan larangan Tuhan supaya kita tidak menuruti hawa nafsu golongan ahli kitab sebelum ini, dapat disenaraikan seperti berikut:-

i.   Mendapatkan Kaedah Pemerintahan
     Baraqah Bagi Sesebuah Negara

Sifat Tuhan yang dinyatakan bahawa Ia memiliki pemerintahan di langit dan di bumi dan dengan itu manusia tidak akan dapati sebarangan pertolongan dan perlindungan selain pertolongan dan perlindunganNya. Oleh yang demikian bantuan Tuhan diperlukan dalam usaha membentuk pemerintahan. Secara panjang lebar penulis telah terangkan keburukan dan kebaikan pemerintahan yang mengamalkan sistem demokratik kapitalis dan komunis sosialis dan umat Islam tidak harus mencontohi ideologi sedemikian dalam bernegara. Kegagalan kepimpinan negara mengambil panduan daripada kitab Tuhan sekarang ini, telah mengakibatkan sistem hidup yang rakyat tempuhi semakin membawa mereka menuju kepada kerosakan total. Bukan bertujuan untuk menentang pemerintah tetapi menyedarkan pemerintah untuk berusaha mengubah polisi pemerintahan yang sedang mereka laksanakan.


ii.   Mengelak Perkara Magis Dalam Mengurus
      Pentadbiran Suatu Pemerintahan

Bergantung kepada perkara magis, bukanlah sesuatu yang harus dijadikan amalan dalam pentadbiran sesebuah negara. Sesebuah negara itu tidak harus dibangunkan melalui perkara-perkara magis. Pembangunan negara melalui sistem ekonomi kapitalis berdasarkan riba dan pajakan adalah merupakan suatu persembahan magis yang besar yang dapat memperdaya orang ramai. Oleh kerana ianya adalah suatu yang bersifat memperdaya, akhirnya mudharat besar berlaku bukan sahaja kepada mereka yang terpedaya, bahkan kepada sebahagian besar ahli masyarakat lainnya. Sistem yang mereka kehendaki untuk dilaksanakan oleh umat Islam adalah hasil daripada saranan ahli kitab sebelum ini agar umat ini akan sama-sama tersesat seperti mereka itu. Dan ternyata kini apabila negara-negara Barat mulai merasa penderitaannya, negara-negara umat Islam juga merasai kesan tempias yang besar.

iii.       Memahami Bagaimana Permasalahan
 Arab Kerana Menuruti Sunnah 
 Ahli Kitab Terdahulu

Satu persatu jalan kehidupan ahli kitab dicontohi oleh bangsa Arab. Pada permulaannya mereka berperang sesama sendiri atas perbezaan mazhab. Permusuhan menjadi bertambah rancak apabila atas perbezaan mazhab, akhirnya mereka dapat membentuk wilayah mereka sendiri. Keingkaran umat berlaku bukanlah disebabkan oleh mereka tidak mengetahui kebenaran tetapi disebabkan mereka tidak dapat menerima kebenaran yang mereka rasakan tidak memihak kepada mereka. Kemudian mereka saling tuduh menuduh persis sepertimana perkataan penganut Yahudi terhadap penganut Nasrani dan begitulah sebaliknya.

iv.   Perkara Yang Diperintah Tuhan Untuk
       Umat Masakini Dalam Menghadapi
       Perpecahan Umat.

Melakukan kebaikan kepada mereka dan memberi bantuan sewajarnya tanpa melibatkan diri dalam pertelingkahan sesama mereka. Bantuan juga adalah tanpa mengambil kira mazhab atau kefahaman mereka dan kita harus menjadi pihak yang berkecuali daripada sebarang perselisihan politik atau mazhab yang telah terjadi. Sebenarnya berlaku peperangan sesama umat Islam sekarang ini adalah juga disebabkan perancangan konspirasi pihak Barat yang sedang berusaha untuk memporak perandakan umat ini demi melaksanakan agenda strategik mereka. Setelah kajian mendalam dibuat, terdapat agenda besar yang cuba di bawa ke dalam umat ini iaitu untuk memaksa mereka menerima kehadiran ‘anak tuhan’ dalam pemerintahan di dunia ini. Semua ini berlaku akibat kesesatan yang terjadi kepada sebahagian umat Kristian yang sanggup mengambil syaitan sebagai sembahan, setelah mereka berjaya menguasai Baitul Muqaddis suatu ketika dahulu.

Kiranya kita aktif membantu sesama umat Islam,
kita tidak perlu risau kerana senjata pengganas
tidak akan dihalakan kepada kita.

v.        Membantah Agenda Penguasaan Ekonomi 
  dan Aktiviti Manusia Melalui Wang Maya

Sekiranya kita biarkan sahaja agenda mereka menurut rancangan mereka, pasti suatu masa nanti mereka akan menguasai segala aktiviti manusia melalui apa yang dikatakan sebagai penggunaan satu matawang dunia yang tidak kelihatan. Kini mereka sedang sibuk memperkenalkan penggunaan wang maya yang dapat dipindahkan melalui talian internet. 

Tujuan bantahan terhadap penggunaan wang maya, bukanlah kerana kita tidak dapat menerima kemudahan yang bakal dinikmati tetapi bagi mengelakkan salah guna kuasa yang amat mudah dilaksanakan oleh mereka yang berpengaruh dalam tampuk pemerintahan. Bayangkan apakah yang anda dapat lakukan kiranya hasil pekerjaan anda terbiarkan begitu sahaja? Semua ini dapat berlaku atas alasan kononnya produk yang anda hasilkan tidak menepati piawaian yang mereka tetapkan. Adakah mereka itu Tuhan yang menentukan perkara yang harus anda lakukan, makanan yang harus anda makan dan bukan makanan lainnya, minuman yang harus anda minum dan bukan minuman lainnya. Inilah kemuncak perhambaan kapitalis dan anda akan dipaksa menjadi tentera mereka untuk bertindak terhadap sesiapa sahaja yang menentang polisi sedemikian. Polisi pemerintahan sedemikian sebenarnya membuka ruang kepada pemerintahan Dajjal LaknatulLah. Penulis akan terangkan lebih lanjut tentang perkara ini pada penerangan selanjutnya dalam Surah Al-Jin.

Kapitalis sedang mempermainkan anda, anda sendiri 
merelakan diri untuk menyertai permainan  mereka. 
Akibat terikat dengan bebanan hutang, anda  tidak akan 
dapat melihat risiko di hadapan yang sedang menanti.  


Friday, August 12, 2016

PETUNJUK TUHAN ADALAH PETUNJUK KHUSUS


 ﻗﻞﺍﻥﻫﺪﻯﺍﻟﻠﻪﻫﻭﺍﻟﻬﺪﻯ

Katakan olehmu, sesungguhnya petunjuk Allah ialah petunjuk (yang sebenarnya)

Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) adalah petunjuk yang benar”.

i.   Petunjuk Tuhan Mengatasi Agenda Kebejatan

Dalam surah Al-Qalam, penulis telah jelaskan bahawa kesesatan yang berlaku adalah apabila penjawat-penjawat agama gagal memberi nasihat benar kepada kepimpinan untuk mematuhi arahan Tuhan. Penjawat-penjawat agama pula bertindak demikian demi menjaga periuk nasinya, supaya amalan kepimpinan sekalipun bertentangan dengan petunjuk Tuhan, adalah sesuatu yang dibenarkan oleh syarak. Lalu keseluruhan ahli masyarakat yang berada di bawah kepimpinan mereka mengalami hidup penuh kecelaruan disebabkan desakan hidup yang mereka alami. Sebenarnya perancangan untuk menguasai kerohanian umat seperti ini adalah suatu agenda yang telah lama dirancang supaya sesebuah negara itu akan ditadbir menurut agenda Masonik. 

Sistem yang wujud kini adalah suatu perancangan
sejak zaman silam lagi
  
Sama ada sedar atau tidak sedar, mereka telah menjurus masyarakat mereka kepada sebuah kehidupan penuh kesyirikan apabila peraturan Lord Reid lebih diterima berbanding syari’at Tuhan. Pihak penjajah British sebenarnya tidak merasa sebarang kerugianpun apabila mereka terpaksa memberi kemerdekaan kepada negara ini namun mereka telahpun mencapai klimak kenikmatan yang penuh, apabila berjaya memujuk kepimpinan negara ini untuk mengekalkan undang-undang sekular British dan membuang jauh syari’at Tuhan. Agama hanya dianggap sebagai adat untuk aktiviti-aktiviti seperti perayaan dan ritual penyembahan. Keberadaan penjawat-penjawat agama yang memangku jawatan sebenarnya sengaja diwujudkan sebagai mewarisi agenda pengkastaan kepaderian sepertimana yang terdapat dalam agama Kristian. Semua ini adalah langkah awal yang akan menjurus kepada penguasaan politik mutlak sebagaimana digambarkan dalam piramid penguasaan. Jalan ke arah itu sebenarnya sedang terbentang luas dan agenda ini dijalankan secara halus agar tidak disedari umat.


ii.  Bentuk Penentangan Yang Harus Dilakukan

Kita tidak bertujuan menentang pemerintahan, hanya kita mempertikaikan bentuk polisi yang diperkenalkan. Sistem pemerintahan melalui demokratik kapitalis yang dibentuk adalah terhasil daripada air mata dan darah kerana penentangan mereka terhadap sistem ala-Fasis dan Nazi yang ditegakkan melalui penindasan. Begitu juga sistem Komunis Sosialis bangkit akibat penindasan kerajaan beraja yang menindas golongan pekerja. Namun, kedua-dua sistem Demokratik Kapitalis dan Komunis Sosialis mengandungi kebaikan dan kelemahan mereka tersendiri. Bukannya mudah untuk menyedarkan umat tentang bahaya ideologi sedemikian dan bukan tugas kita untuk melenyapkan sistem sedemikian melalui jalan paksaan. Menuruti dan meninggalkan aktiviti dalam sistem hidup sedemikian memerlukan panduan dan panduan yang sedia wujud di tangan umat ini adalah melalui kitab Tuhan. Bukan semua perkara yang menyeronokkan itu baik dan bukan juga semua perkara yang memedihkan hati itu buruk. Tuhan telah beri kita akal untuk kita buat pertimbangan. 





Popular