SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Monday, July 30, 2012

SURAH AL MULK AYAT 18 -- PENGINGKARAN KAUM TERDAHULU SEHINGGA MEREKA MENDERITA KESEMPITAN DALAM HIDUP


ولقد كذب الذين من قبلهم فكيف كان نكير

Dan demi sesungguhnya telah mendustai ia, orang-orang yang dari sebelum mereka, lalu bagaimanakah telah adalah ia, kekurangan? 

dan Demi sesungguhnya! orang-orang (kafir) Yang terdahulu daripada mereka telah mendustakan (rasul-rasulnya lalu mereka dibinasakan); Dengan Yang demikian, (perhatikanlah) Bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu. 

i.   Bencana Kepada Umat Terdahulu

Sekiranya perkhabaran yang sedemikian iaitu ayat-ayat ini, telah diingkari oleh sebahagian umat manusia pada masa ini, sesungguhnya umat-umat terdahulu telah mengingkarinya. Cukuplah bekas-bekas peninggalan mereka menjadi peninggalan yang harus dikenang sebagai saksi kesan keingkaran mereka. Kejadian mayat-mayat beku akibat daripada debu piroplastik iaitu debu yang dibawa angin akibat daripada letusan gunung Visuvius di Italy, memberi gambaran yang cukup menggerunkan. Adakah manusia pada zaman ini tidak memperolehi pelajaran? Dalam penerangan daripada surah-surah selepas ini, terdapat banyak ayat yang menyentuh darihal kaum-kaum yang ingkar dahulukala serta pengamalan mereka yang akhirnya membawa bencana kepada diri mereka sendiri.

ii.   Bencana Yang Membinasa Tanaman 
       Dan Sebagainya

Bencana yang menimpa mereka telah mengakibatkan mereka menderita kekurangan harta benda, makanan dan kemudahan yang selama ini mereka nikmati dalam kehidupan. Dalam surah Al-Haqqah dan Al-Maarij terdapat pembelajaran khusus peristiwa yang akan berlaku dalam sedikit masa lagi. Pembaca hendaklah menyusuri bacaan daripada surah-surah ini secara teliti untuk mendapatkan gambaran peristiwa yang bakal terjadi nantinya, kesan daripada amalan-amalan buruk yang dilakukan oleh manusia. Kesan-kesan keingkaran memberi jawapan yang buruk pada akhir kehidupan mereka.




Friday, July 27, 2012

SURAH AL MULK AYAT 17 -- DEBU ATAU ASAP YANG MENGANCAM MANUSIA



ءامنتم من فى السماء ان يرسل عليكم
حاصبا فستعلمون كيف نذير

Adakah telah aman kamu, subjek (yang ada) pada langit itu, bahawa ia mengutus atas kamu, butiran-butiran kecil maka nanti kamu (akan) mengetahui bagaimana (kesan) ancaman? 

atau Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Allah Yang pusat pemerintahanNya di langit itu,  menghantarkan kepada kamu angin ribut Yang menghujani kamu Dengan batu, maka Dengan itu, kamu akan mengetahui kelak Bagaimana buruknya kesan amaranKu 

i.   Debu Daripada Bahagian Bumi Yang Lain 

Butiran-butiran kecil boleh jadi debu (dukhan) atau jerebu atau ribut pepasir atau butiran halus meteorit yang jatuh ke bumi. Perkataan ﻳﺮﺳﻞ tidak bererti ‘ia menjatuhkan’ atau ‘ia menimpakan’ tetapi lebih kepada ia mengutus. Apabila ‘man’ di langit menjadi pengutus kepada butiran-butiran kecil kepada manusia, yang demikian itu, sesuatu di langit itu menjadi media penghantaran. Butiran-butiran kecil tidak semestinya diutuskan kepada hidupan di bumi ini datangnya dari langit, bahkan boleh juga dari satu kawasan bumi ke kawasan yang lain tetapi melalui ‘man’ di langit selaku medium penghantaran. ‘Man’ boleh jadi malaikat atau komet yang jatuh atau lapisan langit itu sendiri.

ii.   Debu Akibat Perubahan Cuaca

Akibat daripada tindakan rakus manusia tidak memelihara alam sekitarnya sehingga mengakibatkan bumi mengalami perubahan cuaca. Sebahagian permukaan bumi menjadi bersangatan kering dan sebahagian yang lain menjadi bersangatan lembab. Dengan tiupan angin yang kuat, debu-debu halus yang terdiri daripada butiran kecil pepasir dapat diapungkan dari kawasan yang sangat kering hingga ke altitud yang tinggi menghampiri lapisan stratosfera dan bergerak ke sebahagian besar permukaan bumi. Debu-debu ini menjadi punca kepada pengumpulan wap-wap air sehingga mengakibatkan pembentukan awan yang sangat tebal pada bahagian atas permukaan bumi yang lembab. Kelembapan mengakibatkan kesan hujan bersangatan semasa El-Nino terutamanya di bahagian pantai barat sepanjang pantai Amerika Latin. Keadaan kemarau di Asia Tenggara, diburukkan lagi dengan pembakaran terbuka menghasilkan suasana berjerebu dalam tempoh yang panjang.

Fenomena angin panas bersama debu kemerahan juga dapat terjadi di kawasan-kawasan gurun sehingga mengakibatkan penyakit yang memeritkan tekak. Pencemaran udara yang boleh diakibatkan daripada debu-debu halus, jerebu atau asap pekat, sebenarnya dapat mendatangkan azab kepada manusia. Pencemaran seperti ini menyebabkan manusia menjadi mengantuk, barangkali supaya manusia dapat mengurangkan aktiviti mereka di luar rumah. Keadaan yang bersangatan dapat mengakibatkan penyakit pneumonia atau sesak nafas. Namun debu-debu pada kadar tertentu yang stabil berada di bumi ini sebenarnya membantu pembenihan awan sehingga terjadinya hujan. Debu-debu ini larut dalam air hujan dan jatuh ke laut, menyediakan media nutrien yang sesuai untuk pemakanan plankton. Hidupan laut dapat hidup dan bertindak sebagai suatu sumber pemakanan manusia.




Tuesday, July 24, 2012

SURAH AL MULK AYAT 16 -- KEUPAYAAN LANGIT MENGKAMBUS BUMI KE ATAS MANUSIA


ءامنتم من فى السماء ان يخسف بكم
الارض فاذ هى تمور

Adakah telah (merasa) aman kamu, subjek (yang ada) pada langit itu, bahawa ia menutup dengan kamu akan bumi itu lalu tiba-tiba ia melitupi.

Adakah kamu merasa aman, terhadap siapa yang ada di langit, bahawa kamu akan ditenggelamkannya ke dalam bumi, ketika ia bergoncang dengan kerasnya.

Cuba sekali lagi bandingkan dengan terjemahan yang biasa ditemui iaitu "Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan Yang pusat pemerintahanNya di langit itu menunggang balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu Dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?"

i.     Perbezaan Terjemahan Biasa 
       Dan Terjemahan Harfiah

Terjemahan biasa memberi kefahaman bahawa terdapat suatu subjek, yang berada di langit yang besar kekuatannya, dapat melakukan kegoncangan besar terhadap bumi sehingga mengakibatkan manusia ditenggelamkan. Kejadian seperti ini adalah seperti kejadian gempa bumi yang disebabkan oleh sesuatu yang jatuh dari angkasalepas, membawa gegaran yang besar. Walaupun terjemahan seperti ini tampak munasabah dan penulis tidaklah berkelayakan menafikannya, namun penulis lebih suka mengambil suatu bentuk kefahaman ayat yang menjurus kepada hubungkait himpunan ayat.

Perkataan ﺨﺴﻒ bermakna tutup dan ﺗﻤﻮﺭ pula adalah kata kerja muannas bagi bumi yang melakukan kerja melitupi. Iaitu bumi itu bergerak dengan cara menimbusi sesiapa yang berada pada laluannya. Pergerakan bumi sedemikian dapat ditujukan pada pergerakan lava gunung berapi atau tanah longsor yang runtuh dari bahagian bumi yang lebih tinggi. Penyebab kepada kejadian ini adalah sesuatu atau subjek yang terdapat pada langit dan subjek itu pula adalah sesuatu yang dapat dipastikan sebagai yang berada pada lapisan udarakasa yang terdapat di luar permukaan bumi. Kefahaman seperti ini, penulis dapat nyatakan sebagai sesuatu yang berkaitan dengan sistem pentadbiran manusia sepertimana yang disebutkan dalam ayat awal sebelum ini.

ii.    Mengkaji Fir'aun Dikambus Air 
       Akibat Tekanan Udarakasa

Iaitu apabila manusia, melalui sistem pentadbiran, mereka tidak berminat untuk mengkaji kesan-kesan peristiwa silam darihal kemusnahan umat-umat terdahulu, maka bagaimanakah mereka dapat memahami apa yang sebenarnya yang berlaku masakini? Sebagai contoh, dengan mengkaji hasil kerja yang dilaksanakankan di bawah pemerintahan Fir'aun suatu masa dahulu, kita akan dapati mereka melaksanakan cara pemerintahan pecah belah dan perintah. Akibatnya, hubungan sesama masyarakat menjadi kacau bilau sehingga membangkit permusuhan antara puak. Kaedah pertanian yang mereka jalankan adalah dengan cara menggunakan terlalu banyak baja ammonia, yang dibekalkan oleh pembesar Ammon. Akibatnya, perubahan cuaca dapat berlaku dan langit terkesan sehingga membawa bencana sama ada mengakibatkan taufan, kilat-kilat besar serta air laut yang menenggelamkan. Bencana alam yang membinasakan seperti yang dinyatakan berdasarkan kefahaman ayat sedemikian telah berlaku masakini.

iii.    Peristiwa Taufan Morakot, Selut-
        selut Gunung Menenggelami 
        Bangunan

Kejadian Taufan Morakot di Taiwan beberapa tahun sudah, telah mengakibatkan aliran selut dan lumpur dari tanah-tanah tinggi, mengalir melitupi kawasan-kawasan kediaman sehingga mengakibatkan banyak kematian. Kejadian yang suatu masa dahulu amat jarang sekali terjadi, tiba-tiba pada sekitar waktu ini, menjadi peristiwa yang sering kali berlaku. Seolah-olah ayat ini telah mula menunjukkan takwilnya sekitar waktu ini.

Selain itu, keruntuhan sebahagian gunung yang turut berlaku kini telahpun menampakkan kekalutan yang sering menjadi-jadi. Contoh kejadian yang berlaku adalah seperti pemecahan batu-batu gunung yang mengandungi perafros, kesan daripada kenaikan suhu bumi sehingga mengakibatkan terjadinya keruntuhan tanah-tanah tinggi. Kejadian ini juga memberi pandangan fatamorgana sebagaimana disebutkan dalam penerangan surah Al-Muzammil.

Akan sampai suatu zaman, taufan-taufan besar dapat menyerap air yang terdapat di bawah gunung  sehingga gunung menjadi kering kerananya dan ikatan tanah pada permukaan gunung menjadi lemah dan debu-debu gunung berhamburan. Ayat berikut ini memberi gambaran, akan datang peristiwa yang mengakibatkan pencemaran udara menjadi menjadi begitu serius. Semua ini adalah disebabkan salah tadbir manusia yang memegang amanah darihal mengambil berat tentang pemuliharaan alam sekitar mereka.




Sunday, July 22, 2012

SURAH AL MULK AYAT 15 -- ASAS PERATURAN TUHAN



هو الذى جعل لكم الارض ذلولا فامشوا
فى مناكبها وكلوا من رزقه واليه النشور


Dia yang telah mengadakan Ia bagi kamu akan bumi itu, suatu rentetan (peristiwa), maka mengembaralah olehmu pada tempat-tempat peristiwanya dan makanlah olehmu daripada rezekiNya dan kepadaNya kebangkitan.  

Dialah Yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki Yang dikurniakan Allah dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).

i.    Peristiwa Dan Rentetannya

Perkataan ﺫﻟﻮﻻ diterjemahkan sebagai suatu rentetan, tetapi dalam terjemahan yang lain dinyatakan sebagai suatu yang mudah. Perkataan asalnya dalam bahasa Arab merujuk kepada jelaan kain (trail). Perkataan ﻣﻨﺎﻛﺒ daripada kata asal ﻧﻜﺐ iaitu telah menimpa susah ia, oleh itu ﻣﻨﺎﻛﺒﻬﺎ adalah lebih sesuai diterjemahkan sebagai tempat atau masa berlaku suatu peristiwa, iaitu tempat-tempat bersejarah. Peristiwa Nakba adalah peristiwa penyingkiran rakyat Palestin dari tanah air mereka. Dalam terjemahan lain dinyatakan sebagai segenap penjuru.

ii.   Perintah Mengembara Untuk Mengkaji 
      Peristiwa Dan  Rentetannya


Perkataan ﺫﻟﻮﻻ dipasangkan dengan ﻣﻨﺎﻛﺒ adalah sesuai untuk diterjemahkan sebagai rentetan iaitu suatu kesinambungan peristiwa bersejarah diikuti tempat-tempat bersejarah. Cuba bandingkan dengan terjemahan yang biasa ditemui iaitu “Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagimu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezekiNya dan hanya kepadaNya kamu dibangkitkan”. Penulis hanya sekadar memberi komentar bahawa terjemahan yang biasa sedemikian akan menjurus perintah kepada manusia, melalui kemudahan yang Tuhan sediakan pada mukabumi ini, supaya mereka banyak melancong!

Setiap langkah adalah sejarah, bumi mengalami rentetan pergerakan geologi sehingga yang terkini adalah pemandangan yang dapat dilihat oleh manusia sekarang ini. Manusia mencatat rentetan sejarah dan terdapat tempat-tempat bersejarah yang dapat disaksikan agar perkara yang demikian dapat dipelajari. Kemudian mereka akan mengetahui apakah peristiwa-peristiwa besar yang menjadi sejarah terhadap peradaban dunia masakini? Mengapakah peradaban sering kali berubah? Sebagai contoh, dunia kepulauan Melayu sebelum ini dihubungkan dengan tulisan Sanskrit pada masa pemerintahan Sri Vijaya, kemudian beralih kepada penulisan Anacaraka pada masa pemerintahan Majapahit sebaik sahaja Sri Vijaya dikalahkan. Kerajaan Melayu berpindah ke Melaka dan mula mengambil tulisan Jawi daripada pengaruh Arab dan terkini adalah tulisan Roman dengan pernomboran Arab yang dibawa oleh penjajah Barat. Tulisan Sanskrit dan Anacaraka telah luput ditelan zaman, yang tinggal hanyalah catatan sejarah yang dapat dipelajari. Demikianlah Tuhan perintahkan agar umat ini mempelajari rentetan sejarah dari tempat-tempat bersejarah agar mereka memahami masa silam, perkara-perkara yang berlaku sehinggalah masakini tentang latar belakang cara kehidupan yang ditempuhi umat. Bukan sekadar membawa pelancong-pelancong luar masuk untuk membawa dan memperkenalkan budaya mereka kepada masyarakat tempatan yang tidak dapat dinilai secara ekonomi.

iii.   Melakukan Simulasi Peristiwa Silam

Daripada penjelajahan sedemikian seseorang dapat mempelajari peradaban silam dan membandingkannya dengan peradaban masakini, kehebatan-kehebatan keagungan silam serta kesalahan-kesalahan mereka sehingga mengakibatkan keruntuhan peradaban mereka. Sebagai contoh, suatu perkara penting yang dapat dipelajari ialah bagaimana peradaban Islam telah melalui zaman kegemilangan kesan daripada kebersihan iman mereka kepada Tuhan membawa kepada usaha bersungguh-sungguh memainkan peranan sebagai khalifah Tuhan di mukabumi ini. Kemudian mereka mengambil pendirian mempersekutukan Tuhan, sehingga mereka bertelingkah tentang agama mereka dan juga perkara-perkara keduniaan, bekerja bersungguh-sungguh mengumpul harta benda dan memenuhi kehendak hawa nafsu. Akhirnya mereka ditimpa kelemahan sehingga terjerat dengan perangkap musuh yang sentiasa mencari-cari peluang menjatuhkan pemerintahan mereka. Hendaknya mereka terus mempersekutu Tuhan sekiranya mereka menghendaki jadi umat yang terhina lagi terlaknat.







Friday, July 20, 2012

PENGAJARAN HIMPUNAN AWAL SURAH AL MULK


Wahyu Tuhan Memperbetul Sistem Pentadbiran di Bumi Ini

Surah ini membincangkan perkara-perkara berkaitan pemerintahan (67:01). Sejak dari awal masehi, pemerintahan dunia adalah lebih dipengaruhi oleh unsur keagamaan daripada agama semitik iaitu Yahudi dan Kristian sehingga kepada agama yang tunduk kepada pelbagai objek seperti Arab Jahiliyah, Hindu, Katolik, Budha (ajaran Budhi suci) dan Shinto serta agama adat seperti Tao, Confusius dan sebagainya. Yang demikian adalah kecenderungan manusia untuk memilih agama bagi memenuhi naluri kerohaniannya. Belum ada sesuatu yang digelar falsafah yang ditunjangi atas dokongan ilmu sains. Oleh itu pentadbiran ke atas manusia telah terpecah kepada berbagai-bagai bentuk menurut nilai-nilai setempat yang berbeza. Perbezaan ini membawa perselisihan kepada umat manusia sehingga mencetuskan suasana peperangan antara negara, perbalahan antara kelompok dan kabilah, krisis antara keluarga dan akhirnya pertelingkahan antara individu. 

Lantaran usaha memenuhi naluri kerohanian inilah mengakibatkan, kepimpinan mereka secara umumnya telah membawa akibat sehingga umat manusia di bawah pimpinan mereka, tidak dapat mempelajari serta mengambil pelajaran daripada peristiwa-peristiwa silam (67:15). Mereka meneruskan polisi hidup yang akhirnya membawa kebinasaan kepada kediaman mereka serta diri-diri mereka sendiri. Atas sebab itulah peringatan Tuhan (67:8/9) melalui rasul-rasul telah disampaikan kepada mereka agar mereka dapat mengubah polisi pemerintahan mereka kepada suatu yang lebih baik. 

Agama Islam datang membawa peringatan dan ancaman (67:08) kepada umat manusia pada zaman pertengahan yang lalu, mempertahankan nilai-nilai tertentu dalam agama semitik dan telah menyingkirkan aktiviti tunduk kepada banyak objek kepada satu objek. Agama Islam juga datang dengan nilai ‘falsafah’ tersendiri (sekalipun bukan merupakan agama falsafah) serta memperkenalkan konsep menyembah satu subjek dan antara yang agak bernilai, agama ini telah melahirkan ramai saintis serta ilmuwan. Nilai-nilai kebebasan individu mula diperkenalkan. Amalan umat manusia selepas itu dapat berada dalam kawalan tertentu melalui polisi pemerintahan yang mengambil berat tentang kehidupan manusia dan juga alam sekitar mereka.

Apabila sampai ke zaman Renaissance, berlaku krisis kepercayaan umat manusia terhadap peranan gereja sehingga kepada konsep ketuhanan. Konsep ketuhanan mula dipertikaikan di Eropah bermula zaman Revolusi Perindustrian dan telah hilang peranannya dalam pentadbiran. Pentadbiran Barat akhirnya terpecah kepada dua bentuk iaitu kapitalis dan sosialis yang ditentukan oleh faktor ekonomi dan peranan pekerja. Manusia diperkenalkan dengan konsep 'ketuhanan' yang baru iaitu nilai falsafah dan penemuan saintifik. Ideologi demokrasi dan komunis telah dipaksakan ke atas umat manusia di seluruh dunia melalui penjajahan dan perebutan wilayah. Kini, hampir sebahagian besar umat manusia telah dipaksa memilih salah satu agama baru dalam pentadbiran negara mereka iaitu sama ada bertunjangkan ideologi demokrasi atau ideologi komunis. Berkat persefahaman dua ideologi ini yang cuba mengelak perselisihan antara mereka, dunia ini telah aman selama lebih 50 tahun. Apabila ideologi komunis mula mengalami keruntuhan, ideologi demokrasi telah dipaksakan ke atas negara-negara kecil yang pada asalnya menganut ideologi komunis seperti Iraq dan Korea Utara melalui sekatan-sekatan tertentu dan juga kerajaan beraja yang terasing daripada dua ideologi berkenaan seperti Afghanistan.

Akibatnya, berlakulah peperangan yang dahsyat serta kejam yang menyaksikan kematian berjuta-juta umat manusia selepas Perang Dunia Kedua. Ideologi demokrasi yang menjanjikan penguasaan ekonomi kapitalis tanpa batasan dan kebebasan manusia mula menampakkan kejelekan dalam kehidupan sosial manusia dan juga keadaan keseimbangan  di bumi ini. Mereka memerlukan perluasan wilayah demi untuk menyerap sumber hasil ekonomi bagi menampung dan menampal kepincangan ekonomi kapitalis yang berlaku (67:18). Kebebasan yang dilaung-laungkan telah menyaksikan banyak persengketaan antara manusia dan telah wujud semula peperangan antara negara, kebencian antara kelompok dan kumpulan, krisis antara ahli keluarga dan antara individu serta konflik peribadi yang amat meruncing masakini. Sehingga ada manusia yang hampir-hampir tidak mengetahui adakah ia seorang lelaki atau perempuan? 
 
Di negara-negara yang pada asalnya terikat dengan pengaruh agama, Tuhan dan ajaran ketuhanan semakin dibenci dan di negara-negara yang pada asalnya ketuhanan telah diketepikan dalam hidup, kesucian agama mula diberi perhatian dan mereka dapat melihat bahawa hanya agama Islam sahaja yang dapat menyediakan tempat selamat dalam krisis kemanusiaan mereka. Suatu fenomena terbalik mula berlaku apabila umat Islam mulai murtad beramai-ramai manakala umat manusia daripada golongan ingkar pada asalnya, telah menerima Islam secara beramai-ramai. Bahkan manusia kini mulai menempuh penderitaan akibat kesan perubahan cuaca yang dituruti permasalahan bencana yang menurutinya (67:30)


KUPASAN TERKINI AYAT

Sila klik untuk membaca kupasan terkini ayat Al-Quran.

Tuesday, July 17, 2012

SURAH AL MULK AYAT 14 - SECARA MAHA HALUS TUHAN MAHA MENGKHABAR


الا يعلم من خلق وهو اللطيف الخبير

Adakah tidak Ia mengetahui sesiapapun iaitu (orang yang) telah mencipta Ia (akannya), sedang Ia Maha Halus Maha Mengkhabar? 
 
tidakkah Allah Yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? sedang ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha mendalam PengetahuanNya!

Sesungguhnya Tuhan Maha Mengetahui tentang manusia seluruhnya. Pemberitaan ayat-ayat seperti ini dari awal ayat daripada surah ini, menggambarkan kepada manusia tentang kekuasaan Tuhan, yang telah mencipta alam ini dengan kesempurnaan tertentu sehingga manusia sendiri berasa lemah mengkajinya. Tujuan alam ini diciptakan sedemikian dan manusia dihidupkan serta dimatikan di dunia ini adalah bertujuan menguji manusia siapakah antara mereka yang terlebih molek amalannya?

i.   Manusia Memilih Sendiri Cara Memerhati

Sifat daripada nama Tuhan ﺍﻟﻠﻄﻴﻒﺍﻟﺨﺒﻴﺮ adalah Maha Halus, Maha Memberitahu iaitu Tuhan yang Maha Mengetahui perkara yang sehalus-halusnya tentang manusia ciptaanNya dan sentiasa mengkhabarkan kepada ciptaanNya itu tentang perkara-perkara tertentu. Manusia mempelajari tentang kejadian dirinya sedikit demi sedikit, memindahkan ilmu untuk diwarisi daripada satu generasi ke generasi selanjutnya. Manusia diberi keupayaan mengingati tentang perkara-perkara tertentu dan merekodkan dalam bentuk catatan atau konsep-konsep ilmu. Terpulang kepada manusia itu untuk mensyukuri anugerah Tuhan sedemikian atau mengkufurinya. Daripada bahan asas tubuhnya, manusia mempelajari tentang susunan zarah yang membina tubuhnya sehingga suatu peringkat dapat mengenali zarah-zarah tertentu yang menjadi blok-blok binaan yang melengkapi tubuhnya. Berdasarkan kefahaman ini, manusia mengetahui keperluannya darihal pemakanan serta perkara-perkara perlu yang lain untuk sokongan hidupnya. Oleh kerana penciptaan manusia itu sendiri merupakan suatu perkara yang amat rumit, terdapat banyak perkara yang hanya boleh dipelajari melalui perantaraan wahyu Tuhan. Lalu Tuhan mewahyukan manusia melalui RasulNya tentang perkara-perkara yang perlu dilakukan dan ditinggalkan, termasuk makanan yang dihalalkan serta yang diharamkan. Selain daripada manfaat untuk manusia itu sendiri terdapat hikmah tertentu bagi sesiapa yang berminat untuk mempelajari hikmah berkenaan. Bagaimanakah hikmah itu dapat dipelajari sekiranya manusia itu sendiri yang memilih untuk mengingkari pemberitahuan daripada Tuhan? Bagaimanakah manusia dapat bergabung menjadi umat yang satu, sekiranya mereka mengambil panduan yang lain untuk ditaati?

ii.   Manusia Memilih Sendiri Cara Mentadbir

Himpunan ayat bahagian pertama ini menjelaskan betapa terdapat sebahagian manusia yang akan menyesali, atas konsep kepercayaan mereka tentang ketuhanan yang menjurus kepada perlakuan amalan tertentu. Mereka dihumban ke neraka Jahanam atas kegagalan mereka mengambil pendengaran atau menggunakan akal tentang ketuhanan dan kekuasaanNya. Namun apakah faedahnya kesedaran itu yang akan berlaku di akhirat nanti? Sedangkan tujuan Tuhan adalah untuk mendapatkan kepatuhan manusia dalam tidak melihat keadaan Dia yang ghaib. Dia yang berjaya mencipta mereka sedangkan mereka sendiri tidak mampu memikirkan tentang langkah yang menjurus kepada penciptaan itu. Seterusnya manusia yang menyedari tentang hakikat ini akan melakukan sesuatu yang terbaik untuk dirinya dan ahli-ahlinya dalam menempuh kehidupan ini. Demi mendapatkan suatu bentuk kehidupan yang diredhai Tuhan.  

Setelah runtuhnya sistem kekhalifahan, manusia terumbang ambing dalam memahami matlamat hidup dan seterusnya mereka memilih sistem hidup berdasarkan cara kapitalis atau komunis, yang terbukti kedua-duanya membawa mudharat tersendiri. Kemudian mereka memilih sesuatu yang bersifat antara keduanya dengan sistem tata susunan dunia baru atau perestroika, yang juga tidak pernah menyatakan hasil sebagaimana yang dijanjikan. Manusia perlu kembali kepada pengajaran Tuhan, untuk memperbetul peranan mereka sebagai khalifah yang diamanahkan untuk mentadbir cara hidup di bumi ini dengan lebih bermaruah. Adakah mereka masih perlu menanti hari esok yang lebih menjanjikan azab?





Saturday, July 14, 2012

SURAH AL MULK AYAT 13 - MENYAMPAIKAN AYAT-AYAT TUHAN



واسروا قولكم اواجهروا به
انه عليم بذات الصدور 

Dan sama ada kamu rahsiakan akan perkataanmu atau sama ada kamu nyatakan dengannya, sesungguhnya Ia Maha Mengetahui dengan kandungan dada. 

dan tuturkanlah perkataan kamu Dengan perlahan atau Dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana Sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan Segala (isi hati) Yang terkandung di Dalam dada.

Dia yang Maha Mengetahui untuk apa tujuan seseorang itu menyampaikan perkataannya sama ada untuk tujuan keredhaan Tuhan atau tujuan yang lain daripada itu. Semua itu bergantung kepada sejauh mana ketakutan seseorang akan Tuhannya yang berkeadaan ghaib. Seseorang yang kurang takut kepada Tuhan, tentunya akan melakukan pekerjaan atau mengeluarkan perkataan yang kurang menggambarkan pendirian berhati-hati terhadap Tuhannya dan seseorang yang lebih takut kepada Tuhannya, tentunya akan melakukan pekerjaan atau mengeluarkan perkataan dengan lebih berhati-hati lantaran takut akan Tuhannya. 

Dan sesungguhnya yang takut akan Tuhannya di antara hamba-hambaNya adalah ulama’ atau golongan yang berilmu. Oleh itu pencapaian ilmu dapat dijadikan ukuran dalam mengetahui tahap ketakutan seseorang kepada Tuhannya. Ulama’ tidak diukur dengan pencapaian akademi kerana ramai daripada ahli akademi bahkan yang diiktiraf hingga ke tahap doktor falsafah (Ph. D.) yang diberi tanggungjawab memikul amanah tertentu, sanggup melakukan perbuatan pecah amanah. Ilmu harus diukur dengan penghayatan seseorang terhadap ayat-ayat Tuhannya, sekalipun ia bukanlah seseorang yang fasih dalam berbicara tentang ayat-ayat Tuhan.



Tuesday, July 10, 2012

SURAH AL MULK AYAT 12 -- TAKUTKAN TUHAN YANG GHAIB PEROLEHI KEAMPUNAN


ان الذين يخشون ربهم بالغيب
لهم مغفرة واجر كبير

Sesungguhnya orang-orang yang, mereka takut akan Tuhan mereka dengan (keadaanNya yang) ghaib, bagi mereka keampunan dan ganjaran yang besar.

Sesungguhnya orang-orang Yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala Yang besar.

Pada suatu ketika, dalam sesuatu keadaan yang secara umumnya tidak dapat difikirkan, iaitu tentang kehidupan semula dan tentang ketuhanan, lalu bagaimanakah penerimaan sedemikian dapat diterima oleh manusia melainkan mereka yang dapat menggunakan akal secara bebas? Oleh sebab kecenderungan manusia akhirnya menjurus kepada perkara agama, mereka harus meletakkan sempadan dalam pemikiran mereka antara suatu yang dapat dijawab melalui pertimbangan sains dan logik akal dengan suatu yang tidak dapat dijelaskan melalui sains dan akal fikiran. 

Hanya jawapan daripada Al-Quran, dapat memuaskan hati manusia tentang segala persoalan mengenai sesuatu yang dapat difikirkan dan sesuatu yang harus diterima oleh akal tanpa berterus-terusan mempersoalkannya. Tuhan sendiri berjanji dengan ganjaran yang besar untuk mereka yang takutkan akanNya, dalam keadaan Ia tidak pernah menyatakan ‘diri’Nya. Takut akan Tuhan, meyakini kehadiranNya dapat menyediakan suatu ikatan dalam hati manusia untuk melakukan sesuatu dengan matlamat yang kukuh. Mungkin suatu persoalan suka ditimbulkan oleh golongan yang ingkar daripada golongan aties dan dalam kalangan penganut kerohanian tertentu dalam menyatakan bahawa Muhammad (S.A.W) itu sebenarnya manusia yang mengagendakan perkara agama, atas nama Tuhan dan nama nabi-nabi dan rasul-rasul sebelumnya serta atas nama malaikat, yang semua itu dijadikan watak-watak ghaib tertentu dalam mempengaruhi manusia serta jalan pemikiran mereka. Jawapan yang mudah yang penulis dapat sediakan ialah mengapakah perkara-perkara yang amat bertepatan dengan penemuan yang bersifat ilmiah telah sedia tertulis dalam Al-Quran sejak lebih 1400 dahulu, hanya baru-baru ini diiktiraf, ditemui pada zaman moden dan zaman teknologi maklumat?

Lalu dapatkah mereka menulis sebuah kitab seumpama Al-Quran yang langsung tidak dapat dipertikaikan kebenarannya sejak dari dahulu lagi serta bernilai mukjizat yang bukan sekadar saintifik, futuristik, linguistik serta sangat teliti cara susunannya? Perkara Al-Quran terbukti pernah memberi sumbangan yang besar dalam penemuan-penemuan dan pembentukan tamadun serta pernah membentuk beberapa kerajaan yang mengangkat martabat manusia yang sehingga kini hak kebebasan manusia dijadikan kempen-kempen politik dalam membentuk pemerintahan.

Friday, July 6, 2012

SURAH AL MULK AYAT 11 -- MENGIKTIRAF KESALAHAN DIRI SEBELUM KE NERAKA



فاعترفوا بذنبهم فسحقا لاصحب السعير

Lalu telah mengiktiraf mereka terhadap kesalahan-kesalahan mereka maka amat buruk bagi golongan (yang menghuni) (neraka yang) menyala. 

akhirnya mereka mengakui dosa-dosa mereka (sebagai orang-orang Yang kufur ingkar), maka tetaplah JauhNya rahmat Allah dari ahli neraka.

i.      Kesalahan Menjalani Hidup Yang Merosakkan

Apakah ertinya kesudahan suatu kesalahan yang mereka lakukan sehingga amat-amat membawa kerosakan? Mereka tidak akan dapat memulihkan keadaan yang sudah terlanjur yang mendatangkan kerosakan, lalu mereka menyesali. Begitulah sesal dahulu pendapatan dan sesal kemudian tiada gunanya. Sekiranya mereka diberi peluang untuk ‘diselamatkan’ adakah mereka dapat menggunakan pengalaman mereka yang merosakkan itu untuk mendiami syurga-syurga yang telah Tuhan janjikan sebagai tempat yang damai serta kediaman abadi untuk golongan yang beriman? Bahawa kediaman dunia ini hanyalah tempat untuk menimba pengalaman yang dinamai sebagai amalan.

ii.     Tidak Wajar Menuntut Sesuatu Menjadi Hak Milik

Kehidupan ini memang Tuhan sengajakan sebagai tempat kediaman yang tidak kekal supaya manusia yang mendiaminya sentiasa menyedari bahawa ia tidak berhak untuk menuntut segala sesuatu sebagai hak miliknya. Tidak harus seseorang itu menganggap ahli keluarganya adalah miliknya, hartanya adalah miliknya, status dan kedudukan adalah hak mutlaknya sehingga segalanya perlu diselesaikan di mahkamah! Mereka harus menyedari bahawa mereka tidak memiliki apa-apapun walaupun diri mereka sendiri dan segala yang ada dalam tangan mereka hanyalah merupakan amanah yang diserahkan kepada mereka dan akan diminta kembali dan diminta untuk dipertanggung-jawabkan. Tuhan menguji siapakah antara manusia yang sanggup mengakui hakikat ini sehingga sanggup mengorbankan segala-galanya untuk Tuhan? Siapakah dalam kalangan manusia yang sanggup menuju ke suatu jalan untuk melakukan amalan yang lebih baik serta memperbaiki kerosakan yang ada? Itulah tujuan hidup ini, yang kita sendiri akan menyaksikannya kemudian nanti.

Kehidupan ini singkat sebenarnya dan 
kita sebenarnya tidak memiliki apa-apa pun.


Popular