SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Saturday, April 30, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 111 - MEREKA HANYA PERASAN YANG KONONNYA MEREKA BENAR


ﻭﻗﺎﻟﻮﺍﻟﻦﻳﺪﺧﻞﺍﻟﺠﻨﺔﺍﻻﻣﻦﻛﺎﻥﻫﻮﺩﺍ
ﺍﻭﻧﺼﺮﻯ ﺗﻠﻚﺍﻣﺎﻧﻴﻬﻢﻗﻞﻫﺎﺗﻮﺍﺑﺮﻫﻨﻜﻢ
ﺍﻥﻛﻨﺘﻢﺻﺪﻗﻴﻦ

Dan telah berkata mereka, sekali-kali tidak ia masuk akan syurga itu melainkan sesiapa yang telah adalah ia Yahudi atau Nasrani, demikian itu angan-angan mereka. Katakanlah olehmu, datangkanlah olehmu bukti kamu kiranya telah adalah kamu, golongan yang benar.

Sekalipun ayat ini adalah sesuatu yang berkaitan tentang pegangan ahli kitab terdahulu, namun cara tindakan sebahagian umat Islam, telah menjadikan mereka menuruti cara kefahaman umat-umat ahli kitab terdahulu.

i.   Angan-angan Mereka Untuk Ke Surga

Perbincangan daripada ayat 03:24 pada penjelasan himpunan ayat “Yang Menyuruh Dengan Al-Qisthi” memberitahu bahawa, bukan sahaja mereka Ahli Kitab mengangani untuk masuk syurga, bahkan mereka sanggup membuat pendakwaan bahawa sekiranya mereka masuk neraka sekalipun, perkara itu hanya akan berlaku dalam beberapa hari yang boleh dibilang. Bahkan anggapan yang serupa sebenarnya juga berlaku ke atas umat Islam. Mereka mengangani perkara yang serupa dan membuat andaian perkara yang sama. Menurut penerangan ayat seterusnya, bahawa mereka itu, tidak kira sama ada mereka penganut Yahudi atau Kristian atau Islam, sebenarnya telah berada dalam keadaan tertipu oleh cara beragama mereka sendiri.

ii.   Mengapa Mereka Tidak Berfikiran Kritis?

Tidakkah mereka terfikir? Kiranya anggapan sebahagian mereka itu didapati benar, bagaimanakah kedudukan penganut-penganut agama lain yang juga mendakwa menyembah Tuhan yang sama. Kalau demikian, seperti kejam sungguh Tuhan mewujudkan ketiga-tiga agama yang berlainan yang menyembah Tuhan yang sama, namun apabila dibalasi, hanya satu penganut agama sahaja yang layak diterima dan dibenarkan masuk syurga. Bagaimana mungkin mereka mendakwa agama mereka sahaja yang benar, namun mengakui bahawa dua agama yang lain itu memang benar-benar wujud?

iii.   Apakah Buktinya Agama Anutan 
       Mereka Benar?

Mereka sanggup menerima persepsi untuk menganggap bahawa hanya pihak mereka sahaja yang benar dan bukannya pihak yang lainnya. Mereka dipengaruhi dan dilingkungi oleh pihak-pihak yang serupa dengan mereka dan saling cuba mempengaruhi antara mereka, supaya mereka semua berasa selesa, sekalipun mereka berada dalam kepalsuan agama. Hati mereka milik pihak lain dan bukannya milik diri mereka sendiri.

Sebenarnya mereka semuanya beragama dengan cara yang serupa iaitu berangan-angan dan mereka tidak dapat menyebut secara mendalam tentang hujah daripada agama mereka sendiri. Tidak kira mereka itu daripada pihak Yahudi, Kristian ataupun Islam, cara beragama mereka adalah serupa dan kebanyakan mereka mendiami neraka kerana mereka memberi sumbangan melakukan suatu keburukan yang direnteti dengan pelbagai bentuk keburukan yang lain. Mereka adalah penyumbang kerosakan.

iv.   Pertimbangan Ringkas Kebenaran Islam

Pernah suatu ketika dahulu, seorang khalifah ditanya oleh seorang Yahudi tentang andaian, kiranya ajaran yang disampaikan melalui Nabi Muhammad S.A.W. didapati tidak benar ketika manusa telah berada di akhirat nanti. Lalu khalifah itu menjawab bahawa menurut ukuran kebenaran agama yang dianutinya, perkara itu tidak menjadi hal kerana masyarakat Islam yang telah berjaya dibentuk ketika itu, adalah masyarakat yang tersusun, mengadakan hubungan baik sesama mereka dan telah terbina perpaduan yang kuat dalam kesatuan mereka. Tidak seperti kaum Yahudi yang saling menindasi sesama mereka dan berusaha untuk menindas manusia lain melalui helah licik dalam urusan perniagaan dan kehidupan. Dalam hal ini nampaknya hujah khalifah itu didapati lebih benar kerana urusan umat Islam ketika itu ternyata lebih berjaya berbanding urusan kaum Yahudi. Adapun perkara akhirat, sudah tentu mengambil kira tentang pekerjaan yang dilakukan oleh penganut agama dalam urusan dunia mereka. Kemudian khalifah kembali bertanya kepada Yahudi berkenaan, bagaimanakah nasibnya ketika mendapati bahawa ajaran yang disampaikan menerusi Nabi Muhammad S.A.W. didapati benar? Bagaimankah pula kedudukan penganut Yahudi ketika itu, yang mereka telah menjalani kehidupan dunia dengan cara yang tidak wajar serta melaksanakan polisi kehidupan yang menindas manusia? Kemudian Yahudi berkenaan telah meninggalkan khalifah itu, tanpa sebarang jawapan dan telah memperlihatkan wajahnya yang serba salah.

Itu pada zaman itu dan dapatkah hujah berkenaan digunakan lagi pada zaman ini? Manakah dia penganut Islam yang berbagai-bagai mazhab itu dapat memberi jawapan yang benar kiranya mereka memilih kehidupan dengan cara menindas serta melakukan pembunuhan sesama umat seagama mereka. Mereka bukan sahaja berbunuhan atas sebab berlainan mazhab, bahkan dalam mazhab yang sama, mereka saling berbunuhan atas urusan agama.

Sebenarnya sama sahaja, sama ada mereka penyokong FSA atau 
penyokong Tentera Bashar Assad, mereka tidak memiliki hujah 
kuat yang membenarkan mereka saling berbunuhan melainkan
semata-mata kerana dendam 1400 tahun.



Sunday, April 24, 2016

PENJELASAN HIMPUNAN AYAT SETAKAT INI


Kita masih menjelaskan tentang perkara yang berkaitan dengan ayat nasikh dan mansukh. Ayat nasikh dan mansukh adalah ayat yang berkaitan dengan kekuasaan Tuhan atas segala sesuatu. Oleh itu, perkara nasikh dan mansukh, tidak dapat tidak, adalah sesuatu yang berkaitan dengan keberkatan pemerintahan. Dalam usaha menyelesaikan perkara yang berkaitan dengan masalah pemerintahan, hanya bantuan daripada Tuhan sahaja dapat diharapkan. Dalam hal ini, mengharapkan perkara-perkara magis adalah sesuatu yang harus dihindari.

Oleh kerana perkara nasikh dan mansukh dalam Al-Qur’an, juga menyentuh tentang perkara penjelasan ayat-ayat Al-Qur’an (bayan) maka perkara yang berkaitan tentang bayan juga telah disentuh. Sebagaimana telah dijelaskan sebelum ini, apabila perkara bayan Al-Qur’an disentuh, maka akan berlaku pertikaian sehingga akhirnya membawa kepada perpecahan umat dan sehingga terbentuk beberapa mazhab dalam agama. Contoh yang baru sahaja diberi adalah jelas menunjukkan bahawa sebahagian umat Islam sendiri, akan mengambil Al-Qur’an untuk suatu kepentingan sehingga sanggup menidakkan ajaran agama yang telah sedia diterima sebagai amalan. Contohnya seperti amalan selawat kepada ahli keluarga RasululLah S.A.W. dan pentingnya mengambil mereka sebagai imam selaku penerus kepada kepimpinan Nabi Ibrahim A.S. Bukankah kita seharusnya termasuk dalam golongan yang mengakui keimaman Ahlul Bait bermula sejak Nabi Ibrahim A.S. serta keluarga baginda hingga kepada Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga baginda, sepertimana yang kita sebut setiap kali dalam bacaan tahiyyat di hujung solat kita.

video
Mereka yang bersolat, adalah yang ber'solat' dan mengucap 
salam ke atas Nabi Ibrahim A.S. serta ahli keluarga baginda 
dan juga yang ber'solat' dan mengucap salam ke atas  Nabi 
Muhammad S.A.W serta ke atas ahli keluarga baginda.






Monday, April 18, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 110 -- AGAMA ADALAH UNTUK KESINAMBUNGAN SOLAT


ﻭﺍﻗﻴﻤﻮﺍﺍﻟﺼﻠﻮﺓﻭﺀﺍﺗﻮﺍﺍﻟﺰﻛﻮﺓ
ﻭﻣﺎﺗﻘﺪﻣﻮﺍﻷﻧﻔﺴﻜﻢﻣﻦﺧﻴﺮﺗﺠﺪﻭﺍﻋﻨﺪﷲ
ﺍﻥﷲﺑﻤﺎﺗﻌﻤﻠﻮﻥﺑﺼﻴﺮ


Dan dirikanlah olehmu akan As-Solat dan berikanlah olehmu akan Az-Zakat dan apa-apa yang kamu sediakan untuk dirimu daripada kebajikan, kamu (pasti) dapati akannya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah, terhadap apa-apa yang kamu kerjakan, Maha Melihat.

Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang, dan tunaikanlah zakat; dan apajua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguh-nya Allah melihat segala sesuatu yang kamu kerjakan.

i.    Latar Belakang Permasalahan Umat

Perkara yang berlaku sejak dahulu lagi sehingga kini, bermula dari zaman Khalifah Syaidina Uthman R.A. adalah akibat kerja-kerja mempolitikkan agama oleh golongan Muawiyin, setelah jelas kebenaran yang disampaikan kepada mereka. Kejadian pembunuhan Syaidina Uthman R.A. yang bebannya dikenakan kepada Khalifah Ali R.A., yang dikatakan bertanggungjawab membenarkan pemberontak Kurdish melakukan pembunuhan baginda (walhal Khalifah Ali R.A. sendiri mengambil pendirian memerangi golongan Khawarij daripada puak Kurdish), akhirnya mengakibatkan pembunuhan terhadap Syaidina Ali R.A. sendiri dan Ahlul Bait seterusnya. 

Muawiyah bin Abu Sufyan R.A. serta Amru Al-Ash R.A. yang sejak awalnya mengambil pendirian menentang kekhalifahan Syaidina Ali R.A., segera mengambil pendirian tidak mengaku terlibat dalam pembunuhan Khalifah Ali R.A., walhal mereka adalah pihak yang sangat rapat serta mengetahui niat dan tekad Abdul Rahman bin Muljam R.A., sahabat RasululLah S.A.W., yang membunuh Khalifah Ali R.A. Seterusnya atas kesempatan ini, Bani Umayyah telah merampas hak keimaman Ahlul Bait serta telah gagal menunaikan janji untuk memulangkan kembali amanah keimaman kepada Ahlul Bait seterusnya. Khalifah Muawiyah R.A. dan khalifah-khalifah seterusnya selepas itu telah didokong oleh ulama-ulama lantikan mereka telah menggelar pengikut mereka sebagai pengikut Ahlus Sunnah atau Sunni. Mereka memberi fahaman baru bahawa suatu pemerintahan dalam negara umat Islam boleh digulingkan semata-mata atas dakwaan tidak melaksanakan undang-undang Islam seperti hudud, qisas dan sebagainya. Permasalahan politik mereka telah dijadikan piagam agama yang dianuti berabad-abad lamanya sehingga kini setelah melalui tempoh lebih 1400 tahun. Asas ajaran agama mereka akhirnya membawa kepada penolakan amalan selawat kepada RasululLah S.A.W. serta ahli keluarga baginda yang di luar daripada perkara solat dan dalam rutin seharian seperti aktiviti tahlil serta dalam perayaan Maulidur Rasul. Mereka memulai ajaran baru dalam agama dengan tuduhan bid’ah dan kafir terhadap golongan yang selain mereka. Menghormati ahli keluarga RasululLah S.A.W. serta menziarahi makam-makan perkuburan mereka dianggap sebagai amalan ahli kuburiyun seperti amalan penganut Syi’ah dan mereka secara terang-terangan dengan jelas menuduh pengajaran melalui Maulana Syeikh Habeeb sebagai sesat.

 RasululLah Adalah Penghulu Golongan Yang Dikasihi


Penulis tidak bermaksud membeza-bezakan kedudukan para sahabat RasululLah S.A.W., R.A.H.M kerana iktilaf dalam kalangan mereka sebenarnya terdapat rahmat untuk umat ini. Sama-samalah kita mendoakan mereka yang telah mendahului kita dalam urusan iman kerana yang akan mengadili mereka dan kita semua adalah Allah Yang Maha Menghakimi. 

ii.     Tujuan Risalah Kerasulan

Tujuan kerasulan RasululLah S.A.W. adalah rahmat ke seluruh alam. Perintah berselawat kepada RasululLah S.A.W. adalah perkara yang terkandung dalam amalan solat yang wajib didirikan. Perkara ini adalah perkara kesinambungan solat yang perlu dilakukan sama ada dalam solat atau di luar solat. Umat harus bersatu padu dengan asas Al-Qur’an seperti ini. Perkara selawat dan salam kepada RasulululLah S.A.W. serta ahli keluarga baginda adalah perkara Al-Qur’an yang harus didirikan. Sejak dahulu lagi ahli keluarga RasululLah S.A.W. tidak pernah merampas kuasa pemerintahan. Mereka hanya menghendaki pemerintah melakukan yang terbaik untuk kepentingan negara dan rakyat. Sebaik-baiknya mereka berhukum dengan hukum Tuhan melalui Al-Qur’an kerana meninggalkan hukum Tuhan akan menjatuhkan seseorang kepada kekufuran. Pun begitu Ahlul Bait tidak diarah untuk merampas kuasa pemerintahan sekalipun pemerintah telah menjadi kafir. 

iii.     Sebagai Persediaan Diri

Dalam menghadapi perpecahan umat sama ada oleh perbezaan mazhab dalam beragama yang diwarisi sejak dahulu lagi ataupun perbezaan fahaman politik, setiap kita harus memikirkan apakah langkah-langkah perlu untuk kita sediakan sebagai persiapan diri serta keluarga serta keturunan setiap kita, yang membentuk generasi akan datang. Apakah perkara-perkara kebaikan yang harus kita lakukan supaya hubungan sesama kita menjadi harmoni? Di negara yang terbina daripada pelbagai kaum, kita juga harus memikirkan perkara-perkara yang dapat membela kehidupan rakyat secara umumnya.

iv.    Tidakkah Kita Mahu Allah
        Melihat Amalan Kita?



Ayat ﺍﻥ ﷲ ﺑﻤﺎ ﺗﻌﻤﻠﻮﻥ ﺑﺼﻴﺮ yang bererti “Sesungguhnya Allah terhadap apajua yang kamu kerjakan Maha Mengetahui” adalah menjurus kepada sifat Tuhan yang Maha mengambil tahu tentang perkara-perkara yang diamalkan oleh seseorang hamba. Ayat ini didahului oleh ayat sebelumnya yang menyentuh perkara mendirikan agama seperti ibadat solat dan zakat dan juga perkara-perkara yang dilakukan darihal kebajikan sebagai persediaan amal. Oleh itu yang dikatakan sebagai Tuhan mengambil tahu tentang amalan seseorang, adalah darihal persediaan agama. Perkara ini telah disentuh sebelum ini pada ayat 03:30 iaitu menyentuh perkara bencana yang kurang mengenai golongan yang melakukan kebaikan, sebagai bukti bahawa Tuhan bersikap penyantun kepada mereka yang melakukan kebaikan. Begitu juga ayat sebelumnya pada 03:15 dan 03:20 yang menyatakan bahawa Tuhan bersedia memberi ganjaran kepada golongan yang berhati-hati dan Maha mengambil berat terhadap hamba-hamba Tuhan yang melakukan kerja-kerja kepatuhan.

Kita seringkali mendengar keluhan mereka yang berdoa dengan kata-kata - adakah Tuhan tidak melihat keadaan aku, atau adakah Tuhan tidak mendengar permintaanku. Perkara yang perlu dijelaskan di sini adalah – adakah seseorang itu telah mematuhi Tuhan? Kerana tujuan hidup ini adalah untuk kita mematuhi perintah Tuhan dan bukannya untuk Tuhan mematuhi permintaan kita. Setelah kita memperkenankan perintah Tuhan menurut apa yang termampu dilakukan, barulah kita berdoa kepada Tuhan, mudah-mudahan Tuhan mengabuli doa kita.








Tuesday, April 12, 2016

PERKARA YANG HARUS DIBIARKAN SAHAJA


ﻓﺎﻋﻔﻮﺍﻭﺍﺻﻔﺤﻮﺍﺣﺘﻰﻳﺄﺗﻰﷲ
ﺑﺎﻣﺮﻩﺍﻥﷲﻋﻠﻰﻛﻞﺷﺀﻗﺪﻳﺮ

Maka biarlah olehmu dan berbuat baiklah olehmu, sehingga Ia datang oleh Allah dengan urusanNya. Sesungguhnya Allah atas tiap-tiap sesuatu Maha Kuasa.

Oleh itu, maafkanlah dan biarkan oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Secara umumnya perintah ini adalah kepada golongan beriman dalam menghadapi ahli kitab terdahulu dalam kalangan penganut Yahudi dan Nasrani. Praktik ini juga ada benarnya kerana tiada gunanya untuk seseorang yang beriman meyakinkan pihak lain, sekiranya pihak lain itu sengaja menafikan kebenaran setelah mereka sendiri mengetahuinya. Mereka sanggup berterusan dalam kekafiran hanya semata-mata menyatakan rasa kedengkian yang timbul dari dalam diri mereka.

i.       Menghadapi Masalah Pertelingkahan
 Umat Masakini

Dalam menghadapi golongan kafir sesudah beriman, sebenarnya tiada istilah memberi keampunan kepada mereka. Perintah ﻓﺎﻋﻔﻮﺍ harus difahami sebagai biarkan sahaja perlakuan mereka kerana sesungguhnya Tuhan sendiri akan berperanan dalam menghadapi mereka. Semua pihak sedia maklum bahawa pertempuran sesama umat Islam sebenarnya mendedahkan mereka kepada bahaya kekafiran melainkan atas tujuan mempertahankan amanah pemerintahan. Seperti itulah yang dilakukan oleh Ahlul Bait melalui khalifah Ali R.A. dalam mempertahankan pemerintahan kekhalifahan setelah perbincangan dengan sahabat Muawiyah bin Abu Sufyan R.A. dan sahabat Amru bin Al-Ash R.A. gagal mencapai perdamaian. Namun setelah kekuasaan dirampas oleh Bani Umayyah, Ahlul Bait mengambil pendirian tidak menentang mereka. Ahlul Bait mengambil pendirian untuk meneruskan amanah menyampaikan risalah kerasulan RasululLah S.A.W. sepertimana perutusan Nabi Musa A.S. kepada kerajaan Fir’aun.

Namun setelah beberapa generasi dan atas kegagalan bani Umayyah untuk menghapuskan golongan Ar-Rafidhah, golongan penganut sunnah Muawiyin yang turut melabel diri mereka sebagai penganut As-Sunnah, tetap meneruskan permusuhan terhadap golongan Alawiyin yang melabelkan diri mereka sebagai penyokong Ahlul Bait RasululLah S.A.W. Perkara yang berlaku di Syria adalah contoh ketara setelah Perancis menyerahkan mandat kekuasaan kepada golongan Alawiyin, yang memerintah Syria sejak kemerdekaan Syria diperolehi. Penulis melihat cara terbaik dalam menghadapi permasalahan ini adalah dengan membiarkan sahaja peperangan sesama mereka dan memberi bantuan sewajarnya kepada mereka yang menjadi mangsa peperangan, tidak kira mereka daripada pihak mana sekalipun.

Pertempuran antara golongan Muawiyin dan Alawiyin ini sebenarnya adalah dirujuk sebagai pertempuran antara dua keluarga berbeza sejak 1400 tahun dahulu. Mereka bertelingkah setelah datangnya penjelasan. Mereka bertelingkah atas sebab kepentingan politik yang kemudiannya dijadikan ajaran agama menurut mazhab mereka.


Peperangan Yang Memakan Jantung Hati Umat Islam

ii.       Tuhan Maha Kuasa Atas 
        Segala Sesuatu

Perkataan ini sebenarnya merujuk kepada pembentukan kekuasaan yang terserlah daripada pemerintahan. Oleh itu, penjelasan ayat 2:107 menjurus kepada “hanya Allah sahaja yang dapat melindungi dan menolong", maka kita tinggalkan sahaja masalah pertempuran sesama umat Islam yang berlaku waktu ini sehingga Allah datang dengan perintahNya.

Ayat 2:108 dan 2:109 pula menjelaskan bahawa tiada perkara magis yang diperlukan oleh umat Islam, kerana kebanyakan perkara magis yang diamalkan oleh manusia adalah sesuatu yang menjurus kepada kekufuran. Semua yang berlaku kepada umat ini pada masa ini adalah timbul akibat daripada hasad dengki sesama mereka, iaitu sesuatu yang berkaitan dengan pemerintahan pada masa ini, atau kekhalifahan pada masa lalu.

Perkara yang diwarisi umat ini pada masa ini sehingga mengakibatkan timbul permusuhan sesama mereka adalah akibat perbezaan mazhab sejak dari dahulu lagi. Generasi terdahulu telah membentuk ajaran baru dalam beragama untuk menghalalkan darah sesama mereka dan perkara itu telah dijadikan ajaran agama yang terus diwarisi umat terkemudian. Oleh kerana pertelingkahan yang wujud sesama mereka adalah sesudah mereka menerima penjelasan tentang kebenaran, ini bermakna terdapat pihak-pihak tertentu yang sanggup menolak kebenaran dan terus merelakan diri berada dalam kekafiran. Mereka ini sebenarnya telah menyahut seruan golongan ingkar daripada umat-umat terdahulu sehingga negara mereka diperkotak katikkan dengan limpahan bekalan senjata untuk mereka terus berbunuhan.

Siapakah sebenarnya yang memulai
permusuhan sejak dahulu lagi?


Wednesday, April 6, 2016

SURAH AL-BAQARAH AYAT 109 -- HASAD DENGKI DAN KERJA-KERJA SULAPAN


ﻭﺩ ﻛﺜﻴﺮ ﻣﻦ ﺍﻫﻞ ﺍﻟﻜﭡﺐ
ﻟﻮ ﻳﺮﺩﻭﻧﻜﻢ ﻣﻦ ﺑﻌﺪ ﺇﻳﻤﻨﻜﻢ ﻛﻔﺎﺭﺍ
ﺣﺴﺪﺍ ﻣﻦ ﻋﻨﺪ ﺍﻧﻔﺴﻬﻢ ﻣﻥ ﺑﻌﺪﻣﺎ
ﺗﺒﻴﻦ ﻟﻬﻢ ﺍﻟﺤﻖ

Telah bercita-cita kuat ia oleh kebanyakan daripada ahli Al-Kitab, kiranya mereka benar-benar dapat mengembalikan kamu daripada sesudah iman kamu, kekafiran - kedengkian dari sisi diri-diri mereka dari sesudah apa yang telah jelas ia bagi mereka akan Al-Haq.

Banyak di antara Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir sesudah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad S.A.W).

i.   Penyembahan Yang Membawa 
     Kepada Kekafiran

Penulis telah jelaskan sebelum ini dalam surah Al-Rahman bahawa umat daripada ahli kitab tidak akan berpecah-belah melainkan sesudah datang kepada mereka keterangan (bayan) daripada kebenaran (Al-Haq). Umat daripada ahli kitab boleh datang daripada penganut Yahudi, penganut Nasrani ataupun penganut Islam sendiri. Mereka jadi demikian dan berubah menjadi kafir sesudah memperolehi keterangan Al-Haq, lantaran kedengkian yang muncul dari dalam diri-diri mereka sendiri. Nafsu kedengkian akhirnya telah menutup akal mereka sehingga mereka menolak semula keimanan. Kerana menuruti hawa nafsu golongan kapitalis, mereka sanggup menyembah sistem kapitalis yang akhirnya mereka seperti kaum yang tersulap, tidak lagi memperduli terhadap permasalahan yang berlaku di persekitaran mereka. Mereka ini seperti individu yang datang kepada ahli-ahli sihir, sanggup melakukan sesuatu untuk kepuasan hati akibat rasa dengki yang timbul, sebenarnya mereka memilih untuk menyembah syaitan melalui pengamalan mistik.

Al-Qur’an telah menjelaskan sejelas-jelasnya, bahawa menuruti sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba dan pajakan dapat membawa kemudharatan yang sangat besar kepada masyarakat. Penulis telah jelaskan perkara ini sejak awal penulisan lagi bermula daripada Surah Al-Mulk, Surah Al-Rahman, Surah Al-Ma’arij dan Surah Nuh. Namun terdapat individu yang mendakwa sebagai umat Islam yang sanggup berterus-terusan menjerumus diri dalam sistem riba sekalipun setelah mereka mengetahui dengan jelas, mengamalkan sistem riba secara berterusan sebenarnya menjurus mereka kepada kekafiran.

ii.    Ahli Kitab Yang Menghendaki Umat
       ini Menjadi Kafir Seperti Mereka
       Tanpa Bertukar Agama.

Pada zaman ini penguasaan teknologi tidak lagi berada di tangan umat Islam. Persembahan teknologi yang dibawa oleh pihak Barat sebenarnya diselangi dengan agenda tertentu. Mereka ingin umat Islam menyembah mereka sebagai pelopor teknologi dan seterusnya menganggap agama sendiri hanyalah merupakan agama ritual. Sebenarnya apa yang mereka ingini kini telah benar-benar berlaku. Rata-rata umat ini hanya menganggap bahawa kitab suci yang ada di tangan mereka seperti tidak membawa apa-apa erti. Tulisan-tulisan dalam kitab suci mereka hanya seperti cacing-cacing kepanasan yang hanya untuk tujuan nyanyian di majlis-majlis ritual seperti nyanyian nasyid, musabaqah dan dalam akvitiviti solat berjamaah.

Permasalahan seperti ekonomi dan politik disangkakan tidak wujud dalam kitab suci. Perkara saintifik dalam kitab suci dianggap sebagai sesuatu yang sengaja diada-adakan dengan cara menyebut berulang-ulang kali penemuan silam, yang tidak menjurus kepada penemuan yang lebih canggih. Manakah dia ayat Al-Qur’an yang mengajar cara pembikinan pesawat terbang seperti pesawat UFO? Yang ada hanya dianggap cerita kuno yang diulang-ulangi tanpa ada kesudahan. Sesudah sekian lama umat Islam berada di bawah kepimpinan yang tidak bertanggung jawab bermula Kerajaan Bani Umayyah sehingga kini setelah lebih 1400 tahun berlalu, kita dapati umat Islam telah menuruti perbuatan orang-orang kafir. Mereka mengamalkan sistem ekonomi berasaskan riba yang sengaja ditukar namanya supaya berbunyi seperti sesuatu yang mematuhi syari’ah. Kesudahannya, kita dapati penyakit sosial yang melanda masyarakat Barat juga dihidapi oleh masyarakat Islam. Mereka menjadi kaum yang suka berbelanja dengan wang yang tidak mereka miliki dan memborong barangan yang bukan benar-benar mereka perlukan.

Dalam bentuk pencapaian teknologi, golongan ingkar menghendaki umat ini meniru sahaja pencapaian mereka. Kemudian kita dapati negara ini dilonggokkan dengan barangan teknologi golongan ingkar dan mereka sentiasa membelinya saban tahun dan beli lagi. Dari satu versi ke satu versi tanpa ada kesudahan untuk negara mereka hasilkan sendiri produk keperluan dan keinginan rakyat. Kemudian kita dapati umat ini mengalami kecelaruan dalam memilih panduan darihal yang menyentuh perkara agama. Mereka merayakan perayaan agama musyrikin seolah-olah mereka juga penganut agama musyrikin. Mereka berpakaian seperti pakaian kaum musyrikin sehingga ke tahap mereka bebas mengadakan hubungan seks dengan penganut mana-mana agama. Sungguh menyedihkan yang umat Islam kini adalah hidangan yang sangat lazat buat golongan ingkar.

iii.   Kedengkian Sesama Umat Yang Menjadi 
       Bahan Jenaka Yang Mengelikan Hati 
       Golongan Ingkar  

Atas sebab bani Umayyah memungkiri janji menyerahkan kembali keimaman kepada Ahlul Bait, umat Islam terpecah kepada dua pecahan terbesar iaitu Mazhab Sunnah dan Mazhab Syi’ah. Setelah Khalifah Ali R.A. menghancurkan golongan Khawarij atas sifat melampau mereka dalam perkara agama, bani Umayyah tidak melakukan apa-apapun untuk menghancurkan gerakan Ar-Rafidhah, yang akhirnya menjadi barah besar yang membawa perpecahan umat. Mereka yang mendakwa menyembah satu Tuhan, mengakui umat satu Nabi, dengan satu kitab suci rujukan yang sama serta memiliki satu qiblat yang sama, sehingga kini saling berbunuhan atas perkara agama. Mengapakah khalifah-khalifah daripada bani Umayyah tidak melaksanakan amanat untuk memusnahkan fahaman Ar-Rafidhah daripada bertapak di muka bumi? Mereka hanya berminat memburu dan membunuh Ahlul Bait keturunan RasululLah S.A.W., yang menjadi sembahan puak Ar-Rafidhah, yang tujuannya supaya mereka dan keturunan mereka sahaja kekal berkuasa memegang jawatan kekhalifahan. Setelah tempoh kekhalifahan mereka tamat, ternyata mereka gagal memusnahkan gerakan Ar-Rafidhah dan mereka telah terbawa dengan ajaran baru dalam agama untuk membenci amalan selawat kepada ahli keluarga RasululLah S.A.W.? Mengapakah mereka membenci keluarga RasululLah sedangkan siang dan malam, mereka sendiri berselawat kepada ahli keluarga RasululLah dalam solat mereka iaitu dalam bacaan tahiyyat mereka. Perintah selawat kepada RasululLah S.A.W. serta ahli keluarga baginda dianggap sebagai amalan bid’ah sedangkan perintah itu telah sedia wujud dalam kitab suci dan dalam amalan ibadah serta dalam zikir-zikir perayaan mereka.

Penulis telah jelaskan sebelum ini bahawa ahli kitab sama ada daripada Yahudi, Kristian serta umat Islam, tidak berpecah belah selama mana mereka berkeadaan jahil darihal kitab mereka. Namun apabila mereka telah perolehi keterangan darihal ayat-ayat tertentu dalam kitab yang mereka sendiri harus yakini dalam ajaran agama, mereka tiba-tiba menentangnya. Mereka menjadi kafir sesudah beriman. Kemudian mereka berperang sesama mereka, sedangkan golongan yang mereka perangi hanya mahukan pembebasan diri daripada cengkaman penindasan ekonomi yang telah mereka deritai sejak sekian lama. Lihatlah bagaimana Arab Saudi yang mewarisi agama menurut mazhab sunnah bani Umayyah telah menyerang dan membunuh kaum Houthi semata-mata atas tuduhan Syi’ah. Sedangkan kaum Houthi sendiri bermazhab Syi’ah Zaidiah, yang tidak menolak perlantikan khalifah-khalifah terdahulu sebelum zaman pemerintahan bani Umayyah lagi. Ulama-ulama mazhab Sunnah sendiri sejak dahulu lagi tidak menjatuhkan hukum sesat kepada mereka yang bermazhab Syi’ah Zaidiah.

Demikian itu suatu contoh permusuhan dalam kalangan bangsa Arab dan yang berlaku di Iraq dan di Syria adalah lebih parah lagi. Mereka yang bermazhab sunnah Bani Umayyah seolah-olah mahu menunjukkan bahawa mereka ingin melaksanakan amanah untuk memusnahkan gerakan Ar-Rafidhah, setelah mereka gagal melaksanakannya sejak 1400 tahun yang lalu. Mereka adalah pihak yang menyokong Khalifah Yazid, si pemungkir janji yang tidak memberi sebarang perlindungan sehingga terbunuhnya Ahlul Bait RasululLah. Tak mengapa kiranya mereka mengaku tidak terlibat dalam pembunuhan Ahlul Bait, tetapi mengapakah mereka memilih untuk memburu dan membunuh golongan yang menegakkan selawat sebagai ibadah dalam agama dan mereka benar-benar menuduh sesiapa jua yang membesarkan amalan sedemikian di luar aktiviti solat adalah sebagai ahli bid’ah? Tidakkah itu bukti yang sangat jelas bahawa mereka sebenarnya membenci tahap gaban terhadap keluarga RasululLah S.A.W. dan juga Ahlul Bait yang ada hubungan darah dengan RasululLah S.A.W.?

Kebanyakan kepimpinan Islam Arab dari golongan 
'sunnah', menganggap amalan seperti ini adalah bid'ah.

Popular