SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Wednesday, May 27, 2015

SURAH ALI IMRAN AYAT 15 -- JANJI TUHAN SEBAGAI GANJARAN YANG LEBIH BAIK

Katakanlah olehmu "Mahukan aku khabarkan akan kamu dengan yang baik daripada semua itu buatmu. Bagi golongan yang telah berhati-hati mereka di sisi Tuhan mereka taman, ia berlari dari bawahnya sungai-sungai, kekal mereka di dalamnya dan pasangan-pasangan yang dibersihkan dan keredhaan daripada Allah dan Allah Yang Melihat Melihat terhadap hamba-hamba."

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Mahukah supaya Aku khabarkan kepada kamu akan Yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang Yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, Yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. disediakan juga pasangan-pasangan / isteri-isteri Yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah". dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan hamba-hambaNya;

i.    Meninggalkan Kawasan Perbandaran Dan 
      Kembali Kepada Kehidupan Taman

Perkataan ini mungkin merupakan perkataan pelik untuk didengari. Pada masa kepimpinan negara menyeru kepada kehidupan ala kebandaran yang dikatakan maju, serba ada dan lebih selesa, risalah ini menganjurkan kehidupan ala kadar, berada jauh daripada perbandaran dengan cara mengusahakan kehidupan taman yang agak jauh daripada 'kemajuan'.

Permasalahan yang dapat dilihat kini adalah permasalahan sosial yang dapat merosakkan kehidupan itu sendiri. Kita semua telah saksikan bahawa kehidupan perbandaran lebih mendedahkan seseorang kepada kerosakan alam melalui pencemaran-pencemaran, penerokaan kawasan hidupan liar dan pencerobohan kawasan tadahan air dan permasalahan kehidupan sosial manusia itu sendiri yang dibebani dengan pelbagai bentuk tekanan ekonomi. Yang sebenarnya 'kemajuan' hidup di kawasan perbandaran tidak menjanjikan apa-apapun terhadap seseorang melainkan kepapaan dan kesempitan hidup. Mereka yang berada di kawasan perbandaran sebenarnya lebih mengharap kepada bantuan kerajaan melalui pembiayaan projek-projek yang dilaksanakan. Buktinya apabila perbelanjaan kerajaan terhadap sesebuah bandar itu dikurangkan, ramai daripada golongan peniaga terpaksa gulung tikar.

ii.   Penyakit-penyakit Hubungan Manusia Yang 
      Seringkali Menjalar

Dalam sebuah negara yang dikatakan membangun seperti negara kita ini, kita dapati bangunan-bangunan hospital sentiasa mengalami pertambahan dan begitu juga bilangan hospital baru yang dibina sama ada milik kerajaan atau milik persendirian. Kadar pertambahan hospital dan juga pertambahan bilangan pesakit kini di dapati melebih kadar pertumbuhan bilangan penduduk. Adakah ini perkara yang dijanjikan dalam suatu kehidupan yang mengejar kemajuan? Sesiapapun tidak dapat menafikan penyakit yang selalunya menjangkiti golongan kaya kini telah mula dihidapi oleh golongan pertengahan dan golongan miskin dan secara puratanya seseorang itu akan menderita ditimpa penyakit menjelang usianya 50 tahun. Permasalahan hidup seperti ini seringkali cuba ditutup daripada dijadikan indeks ukuran kemajuan sesebuah masyarakat.

Penyakit-penyakit masyarakat seperti aktiviti penagihan dan juga jenayah yang dikatakan berkurangan - akibat usaha giat aktiviti pencegahan sebagaimana yang dilakukan oleh pihak berkuasa dan juga kerja-kerja rondaan sukarela sebahagian ahli masyarakat - tidak harus dijadikan faktor pemberat dalam menentukan penurunan indeks kadar jenayah. Sekiranya faktor asas yang lain tidak diambil kira, akan sampai suatu masa nanti, aktiviti jenayah akan meloncat naik apabila peruntukan keamanan negara terjejas disebabkan oleh faktor-faktor tertentu. Sebenarnya aktiviti jenayah dan juga penjenayah, dijadikan alasan oleh pihak berkuasa untuk melaksanakan polisi kesetiaan berdasarkan rasa takut supaya dengan perasaan takut, mereka akan terus menyetujui apajua polisi pemerintahan yang diusahakan oleh pemerintah. Kaedah seperti ini akhirnya akan menggugat pemerintahan itu sendiri. 





Thursday, May 21, 2015

SURAH ALI IMRAN AYAT 14 -- PENYEBAB PEPERANGAN : FAKTOR KEHENDAK MANUSIA


Dihias bagi manusia itu kecintaan kehendak daripada wanita-wanita dan anak-anak lelaki dan berpikul-pikul daripada emas dan perak dan kuda-kuda tungangan berjenama dan ternakan-ternakan dan ladang. Yang demikian itu kesenangan kehidupan dunia dan Allah di sisiNya sebaik-baik tempat kembali.

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda Yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda Yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan Yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali Yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

Keadaan masyarakat di China dan negara-negara asing lain yang telah mengalami cengkaman ekonomi selama ini, kini mula menunjukkan tanda-tanda penguasaan ekonomi mereka semula. Keadaan ini telah memberi mereka peluang untuk merebut peluang keemasan disebabkan oleh defisit yang dialami oleh negara Amerika Syarikat. Faktor ini terjadi adalah atas perkara yang tidak dapat dielakkan oleh sikap manusia sendiri yang mengejar status dan kemewahan. Negara-negara industri baru telah menerima pelaburan yang sangat banyak terhadap perindustrian kenderaan berjenama. Mereka juga menghasilkan baja-baja pertanian untuk tujuan projek pertanian, ternakan dan juga industri makanan. Kemewahan yang mereka perolehi pada waktu itu membolehkan mereka memanipulasi matawang Amerika Syarikat sehingga ke peringkat menyimpan wang tersebut lebih banyak daripada apa yang dimiliki oleh pentadbiran dan rakyat Amerika Syarikat sendiri. 

i.    Kesan Ketidakseimbangan Ekonomi 
      Di Negara-negara Lain

Kerancakan ekonomi kedua-dua negara Chindia, membolehkan hasil pertanian negara ini dapat dipasarkan pada harga yang memuaskan rakyat Malaysia sendiri. Dengan sistem ekonomi kapitalis yang diimport masuk ke negara China, pembangunan tidak seimbang juga telah berlaku apabila keberadaan rakyat mereka turut mengalami keperitan hidup dan pemerintah mereka memerah keringat rakyat sejak daripada awal pemerintahan komunis lagi. Sekalipun bangunan-bangunan baru telah banyak dibangunkan dan gedung-gedung perniagaan didirikan, semuanya terpaksa dibayar pada harga yang tinggi oleh rakyat negara terbabit. Pemaju-pemaju perumahan mereka membangunkan rumah-rumah mewah untuk rakyat yang dijual melalui sistem riba yang terpaksa dibayar dalam tempoh mencecah 70~80 tahun. Ini bermakna seseorang yang ingin memiliki rumah berkenaan terpaksa meninggalkan beban hingga beberapa generasi akan datang. Ketidak seimbangan sosial turut berlaku sehingga kepada aktiviti pemerdagangan manusia melalui aktiviti penyeludupan hingga kepada pelacuran. Kebanjiran pelacur-pelacur warga China ke negara ini bukan lagi merupakan perkara asing, disebabkan keperluan mendapatkan wang semata-mata untuk hidup.
 
Permasalahan sosial sedemikian sudah tentu merupakan suatu azab kepada semua mangsa ekonomi yang terlibat. Sekiranya permasalahan sosial ini dibiarkan, kebiasaan memilih hidup dalam maksiat akan mengakibatkan bukan sahaja mereka menganayai diri-diri mereka sendiri bahkan mereka akan menganayai pihak-pihak lain. Bibit permasalahan sosial sedemikian akan mengakibatkan kehidupan yang porak sebagaimana yang terjadi kepada rakyat Mexico dan Columbia, apabila penjenayah dan kumpulan samseng lebih menimbulkan ancaman kepada rakyat berbanding usaha-usaha keamanan yang diusahakan oleh pihak berkuasa.

ii.    Kerana Menuruti Hawa Nafsu, 
       Golongan Kapitalis Sanggup 
       Memulai Peperangan.

Apakah niat sampingan Amerika Syarikat memerangi Afghanistan? Selain daripada bertujuan mencemar nama Islam di mata rakyatnya, mereka memiliki niat lain iaitu mendapatkan bekalan minyak mentah dari Asia Tengah kiranya mereka memenangi peperangan terhadap 'pengganas' di Afghanistan. 

Namun menerusi kajian-kajian terkini oleh saintis mereka dalam bidang petroleum dan gas, mereka telah menemui kaedah terbaru dalam mendapatkan bekalan petroleum melalui perbelanjaan yang lebih menjimatkan. Iaitu pembangunan telaga minyak syil yang dapat memancarkan minyak bumi pada kadar yang lebih cepat serta menjimatkan. Penjanaan minyak syil di Amerika Syarikat diikuti dengan minyak pepasir di Kanada, telah mengakibatkan kejatuhan harga minyak dunia daripada sekitar USD100 kepada USD50 per barrel. 

Bermulalah peperangan harga antara negara-negara blok Barat dengan negara-negara OPEC yang menyaksikan bekalan minyak mentah murah terus membanjiri pasaran dunia. Arab Saudi selaku 'ketua' negara-negara OPEC mengugut negara-negara ahli untuk tidak mengurangkan kadar pengeluaran minyak mereka. Ia berusaha mengenakan penalti yang besar kepada blok Barat sehingga mengakibatkan harga pasaran minyak dunia terus jatuh di bawah paras USD50. Kegilaan kapitalis Arab Saudi yang semakin hampir kehilangan kuasa pasaran minyak, telah mendorong kepada peperangan baru yang sengaja diwujudkan, untuk menimbulkan rasa takut kepada pedagang-pedagang minyak antarabangsa supaya harga komoditi itu meningkat naik. Arab Saudi telah mula mengambil tindakan ketenteraan ke atas Yaman, hanya semata-mata kerana masalah dalaman negara itu. Ia telah membekalkan senjata kepada bekas presiden Yaman yang digulingkan untuk membantu pemberontak Houthi melawan kerajaan baru yang memerintah. Apabila pemberontah Houthi hampir menguasai ibu negara Yaman, pemimpin mereka tiada pilihan melainkan memohon negara-negara jiran mereka termasuk Arab Saudi untuk membantunya. 

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Arab Saudi terus bertindak menyerang Yaman tanpa memerlukan sebarang resolusi atau mandat PBB dan ia turut mengheret negara-negara lain untuk terlibat sama ke kancah peperangan. Bagaimanakah kesudahannya? Tentunya Amerika Syarikat juga tidak bersedia untuk menghadapi kejatuhan harga minyak yang terlalu rendah dalam tempoh yang lama. Keadaan ini memberi peluang untuknya untuk meringankan sekatan senjata kepada Iran, supaya Iran dapat menyalurkan senjata kepada pemberontak Houthi di Yaman agar api peperangan akan terus merebak.





Friday, May 15, 2015

SURAH ALI IMRAN AYAT 13 -- PERANG PENENTUAN KEPADA PERUBAHAN

Sesungguhnya telah adalah ia bagi kamu suatu ayat pada dua pasukan, dua yang bertemu, satu pasukan ia berperang pada jalan Allah dan lainnya yang ingkar, mereka melihat akan mereka dua kali berbanding mereka, penglihatan mata. Dan Allah ia menguatkan dengan pertolonganNya barangsiapa yang ia kehendaki. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar pengajaran bagi yang memiliki pendapat.

Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan Yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan ugama Allah), dan Yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam Dengan pandangan mata biasa - dua kali ramainya berbanding Dengan mereka sendiri. dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa Yang dikehendakiNya, Dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran Yang memberi insaf bagi orang-orang Yang berfikiran (yang celik mata hatinya).

i.    Perang Masa Kini

Sesiapapun tidak menyangka bahawa, Amerika Syarikat yang memiliki jumlah tentera yang ramai sekitar 140,000 orang masih ditempatkan di Afghanistan setelah berlalu tempoh 11 tahun (2001 – 2012). Masih belum juga mereka memenangi peperangan terhadap 'pengganas'. Mereka memiliki kelengkapan peperangan yang jauh lebih besar daripada 'pengganas' yang mereka perangi. Dengan hutang negara mereka mencapai jumlah sekitar USD 14000,000,000,000 akibat sistem ekonomi kapitalis, kini mereka telah mengeluarkan belanja peperangan melebihi USD 1400,000,000,000. Jumlah ini sekiranya dapat ditukarkan dalam bentuk ringgit, wang RM 100 setebal 6 inci dapat disusun secara melintang di atas lebuhraya dari Johor Bahru hingga ke Perlis. Tempoh peperangan yang terlalu lama telah mengakibatkan mereka terpaksa mengeluarkan biaya yang besar dan penulis yakin, mereka akan berakhir dengan kerugian.

Dengan sistem ekonomi kapitalis, mereka memerangkap rakyat mereka ke lembah perhambaan hutang. Mereka mengambil kesempatan ini dengan me'maksa' sebahagian rakyat mereka menganggoti pasukan bersenjata. Mereka yang berperang untuk menghadapi 'pengganas' sebenarnya lebih memilih kehidupan dunia untuk memperolehi gaji yang mereka perlukan, demi membayar hutang mereka. Sedangkan musuh 'pengganas' mereka, memilih 'kematian' dan mengharapkan balasan syuhada serta rahmat daripada Tuhan. Adakah mereka dapat mengatasi musuh mereka ini?

Sebenarnya mereka lebih suka memilih untuk bertahan daripada melakukan serangan aktif. Akhirnya kita dapat menyaksikan seorang demi seorang daripada mereka mati menemui ajal sama ada akibat serangan mengejut, pukul dan lari atau melalui serangan berani mati. Suatu bentuk serangan yang dapat mengakibatkan trauma berpanjangan.

ii.    Strategi Peperangan Yang 
       Menghabiskan Perbelanjaan

Untuk memenangi peperangan dengan negara musuh yang serba canggih darihal kelengkapan peperangan, strategi perang secara berhadapan tidak lagi boleh diguna pakai. Strategi yang terbaik adalah dengan melakukan serang hendap pukul dan lari. Cara ini mungkin dikatakan sebagai serangan penakut tetapi adalah lebih baik dikatakan sebagai 'penakut' asalkan kesudahannya adalah kemenangan. Bagi mereka yang merelakan diri, serangan berani mati secara mengejut wajar dilakukan supaya gabungan serangan sedemikian akan mengakibatkan tentera musuh mengalami trauma yang dahsyat.

Kekerapan serangan akan mengakibatkan musuh menyangka mereka sedang berhadapan dengan lawan pada bilangan yang sangat ramai. Mereka tiada pilihan melainkan memohon bantuan tentera tambahan dari negara mereka dan apabila jumlah itu telah ditambah, strategi serangan perlu diubah kepada serangan terhad dengan jumlah serangan dikurangkan. Serangan harus ditujukan kepada kemudahan strategik musuh supaya musuh akan meningkatkan lagi perbelanjaan peperangan. Dengan menanggung anggota tentera yang ramai serta bekalan strategik yang banyak, akhirnya jumlah yang perlu mereka belanjakan dalam peperangan akan terus meningkat. Peperangan seperti ini tentunya mengakibatkan negara mereka bangkrap pada akhirnya. Kadar perbelanjaan ketenteraan Amerika Syarikat kini adalah sekitar USD 4000 pada setiap saat dan kadar itu sentiasa meningkat apabila negara mereka mengalami defisit. Wang kertas yang mereka cetak setiap hari dan pelaburan baru yang mereka buat tidak lagi bermakna apabila pengguna wang USD adalah rakyat China, telah mula membanjiri bandar-bandar besar di pantai barat Amerika Syarikat, memborong banyak bangunan perniagaan.


Sistem kapitalis adalah ibarat bom jangka 
yang akan memusnahkan diri sendiri 

Friday, May 8, 2015

SURAH ALI IMRAN AYAT 12 -- CORAK PEMERINTAHAN YANG AKAN RUNTUH

 
Katakanlah olehmu terhadap golongan yang telah ingkar mereka, kelak kamu akan dikalahkan dan kamu akan dihimpunkan ke Jahanam, (demikian itulah) seburuk-buruk tempat kediaman.

Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: "Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke Dalam neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat Yang disediakan".

i.    Sistem Yang Akan Tewas

Salah satu keajaiban dunia masakini adalah apabila seseorang dikenakan bayaran lebih daripada setiap pinjaman yang dilakukan. Seseorang yang meminjam wang daripada institusi kewangan perlu membayar lebih, sekitar 5% daripada baki pinjaman dalam masa setahun. Penglibatan seorang sudah tentu tidak menimbulkan kesan ketara kepada ekonomi sesebuah negara. Bagaimana pula melalui sistem yang diwujudkan, hampir setiap rakyat yang bekerja telah terpaksa melakukan pinjaman terhadap hartanah dan kenderaan keperluan yang perlu dimiliki. Setelah berlalu tempoh masa yang panjang, di manakah lebihan wang harus diperolehi oleh hampir semua rakyat yang bekerja untuk membayar kembali pinjaman mereka? Secara umumnya mereka terpaksa aktif bekerja demi memperolehi wang yang harus dikeluarkan untuk membayar hutang. Oleh kerana pulangan riba merupakan suatu yang menguntungkan institusi kewangan, semakin banyak institusi kewangan diwujudkan semata-mata untuk mendapatkan keuntungan berpanjangan daripada sistem perniagaan berasaskan riba yang mereka laksanakan. Akhirnya institusi kewangan menjadi pihak yang meraih wang yang beredar dalam negara dan umat mengalami kesempitan hidup disebabkan edaran wang menjadi semakin terhad. Kesengsaraan rakyat menjadi titik tolak kepada keruntuhan sistem sedemikian sehingga akan mengubah senario politik sesebuah negara.

ii.    Sistem Perhambaan Yang Menindas

Sistem komunis yang mengongkong akhirnya terbukti tewas apabila kebanyakan daripada perbelanjaan telah disalurkan untuk tujuan persenjataan dan peperangan. Melalui idea baru perestroika yang diperkenalkan oleh Mikail Gorbachev dan penerimaan negara China dan India ke pasaran dunia melalui WTO, negara-negara tersebut mulai menerjah ke pasaran bebas dunia. Oleh kerana perkembangan pasaran hartanah dan kredit di negara-negara kapitalis telah menuju kepada kehancuran, kepimpinan mereka tiada pilihan melainkan membenarkan pemilik-pemilik syarikat korporat untuk membuat pelaburan di negara-negara pasaran baru seperti China, India dan Myanmar untuk mendapatkan tenaga kerja dengan upah murah. Tujuannya adalah untuk menghadapi pasaran bebas yang lebih kompetitif. Tindakan ini mengakibatkan pengaliran modal pasaran dari negara asal ke negara-negara membangun yang baru. Kesempitan hidup mula dirasai oleh rakyat negara maju apabila kitaran wang dalam negara mereka terjejas teruk bahkan sehingga mengakibatkan mereka berada dalam keadaan berhutang berpanjangan. Tren baru yang dihadapi oleh penduduk negara maju berlaku apabila mereka terpaksa berbaris panjang mendapatkan makanan yang dicatu dan mereka mendiami rumah-rumah khemah seolah-olah kediaman mereka adalah bandaraya khemah. Tanggungan hutang menjadikan mereka hamba kepada sistem kapitalis dan pemilik-pemilik modal besar dapat mempergunakan mereka melalui hutang yang mereka tanggung. Mereka menjadi hamba kepada suasana, menjadi banduan dalam penjara yang tiada jerigi besi dan menjadi orang suruhan kepada tuan yang tidak mereka ketahui.

iii.    Penjajahan Dan Perenggutan Maruah

Sebenarnya kita tidak perlu menunggu suatu kekuasaan baru dunia Islam yang akan muncul. Sistem kapitalis itu sendiri akhirnya mengarah negara mereka ke puncak kegagalan. Keruntuhan berlaku apabila wujud penjajah-penjajah baru yang datang dari luar yang menguasai segala hartanah dan perniagaan yang mereka miliki sebelumnya. Lebih banyak hartanah akan terjual ke pihak asing apabila semakin ramai rakyat memerlukan kecairan untuk kemandirian mereka sendiri. Semakin banyak perniagaan baru yang melibatkan maruah manusia muncul. Kemanusiaan semakin tidak bererti. Atas kesedaran ini akan wujud seruan-seruan baru yang mengajak manusia kepada kehidupan yang lebih bermaruah. Seruan itu adalah kepada sistem hidup Islam sebagaimana yang pernah ditunjukkan dahulu oleh junjungan besar Muhammad RasululLah S.A.W dan diikuti oleh Khulafa Ar-Rashidin Al-Mahdiyin.

iv.    Peperangan Yang Tidak Dapat 
        Dielakkan

Lebih ramai umat dari negara-negara kapitalis akan menerima Islam kerana mereka dapat melihat bahawa keselamatan terdapat dalam agama ini. Untuk mengelakkan lebih ramai rakyat negara-negara berkenaan menganut Islam, kepimpinan mereka tiada pilihan melainkan menjalankan kempen untuk menghancurkan Islam. Mereka mula meniup seruan keganasan serta memulai peperangan ke atas ‘pengganas’. Adakah mereka akan berjaya? Asas mereka telahpun reput.

Mereka semakin hilang pengaruh atas
sebab sistem kapitalis yang mereka amalkan.



Friday, May 1, 2015

SURAH ALI IMRAN AYAT 11 -- SEPERTI ADAB KELUARGA FIR'AUN



Seperti adab keluarga Fir'aun dan orang-orang yang daripada sebelum mereka, telah mendustai mereka terhadap ayat-ayat Kami lalu telah mengambil Ia akan mereka oleh Allah terhadap dosa-dosa mereka dan Allah bersangatan siksa.

(Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang Yang terdahulu dari mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksaNya.

i.    Peradaban Yang Dituruti Sepanjang 
      Zaman

Fir'aun mengagungkan kebendaan, binaan-binaan Fir'aun seperti bangunan piramid merupakan bangunan yang tidak lagi dimanfaatkan kegunaannya masakini melainkan sekadar muzium yang dipertontonkan. Seperti itulah pemerintahan masakini yang mengutamakan pembinaan-pembinaan yang kemudiannya ditinggalkan tidak dimanfaatkan melainkan sekadar untuk kediaman burung-burung dan haiwan-haiwan liar yang lain. Sistem pemerintahan Fir'aun berdasarkan hirarki masyarakat, telah dicontohi oleh umat masakini yang mengagungkan hirarki sehingga wujudnya golongan bangsawan, golongan pertengahan dan golongan bawahan. Dasar pecah belah dan perintah berlaku dengan cara menakut-nakutkan golongan pertengahan terhadap jenayah golongan bawahan.

Kita dimomokkan dengan perbezaan sesama kita, 
hakikatnya kita telah dipisahkan menurut kasta ekonomi, 
supaya golongan atasan dapat bawa lari harta kita.

ii.   Fir'aun Dengan Sistem Hirarki

Perutusan Nabi Muhammad S.A.W. kepada umat zaman ini yang berada di bawah pemerintahan-pemerintahan kerajaan, adalah seumpama perutusan Nabi Musa A.S. kepada bani Israel yang berada di bawah kekuasaan Fir'aun, suatu masa dahulu (73:15). Hirarki dalam penguasaan sesebuah negara pada masa ini adalah mencontohi hirarki pemerintahan Fir'aun. Umat telah dibahagikan kepada beberapa pemerintahan berkasta melalui kasta pengagihan ekonomi. Sekiranya dahulu, umat dikuasai melalui sistem perhambaan, kini umat juga dikuasai melalui manipulasi ekonomi kapitalis berasaskan kuasa perniagaan yang disulami dengan riba dan pajakan. Tiada bezanya kesan penguasaan sedemikian apabila umat telah dibahagi-bahagikan kepada beberapa tahap kedudukan dan umat menjadi terpecah atas dasar perbezaan itu. Sekiranya dahulu Fir'aun memiliki kekuatan sumber air dengan memegang kekunci air sungai Nil, pemerintahan kini menguasai sumber aliran wang seperti sistem perbankan dan juga sistem pengagihan barang-barang keperluan. Kesan pemerintahan seperti ini membawa akibat pembangunan pesat negara apabila banyak bangunan-bangunan besar serta pencakar langit telah didirikan. Selain daripada pembangunan-pembangunan penempatan dan juga perniagaan, pembangunan dan projek pertanian tanpa kawalan telah meninggalkan kesan yang besar terhadap kestabilan alam sekitar. Beberapa bencana juga telah berlaku menimpa umat seperti tanah runtuh dan juga ribut yang merosakkan akibat daripada perlepasan bahan-bahan kimia tertentu untuk tujuan pertanian. Perlepasan haba berlebihan ke atmosfera mengakibatkan bumi kediaman manusia kini semakin panas dan bencana kebakaran sering terjadi, menjelang musim panas. Sebenarnya kegilaan ini dapat dihentikan melalui praktik yang diperolehi daripada wahyu Tuhan.

iii.  Fir'aun - Suatu Perwarisan Pemerintahan

Sistem Pemerintahan Fir'aun - Wujud Sehingga Kini



Popular