SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Friday, May 25, 2012

SURAH AL MULK AYAT 4 - PERHATIKAN LAPISAN LANGIT SECARA BERSUNGGUH



ثم ارجع البصر كرتين ينقلب
اليك البصر خاسئا و هو حسير

Kemudian kembalilah oleh engkau akan pandangan itu dua kali (nescaya) ia kembali kepada engkau akan pandangan itu akan (suatu) yang memukau sedang ia (pandangan itu – suatu) yang memenatkan*.

kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu Dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga Dengan sia-sia).

i.    Pemerhatian Yang Memukaukan

Pandangan tadi dinyatakan pada pertimbangan kandungan lapisan-lapisan tertentu. Kini kita bawa pandangan pada pertimbangan interaksi setiap lapisan langit terhadap perubahan. Kajian tentang astrosfera sebenarnya menjurus kepada keadaan luar dari lapisan ionosfera bumi. Pelbagai peralatan dari bumi telah dihantar ke angkasalepas, untuk memerhati serta menjawab persoalan yang timbul daripada beberapa fenomena yang berlaku di angkasa. Sebagai contoh, penentuan aktiviti medan magnet yang sering berubah-ubah dapat diperhatikan daripada perubahan magnetik bumi yang berlaku sepanjang masa. Sebenarnya terdapat interaksi antara medan magnet bumi dengan medan yang tersedia dari matahari yang juga sentiasa mengalami perubahan-perubahan tertentu.


Perubahan medan magnet bumi sering
terjadi seiring perubahan pada matahari

ii.   Tentang Astrosfera

Perubahan medan magnetik matahari memberi herotan tertentu kepada medan magnetik bumi. Selain daripada kehadiran medan ini yang sentiasa menjuruskan gas-gas ionosfera supaya sentiasa cenderung untuk dikembalikan semula ke bumi, perubahan magnetik juga mengakibatkan ketumpatan ionosfera sering berubah-ubah. Perubahan ini mengakibatkan kekuatan isyarat radio yang diterima dari suatu stesen pemancar turut berubah-ubah. Perkara ini menimbulkan kesukaran untuk mendapatkan suatu isyarat yang memberi output yang stabil supaya berita lebih mudah difahami. Untuk mengatasi masalah ini, banyak peralatan penerima isyarat frekuensi tinggi dibekalkan dengan tombol 'fading' supaya julat masa pelambatan isyarat dapat dipadankan.

ii.  Tentang Ionosfera

Selain daripada perubahan siang dan malam, yang memberi perbezaan secara nyata terhadap ketebalan dan ketumpatan lapisan ionosfera, lapisan ini sering berubah-ubah akibat perubahan musim dan kitaran sekitar 11 tahun aktiviti 'sunspot' matahari. Semua pertimbangan faktor ini iaitu aktiviti sunspot matahari, keamatan fluks cahaya matahari, masa dalam sehari serta perubahan musim sentiasa memberi perubahan berlainan terhadap keupayaan penerimaan isyarat frekuensi tinggi. Sebenarnya kajian demi kajian terus dilakukan disebabkan sentiasa terdapat faktor-faktor lain yang terlepas pemerhatian untuk mendapatkan keadaan yang boleh dijangka berlaku terhadap lapisan ionosfera untuk mendapatkan manfaatnya.

Ukuran 'sunspot' sering berulangan 
setiap sekitar 11 tahun.

Pemerhatian-pemerhatian terhadap lapisan langit telah dilakukan sejak sekitar 100 tahun dahulu dan setiap faktor baru yang ditemui sentiasa tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan untuk mengetahui interaksi lapisan langit berkenaan secara jitu. Frekuensi Boleh Guna Pertengahan – MUF, yang diperolehi sekalipun dapat juga dijadualkan sentiasa perlu diubahsuai yang tentunya disebabkan oleh faktor-faktor lain yang tidak diketahui. Saintis astrosfera, sentiasa mencari peluang keadaan-keadaan tertentu seperti semasa kejadian gerhana matahari untuk mengkaji fenomena perubahan sedemikian terhadap kebolehgunaan lapisan ionosfera untuk tujuan penghantaran isyarat frekuensi tinggi.

iii.   Lapisan Kepenatan

Saintis-saintis atmosfera, telah sedia mengetahui kesan perlepasan gas-gas rumah hijau seperti metana, kloroflorokarbon, freon, karbon monoksida, sebatian sulfur, nitrogen dan fosforus ke ruang angkasa. Mereka mengetahui gas-gas berkenaan memberi kesan langsung terhadap lapisan langit tertentu seperti lapisan ozon, peningkatan suhu atmosfera, kejadian hujan asid dan sebagainya. Dengan itu mereka giat mempromosi kempen penanaman semula secara besar-besaran pelbagai tumbuh-tumbuhan yang dijangka dapat menyerap kembali gas-gas karbon dioksida sehingga dapat menyejukkan persekitaran bumi serta memulihkan keadaan. Penanaman pertanian giat dijalankan dan sekali lagi mereka melupai kesan-kesan penggunaan baja sintetik seperti nitrat, sulfat, fosfat yang memberi kesan yang besar terhadap lapisan atmosfera sehingga mengakibatkan kejatuhan tekanan udarakasa serta mengakibatkan kejadian-kejadian yang membinasakan seperti taufan, banjir kilat, tanah runtuh dan sebagainya. Gas-gas ini sekalipun secara relatifnya agak ringan, seperti juga molekul air, namun keupayaan pembentukan ikatan hidrogen dengan wap air, membolehkan gas-gas sedemikian sentiasa didapati pada altitud yang rendah. Gas-gas ini berupaya bertindakbalas secara endothermik dan menyejukkan udarakasa serta menurunkan tekanan secara tiba-tiba apabila berlaku penumpukan awan tebal.

iv.   Tentang Atmosfera Secara Umum

Pada situasi kering, gas-gas ini dapat naik sehingga ke lapisan stratosfera dan berperanan menambah kesejukan kepada lapisan berkenaan. Akhirnya gas-gas ini akan turun semula ke bumi apabila sampai di kawasan yang lembab sehingga banyak menimbulkan bencana di belahan-belahan bumi yang lain. Semua ini menunjukkan di sebalik pengamatan saintis terhadap lapisan langit, mereka masih gagal mengenal pasti punca-punca yang merosakkan lapisan langit sehingga langit membawa bencana kepada permukaan bumi. Mereka masih lagi menyalahkan perubahan cuaca tanpa menyedari pemberitahuan sedemikian dapat diperjelas secara terperinci melalui kitab suci.

Kegagalan Memulihkan Bumi Menidakkan Kelayakan Mereka Mengekalkan Kerajaan

Saintis yang dihasilkan daripada corak pemerintahan sedia ada, sebenarnya hanyalah sebagai penyaksi kepada fenomena kemusnahan demi kemusnahan. Mereka membentuk ilmuwan-ilmuwan teoritikal yang mengetahui tentang masalah yang terjadi, lalu mengadakan kempen-kempen namun kempen-kempen mereka tidak berkesan. Akibatnya, kehidupan manusia bukan lagi merupakan suatu manifestasi keberkatan. Walhal yang dinyatakan Tuhan, kerajaanNya adalah merupakan kerajaan yang membawa baraqah serta kebaikan-kebaikan kepada manusia dan seluruh hidupan yang terdapat di alam ini. Pemerintahan yang benar, yang layak menerajui kekuasaan haruslah merupakan pemerintahan yang memanifestasikan kekuasaan Tuhan dalam bentuk keberkatan hidup. Penemuan ilmuwan-ilmuwan mereka haruslah merupakan sesuatu yang praktikal yang dapat dipraktikkan oleh sebahagian besar umat dan akhirnya menjurus kepada sebuah pemerintahan yang baraqah serta kehidupan yang harmoni. Kerosakan telah berlaku di seluruh dunia. Bumi semakin panas, bencana alam semakin meningkat. Kecelaruan dalam kehidupan manusia semakin menjadi-jadi. Seolah-olah bumi ini merupakan sebuah planet yang amat merbahaya didiami.




 

Thursday, May 17, 2012

SURAH AL MULK AYAT 3 -- KERAJAAN TUHAN DENGAN SISTEM TUJUH LAPISAN LANGIT


الذى خلق سبع سموت طباقا
ما ترى فى خلق الرحمن من تفوت
فارجع البصر هل ترى من فطور

Yang telah merekabentuk Ia tujuh (petala) langit bertindih-tindih. Tidak engkau lihat, pada ciptaan Al-Rahman daripada (sebarang) berlebih kurang. Maka kembalilah oleh engkau akan pandangan itu, adakah engkau lihat daripada (yang) terbuka?

Dia lah Yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit Yang berlapis-lapis; Engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan Yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika Engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan (mu). Dapatkah Engkau melihat sebarang kecacatan? 

i.    Nama-nama Lapisan Lelangit Dan 
      Peranannya

Penciptaan langit adalah sedemikian rupa sebenarnya adalah agenda Tuhan untuk menampung hidupan di bumi ini. Tujuh lapisan langit yang setiap lapisan itu memainkan peranannya yang tersendiri. Lapisan langit yang tertinggi adalah astrosfera. Lapisan ini terdiri daripada medan magnetik bumi. Terkandung dalam lapisan ini adalah bulan (71:16) dan meteoroid yang sentiasa mengelilingi bumi. Lapisan ini memainkan peranan menepis cas-cas besar dari matahari untuk dipesongkan ke bahagian sisi dan tidak terkumpul di langit bumi sehingga mengakibatkan kilat-kilat besar berlaku.

Sekiranya bumi mengalami pengurangan medan magnetik barang sedikit maka, sinar-sinar bercas seperti positron, proton dan sebagainya akan terkumpul pada bahagian yang menghadap permukaan matahari membentuk tompokan radikal bebas yang berupaya melepasi lapisan ozon. Mana yang melepasinya akan membentuk awan-awan bercas sehingga menghasilkan kilat-kilat besar. Fenomena sedemikian sebenarnya dapat berlaku juga selepas letusan matahari secara menghadap ke permukaan bumi dengan kadar yang bersangatan. Kesan ribut petir dapat dijangkakan akan berlaku selang 24 jam hingga 36 jam selepas itu. Astrosfera menindih ionosfera di bawahnya.

Perubahan pada matahari memberi kesan
ketara kepada bumi.

Ionosfera terdiri daripada cas-cas positif dan negatif radikal bebas yang membezakan antara vakum angkasalepas dan lapisan bergas mesosfera di bawahnya. Cas-cas ini sebenarnya bergerak secara terheret dari barat ke timur mengikut pergerakan bumi. Dengan sifat bercas dan secara relatifnya meredah medan magnet ke arah barat menyebabkan cas-cas positif ringan seperti proton lebih cenderung untuk ditolak semula ke bawah ke arah permukaan bumi dan cas yang lebih berat daripada ion-ion negatif ke arah yang lebih tinggi. Tetapi cas-cas negatif yang berat akan berada di sana tidak terlepas ke angkasalepas yang sentiasa diimbangi dengan semburan proton dari matahari. Cas-cas negatif memainkan peranan menahan proton daripada terus terlepas ke angkasalepas. Sekiranya kekuatan medan magnet bumi mengalami pelemahan maka ketebalan lapisan ionosfera akan meningkat dengan ketara.

Kita harus bersyukur lantaran Tuhan yang telah menciptakan matahari menyembur cas secara agak tetap sehingga atmosfera bumi didapati agak tebal dan dapat menampung hidupan. Selain daripada peranannya menahan henjutan frekuensi rendah, ionosfera amat berfaedah sebagai media perambatan elektromagnetik frekuensi tinggi dari 3 Mhz hingga 30 Mhz. Komunikasi radio dapat berlaku antara dua tempat yang sangat berjauhan dan kaedah komunikasi ini adalah kaedah yang paling boleh diharap, yang tidak akan terganggu walaupun pada ketika peperangan. Ionosfera menindih mesosfera. Lapisan ini adalah merupakan lapisan paling sensitif terhadap perubahan yang berlaku di bumi ini. Sekiranya lapisan ionosfera merupakan lapisan yang panas hingga mencapai 350 darjah celcius, lapisan mesosfera pula merupakan lapisan yang sangat sejuk kurang daripada 150 darjah celcius di bawah paras beku.

Kesejukan lapisan ini berperanan menghalang wap-wap air yang meninggalkan permukaan bumi daripada terus dilepaskan ke angkasalepas. Geosaintis telah lama mengetahui bahawa keadaan bumi dengan jisim sedia ada, sebenarnya tidak mampu menahan komponen air daripada terus terlepas ke angkasalepas. Namun dengan perlindungan tertentu dan berbetulan air dapat berada pada ketiga-tiga tahap di bumi ini, menjadikan keadaan air dapat bertahan di sini dan ini merupakan suatu fenomena yang amat-amat menakjubkan. Sekiranya terjadi sesuatu terhadap lapisan ini sehingga suhunya meningkat, air akan terus dapat melepasinya ke angkasa lepas sehingga mengakibatkan tekanan di permukaan lautan akan jatuh dan lautan akan membuak (81:06) kerananya.

Mesosfera menindih stratosfera dengan suhu sekitar 150 darjah celcius di bawah paras beku. Antara lapisan ini terdapat lapisan ozon. Lapisan ozon berupaya menghalang sinar bahaya lampau lembayung dari matahari dan daripada sinaran kosmik yang banyak terdapat di angkasaraya. Lapisan ini bukan lagi merupakan lapisan berion seperti ionosfera dan mesosfera, tetapi benar-benar terbina daripada gas sepenuhnya. Hanya pesawat tertentu seperti helios yang direkabentuk oleh NASA mampu mencapai ketinggian ini sekitar 30,000 meter dari aras laut. Keadaan sedia ada yang melindungi bumi ini telah memungkinkan hidupan dapat bertahan di mukabumi ini dalam tempoh yang sangat lama mencapai jutaan tahun. Hanya kemudian ini apabila perindustrian pesat telah dilakukan oleh manusia, bumi ini mulai menunjukkan perubahan yang membinasakan.

ii.    Lapisan Yang Tiada Kebocoran

Melihat kali kedua terhadap fenomena langit adalah dengan melihat isi kandungan lapisan langit berkenaan. Gas-gas paling ringan seperti gas hidrogen dan helium sebenarnya berada pada kedudukan paling tinggi. Gas-gas ini membentuk radikal bebas. Dengan suhu yang sangat sejuk sekitar suhu ruang angkasa itu sendiri, gas-gas ini terbiar berkeadaan sedemikian berada di bawah pengaruh graviti bumi dan berada di sekitar bumi ini. Sekalipun hidrogen dapat mengadakan ikatan hidrogen terhadap sebatian-sebatian lain yang mengandungi unsur nitrogen, oksigen dan flourin, namun paduan atom-atom hidrogen yang membentuk gas hidrogen dapat terlepas daripada sebatian berkenaan dan terus berada pada kedudukan yang paling tinggi. Semua sebatian ringan yang tidak membentuk ikatan hidrogen seperti gas klorin serta gas nadir dapat melepasi lapisan mesosfera sehingga berada pada kedudukan yang tinggi tetapi di bawah lapisan astrosfera.

Pada kedudukan melebihi 150 km, nun tinggi di atas sana, gas-gas ini kurang berinteraksi antara satu jenis dengan jenis gas yang lain dan keadaan sebenarnya yang terbentuk adalah ion-ion daripada gas-gas berkenaan. Gas-gas bertukar bentuk daripada keadaan molekul kepada ion dengan tenaga pengionan. Tenaga pengionan datang daripada sinaran matahari serta sinaran kosmik yang datang dari kedudukan yang jauh di angkasalepas. Lapisan berion lebih bersifat seperti api atau wap asid yang membakar.

Oleh itu suhu ketinggian pada paras lapisan langit yang berbeza adalah berubah-ubah daripada suhu sangat rendah sekitar 2 kelvin, kepada suhu yang tinggi sekitar 350 darjah celcius dan kepada suhu yang rendah bawah 150 darjah celcius di bawah paras beku dan meningkat semula apabila semakin menghampiri permukaan bumi kepada suhu bumi sekitar 25 darjah celcius. Sekali kali tidak akan berlaku lapisan mesosfera akan terbuka kepada astrosfera dan tidak juga lapisan stratosfera terbuka kepada ionosfera. Begitu juga lapisan ozon dan atmosfera tidak akan terbuka kepada mesosfera. Semuanya bagaikan kuih lapis yang saling melindungi antara satu lapisan dengan lapisan yang lain yang tidak akan bercampur semasa pembikinan.

Semakin rendah suatu lapisan langit, tidak akan terdapat banyak ion-ion radikal bebas yang terbentuk. Lapisan ozon sendiri adalah merupakan molekul-molekul oksigen O3 yang bertindak sebagai lapisan penampan sinar-sinar bahaya dari matahari dan bintang-bintang. Sebenarnya lapisan yang nipis ini sendiri merupakan molekul-molekul baru ozon yang sentiasa terbentuk kesan daripada pancaran berterusan sinar lampau lembayung ke atas molekul oksigen.

Sebenarnya stratosfera bermula dari bahagian bawah lapisan mesosfera ke lapisan yang lebih rendah, adalah tempat terkumpulnya gas-gas seperti nitrogen, oksigen, ozon, flourin dan kloroflorokarbon secara relatifnya terdiri daripada campuran-campuran gas yang mempunyai pelbagai berat molekul. Gas nitrogen dengan berat molekul 28, oksigen 32, ozon 48, flourin 34 dan kloroflorokarbon dengan berat molekul berubah sekitar 60 hingga ke 100 u.j.a. Lapisan ini dikenali sebagai lapisan interaksi Nitrogen-Oksigen-Flourin (NOF). Lapisan stratosfera ini yang suhunya kurang daripada 150 darjah celcius di bawah paras beku memainkan peranan yang amat penting untuk menghalang wap-wap air daripada melaluinya. Tidak akan berlaku kebocoran antara lapisan hidrosfera iaitu tempat terjadi aktiviti air hingga ke lapisan mesosfera melaluinya. 

iii.     Lapisan Yang Akan Dibocori

Sehingga kini belum pernah terjadi secara nyata kejadian kebocoran antara lapisan bawah atmosfera dengan lapisan mesosfera melalui stratosfera. Lapisan interaksi NOF daripada campuran radikal bebas pada lapisan mesosfera akhirnya membentuk gas-gas neutral sepenuhnya pada lapisan stratosfera. Campuran seperti ini dikenali sebagai plasma. Plasma memberi interaksi pewarnaan tertentu sebagai suatu fenomena yang sering terjadi di kawasan kutub-kutub bumi.

Apabila kapal angkasa memulakan tujahan ke angkasalepas, wap-wap air yang terlalu banyak lagi panas dilepaskan kembali ke bumi sehingga ke altitud yang paling tinggi. Wap-wap air ini bertenaga tinggi dan dapat berada dalam tempoh yang agak lama sehingga beberapa hari pada lapisan mesosfera disebabkan wujud ikatan hidrogen antara molekul air dan komponen-komponen gas lapisan interaksi NOF. Wap-wap air ini dapat bergerak ke kutub membentuk awan polar mesosfera pada ketinggian kira-kira 80 hingga 85 kilometer. Kilauan awan sedemikian pada waktu malam memberi pandangan yang menggerunkan akibat pembentukan hablur ais yang kecil. Kejadian seperti ini memberi gambaran apabila berlaku pelemahan lapisan langit suatu masa nanti, wap-wap air akan dapat berada pada lapisan mesosfera yang sangat tinggi itu. Sehingga sekitar jam 9:30 malam suatu tompokan besar awan berkilauan dapat dilihat di ufuk barat dan seawal jam 4:30 pagi di ufuk timur menjelang akhir riwayat bumi ini.

Gambaran Awan Polar Mesosfera Yang Hanya Berlaku 
Di Kawasan Tundra Buat Masa Ini

Wednesday, May 16, 2012

SURAH AL MULK AYAT 2 – ERTI HIDUP DAN MATI


الذى خلق الموت و الحيوة
ليبلو كم ايكم احسن عملا  وهو العزيز الغفور


Yang telah merekabentuk mati dan hidup supaya ia menguji kamu, mana-manakah kamu (yang) terlebih molek amalan? Sedang Ia Maha Perkasa Maha Pengampun. 


Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat); 

i.    Analogi Mati dan Hidup 


Dalam ayat ini dinyatakan terlebih dahulu bahawa Tuhan yang mencipta mati. Sekiranya tidak dimulai dengan mati, sesuatu itu tidak dapat dibezakan antara mati dan hidup. Perbezaan mati dan hidup barangkali merupakan sesuatu takrifan yang relatif merujuk kepada pengamatan seseorang. Perkara yang semudah robot ciptaan manusia seperti asimo, barangkali dapat dinyatakan hidup oleh seseorang kanak-kanak. Robot yang berupaya menjawab soalan, mengulangi nama si penanya, melakukan aktiviti menari dan berjalan serta memanjat tangga, kelihatan seperti suatu rekaan hidup padanya. Yang membezakannya dengan benda-benda yang mati dan 'hidup'nya robot asimo barangkali dirujuk kepada keupayaan bergerak dengan sendirinya. Benda mati tidak dapat bergerak dengan sendirinya sedangkan robot asimo dapat bergerak dengan 'sendiri'nya.


Asimo dikatakan hidup kerana dapat
bergerak dengan 'sendiri'nya.


Seseorang dewasa tentunya tidak dapat menerima kenyataan bahawa robot asimo adalah sesuatu yang 'hidup'. Seseorang itu akan memberi takrifan yang lain tentang hidup iaitu sesuatu yang hidup haruslah berupaya untuk berkembang biak, tidak seperti robot asimo yang tidak memiliki anggota seksual dan organ peranakan atau sebagainya. Robot asimo mungkin suatu ciptaan yang berupaya 'makan' tenaga elektrik melalui pengaturcaraan program arahan tertentu yang tersedia padanya. Oleh itu seseorang dewasa hanya akan menganggap robot asimo sebagai suatu benda mati yang menakjubkan.

Begitu juga seorang ahli biologi yang berusaha mentakrif erti hidup dan mati terhadap sesuatu organisma. Manusia secara umumnya akan menganggap subjek seni seperti virus adalah sesuatu yang hidup, subjek ini dapat membiak, menyerap sejumlah nutrien dan tenaga sebagai pemakanannya yang semata-mata bertujuan untuk membiak. Apabila bilangannya menjadi sangat banyak, subjek ini pula berupaya untuk berpindah ke perumah-perumah yang lain melalui jangkitan tertentu dan berterusan membiak. Oleh yang demikian, virus dinyatakan sebagai sesuatu yang hidup.


Takrifan sedemikian tentunya akan disangkal oleh ahli bioteknologi yang menyatakan virus bukanlah suatu organisma yang terdiri daripada sel. Virus didapati tidak beraktiviti apabila berada di luar perumah dan dikatakan sebagai subjek mati lantaran tidak dapat bergerak dengan sendirinya. Lalu bagaimanakah subjek seni ini dapat dikatakan sebagai hidup? Subjek seni ini tidak mengandungi sel yang berupaya mengawal kadar metabolisma sekalipun berupaya untuk menduplikasi dirinya. Sel-sel melakukan pembelahan sel untuk perkembangannya, sedangkan virus tidak bersifat sedemikian. Seterusnya sel-sel melakukan kerja-kerja tertentu secara sendirinya seperti menyerap bahan makanan dan oksigen, melakukan pembakaran untuk mendapatkan tenaga dan menggunakan tenaga berkenaan untuk perkembangan terkawal. Virus tidak dapat mengawal dirinya lalu bagaimanakah dapat dinyatakan sebagai hidup?

Virus hanya 'tahu' membiak dan mendatangkan 
masalah kepada hidupan bersel. 

Lalu takrifan hidup akan berbeza antara ahli bioteknologi dengan manusia secara umumnya. Hidup sebagai sesuatu yang berupaya untuk beraktiviti, berkembang biak serta mengawal perkembangan koloninya. Perkara sedemikian berlaku terhadap hidupan seni seperti bakteria yang dapat berkembang biak secara terkawal. Virus terus berkembang biak secara tidak terkawal sehingga mencapai keadaan tepu dan akhirnya lenyap. Virus cacar adalah satu-satunya virus yang mengakibatkan penyakit yang dikenalpasti telah lenyap dengan terhasilnya vaksin yang dapat menumpaskannya. Sekiranya virus ditakrif sebagai sesuatu yang hidup, membiak sekalipun pada keadaan tidak terkawal maka virus ciptaan manusia yang tersebar melalui media komputer, layak dinyatakan sebagai sesuatu yang hidup. Virus ini terdiri daripada kod-kod binari yang dapat melaksanakan aktiviti berkembang biak apabila berada dalam perumah iaitu komputer. Virus ini berjangkit dan membawa mudharat kepada pengguna-pengguna komputer sehingga mengakibatkan mereka kerugian.

ii.   Mati Adalah Yang Mematikan Dan 
      Hidup Adalah Yang Menghidupkan

Bermula takrifan hidupan adalah daripada sel (organisma). Demikian itu masih lagi takrifan saintis secara umum. Apabila sampai ke tahap ilmu perubatan secara lebih teliti, takrifan tentang hidup dan mati sekali lagi berubah. Seorang yang berada dalam keadaan pengsan atau koma sedangkan organ otaknya masih menunjukkan aktiviti, dinyatakan sebagai masih lagi hidup secara klinikal manakala seorang yang koma dalam keadaan tiada lagi aktiviti otak yang dapat dikesani dikatakan sebagai telah mati secara klinikal.

Namun terdapat kes, seseorang yang telah mati secara klinikal dengan tiada aktiviti otak serta tiada sebarang denyutan jantung, kemudiannya didapati masih hidup dan dapat 'hidup semula' setelah melalui proses 'kematian'nya itu. Yang demikian itu, takrifan hidup dan mati terhadap sesuatu subjek atau individu masih dinyatakan sebagai sesuatu yang samar. Namun seorang manusia yang hidup didapati dapat menyaksikan kejadian-kejadian mati dan hidup. Tuhan sendiri mengagendakan kematian dan kehidupan dengan tujuan tertentu iaitu untuk menguji siapakah dalam kalangan hamba-hambaNya yang terlebih molek amalannya? Tentunya ada tujuan tertentu yang Tuhan lakukan sedemikian yang hanya Dia sahaja yang mengetahui. Takrifan hidup dan mati pada ukuran tubuh fizikal didapati tidak selari dengan takrifan kerohanian. Terdapat ayat dalam surah Al-Baqarah yang memberitahu bahawa Tuhan melarang umat ini memperkatakan terhadap jiwa seseorang yang terbunuh pada jalan Tuhan sebagai mati, bahkan ia hidup di sisi Tuhan dan mendapat rezeki (2:154). Orang-orang yang beriman tidak harus menyebut 'mati syahid' terhadap individu yang terbunuh pada jalan Tuhan. Begitu juga dengan arahan untuk umat ini berperang pada jalan Tuhan dengan menyerbu musuh, sebenarnya adalah sesuatu yang membawa kepada kehidupan dan bukannya kematian. Hidup perlu ditakrif semula sebagai sesuatu yang dapat membawa kehidupan dan mati bagi sesuatu yang berjasad yang bernyawa adalah lantaran ke'hidupan'nya hanya membawa kepada kematian. 

Oleh itu adalah wajar untuk menyatakan bahawa bakteria yang dapat memberi sesuatu kebaikan yang membawa kepada kehidupan perumah seperti laktobasillus adalah bakteria yang benar-benar hidup sedangkan virus yang tindakannya membawa kematian perumah maka virus itu sendiri adalah sesuatu yang mati. Lalu di antara yang hidup, yang manakah akan benar-benar membawa kebaikan? Demikian itulah ujian yang Tuhan mahu lakukan ke atas kita semua, sedang Dia Maha Menguasai Maha Pengampun. Demikian itulah kekuasaan Tuhan, memberi kehidupan kepada hidupan yang ada serta mendatangkan sesuatu yang lebih baik.

iii.   Contoh Kerajaan Yang Mati dan Umat Yang Hidup

Praktikal seperti ini sebenarnya harus dicontohi oleh golongan pemerintah. Sejarah telah membuktikan bahawa negara yang paling besar di dunia ini serta gagah darihal persenjataan iaitu Soviet Union, akhirnya runtuh disebabkan oleh sifat-sifat pemerintahan yang tidak membawa kehidupan kepada manusia bahkan kematian yang dahsyat. Pemerintah Soviet Union di bawah pimpinan Leonid Breznev telah mengakibatkan lebih sejuta umat Islam di Afghanistan terbunuh dan lebih dua juta umat manusia di Vietnam dan Kemboja maut. Pemerintahan sedemikian tidak diakui sebagai baik lantaran jumlah yang terbunuh sangat ramai.

Umat Islam Afghanistan tidak ditewaskan dengan jutaan rakyatnya yang terkorban lalu mereka berjihad bermati-matian siang dan malam sehingga mengakibatkan kerajaan Soviet Union bangkrap, sekalipun tenteranya tidak ditewaskan. Akhirnya pemerintahan komunis Soviet runtuh digantikan dengan sistem pemerintahan alademokrasi seperti Amerika Syarikat. Kita sering dapati suatu pemerintahan itu sering digantikan dengan pemerintahan lain yang lebih baik disebabkan kegagalan pemerintahan terdahulu membawa sesuatu yang bersifat menghidupkan serta memberi keadaan yang lebih baik kepada rakyat serta kehidupan manusia seluruhnya.

Akhir bagi peperangan adalah
kemenangan untuk yang hidup.



Friday, May 4, 2012

PENGAJIAN SURAH AL MULK


SURAH AL MULK AYAT 1

بسم الله الرحمن الرحيم

 Dengan Nama Allah Maha Pemurah Maha Pengasih

67:01 Pengenalan Kepada Tuhan

تبرك الذى بيده الملك وهوعلى كل شئ قدير

Maha Berkat yang di tanganNya kerajaan dan Dia atas segala sesuatu Maha Kuasa .


Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan Yang Menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;

i.    Yang Dikatakan Berkuasa

Terdapat banyak ayat yang menerangkan tentang sifat Tuhan Maha Kuasa. Kekuasaan Tuhan meliputi segala sesuatu. Istilah Maha Kuasa telah dijadikan perdebatan hangat suatu masa dahulu oleh golongan falsafah yang gemar bertanya soalan-soalan memerangkap. Antaranya adakah Tuhan berkuasa untuk menjadikan sesuatu itu diam dan gerak pada masa yang sama dan tempat yang sama? Untuk menjawab persoalan seperti ini, seseorang perlu melihat kepada soalan itu sendiri iaitu adakah persoalan sedemikian itu relevan?

Pada hukum adat, sesuatu yang diam tidak bergerak dan suatu yang bergerak tidak diam. Oleh itu pada hukum adatnya, perkataan sedemikian adalah dua perkataan yang berlawanan yang tidak akan terjadi serentak. Memberi jawapan kepada persoalan sedemikian adalah seperti mengiktiraf sesuatu yang ada sebagai tiada dan sesuatu yang tiada sebagai ada. Persoalan bersifat falsafah semata-mata sedemikian (tanpa ilmiah) hanya mahukan jawapan antara 'ya' dan 'tidak'. Sekiranya jawapan adalah 'ya' akan ada persoalan-persoalan lain untuk menguji persoalan selanjutnya dan sekiranya 'tidak' maka kekuasaan Tuhan akan dinafikan. Mereka (ahli falsafah) itu sendiri tidak dapat memberi penjelasan tentang 'sesuatu' itu dapat berada pada dua atau lebih tempat pada masa yang sama lalu bagaimanakah persoalan mereka itu boleh ditimbulkan?

Sebenarnya persoalan sedemikian tiada jawapan 'ya' dan tiada juga jawapan 'tidak' lantaran itu, persoalan sedemikian tidak harus diketengahkan. Persoalan seperti ini seperti bertanya tentang kebangkitan semula kepada jiwa dalam situasi mati dengan persoalan sama ada kebangkitan semula itu benar atau tidak. Seseorang yang waras tidak akan bertanya tentang soalan sedemikian kerana ia mengetahui persoalan sedemikian tidak memerlukan jawapan.

ii.     Yang Dikatakan Kerajaan Baraqah

Pada sudut pengamatan manusiawi, kekuasaan dapat ditakrif melalui kerajaan. Sebuah kerajaan yang menguasai sesebuah negara, berkuasa mengubah kawasan tandus menjadi kawasan pertanian, mengubah ruang angkasa yang kelihatannya kosong itu, menjadi berpenghuni dan sebagainya. Semua itu menjadi mungkin disebabkan oleh kuasa. Oleh kerana sedemikian sifatnya maka kekuasaan itu menjadi rebutan manusia sehingga mereka sanggup berbalah dan berperang sesama mereka untuk memperolehi atau mengekalkan kuasa.

Tuhan telah memperkenalkan kekuasaanNya adalah sesuatu yang Maha Berkat. Keberkatan terserlah daripada kekuasaan Tuhan di bumi ini. Kekuasaan Tuhan kepada ruang angkasa, sehingga Dia berkuasa menurunkan kembali air hujan daripada wap-wap air yang terlepas dari permukaan bumi kembali kepadanya. Manfaat air sedemikian memberi suatu kehidupan kepada tumbuhan dan haiwan di permukaan bumi darihal air yang segar serta pembersihan udara. Kemudian manusia mengotori air hujan berkenaan.

Air hujan yang seharusnya bersih dan segar
kini semakin dicemari akibat aktiviti manusia.

Manifestasi kekuasaan Tuhan yang diajari kepada manusia perlu manusia pelajari supaya amanah kekuasaan yang diserahkan kepada manusia memerlukan tindakan keberkatan ke atas manusia seluruhnya dan kepada alam kehidupannya. Sekiranya mereka memilih suatu sistem kekuasaan yang menghilangkan keberkatan, secara beransur-ansur kekuasaan sedemikian tidak akan bertahan lama. Tuhan yang menentukan jatuh bangunnya sesebuah kerajaan dan bukan semestinya melalui pilihanraya atau serangan ketenteraan. Dia meletakkan kebajikan sebagai ukuran (3:26) dalam memilih individu yang layak untuk diangkatNya sebagai pemimpin. Pemimpin-pemimpin berkenaan boleh jadi sesiapa sahaja.




Popular