SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Saturday, August 19, 2017

SURAH AL-MUZAMMIL AYAT 15 -- TUJUAN PERUTUSAN MUHAMMAD RASULULLAH


انا ارسلنا اليكم رسولا شاهدا
عليكم كما ارسلنا الى فرعون رسولا

Sesungguhnya Kami, telah mengutus Kami kepada kamu seorang rasul sebagai saksi ke atas kamu sepertimana telah mengutus Kami kepada Fir'aun seorang rasul.

Sesungguhnya Kami telah mengutus kepada kamu (Wahai umat Muhammad), seorang Rasul Yang menjadi saksi terhadap kamu (tentang orang Yang mematuhi atau menolak seruannya), sebagaimana Kami telah mengutus kepada Firaun seorang Rasul.

i.      Projek-projek Kerajaan Fir'aun 
        Yang Merosakkan

Sesungguhnya agenda perutusan Nabi Muhammad S.A.W. kepada umat manusia, memperingati kesan perbuatan mereka mengingkari peraturan Tuhan, adalah serupa kesannya dengan perutusan Nabi Musa A.S. kepada Fir’aun suatu masa dahulu. Bahawa hasil pekerjaan Fir’aun telah sampai ke suatu tahap sekiranya tidak diperingati, akan menimbulkan bencana kepada mereka sendiri lantaran kejahilan mereka mengawal selia projek-projek mereka. 

Manusia dikurniakan Tuhan dengan akal yang terbatas dan tidak mampu menolak bencana secara sendirian tanpa panduan daripada Tuhan. Dalam melaksanakan disiplin kehidupan, antara perkara yang disedari oleh ahli-ahli sains bumi, adalah tentang bahaya pelepasan gas-gas rumah hijau ke atmosfera, betapa buruknya kesan berkenaan terhadap pencairan ais yang terdapat di kedua-kedua belah kutub bumi. Namun, antara perkara yang mereka akui tidak dapat mencegahnya adalah untuk memujuk negara-negara dan manusia seluruhnya supaya bencana sedemikian dapat dihentikan serta merta. Kajian demi kajian dijalankan hanya sebagai penyaksian sebuah fenomena kemusnahan tanpa didapati usaha untuk menghentikannya. Mesyuarat demi mesyuarat antara ketua-ketua negara hanya mampu menyediakan juadah-juadah yang lazat untuk mereka nikmati tanpa tindakan susulan yang berkesan. 

Rentetan peristiwa demi peristiwa adalah lilitan mula kepada peristiwa lebih besar sehingga suatu masa nanti, setiap penduduk terpaksa meninggalkan rumah kediaman mereka masing-masing, lama sebelum menempuh peristiwa besar As-Sa’ah. Nabi Musa A.S. diutus Tuhan dalam kalangan Bani Israel, mengajak Fir’aun beriman kepada Tuhan. Fir’aun yang mengepalai kerajaan Mesir ketika itu telah mula membentuk tamadun dunia. Penduduk Mesir rata-ratanya terlibat dengan kerja-kerja pertanian dan juga mendirikan bangunan-bangunan besar seperti piramid. Semua pekerjaan itu sebenarnya membawa bahaya tersendiri. 

Supaya perkara sedemikian menjadi pengajaran kepada umat manusia seluruh dunia atas kepentingan pembangunan negara-negara mereka, Tuhan telah mengutus rasulNya iaitu Nabi Musa A.S., untuk menegur perlakuan Fir’aun dalam melaksanakan pemerintahannya. Nabi Musa A.S. adalah dalam kalangan Bani Israel. Ia telah menyaksikan kemusnahan Fir'aun dan kemusnahan sedemikian juga disaksikan oleh Bani Israel sendiri. Tatkala mereka menyeberangi Laut Merah, mereka melihat dengan mata kepala mereka sendiri bagaimana Fir'aun ditenggelamkan.

Begitu juga Muhammad Rasulullah S.A.W., telah menyaksikan kemusnahan pengaruh kuasa musyrikin Makkah, diikuti oleh khalifah-khalifah sesudah baginda yang dapat menyaksikan kemusnahan tamadun Farsi. Umat Islam kemudiannya dapat menguasai Farsi setelah beberapa tahun kewafatan RasululLah S.A.W. Tamadun bangsa Rum masih belum musnah sehingga kini dan umat Islam sesungguhnya akan dapat menyaksikan kemusnahan tamadun bangsa ini apabila mereka dapat menguasai Vatican, sebuah negara yang dikelilingi oleh negara Italy, suatu masa nanti. Sebagaimana bencana cuaca telah memusnahkan kerajaan Fir'aun, umat Islam kini dalam proses menyaksikan bencana cuaca akan merosakkan beberapa tamadun dunia. Usaha-usaha pemulihan oleh umat Islam akan memberi peluang kepada mereka mentadbir dunia suatu masa nanti.

ii.    Sejarah Kehancuran Projek-Projek Fir'aun
       Lantaran Penggunaan Baja Berlebihan

Banyak daripada projek Fir'aun telah rosak binasa. Yang tinggal hanyalah baki yang terdiri daripada bangunan pasak iaitu beberapa piramid dan sphinx. Apabila Fir'aun memulai projek pembinaan piramid, mereka mendapatkan bahan-bahan binaan daripada batu yang dipotong yang diperolehi dari gunung-gunung dan lembah-lembah serta acuan tanah-tanah liat yang dibakar sehingga mengeras. Mereka angkut melalui jalan darat dan jalan air. Projek-projek seperti ini sebenarnya dapat menyebabkan ketidak stabilan tanah, akibat daripada perubahan struktur bumi. Di tempat-tempat yang piramid dibina, pemendapan tanah dapat berlaku. Kerja-kerja pemuliharaan terpaksa dilakukan pada zaman ini untuk mengekalkan pusat-pusat bersejarah yang menjadi tarikan pelancong. Yang lebih malang lagi adalah apabila projek-projek pertanian mereka, melibatkan penggunaan baja ammonium secara berleluasa. Projek ini dilakukan oleh pembesar Hamman daripada kaum Bani Israel, yang menjual baja yang diambil dari bukit Ammon kepada Bani Israel dan kaum Qibti. Mereka adalah rakyat yang dipaksa menjadi hamba yang mentaati atau menyembah Fir’aun. Rakyat dicengkam oleh permusuhan antara mereka, yang diadu domba oleh Fir’aun. Fir’aun menguasai kekunci air sungai Nil untuk tujuan pengairan ladang-ladang pertanian dan Hamman menguasai perbekalan baja untuk kesuburan tanah. Untuk mengelakkan kemusnahan besar-besaran akibat angkara Fir’aun sedemikian, Tuhan telah mengutuskan nabi Musa A.S. mengajak Fir’aun untuk menyembah Tuhan yang sebenar.

iii.     Bencana Akibat Keingkaran Fir'aun

Seruan sedemikian secara terang-terangan dibantah oleh Fir’aun bulat-bulat. Antara kesan-kesan amalan pembesar Hamman melalui penggunaan baja ammonium adalah perubahan cuaca sehingga terhasilnya hujan air batu dan aktiviti kilat dan petir yang sungguh luar biasa. Rumah-rumah kediaman yang terbina daripada campuran tanah liat dan jerami, binasa akibat daripada kilat yang membakar. Hujan ais menyejukkan bendang sehingga membinasakan tanaman. Bendang yang kesejukan akibat daripada hujan ais telah mengakibatkan katak-katak terpaksa meninggalkan kawasan berkenaan dan memasuki rumah-rumah serta kawasan istana Fir'aun. Katak-katak itu kemudiannya mati kelaparan lalu dimakan kutu dan akhirnya kutu-kutu yang banyak serta kelaparan turut memakan dan memusnahkan hasil tanaman yang disimpan.


Katak-katak yang kesejukan lari
meninggalkan bendang.

Pada suatu ketika sebelum ini, bahan ghul yang terdiri daripada gas freon dan CFC digunakan secara meluas dalam peti ais dan penyembur aerosol. Kajian kemudiannya mendapati, bahan ini mengakibatkan kemusnahan teruk lapisan ozon dan kemusnahan ozon menjadi penyebab kepada kes-kes peningkatan penyakit barah kepada manusia. Akibatnya, dengan kerjasama antara negara-negara akhirnya penggunaan bahan ini dapat dikurangi setelah saintis menyedari terdapat lubang pada lapisan ozon di kedua-dua benua Antartika dan lautan Artik. 

Kemudian bahan penyejuk lain digantikan dalam peti ais iaitu wap ammonia dan keadaan harus dikekalkan sedemikian. Namun penggunaan ammonia secara meluas dalam aktiviti pertanian di negara-negara membangun dan negara ‘maju’ sebenarnya menjadi penyebab kepada kejatuhan suhu tiba-tiba pada lapisan atmosfera pada altitud yang rendah, sehingga mengakibatkan bencana alam seperti taufan dan hujan batu. Wap ammonia tidak naik tinggi, banyak terkumpul di atas tanah tinggi seperti gunung-gunung dan bukit-bukit tinggi*. Oleh kerana wap ini amat mudah larut dalam air dan meresap dalam tanah, aktiviti pertanian tanah tinggi amat digalakkan supaya dapat mengurangkan kesan baja ammonia dalam tanah (2:265). Perkhabaran seperti ini mungkin akan dituduh sebagai mengada-adakan sesuatu tanpa bukti-bukti ilmiah. Lalu bagaimanakah perkara sedemikian dapat difahami sekiranya usaha-usaha arkeologi tidak menjurus kepada mengkaji kesan-kesan keruntuhan tamadun Mesir kuno? Yang mereka minat hanyalah yang menjurus kepada aktiviti-aktiviti pelancongan untuk membawa masuk wang pelancong-pelancong asing. 

Penyedia-penyedia dana penyelidikan juga hanya berminat tentang hasil ekonomi suatu penyelidikan dan bukannya mengkaji kesan kemusnahan yang dapat menyebabkan mereka kurang memperolehi hasil pertanian. Mereka tidak peduli tentang penggunan baja-baja tertentu yang seharusnya dijadikan baja larangan dan mereka tidak menguruskannya secara berhati-hati. Mana-mana jua penyelidikan yang berjaya, yang dapat membawa pulangan hasil ekonomi kepada negara, mengalami masalah sekatan dana oleh pihak-pihak berkepentingan, yang memegang jawatan utama dalam jabatan. Mereka bertindak demikian kerana mengkhuatiri kedudukan penyelidik itu yang disangka terlalu bestari sehingga dapat mengatasi jawatan yang sedang disandang oleh pengarah sesuatu jabatan. 

Pengajaran pengalaman Nabi Musa A.S. dalam menghadapi Fir'aun adalah merupakan suatu contoh kerja-kerja dakwah yang sebenarnya sangat rapat dan ada hubung kaitnya dengan pemerintahan setempat. Oleh yang demikian, keadaan yang serupa yang berlaku kepada umat RasululLah S.A.W. kini, adalah juga merupakan kerja-kerja dakwah yang ada hubung kaitnya dengan polisi pemerintahan masakini. Umat ini tidak harus menjauhi diri daripada pihak berkuasa dan tidak juga harus menjauhi diri daripada ahli masyarakat setempat. Setiap umat mempunyai peranan dalam masyarakat.



No comments:

Post a Comment

Popular