SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Thursday, September 4, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 15 -- AZAB YANG MEMBAKAR


كلا انها لظى

Sekali-kali tidak, sesungguhnya ia adalah nyalaan membakar.

tidak sekali-kali (sebagaimana Yang diharapkannya)! Sesungguhnya neraka (yang disediakan baginya) tetap menjulang-julang apinya

i.    Kepelbagaian Bentuk Terjemahan

Penulis tidak menafikan bahawa kebanyakan daripada terjemahan menjurus kepada kejadian api neraka iaitu suatu peristiwa yang hanya akan berlaku setelah Hari Kebangkitan Akhirat. Namun penulis memiliki hujah bahawa nyalaan itu sebenarnya mengiringi kejadian 70:08, melalui kaedah daripada himpunan ayat, yang menjelaskan kejadian itu berkaitan dengan kejadian langit ketika itu. Iaitu suatu fenomena langit yang menjadi seperti kilauan leburan tembaga atau leburan perak yang terbakar (berwarna lampau lembayung keunguan). Suatu kejadian yang akan berlaku dalam sedikit masa lagi.

Hanya Tuhan lebih mengetahui. 

Sebagaimana yang diterangkan sebelum ini, kejadian seperti ini adalah disebabkan oleh kecuaian manusia dalam menjalani kehidupan di bumi ini sehingga mengakibatkan kemusnahan alam.

ii.    Akibat Kerosakan Lapisan Ozon

Pecahnya lapisan ozon yang seharusnya melindungi permukaan bumi daripada sinar bahaya sehingga mengakibatkan nyalaan ion-ion radikal bebas terbentuk dan juga sehingga permukaan gunung membentuk debu yang mengepul. Adakah peristiwa ini dapat terjadi dalam waktu yang terdekat ini? Keperitan sinar cahaya matahari sekitar sekarang ini berbanding kehangatan tengahari waktu silam memberi gambaran, peristiwa sedemikian dapat berlaku pada bila-bila masa sahaja sekarang ini.




Friday, August 29, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 14 -- JUGA SELURUH MANUSIA DI BUMI - MAU SAHAJA DIKORBANKAN


و من فى الارض جميعا ثم ينجيه

Dan sesiapajua pada bumi itu semua sekali, kemudian ia (terpilih untuk) diselamatkan.

dan juga sekalian makhluk Yang ada di bumi - kemudian (diharapkannya) tebusan itu dapat menyelamatkannya.

i.     Baru Ia Tahu Erti Mementingkan Diri Sendiri

Namun adakah usaha penebusan yang diangan-angankan oleh manusia yang berdosa itu berbaloi? Ke manakah sebenarnya setiap mereka mahu diselamatkan. Adakah ke stesen-stesen angkasa yang telah mereka lemparkan tali yang panjang kepadanya? Ataukah ke pusat-pusat perlindungan yang terdapat di bawah lapisan kerak bumi? Adakah ruang-ruang yang terdapat di sana mencukupi untuk menampung sejumlah manusia? Namun apakah sebenarnya bentuk azab yang sebegitu rupa, sehingga setiap individu akan mementingkan dirinya sendiri? 

Bukankah mereka selama hidup di dunia ini dahulunya sentiasa mementingkan diri mereka sendiri? Mereka mencipta suatu bentuk kehidupan yang kononnya menyediakan tempat-tempat kediaman yang selesa kepada manusia lain, walhal penghujung rancangannya adalah, mereka mahu kepentingan diri mereka sendiri diutamakan. Tidak cukupkah dengan kedurjanaan mereka selama ini mempertahankan kepentingan mereka sehingga mengakibatkan kemusnahan alam serta menggugat kehidupan sosial manusia yang lain? Sehingga datang azab Tuhan, mereka masih mahu supaya semua manusia lain dikorbankan sebagai tebusan supaya mereka sahaja yang akan selamat.

ii.    Kaedah Menyusur Ke Silam

Susunan ayat adalah sedemikian rupa sehingga, kejadian akhir disebut terlebih dahulu dengan segala keadaan yang mengerikan. Selanjutnya dinyatakan rentetan peristiwa yang mengakibatkan kejadian sedemikian suatu masa nanti yang pasti terjadi. Gunanya adalah untuk menarik minat kepada umat supaya mahu mendengar wahyu Tuhan melalui RasulNya. Kaedah ini dinyatakan sebagai kaedah ‘menyusur ke silam’ atau ‘flashback’. Kaedah ini juga yang pernah digunakan oleh kebanyakan daripada pengeluar-pengeluar filem yang berjaya meraih kutipan tayangan yang besar. Contoh filem-filem yang berjaya menjejaki kaedah sedemikian adalah seperti Titanic, Day After Tomorrow, Emily Rose dan tidak lupa juga filem tempatan seperti Kekasih Awal dan Akhir dan juga Hantu Kak Limah Balik Rumah.





Saturday, August 23, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 13 -- DAN JUGA PEKERJA-PEKERJA BANTUAN


و فصيلته التى توءيه

Dan pekerja-pekerja bantuan yang menyediakan tempat perlindungan (mau sahaja dikorbankan).

dan kaum kerabatnya Yang melindunginya,

i.     Pusat-pusat Perlindungan (Shelter) Yang Terhad

Apabila tempat-tempat perlindungan kecemasan sedia ada tidak mencukupi untuk menampung manusia, maka pada ketika itu mereka akan saling memandang sesama mereka. Cabutan undi perlu dibuat untuk memilih di antara mereka yang perlu diselamatkan dan meninggalkan yang lain menjadi korban. Lalu setiap individu sangat-sangat mengharap kiranya ahli keluarga yang lain, sahabat-sahabat yang lain dan manusia-manusia yang lain itu tidak terpilih. Hanya dia sahaja yang terpilih dan yang lain secara tidak langsung menjadi penebus untuk menyelamatkan dirinya.

ii.   Azab Yang Lain Macam

Azab apakah yang menyebabkan kejadian sedemikian? Tentunya azab ini lain dari yang lain. Bukan azab tsunami kerana tsunami masih memberi peluang kepada yang selamat untuk menyelamatkan yang lain kiranya mampu. Tentunya bukan kejadian taufan, kerana kehadiran taufan yang dapat dikesani melalui cerapan satelit, masih memberi peluang supaya manusia berkumpul ke tempat yang jauh dari kawasan yang dijangka dilanda taufan. Mereka dikumpulkan di suatu tempat yang besar serta terlindung serta jauh dari ancaman taufan dan mereka disediakan makanan secara hidangan kawah. Tentunya bukan akibat daripada serangan nuklear atau serangan kimia atau biologi kerana azab sedemikian berlaku secara mengejut dan kemungkinan tiada sesiapapun yang dapat menyelamatkan diri. Tentunya bukan disebabkan oleh banjir kerana pusat-pusat perlindungan tentunya akan didirikan untuk menampung pelarian banjir yang ramai itu. Bahkan tidak juga akibat peperangan kerana peperangan membawa kemudaratan menyeluruh sehingga mereka berusaha bersama-sama dan memberi kerjasama yang baik untuk memilih tempat berlindung.







Sunday, August 17, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 12 -- SANGGUP MENGORBANKAN AHLI KELUARGA TERDEKAT


وصاحبته و اخيه

Dan isteri-isterinya dan saudara maranya.

dan isteri serta saudaranya,

i.     Hilangnya Nilai-nilai Kemanusiaan

Kemanakah perginya nilai kemanusiaan mereka selama ini? Adakah mereka dengan tiba-tiba menjadi manusia yang terlalu kejam sehingga sanggup membiarkan sahaja anak-anak mereka, isteri-isteri mereka serta saudara-saudara mereka terkorban, demi untuk menyelamatkan diri-diri mereka sendiri.

ii.    Mereka Yang Sebenarnya Menjemput 
       Azab Sedemikian

Bukankah perkara sedemikian terjadi adalah atas kesediaan mereka selama ini? Mereka megah menjalani kehidupan berasaskan sistem riba, sehingga kebanyakan masa hidup mereka adalah di atas ladang-ladang mereka atau pejabat-pejabat mereka atau bengkel-bengkel mereka atau di atas jalan-jalanraya sehingga mengakibatkan kesesakan. Bukan sahaja keadaan sedemikian telah mereka lalui, bahkan mereka telah terpaksa meninggalkan tanggungjawab bermasyarakat sehingga mengakibatkan hubungan kekeluargaan mereka turut terjejas. 

Kini, tindakan mereka selama ini mula menjadi realiti. Mereka kini terpaksa memilih sama ada mereka yang terkorban atau membiarkan ahli-ahli keluarga kesayangan mereka terkorban.





Monday, August 11, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 11 -- MEREKA HANYA MAMPU SALING MEMANDANG (SESAMA MEREKA)


يبصرونهم

Mereka (hanya mampu) saling memandang (sesama) mereka. 

padahal masing-masing diberi melihat setengahnya Yang lain;

i.    Bukan Seperti Peristiwa Tsunami

Peristiwa tsunami cukup memberi gambaran ngeri semasa kejadian, namun sekiranya ada kesempatan antara ahli keluarga mahu menyelamatkan antara satu sama lain, pasti mereka akan melakukannya. Namun azab Tuhan pada hari itu tidak sedemikian. Demikian itu adalah suatu gambaran akan datang iaitu suasana semasa berlaku bencana azab. Gambaran ini adalah lantaran sikap manusia yang selama ini sentiasa mementingkan diri-diri mereka sendiri, tidak memperduli nasib ahli masyarakat, ahli kerabat terdekat, jiran tetangga mereka serta yang lainnya.

Mereka selama ini sentiasa menyibukkan diri mereka dengan corak kehidupan yang membingungkan yang mengakibatkan keperihatinan mereka terhadap ahli masyarakat hanya berlaku secara seloroh. Bukan keperihatinan mendalam. Sekadar hanya dapat dikatakan sebagai hidup berjiran. Kiranya keadaan nasib masyarakat telah diambil berat awal-awal lagi oleh semua pihak, tentunya sukar untuk kita mendengar kisah menyayat hati seperti kisah pengabaian seorang remaja kurang upaya yang terjadi baru-baru ini.

Nasib Adik Muhammad Firdaus : Si Ibu Yang Harus Diselamatkan 
Sebelum Peristiwa Pengabaian Itu Berlaku, Kiranya Tidak ....
Maka Kita Semua Harus Dipersalahkan !!!

Gambaran suntingan video menunjukkan bagaimana seorang ibu sedia mengabaikan anaknya atas suatu sebab yang tidak sepenuhnya kita fahami. Namum gambaran peristiwa Al-Ma'arij nanti adalah lebih dahsyat lagi .....

يود المجرم لو يفتدى من العذاب يومئذ ببنيه

Ia bercita-cita kuat, oleh golongan berdosa itu (setiap kita), kiranya ia benar-benar (dapat) menebus diri daripada azab itu, pada hari itu dengan anak-anaknya. 

(pada saat Yang demikian) orang Yang kafir suka kiranya dapat menebus dirinya dari azab itu Dengan anak-anaknya sendiri,

ii.    Mereka Sanggup Menebus Diri Mereka 
       Dengan Semua Yang Lain.

Pada kejadian azab berkenaan, tidak ada sebarang erti langsung hubungan kekeluargaan atau sesama jiran atau sesama ahli masyarakat. Maka akan mengharap, mereka yang bersalah itu, kiranya dapat mereka terlepas diri daripada azab pada hari itu, dengan anak-anaknya, isterinya dan saudara-saudaranya dan kaum keluarganya yang memberi perlindungan kepadanya selama ini serta sesiapa jua yang terdapat di bumi ini seluruhnya. Semua itu mahu saja dipertaruh sebagai penebus buat dirinya.



Tuesday, August 5, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 10 -- MEREKA TIADA KESEMPATAN BERTANYA


و لا يسئل حميم حميما

Dan tidak akan bertanya oleh seseorang (pada hari itu) akan teman akrabnya.

dan sahabat karib tidak bertanyakan hal sahabat karibnya, (kerana tiap-tiap seorang sibuk memikirkan hal keadaannya sendiri),

Azab yang berlaku pada hari itu begitu menyeluruh sehingga setiap individu hanya memikirkan keselamatan diri masing-masing. Pada ketika wabak penyakit H1N1 menular ke seluruh dunia, manusia masih lagi berkesempatan untuk mengembara dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Mereka tidak begitu bimbang bencana yang berlaku secara merata semasa mereka dalam perjalanan. Tentunya bencana pada hari itu tidak sedemikian rupanya malahan lebih hebat lagi. Manusia, pada hari itu tidak mampu untuk menaruh simpati pada yang lain sekalipun untuk bertanya khabar.





Wednesday, July 30, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 9 -- GUNUNG MENJADI SEPERTI AYAM MENGERAM DENGAN BULU MENGERBANG


وتكون الجبال كالعهنى

Dan ia jadi gunung itu seperti bulu (mengerbang).

dan gunung-ganang pula menjadi seperti bulu (yang berterbangan)

i.   Kesan Pengionan Sinar Lampau Lembayung

Tindakan sinaran lampau lembayung bertenaga tinggi, setelah memusnahkan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di pergunungan, akan mengionkannya dan membentuk tumbuhan layu dengan kesan terbakar. Untuk gunung-gunung yang tiada tumbuhan pula, tanah atau batu yang terkena pancaran sinar ini, juga akan mengalami pengionan dan menjadi hangus serta merta, serta terbebas ke udara sehingga membentuk kepulan debu. Bukit-bukit serta gunung-gunung akan mengepul membentuk debu yang mengembang. Namun adakah tindakan sinar cahaya lampau lembayung daripada matahari ini begitu kuat sehingga mampu mengionkan batu-batu gunung? Antara perkara utama yang diberi pertimbangan sebelum angkasawan dapat mengembara secara terdedah kepada sinar cahaya matahari di angkasalepas, adalah penghasilan suatu pelindung mata yang terdiri daripada kaca yang dapat memantulkan kembali sinar-x dan lampau ungu.

Kesan Sinar Lampau Lembayung 
Yang Mampu Menghanguskan

ii. Tindakan Pengionan Yang Kuat

Dan antara perkara penting yang menjadi lapisan perlindungan terhadap hidupan di bumi ini adalah terbentuknya lapisan ozon yang berupaya menghalang sinar bahaya ini daripada sampai ke permukaan bumi. Pengionan sinar lampau lembayung berupaya mengelupaskan kulit dan juga mengakibatkan pembentukan katarak yang mengakibatkan kebutaan sekiranya pengimpal-pengimpal arka tidak memakai atau mengenakan pelindung khusus semasa melakukan kerja-kerja pengimpalan. Satu kuanta sinar lampau lembayung memiliki tenaga tinggi yang mampu mengion satu atom membentuk ion radikal bebas. Walaupun pada kuantiti fluks yang sangat kecil, keupayaan mengion setiap kuanta cahaya itu adalah sama.

Kesan Berpanjangan Sinar Lampung Lembayung
Dari Matahari Kepada Kulit


Thursday, July 24, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 8 -- KEBOCORAN LAPISAN OZON YANG MENDATANGKAN AZAB


يوم تكون السماء كالمهلى

Hari yang ia jadi, langit itu seperti leburan tembaga / perak (yang disambar api).

(Iaitu) pada hari langit menjadi seperti tembaga cair,

i.   Sinar Lampau Lembayung

Akibat kerja-kerja berterusan melepaskan bahan penyejuk ke atmosfera seperti gas freon dan kloroflorokarbon, lapisan langit menjadi rosak binasa. Keadaan ini ditambah lagi dengan perlepasan berlebihan wap-wap seperti eter, ammonia dan nitrik oksida untuk tujuan pertanian dan pembangunan dan untuk memberi warna-warna tertentu kepada bangunan kediaman serta untuk tujuan pembersihan. Kenaikan semua gas pencemaran hingga ke tahap lapisan stratosfera, menjadi penyebab sehingga lapisan ozon mengalami kerosakan yang serius. Kebocoran lapisan ozon akan segera melepaskan radiasi sinar lampau lembayung ke permukaan bumi. Langit pada hari itu akan kelihatan seperti kilauan cairan perak atau tembaga yang disambar api (85:1/2) menghasilkan warna lembayung keunguan.
  
http://pubs.acs.org/doi/abs/10.1021/ja01026a038?journalCode=jacsat
Abstrak Jurnal Yang Menjelaskan Ozon 
Dapat Juga Bertindak Balas Dengan 
Eter Sehingga Kuantitinya Berkurangan


ii.  Akibat Kegelojohan Bekerja

Kempen untuk mengelak penggunaan bahan-bahan seperti ini giat dijalankan. Namun atas kepentingan wang, pengusaha-pengusaha yang menghasilkan alat penyejuk, masih menggunakan bahan terlarang seperti ini. Begitu juga penghasil-penghasil aerosol untuk tujuan menghambat nyamuk dan penyemburan warna kepada peralatan, masih aktif menggunakan bahan sedemikian. Mengapakah mereka tidak menggunakan bahan-bahan alternatif seperti garam lithium bromida sekalipun beracun tetapi mudah terlarut ataupun ammonium nitrat yang dapat dikurangkan kebahayaannya untuk kegunaan peralatan penyejuk? Tentunya mereka masih boleh menggunakan penyembur aerosol berasaskan air untuk tujuan menghambat nyamuk dan pewarnaan. Kempen dan penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak mencukupi. Amalan haruslah dimulai atas kesedaran dan untuk tujuan beriman dan beribadah kepada Tuhan. Gas-gas kloroflorokarbon dapat juga terbentuk akibat daripada perlepasan gas-gas hidrokarbon yang bertindakbalas dengan gas flourin dan gas klorin, kesan daripada tindakan pengionan yang membentuk radikal bebas. Gas hidrokarbon seperti metana banyak dibebaskan daripada aktiviti perlupusan sampah yang tidak diurus secara rapi. Klorin yang digunakan untuk tujuan basmi kuman terdapat dalam air perbekalan dan terbebas semasa pendidihan air. Kedua-dua gas florin dan klorin digunakan semasa proses pembuatan mentol lampu halogen. 

Secara ringkas, kesan kloroflorokarbon
terhadap molekul ozon.

iii.  Gas-gas Yang Dikenalpasti

Gas-gas radikal ini akhirnya bergabung dengan hidrokarbon yang terlepas ke angkasa membentuk kloroflorokarbon. Kloroflorokarbon menjadi penyebab kerosakan lapisan ozon sehingga keupayaan menapis sinar lampau lembayung dari matahari dapat terjejas. Sinar lampau lembayung adalah merupakan sinar bertenaga tinggi. Sinar ini mampu membakar bahagian dalam kanta mata sehingga mengakibatkan penyakit katarak. Keadaan yang serius boleh mengakibatkan kebutaan. Sinar ini digunakan di kilang-kilang untuk tujuan ‘marking’ iaitu membentuk tulisan kekal pada peralatan. Semasa aktiviti ‘marking’ ini dapat dilihat dengan jelas bagaimana wap-wap yang tersingkir daripada bahagian yang terbakar turut juga terbakar dengan nyalaan terang. Kebakaran ini berlaku disebabkan oleh aktiviti pengionan. Sinar ini juga dapat terjadi daripada aktiviti kimpalan arka. Pekerja-pekerja yang terlibat perlu memakai pakaian perlindungan khas. 

Sama ada UV, Laser UV atau cahaya Laser,  Semua 
Sinar Berkeamatan Tinggi Mampu Membentuk Debu 



Friday, July 18, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 7 -- TUHAN MEMANDANGNYA DEKAT


ونره قريبا

Dan Kami Memandang Akannya Yang Dekat. 

sedang Kami memandangnya dekat, (tetap akan berlaku),

i.   Alam Telah Mula Menunjukkan Kekalutan

Belumpun stesen-stesen kediaman di angkasalepas dan planet-planet lain dapat didirikan, alam ini telah menampakkan tanda-tanda kekalutan. Mereka segera menamainya ‘perubahan cuaca’ yang sebenarnya adalah rantaian mula terhadap kemusnahan kediaman mereka sendiri. Di manakah kempen-kempen mereka melalui tayangan-tayangan filem mereka, tentang pengembaraan angkasa itu? Seolah-olah mereka akan selamat dan cuba mempengaruhi minda manusia lain untuk turut dikhayalkan dengan khayalan mereka, bahawa mereka adalah juru penyelamat terhadap kehidupan manusia seluruhnya.

ii.  Apakah Perkara ini Yang Mereka Mahu Lakukan?

Mengapakah tempoh masa yang terlalu ‘lama’ yang telah diberi kepada mereka mengambil alih pemerintahan daripada kekhalifahan di bawah naungan Tuhan, masih tidak mencukupi. Mereka masih terkial-kial dalam melaksanakan usaha mereka secara besar-besaran, untuk mendapatkan tempat lari sekiranya berlaku kekalutan di atas mukabumi ini? Mereka langsung tidak memikirkan kesan penghasilan kenderaan-kenderaan pacuan bertayar empat yang bahan bakarnya banyak menggunakan bahan pencemar alam seperti plumbum dan sulfur. Mereka terus bertindak seperti angkut-angkut yang membina bangunan demi bangunan yang akhirnya dibiarkan terbiar menjadi rumah-rumah kosong. Sistem pembaziran apakah yang mereka laksanakan?

iii.  Kesan Demokrasi dan Kapitalisme

Begitulah kesan sistem pemerintahan demokrasi dan sistem ekonomi berasaskan riba dan pajakan yang mereka amalkan, kononnya dapat digunakan untuk mengejar kemajuan. Tidakkah mereka mengetahui bahawa setiap pembangunan memerlukan pembayaran yang akan memberi kesan kepada alam sekitar? Pembinaan rumah-rumah memerlukan simen yang diperolehi daripada batuan bukit bukau yang diruntuhkan untuk mendapatkan batu kapur, mencemar alam dengan debu-debu kuari. Pembakaran batu kapur memerlukan bahan bakar seperti arang batu yang banyak menyingkirkan haba dan jelaga ke persekitaran. 

iv.  Mereka Membantah Tanpa Kewajaran

Tiba-tiba kita mendengar suara-suara hingar, yang membantah bahawa ayat-ayat seperti ini akan menghalang kemajuan bagi menyediakan kediaman-kediaman yang selesa. Mereka tidak mempercayai pekerjaan yang perlu dilakukan secara berhati-hati sebagaimana dianjurkan melalui ayat-ayat suci. Batu-batu yang mereka perolehi, mereka gunakan bahan peledak peletup plastik (PE) untuk mendapatkannya yang tentunya mencemar alam dengan ukuran kebisingan yang tinggi. Seterusnya pengangkutan diperlukan untuk mengangkut bahan-bahan berkenaan, yang banyak menyingkirkan jelaga yang dapat mencemari tumbuhan dan manusia. Dan terhadap pembinaan rumah-rumah kediaman serta bangunan-bangunan, mereka menggunakan pelarut-pelarut tertentu yang dapat mencemari alam sekitar seperti bahan-bahan cat untuk pewarnaan dan juga untuk kerja-kerja pembersihan. Kemudian bangunan-bangunan yang siap, dijual melalui sistem riba, kononnya untuk merancakkan perkembangan ekonomi, namun yang berlaku adalah kesan inflasi yang tidak terkawal sehingga nilai hartanah menjadi sangat tinggi. Melalui konsep sistem riba terhadap aktiviti pembiayaan semula, lebih banyak bangunan baru didirikan disebabkan permintaan menjadi sangat tinggi untuk tujuan pengumpulan aset oleh individu, keluarga serta untuk tujuan perniagaan.

v.   Kesan yang Dapat Dilihat Kini

Lantaran pengamalan riba, manusia terus bekerja dan terus bekerja. Wang yang mereka perolehi secara bulanan dan sebagainya, mereka hantar ke institusi kewangan. Sehingga mereka melupai kepentingan bersadaqah membantu sesama ahli masyarakat yang dirudung malang akibat kemiskinan. Akhirnya berlakulah ketidak seimbangan sosial dalam masyarakat yang mengakibatkan peningkatan kadar jenayah sama ada jenayah indeks atau jenayah yang lain. Pencemaran terus sahaja berlaku sehingga bumi ini tidak pernah melalui masa rehat. Bencana yang berlaku sedikit demi sedikit adalah petanda akan berlaku kejadian yang lebih besar kemudian hari.




Saturday, July 12, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 6 -- MEREKA MERASAKANNYA JAUH


انهم يرونه بعيدا

Sesungguhnya mereka, mereka melihat akannya yang jauh.

sebenarnya mereka memandang azab itu jauh (daripada berlaku),

i.  Mereka Menganggap Bumi ini Kebal

Dengan sistem keingkaran yang sedemikian, mereka mengajak manusia untuk menempuh suatu kehidupan. Sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba dan pajakan ternyata memberi sumbangan besar-besaran kepada pembangunan kediaman manusia beserta dengan aktiviti-aktiviti mereka yang sangat aktif. Namun mereka melupai nasib yang akan menimpa alam kediaman mereka sendiri. Permukaan bumi mengalami perubahan wajah yang pesat sehingga banyak mengorbankan kawasan-kawasan yang tidak harus diterokai untuk tujuan pembangunan seperti bukit-bukau dan kawasan-kawasan tadahan. Mereka menganggapkan bahawa bumi dan langit yang mereka berada padanya adalah sangat kebal dan tidak akan rosak akibat daripada kesan pembangunan. Sekiranya terjejas sekalipun, mereka menganggap perkara itu hanya akan berlaku setelah melalui tempoh yang sangat lama.

ii.  Pembangunan Tanpa Kawalan Terus Sahaja Berlaku

Pembangunan terus dilakukan tanpa kawalan. Yang ada hanyalah kempen seperti penjagaan alam sekitar yang tidak akan dipatuhi oleh manusia lain kerana agenda bangsa-bangsa lain adalah mengejar ‘kemajuan’ bangsa-bangsa yang dikatakan maju dan mereka semuanya tidak begitu memperduli tentang nasib alam sekitar. Sehingga akhirnya kempen-kempen itu menjadi jeritan-jeritan yang tidak diperduli melainkan sekadar menyediakan juadah-juadah istimewa untuk tetamu kehormat negara-negara yang hadir dalam persidangan. Adakah wajar melalui persidangan yang dilakukan, mereka mula memperkenalkan cukai karbon kepada syarikat-syarikat? Seolah-olah dunia ini milik pihak tertentu yang akan menjadi tanggungjawab pihak itu untuk menjagainya.





Sunday, July 6, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 5 -- PERJUANGAN YANG MEMERLUKAN KESABARAN


فاصبر صبرا جميلا

Maka bersabarlah olehmu kesabaran yang cantik.

maka Bersabarlah (Wahai Muhammad terhadap ejekan golongan Yang kafir itu), Dengan cara kesabaran Yang sebaik-baiknya.

i.    Perjuangan Yang Memakan Masa Yang Panjang

Sekiranya perjalanan kerohanian menuju kepada Tuhan mengambil masa beribu-ribu tahun, tentunya secara bandingan, kehidupan ini sebenarnya sangat singkat. Oleh itu kesabaran yang tinggi diperlukan untuk melihat hasil yang akan diperolehi dalam jangkamasa yang panjang. Muhammad RasululLah S.A.W telah bersabar dalam tempoh sekitar 23 tahun dalam memperjuangkan agama, sehingga pemerintahan naungan Tuhan ke atas manusia di dunia ini dapat berlalu untuk tempoh hampir 1000 tahun. 

Kerajaan Islam yang terakhir runtuh pada tahun 1923 Masehi setelah memberi sumbangan yang terlalu banyak terhadap tamadun manusia. Kini manusia dapat memanipulasi sebahagian besar unsur-unsur alam untuk mencapai keinginannya. Usaha untuk menjatuhkan kerajaan Islam yang lalu telah diusahakan oleh Yahudi dengan jalan kesabaran yang panjang. Sehingga apabila mereka berjaya menguasai Baitul Muqaddis, mereka telah mencorak sistem pemerintahan dunia untuk tunduk di bawah telunjuk mereka. Melalui fahaman Marxisme dan Kapitalisme, mereka membentuk pemerintahan komunis dan demokrasi yang ingin dipaksakan kepada manusia seluruhnya. Dalam sistem ekonomi, mereka memperkenalkan sistem riba dan sistem kewangan terkini adalah menggunakan kupon-kupon dan token-token berjalan yang sebenarnya langsung tidak membawa nilai namun dianggap bernilai.

ii.   Tuhan Tidak Memerlukan Tempat

Tempoh menuju kepada Tuhan tidak harus difahami sebagai Tuhan berada pada suatu tempat tertentu sehingga jalan menuju kepadaNya memerlukan masa yang amat panjang.





Monday, June 30, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 4 -- TEMPAT NAIK MALAIKAT DAN RUH


تعرج الملئكة و الروح اليه

Ia naik para malaikat dan roh itu kepadaNya… .

Yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahanNya (untuk menerima dan menyempurnakan tugas masing-masing, terutama)

i.  Tangga Kenaikan Yang Bukannya Karbon Nanotiub

Berbeza dengan ayat daripada surah Al-Qadr yang menyatakan bahawa malaikat turun dan roh itu padanya (di sisinya)... . Perkataan roh dihubungkaitkan dengan urusan dan persoalan tentang roh adalah berkaitan dengan urusan Tuhan. Pengetahuan tentang roh hanyalah sedikit sahaja kepada manusia dan perkara-perkara yang dapat dipelajari oleh manusia tentang roh adalah lebih menjurus kepada andaian belaka. Tangga-tangga kenaikan yang disebut dalam surah ini adalah lebih menjurus kepada persoalan kerohanian. Daripada usaha manusia yang ingkar, yang menghadapi hari-hari azab sedemikian dengan tangga-tangga kenaikan rekaan mereka, supaya mereka dapat menyelamatkan diri, adalah lebih baik mereka menyerahkan diri, menerima kematian mereka yang telah ditentukan Tuhan. Sehingga dapat menaiki tangga-tangga kenaikan yang Tuhan telah sediakan! Kerana hal sedemikian akan membuatkan mereka mengerti, hal kehidupan yang mereka lalui. 

Yang Kadarnya Sehari Adalah 50,000 Tahun

فى يوم كان مقداره خمسين الف سنة

Dalam sehari yang telah jadi ia kadarnya lima puluh ribu tahun.

Yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang-orang Yang bersalah) sungguh panjang, (kerana banyak hitungan hisab dan berat soal jawabnya).

ii.  Perkadaran Yang Amat Panjang

Itulah perkadaran yang tidak dinyatakan berdasarkan standard ukuran manusia. Namun yang pastinya, itu berkaitan dengan roh. Kiranya yang demikian itu, tentunya perkiraan dan pengalaman masa yang dilalui adalah suatu tempoh masa yang sangat lama. Persoalan tentang masa adalah lebih menjurus kepada persoalan ghaib. Manusia hanya mengetahui perkara yang telah berlalu dan tidak dapat merancang apa-apa terhadap kejadian yang telah berlaku.

iii.  Persoalan Tentang Masa

Tempoh hayat bagi manusia selalunya sekitar 60 hingga 70 tahun. Sehari bagi manusia adalah 24 jam dan sejam diukur untuk tempoh 3600 saat. Sesaat dapat dirasai sekira-kira kadar satu denyutan jantung. Suatu pempiawaian secara jitu sesaat dikira menggunakan bilangan jarak gelombang tertentu, kuanta gelombang yang dipancarkan oleh atom caesium. Masa ditakrifkan sebagai suatu faktor tidak bersandar yang disukat dengan gerak, sama ada pergerakan ayunan bandul atau pergerakan ayunan elektron dalam litar pemasa. Demikian itu adalah ukuran oleh manusia. Sesaat bagi makhluk lain seperti jin tentunya memiliki piawai ukuran masa yang berbeza. Pengalaman menempuh masa oleh manusia dan makhluk-makhluk lain adalah berbeza. Makhluk jin yang dikatakan menempuh usia yang lebih panjang daripada manusia sekitar 400 tahun tentunya akan dirasakan lama oleh manusia namun hanya dirasakan sekadar tempoh sehayat mereka sahaja. Pengalaman manusia yang menempuh alam jin dan kembali semula ke alam manusia dapat melalui tempoh sejam di sana adalah sekitar 6 jam di alam ini. Begitu juga pengukuran tempoh hayat yang dilalui manusia berbanding makhluk-makhluk lain sama ada yang ghaib atau yang nyata. Sesaat bagi semut barangkali dapat di'rasa'kan lebih lama berbanding sesaat bagi manusia. Oleh itu ukuran 50,000 tahun yang dilalui oleh malaikat dan roh dalam sehari ukuran Tuhan, mungkin memiliki piawaian pengukuran yang berbeza dengan ukuran manusia. Semua perkara sebenarnya berada dalam agenda Tuhan namun manusia tidak menyedari. Bahkan Tuhan jualah yang sentiasa mengalahkan atas urusanNya dan kebanyakan manusia tidak mengetahui.





Tuesday, June 24, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 3 -- DI SISI ALLAH TEMPAT-TEMPAT KENAIKAN


من الله ذى المعارج

Bukankah di sisi Tuhan telah ada tangga-tangga kenaikan?

dari Allah Yang Menguasai tempat-tempat turun naik -


Pengalaman Menempuh Kematian

Pengalaman yang dialami oleh seseorang yang berada dalam keadaan hampir menemui ajalnya, dapat melihat suatu terowong cahaya yang menyediakan tempat kenaikan. Penulis memperolehi maklumat ini daripada dokumentari yang disiarkan melalui siaran-siaran Astro, yang disediakan melalui wawancara individu tertentu yang pulih daripada pengalaman ke'mati'annya dari negara Barat sendiri. Adalah lebih baik sahaja mereka menyediakan diri untuk menempuh kematian pada ketika itu dan mendapatkan tangga-tangga kenaikan yang telah Tuhan sediakan.

Tentang hal yang demikian, penulis enggan mengulas lebih lanjut. Memilih untuk menempuh kematian atau berjuang meneruskan kehidupan barangkali merupakan suatu pilihan yang sukar untuk manusia. Perkara ini akan jelas kepada mereka sekiranya mereka mengerti apakah yang dinyatakan sebagai kehidupan dan kematian?






Wednesday, June 18, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 2 -- TIADA JALAN UNDUR BAGI GOLONGAN INGKAR


للكفرين ليس له دافع

Bagi golongan ingkar, tiada baginya, pengunduran. 

azab Yang disediakan untuk orang-orang Yang kafir, Yang tidak ada sesiapapun dapat menolak kedatangannya -

i.  Terjemahan bagi دافع

Iaitu suatu bentuk azab yang tidak akan memberi jalan undur kepada yang mengingkarinya. Persoalannya adalah, mengapakah azab itu begitu memilih sekali? Azab yang tidak memberi peluang kepada golongan ingkar untuk mendapatkan jalan undur, agar terhindar daripada azab berkenaan. Dalam terjemahan yang lain, dinyatakan sebagai azab yang tidak dapat ditolak. Bahkan perkataan دافع adalah lebih jitu untuk diterjemahkan sebagai undur, selain daripada perkataan tolak. Perkataan  مدفع diterjemahkan sebagai meriam, sejenis senjata yang akan mundur ke belakang setelah memuntahkan pelurunya. Apakah yang berlaku kepada golongan yang beriman?

ii.  Azab Yang Menimpa Secara Khusus

Bagaimanakah pula azab ini menimbulkan kesan terhadap golongan ingkar? Adakah golongan beriman termasuk golongan yang terhindar daripada azab sedemikian? Golongan ingkar, dengan angkuhnya mendakwa bahawa mereka berupaya menyediakan suatu penempatan untuk kehidupan di luar daripada ruang lingkup bumi ini. Mereka telah meletakkan beberapa buah stesen satelit yang mengelilingi bumi ini.

iii.  Usaha Apakah Yang Dapat Membantu?

Pada zaman ini telah digembar-gemburkan oleh golongan saintis ingkar, tentang suatu penemuan bahan yang dapat dibina menggunakan teknologi komposit karbon nano tiub. Bahan ini dikatakan terlalu kukuh sehingga dapat digunakan untuk tujuan dihulur ke angkasalepas sehingga dapat dihubungkan kepada stesen satelit sedia ada. Adakah stesen-(stesen) itu pada hari itu dapat diharap untuk dijadikan tempat kediaman manusia dengan tali-tali karbon nano tiub dapat digunapakai sebagai tangga untuk manusia naik kepadanya? 

 Beginikah Rupanya Projek Karbon Nanotiub
Untuk Menyediakan Tempat Melarikan Diri 
Suatu Masa Nanti?

Perubahan cuaca yang berlaku ketika ini, telah diakui disebabkan oleh kerja-kerja tangan manusia. Perkara yang penting sekali perlu disedari adalah, keadaan bumi yang masih menyediakan peluang kehidupan kepada manusia. Manusia secara terus-terusan memusnahkan kediaman mereka sendiri dan pada masa yang sama mendakwa, membuat sesuatu yang kononnya demi kebaikan umat manusia. Apakah apabila keadaan telah menjadi terlalu serius dan keadaan itu pastinya akan terjadi, barulah manusia mahu mengakui betapa pentingnya beriman kepada Tuhan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbetul keadaan, namun semuanya sudah terlewat?






Thursday, June 12, 2014

SURAH AL-MA'ARIJ AYAT 1 -- MANUSIA TERTANYA-TANYA TENTANG AZAB


سال سائل بعذاب الواقع

Telah bertanya seorang penanya akan azab yang menimpa.

salah seorang (dari kalangan orang-orang kafir Makkah, secara mengejek-ejek) meminta kedatangan azab Yang (dijanjikan) akan berlaku,

i.    Pengertian Waqi'

Perkataan واقع dapat juga dinyatakan sebagai 'yang berjatuhan atau yang turun' (56:75). Demikian itu kesan dakwah RasululLah S.A.W. pada suatu ketika dahulu sehingga membangkitkan keinginan seseorang untuk mencabar perkhabaran yang disampaikan oleh baginda. Tentunya dakwah oleh RasululLah S.A.W. yang akhirnya dilakukan secara terang-terangan telah memberi kesan yang mendalam terhadap jiwa umat pada suatu ketika dahulu. Bahawa akan berlaku azab sebelum berlakunya hari kehancuran alam ini kerana sesudah hari kehancuran, tidak akan ada lagi kehidupan di bumi ini dalam period dunia ini. Beginilah keadaan manusia apabila berhadapan dengan perkhabaran yang bakal terjadi.

ii.  Sesuatu Yang Menimbulkan Paranoia

Mempercayai perkhabaran perkara yang bakal terjadi, tentunya akan mengakibatkan paranoia dalam benak pemikiran seseorang. Perkhabaran daripada surah ini, yang memberitahu akan terjadi bencana sebelum berlakunya hari kehancuran As-Saah, tentunya akan diterima sebagai berita yang memeranjatkan. Tanpa menyebut masa akan terjadi bencana itu, akan mengakibatkan sebahagian mereka mengambil perkhabaran sedemikian, dengan jalan mengejek sehingga sanggup mencabar untuk didatangkan bencana berkenaan secara segera. Sebenarnya mereka sendiri yang sedang mengusahakan kedatangan bencana seumpama itu, dengan mencontohi pekerjaan-pekerjaan umat silam yang pernah ditimpa bencana. Namun bencana kali ini adalah merupakan bencana berterusan yang akan terjadi secara beransur-ansur hinggalah kepada kedatangan bencana yang besar.





Friday, June 6, 2014

SURAH AL MA'ARIJ


بسم الله الرحمن الرحيم

 
Gambaran Peristiwa Al-Ma'arij Menurut 
Pandangan Pelukis, Bakal Terjadi Dalam 
Beberapa Tahun Lagi Yang Dapat Dibilang

i.  Tentang Tempat Kenaikan

Bermula surah ini dinamai sedemikian rupa kerana terdapat perkataan ‘Al-Ma'arij’ pada 70:03. Kata dasar ijmak perkataan ini diterjemah sebagai ‘tangga’ yang dapat digunakan untuk tujuan naik ke kedudukan yang lebih tinggi. Tangga kenaikan adalah seperti tangga gerak atau eskalator atau lif, yang dapat digunakan untuk mengangkat seseorang atau sesuatu ke kedudukan yang lebih tinggi. Namun sesuatu yang menarik perhatian adalah untuk mendapatkan hubungkait antara tangga-tangga kenaikan dengan peristiwa berlakunya azab Tuhan, menjelang hari berlakunya azab. Adapun susunan peristiwa azab yang dapat digambarkan melalui surah ini  adalah dengan menyatakan terlebih dahulu tentang kejadian yang akan berlaku. Seterusnya mengimbau semula sikap manusia yang menjurus kepada kerosakan alam, akibat daripada pekerjaan tangan-tangan mereka sendiri yang akhirnya, terjadi azab yang tidak dapat diundurkan.

ii.   Persediaan Terhadap Bencana Yang Bakal Terjadi

Walaupun ayat pertama selepas ini menyentuh tentang azab kejatuhan (waqi'), pengajaran yang diperolehi ialah bentuk azab yang bakal terjadi, merupakan suatu yang umum yang dapat berlaku waktu terdekat ini. Azab sedemikian dapat berlaku sekarang ini atau pada bila-bila masa sebelum peristiwa Al-Waqi'ah, yang menjurus kepada peristiwa Al-Haqqah (69:15). Pengajaran surah ini harus diambil supaya manusia dapat bertindak segera sebelum sesuatu peristiwa azab sedemikian dapat terjadi. Langkah-langkah kerja daripada surah Al-Muzammil harus diperkira agar kesan kebinasaan daripada kejadian sedemikian dapat dikurangi, atau sekurang-kurangnya mereka telah membuat persediaan awal.

iii.  Gas-gas Pencemaran Yang Sedang Meningkat Naik

Pada pandangan yang lebih teliti, perkara kenaikan tidak harus menjurus hanya kepada tangga kenaikan. Sejurus sebelum peristiwa azab yang tidak dapat dielakkan itu, sebenarnya manusia telah melakukan suatu pekerjaan, sehingga mengakibatkan gas-gas pencemaran telah naik ke paras yang sangat tinggi sehingga dapat merosakkan ozon. Setelah manusia tidak mengambil perduli terhadap pencemaran yang berterusan dan bencana di bumi yang berterusan, kerosakan atmosfera telah menjalar lebih tinggi yang akhirnya membawa kepada kerosakan mengejut kepada kehidupan manusia di bumi ini.




Saturday, May 31, 2014

KANDUNGAN YANG TELAH DIBINCANGKAN


Surah Al-Rahman

55:01 – Tuhan Al-Rahman

55:02 – Tuhan Yang Mengajar Al-Qur'an

               i)    Al-Qur'an Yang Dipelajari
               ii)   Tuhan Yang Mengajar Al-Qur'an
               iii)  Jibril Menyampaikan Bayan Yang
                     Kemudiannya Menjadi SunanYang Juga
                     Disebut Al-Hadith
               iv)  Jibril Mengajar Ejaan Tertentu Untuk
                     Kalimah Tertentu Dan Juga Cara Baca
                     Tertentu Untuk Kalimat Tertentu
                     Yang Lain.
               v)   Ayat-ayat Yang Diulang-ulangkan
                     Pada Banyak Tempat Dalam Al-Qur'an

55:03 – Tuhan Yang Mencipta Manusia

               i)    Manusia Dicipta Tuhan
               ii)   Manusia Dicipta Sebagai Sebaik-baik
                     Yang Mendirikan
               iii)  Manusia Memegang Peranan Tertentu
                     Dihidupkan Di Bumi Ini

55:04 – Tuhan Yang Mengajar Al-Bayan

               i)    Apakah Al-Bayan?
               ii)   Bertelingkahnya Manusia Selepas
                     Menerima Al-Bayan
               iii)  Al-Bayan Adalah Suatu Yang
                     Memecah-belahkan Umat?

55:05 – Tuhan Yang Mencipta Matahari dan
            Bulan Dengan Kiraan

              i)    Tempoh Pergerakan Bulan dan Matahari
              ii)   Zodiak Yang Kini Berubah
              iii)  Ulangan Tempoh Matahari dan Bulan

55:06  - Bintang Atau Komet dan Pepohon Juga
             Tunduk Kepada Tuhan

55:07 - Langit Yang Ditinggikan dan Neraca Timbangan

              i)     Proses Pembentukan Planet
              ii)    Pemisahan Lapisan Langit
              iii)   Lapisan Langit Yang Semakin Ditinggikan
              iv)   Bumi Yang Dipenuhi Dengan Gas
                     Oksigen dan Nitrogen
              v)    Neraca Timbangan Pembentukan
                     Lapisan Langit
              vi)   Kepentingan Pembentukan Lapisan Ozon

55:08 - Jangan Sampai Melangkaui Timbangan

              i)    Manusia Telah Melangkaui Timbangan
              ii)   Cuaca Yang Semakin Berubah

55:09 - Tegakkan Timbangan Dan Jangan Merugikan

              i)    Timbangan Asid-Bes Brønsted–Lowry
              ii)   Timbangan Yang Tidak Lagi Seimbang
              iii)  Timbangan Yang Perlu Diimbangi
              iv)   Imbangan Jaluran Van Allen
              v)    Menanti Tindakan Mengejut Dari
                     Matahari Yang Merugikan

55:10 - Neraca Timbangan di Bumi dan Kegunaannya

              i)     Keseimbangan Kitaran Nitrogen
              ii)    Usaha Manusia Mengganggu
                     Kitaran Nitrogen
              iii)   Karbon Dioksida Bukanlah Punca
                     Kerosakan Cuaca Bumi
              iv)   Penyebab Atmosfera Bumi Yang
                     Semakin Panas

55:11 - Tabungan Nitrogen Di Muka Bumi

             Penghasilan Buah-buahan Oleh Tumbuhan

55:12 - Biji-bijian Dan Bunga-bungaan

              i)    Jerami Dan Peranannya
              ii)   Khasiat Bunga-bungaan Yang
                    Kurang Diketahui
              iii)  Timbangan Kini Yang
                    Boleh Manusia Ukur
              iv)  Suatu Anjakan Untuk Kita Semua
              v)   Idea Penapisan Dan Pembersihan Alam

55:13 - Manusia Dan Jin Harus Mempelajarinya

              i)    Manusia Dan Jin Sama-sama
                    Mempelopori Teknologi
              ii)   Permasalahan Jin dan Manusia

55:14 - Manusia Diciptakan Daripada Tanah Kering

              i)     Sifat Umum Bahan
              ii)    Bahan Asas Tembikar
              iii)   Struktur Tulang Adalah Suatu Yang Hidup

55:15 - Jin Dicipta Dari Plasma Api

              i)    Apakah Plasma?
              ii)   Kegunaan Plasma
              iii)  Jin Direkacipta Daripada Plasma
                    Yang Bertindan

55:16 - Manusia Dan Jin Harus Menerima
            Hakikat Penciptaan

55:17 - Tuhan Dua Timur dan Tuhan Dua Barat

             Pelbagai Kefahaman Tentang Dua Arah
             Mata Angin

55:18 - Unsur Asas Yang Sama, Berada Di 
            Dimensi Berlainan

55:19 - Dua Laut Bertemu Tetapi Terpisah

             i)    Bertemu tetapi terpisah
             ii)   Perbezaan antara lautan

55:20 - Terdapat Sempadan Antara Keduanya

             i)    Laut Alam Manusia Dan Laut Alam Jin
             ii)   Penyekat Yang Tidak Dilangkaui
             iii)  Analogi Penyekat Yang Tidak Melangkaui

55:21 - Pelajaran Dari Domain-domain Yang Berbeza

             i)    Pengenalan Kepada Kepelbagaian Domain
             ii)   Medan Dapat Ditakrif Melalui Domain
             iii)  Kajian Pengamatan Pada Spektral
                   Yang Luas
             iv)  Kajian Dimensi Pada Domain
                   Yang Berlainan

55:22 - Barangan Yang Berguna Buat Manusia

             i)    Mutiara
             ii)   Mutiara Untuk Kegunaan Kosmetik
             iii)  Batu Marjan

55:23 - Perawatan Daripada Mutiara Dan Marjan

             i)   Antioksidan SOD Mutiara Untuk
                  Awet Muda
             ii)  Antiradang Marjan Untuk Rawatan
                  Kulit Seperti Jerawat

55:24 - Persekitaran Seolah-olah Suatu Akuarium

55:25 - Pemandangan Indah Bawah Lautan Yang Dilupai

            i)    Aktiviti Manusia Yang Merosakkan
            ii)   Kesan Pemanasan Global Terhadap
                  Rumpai Laut
            iii)  Kerosakan Lautan Yang Dapat
                  Merosakkan Karang

Pengajaran Himpunan Awal Surah Al-Rahman

Kesimpulan

Untuk Renungan Bersama




Sunday, May 25, 2014

UNTUK RENUNGAN BERSAMA


(Prepares Of The Calamity - Part 1)

(Persediaan Menghadapi Bencana – Bahagian 1)

i.     Harga Ikan Bakal Naik Terlalu Tinggi

ii.    Bumi Mula Bertindakbalas Terhadap Perubahan
       Cuaca Yang Serius (02:155)


(Sedutan Daripada Artikel Dalam Akhbar The Star, Selasa 15 April 2014)

Fish Losing Their Survival Instinct In Acidic Oceans


SYDNEY : Fish are losing their survival instinct – even becoming attracted to the smell of their predators – as the world’s oceans become more acidic because of climate change, new research revealed. The study of fish in coral reefs off the coast of Papua New Guinea – where the waters are naturally acidic – showed the animals’ behavior become riskier.

“Fish will normally avoid the smell of a predator, that makes perfect sense,” lead author Professor Philip Munday from Australia’s James Cook University said. “But they started to become attracted to the smell of predator. That’s incredible.” Munday added that, “They also swim further from shelter and they are more active, they swim around more.” - AFP



(Terjemahan....)



Ikan Kehilangan Naluri Kemandirian Dalam Lautan Berasid 

SYDNEY : Ikan-ikan kehilangan naluri kemandirian – bahkan tertarik kepada hiduan pemangsa-pemangsa – apabila lautan-lautan di bumi menjadi semakin berasid disebabkan oleh perubahan cuaca, menurut pendedahan penyelidikan terbaru. Kajian yang telah dijalankan di Jaluran Terumbu Karang berhampiran pantai Papua New Guinea, yang airnya didapati secara tabiinya bersifat berasid, menunjukkan perlakuan haiwan-haiwan itu menjadi lebih berisiko.

“Pada kebiasaannya ikan akan mengelak daripada hiduan pemangsa, perkara itulah yang dapat diterima akal”, menurut Profesor Philip Munday dari Universiti James Cook, Australia, “tetapi kini mereka menjadi tertarik kepada hiduan pemangsa. Sungguh menghairankan.” Munday menambah lagi. “Mereka juga berenang lebih jauh dari tempat perlindungan mereka dan mereka menjadi lebih aktif, mereka berenang ke persekitaran lebih kerap”. - AFP






Monday, May 19, 2014

KESIMPULAN HIMPUNAN AWAL SURAH AL-RAHMAN


Penerangan himpunan awal surah Al-Rahman, sengaja penulis selitkan dalam huraian blog/buku ini sebagai suatu usaha menyingkap keadaan alam, yang selama ini telah menjadi tempat kediaman kita. Kita harus sentiasa cuba memerhatikan keadaan alam ini yang selama ini telah terbentuk melalui kestabilan dan pertimbangan tertentu. Sebelum datangnya peristiwa kehancuran alam ini yang pastinya tiada lagi jalan undur, marilah kita sama-sama menjalankan kempen besar-besaran mengajak umat untuk kembali menghayati pengajaran Al-Qur'an. 

Penulis optimis, hanya dengan jalan ini sajalah, akan membolehkan kita untuk terus bertahan pada bumi kediaman ini dengan penuh barakah hingga kepada masa ketentuan masing-masing. Masih adakah lagi persiapan yang paling besar selain daripada penghayatan terhadap Al-Qur'an? RasululLah S.A.W. telah melaksanakannya dan baginda telah berjaya, begitu juga dengan para sahabat R.A.H.M dan seterusnya diikuti oleh tabiin dan tabi' tabiin yang menuruti mereka itu.

Adakah wajar kita menanti-nanti bencana yang pasti akan berlaku, barulah kita mahu lakukan suatu perubahan? Baki kesempatan masa yang terhad, tidak harus kita sia-siakan semata-mata dengan mengejar kehidupan, yang kini dipenuhi dengan sistem riba. Sistem yang telah terbukti membawa kemudharatan terhadap kehidupan kita semua selama ini.




Tuesday, May 13, 2014

PENGAJARAN HIMPUNAN AWAL SURAH AL-RAHMAN


Himpunan awal surah Al-Rahman adalah bermula dari ayat pertama hingga ayat ke-25 ini. Permulaan daripada surah ini mengkhabarkan tentang sifat Tuhan Al-Rahman iaitu Tuhan Maha Pemurah yang telah mengajar Al-Qur'an. Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam surah Al-Mulk (67:19) yang menjelaskan antara sifat Tuhan Al-Rahman adalah Maha Melihat segala sesuatu, perkara ini harus disambut oleh manusia untuk turut memerhati rekaciptaan Tuhan Al-Rahman. Begitu juga apabila Tuhan menyebut sifatNya yang telah mengajar Al-Qur'an (55:02), manusia harus menyambutnya dengan mempelajari setiap ayat Al-Qur'an. Seterusnya dijelaskan sifat Tuhan Al-Rahman yang membentuk manusia dan manusia harus memerhatikan pembentukan dirinya sehingga kepada memahami peranan dirinya direkacipta. 

Al-Bayan adalah kaedah penerangan Tuhan terhadap ayat-ayat Al-Qur'an dan pelbagai tafsiran telah dibuat tentang Al-Bayan. Tugas penerangan telah dilaksanakan oleh Ar-Rasul S.A.W., sehingga semua perkataan Rasulullah S.A.W. dikatakan sebagai salah satu bentuk bayan atau penerang kepada Al-Qur'an.  

Penciptaan Tuhan terhadap matahari dan bulan dan hubungannya berdasarkan pengamatan di bumi ini adalah juga untuk tujuan pengiraan kepada manusia di bumi ini. Segala-galanya tunduk kepada Tuhan Al-Rahman sehinggalah kepada bintang atau komet dan juga apajua tumbuhan yang terdapat di bumi ini. Semua ini memerlukan pengamatan manusia agar mereka menyedari hakikat ini. 

Pengkajian tentang langit harus membawa kefahaman kepada manusia sehingga mereka dapat memahami bagaimana keseimbangan terbentuk di langit sehingga terpaparnya pembentukan jaluran tertentu. Seterusnya Tuhan telah memerintahkan agar manusia menjaga timbangan dan jangan menyalahi timbangan itu. Kedua-dua jenis makhluk berlainan iaitu manusia dan jin harus menyatakan syukur terhadap Tuhan atas segala bentuk nikmat yang diperolehi.




Tuesday, May 6, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 25 -- PEMANDANGAN INDAH BAWAH LAUTAN YANG SEMAKIN DILUPAI


فبأى ءالاء ربكما تكذبان

Maka dengan mana-manakah nikmat Tuhan kamu berdua yang kamu berdua dustakan.

maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan (Wahai umat manusia dan jin)?

i)    Aktiviti Manusia Yang Merosakkan

Beting, terumbu karang dan jaluran rumpai laut menyediakan suatu ekosistem, dapat musnah dalam tempoh sepetang hanya disebabkan oleh letupan dinamit dan racun sianida. Akibatnya populasi ikan akan lenyap disebabkan mereka kehilangan sumber makanan dan kediaman. Manusia kurang mengambil berat tentang kewujudan ekosistem ini sedangkan kawasan karang hanya sekitar 0.7% daripada keluasan laut dan lautan yang terdapat di bumi ini.

ii)   Kesan Pemanasan Global Terhadap Karang Laut

Struktur karang yang dibina oleh ribuan polip, haiwan sebesar cawan dalam laut, amat terkesan dengan suhu persekitarannya. Peningkatan air laut sehingga suhu 32° Celcius, dapat menyebabkan kematian polip yang penting untuk pembinaan karang baru. Kajian yang dijalankan oleh penyelidik-penyelidik dari Jabatan Sains Marin, Universiti Newcastle mendapati, karang berusia 800 tahun itu memerlukan tempoh selama 100 tahun untuk pulih semula selepas kerosakannya. Kiranya Great Barrier Reef yang terdapat di Lautan Pasifik berhampiran Australia musnah akibat perubahan cuaca, maka pantai timur Australia akan terdedah kepada ombak besar Lautan Pasifik yang dapat menghakis pantai dengan hakisan yang teruk. 

iii)   Kerosakan Lautan Yang Dapat Merosakkan Karang

Dalam surah Al-Baqarah ayat 2:155 sebelum ini, penulis telah membincangkan bagaimana pencemaran yang manusia lakukan, akhirnya membawa kebinasaan kepada kehidupan marin. Semua ini adalah fenomena awal yang menjurus kepada kejadian kerosakan di atas permukaan bumi yang turut membinasakan kehidupan manusia. Antara haiwan yang bersimbiosis dengan karang laut adalah ikan pelawak kenit (juvenile clownfish) dan ikan sudu itik (donald duck fish). Ikan-ikan ini memakan plankton dan juga parasit kecil yang mengganggu polip yang terdapat pada karang. Karang pula menyediakan tempat kediaman yang agak selamat kepada ikan ini dengan struktur yang dapat melukakan pemangsa-pemangsa besar yang cuba memburu ikan-ikan kecil di situ. Dengan kehadiran keadaan berasid yang tinggi, yang larut dalam air laut, ikan-ikan ini menjadi kurang sensitif dan dengan mudah menjadi mangsa kepada pemangsa yang lebih besar. Berkurangnya haiwan-haiwan yang dapat bersimbiosis dengan karang, menyebabkan polip pada karang, terdedah kepada pelbagai parasit dan ini akhirnya akan merencat pertumbuhan seterusnya karang laut. Dengan itu karang tidak lagi menjadi tempat yang sesuai untuk habitat haiwan-haiwan kecil, yang harus menjadi bekalan makanan dengan kadar tertentu kepada haiwan-haiwan yang lebih besar. Manusia perlu menyedari, hanya 0.7% daripada kawasan laut dan lautan dapat ditumbuhi dengan karang laut dan 0.7% kawasan berkenaan telah menyumbangkan 25% hidupan laut yang terdapat di bumi ini. Tanpa karang laut, semua bahagian lautan adalah ibarat padang pasir yang tidak sesuai untuk didiami oleh kebanyakan ikan. Demikian inilah bentuk pendustaan manusia terhadap Tuhan yang bersifat Al-Rahman dan atas pendustaan sedemikian, akan sampai masanya manusia menempuh bencana yang berat.

Marilah kita melakukan sesuatu dengan menuruti ajaran Al-Quran, 
supaya kesan sampingannya, keberadaan karang laut dapat terpelihara





Wednesday, April 30, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 24 -- PERSEKITARAN SEOLAH-OLAH SUATU AKUARIUM


وله الجوار المنشئات فى البحر كالأعلم

dan baginya suatu perhiasan berstruktur pada laut itu seolah-olah alam buatan (seperti akuarium)

dan Dia lah Yang Menguasai kapal-kapal Yang belayar di laut, Yang kembang tinggi layarnya seperti gunung-ganang;


Terjemahan yang penulis nyatakan ini berbanding terjemahan biasa adalah jelas berbeza. Perkataan الجوار daripada kata kerja جر  yang bererti telah berhampiran ia. Perhiasan adalah suatu contoh perkara yang hampir kepada seseorang. Dalam sebahagian terjemahan الجوار dinyatakan sebagai kapal-kapal, yang mungkin menunjukkan kapal-kapal itu berada bersebelahan atau keadaan kapal yang menyediakan ruang kecil sehingga barangan atau penumpang diletakkan dalam keadaan bersebelahan antara satu sama lain. Perkataan الأعلم adalah daripada perkataan asal عالم yang bererti alam. الأعلم  bukanlah merujuk kepada alam sebenar sekalipun ayat ini merujuk kepada persekitaran nyata bawah laut, tetapi lebih merujuk keindahan seolah-olah ianya adalah alam buatan. Terjemahan lain biasanya merujuk kepada gunung-gunung dan seterusnya ayat diterjemahkan kepada struktur layar yang berbentuk seperti gunung. Ayat-ayat Al-Qur'an sebenarnya terbuka kepada pelbagai bentuk terjemahan dan atas hal yang demikian Al-Qur'an sentiasa harus dikaji dan difahami pada pelbagai sudut kefahaman.





Thursday, April 24, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 23 -- PERAWATAN DARIPADA MUTIARA DAN MARJAN


فبأى ءالاء ربكما تكذبان

Maka dengan mana-manakah nikmat Tuhan kamu berdua yang kamu berdua dustakan.

maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan (Wahai umat manusia Dan jin)?

i)   Antioksidan SOD Mutiara Untuk Awet Muda

Bahan-bahan yang mengandungi kandungan antioksidan tinggi sama ada tumbuhan atau hasil laut, bertindak sebagai agen yang dapat meneutralkan keadaan berasid dalam tubuh. Bukan itu sahaja, bahkan antioksidan dapat 'menyerang' unsur-unsur plasma bertenaga tinggi dan menukarkannya kepada unsur biasa. Seringkali kita mendengar daun sireh, daun serta dahan zaitun digunakan dalam upacara keagamaan untuk tujuan menghalau makhluk halus. Antioksidan membekalkan elektron untuk menarik keluar unsur-unsur atau sebatian bercas positif dari tubuh. Peneutralan radikal bebas jenis stress oksidatif seperti RNS dan ROS dapat berlaku sehingga tubuh atau darah dikatakan berada dalam keadaan neutral iaitu kurang toksiditi. Enzim SOD yang terhasil dari sapuan serbuk mutiara pada kulit, bukan sahaja dapat mencerahkan kulit, bahkan juga sebagai bahan yang berguna untuk tujuan kesihatan dan awet muda. Penemuan terbaru pada tahun 2006 tentang SOD diperolehi melalui kajian yang dijalankan di sebuah Institut Kebangsaan di Perancis.

ii)  Antiradang Marjan Untuk Rawatan Kulit Seperti Jerawat

Penemuan terkini darihal jaluran karang laut (sea whip coral) adalah tentang karang lembut dan rumpai laut yang dapat ditemui di Caribbean atau mana-mana bahagian laut Khatulistiwa. Ianya menyediakan sumber asli yang sangat kuat sebagai ekstrak anti-radang yang selamat, berkesan dan mesra alam. Kajian klinikal yang pernah dijalankan telah menunjukkan bahawa ekstrak rumpai laut mempunyai kedua-dua ciri anti radang dan anti analgesik yang sangat sesuai digunakan untuk kulit. Rumpai laut memiliki keupayaan tersendiri sehingga dapat menghalang 90% daripada enzim radang - fosfolipase, yang sedia terdapat pada tubuh. Enzim fosfolipase tubuh ini sebenarnya adalah enzim asas kepada tindak balas keradangan kulit yang membawa kepada tanda-tanda kemerahan dan ketidakselesaan. Melalui penggunaan ekstrak ini, telah terbukti dapat membantu kulit untuk penyembuhan dengan sendirinya. 

Demikianlah Tuhan telah menyediakan penyelesaian segalajadi untuk kulit yang radang lagi sensitif yang bukan disebabkan oleh penyakit yang terlalu serius. Terumbu karang pula pada masa ini kadang-kadang telah dianggap sebagai kabinet perubatan abad ke-21. Tumbuhan terumbu karang dan haiwan laut berdarah biru adalah sumber penting ubat-ubatan baru yang sedang dibangunkan untuk merawat kanser, arthritis, jangkitan bakteria, penyakit Alzheimer, penyakit jantung, virus dan pelbagai penyakit lain. Sejak mula diketahui karang adalah haiwan yang bergerak, banyak daripadanya telah berkembang dengan pertahanan kimia diri untuk melindungi diri mereka daripada pemangsa. Ahli-ahli sains terus melakukan penyelidikan potensi perubatan daripada bahan asas ini. Pada masa hadapan, ekosistem terumbu karang boleh mewakili satu sumber yang semakin penting dalam rawatan perubatan, pemakanan tambahan, racun perosak, kosmetik dan pelbagai produk komersil yang lain.




Friday, April 18, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 22 -- BARANGAN YANG BERGUNA BUAT MANUSIA


يخرج من هما اللؤلؤ و المرجان


Ia keluar dari keduanya mutiara dan permata karang

dari kedua laut itu, keluar mutiara dan marjan

Perkataan منهما bererti daripada keduanya. Kalimat ini bermaksud kedua-duanya, laut dengan sungai, laut dengan laut yang lain atau laut alam maya dengan laut alam buana, yang dapat mengeluarkan mutiara dan permata marjan. Namun apabila ayat ini dicantumkan menjadi يخرج منهما yang bererti ia keluar daripada keduanya, menunjukkan tempat pertemuan antara dua yang bersempadan itu, keluar sesuatu. Iaitu mutiara dan permata marjan.

i)  Mutiara

Mutiara adalah sejenis batuan yang terdapat pada tiram. Adakah tiram menggunakan mutiara untuk menarik minat tiram lain? Tentulah tidak! Mutiara sebenarnya dikatakan bertindak sebagai alat untuk mempertahankan diri. Jika ada benda asing yang cuba menghampirinya, tiram akan melindungi diri dengan satu lapisan yang ia keluarkan. Lapisan itu bersatu membentuk objek sfera iaitu mutiara. Jadi, haiwan-haiwan yang mengancam keselamatan tiram dikatakan takut dengan kewujudan mutiara! Hal ini hanyalah tanggapan belaka. Umumnya telah diketahui bahawa mutiara digunakan sebagai perhiasan dalam bentuk aksesori seperti aksesori berbentuk cincin, rantai, mahkota, serta gelang dan tidak ramai yang mengetahui mutiara juga digunakan untuk tujuan kosmetik dan cat. Walaupun kini tiram boleh diternak, penyelam-penyelam pada masa dahulu mendapatkan mutiara dalam tiram di muara sungai, tempat bertemunya air sungai dan air laut. Mutiara asli dengan warna putih berkilau, memiliki bentuk pelbagai dan tidaklah begitu simetri.


ii)  Mutiara Untuk Kegunaan Kosmetik

Keanggunan penggunaan kosmetik mutiara akan disebutkan dalam surah Al-Insan (76:19-20). Sejarah penggunaan mutiara untuk tujuan kosmetik telah dimulai di negara China, dalam kalangan isteri-isteri maharaja suatu ketika dahulu. Harga butiran mutiara yang mahal, telah menyebabkan mereka yang kaya dan berada sahaja, mampu memanfaatkannya. Namun dengan teknologi terkini dan daripada kajian-kajian yang dijalankan, mutiara kini dapat dihasilkan pada jumlah yang banyak melalui ternakan tiram. Mutiara digunakan untuk perawatan kecantikan melalui penghasilan serbuk mutiara peringkat nano. Serbuk mutiara daripada jenis ini yang paling mahal adalah yang berwarna putih keemasan. Kini produk kecantikan ini boleh didapati dengan mudah melalui kaedah jualan langsung yang disertakan bersama penjualan bahan-bahan antioksidan yang lain. Kandungan penting bahan aktif yang terdapat dalam serbuk mutiara, dapat merangsang penghasilan superoxide dismutase – SOD, yang dapat merencat penghasilan melanin. Dengan kurangnya penghasilan melanin, kulit akan kelihatan semakin cerah dan keberkesanan produk seperti ini amat digilai oleh ramai wanita berada. Bahan SOD yang dihasilkan juga dapat merencat perembesan hormon oleh sel T, sehingga penghasilan hormon pembesaran ADH diperlahankan, seterusnya bertindak sebagai suatu pengawetan kepada tubuh supaya melalui proses penuaan yang dilambatkan.


iii)   Batu Marjan

Batu marjan diperolehi daripada karang batu yang tumbuh di dasar laut. Daripada batu marjan, pelbagai jenis permata boleh dibentuk berdasarkan keadaan asal warna batu karang yang diperolehi. Terdapat pelbagai jenis permata yang dapat dibentuk daripada batu marjan seperti batu akid, nilam dan yang paling disukai adalah batu delima marjan. Sekiranya mutiara menjadi perhiasan utama golongan wanita, batuan marjan  seperti ini kebanyakannya dijadikan permata cincin kepada golongan lelaki. Terdapat pelbagai mistik yang melingkung batuan marjan, antaranya adalah untuk memperolehi bantuan ghaib melalui jin-jin atau berhubungan dengan mereka. Karang laut pula dikatakan menjadi punca kepada simptom kerasukan makhluk halus. Dalam sesetengah perawatan terhadap mangsa kerasukan, sesetengah bomoh atau dukun, akan mengarahkan supaya mangsa membuang karang laut yang terdapat atau tersimpan di rumah mereka. Sesetengah karang laut dijadikan perhiasan langsir tingkap atau dijadikan tirai pintu.


Karang Laut Tempat Terhasilnya Batuan Marjan





Saturday, April 12, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 21 -- PELAJARAN DARIPADA DOMAIN-DOMAIN YANG BERBEZA


فبأى ءالاء ربكما تكذبان

Maka dengan mana-manakah nikmat Tuhan kamu berdua yang kamu berdua dustakan.

maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan.

i)    Pengenalan Kepada Kepelbagaian Domain

Manusia mula mempelajari kepelbagaian domain apabila mereka berusaha menyelesaikan permasalahan teknikal dalam kerja-kerja kejuruteraan mereka. Bermula daripada kajian pembolehubah kompleks yang membentuk domain kompleks untuk menyelesaikan permasalahan hidrologi dalam ruangan tertutup, kepada fungsi logaritma kompleks dalam teknologi pembetulan fotografi, sehinggalah kepada pembentukan domain frekuensi untuk menyelesaikan permasalahan isyarat komunikasi.

ii)    Medan Dapat Ditakrif Melalui Domain


Kemudian manusia menyedari tentang peranan medan dalam membentuk kepelbagaian domain bagi menyelesaikan kiraan cas elektrostatik, kesan potensi elektromagnetik dan kesan medan magnetik dalam domain quasi-statik. Penakrifan tentang ruang, membuka lembaran baru dalam kajian matriks, sehingga manusia mampu membina teknologi pemaparan berasaskan kiraan komputer. Daripada kajian sedemikian, penggabungan domain quasi-statik yang ditakrif semula dalam ruangan matriks, telah membuka lembaran baru terbentuknya simulasi alam maya melalui paparan komputer untuk tujuan sistem peramalan cuaca, perambatan ionosfera dan sebagainya. 

iii)  Kajian Pengamatan Pada Spektral Yang Luas

Apabila kajian manusia menjadi lebih terperinci sehingga ke peringkat mikroskopik dan megaskopik, contohnya untuk pergerakan yang sangat laju atau untuk medan tarikan melibatkan jisim yang sangat besar atau kesan medan melibatkan arus yang sangat kuat atau keamatan frekuensi yang bersangatan, segala-galanya perlu ditakrif semula. Bunyian sonik bertindak seperti pepejal, cahaya berkeamatan tinggi dapat  mengubah unsur atau sebatian menjadi plasma, medan magnetik dapat menghasilkan graviti dan antigraviti buatan, jisim meningkat dengan peningkatan kelajuan, cahaya terpesong oleh kesan pinggiran dan juga oleh kesan tarikan graviti objek sangat besar dan isyarat radio yang kuat yang dipancar melalui frekuensi sangat rendah didapati mengubah tingkah laku manusia. Semua ini memerlukan kajian khusus melibatkan perbelanjaan besar dan risiko bahaya yang tertentu. Dimensi-dimensi baru dapat ditakrif dan manusia mulai menerima hakikat kehadiran makhluk-makhluk ghaib yang sebelum ini tidak diketahui kehadiran mereka.

iv)   Kajian Dimensi Pada Domain Yang Berlainan 

Antara perkara menarik ialah, sifat fizikal seperti jarak, luas dan isipadu pada ukuran domain quasi-statik tidak dapat lagi diguna pakai untuk menjelaskan sifat fizikal domain plasmik. Makhluk-makhluk jin dikatakan dapat mendiami ruangan yang jauh lebih kecil berbanding ruangan manusia dan antara yang unik adalah, mereka dikatakan dapat memanfaatkan permata seperti batu delima marjan untuk dijadikan perantara antara dua alam ini. Tentunya hal yang demikian memerlukan kajian teliti untuk menjelaskan permasalahan ini.






Sunday, April 6, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 20 -- TERDAPAT SEMPADAN ANTARA KEDUANYA


بينهما برزخ لا يبغيان

Antara keduanya, barzakh, tidak dua itu melangkaui

di antara keduanya ada penyekat Yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya;

i)    Laut Alam Manusia Dan Laut Alam Jin

Yang dinyatakan pada 55:19 boleh juga dirujuk kepada laut alam manusia dan laut alam jin. Oleh kerana unsur dan sebatian dalam keadaan fizikal plasmik dapat menembusi unsur dan sebatian dalam keadaan fizikal quasi-statik, maka pertindanan antara alam jin dan alam manusia dapat berlaku dengan sewajarnya. Penulis menyatakan alam jin sebagai alam buana dalam domain plasmik, manakala alam manusia sebagai alam maya dalam domain quasi-statik. Pertindihan berlaku antara domain plasmik dan quasi-statik, dengan sedikit kesan induksi yang tidak begitu ketara. Oleh itu, apajua yang dapat wujud di domain plasmik adalah merupakan kedualan yang serupa yang boleh didapati pada peringkat domain quasi-statik.

ii)   Penyekat Yang Tidak Dilangkaui

Istilah برزخ (barzakh) bererti penyekat atau suatu sekatan. Alam barzakh adalah alam kematian, yang kita hidup di dunia telah tersekat daripada mengetahui lebih lanjut tentang alam ini. Tanggapan manusia terhadap barzakh lebih kepada persangkaan dan hanya rujukan agama sahaja buat masa ini yang boleh diharap sebagai jalan untuk penduduk bumi ini menyedari adanya alam barzakh. Hanya individu tertentu sahaja dalam kalangan manusia dan dalam kalangan jin yang dapat melepasi sekatan barzakh dan berulang alik antara domain plasmik dan domain quasi-statik. Domain plasmik dalam kalangan masyarakat Melayu adalah alam bunian.

iii)   Analogi Penyekat Yang Tidak Melangkaui

Penulis masih ingat, pada suatu ketika dahulu, pada awal era 70'an, penulis pernah menemui radio lama yang terbuat daripada tiub-tiub vakum yang hanya memaparkan siaran-siaran modulasi amplitud (AM), siaran gelombang pendek (SW) dan siaran gelombang sederhana (MW). Radio itu dibalut dengan dinding kayu dan saiznya jauh lebih besar daripada radio yang digunakan kini. Tidak ditunjukkan di sana siaran modulat frekuensi (FM) melainkan siaran gelombang panjang (LW), barangkali disebabkan oleh kekangan teknologi pada masa itu. Kemudian muncul radio yang menyiarkan rancangan melalui siaran FM dan semakin lama, penggunaan siaran modulasi amplitud seperti AM dan SW semakin berkurangan. Domain siaran telah bertukar mod dari domain masa ke domain frekuensi. Semuanya berlaku apabila persembahan matematik terhadap isyarat radio dapat diterjemahkan kepada domain frekuensi. Mereka yang pakar tentang isyarat komunikasi mengakui bahawa domain siaran AM sentiasa berada di tempat yang sama iaitu dalam ruangan yang sama dengan domain siaran FM, hanya penerima isyarat seperti radio dapat membezakannya melalui litar tertentu. 

Dengan lain perkataan, isyarat-isyarat itu didapati bertindan tetapi terpisah antara satu sama lain melalui permodulatan yang berbeza. Begitu juga teknologi terkini yang melibatkan penghantaran isyarat digital terproses – DSP, yang membolehkan pengguna internet dapat menggunakan laluan yang sama sekitar masa serentak. Semua ini dapat dibezakan melalui kefahaman perbezaan domain yang dilalui oleh dua atau lebih isyarat yang berbeza, pada fasa masa yang berbeza dan modulat frekuensi yang berbeza. 

Dalam hal ini, adalah tidak mustahil untuk dua alam yang berlainan membentuk domain kewujudan yang berlainan sekalipun berada pada masa dan tempat yang sama. Hanya sanya sehingga ke tahap ini, manusia belum begitu memahami tentang domain plasmik tempat tinggal bangsa jin dan domain kosmik alam kediaman para malaikat. Kajian-kajian manusia sehingga ke tahap ini hanya terhad dalam domain quasi-statik iaitu alam maya yang terbina daripada unsur-unsur atau sebatian yang cenderung untuk bersifat neutral.




Popular