خلق الإنسن من صلصل كالفخار
Telah mencipta Ia akan manusia itu, daripada tanah kering bertalun seperti tembikar
ia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar
Perkataan صلصل bererti suatu yang berdenting, iaitu suatu yang menghasilkan bunyi berpanjangan. Sesuai juga untuk suatu yang mengeluarkan bunyi talaan tertentu apabila diketuk seperti tembikar atau pisau nirkarat yang diketuk sesamanya. Suatu yang dapat bertalun memiliki pekali Modulus Young yang tinggi iaitu bersifat kenyal dan tidak mudah pecah atau patah, melainkan sekiranya daya yang sangat besar dikenakan padanya. Nyatanya ayat ini secara khususnya merujuk kepada tulang manusia yang merupakan bahagian mekanikal.
i) Sifat Umum Bahan
Apabila kita membicarakan suatu bahan yang keras yang tidak
mudah patah atau pecah, melainkan dengan daya yang sangat kuat,
perbincangan tidak lari daripada sifat bahan seramik. Seramik memiliki
sifat yang berlawanan daripada logam yang bersifat kuat dan mulur
manakala seramik adalah keras dan rapuh. Ahli-ahli sains bahan sentiasa
memikirkan untuk menghasilkan suatu bahan yang keras dan mulur supaya
peralatan mekanikal yang terhasil tidak mudah mengalami kegagalan.
Nyatanya bahan sedemikian telah disediakan Tuhan terlebih dahulu pada
manusia yang terdiri daripada tulang belulangnya yang bersifat keras dan
mulur. Sifat mulur bagi tulang adalah bertujuan untuk mendapatkan
keadaannya yang mudah melengkung apabila dikenakan dengan bebanan daya
yang agak tinggi. Perkara yang paling menarik bagi manusia adalah tulang
pelvik ibu dapat juga berubah menjadi sangat mulur dan lembut untuk
tujuan memudahkan kelahiran bayi. Baru-baru ini suatu kajian
sains bahan terhadap bahan komposit telah dihasilkan oleh penyelidik di
Universiti Sains Malaysia. Bahan yang dihasilkan itu dikatakan dapat
menggantikan tulang manusia kerana memiliki sifat keras dan mulur dan
diharapkan hasil kajian ini, suatu masa nanti akan dapat digunakan
secara meluas di hospital-hospital. Kajian demi kajian terus dilakukan
pada peringkat penyelidikan, supaya bahan yang bersifat seperti tulang
manusia dapat dihasilkan.
Pembakaran tanah liat untuk dijadikan tembikar adalah suatu aktiviti
mengubah struktur butiran-butiran yang terdapat dalam tanah liat
berkenaan. Selain daripada tujuan mengeraskan tanah liat untuk menjadi
seperti batu, pemanasan setiap butiran tanah liat menjadikannya mencair
memenuhi lompang-lompang antaranya dan menambahkan lagi sempadan butiran
sebelum mengeras semula apabila disejukkan. Antara teknik yang sangat
baik bagi meningkatkan kekuatan tembikar, tanah liat yang digunakan
sebelum dibakar, haruslah terlebih dahulu dikeringkan dan dihancurkan
menjadi seperti tepung. Teknik terkini yang menghasilkan butiran tanah
liat bersaiz nano, sangat memberi kesan dalam menghasilkan tembikar yang
sangat keras. Sekiranya diperhatikan struktur tulang yang
diperhatikan di bawah mikroskop, kita akan dapati betapa sukarnya
menentukan saiz sempadan butir tulang. Pembentukan butiran tulang adalah
sangat kecil sehingga bersaiz nano. Bagaimanakah saiz sekecil bersaiz
nano dapat dihasilkan dalam tulang? Semua ini menunjukkan kejuruteraan
teliti yang Tuhan telah laksanakan dalam agenda penciptaan manusia.
iii) Struktur Tulang Adalah Suatu Yang Hidup
Tulang dalam tubuh yang hidup dapat terbina semula apabila mengalami
kecederaan seperti patah atau retak. Keistimewaan ini membolehkan tulang
dapat memanjang semula dan bercantum kembali menjadi seperti keadaan
asal. Bahkan terdapat rawatan yang menyakitkan untuk tujuan memanjangkan
tulang supaya seseorang dapat menambah ketinggiannya. Saraf yang
terdapat dalam tulang dapat mengesan perubahan suhu yang berlaku pada
tulang. Sesetengah struktur tulang seperti yang terdapat pada gigi
haiwan, yang telah mengalami kehausan akibat geseran berpanjang, dapat
terbina semula dan kelebihan ini tidak terdapat pada manusia.
No comments:
Post a Comment