علم القراًن
Telah benar-benar mengajar Ia akan Al Qur'an
Dialah Yang telah mengajarkan Al-Quran.
Tuhan Al-Rahman adalah Tuhan yang benar-benar telah mengajar Al-Qur'an kepada kita semua. Tuhan tidak menyerahkan Al-Qur'an begitu sahaja untuk kita pelajari tetapi telah turut menyerahkan manual untuk membaca serta memahami Al-Quran itu sendiri. Al-Quran yang Tuhan utuskan kepada manusia melalui malaikat Jibril A.S. dan juga yang dibacakan oleh Muhammad RasululLah S.A.W. serta disalin oleh para sahabat R.A.H.M yang menulisnya, juga terkandung manual cara bacaan.
i) Al-Qur'an Yang Dipelajari
Oleh kerana Al-Qur'an itu sendiri membawa maksud bacaan, Al-Qur'an harus dihampiri berdasarkan bacaan. Pembelajaran Al-Qur'an harus melalui kaedah bacaan dari satu ayat kepada ayat-ayat selanjutnya. Perantaraan bacaan adalah melalui pena. Demikian itu perkara yang telah dijelaskan melalui surah Al-A'laq (96:04).
ii) Tuhan Yang Mengajar Al-Qur'an
Buat pertama kali apabila Jibril A.S. menurunkan wahyu kepada Muhammad RasululLah S.A.W., baginda menerimanya dalam keadaan tidak bersedia. Baginda tidak mengharapkan untuk menjadi seorang nabi atau rasul melalui aktiviti uzlah di Gua Hira. Jibril A.S., sebagaimana yang diperintahkan, telah menyampaikan wahyu Tuhan kepada Muhammad RasululLah S.A.W. dan Jibril A.S. tidak mewahyukan kepada RasululLah S.A.W. ayat-ayat sendiri.
iii) Jibril Menyampaikan Bayan Yang Kemudiannya
Menjadi Sunan Yang Juga Disebut Al-Hadith
Setelah beberapa ketika Muhammad RasululLah S.A.W. menerima wahyu, baginda telah diisytiharkan sebagai rasul untuk umat ini, baginda telah berterusan berhubungan dengan Jibril A.S. Jibril A.S. berulang-ulang kali datang kepada RasululLah S.A.W., untuk menyemak bacaan Al-Qur'an terutamanya dalam bulan Ramadhan sehinggalah hari-hari terakhir hayat baginda. RasululLah S.A.W. berpeluang untuk menerima penerangan-penerangan tentang ayat Al-Quran dan Jibril A.S. menyampaikannya sebagaimana yang telah diperintah Tuhan.
iv) Jibril Mengajar Ejaan Tertentu Untuk Kalimah Tertentu
Dan Juga Cara Baca Tertentu Untuk Kalimat Tertentu
Yang Lain.
Bukan itu sahaja, bahkan sehingga kepada perubahan sebahagian huruf-huruf tertentu dalam Al-Qur'an juga, dinyatakan oleh malaikat Jibril A.S. Contohnya adalah seperti perkataan بصطة yang perlu disebutkan huruf shadnya sebagai huruf sin (Al A'araf 07:69) yang bermakna kekuatan. Terdapat banyak tempat lain yang penulis akan sebutkan apabila sampai tempatnya. Adapun hikmah perubahan huruf dalam ayat seperti ini, hanya Tuhan sahaja yang lebih mengetahui.
v) Ayat-ayat Yang Diulang-ulangkan Pada Banyak Tempat
Dalam Al-Qur'an
Terdapat ayat-ayat yang diulangi pada banyak tempat terutama yang berkaitan dengan sifat-sifat Tuhan. Pada sebahagian tempat, perkaitan yang dapat dibuat, menjadi salah satu kaedah tafsir bagi ayat-ayat tertentu. Namun tafsir mengikut kaedah ini telah menjadi suatu yang diabaikan pada masa ini sehingga, banyak daripada pelajaran ayat Al-Qur'an tidak lagi dihayati. Umat kehilangan manfaat besar dalam memahami wahyu.
No comments:
Post a Comment