فبأى ءالاء ربكما تكذبان
Maka dengan mana-manakah nikmat Tuhan kamu berdua yang kamu berdua dustakan.
maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan (Wahai umat manusia dan jin)?
i) Aktiviti Manusia Yang Merosakkan
Beting, terumbu karang dan jaluran rumpai laut menyediakan suatu ekosistem, dapat musnah dalam tempoh sepetang hanya disebabkan oleh letupan dinamit dan racun sianida. Akibatnya populasi ikan akan lenyap disebabkan mereka kehilangan sumber makanan dan kediaman. Manusia kurang mengambil berat tentang kewujudan ekosistem ini sedangkan kawasan karang hanya sekitar 0.7% daripada keluasan laut dan lautan yang terdapat di bumi ini.
ii) Kesan Pemanasan Global Terhadap Karang Laut
Struktur karang yang dibina oleh ribuan polip, haiwan sebesar cawan dalam laut, amat terkesan dengan suhu persekitarannya. Peningkatan air laut sehingga suhu 32° Celcius, dapat menyebabkan kematian polip yang penting untuk pembinaan karang baru. Kajian yang dijalankan oleh penyelidik-penyelidik dari Jabatan Sains Marin, Universiti Newcastle mendapati, karang berusia 800 tahun itu memerlukan tempoh selama 100 tahun untuk pulih semula selepas kerosakannya. Kiranya Great Barrier Reef yang terdapat di Lautan Pasifik berhampiran Australia musnah akibat perubahan cuaca, maka pantai timur Australia akan terdedah kepada ombak besar Lautan Pasifik yang dapat menghakis pantai dengan hakisan yang teruk.
iii) Kerosakan Lautan Yang Dapat Merosakkan Karang
Dalam surah Al-Baqarah ayat 2:155 sebelum ini, penulis telah membincangkan bagaimana pencemaran yang manusia lakukan, akhirnya membawa kebinasaan kepada kehidupan marin. Semua ini adalah fenomena awal yang menjurus kepada kejadian kerosakan di atas permukaan bumi yang turut membinasakan kehidupan manusia. Antara haiwan yang bersimbiosis dengan karang laut adalah ikan pelawak kenit (juvenile clownfish) dan ikan sudu itik (donald duck fish). Ikan-ikan ini memakan plankton dan juga parasit kecil yang mengganggu polip yang terdapat pada karang. Karang pula menyediakan tempat kediaman yang agak selamat kepada ikan ini dengan struktur yang dapat melukakan pemangsa-pemangsa besar yang cuba memburu ikan-ikan kecil di situ. Dengan kehadiran keadaan berasid yang tinggi, yang larut dalam air laut, ikan-ikan ini menjadi kurang sensitif dan dengan mudah menjadi mangsa kepada pemangsa yang lebih besar. Berkurangnya haiwan-haiwan yang dapat bersimbiosis dengan karang, menyebabkan polip pada karang, terdedah kepada pelbagai parasit dan ini akhirnya akan merencat pertumbuhan seterusnya karang laut. Dengan itu karang tidak lagi menjadi tempat yang sesuai untuk habitat haiwan-haiwan kecil, yang harus menjadi bekalan makanan dengan kadar tertentu kepada haiwan-haiwan yang lebih besar. Manusia perlu menyedari, hanya 0.7% daripada kawasan laut dan lautan dapat ditumbuhi dengan karang laut dan 0.7% kawasan berkenaan telah menyumbangkan 25% hidupan laut yang terdapat di bumi ini. Tanpa karang laut, semua bahagian lautan adalah ibarat padang pasir yang tidak sesuai untuk didiami oleh kebanyakan ikan. Demikian inilah bentuk pendustaan manusia terhadap Tuhan yang bersifat Al-Rahman dan atas pendustaan sedemikian, akan sampai masanya manusia menempuh bencana yang berat.
Marilah kita melakukan sesuatu dengan menuruti ajaran Al-Quran,
supaya kesan sampingannya, keberadaan karang laut dapat terpelihara
supaya kesan sampingannya, keberadaan karang laut dapat terpelihara
No comments:
Post a Comment