SUMBANGAN UNTUK PONDOK

Kepada pengunjung blog yang budiman! Kepada Sesiapa Berhajat Untuk Infak Kepada Pondok Al Jaafar

(Sila Klik Di Sini).

Mudah-mudahan Sumbangan Anda Menjadi Amal Jariah Dan Mendapat Rahmat Di Sisi Allah S.W.T. Amin.

Wednesday, January 15, 2014

SURAH AL-RAHMAN AYAT 3 -- TUHAN YANG MENCIPTA MANUSIA

 خلق الإنسن

Telah mencipta Ia akan manusia

Dialah Yang telah menciptakan manusia.

Tuhan Al-Rahman, adalah Tuhan yang telah mencipta manusia. Penemuan-penemuan terkini tentang kejadian manusia, telah diambil kesempatan oleh puak Raelian, yang menganggap bahawa manusia adalah suatu rekaciptaan makhluk asing yang tercanggih berbanding ciptaan-ciptaan yang lain. Filem penuh kontroversi iaitu Promethius, cuba memaparkan bahawa manusia dicipta menurut wajah makhluk asing yang telah terubahsuai. Adakah kenyataan sedemikian boleh diterima? Kenyataan yang sungguh melucukan ini, tidak pernah didengar sebelum ini. Sesiapapun tidak pernah mendengar sebelum ini, bahkan semasa rantaian DNA mula-mula sekali dijumpai oleh saintis, kenyataan seperti ini tidak pernah disebut langsung. Mengapakah mereka mengambil masa yang lama untuk membuat pendakwaan sedemikian? Mereka ini hanya cuba mengambil kredit daripada usaha manusia sendiri darihal kefahaman tentang hidupan.

i)   Manusia Dicipta Tuhan

Secara mikroskopik, tubuh manusia terbina daripada sel-sel. Setiap sel dalam tubuh manusia terdiri daripada nukleus bersama komponen-komponen seperti sitoplasma, mitokondria jasad Golgi dan sebagainya. Kita tidak dapat membayangkan, bagaimana sel-sel bergabung membentuk organ-organ yang terpisah dan setiap organ dalam tubuh saling berinteraksi, antara satu sama lain dalam keadaan seimbang. Keseimbangan dalam penciptaan manusia adalah suatu yang amat menakjubkan para saintis yang membuat kajian tentang tubuh manusia. Sebagai contoh, tubuh manusia dapat menghasilkan hormon melatonin, apabila senja hampir menjelang tiba dan tubuh sebenarnya tidak memerlukan keadaan untuk berada di kawasan yang terdedah kepada pencahayaan matahari untuk berkeadaan demikian. Untuk memahami keadaan ini, kita mungkin harus menerima tentang sesuatu yang dikenali sebagai detik masa biologi yang sedia terdapat dalam tubuh manusia. Sehingga kini tiada seorang saintis yang dapat menjelaskan, di manakah detik masa biologi itu berada? Adakah ianya merupakan organ khusus yang terdapat dalam tubuh yang sehingga kini belum ditemui atau suatu yang terselindung di sebalik sel? Di manakah dia, makhluk asing berkepala mentol yang bersedia memberi jawapan secara pasti?

'Makhkuk Asing' seperti inikah yang mencipta manusia? 
Kiranya mereka berada di bumi ini, untuk mengangkat 
 kepalanya sendiri tentunya tak larat.

Adakah dengan hanya satu kenyataan, terdapat suatu enzim atau hormon dalam tubuh manusia yang mengawal kepintaran, yang tidak terdapat dalam mana-mana haiwan, dapat dijadikan alasan, bahawa keadaan itu dicipta oleh makhluk asing? Sekiranya demikian, dapatkah saintis yang wujud sekarang ini, menyunting bahagian DNA manusia yang spesifik ini, kepada sel zigot haiwan, melalui teknik pengklonan atau teknik apapun, agar haiwan yang akan dilahirkan nantinya, merupakan haiwan yang pintar? Saintis yang paling pintar sekalipun, sehingga kini masih gagal dalam usaha menghasilkan satu bakteria atau virus yang baru, sekalipun mereka berupaya mengubahsuai genetik haiwan-haiwan tertentu. 

ii)   Manusia Dicipta Sebagai Sebaik-baik 
      Yang Mendirikan

Sebelum Tuhan mencipta Adam A.S., Tuhan telah mencipta bangsa Jin terlebih dahulu. Penulis tidak pasti mengapakah bangsa jin tidak diberi kepercayaan untuk menjadi khalifah di bumi ini? Namun apa yang penulis fahami ialah, bangsa jin tidak layak diberi amanah sedemikian kerana sikap mereka yang mengagungkan kesombongan lebih besar berbanding ke- rendahan hati. Sikap sedemikian sebenarnya dapat membawa kebinasaan kepada bumi ini. Tentang peranan manusia sebagai sebaik-sebaik yang mendirikan, akan penulis jelaskan dengan lebih mendalam lagi dalam Surah At-Tin nanti. Buat masa ini memadai untuk penulis nyatakan bahawa, manusia lebih dapat menguasai sifat ego atau kesombongannya berbanding bangsa jin.

iii)   Manusia Memegang Peranan Tertentu 
       Dihidupkan Di Bumi Ini

Oleh kerana surah Al-Rahman, turut membicarakan tentang pertimbangan neraca, manusia diutuskan ke bumi ini adalah atas tujuan untuk menegakkan timbangan yang berkaitan dengan segala perkara yang mereka hadapi dalam kehidupan mereka. Untuk itu mereka harus, menjalani tugasannya sebagai hamba kepada Tuhan bagi melaksanakan perintahNya. Semua itu ada agendanya yang hanya diketahui Tuhan. Penciptaan setiap diri manusia itu sendiri adalah untuk memenuhi sebuah agenda dan setiap agenda yang dilalui oleh setiap manusia, perlu dilalui dengan rasa bertanggungjawab oleh setiap individu berkenaan. Lalu bagaimanakah peranan yang dilaksanakan akan menjadi peranan atas sikap bertanggungjawaban, sekiranya setiap individu, tidak didedahkan kepada mereka, bahawa setiap mereka adalah hamba kepada Tuhan. Untuk itu, setiap kita perlu meneliti tentang kejadian diri kita sendiri dan mendapatkan perkaitan dengan pertimbangan tentang, perlu apakah setiap kita diciptakan?

Manusia sebenarnya telah mempelajari sesuatu sehingga mereka, telah melalui pelbagai sistem kehidupan. Dan setiap sistem kehidupan yang mereka tempuhi, sedikit sebanyak telah memperlihatkan kepada mereka, betapa mereka perlu meneliti permasalahan persekitaran yang berlaku, sehingga mereka harus memikirkan dan menjalani suatu polisi hidup yang akhirnya dapat memberikan kehidupan berterusan kepada diri mereka sendiri.




No comments:

Post a Comment

Popular